Rabu, 29 Oktober 2008

BOLEHKAH BERAMAL DENGAN HADIS DHA'IF (LEMAH)


SUDAHKAH KITA MENEPATI SYARAT PENGAMALAN HADIS DHA’IF?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Dewasa ini kita sering melihat para penulis-penulis serta penceramah-penceramah agama yang tidak memberi perhatian yang tinggi terhadap ketulenan dalil-dalil yang mereka guna pakai ketika menghasilkan bahan dakwah mereka. Walaupun sesetengah di antara mereka ini memiliki bergulung-gulung ijazah dari universiti yang hebat-hebat dan mendakwa memiliki ijazah yang bersanad sehingga kepada Rasulullah s.a.w. daripada para Syaikh yang dikatakan memiliki maqam yang tinggi, namun mereka sering mencemari hasil kerja mereka dengan hadis-hadis yang sebenarnya tidak bersumber daripada Rasulullah s.a.w.. Apabila mereka ini ditegur pasti mereka akan berkata bahawa para ulamak telah membenarkan penggunaan hadis lemah (dha’if) walaupun pada hakikatnya mereka tidak sekadar mempergunakan hadis-hadis yang dha’if sahaja bahkan mereka turut memaparkan hadis-hadis yang palsu (mawdhu’). Sebenarnya jawapan balas mereka itu hanyalah untuk mengaburi mata orang awam akan kejahilan mereka dalam ilmu hadis. Sikap golongan agama sebegini telah dicela oleh Imam Abu Bakr al-Khatib dalam buku al-Kifayah fi ‘Ilmi al-Riwayah (ms.32):

Mereka merasa lelah dalam menghafal hadis, mencampur-adukkan perawi (mengkaji tentang perawi) menjauhi dalil qath’i (yang pasti) mengikuti apa yang tidak mereka ketahui, mereka lebih suka bersenang-senang dan istirehat, bahkan mengajar di majlis-majlis sedangkan mereka tidak berilmu serta mencela ilmu yang tidak mereka kuasai.

Mereka mengambil hadis dari buku-buku yang dijual, hanya mengeluarkan bayaran untuk mengumpulkan buku-buku itu, tanpa langsung mendengar hadis daripada para perawi, tidak mengetahui tentang semua yang berhubungan dengan perawi. Apabila mereka menghafal hadis maka mereka mencampur-adukkan yang buruk dengan yang baik dan yang benar-benar sahih dengan yang lemah.

Jika ditanyakan kepada mereka tentang sanad atau dalil dari sesuatu hadis mereka menjadi bingung, mengusap janggutnya yang semua itu menunjukkan kebodohan mereka dalam hal ini seperti keldai dalam kandangnya. Apabila mereka bertemu ahli hadis yang mana ilmu ini tidak mereka kuasai, mereka mencela para ahli hadis ini bahkan terus tidak mengendahkan mereka - Penulis nukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if (edisi terjemahan dengan tajuk Hukum Mengamalkan Hadits Dha’if, Pustaka Azzam, Jakarta 2004), ms 48-49.

Bermodalkan jubah serta serban yang dipakainya, akhirnya orang awam menelan bulat-bulat kata-kata mereka tersebut disebabkan status mereka sebagai kelompok yang dianggap intelektual dalam bidang agama dan hasilnya sesuatu amal ibadah mahupun kepercayaan yang tidak bersumber daripada Rasulullah s.a.w. telah dianggap sebagai amalan yang sunnah oleh orang ramai.

Sebelum kita meneruskan perbahasan tentang hukum menggunakan hadis yang statusnya dha’if, sewajarnya kita melihat jalan yang ditempuhi oleh Imam al-Syafi`i r.h dalam menerima atau menolak sesebuah hadis Rasulullah s.a.w.. Semoga dengan pemahaman yang benar dalam syarat-syarat sah dan diterimanya hadis menurut Imam al-Syafi`i ini, ianya akan dapat kita jadikan pedoman dalam berinteraksi dengan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w..

Imam al-Syafi`i r.h. bercerita:

Ada seorang berkata: “Sebutkan kepadaku batas minimum syarat untuk diterima hujah terhadap ahli ilmu sehingga berita atau riwayat orang khusus diterima dan dianggap (benar) bagi mereka."

Aku (Imam al-Syafi`i r.h menjawab : "Riwayat satu orang daripada satu orang, hingga sampai kepada Nabi atau hingga ke bawah (peringkat terakhir / paling bawah). Hujah dan perbahasan dengan riwayat satu orang tidak dapat diterima kecuali jika memenuhi sejumlah kriteria.

Di antara kriteria itu adalah yang meriwayatkan adalah seorang tsiqah (terpercaya) dalam agama, dikenal jujur dalam berbicara, faham dengan apa yang diriwayatkannya, mengetahui maksud lafaz, dan ketika menyampaikan hadis dia menyampaikan sesuai dengan apa yang didengar tepat dengan huruf-hurufnya dan tidak menyampaikannya dengan makna (dengan lafaz dari dia sendiri). Kerana bila dia meriwayatkannya dengan makna (dengan pemahaman dia sendiri), padahal dia tidak mengetahui maksud lafaz, maka mungkin terjadi dia salah memahami sehingga seharusnya haram, malah dia katakan halal. Dan apabila dia menyampaikannya (meriwayatkannya) dengan huruf-hurufnya, maka kesalahfahaman tersebut tidak akan terjadi. Dia harus meriwayatkannya seperti itu baik dengan cara dihafal atau ditulis.

Bila ada ahli penghafal hadis yang lain meriwayatkan hadisnya, maka riwayatnya harus sama dengan riwayatnya itu. Juga dia tidak tergolong seorang yang mudallis (menipu) dengan meriwayatkan dari seorang yang dijumpainya pada satu riwayat yang tidak didengar olehnya, dia harus meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. riwayat yang tidak berbeza dengan apa yang diriwayatkan oleh orang-orang tsiqah daripada Nabi s.a.w.. Begitulah kriteria yang harus dimiliki mulai perawi terendah (paling bawah) hingga paling atas yang sampai kepada Nabi s.a.w.. Kerana masing-masing daripada mereka diakui oleh orang yang mengambil riwayatnya dan oleh orang yang mengambil riwayat daripadanya, sehingga masing-masing daripada mereka harus memenuhi kriteria ini." – rujuk Dr Muhammad A.W. al-‘Aqil, Manhaj al-Imam asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala fi Itsbat al-Aqidah (edisi terjemahan dengantajuk Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i rahimahullah Ta’ala) ms. 89

Sekian kata-kata Imam al-Syafi`i rahimahullah yang darinya boleh kita membuat satu kesimpulan bahawa beliau menerima hadis dan mengikutinya dengan syarat hadis itu sah daripada Rasulullah s.a.w.. Kriteria yang telah ditetapkan oleh Imam al-Syafi`i r.h ini adalah sama dengan kaedah yang telah dibuat oleh para ulamak hadis dalam bidang musthalah iaitu:

1) Sanadnya tersambung (tidak putus / muttashil)

2) Para Perawinya adil

3) Perawinya dhabit (tepat dan sempurna hafalannya)

4) Selamat dari syadz. Yang dimaksudkan syadz adalah riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat orang lain yang lebih tsiqah darinya.

5) Selamat dari 'illat atau cacat yang membuatnya cela.

Syaikh Ahmad Muhammad Syakir r.h mengomentari ucapan Imam al-Syafi`i r.h di atas sebagai berikut:

"Siapa sahaja yang memahami ucapan Imam al-Syafi`i r.h pada bab ini, pasti dia akan mendapati, bahwa Imam al-Syafi`i r.h telah merangkum kaedah-kaedah yang sahih tentang ilmu al-hadis (al-Musthalah), dan bahawa dialah yang pertama kali menjelaskan secara jelas tentangnya, dia juga sebagai pembela hadis serta orang yang berhujah tentang wajibnya mengamalkan sunnah. Imam al-Syafi`i r.h juga memberi bantahan terhadap orang-orang yang menentang dan menolak hadis. Benarlah penduduk Makkah yang menggelari Imam al-Syafi`i r.h dengan gelar Nashir al-Sunnah (pembela sunnah), semoga Allah S.W.T. meredhainya." – rujuk Dr Muhammad AW al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, ms. 89

Demikian serba ringkas tentang mazhab Imam al-Syafi`i r.h dalam mengesahkan dan menerima sesebuah hadis yang boleh kita semua jadikan sebagai pedoman dan inilah manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang sebenar. Ternyata ianya berbeza dengan sikap sesetengah ilmuwan Islam tempatan yang mengaku kuat berpegang kepada mazhab Syafi’i, tetapi mengambil sikap acuh tak acuh dalam meriwayatkan sesuatu hadis.

