Khamis, 6 November 2008

MARI BERTAUBAT


KENAPA TIDAK MAHU BERTAUBAT?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Pepatah Melayu ada menyatakan: “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.” Acapkali di dalam hidup seseorang insan dia akan menempuh situasi penyesalan setelah segala-galanya terlambat dan tidak mampu dirubah lagi. Namun begitu apa yang sepatutnya kita semua fikirkan secara mendalam adalah penyesalan pada hari penghitungan ketika berada di Padang Mahsyar di mana segala amalan semasa kita hidup di dunia akan dihisab dan kemudian ditentukan sama ada kita akan ke syurga mahupun neraka. Ya, apabila ditunjukkan kepada seseorang hamba ALLAH segala keburukan ketika di dunia dahlu, maka akan timbul penyesalan kerana takutkan balasan yang pedih di neraka, maka terdetik di hatinya agar dilewatkan ajalnya ataupun dia dihidupkan semula ke dunia supaya dapat dia bertaubat atas segala kesilapannya dahulu. Namun sayang seribu kali sayang, penyesalannya itu hanya sia-sia kerana ketika di Padang Mahsyar pintu taubat telah tertutup rapat. Maka akan timbul dibenak fikirannya alangkah baik sekiranya aku di dunia dahulu tidak melakukan segala dosa-dosa tersebut. Namun begitu tiada apa lagi yang mampu hendak dilakukan melainkan menanti sahaja hukuman serta azab ALLAH S.W.T. atas kesilapannya yang lalu. Senario sedemikian rupa telah dirakamkan di dalam al-Qur’an melalui firman-NYA:

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang KAMI berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai TUHANku! Alangkah baiknya kalau ENGKAU lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH Amat Mendalam Pengetahuan-NYA mengenai segala yang kamu kerjakan. – al-Munaafiquun [63] : 10-11

Bagi seseorang manusia yang banyak melakukan dosa seboleh-bolehnya pasti akan meminta untuk dilewatkan ajalnya walaupun hanya seketika demi untuk bertaubat kepada ALLAH S.W.T. dan mengerjakan amal-amal soleh tatkala hadirnya Malaikat Maut untuk mencabut nyawanya. Namun begitu permintaan tersebut tentunya akan ditempelak oleh Malaikat Maut kerana waktu datangnya ajal itu telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T. tanpa awal mahupun lewat walaupun sesaat. Seorang ulamak tafsir ketika mengulas firman ALLAH S.W.T. di atas telah berkata:

Manusia yang lalai itu apabila sudah tiba saat kematiannya lalu berkata kepada Malaikat Maut: Hai Malaikat Maut, sudilah kiranya tuan lewatkan kematianku ini sebentar sahaja, sehari pun jadilah, agar saya berkesempatan untuk bertaubat kepada ALLAH pada hari itu serta beramal soleh untuk kematianku ini.

Jawab Malaikat Maut: Itu tidak mungkin terjadi, sebab hari-hari yang lalu sudah kau buang sia-sia sahaja. Jadi tidak boleh ditambah sekalipun hanya sehari.

Katanya pula: Jika demikian sesaat sahaja pun cukuplah.

Jawab Malaikat Maut: Dahulu sudah berjuta-juta saat yang kau sia-siakan. Jadi sesaat pun tidak dapat dipenuhi permohonan itu.

Setelah itu, lalu ditutup pintu taubat untuknya. Kemudan nafasnya tercungap-cungap beberapa kali sehingga akhirnya hilanglah nafasnya dan meninggal dunia dalam keadaan penyesalan. – Dinukil dari kitab Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mukmin
– Ringkasan Dari Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi al-Dimasyqi [tajuk asalnya adalah Mau’izah al-Mukminin min Ihya’ ‘Uluum al-Deen], Victory Agencie, Kuala Lumpur, 2005, jilid 2, ms. 415.

Apatah lagi sekiranya orang yang ingkar kepada perintah ALLAH tersebut ketika hidupnya begitu sombong terhadap peringatan yang diberikan kepadanya. Kononnya kehidupan yang dilalui dengan berpakaian mendedah aurat, berpacaran bersama pasangan yang bukan muhrim, minum arak, seks bebas, menjadi pengunjung tetap di kelab-kelab malam dan lain-lain lagi merupakan kehidupan yang sesuai pada zaman serba moden lagi canggih ini. Golongan yang cuba membawanya ke arah kebenaran ditempelak sebagai golongan yang jumud lagi ketinggalan zaman dan mengganggu hak asasinya untuk hidup sebagaimana yang dirasakan sesuai bagi dirinya. Pasti penyesalannya ketika di hari penghitungan akan lebih mencengkam jiwanya. Pasti terdetik di benak hatinya alangkah baik sekiranya aku dahulu menuruti nasihat mereka yang ingin mengembalikan aku ke jalan yang lurus serta diredhai ALLAH S.W.T.. Tentu juga terdetik di dalam hatinya alangkah baik sekiranya aku diberi kesempatan untuk kembali ke dunia agar aku boleh menjadi insan yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Namun segala-galanya sudah terlewat. Kesempatan yang ALLAH S.W.T telah berikan kepadanya telah dipersiakan dan kini dia sudah tidak memiliki jalan untuk berpatah ke belakang melainkan meletakkan untuk nasibnya di atas kehendak ALLAH S.W.T.. Senario sebegini juga telah digambarkan oleh ALLAH S.W.T. melalui firman-NYA:

"Atau berkata semasa dia melihat azab: “Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!” (Kata-kata yang tersebut ditolak oleh ALLAH dengan firman-NYA): "Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjuk-KU (melalui Rasul-KU), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!" Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap ALLAH (dan yang menyatakan kesedihan itu) - muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur? – al-Zumar [39] : 58-60

Namun begitu berita baik bagi mereka yang sedang menatap risalah ini kerana kita semua masih bernyawa. Pintu taubat sedang dibuka seluas-luasnya untuk kita semua. Ini bermakna kita masih berpeluang untuk menghindari perasaan penyesalan yang begitu mengerikan seperti yang tergambar di dalam kedua-dua ayat al-Qur’an di atas. Oleh itu ayuh kita bersegera untuk bertaubat atas segala kesalahan kita yang lalu. Namun begitu apakah makna taubat yang sebenar dan adakah taubat bagi mereka yang telah terlalu jauh terperangkap di alam maksiat dan kesesatan itu masih diterima oleh ALLAH S.W.T.? Insya-ALLAH melalui risalah yang ringkas ini penulis akan cuba untuk menjawab persoalan tersebut.

APA ITU TAUBAT?

Taubat dari segi bahasa ertinya kembali. Menurut syarak pula ianya bermaksud kembali kepada jalan yang benar dari jalan yang sesat. Ianya bukan sekadar permohonan maaf tetapi ianya disertai penyesalan terhadap sesuatu kesalahan lalu berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Taubat yang diterima oleh ALLAH S.W.T hanyalah taubat seorang Muslim. Adapun taubat bagi orang kafir hanyalah dengan baginya meninggalkan agama asalnya lalu memeluk Islam. Firman ALLAH S.W.T.:

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, KAMI telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. – al-Nisaa’ [4] :18

Taubat itu memilki tiga komponen yang penting iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan.

1) Ilmu merupakan pengetahuan terhadap perkara-perkara yang distilahkan sebagai maksiat serta menyedari akan bahayanya kesesatan tersebut terhadap diri seseorang. Keinginan untuk bertaubat hanya akan terdetik apabila timbul kesedaran bahawa perilakuknya tersebut adalah salah, boleh menghancurkan hidupnya, meragut kebahagiaan di akhirat kelak, membunuh jiwanya serta menjadi punca renggangnya hubungan di antara ALLAH S.W.T. dengan hambanya sehingga menyebabkan seseorang itu terhalang dari mencapai rahmat-NYA di dunia mahupun di akhirat. Hal ini akan menjadi lebih mudah sekiranya seseorang itu memiliki ilmu yang benar bersumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah dan tentu sekali golongan yang paling mudah bertaubat adalah mereka yang berilmu terutamanya daripada kalangan para ulamak.

2) Setelah kita menyedari akan kesalahan yang kita lakukan itu sebagai perbuatan yang menyanggahi perintah ALLAH dan Rasul-NYA maka akan timbul keadaan penyesalan di dalam jiwa seseorang sehingga timbul keazaman untuk menjauhi dari perbuatan tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda:

النَّدَمُ تَوْبَةٌ.
Penyesalan itu adalah taubat. - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4242.


3) Lantaran itu akan timbul komponen yang ketiga iaitu perbuatan untuk meninggalkan perlakuan yang telah kita bertaubat darinya serta keinginan yang mendalam untuk tidak mengulanginya kembali pada masa yang akan datang. Keinginan untuk bertaubat itu akan timbul dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana ALLAH S.W.T. dan bukan kerana faktor-faktor selain untuk mencapai keredhaan-NYA. Penyesalan yang terbit dalam jiwa seseorang akan menimbulkan semangat untuk dia mengerjakan amal-amal yang soleh demi untuk menebus kesalahan-kesalahannya yang lampau. Firman ALLAH S.W.T:

Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama ALLAH, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, ALLAH akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. – al-Furqaan [25] : 68-70

Rasulullah s.a.w. pula bersabda:


وأتْبعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَة تَمْحُهَا
Ikutilah keburukan itu dengan kebaikan maka kebaikan akan menghilangkan keburukan tadi – Hadis riwayat Imam al-Nawawi di dalam al-Adzkar, hadis no: 1084 dam Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 115.

Menurut Imam al-Nawawi r.h:

Taubat itu wajib dari tiap-tiap dosa. Sekiranya maksiat [dosa] itu hanya di antara dia dengan ALLAH, tiada berhubungan dengan hak manusia maka ada tiga syarat taubat:

1) Harus menghentikan maksiat

2) Harus menyesal atas perbuatan yang telah terlanjur dilakukannya

3) Niat bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan itu kembali
Dan apabila dosa itu ada hubungan dengan hak manusia maka taubatnya ditambah syarat yang ke empat iaitu:

4) Menyelesaikan urusannya dengan orang yang berhak dengan minta maaf atau halalnya atau mengembalikan apa yang harus dikembalikan

- Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Terjamah Riadhus Shalihin, [Victory Agencie, 1995, Kuala Lumpur], jilid 1, ms. 29

Ada di kalangan ulamak yang telah menggariskan beberapa syarat lain untuk menjamin kesempurnaan taubat seseorang. Di antaranya adalah seperti berikut:

1) Hendaklah dia meninggalkan dosa tersebut ikhlas semata-mata kerana ALLAH.

2) Hendaklah dia merasa bahawa dosa-dosa tersebut memberi kesan yang buruk serta merbahaya kepada pelakunya.

3) Hendaklah seseorang itu bersegera untuk bertaubat apabila menyedari kesalahan yang dilakukan kerana menunda taubat juga merupakan satu bentuk dosa.

4) Hendaklah dia merasa khuatir bahawa taubatnya tersebut memiliki kekurangan dan kemungkinan tidak akan diterima oleh ALLAH S.W.T.. Sifat ini pasti akan menyebabkan seseorang itu bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan taubatnya agar diterima oleh ALLAH S.W.T.

5) Hendaklah dia menyempurnakan hak-hak ALLAH yang dia tinggalkan pada masa lampau. Contohnya sekiranya dia tidak menunaikan zakat maka hendaklah ditunaikannya kerana ianya menjadi hak golongan fakir dan miskin.

6) Hendaklah dia meninggalkan serta menjauhi tempat-tempat maksiat demi untuk mengelakkannya dari mengulangi perbuatan maksiat tersebut.

7) Hendaklah dia menjauhkan diri daripada orang-orang yang mendorongnya untuk melakukan maksiat.

8) Hendaklah dia memusnahkan segala barang-barang haram miliknya yang boleh mendorongnya untuk melakukan dosa-dosa.


9) Hendaklah dia memilih kawan-kawan yang boleh mendorongnya mengerjakan amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada ALLAH S.W.T.. Hendaklah dia rajin menghadiri kelas-kelas agama serta mendekatkan diri dengan para ulamak.

10) Hendaklah dia membersihkan tubuhnya yang telah tumbuh dari hasil pendapatan yang haram dengan bersungguh-sungguh mengerjakan amal-amal yang soleh

11) Hendaklah taubat tersebut dilakukan sebelum ajal hampir tiba dan sebelum matahari terbit di sebelah barat. Ini adalah kerana pintu taubat akan ditutup rapat di dalam dua keadaan yang disebutkan di atas. Dalilnya adalah seperti berikut:

Rasulullah s.a.w. bersabda:


مَنْ تَابَ قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ
Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka ALLAH menerima taubat dan memaafkannya. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2703

Nabi s.a.w. bersabda:


إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Sesungguhnya ALLAH tetap menerima taubat seseorang hamba-NYA selama ruh [nyawanya] belum sampai di tenggorokan [hampir mati]. Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no: 3460

- Diringkaskan dari kitab Uriidu An Atuuba Wa Lakin karya Syaikh Muhammad bin Shalih al-Munajjid Edisi terjemahan dengan tajuk Taubat, Jalan Pintas Menebus Dosa, At-Tibyan, Solo 2005, ms. 22-31.

Taubat yang sempurna dikenali dengan nama Taubat Nasuha. Firman ALLAH S.W.T:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada ALLAH dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari ALLAH tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai TUHAN kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". - Al-Tahriim [66] : 8

Maksud perkataan Nasuha dalam firman-NYA di atas adalah suatu bentuk taubat dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh kerana mengharapkan keredhaan ALLAH S.W.T dan jauh dari tujuan-tujuan yang lain. Taubat jenis ini akan menyebab seseorang itu dimasukkan ke syurga.

KEWAJIPAN BERTAUBAT

Setiap manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan adalah mereka yang segera bertaubat serta memohon keampunan ALLAH S.W.T.. Rasulullah s.a.w. bersabda:


كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ.
Setiap anak Adam [manusia] berbuat kesalahan dan sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang bertaubat. – Hadis riwayat Imam Tirmidzi, no: 2423.

Perasaan untuk bersegera bertaubat timbul kerana wujud keyakinan di dalam diri masing-masing bahawa dosa-dosa yang telah dilakukannya itu adalah berbentuk kedurhakaan kepada ALLAH S.W.T, ianya menjauhkan dirinya daripada ALLAH dan ianya bakal mengundang azab yang pedih. Oleh itu ALLAH S.W.T amat menganjurkan hamba-hmaba-NYA untuk memohon keampunan daripada-NYA serta bertaubat. Firman-NYA:

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh ALLAH hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima ALLAH taubatnya; dan (ingatlah) ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. – al-Nisaa’ [4] : 17

Hukum taubat adalah Fardu ‘Ain iaitu menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Dalilnya adalah firman ALLAH S.W.T.:

…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. – al-Nuur [24] : 31

Ayat di atas berbentuk kata kerja perintah [ism f’il ‘amar] dan ia meggambarkan ALLAH S.W.T. telah mewajibkan setiap hamba-NYA untuk bertaubat kepada-NYA sekiranya telah terlanjur melakukan kesalahan. Hal ini juga telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya malah baginda seorang yang bersih dari segala bentuk dosa juga senantiasa memohon ampun dan bertaubat kepada ALLAH S.W.T setiap hari.

Rasulullah s.a.w. bersabda:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Hai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada ALLAH dan Istighfarlah [mintalah ampun] kepada-NYA maka sungguh saya bertaubat Istighfar setiap hari seratus kali. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2702.

Sabdanya lagi:


وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Demi ALLAH, sesungguhnya saya membaca Istighfar [meminta ampun] kepada–NYA dan bertaubat kepada ALLAH setiap hari lebih dari 70 kali. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 6307.

Adakah kita merasakan diri kita lebih mulia dari Rasulullah s.a.w. ataupun kita juga bebas dari melakukan sebarang dosa sehingga memberatkan diri kita untuk memohon ampun serta bertaubat kepada ALLAH S.W.T.? Oleh itu hendaklah kita senantiasa memohon ampun kepada ALLAH S.W.T. serta bersegera untuk bertaubat kepada-NYA apabila kita terlanjur melakukan maksiat.

Justeru itu ulamak Ahlus Sunnah wal Jamaah telah bersepakat akan kewajipan untuk bertaubat. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi:

[Para ulamak] umat Islam telah ijmak [bersepakat] bahawa hukum bertaubat adalah fardu [wajib] atas seluruh mukminin. – Imam al-Qurthubi, al-Jaami’ Li Ahkam al-Qur’an, jilid 5, ms. 90.

Pendapat ini juga telah disokong oleh Imam Ibnu Qudamah di dalam Minhaj al-Qashidin serta Imam al-Nawawi di dalam Riadhus Shalihin.

KEUTAMAAN BERTAUBAT

Amalan bertaubat ini memiliki banyak keutamaannya. Di antaranya adalah seperti berikut.

1) Bertaubat dapat mensucikan seseorang dari dosa-dosanya

Rasulullah s.a.w. bersabda:

التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لاَ ذَنْبَ لَهُ
Seseorang yang bertaubat dari dosanya itu adalah sama dengan orang yang tidak mempunyai dosa lagi. – Hadis Riwayat Ibnu Majah, no: 4240

Baginda juga menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan solat Sunat Taubat sebanyak dua rakaat akan memudahkan pengampunan ALLAH S.W.T terhadap dosa-dosanya.

Sabdanya:


مَا مِنْ رَجُلٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا ثُمَّ يَقُومُ فَيَتَطَهَّرُ ثُمَّ يُصَلِّي ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ لَهُ
Tiada seorang yang melakukan suatu dosa kemudian dia pergi berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat, kemudian memohon ampun kepada ALLAH melainkan ALLAH akan mengampuninya. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no: 2932.

2) Bertaubat dapat mensucikan hati seseorang dari noda yang mengotorinya. Rasulullah s.a.w bersabda:



إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ.
Sesungguhnya seorang mukmin bila melakukan dosa, maka akan timbul satu titik noda hitam di hatinya, Jika dia bertaubat, meninggalkan perbuatan tersebut dan memohon keampunan [kepada ALLAH], maka hatinya kembali bersih. Tetapi bila menambah [perbuatan dosa], maka bertambahlah noda hitam tersebut sampai memenuhi hatinya. Maka itulah al-Raan [penutup hati] yang telah disebutkan ALLAH dalam firman-NYA: Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. [alMutaffifiin [83] : 14] – Hadis riwayat Ibnu Majah, no: 4234.

3) ALLAH mengasihi mereka yang bertaubat.

SesungguhNya ALLAH mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. – al-Baqarah [2] : 222

4) Sikap bersegera untuk bertaubat merupakan ciri-ciri mereka yang berjaya.

…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. – al-Nuur [24] : 31

5) Mereka yang bertaubat akan diberi ganjaran syurga

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada ALLAH dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai… - Al-Tahriim [66] : 8

6) Bertaubat dapat mengelakkan seseorang dari menerima balasan yang pedih daripada ALLAH S.W.T di dunia mahupun di akhirat. Firman-NYA:

Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), ALLAH akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. – al-Tawbah [9] : 74

Sebaliknya bagi mereka yang bertaubat ALLAH S.W.T memberi nikmat kesenangan hidup di dunia mahupun di akhirat. Firman-NYA:

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada TUHAN kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-NYA; supaya DIA memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) DIA akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya). – Hud [11] : 3

7) Mereka yang bertaubat bebas dari sifat gololongan yang zalim kerana ALLAH S.W.T menyifatkan mereka yang enggan bertaubat sebagi zalim. Firman ALLAH S.W.T.:

Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. – al-Hujuraat [49] : 11

Demikianlah beberapa keutamaan bertaubat yang sempat penulis perturunkan. Semoga ianya dapat menjadi sumber motivasi kepada kita semua untuk bersegera melakukan taubat di atas segala kesalahan yang telah kita lakukan.

DOA YANG TERBAIK DALAM MEMOHON KEAMPUNAN

Lafaz doa yang terbaik dalam memohon keampunan daripada ALLAH S.W.T untuk bertaubat dari segala kesalahan-kesalahan kita adalah doa yang diamalakan oleh Rasulullah s.a.w. yang digelarسَيِّدُ الاِسْتِغْفَارِ (Sayyid al-Istighfar) iaitu:


اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ.
Ya ALLAH, ENGKAUlah TUHANku. Tiada yang layak disembah melainkan ENGKAU. ENGKAU menciptakanku. Aku adalah hamba-MU, aku berada dalam perjanjian dengan-MU, ikrar kepada-MU dari kejahatan segala yang telah aku lakukan. Aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmat-MU kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh itu ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampunkan dosa-dosa selain ENGKAU.

Baginda bersabda:


وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ.
Sesiapa yang mengucapnya pada siang hari dengan penuh keyakinan lalu dia mati pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk ahli syurga. Sesiapa yang mengucapkannya pada waktu petang dengan yakin dan mati sebelum pagi menjelang, dia termasuk ahli syurga. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 6306

Oleh itu usahakanlah untuk membaca Sayyid al-Istighfar ini pada waktu pagi dan petang setiap hari agar kita dapat meraih apa yang seperti disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis di atas.

ADAKAH ALLAH AKAN MENERIMA TAUBAT HAMBANYA YANG BERGELUMANG DENGAN MAKSIAT?

Ramai di antara mereka yang telah melakukan pelbagai jenis maksiat merasakan mereka sudah tiada harapan lagi untuk bertaubat serta menerima kemaafan daripada ALLAH S.W.T.. Sikap ini sebenarnya tidak tepat kerana ianya menyalahi sifat ALLAH S.W.T. yang Maha Pengasih serta Penyayang terhadap hamba-hamba-NYA malah di antara sifat-NYA yang mulia adalah menerima permohonan taubat daripada hamba-hamba-NYA. Ini sebagaimana firman-NYA:

Dan DIA lah TUHAN yang menerima taubat dari hamba-hamba-NYA (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan DIA mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. – al-Syuura [42] : 25

Tambahan lagi ALLAH S.W.T amat kasih kepada hamba-hamba-NYA yang bertaubat dan menyukai untuk menerima taubat mereka bahkan memperkenankan taubat hamba-hamba-NYA merupakan sesuatu yang benar-benar mudah bagi-NYA. Rasulullah s.a.w. bersabda:


أَفْرَحُ بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ سَقَطَ عَلَى بَعِيرِهِ وَقَدْ أَضَلَّهُ فِي أَرْضِ فَلاَةٍ
Sesungguhnya ALLAH lebih suka menerima taubat seorang hamba-NYA, melebihi dari kesenangan seorang yang menemukan kembali dengan tiba-tiba untanya yang telah hilang di tengah hutan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 6309

Rasulullah s.a.w. bersabda:


لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِي ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
Sesungguhnya ALLAH lebih suka menerima taubat seseorang hamba-NYA, melebihi dari kesenangan orang yang berkenderaan di hutan, kemudian hilang, sedang kenderaan itu penuh membawa bekal makanan dan minumannya, sehingga dia putus harapan untuk mendapatkannya kembali, lalu dia duduk di bawah pohon dengan kecewa dan putus asa; tiba-tiba ketika dia bangun dari tidurnya, kenderaannya telah ada kembali di depannya lengkap dengan bekalnya, maka segera dia pegang kendalinya sambil berkata: Ya ALLAH, Engkau hambaku, dan aku Tuhannya. Terlanjur [keliru] lidahnya kerana sangat gembira. Terbaliknya lidahnya sebagaimana di atas itu maka ALLAH lebih gembira menerima taubat seorang hamba-NYA melebihi kegembiraan orang yang menemu kembali harapannya itu. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2747

Oleh itu dapat kita fahami bahawa walau bagaimana besar sekalipun dosa yang dipikul oleh seseorang itu maka Tangan ALLAH sentiasa terbuka untuk menerima taubat hamba-hamba-NYA. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:


إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ بِهَذَا الإِسْنَادِ نَحْوَهُ
Sesungguhnya ALLAH 'Azza wa Jalla melebarkan Tangan-NYA untuk menerima taubat bagi seseorang yang berbuat keburukan pada waktu malam hingga siang hari dan untuk orang-orang yang berbuat keburukan di waktu siang hingga malam hari. Hal ini berterusan sehingga terbitnya matahari dari sebelah barat [yakni setelah hampir waktu kiamat]. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2759

ALLAH S.W.T akan akan mengampunkan segala bentuk dosa yang dilakukan oleh hamba-hamba-NYA selagimana mereka tidak melakukan perbuatan syirik. Berikut penulis paparkan firman ALLAH S.W.T. di dalam dua buah hadis qudsi untuk membuktikan kenyataan di atas:


قَالَ الله تَعَالىَ: مَنْ عَلِمَ أَنِّيْ ذُوْ قُدْرَةِ عَلَىْ مَغْفِرَةٍ الذُّنُوْبِ غَفَرْتُ لَهُ وَلاَ أُبَالِي، مَا لَمْ يُشْرِكْ بِيْ شَيْئًا.
Firman ALLAH Ta’ala: Barangsiapa yang mengetahui bahawa AKU mempunyai kekuasaan untuk mengampuni dosa-dosa, nescaya AKU telah mengampuni dosa-dosanya dan AKU tidak peduli [terhadap dosanya yang bamyak], selagi dia tidak mempersekutukan AKU dengan sesuatu apapun. – Hadis riwayat Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 6054



يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلاَ أُبَالِي. يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلاَ أُبَالِي. يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً.
Wahai anak Adam, selagi engkau berdoa kepada-KU dan berharap kepada-KU, nescaya AKU ampuni dosa-dosamu yang telah lampau dan AKU tidak peduli. Wahai anak Adam, andaikata dosamu mencapai petala langit kemudian engkau memohon ampun kepada-KU, nescaya AKU ampuni dan AKU tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau mendatangi-KU dengan membawa sepenuh bumi kesalahan, kemudian engkau mendatangi-KU dalam keadaan tidak menyekutukan-KU dengan sesuatu apapun, nescaya AKU akan mendatangimu dengan sepenuh bumi ampunan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no: 3463.

Berikut pula disertakan sebuah kisah di mana seorang yang telah membunuh seratus manusia lalu dia ingin melakukan taubat maka ALLAH S.W.T telah mempermudahkan urusannya serta menerima taubatnya. Nabi s.a.w. bersabda:


كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ فَأَتَاهُ فَقَالَ إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ. فَقَالَ: لاَ. فَقَتَلَهُ فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الأََرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ. فَقَالَ: إِنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ. فَقَالَ: نَعَمْ وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا فَإِنَّ بِهَا أُنَاسًا يَعْبُدُونَ اللَّهَ فَاعْبُدْ اللَّهَ مَعَهُمْ وَلاَ تَرْجِعْ إِلَى أَرْضِكَ فَإِنَّهَا أَرْضُ سَوْءٍ. فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا نَصَفَ الطَّرِيقَ أَتَاهُ الْمَوْتُ فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ. فَقَالَتْ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ: جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلاً بِقَلْبِهِ إِلَى اللَّهِ. وَقَالَتْ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ: إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطّ.ُ فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ فَجَعَلُوهُ بَيْنَهُمْ فَقَالَ: قِيسُوا مَا بَيْنَ الأَرْضَيْنِ فَإِلَى أَيَّتِهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ فَقَاسُوهُ فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الأَرْضِ الَّتِي أَرَادَ فَقَبَضَتْهُ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ.
Dahulu pada umat-umat yang terdahulu, terjadi seorang telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa, kemudian dia ingin bertaubat, maka dia mencari seorang alim, dan ditunjukkan kepada seorang pendeta, maka dia bertanya bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa maka apakah ada jalan untuk bertaubat? Jawab pendeta tersebut tidak ada. Maka segera dibunuh pendeta tersebut sehingga genap seratus orang yang telah dibunuhnya. Kemudian dia mencari orang alim yang lainnya, dan ketika telah ditunjukkan maka dia menerangkan bahawa dia telah membunuh seratus orang, apakah ada jalan baginya untuk bertaubat? Jawab si alim tersebut: Ya ada, dan siapakah yang dapat menghalangnya untuk bertaubat? Pergilah ke dusun itu kerana di sana banyak orang-orang yang taat kepada ALLAH, maka berbuatlah sebagaimana perbuatan mereka, dan jangan kembali ke negerimu ini kerana ianya tempat penjahat. Maka pergilah orang itu ke sana. Tatkala di tengah perjalalanan dia mati secara mendadak. Maka bertengkarlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Siksa. Berkata Malaikat Rahmat: Dia telah berjalan untuk taubat kepada ALLAH dengan sepenuh hatinya. Berkata Malaikat Siksa: Dia belum pernah berbuat kebaikan sama sekali. Maka datanglah seorang malaikat yang menyerupai manusia dan dijadikannya sebagai juri [hakim] di antara mereka. Maka dia berkata: Ukurlah sahaja di antara dua dusun yang ditinggalkan dan yang ditujui, maka ke mana dia lebih dekat maksukkanlah dia kepada golongan orang di sana. Maka diukurnya dan didapati dia lebih dekat kepada dusun baik yang ditujunya berukuran sejengkal, maka dipegang ruhnya oleh Malaikat Rahmat. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2766.

Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam riwayat lain ALLAH memerintahkan kepada bumi yang dituju supaya mendekat dan menyuruh bumi yang ditinggalkan supaya menjauh – Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Terjemahan Riadhus Shalihin [Victory Agencie, 1995 Kuala Lumpur], jilid 1, ms. 35.

Lihatlah bagaimana ALLAH S.W.T, membantu hamba-NYA yang benar-benar ikhlas untuk bertaubat kepada-NYA sedangkan hamba-NYA tersebut telah melakukan dosa yang amat besar. Oleh itu bagi mereka yang sepanjang hidupnya telah bergelumang dengan pelbagai jenis dosa janganlah mereka putus harapan dan hendaklah segera bertaubat. Firman ALLAH S.W.T.:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKU yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya DIA lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada TUHAN kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-NYA, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. – al-Zumar [39] : 53-54


KESIMPULAN

Generasi umat Islam pada zaman ini bukan sekadar tidak melaksanakan segala suruhan ALLAH S.W.T serta Rasul-NYA malah mereka juga meremeh-remehkan perkara-pekara yang dilarang oleh ALLAH S.W.T dan Rasul-NYA. Hal ini juga telah wujud pada zaman para sahabat r.a masih hidup. Anas bin Malik r.a umpamanya pernah mengkritik mereka yang hidup pada zamannya dengan berkata:


إِنَّكُمْ لَتَعْمَلُونَ أَعْمَالاً هِيَ أَدَقُّ فِي أَعْيُنِكُمْ مِنْ الشَّعَرِ إِنْ كُنَّا لَنَعُدُّهَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْمُوبِقَاتِ.
Sesungguhnya kalian melakukan perbuatan dosa yang menurut pandangan kalian lebih lembut dari sehelai rambut, padahal pada zaman Nabi s.a.w. kami memandangnya sebagai sesuatu yang membinasakan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 6492.

Hal tersebut terjadi kepada umat Islam yang hidup pada kurun-kurun yang terbaik yang mana para sahabat Nabi masih hidup lagi. Sekiranya Anas bin Malik r.a hidup pada zaman sekarang dan dapat melihat segala kemungkaran yang dilakukan oleh umat Islam secara berleluasa tanpa segan dan silu pasti beliau akan lebih terperanjat dan sedih dengan keadaan ini.

Oleh itu disebabkan kita kini hidup di dalam suasana yang mana maksiat dilakukan sewenang-wenangnya dan pintu-pintu untuk melakukan maksiat terbuka dengan luas maka kita sebenarnya terdedah kepada godaan untuk melakukan perbuatan maksiat malah sering juga kita tertewas ketika berhadaan dengan godaan-godaan tersebut. Justeru itu hendaklah kita sentiasa perbanyakkan permohonan keampunan serta bersegera untuk bertaubat di atas segala kelalaian kita. Firman ALLAH S.W.T

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). – ‘Aali Imraan [3] : 135

13 ulasan:

  1. Bagaimana dgn kesalahan@kecurangan seorang isteri kepada suami, adakh perlu memohon redha suami/halal (seperti syarat ke4 diatas) sedangkan isteri telah benar2bertaubat. Jika dibagitahu kepada suami, dikhuatiri akan membawa kepada penceraian dan pastinya suami takakan redha atas kecurangan isterinya..

    BalasPadam
  2. Assalaamu'alaikum

    Sekiranya dengan mendedahkan kecurangan tersebut akan meruntuhkan rumahtangga maka biarlah ianya menjadi rahsia.

    Bertaubatlah dan jangan ulangi perbuatan tersebut. Pada masa yang sama layanilah suami anad dengan sebaik-baiknya. Perbanyakkan amal-amal solah dengan harapan timbangan amal kita yang baik akan melebihi yang buruk di akhirat nanati.

    WAllahu 'alam

    Sekian Wassalaam

    BalasPadam
  3. Salam,saya amat suka membaca artikel ini..besarnya pengampunan Allah sedangkan diri ini selalu melakukan dosa..Apakah segala kesalahan akan dipaparkan diakhirat nanti walaupun dah bertaubat, atau dah di delete..sebab setahu saya semua kelakuan kita di dunia akan ditayangkan di akhirat nanti

    BalasPadam
  4. Wa'alaikumussalaam Warahmatullah

    alhamdulillah sekiranya akhi suka..

    Kita semua memang banyak melakukan dosa tetapi sesungguhnya Allah SWT itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.

    Oleh itu bersegeralah memohon keampunannya.

    Tentang sama ada amalan kita didelete apabila memohon kemapunan maka saya tidak mampu menjawabnya.

    Yang penting kita kena bersungguh-sungguh untuk memastikan timbangan amal kita diakhirat nanti akan berat ke arah kebaikan dan dimasukkan ke dalam Syurga yg tertinggi.

    Ameen.

    BalasPadam
  5. Maaf ye, saya masih kurang jelas..apakah perbezaan bagi maksud istigfar, penghulu istigfar,taubat, taubat nasuha, memohon ampun, memohon maaf..Terima kasih kalau sudi menjawabnya.

    BalasPadam
  6. Wa'alaikumussalaam

    Istighfar adalah memohon keampunan kepada Allah SWT

    Penghulus istighfar itu adalah gelaran bagi doa yg diajar oleh Nabi SAW untuk memohon keampunan

    Taubat dan Taubat Nasuhat dan ada dalam artikel

    Memohon ampun & memohon maaf tu sama ler kut. Kena tanya pakar bahasa tentang perbezaannya.

    WAllahu'alam

    BalasPadam
  7. salam..
    terpukul bila baca artikel ni..
    walaupun penah dgr sblm ni tp kdg2 lupa...
    terima kasih kerna mengingatkan...
    sayu hati saya...

    BalasPadam
  8. Wa'alaikumussalaam Warahmatullah

    Ukhti Shuhaila

    Perkara yang telah lepas usah terlalu dikenangkan...Siapa yang tidak terlepas dari melakukan dosa termasuklah akob sendiri.

    Mari kita fokus masa hadapan yang lebih cemerlang dalam membentuk diri kita menjadi hamba Allah yang beriman, bertaqwa dan mengerjakan amalan yg soleh.

    Sekian Wassalaam

    BalasPadam
  9. Salam Akob,

    Saya dahpun lepas bab Tahajud dlm 25 persoalan. Teringat pula artikel taubat ini.

    Apa pandangan Akob ttg solat taubat dlm buku solat2 sunat yg byk terdapat di pasaran? Adalah cara solat taubat (bacaan Al-Fatihah sebyk 11 kali dll) ini benar, menepati amalan Rasulullah SAW?

    Saya tak jumpa fasal solat taubat dlm artikel yg ini. Adakah cukup kita bertaubat dgn zikir istighfar sahaja tanpa melakukan solat taubat?

    Mohon pencerahan. Jazakallah.

    BalasPadam
  10. Assalaamu'alaikum

    Kena beli buku akob yg terbaru bertajuk Panduan Solat Sunat Cara Nabi SAW.

    Kat dalam buku tu akob ada bahas bab Solat Sunat Taubat

    BalasPadam
  11. saya tepaut pada artikel ini. soalan 1:
    saya ingin kan penjelasan disini saya telah diajak rakan saya untuk menyertai satu program dan saya perlu membayar program itu pada kadar tertentu dan dia berjanji untuk memastikan modal saya akan saya perolehinya semula. Dalam pada itu saya mempercayainya dan dia membantu saya dengan memberi wang agar saya dapat menampung perbelanjaan saya sementara modal saya diperolehi semula. tetapi hasilnya langsung tidak nampak apatah lagi untuk dapatkan modal saya semula. dia juga telah memaksa saya untuk memberi semula wang yang telah diberikan kepada saya sebagai bantuan sementara saya memperolehi modal yang telah saya keluarkan.. perlukah saya untuk membayar kepadanya semula? saya risau jika taubat saya tidak diterima disebabkan perkara ini.

    soalan 2:

    cara-cara solat taubat apakah sama dengan cara solat sunat yang lain? apakah benar bacaan surah tertentu selepas al- Fatihah perlu diulangi sebanyak 11 kali?

    BalasPadam
  12. Assalaamu'alaikum

    Pertamanya saya tidak tahu tentang konsep perniagaan tersebut namun modal anda dijanjikan pulnagnnya tetapi bila tidak diketahui. Semasa anda diberi wang tersebut adakah ianya dianggap sebagai pinjaman? Apakah syarat-syarat pinjaman tersebut, adakah dijanjikan ianya akan knock off dengan keuntungan pulangan modal pelaburan anda tersebut? Sekiranya ianya hutang maka anda perlu membayarnya semula.

    Tentang solat taubat, saya ada membicarakannya dalam buku terbaru saya bertajuk PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI SAW. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut sila dapatkan buku tersebut.

    Secara ringkasa tatacara mengerjakan solat Taubat adalah seperti berikut.

    RINGKASAN TATACARA MENGERJAKAN SOLAT TAUBAT
    Rakaat Pertama
    1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Taubat
    2) Takbiratul Ihram
    3) Doa Iftitah
    4) Membaca surah al-Fatihah
    5) Membaca Surah al-Qur’an
    6) Rukuk
    7) Iktidal
    8) Sujud
    9) Duduk antara dua sujud
    10) Sujud kali kedua
    11) Bangun untuk rakaat kedua

    Rakaat Kedua
    1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
    2) Duduk untuk tahiyyat akhir
    3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

    DALIL DISYARI’ATKAN SOLAT TAUBAT

    Daripada ‘Ali radhiallahu’ anh, dia berkata:

    Abu Bakar telah menceritakan kepadaku (sesuatu hadis) dan Abu Bakar radhiallahu’ anh adalah seorang yang benar (al-Shiddiq), dia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidak seorang hamba pun yang telah mengerjakan sesuatu dosa, lalu dia mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, setelah itu (menyelesaikan solat tersebut-pen) dia memohon ampun kepada Allah (atas dosanya tersebut), maka Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian baginda membaca ayat:

    Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya) (Aali Imran (3) : 135). - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab Tafsir al-Qur’an, no: 2932.

    BalasPadam
  13. salam..terima kasih atas perkongsian ini..sgt bermakna!!!!

    BalasPadam