Rabu, 10 September 2008

BERITA HARIAN 10th September : Adab berbuka tambah pahala puasa

Adab berbuka tambah pahala puasa
SUMBER : buku
"Menyambut Ramadan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW"


RASULULLAH SAW mengajar umatnya adab ketika berbuka puasa antaranya menurut Ibn Umar, Baginda membaca doa yang bermaksud: “Hilanglah segala kehausan, segala urat sudah basah dan semoga tetap beroleh pahala dengan izin Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kita juga boleh berdoa apa saja yang dihajati kerana antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Adab lain yang perlu diberi perhatian ialah menyegerakan berbuka. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka daripada sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana ia termasuk perintah Nabi SAW.

Berbuka dengan rutab, tamar atau air adalah sunnah Nabi. Rutab adalah kurma yang masak dan tidak dikeringkan, ia lembut dan manis. Tamar pula ialah kurma yang dikeringkan seperti banyak terjual di pasaran.

Anas Malik berkata: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hadis di atas tidak menafikan Rasulullah SAW juga menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, jika makanan malam sudah terhidang sunnah menjamah makanan itu dulu. Selepas selesai menikmati hidangan, segera mengerjakan solat Maghrib.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang dihidangkan makan malam ketika iqamat dilaungkan atau solat sudah didirikan, utamakan makan malam. Jangan tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehingga dia selesai dalam keadaan tenang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Digalakkan berbuka secara sederhana dan jangan menjadikan waktu berbuka medan untuk melepas geram kerana sehari tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa melatih jiwa bertakwa supaya sabar.

Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu mereka yang berpuasa terutama orang miskin, anak yatim dan yang ditimpa musibah.

Pahala besar dijanjikan Allah bagi sesiapa yang menjamu makanan kepada orang yang ingin berbuka puasa. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggi gandaan pahalanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa tidak dikurangkan walau sedikit.” (hadis riwayat al-Tirmizi) - buku Menyambut Ramadan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW

Tiada ulasan:

Catat Ulasan