Apakah itu hadis Dha’if? Hadis lemah atau dha’if adalah hadis yang tidak menepati persyaratan hadis sahih atau hasan. Kelemahan hadis tersebut boleh disebabkan oleh dua perkara yakni:

a) Terputus atau gugurnya sanad (mata rantai perawi hadis)

b) Disebabkan perawi (mereka yang mengkhabarkan hadis tersebut) dalam sanad hadis itu terdapat celaan terhadapnya mahupun kelemahan peribadi.

Tanggapan bahawa dibenarkan penggunaan hadis-hadis dha’if muncul dari pendapat sesetengah para ulamak yang membenarkan penggunaannya dalam bab fadhaail al-amal (keutamaan melakukan sesuatu amal) atau targhib (anjuran untuk melakukan sesuatu amalan) dan tarhib (amaran terhadap sesuatu amalan). Mereka sering berhujah dengan kata-kata Imam Ahmad r.h seperti berikut:

Apabila kami meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. tentang halal dan haram dan sunnah-sunnah hukum-hukum, nescaya kami keraskan yakni kami periksa dengan ketat sanad-sanadnya. Dan apabila kami meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. tentang fadhaail al-amal yang tidak menyangkut masalah hukum dan tidak disandarkan kepada baginda s.a.w., nescaya kami permudahkan (pemeriksaan) sanad-sanadnya. – Diriwayatkan oleh Imam al-Khatib al-Baghdadi di dalam Kifaayah fi Ilmir Riwayah, ms. 134.

Sebenarnya maksud Imam Ahmad di atas tidak menyokong hujah mereka kerana bagi beliau pembahagian hadis hanyalah menjadi dua iaitu sahih dan dha’if. Hadis dh’aif pula terpecah kepada dua kategori iaitu:

a) Hadis dha’if yang tertolak dan tidak dipakai sebagai hujah.

b) Hadis dhai’if yang boleh dijadikan hujah.

Hadis dha’if jenis kedua ini menurut istilah Imam al-Tirmidzi r.h dikenali sebagai hadis Hasan yang temasuk dalam kategori hadis yang sabit (thabithah). Hadis Hasan ialah hadis yang sanadnya bersambung dari permulaan sampai akhir, diceritakan oleh orang-orang yang adil, kurang dhabit, serta tidak ada syadz dan ‘illat yang berat di dalamnya. Ini bermakna semenjak zaman Imam al-Tirmidzi hadis dibahagikan menjadi tiga jenis iaitu sahih, hasan dan dha’if. Oleh itu maksud sebenar Imam Ahmad r.h dengan permudahkan pemeriksaan sanad (tasaahul) dalam perkara berkaitan fadhaail al-amal adalah beramal dengan hadis yang berstatus Hasan. Syaikh Ahmad Muhammad Syakir r.h. ketika mensyarah buku al-Ba’iistul-Hasist Syarah Ikhtisar Ulumil-Hadith karya Ibnu Kathir r.h (jilid 1, ms. 279) telah berkata:

Sesungguhnya maksud ucapan mereka (termasuk Imam Ahmad, ‘Abdul Rahman bin Mahdi dan ‘Abdullah bin Mubarak) yang lebih tepat –wallahu a’lam- bahawa mempermudahkan maknanya pengambilan hadis hasan yang tidak sampai kedudukan kepada hadis sahih.

Selanjutnya Ibnu Qayyim r.h dalam kitabnya I’lam al-Mauqi’in ketika memaparkan tentang dasar hukum keempat berkata tentang pandangan Imam Ahmad:

Dasar hukum keempat: berpedoman kepada hadis mursal dan dha’if jika tidak ada yang membantahnya, beliaulah (iaitu Imam Ahmad) yang mengutamakan hadis mursal dan dha’if di atas qiyas. Hadis dha’if yang dimaksudkannya bukanlah hadis yang bathil, munkar yang salah satu perawinya tertuduh sebagai pemalsu hadis sehingga menyebabkan larangan pengamalan hadis ini. Tetapi dha’if menurut beliau adalah sebahagian dari sahih dan sebahagian dari hadis hasan, kerana beliau tidak membahagi hadis kepada sahih, hasan dan dha’if, tetapi beliau membahagi hadis kepada sahih dan dha’if. – Rujuk I’lam al-Mauqi’in, jilid 1, ms. 31. Penulis nukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if, ms 125.

