Selasa, 29 Julai 2008

Menyingkap Beberapa Rahsia Di Sebalik Peristiwa Isra’ dan Mi’raj

Menyingkap Beberapa Rahsia Di Sebalik Peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Hafiz Firdaus Abdullah (www.hafizfirdaus.com)

“Atap rumahku dibuka, saat itu aku berada di Mekah. (Malaikat) Jibrail turun dan membedah dadaku, kemudian mencucinya dengan air Zam Zam. Kemudian didatangkan sebuah bekas yang dibuat daripada emas, yang berisi hikmah dan iman, lalu dituang ke dalam dadaku. Kemudian dadaku ditutup.”

Demikianlah yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 349. Peristiwa di atas berlaku pada malam Isra’ dan Mi’raj, seketika sebelum baginda menaiki Buraq untuk meluncur sekelip mata dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

Timbul persoalan, mengapakah perlu dicuci hati Rasulullah sebelum di-Isra’ dan di-Mi’raj? Ini adalah satu daripada beberapa rahsia yang boleh disingkap dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Peristiwa agung ini, yang berlaku sebelum baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah, memiliki banyak pengajaran dan iktibar yang bermanfaat bagi sesiapa yang ingin merenunginya. Dalam penulisan ini, insya-Allah saya akan menyingkap beberapa rahsia yang sama-sama dapat kita jadikan pelajaran dan iktibar.

Kembali kepada peristiwa pencucian hati Rasulullah, salah satu rahsia terpenting yang dapat kita pelajari adalah kelayakan yang perlu dimiliki oleh hati sebelum ia dapat meraih keistimewaan yang bakal Allah berikan kepada tuan empunya. Hanya hati yang bersih layak untuk diperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah ketika Isra’ (surah al-Isra’, ayat 1) serta keindahan apa yang berada di atas langit dunia dan syurga ketika Mi’raj (surah al-Najm, ayat 13-18).

Manakala hati yang kotor, yang dicemari dengan kuman kedengkian, buruk sangka, dendam, angkuh, ujub, riya’ dan sebagainya, tidak layak untuk semua keistimewaan di atas. Maka dengan itu sesiapa yang menginginkan keistimewaan daripada Allah, hendaklah dia terlebih dahulu memerhatikan keadaan hatinya.

Menyentuh berkenaan kebersihan hati, peristiwa pencucian hati Rasulullah melalui pembukaan dada oleh Malaikat Jibrail merupakan satu mukjizat yang khusus kepada baginda. Adapun kita, maka tidak boleh ada satu bentuk pencucian seumpama itu. Pakej-pakej pencucian hati “sekali cuci bersih selamanya” yang ditawarkan oleh individu atau pihak tertentu adalah palsu belaka. Sebaliknya yang boleh dilakukan ialah usaha pendidikan, penyedaran, penerapan dan pembetulan yang dilakukan secara berulangan lagi berterusan oleh tuan empunya hati.
Menjadi Imam Di Masjid al-Aqsa.

Setibanya di Masjid al-Aqsa, Rasulullah mendapati para Nabi dan Rasul sebelum baginda sedang bersolat di sana. Lantas baginda turut bersolat menjadi imam bagi para Nabi dan Rasul tersebut. [Shahih Muslim, hadis no: 172] Rahsia di sebalik ini disingkap oleh Syaikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi:

“Para Nabi solat di belakangnya (Muhammad). Hal ini merupakan pemberitahuan mengenai ciri universal risalah baginda, keabadian kepimpinannya, kepiawaian ajaran-ajarannya serta kesesuaiannya dalam pelbagai ruang dan waktu.

Peristiwa Isra’ telah terjadi dan telah mengisytihar bahawa Muhammad bukanlah dari kalangan para pemimpin atau para pemuka yang kemampuan dan perjuangan mereka tidak melampaui batas suku dan negeri. Bahawa Muhammad bukanlah sosok para pemimpin suatu komuniti yang hanya menyenangkan suku-suku yang melahirkan mereka dan lingkungan tempat asal mereka. Akan tetapi Muhammad berasal dari kalangan Nabi dan Rasul Allah yang membawa risalah langit ke bumi, membawa risalah Pencipta kepada yang dicipta, membahagiakan manusia dalam pelbagai suku dan golongan, dalam pelbagai masa dan generasi.” [al-Sirah al-Nabawiyah, ms. 162]

Setelah menjadi imam, Rasulullah di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa ke lapisan-lapisan langit. Di sini timbul satu persoalan, mengapa baginda di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa dan bukannya tempat lain, seumpama Masjid al-Haram? Rahsia pertama yang dapat ditangkap ialah bagi membuktikan kemuliaan Masjid al-Aqsa bagi umat Islam. Namun terdapat rahsia kedua yang dapat disingkap, iaitu sebagai sindiran kepada kaum-kaum sebelum itu yang titik paksi mereka ialah Masjid al-Aqsa.

Sama-sama diketahui bahawa bumi Palestin ialah tempat diutus beberapa Rasul dan Nabi sebelum Rasulullah. Akan tetapi umat setempat telah menentang ajaran yang dibawa oleh para Rasul dan Nabi tersebut. Sudah menjadi ketetapan Allah bahawa sesiapa yang menentang ajaran-Nya dan ajaran Rasul-Nya, maka mereka akan dibalas dengan kehinaan. Maka dengan itulah mereka disindir dan dihina, di mana peristiwa Isra’ dan Mi’raj menjadi kebanggaan kepada umat Muhammad dan bukan kepada diri mereka.

Di sini kita wajib mengambil iktibar bahawa kemuliaan atau kehinaan sesuatu umat bergantung kepada ketaatan atau penentangan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Jika taat, hasilnya ialah kemuliaan. Jika tentang, akibatnya ialah kehinaan. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan.” [al-Mujadalah 58:05]

Dalam perjalanan Isra’ tersebut, Rasulullah bertembung dengan beberapa lelaki yang menggigit bara api di dalam mulut mereka. Baginda bertanya: “(Wahai Jibrail), siapakah mereka?” Jibrail menjawab: “Mereka itu ialah para khatib di dunia yang menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang mereka lupa akan diri mereka sendiri; padahal mereka semua membaca Kitab (al-Qur’an), tidakkah mereka berakal (untuk memikirkannya)?” [Musnad Ahmad, hadis no: 12211 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth. Ia merujuk kepada ayat 44 surah al-Baqarah]

Perkara di atas tidak hanya khusus kepada para khatib kerana dalam al-Qur’an Allah mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [al-Saff 61:2-3]

Mi’raj Ke Langit.

Dalam hadis-hadis yang sahih diterangkan, setiap kali Rasulullah menaiki lapisan langit yang baru, baginda bertemu dengan seorang atau lebih Nabi. Perkataan pertama yang diucapkan ialah “Assalamu’alaikum!”. Sungguh, jika ini adalah ucapan antara sesama Nabi dan Rasul, maka sudah sepantasnya ia juga menjadi ucapan kita sesama umat Islam. Apatah lagi jika kita ingin melayakkan diri memasuki syurga, kerana Rasulullah telah mengingatkan: “Berilah makan dan sebarkanlah salam (dengan mengucap “Assalamu’alaikum”), nescaya kalian akan mewarisi syurga.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 1466]

Lazimkanlah diri mengucap salam kerana ia adalah ucapan pertama yang ditujukan kepada kita setelah layak memasuki syurga nanti: “Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasukan-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salamun ‘alaikum, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya.” [az-Zumar 39:73]

Ketika Mi’raj ke langit, Rasulullah menerima perintah pelaksanaan solat fardhu. Jika dibandingkan dengan ibadah yang lain seperti puasa, zakat dan haji, kesemuanya diperintahkan melalui wahyu ketika baginda berada di bumi. Hanya ibadah solat yang diperintahkan ketika baginda berada di langit. Ini sekali gus menunjukkan betapa istimewa lagi penting ibadah solat fardhu berbanding ibadah-ibadah yang lain.

Mengenai penerimaan perintah solat fardhu, Rasulullah menjelaskan: Maka Allah memfardhukan ke atas umatku lima puluh kali solat (dalam sehari). Akupun kembali dengan membawa kewajipan itu hingga akhirnya aku melintasi Nabi Musa, maka dia bertanya: “Apakah yang difardhukan oleh Allah kepada kamu untuk umatmu?” Aku (Rasulullah) menjawab: “Allah mewajibkan melaksanakan solat lima puluh kali sehari.” Nabi Musa berkata: “Kembalilah menghadap Tuhanmu (dan mintalah pengurangan) kerana sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melakukan hal itu (solat lima puluh kali sehari).” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 349]

Mendengar nasihat Nabi Musa itu, Rasulullah kembali menemui Allah beberapa kali sehingga akhirnya solat fardhu yang pada awalnya diperintahkan lima puluh kali sehari dikurangkan menjadi lima kali sehari sebagaimana yang kita lazim amalkan sekarang ini. Di sini terdapat satu rahsia yang berharga untuk disingkap, iaitu kesediaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mendengar nasihat Nabi Musa ‘alaihis salam. Padahal tak sampai beberapa jam sebelum itu, baginda telah menjadi imam kepada Nabi Musa ketika mereka solat di Masjid al-Aqsa. Seandainya baginda bersikap angkuh sehingga enggan mendengar nasihat Nabi Musa, nescaya kita umat Islam dibebani dengan ibadah solat fardhu sebanyak lima puluh kali sehari.

Sikap kesediaan menerima nasihat, rendah diri untuk mendengarnya dan kelapangan jiwa untuk melaksanakannya merupakan ciri-ciri seorang pemimpin yang berjaya. Dengan sikap ini dia akan dapat membawa manfaat yang besar kepada dirinya dan orang-orang di bawah pimpinannya. Sebaliknya sikap angkuh, memilih “burung Kakak Tua” menjadi penasihat, tinggi diri (ujub) dan kesempitan jiwa hanya akan membawa mudarat kepada dirinya dan orang-orang di bawah pimpinannya.

Ketika sedang di-Mi’raj, Rasulullah berjumpa dengan satu kaum yang mencakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku yang diperbuat dari tembaga. Rasulullah bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Jibrail?” Beliau menjawab: “Mereka adalah orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan maruah mereka (ketika di dunia dahulu).” [Musnad Ahmad, hadis no: 13340 dengan sanad yang dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth] Yang dimaksudkan dengan memakan daging manusia ialah orang yang gemar mengumpat (ghibah), sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” [al-Hujurat 49:12]

Kembali Ke Mekah.

“Orang-orang Quraish bertanya kepadaku tentang perjalanan Isra’ku, mereka bertanya beberapa hal berkenaan Bait al-Maqdis (Masjid al-Aqsa). Maka aku merasa kesulitan yang belum pernah aku alami sebelumnya (kerana tidak ingat secara tepat ciri-ciri Bait al-Maqdis). Lalu Allah mengangkat bagiku (binaan Bait al-Maqdis) sehingga aku dapat melihatnya. Mereka (orang-orang Quraish) tidak bertanya kepadaku sesuatu (berkenaan Bait al-Maqdis) melainkan aku dapat menerangkannya.” [Shahih Muslim, hadis no: 172]

Demikian pengakuan Rasulullah sekembalinya dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Apabila diceritakan pengalaman beliau ketika Isra’ dan Mi’raj, ramai di kalangan orang kafir Kota Mekah yang meragui dan mengingkarinya. Lalu salah seorang di antara mereka yang pernah sampai ke Bait al-Maqdis dan melihat Masjid al-Aqsa ingin menguji sejauh mana kebenaran cerita Rasulullah. Dia bertanya secara terperinci akan ciri-ciri binaan Bait al-Maqdis.

Oleh kerana peristiwa Isra’ dan Mi’raj berlaku agak cepat kepada Rasulullah, baginda mengalami kesukaran untuk mengingati secara tepat ciri-ciri binaan Biat al-Maqdis dan Masjid al-Aqsa. Kesukaran ini segera dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana yang diterangkan oleh baginda dalam hadis di atas.

Dalam rangka kita memperjuangkan agama Islam, sama ada menyebarkannya atau membelanya, kadangkala kita akan menemui cabaran dan kesukaran. Janganlah berputus asa, tetapkanlah keyakinan bahawa Allah akan membantu kita dengan cara-cara yang tidak disangka-sangkakan. Allah berjanji: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” [Muhammad 47:07] Tentu saja janji ini dengan syarat kita telah melakukan segala usaha dan persiapan yang patut kerana Allah juga telah mensyaratkan: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” [al-Ra’d 13:11]

Demikian beberapa rahsia yang sempat saya singkap dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Tentu saja terdapat banyak rahsia lain yang dapat disingkap oleh sesiapa sahaja yang mahu menelusuri hadis-hadis berkenaan peristiwa tersebut. Hanya saja perlu diperhatikan satu syarat yang penting, iaitu pastikan hadis-hadis tersebut berdarjat sahih atau hasan. Ini kerana dalam bab ini terdapat banyak hadis yang lemah dan yang lebih parah kelemahannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan