Ahad, 18 Disember 2011

KEJAMKAH CARA PENYEMBELIHAN UMAT ISLAM?





Pada akhir bulan Jun lalu kita digemparkan dengan laporan bahawa Dewan Rakyat Belanda telah meluluskan rang undang-undang untuk mengharamkan penyembelihan haiwan di negara itu. Undang-undang itu menetapkan haiwan yang akan disembelih perlu berada dalam keadaan tidak sedar iaitu satu kaedah yang berbeza dengan cara penyembelihan Islam. Akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa Ketua Parti Hak Asasi Haiwan di Belanda, Marianne Thieme secara biadap menuduh kaedah penyembelihan Islam menyebabkan kesakitan kepada haiwan dan menegaskan kebebasan agama perlu dihadkan. Begitulah tanggapan dunia barat terhadap kaedah penyembelihan yang dilakukan umat Islam yang dilihat kejam kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutamanya ketika amalan korban pada Hari Raya Aidiladha. Benarkah dakwaan ini?

Islam pada dasarnya menganjurkan umatnya untuk hidup secara aman, penuh kesederhanaan dan mengarahkan penganutnya untuk sentiasa membuat kebaikan sesama manusia dan makhluk-makhluk Allah yang lain di atas muka bumi ini. Sebagai contoh Syaddad bin Aus r.a pernah berkata : “Dua perkara yang aku hafal daripada Nabi s.a.w., baginda berkata : Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik (ihsan) ke atas segala sesuatu. Jika anda membunuh maka berbuat ihsanlah dalam cara membunuh dan jika anda menyembelih maka berbuat ihsanlah dalam cara menyembelih, dan hendaklah anda menajamkan pisaunya dan mempermudahkan penyembelihan itu.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Beginilah Islam mengatur umatnya agar mempermudahkan urusan penyembelihan haiwan dengan mensyaratkan agar terlebih dahulu mengasah alat yang bakal digunakan supaya tidak menyiksa haiwan tersebut. Alat yang digunakan di dalam proses penyembelihan itu mestilah tajam agar mudah untuk memotong ketiga-tiga urat atau saluran dileher haiwan tersebut iaitu saluran pernafasan, saluran makanan serta dua saluran pembuluh darah. Bukan sekadar itu, Islam turut memakruhkan umatnya mengasah pisau dihadapan haiwan yang bakal disembelih tersebut. Daripada Ibnu Abbas r.a dia berkata: “Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki yang meletakkan kakinya di atas pipi (sisi) kambing dalam keadaan dia mengasah pisaunya sedangkan kambing tersebut memandang kepadanya, maka baginda mengatakan: "Perbuatan seperti ini tidak boleh diterima. Apakah engkau ingin benar-benar mematikannya. (dalam riwayat lain : Apakah engkau ingin mematikannya dengan beberapa kematian)." (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi) Beginilah telitinya Islam dalam mencorakkan adab umatnya terhadap haiwan yang bakal disembelih. Oleh itu adakah wajar Islam dituduh sebagai agama yang kejam terhadap haiwan?

Islam mewajibkan penyembelihan haiwan yang hendak dijadikan makanan. Firman Allah s.w.t.: “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya” (Surah al-An’aam, ayat 118). Antara tujuan penyembelihan ini adalah untuk mengeluarkan darah haiwan tersebut. Fakta saintifik membuktikan bahawa darah adalah medium terbaik bagi mikro organisma membiak. Justeru timbul persolan, kenapa tidak dipenggal sahaja kepala haiwan tersebut agar mempercepatkan poses pengaliran keluar darah haiwan tersebut? Ini adalah kerana sekiranya dipenggal kepala haiwan tersebut, ia akan menyebabkan saraf tunjang (spinal cord) terputus dan degupan jantung haiwan tersebut akan terhenti secara mendadak. Ini sebenarnya akan menyekat aliran darah keluar dari haiwan tersebut. Aliran darah yang sempurna dari haiwan yang disembelih tersebut turut menyebabkan daging akan kekal segar lebih lama.

