Isnin, 16 Jun 2008

Marah : Antara Yang Tercela Dan Terpuji


Assalaamu'alaikum
Artikel ini pernah disiarkan di Akhbar Utusan Malaysia pada tahun lepas semoga ada manfaatnya kepada semua.
Sekian Wassalaam
MARAH : ANTARA YANG TERCELA DAN TERPUJI
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Dalam kehidupan manusia sehari-harian, pasti kita akan berhadapan dengan perkara-perkara yang membangkitkan kemarahan. Kita juga sering menghubung-kaitkan marah ini sebagai satu perkara yang negatif. Ternyata Islam juga mencela sikap marah sebagaimana Firman Allah S.W.T.:

(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) - perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan "kalimah Taqwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. - al-Fath (48) : 26

Lihatlah bagaimana Allah S.W.T. mencela keangkuhan golongan kafirun terhadap golongan yang beriman yang mana ianya timbul akibat kemarahan mereka terhadap ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menyerang institusi keagamaan, masyarakat dan sosial mereka. Sementara itu Allah S.W.T. juga memuji sifat tenang dan tenteramk yang telah dikurniakan kepada golongan mukminin. Ternyata menerusi ayat ini sifat marah dinilai secara negatif. Namun begitu adakah Islam ingin membasmi sifat marah secara total? Sebelum itu mari kita lihat jenis-jenis manusia berkaitan dengan sifat marah.

Golongan Pertama : Tafrith yakni mereka yang lansung tidak memiliki sifat marah. Apa jua yang belaku disekelilingnya maka dia langsung tidak menunjukkan perasaan marah. Manusia jenis ini sama sekali tidak memilki sikap pembelaan terhadap kebenaran. Dia tidak terasa tersinggung apabila agamanya diinjak-injak oleh musuh-musuh Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan sikap tawaduk tetap mempertahankan maruah agama dengan menentang musuh-musuhnya sekiranya perlu. Firman Allah S.W.T.:

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). - al-Fath (48) : 29
Golongan jenis ini juga apabila terjadi perlanggaran terhadap kehormatan diri mahupun ahli keluarganya maka dia akan menghadapinya dengan sikap yang penuh kebaculan dan terlalu merendah diri. Sedangkan Islam melihat perlunya sikap cemburu demi untuk melindungi kehormatan ahli keluarganya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya dia (Sa’ad) adalah seorang yang kuat cemburunya dan saya adalah lebih kuat cemburunya (berbanding dengan Sa’ad), dan Allah adalah lebih cemburu lagi daripada saya (iaitu sekiranya Dia melihat hamba-Nya melakukan perbuatan maksiat). - Hadis riwayat Imam Muslim no: 1498

Jelas di sini sifat tafrith atau langsung kehilangan sifat marah adalah tercela disisi syarak.
Golongan Kedua: Ifrath iaitu mereka yang tidak dapat mengawal perasaan marah lalu bersikap berlebih-lebihan sehingga hilanglah pengawalan akal yang waras terhadap dirinya. Golongan seperti ini akan berteriak dengan suara yang kuat serta mengeluarkan kata-kata yang kasar lagi kesat bahkan ada kalanya sehingga menyebabkan terjadinya pukul-memukul ataupun amukan yang dahsyat sehingga terjadi pertumpahan darah. Marah yang tidak dapat dikawal juga dapat membentuk perasaan dendam, benci dan dengki sehingga mendorongnya untuk melakukan pembalasan terhadap orang yang dimarahinya. Disebabkan buruknya akibat sifat marah yang melulu ini maka Rasulullah s.a.w. amat menitikberat agar perasaan itu dikawal dengan baik. Apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada baginda s.a.w, lantas baginda bersabda:

"Jangan marah."

Kemudian sahabat tersebut mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab:

"Jangan marah." - Rujuk Sahih al-Bukhari, hadis no: 6116.

Allah S.W.T juga memuji mereka yang dapat mengawal perasaan marah melalui Firman-Nya:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. - Aali ‘Imraan (3) : 133-134.

Di antara cara-cara untuk mengawal perasaan marah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah:

a) Mengucapkan Ta’awudz (A’udzu billahi minasy syaithoonir rajeem - Aku berlindung kepada Allah dari Syaitan yang terkutuk). Ini adalah kerana perasaan marah itu timbul dari hasutan syaitan.
b) Diam atau tidak berbicara.
c) Jika semasa timbul perasaan marah itu seseorang itu sedang berdiri maka hendaklah dia duduk. Jika tidak reda juga maka hendaklah dia baring.
d) Berwuduk kerana air wuduk itu dapat menangkan jiwa yang sedang marah

Golongan Ketiga: I’tidal iaitu golongan yang bersikap sederhana di antara Tafrith dan Ifrath. Mereka tidak menghilangkan sikap marah secara total tetapi hanya akan marah dalam situasi yang bersesuaian, akal juga masih menguasai dirinya dan mereka sentiasa mengikuti batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Kemarahan yang tergolong dalam kategori terpuji adalah kemarahan yang timbul hanya kerana menurut perintah Allah S.W.T. dan untuk membela agama Islam serta umatnya. Oleh itu hendaklah kemarahan yang ada dalam jiwa seorang muslim itu bertindak untuk menolak gangguan orang lain terhadap kehormatan dirinya, keluarganya serta umat Islam keseluruhannya dan menghukum mereka yang ingkar kepada printah Allah S.W.T.. Firman Allah S.W.T.:

Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. - al-Tawbah (9) : 14-15

Di antara sifat Rasulullah s.a.w. adalah tidak menunjukkan kemarahan baginda lalu melakukan pembalasan hanya kerana kepentingan peribadinya, namun segala kemarahannya adalah kerana mempertahankan hukum-hukum Allah S.W.T.. Saidatina ‘Aisyah r.a telah meriwayatkan bahawa:

Dan tidaklah baginda membalas dengan hukuman untuk (membela) dirinya di dalam sesuatu sama sekali kecuali jika perkara-perakara yang diharamkan Allah dilanggar, maka baginda akan membalas dengan hukuman terhadap perkara itu kerana Allah. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 6126

Apakah yang dapat kita simpulkan tentang sifat marah ini? Sekiranya sifat marah itu hilang sama-sekali dalam jiwa seseorang maka ianya termasuk dalam perbuatan yang tercela dan menunjukkan ciri-ciri seorang insan yang lemah pegangan agamanya, penakut, lemah imannya dan kurang cintanya terhadap agama Allah. Begitu juga sifat marah yang berlebih-lebihan tanpa batasan ianya juga mengundang bahaya serta boleh menimbulkan suasana yang kacau-bilau. Oleh itu yang benar adalah sekalipun sifat marah itu perlu ada pada diri seseorang tetapi ianya sentiasa diarahkan kepada perkara yang kena pada tempatnya, dikawal oleh akal yang bijaksana dan batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Inilah sikap pertengahan yang adil lagi terpuji malah ianya merupakan ciri-ciri umat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu umat yang bersikap penuh kesederhanaan dalam semua perkara.Firman Allah S.W.T.:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. - al-Baqarah (2) : 143

Oleh itu sewajarnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamal sifat marah yang I’tidal ini. Lantaran itu di antara langkah-langkah yang perlu di ambil adalah:

a) Hendaklah kita sentiasa mengingatkan diri kita bahawa mengawal perasaan marah merupakan satu sifat yang dipuji oleh Allah S.W.T melalui sekian banyak dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebagai contohnya Allah S.W.T. berfirman:

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya. - al-Syuura (42) : 36-37

b) Perlu kita sedari bahawa sifat marah yang berlebih-lebihan merupakan sifat yang melampaui batas, hasil dari hasutan syaitan dan ianya mengundang balasan yang buruk daripada Allah S.W.T. kerana Dia tidak menyukai hamba-Nya yang melampaui batas. Firman-Nya:
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. - Hud (11) : 112

c) Kita juga perlu mengingatkan diri kita akibat buruk yang terhasil dari sifat marah yang melampau itu. Ianya bakal mengundang tindak balas dari orang yang dimarahinya itu secara keras bukan sahaja terhadap dirinya tetapi juga kepada ahli keluarganya. Orang yang pemarah juga tidak disukai orang sekelilingnya malah mungkin juga akan disisih oleh masyarakat

d) Sewajarnya kita menerapkan di dalam jiwa kita semangat untuk membela kebenaran agar kita ketahui di dalam situasi yang bagaimana kita perlu menunjukkan perasaan marah dan melakukan tindakan yang sewajarnya terutamanya terhadap musuh-musuh Allah S.W.T. Apabila Islam cuba diperkotak-katikkan oleh golongan munafik serta kafir, maka umat Islam harus bangkit untuk berjihad dan bersatu menentang mereka sekeras-kerasnya. Firman Allah S.W.T.:
Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. - al-Tahriim (66) : 9

e) Hendaklah diperhebatkan penyebaran ilmu-ilmu yang berkaitan urusan memperbaiki serta menyucikan jiwa (tazkiyatun nafs) berlandaskan al-Qur’an, al-Sunnah serta amalan para al-Salafussoleh. Hanya menerusi jiwa yang bersih sahaja seseorang itu akan dapat mengawal perasaan marahnya bersesuaian dengan kehendak syarak. Tazkiyatun Nafs adalah merupakan tugas yang utama bagi para Nabi dan Rasul termasuk junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.. Firman ALLAH S.W.T.:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. - Aali ‘Imraan (3) : 164
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya aku hanya diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. - Hadis riwayat Ahmad, no: 8595
Justeru itu tidaklah menjadi kesalahan untuk marah sekiranya ianya tergolong dalam marah yang terpuji seperti yang telah penulis bahaskan di atas. Malah pada zaman Islam sedang diserang dari pelbagai penjuru, hilangnya sifat marah pada jiwa umat Islam akan menyebabkan kesesatan berleluasa dan hancurnya kekuatan umat. Jangan kita hanya menyesal setelah maruah agama dan bangsa telah tergadai. Bangkitlah wahai umat Islam, kita teguhkan pegangan kita terhadap agama Allah dan perhebatkan tekanan kita terhadap musuh-musuh Allah terutamanya musuh dalam selimut iaitu golongan munafik yang ingin mengganggu-gugat kita bertopengkan slogan hak asasi manusia, hak kebebasan agama serta penyatuan di antara agama-agama. Firman Allah S.W.T.:
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. - Aali ‘Imraan (3) : 19
Walaupun begitu umat Islam hanya memusuhi mereka yang memiliki niat jahat terhadap kita. Bagi mereka yang ingin hidup secara harmoni bersama umat Islam serta menghormati ajaran-ajaran yang terdapat dalam Islam maka kita diperintahkan untuk bergaul dengan mereka secara adil. Firman Allah S.W.T.:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. - al-Mumtahanah (60) : 8-9

Tiada ulasan:

Catat Ulasan