Bagi mereka yang suka menyebarkan hadis dha’if, mereka beranggapan telah terjadi ijmak (kesepakatan) di kalangan para ulamak tentang sahnya penggunaan hadis dha’if dalam perkara fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib sedangkan realitinya telah terjadi khilaf (perbezaan pendapat) di antara para ulamak sebagaimana diterangkan secara meluas di dalam kitab-kitab musthalah. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani r.h:

Nukilan ini (terjadinya ijmak tentang dibenarkan penggunaan hadis dha’if dalam bab fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib) perlu dipersoalkan kerana perbezaan pendapat dalam masalah ini tetap ada di mana sebahagian para peneliti hadis berpihak kepada pendapat tidak dibolehkan menggunakan hadis dha’if secara mutlak dalam masalah hukum atau fadhaail. Syaikh Jamaluddin al-Qosimi r.h dalam Qowa’id at-Tahdits (m.s. 94) berkata:

Dikisahkan oleh Ibnu Sayyid al-Nas dalam Uyun al-Atsar daripada Yahya bin Ma’in dan dinisbatkan kepada Abu Bakar bin al-‘Arabi dalam Fath al-Mughits, sebenarnya ini juga pendapat Bukhari dan Muslim… juga pendapat Ibnu Hazm.
- Tamamul Minnah fit-Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah, (edisi terjemahan dengan tajuk Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq) ms. 27

Inilah juga pegangan Imam al-Syafi’i r.h yang tekenal dengan kata-katanya seperti di bawah:

"Apabila hadis itu sahih, maka ia adalah madzhabku." – rujuk Muhammad Nashiruddin al-Albani, Shifatu Shalaati an-Nabiyyi Shallallahu 'alaihi wasallam min at-Takbiiri at-Tasliimi Ka-annaka Taraaha, (edisi terjemahan dengan tajuk Sifat Shalat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) ms. 58

“Setiap apa yang aku katakan, sedangkan daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terdapat hadis sahih yang bertentangan dengan perkataanku, maka hadis nabi adalah lebih utama. Oleh itu, janganlah kamu mengikutiku (bertaklid padaku)." – rujuk Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, ms. 59

“Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati”. – rujuk Ibn Qayyim al-Jauziyyah, 'Ilam al-Muwaqqi'iin, jilid 2 ms. 263

Selanjutnya apa yang sebenarnya dimaksud oleh sebahagian para ulamak bahwa boleh beramal dengan hadis-hadis dha’if untuk fadhaail al-amal atau tarhib dan targhib ialah apabila telah wujudnya dalil yang sahih secara tafshil (terperinci) yang menetapkan tentang sesuatu amal, baik wajib, sunat, haram atau makruh, kemudian datang hadis-hadis dha'if yang menerangkan tentang keutamaannya (fadhaail al-amal) atau tarhib dan targhibnya dengan syarat hadis-hadis tersebut tidak terlalu dha'if atau maudhu' (palsu) maka inilah yang dimaksud oleh sebahagian ulamak: boleh beramal dengan hadis-hadis dha'if untuk fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib. Satu lagi syaratnya yang perlu dilihat adalah hadis dh’aif tersebut masih membicarakan hukum asli tanpa adanya penambahan atau menetapkan batasan baru bagi amalan tersebut. Sebagai contohnya amalan berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis atau pada bulan-bulan haram telah ditetapkan menerusi dalil yang sah dari hadis-hadis Nabi s.a.w.. Setelah itu terdapat hadis-hadis dha’if yang ringan berbentuk fadhaail al-amal atau tarhib dan targhib yang tidak berlebihan, maka sesetengah ulamak menbenarkan beramal dengan hadis tersebut. Berbeza pula sekiranya melakukan ibadah tertentu pada malam Nisfu Sya’ban yang tidak memiliki sebarang sandaran dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah, maka dalam situasi sebegini hadis yang ringan kedha’ifannya pada dasarnya tidak memiliki sebarang nilai. Apa pun jua bagi para ulamak yang membolehkan pengamalan hadis dha’if yang ringan dalam bab fadhaail al-amal atau tarhib dan targhib telah menetapkan beberapa persyaratan yang sangat berat dan ketat. Menurut Syaikh Abu ‘Abdullah Sayid bin ‘Abbas al-Jalimi:

Para peneliti dalam disiplin ilmu ini menyatakan larangan mengamalkan hadis dha’if baik dalam hukum mahupun bab fadhaail al-amal (keutamaan ibadah). Golongan yang membenarkan mengamalkan hadis dalam keutamaan ibadah sekalipin hadis dha’if (selama bukan hadis palsu atau sangat lemah) telah menetapkan syarat-syarat penting yang harus dipenuhi dalam mengamalkan hadis tersebut. - Penulis nukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if , ms 18.

Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

Syarat pertama: Penggunaan hadis tersebut khusus untuk perkara berkaitan fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib. Penggunaan hadis dha’if dalam hal-hal berkaitan akidah dan penetapan hukum-hakam (seperti mewajibkan mahupun menetapkan hukum sunat terhadap sesuatu amal) adalah sama sekali tidak dibenarkan. Menetapkan hukum ke atas sesuatu amalan mestilah berlandaskan nas yang sabit. Sekiranya tidak seseorang itu berkemungkinan tinggi akan terjebak ke dalam perbuatan mencipta syari’at yang baru. Imam al-Syafi’i r.h telah mengingatkan kita dengan kata-katanya yang masyhur:

“Sesiapa yang menganggap baik (apa yang diciptakan dalam agama tanpa nas dari al-Qur’an dan al-Sunnah), dia telah mencipta syarak, sesiapa yang mencipta syarak, maka dia telah kafir.” - Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i, al-Risalah, ms. 507

Syarat kedua: Hadis yang dipergunakan tersebut tidak terlalu dha'if. Hadis-hadis maudhu' (palsu), munkar (hadis yg diriwayatkan perawi yang dha’if bertentangan dengan riwayat dari perawi yang thiqah) dan hadis-hadis La ashla lahu (yang tidak diketahui asal-usulnya) sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya.

Syarat ketiga: Hadis tersebut tidak boleh diyakini sebagai sabda Nabi s.a.w.. Justeru itu ketika mempergunakan hadis tersebut tidak boleh menggunakan lafaz-lafaz yang menetapkan secara pasti (jazm) bahawa hadis tersebut berasal daripada Rasulullah s.a.w. seperti: 'Nabi s.a.w. telah bersabda' atau 'Baginda s.a.w. telah mengerjakan sesuatu' atau 'Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan dan melarang' dan lain-lain yang menunjukkan seolah-olah baginda s.a.w. benar-benar bersabda demikian. Tetapi wajib menggunakan lafadz tamridh (yaitu lafaz yang tidak menunjukkan sebagai suatu ketetapan). Seperti: 'Telah diriwayatkan dari Nabi s.a.w.’ dan yang serupa dengannya.

Syarat keempat: Hadis tersebut harus mempunyai dasar yang umum dari hadis yang sabit. Ini bermakna bahawa hadis dha’if yang dipergunakan tersebut tidak membentuk satu amalan yang baru yang dikategorikan sebagai bidaah.

Syarat kelima: Hadis tersebut tidak boleh disebarkan kepada orang ramai ataupun mengajak orang ramai untuk beramal dengan hadis tersebut. Al-Hafidz Imam Ibnu Hajar r.h dalam Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab (ms. 23-26) telah berkata:

“Bahawa para ahli ilmu telah mempermudah-mudahkan dalam membawakan hadis-hadis tentang fadhaail al-amal. Walaupun ada diantaranya lemah (dha’if) selama tidak palsu (mawdhu’) Sepatutnya perkara itu diberikan syarat iaitu orang yang beramal dengannya, meyakini bahawa hadis itu lemah dan tidak memasyhurkannya agar tidak ada orang yang melaksanakan hadis dha’if kemudian mengsyariatkannya atau diduga oleh sebahagian orang-orang yang bodoh bahawa hadis tersebut sahih (itu merupakan sunnah yang benar).” - Dinukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if, ms 80.

Syarat keenam: Wajib menperjelaskan status hadis tersebut sebagai dha'if ketika menukilnya dalam penulisan mahupun menyampaikan secara lisan.

Namun begitu sekiranya kita meneliti syarat-syarat di atas, sewajarnya kita bertanya kepada golongan yang gemar untuk menyebarkan hadis-hadis dha’if bersandarkan dakwaan bahawa ianya dibenarkan oleh ulamak-ulamak seperti al-Hafidz Ibnu Hajar, Imam al-Nawawi dan al-Hafidz al-Sakhawi; adakah kamu telah memperhatikan serta mempergunakan syarat-syarat tersebut dengan penuh keikhlasan ketika meriwayatkan hadis-hadis tersebut? Penulis yakin ramai di antara mereka yang telah membelakangi syarat-syarat tersebut apatah lagi proses untuk membezakan hadis yang darjatnya sahih, hasan, dha’if yang ringan, dha’if jiddan (sangat lemah), mawdhu’, munkar dan sebagainya seperti yang terdapat dalam ilmu hadis (al-Musthalah) hanya mampu dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang hadis. Menyedari hakikat ini adalah lebih baik bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk memberikan keutamaan yang tinggi hanya untuk beramal dengan hadis-hadis yang sabit (iaitu sahih dan hasan) daripada baginda s.a.w..

Tindakan menyebar hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tanpa terlebih dahulu meneliti kesahihannya merupakan satu jenayah ilmiah dan merupakan perbuatan yang tercela. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan segala sesuatu yang dia dengar. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 5

Celaan tersebut adalah disebabkan setiap perkhabaran yang sampai kepada seseorang maka terdapat kemungkinan ianya perkara yang benar ataupun dusta. Oleh itu sekiranya seseorang itu menyebarkan apa jua perkara yang diterimanya tanpa terlebih dahulu meneliti kesahihannya, maka ini boleh mengakibatkan dirinya terjebak menjadi penyebar perkara yang dusta. Lantaran itu Rasulullah s.a.w. telah mencela perbuatan tersebut. Seharusnya kita sedari bahawa para sahabat r.a amat berhati-hati ketika menyampaikan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.. Hal ini adalah sepertimana diriwayatkan di bawah:

Berkata Abdurrahman bin Abi Laila: Kami Pernah berkata kepada Zaid bin Arqam: Ceritakanlah kepada kami (hadis-hadis) daripada Rasulullah s.a.w.. Beliau menjawab: Kami telah tua dan lupa, sedangkan menceritakan hadis dariupada Rasulullah sangat berat. – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, no: 25

Satu perkara yang sewajarnya kita yakini adalah perbahasan yang wujud dalam hadis-hadis yang sahih dan hassan telah mencakupi seluruh bidang ilmu dalam Islam termasuk perkara berkaitan fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib. Dr. Asyraf bin Sa’id berkata:

Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Muslim bahawa hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh perawai yang terpercaya atau para ahli ilmu sangat banyak jumlahnya sehingga tidak perlu meriwayatkan lagi dari perawi yang lemah dan cacat. Begitu juga yang dikatakan oleh Ibnu Hibban:

Kami tidak berdasarkan kepada dalil yang tidah sah dari segi periwayatan dalam buku kami kerana dalil-dalil sahih yang ada sudah cukup bagi kami. - Dinukil dari buku Dr Asyraf bin Sa’id, Hukmu al-‘Amal bi al-Hadits adh-Dha’if, ms 108.


Sesungguhnya pengamalan hadis dha’if ini membuka pintu kerosakan. Pada mulanya mungkin seseorang itu membataskan diri dalam perkara berkaitan fadhaail al-amal atau targhib dan tarhib sahaja. Namun lambat laun penggunaan hadis dha’if ini akan menular pula dalam perkara berkaitan dengan akidah, tauhid dan hukum-hukum lain sebagaimana yang terjadi sekarang. Di antara kerosakan yang fatal dalam sikap terlalu mengambil mudah dalam pengamalan hadis dha’if ini adalah timbulnya amalan bid’ah dalam masyarakat terutamanya hadis-hadis dha’if yang mengkhususkan amalan tertentu, dikerjakan pada hari, tatacara, tempat, keadaan ataupun jumlah yang tertentu tanpa disokong oleh riwayat yang sah daripada Rasulullah s.a.w..

Jelas bagi kita bahawa periwayatan hadis-hadis Rasulullah bukanlah satu perkara yang boleh di ambil mudah. Kita seharusnya berusaha untuk meneliti statusnya terlebih dahulu. Sekiranya tidak mampu untuk berbuat demikian maka hendaklah kita merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang hadis. Sewajarnya kita tidak menyebarkan sesuatu hadis hanya bersandarkan persangkaan di dalam diri masing-masing bahawa ianya hadis yang sabit. Sesungguhnya sikap hanya bergantung kepada persangkaan telah dicela oleh Allah S.W.T. melalui firman-Nya:

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. – Yunus (10) : 36

Justeru itu satu tindakan yang bersepadu oleh ilmuwan Islam di Malaysia perlu di ambil demi untuk membersihkan hadis-hadis dha’if dan mawdhu’ yang telah disebarkan di tengah-tengah masyarakat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan salah satu agenda utama gerakan Tajdid di Malaysia dan ianya adalah satu usaha yang murni kerana terdapat ancaman yang keras daripada Rasulullah s.a.w bagi mereka yang berdusta di atas nama baginda. Menurut Imam al-Thahawi r.h di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid 1, ms. 176):

Barangsiapa yang menceritakan (hadis) dari Rasulullah s.a.w. atas dasar zhan / persangkaan, bererti dia telah menceritakan (hadis) dari baginda s.a.w. dengan tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang menceritakan (hadis) dari baginda s.a.w. dengan tanpa haq, bererti dia telah menceritakan (hadis) dari baginda s.a.w. dengan cara yang batil. Dan orang yang telah menceritakan (hadis) dari baginda s.a.w. dengan cara yang batil, nescaya dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w.:

Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no: 107

3 ulasan:

  1. Salam, boleh tak bagi contoh2 hadis dhoif atau link (utk rujuk)- pernah tengok ada buku hadis tentang hadis dhoif ni kat bookstore, tapi tak beli pun..

    BalasPadam
  2. Assalaamu'alaikum

    Cuba check kat www.al-ahkam.net/home/index.php

    rasanya kat situ banyak contoh-contoh hadis dha'if

    BalasPadam
  3. Assalaamu'alaikum

    Ok akob bubu satu contoh hadis dha'if tentang penggunaan tasbih

    Hasyim (Ibn Said al-Kufi) telah menceritakan kepada kami, diceritakan pula kepadanya oleh Kinanah maula Sofiyyah katanya, Aku telah mendengar Sofiyyah r.a berkata:

    دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ يَدَيَّ أَرْبَعَةُ آلاَفِ نَوَاةٍ أُسَبِّحُ بِهَا

    Maksudnya:
    "Rasulullah s.a.w pernah masuk ke rumahku, sedangkan dihadapanku ada empat ribu biji-bijian yang aku pakai untuk (menghitung) bacaan tasbihku menggunakannya." - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi , Kitab al-Da’waat, hadis no: 3477.

    Imam al-Tirmizi r.h sendiri telah menunjukkan kelemahan hadis ini kerana dalam sanadnya ada Hasyim bin Sa'id al-Kufi. Menurut beliau:

    هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ لاَ نَعْرِفُهُ مِنْ حَدِيثِ صَفِيَّةَ إِلاَّ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ مِنْ حَدِيثِ هَاشِمِ بْنِ سَعِيدٍ الْكُوفِيِّ وَلَيْسَ إِسْنَادُهُ بِمَعْرُوفٍ

    Maksudnya:
    "Hadis ini gharib (asing). Kami tidak mengetahui hadis daripada Sofiyyah melalui jalan sanad daripada Hashim bin Said al-Kufi dan tidak ada sanad yang dikenali darinya."

    Selain itu, Kinanah yang juga terdapat dalam sanad hadis di atas adalah seorang yang majhul (tidak dikenali).

    Perbahasan tentang kelemahan sanad hadis tersebut diperbicarakan oleh ulamak hadis seperti di atas ini dan apa sebab hadis tersebut dilemahkan juga diberikan.

    BalasPadam