Kita kembali kepada persoalan adakah kaedah penyembelihan secara Islam ini merupakan kaedah yang menyiksa haiwan. Kajian sebenarnya pernah dilaksanakan oleh Profesor Willhelm Schulze dan Dr. Hazem dari University of Veterinary Medicine Hanover. Beliau telah meletakkan alat untuk mengesan perasaan sakit Electroencephalograph (EEG) di permukaan otak dan alat untuk merakam degupan jantung Electrocardiogram (ECG) keatas haiwan yang bakal disembelih itu. Hasil kajian mereka telah membuktikan bahawa kaedah penyembelihan cara Islam ini sebenarnya tidak zalim. Pada detik-detik awal selepas lembu disembelih iaitu setelah ketiga saluran di leher telah terputus, EEG tidak menunjukkan sebarang perubahan graf. Ini menunjukkan haiwan itu tidak mengalami sebarang kesakitan secara tiba-tiba selepas penyembelihan. Kemudian, dalam masa 10 saat EEG merekodkan keadaan yang dinamakan sebagai ‘deep sleep’ di mana, haiwan mengalami keadaan tidak sedarkan diri kesan dari darah yang mengalir keluar dari tubuh haiwan itu. Bacaan ECG pula meningkat menunjukkan aktiviti jantung semakin aktif kerana pengaliran keluar darah. Dalam masa tidak lebih dari 23 saat bacaan ECG terus meningkat selari dengan peningkatan kadar pengeluaran darah manakala EEG pula pada paras 0 yang menunjukkan haiwan tersebut langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kesakitan.

Haiwan tersebut tidak mengalami kesakitan kerana kerana penyembelihan tersebut telah memutuskan saluran serta saraf yang mengalirkan darah ke saraf otak yang bertanggungjawab untuk membawa perasaan sakit. Oleh itu jika tiada kesakitan kenapa haiwan tersebut menggelupur setelah disembelih? Menurut Profesor Schulze dan Dr. Hazem haiwan tersebut menggelupur bukan kerana sakit tetapi disebabkan oleh penegangan dan pengenduran otot yang kekurangan darah disebabkan pengaliran darah keluar dari badan haiwan tersebut.
Kajian yang sama turut membuktikan bahawa kaedah barat yang kononnya paling berperikemanusiaan iaitu meletakkan haiwan dalam keadaan tidak sedar sebelum disembelih dengan mengenakan rejatan elektrik, memukul kepala haiwan tersebut atau cara-cara lain sebenarnya lebih menyakiti haiwan tersebut. Kadar EEG meningkat dengan begitu tinggi kerana tekanan rasa sakit yang keterlaluan ketika haiwan tersebut dipukul dikepalanya menerusi kaedah penembakan bola logam (Captive Bolt Pistol-CBP). Bacaan ECG pula menurun pada tahap yang paling rendah menunjukkan jantung terhenti berdegup. Ini menyebabkan tidak banyak darah yang mengalir keluar dari badan haiwan tersebut setelah disembelih sehingga terkumpulnya banyak darah beku dalam daging haiwan tersebut.

Bukan sekadar kaedah CBP yang mengenakan hentakan kuat ke kepala lembu itu menyiksa haiwan tersebut, bahkan ia merupkan antara faktor yang menyebabkan tersebarnya wabak Lembu Gila (Mad Cow Disease) sebagaimana kajian yang telah dilakukan oleh Texas A&M University dan Canadian Food Inspection Agency. Tisu otak dan saraf tunjang merupakan bahagian yang paling terjejas teruk apabila haiwan itu dijangkiti penyakit lembu gila. Kaedah CBP ini boleh menyebab tisu otak hancur dan bertaburan sehingga menyebabkan bakteria penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Ternyata kaedah penyembelihan Islam merupakan cara yang terbaik, paling berperikemanusiaan dan paling bersih serta berkualiti. Ternyata tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh golongan aktivis hak asasi haiwan di barat adalah tidak benar bahkan tidak adil terhadap umat Islam. Sekilas pandang tindakan dewan rakyat Belanda mahupun dunia barat yang memandang negatif terhadap kaedah penyembelihan umat Islam nampak seolah peradaban barat begitu prihatin terhadap hak asasi haiwan, namun apa yang menghairankan di sisi lain mereka agak sambil lewa dalam menentang kekejaman yang telah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap umat Islam di Palestin. Adakah penderitaan seekor lembu yang jelas merupakan sumber makanan ketika disembelih adalah lebih penting untuk dipertahankan berbanding nyawa umat Islam?

Selasa, 27 September 2011

PENYAKIT MATERIALISTIK DI KALANGAN PENDAKWAH


Melaksanakan urusan dakwah iaitu mengajak manusia menuju kepada perintah Allah dan Rasul-Nya merupakan suatu ibadah yang agung dan dituntut oleh syarak. Firman Allah SWT: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru menuju Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”. (Fushshilat:33). Oleh itu ia harus dilakukan dengan penuh keikhlasan demi untuk mencapai keredhaan Allah SWT tanpa mengharapkan sebarang balasan berupa wang ringgit, harta benda atau untuk meraih jawatan.

Saya terkenangkan nasihat yang diberikan oleh guru penulis Ustaz Abu Farooq yang mana beliau setelah tamat pengajian beliau di Timur Tengah dan kembali ke Malaysia beliau memfokuskan diri untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi beliau dan keluarga terlebih dahulu sebelum terjun ke dalam bidang dakwah secara serius. Ini adalah kerana beliau tidak mahu bergantung hidup menerusi urusan dakwah atau menjadikannya sebagai profesion untuk menyara keluarga beliau. Menurut Ustaz Abu Farooq dengan meletakan urusan dakwah sebagai satu-satunya sumber pendapatan sedikit sebanyak ia mampu mencemar keikhlasan seseorang itu dalam melaksanakan ibadah yang amat mulia ini. Adakah ia dilaksanakan kerana ingin mencapai keredhaan Allah SWT atau adakah kerana mengejar harta dunia? Tambah beliau lagi urusan dakwah ini wajib dilaksanakan dengan meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber ilmu yang hendak disebarkan walaupun ia menentang arus pandangan orang ramai di kalangan masyarakat. Sekiranya urusan ini dijadikan sumber kewangan maka seseorang pendakwah itu berkemungkinan untuk memiliki kecenderungan bagi menyesuaikan bahan-bahan dakwah mereka agar selari dengan pandangan orang ramai dan membelakangi kebenaran. Seandainya bahan dakwah tersebut melawan arus maka ia bakal menjejaskan jumlah jemputan ceramah yang diterima bahkan mungkin digam. Berkurangnya jemputan ceramah akan menyebabkan berkurangnya jumlah upah yang diterima dan ini pasti akan menjejaskan pendapatan seseorang pendakwah yang menjadikannya sebagai sumber ekonomi.

Adalah penting bagi seluruh pendakwah atau penceramah untuk memahami bahawa urusan yang mulia ini akan menjadi sia-sia sekiranya ia dilaksanakan demi untuk mencapai keuntungan berbentuk material sahaja. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak akan menerima dari semua jenis amalan kecuali yang murni (ikhlas) untuk-Nya dan untuk mencari wajah-Nya.” (Hadis riwayat Imam al-Nasa’i)

Berlandaskan faktor inilah kita melihat bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah meminta sebarang upah dalam mengajak umatnya kepada ajaran Islam. Allah SWT berfirman: “Katakanlah (hai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan. Al-Qur'an ini tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam.” (Shad : 86-87)

Terdapat segelintir golongan pendakwah yang menetapkan harga bagi ceramah-ceramah yang mereka sampaikan atau kertas kerja-kertas kerja yang ingin mereka bentangkan. Upah berbentuk wang di dalam sampul surat atau cek yang diberikan oleh pihak penganjur selepas majlis dijadikan sumber motivasi yang paling utama dalam melaksanakan urusan dakwah. Sekiranya banyak jumlah wang yang diterima maka semakin rajinlah pendakwah tersebut untuk memenuhi jemputan penganjur tersebut. Sekiranya sedikit pula ganjarannya atau tiada upah yang ditawarkan maka semakin keraplah majlis-majlis ilmu tersebut dibatalkan bahkan ditolak atas permintaan pendakwah tersebut kerana beliau memberikan keutamaan kepada majlis-majlis yang lebih lumayan pulangannya.

Justeru sekiranya ada dikalangan pendakwah kita yang dihinggapi dengan penyakit materialistik sebegini hendaklah mereka memperbetulkan niat mereka. Artikel ini bukan bertujuan untuk mengharamkan para pendakwah dari menerima upah. Sekiranya seseorang itu berdakwah dengan cara yang benar dan ikhlas lalu kemudian dia diberi upah sedangkan dia tidak mengharapkannya atau tidak memintanya kerana niatnya hanya untuk menyebarkan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya maka dalam konteks ini tidaklah menjadi suatu kesalahan bagi pendakwah tersebut untuk menerimanya. Saidina Umar r.a berkata: “Dahulu Rasulullah s.a.w. memberikan pemberian kepadaku, kemudian aku mengatakan: “Berikan kepada orang yang lebih miskin daripadaku.” Maka baginda s.a.w. bersabda: “Ambillah itu! Jika datang kepadamu sesuatu dari harta ini, sedangkan engkau tidak memperhatikan (iaitu tidak mengharapkannya) dan tidak meminta, maka ambillah itu! Dan yang tidak, maka janganlah engkau mengikuti hawa nafsumu terhadapnya!” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Kebelakangan ini pusat-pusat rawatan Islam bercambah dengan begitu pesat sekali. Di antara metod utama yang digunakan oleh pusat-pusat ialah pembacaan ruqyah atau jampi-jampi yang kebanyakannya digunakan untuk merawati kes-kes gangguan sihir dan jin. Tentu sekali usaha mereka yang melaksanakan ruqyah ini sekiranya ikhlas untuk membantu dan untuk mencapai keredhaan Allah SWT merupakan suatu amalan yang soleh. Menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah didalam Majmu’ al-Fatawa: “Ini termasuk amalan yang paling afdal, ia adalah amalan para Nabi dan orang-orang yang soleh. Ini adalah kerana para Nabi dan orang-orang yang soleh senantiasa mencegah setan-setan dari (mengganggu) anak Adam, dengan cara yang Allah dan Rasul-Nya izinkan. Sebagaimana yang dilakukan oleh Al-Masih (Nabi Isa a.s.) dan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi kita, Muhammad saw”

Ruqyah yang kita maksudkan disini adalah jampi-jampi yang selari dengan syarak bukan jampi serapah yang diamalkan oleh golongan bomoh dan pawang yang tidak difahami maksudnya bahkan mengandungi perkataan-perkataan yang diharamkan. Ruqyah yang selari dengan syari’at adalah jampi-jampi yang menggunakan perkataan-perkataan yang boleh difahami dan tidak bercanggah dengan syarak atau mencemari akidah. Ruqyah yang afdal adalah menggunakan ayat-ayat al-Qur’an dan doa-doa bersumberkan hadis-hadis Rasulullah saw.

Namun apa yang sedikit menggusarkan adalah tindakan sesetengah pihak yang mengkomersial upacara ruqyah ini sehingga ia dijadikan profesion sehingga meninggalkan pekerjaan tetap mereka. Bahkan ada sesetengah dari kalangan mereka yang mengabaikan untuk mendalami ilmu-ilmu agama yang selama ini mereka menekuninya dan melalaikan urusan dakwah untuk mendidik masyarakat kerana terlalu disibukkan dengan aktiviti di pusat-pusat rawatan mereka yang dapat menjana pendapatan yang mewah. Segelintir dari pengusaha pusat rawatan Islam ini mengenakan caj yang mahal sehingga menyusahkan golongan yang miskin. Sekiranya kita mengkaji perjalanan hidup Rasulullah saw, para sahabat baginda serta para ulamak besar Ahlus Sunnah wal Jamaah kita tidak akan menjumpai daripada kalangan mereka yang membuka pusat-pusat rawatan ruqyah atau menjadikannya sebagai pekerjaan tetap walaupun keperluan untuk merawat sihir atau gangguan jin turut wujud pada zaman mereka.

Mereka yang melakukan upacara ruqyah lalu meminta upah darinya maka terdapat celaan daripada Rasulullah saw terhadap perbuatan tersebut. Baginsa bersabda: “Barangsiapa membaca al-Qur’an, hendaklah dia meminta pahalanya kepada Allah. Sesungguhnya akan datang kelak sebuah kaum yang membaca al-Qur’an lalu mereka meminta (harta) manusia dengan al-Qur’an.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Namun sekiranya upacara ruqyah itu dilakukan ikhlas untuk membantu para pesakit dan untuk mencapai kemuliaan di sisi Allah SWT tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan dari pesakit, namun pesakit tersebut atau ahli keluarganya dengan ikhlas memberi upah maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerimanya. Pernah terjadi pada zaman Nabi saw, seorang sahabat Nabi saw telah menggunakan surah al-Fatihah sebagai jampi kepada seorang yang terkena sengat binatang berbisa. Untuk rawatan tersebut beliau telah menerima sejumlah ekor kambing untuk dirinya berserta rombongannya sebagai upah. Maka timbul kekeliruan dikalangan mereka sama ada boleh menerima serta membahagikan kambing-kambing tersebut sesama mereka lalu setibanya mereka di Madinah mereka berjumpa Rasulullah saw untuk mendapatkan pandangan baginda. Maka sabda Rasulullah saw: “Apakah yang membuatmu tahu bahawa itu (iaitu surah al-Fatihah) adalah ruqyah (jampi)? Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu benar. Bahagikanlah (kambing-kambing tersebut) dan berilah kepadaku satu bahagian.” Lantas Nabi pun tertawa.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Apa yang dapat kita simpulkan di sini adalah penting untuk para pendakwah meluruskan semula niat mereka dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwah mereka. Dakwah mengajak umat manusia kepada ajaran Allah dan Rasul-nya merupakan tugas utama bagi para Rasul dan pendakwah yang meneruskan warisan ini tentulah memiliki kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT. Janganlah tugas yang suci ini dicemari dengan sikap materialistik yang akhirnya menjejaskan keikhlasan seseorang pendakwah dan menyebabkan usaha mulia mereka itu tidak diterima oleh Allah SWT sebagai amalan soleh.

Rabu, 8 Jun 2011

Akbar ILUVISLAM edisi 10 - 16 Jun 2011 : Wawancara bersama akob

Dapatkan akhbar ILUVISLAM yang akan mula dipasarkan Jumaat ini (10hb June 2011)




Rabu, 20 April 2011

Khamis, 14 April 2011

BUKU TERBARU AKOB : MANISNYA IMAN



DAPATKAN DI PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2011 NANTI.

GRUP ...MEDIA KARANGKRAF, DEWAN TUN ISMAIL PWTC


JANGAN KETINGGALAN..


BUKU: MANISNYA IMAN
BRAND: KARYA BESTARI
PENULIS:MOHD YAAKUB MOHD YUNUS
SIRI: SOAL JAWAB
HALAMAN: 464
HARGA RM19.90
ISBN: 978-967-86-0371-3

INTRO:

“Kita ini hanyalah perantau dunia yang pasti akan pulang semula ke pangkuan-NYA. Dunia ini hanyalah ladang bagi meraih keberkatan dan keredhaan-NYA di akhirat sana. Sedarilah... apa jua yang kita fikirkan, apa jua yang kita lakukan, imanlah yang pasti menjadi tunjang haluan. Maka, coraklah iman sesungguhnya agar selari dengan perintah ILAHI. Iman ini tidaklah mudah dicari, namun usaha ke arahnya tetap dikira sebagai ibadat yang bermanfaat di
kemudian hari.”


SINOPSIS:
Manisnya Iman... tunjang pengabdian diri kepada ILAHI. Dengannya, pastilah hati menyerah pada-NYA. Dan itulah matlamat utama pen­ciptaan manusia. Iman itu pula bukanlah sesuatu yang mudah dicari atau diwarisi, melainkan usaha dan tawakal berterusan tetap ditagih pada setiap gerak laku hamba-NYA.

Iman itu dikecapi hasil amalan yang ber­landas­kan keyakinan pada ILAHI. Keyakinan ini hadir berpaksikan kefaha­man ilmu warisan-NYA yang luas. Hasilnya, ke­pelbagai­­an pendapat dirai, selagi berada dalam kerangka al-Quran dan sunnah yang benar. Sudah termaktub janji Rasulullah bahawa kedua-dua wahyu inilah sumber kebenaran hakiki kepada manusia. Lihatlah... betapa Islam itu luas lagi memudahkan umatnya.

Naskhah ini membawa kita menyelami isu-isu semasa yang melingkari kehidupan seharian. Ia merangkumi perkara berkaitan ibadat, akhlak, fahaman, akidah dan umum di mana penyampaiannya dibuat secara ringkas dan padat. Renungilah... moga kemanisan iman itu dapat dirasai bersama.

Manisnya iman membawa kita menyelami perbahasan-perbahasan berikut:

* Hukum Menyambut Tahun Baru
* Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah?
* Arus Perdana Sebagai Mazhab Baharu?
* Marah : Antara yang Tercela dan Terpuji
* Hilangkan Penghalang Termakbulnya Doa
* Nikmat Ketika Sakit
* Mimpi : Modal Menjual Agama
* Tinggalkan Profesion Mengumpat
* Ilmu Astrologi Mencemari Kemurnian Tauhid
* Kisah Perkahwinan Rasulullah dengan Zainab

Jumaat, 21 Januari 2011

Dapatkan Buku-Buku Akob di Karnival Karangkraf

Dapatkan buku-buku Akob dengan harga RUNTUH di KARNIVAL KARANGKRAF bertempat di KOMPLEKS KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF, Lot 2 Jalan Sepana 15/3, Seksyen 15 Shah Alam pada 28 - 30 Januari 2011 pada jam 9.00 pagi - 6.00 petang!