Khamis, 10 Julai 2008

BIOGRAFI IMAM AL-SYATHIBI

Assalaamu'alaikum

Apabila membicarakan tentang bid'ah, tidak dapat tidak kita pasti akan menemui nama Imam al-Syathibi disebutkan. Hal ini adalah kerana beliau merupkan pengarang kitab Kitab al-I’tisom yang telah mengupas secara panjang lebar tentang bid'ah dan cabangannya. Jadi tidak hairanlah sekiranya apabila akob membicarakan tentang isu-isu bid'ah dalam artikel-artikel mahupun buku-buku akob, pasti akan ada rujukan kepada kitab Imam al-Syathibi ini. Imam al-Syathibi merupakan ilmuwan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang hebat dan telah mengarang banyak kitab yang sehingga kini dijadikan rujukan oleh para ulamak.
Alhamdulillah sahabat baik serta rakan seperjuangan akob, seorang ilmuwan muda yang tinggi ilmunya, al-Fadhil Ustaz Mohd Fikri telah menulis biografi ringkas Imam besar ini.
Nantikan buku akob seterusnya tentang Solat-Solat Sunat Cara Rasulullah yang akob karang dan disemak oleh Ustaz Fikri ini. Tapi bila nak ada di pasaran, akob tak tahu lagi.
Oleh itu akob ingin mengambil kesempatan di sini untuk memperkenalkan Imam al-Syathibi kepada pembaca blog akob ini.
Dan Jangan lupa untuk mengunjungi blog Ustaz Fikri di http://mohdfikri.com/blog/
Sekian Wassalaam

Nama penuh beliau ialah Abu Ishaq, Ibrahim bin Musa bin Muhammad al-Lakhmi al-Gharnathi. Beliau dilahirkan di Granada pada tahun 730H dan meninggal dunia pada hari Selasa bertarikh 8 Syaaban tahun 790H bersamaan dengan tahun 1388M. Gelaran al-Syathibi merupakan nisbah kepada tempat kelahiran ayahnya di Syathibah (ditulis dalam bahasa sepanyol sebagai Xativa), sebuah daerah dalam perwilayahan Asybelinsi (Valencia) di sebelah timur Andalusia.

Pada tahun 1247M, keluarga Imam al-Syathibi berpindah menuju ke Granada setelah kejatuhan kota Xativa ke tangan raja Sepanyol kabilah Aragon setelah keduanya berperang hampir 9 tahun sejak dari tahun 1239M.

Granada sendiri pada mulanya hanyalah sebuah kota kecil yang terletak di kaki banjaran Sierra Nevada yang sangat dingin saljunya. Kerana Granada ini sebuah kota yang kecil dan sangat dingin, maka orang-orang muslim ketika itu lebih suka untuk berpindah ke kota Elvira, merupakan sebuah kota yang terletak tidak jauh dari Granada.

Semasa zaman Imam al-Syathibi, kota Granada diperintah oleh pemerintahan Bani Ahmar. Suku Bani Ahmar ini dikatakan berasal dari keturunan Sa’ad bin Ubadah, salah seorang sahabat Nabi (s.a.w) dari kabilah Ansar. Sedang laqab (gelar) Ahmar ditujukan kepada salah seorang rajanya yang bernama Abu Sa’id Muhammad al-Sadis yang sempat memerintah dari tahun 761 hingga 763H. Ini disebabkan beliau memiliki warna kulit kemerah-merahan. Orang Sepanyol sendiri menggelarkan Abu Sa’id ini dengan gelaran al-Barmekho yang bererti warna yang kemerah-merahan seperti jeruk.

Ketika Bani Ahmar berkuasa, kehidupan masyarakat jauh dari kehidupan yang lebih Islamik. Bahkan hidup mereka dipenuhi dengan kepelbagaian khurafat dan bidaah. Kedudukan ini semakin parah ketika Muhammad al-Khamis yang bergelar al-Ghani Billah memegang tampuk kekuasaan.

Bukan hanya setakat pertumpahan darah dan pemberontakan yang sering terjadi. Malahan setiap orang yang cuba menyeru agar kembali berpegang kepada cara beragama yang sebenar telah difitnah dan ditohmah dengan murtad atau keluar dari prinsip agama. Bahkan, acap kali juga orang-orang yang menyeru pada kesahihan beragama telah menerima hukuman yang sangat berat.

Hampir semua tokoh agamawan yang dipilih pada masa itu adalah orang-orang yang tidak memiliki latar belakang ilmu agama yang cukup. Kadangkala terdapat juga sesetengah mereka yang tidak tahu menahu mengenai persoalan agama telah dilantik oleh para pemerintah sebagai anggota majlis fatwa. Oleh kerana itu, tidaklah hairanlah apabila fatwa-fatwa yang dihasilkan sangat jauh menyeleweng dari kebenaran yang dianjurkan oleh Islam.

Imam al-Syathibi bangkit menentang dan melawan para agamawan Granada yang ‘jahil’ ketika itu. Beliau dengan sedaya termampu cuba meluruskan dan mengembalikan amalan bidaah kepada sunnah serta membawa masyarakat dari kesesatan kepada kebenaran.

Perseteruan sengit antara Imam al-Syathibi dan para ulama kerajaan Granada pada masa itu tidak dapat dielakkan lagi. Setiap kali Imam al-Syathibi berfatwa halal, mereka sebaliknya terus berfatwa dengan yang haram tanpa melihat terlebih dahulu kepada dalil dan hujah syariah. Kerana itulah, Imam al-Syathibi kemudiannya diperleceh, direndah malahan hingga ke tahap dianggap telah keluar dari agama yang sebenarnya.

Hal sebegini sebenarnya menambahkan lagi kekuatan kepada mereka yang beriman untuk terus bangkit biarpun keseorangan demi menegakkan kebenaran. Tidak ada sikap lemah atau berputus asa, sebaliknya kekentalan jiwa para ulama seperti Imam al-Syathibi semakin menggunung sehinggakan karyanya masih terus dikaji hingga kini dan tidak pernah basi.

Hal lain yang disoroti oleh Imam al-Syathibi adalah mengenai amalan tasawuf yang dilakukan oleh para agamawan saat itu yang dikira amat jauh menyimpang. Antaranya, amalan mereka yang mula berkumpul pada malam hari, lalu berzikir bersama dengan suara yang kuat kemudian diakhiri dengan tari dan nyanyian sampai penghujung malam. Ada pula di kalangan mereka yang berzikir sambil memukul-mukul dada dan kepalanya sendiri.

Imam al-Syathibi dengan penuh rasa taqwa bangkit mengharamkan amalan tersebut yang jauh menyimpang dari ajaran Tauhid yang penuh rahmat kepada sekalian alam. Menurut Imam al-Syathibi, setiap cara yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala bukan dari ajaran atau amalan yang pernah dipraktikkan oleh Rasulullah (s.a.w) dan para sahabatnya adalah perbuatan batil dan dilarang daripada terus diamalkan.

Fatwa al-Syathibi tentang amalan tasawuf yang menyimpang ini juga dikuatkan oleh salah seorang ulama fiqh yang juga tasawuf terkemuka ketika itu iaitu Abu al-Hasan al-Nawawi. Beliau mengatakan bahawa, “Barangsiapa yang melihat orang yang mendekatkan diri kepada Allah Taala dengan jalan yang jauh menyimpang dari amalan syariah barpandukan al-Quran dan al-Sunnah, maka janganlah kaum yang beriman mendekati kelompok mereka itu.”

Imam al-Syathibi turut mengkaji sikap fanatik atau taksub berlebihan yang diamalkan oleh para ulama Granada dan masyarakat Andalus masa itu terhadap mazhab Maliki. Mereka menganggap setiap orang yang bukan dari mazhab Maliki adalah sesat dan menyeleweng.

Sepertimana diketahui, bahawa masyarakat Andalus mengamalkan mazhab Maliki ini sejak raja mereka Hisyam al-Awwal bin ‘Abd al-Rahman al-Dakhil yang memerintah dari tahun 173-180 hijrah. Beliau telah menjadikan mazhab Maliki ini sebagai mazhab rasmi negara. Menurut salah satu riwayat, kecenderungan Hisyam al-Awwal untuk mengambil mazhab Maliki ini adalah ketika dia bertanya kepada dua orang ulama, salah seorangnya bermazhab Hanafi serta yang lainnya bermazhab Maliki.

Khalifah Hisyam al-Awwal ketika itu bertanya: “Dari mana asalnya Imam Abu Hanifah itu?” Ulama dari mazhab Hanafi menjawab: “Dari Kufah”. Lalu dia bertanya pula kepada ulama Maliki: “Dari mana asal Imam Malik?” Ulama yang bermazhab Maliki ini menjawab: “Beliau berasal dari Madinah”. Hisyam lalu berkata: “Imam yang berasal dari tempat hijrah Rasulullah (s.a.w) sudah cukup bagi kami”.

Bermula saat itulah masyarakat Andalus memegang kukuh mazhab Maliki sebagai sebuah mazhab rasmi kerajaan. Semakin bertambah fanatik mereka menjelang zaman Imam al-Syathibi hatta mereka tidak lagi mengenal dan tidak ingin bersahabat dengan mazhab yang lain terutama sekali mazhab Hanafi. Gambaran ini dilakarkan oleh Muhammad Fadhil bin Asyur di dalam kitabnya yang berjudul A’lam al-Fikr al-Islami menggambarkan sikap sebahagian penduduk Andalus ketika itu: “Mereka tidak lagi mengenal selain al-Qur’an dan al-Muwatha’ Imam Malik”.

Para ulama yang tidak bermazhab Maliki saat itu tidak terlepas dari cercaan seperti yang dialami oleh al-‘Allamah Baqi Ibn Makhlad (201-276H/816-889M) yang lebih cenderung dengan mazhab ahli Atsar. Imam Al-Syathibi melukiskan ulama ini sebagai ulama besar yang tidak ada tolok bandingnya saat itu, dia yang pernah berguru dengan Imam Ahmad ibn Hanbal, Abu Bakar ibn Abi Syaibah dan ulama-ulama lainnya yang berada di luar Andalus. Bahkan beliau digelar Hafiz al-Andalus, jika bukan kerana usaha beliau dalam mencari ilmu secara bersemuka dengan hampir 200 orang tokoh muhaddis, maka al-Sunnah tidak akan dikenali oleh penduduk Andalus ketika itu.

Sekalipun Imam Al-Syathibi seorang ulama Maliki, bahkan Syeikh Muhammad Makhluf menjadikannya sebagai ulama Maliki tingkatan ke-16 dari sanad cabang yang bertapak di Andalus. Namun, beliau tetap menghargai sumbangan ulama-ulama mazhab yang lain, termasuklah mazhab Hanafi yang ketika itu selalu menjadi sasaran cercaan dan tohmahan oleh lawan mereka dari mazhab Maliki.

Bahkan, dalam pelbagai kesempatan dan ruang yang beliau miliki dia akan menyanjung jasa dan sumbangan Imam Abu Hanifah dan ulama-ulama yang lain. Kitab al-Muwafaqat sendiri sengaja disusun oleh Imam al-Syathibi dalam rangka mengendurkan ketegangan yang terjadi ketika itu di antara Mazhab Maliki dan Hanafi. Di samping itu juga, sebagai tindakbalas terhadap amalan bidaah dan khurafat yang semakin berkembang biak dewasa itu, Imam al-Syathibi turut berusaha menyusun sebuah lagi karya yang paling bermutu dan kekal hingga kini, iaitu kitab al-I’tisom.

Demikianlah, secebis kisah kehidupan Imam al-Syathibi dan kedudukan masyarakat sekitarnya yang menjadikan beliau terdorong untuk menyusun karya-karya agung yang begitu tinggi nilainya.

Karya-karya Imam al-Syathibi

Di antara karya Imam al-Syathibi yang semuanya menjurus kepada dua bidang ilmu sebagaimana menurut istilah Hammadi al-‘Ubaidi yang pernah mengkaji kehidupan Imam al-Syathibi dan menulis kitab berjudul al-Syathibi wa Maqasid al-Syari’ah, bahawa dua bahagian tersebut ialah, [1] ulum al-wasilah dan [2] ulum al-maqasid.

Ulum al-wasilah adalah ilmu-ilmu bahasa Arab yang merupakan wasilah atau perantara untuk memahami secara mudah pengajian Ilmu al-Maqasid. Antara karya beliau yang terkenal ialah:

1. Kitab al-Muwafaqat

Kitab ini adalah kitab paling bermutu dan paling dikenali di antara karya-karya beliau yang lain. Kitab ini terdiri dari empat bahagian. Pada mulanya kitab ini diberi judul al-Ta’rif bi Asrar al-Taklif kemudian setelah Imam al-Syathibi bermimpi beliau mengubahnya kepada judul al-Muwafaqat iaitu untuk menyeimbangkan kedudukan antara mazhab Maliki dan Hanafi.

2. Kitab al-I’tisom

Kitab ini terdiri dari dua bahagian dan ditulis setelah selesainya penulisan al-Muwafaqat. Kitab ini mengupas secara panjang lebar tentang bidaah dan cabangannya. Ditulis oleh Imam Al-Syathibi dalam suatu perjalanan khusus tapi sayangnya beliau meninggal terlebih dahulu sebelum dapat menyelesaikan tulisannya ini.

3. Kitab al-Majalis

Kitab ini merupakan huraian dari Kitab al-Buyu’ yang terdapat di dalam Sahih al-Bukhari. Al-Tunbukti salah seorang muridnya melihat faedah kitab ini dengan mengungkapkan: “Daripadanya terdapat faedah dan hakikat kebenaran yang tidak diketahui melainkan Allah Sahaja”.

4. Syarah al-Khulasoh

Kitab ini merupakan kitab yang berkaitan dengan ilmu Nahu yang juga huraian dari kitab Alfiyyah Ibn Malik. Terdiri dari empat jilid besar dan menurut ulama kitab ini merupakan syarah Alfiyyah Ibn Malik terbaik dari segi kedalaman dan keluasan ilmu yang dipaparkannya.

5. Kitab ‘Unwan al-Ittifaq fi ‘Ilm al-Isytiqaq

Kitab tentang ilmu Sorof dan Fiqh Lughah (linguistik). Kitab ini sebanding dengan kitab al-Khulasoh karya Ibn Jinni. Sayangnya kitab ini telah hilang sejak Imam al-Syathibi masih lagi hidup.

6. Kitab Usul an-Nahw

Kitab ini membahaskan secara mendalam tentang Qawa’id Lughah dalam ilmu Sorof dan ilmu Nahu. Di dalamnya dibahaskan Qawa’id Asliyyah sekitar subjek tersebut, malangnya kitab ini sudah hilang semenjak dahulu lagi.

7. Al-Ifadaat wa al-Insyadaat

Kitab ini khusus ditulis sebagai gambaran perjalanan hidup Imam al-Syathibi sekaligus menyebutkan guru-guru dan murid-muridnya.

8. Fatawa al-Syathibi

Kitab ini adalah kitab yang bukan dikarang oleh Imam al-Syathibi ia hanya merupakan himpunan dan kumpulan fatwa-fatwa beliau yang terkandung di dalam Kitab al-I’tisom dan al-Muwafaqat.Di antara pelbagai karya Imam al-Syathibi ini, kitab yang sempat dicetak cuma tiga buah sahaja setakat pengetahuan saya iaitu kitab al-Muwafaqat, kitab al-I’tisom dan kitab al-Ifaadat wa al-Insyadaat.

Segala usaha ini semoga mendapat keberkatan daripada Allah Taala hendaknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan