Rabu, 31 Disember 2008

MUHARAM : ELAKKAN KEPERCAYAAN KARUT

Muharam: Elakkan Kepercayaan Karut
Oleh: Abdul Razak bin Abd Muthalib
http://abdulrazak.com/ver1/

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Allah swt juga mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat. Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan hakim bagi segala penentuan.

Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati banyak riwayat yang membicarakan tentang amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw. Ini penting kerana setiap amalan yang ingin kita lakukan mestilah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang sahihah agar ianya diterima dan diberikan ganjaran pahala.

Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharram ini ialah:

Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:

1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: ((Apakah ini?)). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu)), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari )

2- A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)“. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

3- Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah saw juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: ((Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah diantara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245).


Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah saw bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Diantaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda saw menjawab: ((Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu)). (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).

Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah saw begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah saw berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan di atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)


Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharam)

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

1- Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah saw bersabda lagi: ((Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9)). Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah saw wafat terlebih dahulu.”. (Riwayat Imam Muslim)

2- Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9)). (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10“. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254) .

Justeru, marilah kita merebut peluang di kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah saw seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat diwaktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram)).
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).

Kepercayaan dan Amalan Yang Bukan Dari Ajaran Sunnah
Kesedaran umat Islam dalam mengisi kedatangan bulan Muharam yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik. Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat iaitu semoga ianya akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak. Namun, peringatan Nabi saw di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Daripada A’isyah r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ((Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama) maka ianya akan tertolak)). (Riwayat Muslim).

Sebab itulah para ulamak, diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh telah meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah swt dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw. Al-Fudhail dalam menafsirkan firman Allah di dalam surah Hud, ayat ke-8 dan surah al-Mulk ayat ke-2 iaitu (Maksudnya: (Allah menjadikan semua itu) untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya)), beliau berkata: “iaitu yang lebih ikhlas dan lebih tepat. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak tepat, maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak akan diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan ikhlas dan tepat“. Beliau berkata lagi: “Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata, dan yang dikatakan tepat itu ialah ianya bertepatan dengan sunnah“.
(Ibn Rejab, Jami’ al-Ulum wa al-HIkam, Tahqiq:Dr. Yusof al-Baqa’I (Bierut: al-Maktabah al-‘Asriah, cet. ke-3, 2000), hal.15)

Justeru, dalam keghairahan kita menambahkan amal ibadah di dalam bulan Muharam yang mulia ini, marilah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menyemak semula adakah amalan-amalan yang kita lakukan itu menepati syarat-syarat yang telah digariskan ini.

Di antara amalan-amalan di bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunnah Rasulullah saw yang sahihah ialah:

1- Memakai celak pada hari ‘Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu’ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari ‘Asyura’, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya)). (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu ‘at, 2/116)

Hadis ini hukumnya maudhu’ (palsu). Imam Ahmad berkata: “Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah saw tentang amalan memakai celak pada hari ‘Asyura, dan ianya adalah bid’ah“.

2- Solat sunat yang khusus pada hari ‘Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu’: ((Sesiapa yang sembahyang padanya (hari ‘Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali Qullhuwallhu ahad, maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun)).

3- Mandi yang khusus pada hari ‘Asyura’ dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang sakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu’: ((Barang siapa yang mandi dan bersuci pada hari ‘Asyura’, ia tidak akan ditimpa sebarang sakit pada sepanjang tahun, kecuali mati)).

4- Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari ‘Asyura’ dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada ‘Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ((Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman, pakaian) kepada ahli keluarganya, pada hari ‘Asyura’, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki di sepanjang tahunnya)). Hadis ini hukumnya maudhu’, disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu’at,2/115).

5- Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur ‘Asyura) yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah saw atau disandarkan kepada peristiwa nabi Nuh a.s yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar. Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ianya bersumberkan daripada cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab “Qashas al-Anbiya’.

6- Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas. sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam. Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

Al-Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ menyebut bahawa kebanyakan hadis-hadis maudhu’ ini yang berkaitan dengan amalan di bulan Muharam khasnya pada hari ‘Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh al-Husaian. Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-‘Izz al-Hanafi: “Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi saw sebarang amalan pun pada hari ‘Asyura selain daripada puasa Baginda. Ada pun golongan Rafidhah melakukan bid’ah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan al-Husain pada hari ini. Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunnah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan dari biji-bijian (bubur) dan memakai celak dan mereka meriwayatkan hadith-hadith maudhu’tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga“.
(Syiekh ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001), hal. 271)

Demikianlah beberapa contoh daripada amalan-amalan umat Islam di dalam bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan daripada sunnah Rasulullah saw yang sahih, mahu pun para sahabat dan para Imam kaum muslimin. Justeru, jalan yang terbaik ialah dengan mengikuti sunnah Baginda saw, dan seburuk-buruk perkara pula ialah mencipta sesuatu yang baru di dalam urusan agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah swt untuk mengikuti sunnah Rasulullah saw.

Selasa, 30 Disember 2008

MAJALAH i JANUARI 2009

Assalaamu'alaikum
Akob baru beli senaskah Majalah i ini sebentar tadi. Belum berkesempatan untuk membuat ulasan. Alhamdulillah artikel akob bertajuk MENYAMBUT TAHUN BARU BUKAN BUDAYA UMAT ISLAM telah disiarkan. Terima Kasih wargakerja Majalah i kerana sentiasa memberi sokongan kepada akob. Dapatkan Majalah i dengan segera, Majalah yang terbaik bagi mereka yang meminati ilmu-ilmu Islam, majalah yang telah memenangi anugerah Media Islam Negara kategori Majalah tahun 2008.
Sekian Wassalaam


Jumaat, 26 Disember 2008

Selamat Tinggal Sahabatku Lokman


Assalaamu'alaikum

Akob menerima berita yang amat sedih lewat malam tadi. Sahabat akob semasa di UIAM dahulu telah meninggal dunia. Entahlah.. sukar nak gambarkan kesedihan ini. Sekiarnya sesiapa yang ada buku GRADS97 inilah kata-kata hikmah brother Lukman yg ditulis pada tahun 1997

“Life is short so strive hard”


SELAMAT TINGGAL SAHABATKU LUKMAN


Berita ini akob petik dari laman web sahabat akob Akhi Syamsul Iskandar Mohd Akin http://shamsuliskandar.wordpress.com/ yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan

Saya telah menerima berita sedih semalam. Sahabat yang begitu dekat dengan hati saya telah kembali ke rahmatullah pada jam 7.10 malam tadi, (selepas maghrib, hari Jumaat, mengikut waktu Islam). Beliau menghidap penyakit kanser limfoma. Saya sempat menziarahi beliau semasa di UMMC atau lebih dikenali sebagai Hospital Universiti, lebih kurang 2 bulan yang lalu. Pada waktu itu, beliau kelihatan bersemangat untuk meneruskan kehidupan dan saya sempat berkongsi isu-isu politik semasa dan terkini.

Semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dahulu, beliau antara pemimpin pelajar yang menjadi ikutan saya. Selain daripada memegang jawatan penting di dalam Majlis Perwakilan Pelajar dan Law Society UIA, beliau juga bertanggungjawab membawa saya aktif ke dalam Persatuan Pelajar Undang-Undang Asean dan kemudiaannya memastikan saya memenangi kerusi Presiden semasa di Tagaytay City, Filipina.

Buat rakan-rakan yang ingin mengunjungi jenazah beliau buat kali terakhir, beliau akan disemadikan di tanah perkuburan ibukota jam 9.30 pagi. Jenazah beliau sekarang ini berada di alamat W 9, Jalan Sampadi Satu, Taman Setapak, Kuala Lumpur.

Buat teman-teman yang ingin memberikan sokongan moral kepada isteri beliau, Sainursalwa, boleh menghubungi nombor telefon arwah di 0122187715. Kepada Salwa dan keluarga, saya akui kematian itu sesuatu yang memeritkan. Bersabar dan redho itu besar ganjarannya di sisi Allah. Saya dan keluarga mendoakan agar mudah-mudahan roh Lukman ditempatkan di kalangan roh para Shuhada. Ameen.


=================================


Doaku untuk Bro. Lukman


Sesungguhnya kami ini kepunyaan Allah. sesungguhnya kepada Nya kami kembali. (Riwayat Muslim)


Ya Allah! Ampunkanlah ia dan rahmatilah ia. Selamatkanlah ia dan maafkanlah kesalahannya. Muliakanlah tempatnya, luaskanlah kuburnya, mandikanlah ia dgn air, salji dan hujan batu. Bersihkanlah ia daripada kesalahan sebagaimana engkau bersihkan pakaian putih dari kekotoran. Gantikanlah rumah yg lebih baik daripadarumahnya, keluarga yg lebih baik daripada keluarganya, pasangan yg lebih baik dari pasangannya. Masukannlah ia ke dalam syurga dan lindungilah ia daripada seksaan kubur [dan seksaan neraka] (Riwayat Muslim)


Ya Allah, Ampunilah orang yg hidup dan orang yg mati di antara kami, orang yg hadhir dan orang yg ghaib di antara kami, kanak-kanak dan orang yg dewasa di antara kami. Ya Allah, Sesiapa yg Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah ia atas ajaran Islam. Sesiapa yg engkau matikan di antara kami, maka matikanlah ia di atas iman. Ya Allah, Janganlah Engkau halangi kami daripada memperolehi pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami sesudahnya. (RiwayatIbnu Majah dan Ahmad)


Ya Allah, Sesungguhnya sahabatku Lukman dalam tanggungan Mu dan perlindungan Mu. Peliharalah ia dari fitnah kubur dan seksa neraka, Engkauadalah yang menunaikan janji dan Maha benar. Ampunilah dan belas kasihanlah dia. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang. (Riwayat Ibnu Majah dan Abu Dawud)

Hijrah Sebelum Hijrah: Tujuh Pengajaran Penting


Hijrah Sebelum Hijrah: Tujuh Pengajaran Penting
Hafiz Firdaus Abdullah
(http://www.hafizfirdaus.com/)


Jika disebut peristiwa hijrah, pasti ramai yang terus memikirkan penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Sebenarnya terdapat peristiwa hijrah yang berlaku sebelum itu, iaitu penghijrahan sebahagian umat Islam dari Mekah ke Habasyah, yang kini dikenali sebagai Etophia.

Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun kelima sejak Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam diangkat menjadi Rasul. [Thabaqat Ibn Sa‘ad (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 1, ms. 161] Ia pada mulanya dipimpin oleh ‘Utsman bin Mazh‘un radhiallahu 'anh dan terdiri dari lebih kurang sepuluh orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms. 346] Beberapa bulan kemudian berlaku penghijrahan yang kedua ke Habasyah yang terdiri dari lebih kurang lapan puluh tiga orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 352]

Terdapat beberapa pengajaran penting di sebalik peristiwa hijrah ke Habasyah yang sebenarnya dapat kita manfaatkan pada zaman kini. Insya-Allah melalui risalah ini saya akan menerangkan tujuh daripada pengajaran tersebut .

Pengajaran # 1: Plan A, Plan B.

Faktor utama yang menyebabkan penghijrahan ke Habasyah ialah penindasan kaum musyrik ke atas umat Islam di Mekah. Syaikh Mahmud Syakir menerangkan:

Sebab utama yang menyebabkan kaum muslimin hijrah ke Habasyah ialah tekanan dan intimidasi luar biasa daripada pihak musyrikin Quraish. Selain itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga khuatir kaum musyrikin Quraish akan menggunakan kekuatan fizikal untuk memaksa mereka yang telah masuk Islam agar meninggalkan agama yang baru mereka peluk. Kelihatannya inilah yang menjadi sebab utama hijrahnya sahabat-sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ke negara Habasyah. Saat memberikan keterangan latar belakang hijrahnya sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, semua buku rujukan sejarah Islam menyatakan hal yang baru saja diungkap. [Mausu‘ah Ghuzwat al-Rasul (edisi terjemahan oleh Abdul Syukur Abdul Razzaq atas judul Ensiklopedi Peperangan Rasulullah; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2005), ms. 29]

Apabila menghadapi penindasan kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak bersikap buntu atau mengalah. Sebaliknya baginda aktif memikirkan jalan keluar untuk menyelamatkan agama umatnya. Plan A ialah tetap tinggal di Mekah. Akan tetapi memandangkan Plan A sukar dilaksanakan, baginda merangka Plan B yang merupakan penghijrahan ke Habasyah.

Di sini terdapat pengajaran yang penting kepada umat Islam. Jika kita menghadapi sesuatu halangan dalam beragama atau berdakwah, jangan bersikap buntu atau mengalah, mahu pun asyik menyalahkan pihak lain. Sebaliknya hendaklah aktif memikir jalan keluar yang membolehkan kita tetap berpegang kepada agama yang dicintai ini dan terus melaksanakan dakwah.
Pengajaran # 2: Peka Kepada Suasana Antarabangsa.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hidup pada zaman yang masih belum mengenal surat khabar, televisyen, telex, fax, satelit, internet, talifon, sistem pesanan ringkas (SMS) dan apa-apa lain alat komunikasi. Di sebalik semua ini, baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa dan tahu kepada negara manakah, kepada pemimpin manakah, baginda hendak menghantar umat Islam bagi mendapatkan perlindungan.

Ketika melihat umat Islam ditindas oleh kaum musyrik Mekah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya di bumi Habasyah terdapat seorang raja yang tidak dizalimi seorang jua orang yang berada di bawah pemerintahannya. Ia adalah negara yang benar, hingga Allah memberi jalan keluar bagi penindasan yang kalian alami.” [Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya dinilai hasan oleh Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Shahihah (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms.170]
Raja yang dimaksudkan oleh baginda, namanya Ashama bin Bahr. Di Habasyah, raja digelar sebagai Najasyi sebagaimana di negara Mesir, raja di gelar sebagai Firaun. [Ibn Katsir – al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh Trevor Le Gassick atas judul The Life of the Prophet Muhammad; Garnet Publishing, United Kingdom, 1998), jld. 2, ms, 18.]

Beliau ialah satu-satunya anak bagi ayahnya yang juga merupakan Najasyi sebelum itu. Akan tetapi rakyat memberontak, membunuh ayahnya dan mengangkat pakciknya menjadi Najasyi. Ashama bin Bahr dijual di pasar sebagai hamba dengan harga enam ratus dirham. Pada petang hari Ashama dibeli oleh seorang pedagang, pakciknya mati disambar kilat. Ini menyebabkan negara Habasyah menjadi hiruk pikuk.

Maka sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain: “Belajarlah! Demi Allah, sesungguhnya raja kalian yang mampu mengurus persoalan ini ialah raja yang kalian jual pagi tadi. Jika kalian masih mempunyai perhatian terhadap urusan Habasyah, carilah dia.” Maka mereka mencari Ashama bin Bahr dan mengangkatnya sebagai Najasyi. Sejak dari itu beliau memerintah dengan adil dan keadaan di Habasyah kembali aman. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358-359]

Keadilan Najasyi Ashama bin Bahr terserlah dalam layanan beliau kepada umat Islam yang datang berhijrah ke negaranya. Umat Islam yang berhijrah menceritakan: “Kami berlabuh di Habasyah di mana kami berjiran dengan sebaik-baik jiran. Agama kami, ibadah kami kepada Allah berada dalam keadaan aman. Kami tidak ditindas dan kami tidak mendengar apa-apa (perkataan buruk) yang kami membencinya.” [Thabaqat Ibn Sa‘ad, jld. 1, ms. 159]

Tidak diketahui bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui perihal Najasyi Ashama yang adil di Habasyah. Kemungkinan besar baginda mendengarnya dari khabar para pedagang yang pernah ke sana. Apa pun, yang penting baginda tetap peka kepada suasana antarabangsa sehingga mampu mengetahui negara manakah yang akan menjamin keamanan umatnya.

Pada masa kini, umat Islam tidak begitu peka kepada suasana antarabangsa, termasuklah suasana dunia Islam. Pengetahuan tentang ini adalah penting supaya seandainya ada umat Islam yang ditindas, kita dapat menghulurkan bantuan dan mendoakan mereka. Suasana umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya memerlukan perhatian kita. Mereka semua ialah saudara seagama dengan kita. Mereka bukanlah “rakyat negara lain” tetapi umat Islam yang hanya dipisahkan oleh garisan sempadan di atas peta.

Pengajaran # 3: Dibolehkan Meminta Perlindungan Kaum Bukan Islam Jika Dalam Suasana Terpaksa.

Satu ciri penting tentang Najasyi Ashama bin Bahr yang belum saya ceritakan ialah agamanya. Beliau dan rakyatnya beragama Kristian. Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam untuk berhijrah ke Habasyah, Najasyi Ashama bin Bahr beragama Kristian.

Umat Islam pada dasarnya tidak dibolehkan meminta perlindungan daripada umat agama lain. Umat Islam hendaklah saling membela dan melindung, kecuali dalam suasana terpaksa di mana mereka perlu meminta perlindungan kaum bukan Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya:

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi pelindung dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. [‘Ali Imran 3:28]

Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad menjelaskan:

Kaum muslimin diperbolehkan mencari perlindungan kepada orang-orang bukan Islam apabila memang sangat diperlukan. Dalam hal ini tidak ada kategori orang bukan Islam khusus yang boleh kita minta perlindungan. Ertinya, kita boleh mencari perlindungan kepada siapa saja, baik seorang penguasa beragama Kristian seperti Najasyi atau kepada orang-orang musyrik seperti (tindakan) beberapa kaum musyrikin Mekah yang memberi perlindungan kepada beberapa orang Islam. Seperti Abu Thalib yang melindungi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan Muth‘im ibn ‘Adi yang melindungi Rasulullah ketika kembali dari Thaif. [al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhau‘i al-Mashadir al-Ashliyyah: Dirasat Tahliliyyah (edisi terjemahan oleh Yessi Basyaruddin atas judul Biografi Rasulullah; Qisthi Press, Jakarta, 2006), ms. 252]

Umat Islam yang berhijrah ke Habasyah bukan sahaja meminta perlindungan dari seorang raja Kristian, mereka juga mendoakan kemenangan beliau. Ketika mereka di sana, sebahagian rakyat Habasyah ada yang bangkit memberontak ke atas pemerintahan Najasyi Ashama bin Bahr. Najasyi Ashama sendiri turun bersama pasukannya untuk melawan pemberontakan di tebing sungai Nil. Umm Salamah radhiallahu 'anha menerangkan: “Kami (umat Islam di Habasyah) berdoa kepada Allah Ta‘ala agar memenangkan Najasyi atas musuhnya dan memberikan keamanan kepada negaranya.” Setelah itu ternyata kemenangan berpihak kepada Najasyi. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358]

Mengulas fenomena ini, Syaikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi berkata:

Saat Najasyi diserang musuhnya, maka umat Islam yang berhijrah ke Habasyah membantunya (dengan doa dan sokongan) sebagai pengakuan atas kebaikan sikapnya kepada orang-orang tertindas yang berhijrah ke (negara)nya dan sebagai balasan atas kebaikannya. Hal ini (doa dan sokongan) sesuai dengan ajaran-ajaran moral dalam Islam dan sesuai dengan akhlak umat Islam. [al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh M. Halabi Hamdi atas judul Sejarah Lengkap Nabi Muhammad; Mardhiyah Press, Yogyakarta, 2005), ms. 143]

Oleh itu jika terdapat individu atau masyarakat bukan Islam yang dikenali dengan kebaikan dan keadilan dizalimi oleh pihak lain, dibolehkan bagi umat Islam mendoa dan mengharapkan keamanan bagi mereka. Jika seorang amoi diserang pencuri, kita patut menolongnya. Jika sebuah negara bukan Islam diserang oleh negara lain, kita patut membantah serangan tersebut. Tindakan seperti ini bukan bererti kita menyokong agama mereka, tetapi semata-mata kerana akhlak Islam yang mengajar umatnya untuk sentiasa menyokong keadilan.

Pengajaran # 4: Tetap Berdakwah Sekali Pun Dalam Suasana Terhimpit.

Ketika menganalisa peristiwa hijrah ke Habasyah, Dr. Muhammad Husein Haykal bertanya:
Amatlah berpatutan jika para pengkaji sirah Muhammad (shallallahu 'alaihi wasallam) bertanya tentang tujuan penghijrahan yang dilakukan oleh umat Islam di bawah suruhan Muhammad, adakah ia semata-mata untuk menyelamatkan diri daripada penindasan kaum musyrik Mekah atau adakah ia suatu strategi politik di mana Muhammad memiliki tujuan yang lebih besar di sebaliknya? [Hayat Muhammad (edisi terjemahan oleh Ismail Raji al-Faruqi atas judul The Life of Muhammad; Islamic Book Trust, Kuala Lumpur, 1993), ms. 97]

Tidak dinafikan bahawa tujuan utama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam berhijrah ke Habasyah ialah untuk memelihara agama mereka daripada penindasan kaum musyrik Mekah. Walaubagaimana pun keluasan wawasan kepimpinan baginda menyebabkan kita bertanya, mungkinkah ada sesuatu lain yang ingin dicapai oleh baginda?

Sudah tentu ada. Salah satu daripadanya ialah baginda ingin mengembangkan dakwah Islam kepada Habasyah dan kepada Najasyinya, Ashama bin Bahr. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yakin sikap adil Najasyi Ashama akan menyebabkan beliau menimbang dengan adil tentang Islam. Kejayaan dakwah Islam di benua Afrika akan membolehkan Islam memiliki pusat yang baru selain Semenanjung Arab.

Hakikat ini diketahui oleh para pembesar musyrik Mekah. Oleh kerana itulah, setelah mendapat tahu tentang penghijrahan umat Islam ke Habasyah, mereka mengutus ‘Abdullah bin Abu Rabi‘ah dan ‘Amr bin al-Ash bin Wail ke Habasyah untuk segera membawa balik kumpulan umat Islam yang berlindung di sana. Rombongan disertai dengan pelbagai hadiah menarik untuk merasuah Najasyi dan para menterinya.

Ketika sampai ke Habasyah, kedua-dua utusan terlebih dahulu berjumpa dengan para menteri Najasyi Ashama. Mereka berdua memberi hadiah kepada para menteri tersebut sebagai rasuah agar turut memujuk Najasyi Ashama untuk mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri bersetuju. Setelah itu kedua-dua utusan menghadap Najasyi Ashama. Mereka mendahului dengan memberi hadiah, kemudian meminta agar Najasyi Ashama mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri Najasyi Ashama menyatakan kesetujuan mereka dalam permintaan tersebut.

Walaubagaimana pun Najasyi Ashama tidak mudah terpedaya dengan hadiah dan permintaan kedua-dua utusan tersebut. Sebaliknya beliau memanggil umat Islam yang berlindung di negaranya untuk datang menghadap dan membela diri sendiri. Umat Islam memilih Ja’far bin Abu Thalib radhiallahu 'anh untuk menjadi jurucakap mereka. Ja’far dengan bijak menerangkan hakikat agama Islam dan menerangkan sikap kaum musyrik Mekah terhadap orang-orang yang memilih untuk memeluk Islam.

Setelah itu Ja’far membaca beberapa ayat awal dari surah Maryam. Najasyi Ashama dan paderi-paderinya yang turut hadir ketika itu segera mengakui kebenaran Islam lalu menangis sehingga membasahi janggut mereka. Akhirnya Najasyi menolak kedua-dua utusan tersebut dan mengembalikan hadiah-hadiah mereka. Beliau terus menyatakan jaminannya untuk melindungi umat Islam yang berada di negaranya. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 353-358]

Perhatikan keberanian umat Islam, khasnya Ja’far bin Abi Thalib radhiallahu 'anhum dalam peristiwa di atas. Sekali pun mereka dalam keadaan terhimpit dan dalam keadaan simpati di bawah perlindungan orang bukan Islam, mereka tetap berani menerangkan tentang Islam. Usaha dakwah Ja’far bin Abi Thalib dan umat Islam membuahkan kejayaan. Najasyi Ashama bin Bahr akhirnya memeluk Islam. Bahkan beliau juga menjadi pendakwah Islam dan ini tidak lain tidak bukan kepada ‘Amr bin al-Ash sendiri, salah seorang daripada dua utusan musyrik Mekah yang datang menghadapnya sebelum itu.

Ia berlaku kira-kira sepuluh tahun kemudian, selepas Perang Khandaq. Dalam peperangan yang berlaku pada tahun lima hijrah tersebut, kaum musyrik kalah di tangan umat Islam. Setelah peperangan, ‘Amr bin al-Ash yang masih musyrik saat itu pergi berjumpa dengan Najasyi Ashama bin Bahr di Habasyah. Dia, bagi pihak kaumnya, merancang untuk meminta perlindungan beliau seandainya umat Islam mengalahkan mereka di Mekah.

Tatkala sampai di istana, dia berselisih dengan seorang utusan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bernama ‘Amr bin Umayyah al-Damriy radhiallahu 'anh. ‘Amr bin al-Ash meminta kepada Najasyi Ashama untuk mengizinkannya membunuh ‘Amr bin Umayyah. Najasyi Ashama segera memarahinya, lantas menerangkan tentang Islam dan kebenaran Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai seorang Rasul Allah. Mendengar dakwah itu, ‘Amr bin al-Ash akhirnya memeluk Islam di tangan Najasyi Ashama. Beliau kemudiannya pergi ke Madinah untuk berjumpa dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menyatakan keislaman beliau di hadapan baginda. [Syaikh Muhammad Yusuf al-Khandhlawi – Hayat al-Shahabah (Dar Ibn Katsir, Damsyik, 2000), jld. 1, ms. 290-291]

Pengajaran # 5: Solat Jenazah Ghaib.

Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah. [Ibn Hajar al-‘Asqalani – Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 7, ms. 588] Apabila hal ini dikhabarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda, maksudnya: “Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 3877 (Kitab Manaqib al-Anshar, Bab kematian Najasyi)]

Sekali pun Rasulullah dan para sahabatnya berada di Madinah pada saat itu, mereka melaksanakan solat jenazah kepada Najasyi Ashama bin Bahr yang mayatnya berada di Habasyah. Solat jenazah dilakukan seperti biasa, hanya tidak ada jenazah yang diletakkan di hadapan imam. Ini dikenali sebagai solat jenazah ghaib.

Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan tentang hukum solat jenazah ghaib. Para ahli fiqh Mazhab al-Syafi’e dan Hanbali membolehkannya manakala para ahli fiqh Mazhab Maliki dan Hanafi tidak membolehkannya. Mereka berpendapat ia hanya satu-satunya kes khusus yang berlaku kepada Najasyi Ashama bin Bahr.

Pendapat yang dipilih ialah di pertengahan antara dua di atas. Jika seorang muslim meninggal dunia di lokasi yang terdapat orang yang melaksanakan solat jenazah ke atasnya, maka umat Islam di tempat lain tidak perlu melaksanakan solat jenazah ghaib. Umat Islam di tempat lain cukup mendoakan keampunan dan rahmat Allah kepada yang telah meninggal dunia. Sebaliknya jika di lokasi tersebut tidak ada orang Islam yang melaksanakan solat jenazah, maka umat Islam di tempat lain boleh melaksanakan solat jenazah ghaib ke atas orang yang meninggal dunia itu. Demikian pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin. [Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah (al-Maktabah al-Taufiqiyyah), jld. 1, ms. 648-649]

Pengajaran # 6: Tidak Perlu Merebut Mayat Jika Suasana Tidak Mengizinkan.

Perhatikan bahawa apabila Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia di Habasyah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengutus sesiapa untuk pergi mengambil mayatnya untuk dikebumikan di Madinah. Padahal pada tahun sembilan hijrah, umat Islam sudah memiliki kestabilan dan kekuatan yang cukup untuk pergi ke Habasyah dan merebut mayat Najasyi Ashama.

Sebaliknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membiarkan jenazah Najasyi Ashama dikebumikan mengikut aturcara Kristian dan disemadikan di kawasan perkuburan orang Kristian. Baginda mengetahui bahawa di sebalik itu semua, di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, Najasyi Ashama tetap seorang muslim, akan melalui Alam Barzakh sebagai seorang muslim dan akan bangkit di Hari Akhirat kelak sebagai seorang muslim.

Mengurusi jenazah seorang muslim mengikut aturcara Islam adalah satu kewajipan, akan tetapi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui jika direbut mayat Najasyi Ashama dari Habasyah, ia akan menimbulkan mudarat yang besar berbanding manfaat. Ini kerana majoriti rakyat Habasyah ketika itu beragama Kristian dan baginda masih mengharapkan usaha dakwah Islam berjaya di sana. Harapan ini akan musnah jika masyarakat Habasyah memiliki pandangan buruk terhadap Islam yang telah “merebut mayat Najasyi mereka”.

Pada masa kini, fenomena merebut mayat berlaku di Malaysia. Ia adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan secara serius oleh umat Islam, khasnya pihak-pihak berwajib. Amat menghairankan apabila orang yang memeluk Islam dibiarkan begitu saja, akan tetapi apabila dia meninggal dunia kita sibuk hendak merebut jenazahnya. Saya memiliki risalah yang khas berkenaan hal ini berjudul Cadangan Terhadap Prosedur Merebut Mayat Bagi Orang Yang Diperselisihkan Keislamannya yang dimuatkan dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

Pengajaran # 7: Hukum Pemimpin Yang Tidak Mampu Melaksanakan Syari‘at Islam.

Tidak diketahui secara pasti bilakah Najasyi Ashama bin Bahr memeluk Islam. Jelasnya beliau memeluk Islam sebelum tahun lima hijrah sebagaimana peristiwa keislaman ‘Amr bin al-Ash di atas. Seandainya beliau memeluk Islam selewat-lewatnya pada tahun lima hijrah lalu meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah, bererti beliau beragama Islam minimum selama empat tahun.
Walaubagaimana pun dalam tempoh empat tahun tersebut, beliau tidak melaksana satu jua syari‘at Islam dalam pemerintahannya. Padahal dalam tempoh tersebut, banyak hukum-hukum Islam, baik ibadah, ekonomi, keluarga, politik dan sebagainya telah disyari‘atkan. Ini berlaku kerana rakyatnya yang majoriti beragama Kristian menentang Islam dan akan menentang beliau jika mereka mengetahui beliau ingin melaksanakan syari‘at Islam di atas bumi Habasyah.
Bukti bagi penentangan ini ialah peristiwa rakyatnya yang pernah memberontak kerana menganggap Najasyi Ashama telah memeluk Islam. Berhadapan dengan situasi ini, Najasyi Ashama menulis di atas sehelai kertas bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad ialah hamba Allah dan Rasul-Nya. Dia juga bersaksi bahawa ‘Isa bin Maryam ialah hamba Allah, Rasul-Nya, Ruh-Nya dan Kalimat-Nya yang ditiup kepada Maryam. Kertas itu kemudian dilipat dan simpan di dalam kocek bajunya di bahagian kanan dadanya.

Najasyi Ashama seterusnya keluar menemui rakyatnya sambil bertanya: “Wahai orang-orang Habasyah! Bukankah aku orang yang paling berhak ke atas kalian?”

Mereka menjawab: “Benar!”

“Bagaimana kalian melihat sejarah hidupku di kalangan kalian?”
“Sejarah yang baik.”
“Jika begitu mengapa?”
“Engkau telah keluar dari agama kami dan menyakini ‘Isa ialah hamba (Allah).”
“Apa yang kalian katakan tentang ‘Isa?”
“ ‘Isa ialah anak Allah.”

Najasyi Ashama kemudian meletakkan tangannya di dada kanannya seraya berkata, yakni dengan bersaksi ‘Isa ialah anak Maryam dan tidak lebih dari itu, seperti apa yang dia tulis pada surat yang berada dalam kocek bajunya, yang kini berada di bawah tangannya. Mendengar dan melihat sedemikian, orang-orang Habasyah bersurai. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 360]

Penentangan yang dihadapi oleh Najasyi Ashama daripada rakyatnya, seandainya mereka mengetahui beliau telah memeluk Islam, adalah hebat. Apatah lagi jika mereka perhatikan dia cuba untuk melaksanakan syari‘at Islam dalam pemerintahannya. Sudah tentu akan ada penentangan yang lebih hebat. Justeru Najasyi Ashama tidak melaksanakan satu jua daripada syari‘at Islam dalam pemerintahannya.

Hakikat ini tidak menyebabkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghukum beliau sebagai kafir. Bahkan apabila beliau meninggal dunia, Rasulullah tetap melaksanakan solat jenazah secara ghaib sambil berkata: “Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.”

Peristiwa ini memiliki pengajaran yang bernilai di sebaliknya, iaitu jika seseorang itu tidak melaksanakan sesuatu syari‘at Islam kerana ketidakmampuannya, maka dia tidak dihukum kafir. Selagi mana dia jujur benar-benar tidak mampu, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan menghukuminya. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menerangkan pelajaran ini dari peristiwa Najasyi Ashama:

Meski pun Najasyi seorang raja Nasrani, kaumnya tidak mahu tunduk kepadanya untuk masuk Islam. Yang ikut sertanya untuk masuk Islam hanya segelintir orang. Oleh kerana itu ketika beliau meninggal dunia, tidak seorang jua yang mensolatkan (jenazah)nya. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mensolatkannya di Madinah dan orang-orang Islam turut keluar bersama membentuk saf-saf untuk mensolatkannya (di Madinah). Apabila mereka mengkhabarkan tentang kematian beliau pada hari kematiannya, baginda bersabda: “Sesungguhnya saudara kamu yang shalih daripada Habasyah (Etophia) telah meninggal dunia”.
Padahal banyak daripada syari‘at Islam, atau kebanyakan daripadanya, tidak satu jua yang dilaksanakan olehnya. Beliau tidak berhijrah, berjihad, melaksanakan Haji ke Baitullah, bahkan diriwayatkan beliau juga tidak mendirikan solat lima kali sehari, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan tidak mengeluarkan zakat yang disyari‘atkan. Semua ini kerana (amalan-amalan tersebut) akan menzahirkan (status Islamnya) kepada kaumnya dan mereka akan mengingkarinya. Dan beliau tidak mungkin untuk berselisih dengan mereka. Kita mengetahui secara pasti bahawa tidak mungkin baginya untuk menerapkan hukum al-Qur’an di kalangan mereka (rakyatnya)……

…… (Selain itu) banyak juga orang yang menjadi qadhi dan imam (pada zaman pemerintahan) Islam dan (pada zaman penjajahan) Tartar, yang adil dan ingin memutuskan sesuatu perkara secara adil (yakni berdasarkan syari‘at Islam), akan tetapi itu tidak mungkin bagi mereka. Bahkan ada orang yang menghalangi mereka dan sesungguhnya Allah tidak membebankan satu jiwa melainkan menurut kemampuannya. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga dimusuhi dan dihukum kerana sebahagian perkara yang dia tegakkan secara adil. Bahkan ada yang mengatakan, dia diracun kerana pengadilan tersebut.

Najasyi dan orang-orang lain yang semisal keadaannya dengan beliau adalah orang-orang yang berbahagia di dalam syurga, meski pun mereka tidak melaksanakan syari‘at Islam (pada zaman kepimpinan mereka). Ini kerana memang mereka tidak mampu melaksanakannya. Mereka sekadar memutuskan sesuatu perkara mengikut apa yang mereka mampu laksanakan. [Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah, 2001) jld. 19, ms. 218-219]

Demikian tujuh pengajaran yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian berkenaan hijrah sebelum hijrah, iaitu penghijrahan ke Habasyah yang berlaku lapan tahun sebelum penghijrahan ke Madinah. Seandainya kita mengkaji peristiwa hijrah ke Habasyah dengan lebih mendalam, nescaya ditemui pengajaran-pengajaran bermanfaat yang lain. Namun memadailah dengan tujuh pengajaran buat masa ini.

Rabu, 24 Disember 2008

AMALAN SUNNAH DAN BIDAAH PADA BULAN MUHARRAM

AMALAN SUNNAH DAN BIDAAH PADA BULAN MUHARRAM
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Allah S.W.T dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Penyayang (al-Rahman) telah menetapkan sesesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding dengan bulan-bulan yang lain agar Dia dapat memberi ganjaran yang lebih kepada hamba-hamba-Nya pada kadar-kadar masa yang tertentu itu. Di antara bulan yang dianggap istimewa itu adalah bulan Muharram yang merupakan bulan yang pertama dalam kalendar hijrah dan ia juga merupakan salah satu dari empat bulan-bulan haram yang penuh berkat. Firman-Nya:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Tawbah (9) : 36

Menerusi firman-Nya “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)” ia menunjukkan bahawa pada bulan-bulan haram yang mana Muharram adalah salah satu darinya kita dilarang dari melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang kerana dosa melakukan kemungkaran pada bulan-bulan ini adalah lebih buruk balasannya daripada Allah S.W.T. berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Namun begitu bagi mereka yang melakukan amal-amal yang soleh ganjaran pahalanya juga adalah lebih tinggi berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ.
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662

Oleh itu hendaklah pada bulan Muharram yang mulia ini kita hindarkan diri dari melakukan amalan yang dilarang dan mempertingkatkan amal ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. terutamanya ibadah puasa. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:


أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ.
Sebaik-baik puasa setelah Ramadhan adalah bulan Allah al-Muharram dan sebaik-baik solat setelah solat fardhu adalah solat malam. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1163.

Sabda baginda ‘Bulan Allah al-Muharram” menegaskan lagi betapa mulianya bulan Muharram ini. Oleh itu hendaklah kita bersungguh-sungguh untuk berpuasa sebanyak mungkin pada bulan Muharram ini. Namun ini tidak bermakna kita disyari’atkan untuk berpuasa sepanjang bulan Muharram ini kerana Rasulullah s.a.w. hanya berpuasa sebulan penuh pada bulan Ramadhan sahaja. Aisyah r.a berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لاَ يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لاَ يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلاَّ رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ.

Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1969.

Pada bulan Muharram ini juga terdapat hari yang digelar sebagai Asyura iaitu hari di mana Nabi Musa a.s. dan pengikutnya diselamatkan oleh Allah S.W.T. dari tentera Fir’aun.


قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا: هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لأَصْحَابِهِ أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا.

Nabi s.a.w. datang ke Madinah, dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Fir’aun. Maka sabda Nabi s.a.w.: “Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4680.
Melalui hadis di atas ini juga dapat kita fahami bahawa amal ibadah khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. adalah ibadah puasa. Disunnahkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi. Rasulullah s.a.w. bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا.
Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya. – Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 2047.
Kemunculan bulan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar umat Islam sentiasa dihiasai dengan beberapa amal ibadah tertentu. Upacara-upacara tersebut bermula pada hari terakhir bulan Dzulhijjah iaitu diambang menjelangnya 1 Muharram. Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari terakhir bulan Dzulhijjah dan membaca doa akhir tahun selepas solat Asar. Seterusnya setelah menjelangnya 1 Muharram iaitu selepas solat Maghrib dibaca pula doa awal tahun, bacaan Surah Yassin, zikir-zikir tertentu malah ada juga yang mengerjakan solat sunat sempena 1 Muharram dan berpuasa pada siang harinya.
Sebenarnya kesemua amalan-amalan yang disebutkan di atas atau apa jua amalan sempena tibanya tahun baru hijrah tidak memilki dalil-dalil yang sah daripada Rasulullah s.a.w. bahkan para Imam-Imam mazhab seperti Abu Hanifah, Malik, Syafi’i dan Ahmad r.h juga tidak pernah mengamalknnya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyambut kehadiran bulan Muharram atau kedatangan tahun baru dengan upacara yang tertentu. Kalendar Hijrah juga tidak wujud pada zaman Rasulullah kerana ianya hanya diperkenalkan pada zaman pemerintahan ‘Umar al-Khaththab r.a iaitu tujuh tahun setelah baginda wafat. ‘Umar yang memperkenalkan kalendar ini juga tidak pernah melakukan atau menganjurkan upacara terterntu sempena kedatangan tahun baru dan begitu juga para sahabat serta para al-Salafussoleh yang lain.

Adapun hadis-hadis yang dijadikan hujjah oleh golongan yang melakukan amalan tertentu sempena kedatangan tahun baru merupakan hadis-hadis lemah (dha’if) dan palsu (mawdhu’). Antara hadis-hadis tersebut adalah:

Daripada Ibn ‘Abbas, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa berpuasa pada hari akhir bulan Zulhijjah dan hari pertama di bulan Muharam, maka sesungguhnya dia telah menghabiskan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya sebagai penghapus dosanya lima puluh tahun”. Menurut Ibnul Jauzi di dalam al-Mawdhu’at bahawa hadis ini palsu (maudhu’)

Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa berpuasa sembilan hari dari awal Muharram maka Allah membina untuknya sebuah kubah di udara yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu. Hadis ini adalah palsu (mawdhu’) menurut Ibnul Jauzi di dalam al-Mawdhu’aat dan Imam al-Suyuthi di dalam La’aali al-Mashnu’ah.
Setiap kali di ambang munculnya tahun hijrah yang baru seluruh media serta kebanyakan jabatan-jabatan atau majlis-majlis agama Islam di Malaysia menganjurkan untuk dibacakan bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Masjid-masjid diseluruh tanah air juga mengadakan upacara-upacara khas untuk membaca doa-doa awal dan akhir tahun itu. Lafaz doa tersebut adalah sepeti berikut:
Doa Akhir Tahun
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyanyang, segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam, Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w., serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tiada meredhainya dan Engkau memang tiada melupakannya (Tuhan tidak bersifat lupa) dan Engkau berlembut tiada mengazab kami malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu. Maka kami sekalian memohon keampunan Mu. Ya Allah, ampunilah kami dan mana-mana perbuatan yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dan yang telah Engkau janjikan ganjaran pahalanya. Maka kami mohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah.
Doa ini hendaklah dibaca 3 kali pada akhirnya waktu Asar hari ke 29 atau 30 daripada bulan Dzulhijjah, maka barangsiapa membaca doa ini daripada waktu yang telah tersebut maka berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini maka diampuni Allah Ta’ala sekalian dosanya yang setahun ini.
Doa Awal Tahun
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Penyanyang, segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh alam, Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w., serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada, tiada permulaan. Kelebihan Mu maha besar dan kemurahan Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepada Mu agar terpelihara kami sekalian di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga dari kuncu-kuncunya syaitan dan bala tenteranya. Dan kami mohon daripada Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan). Kami mohon juga kepada Mu ya Allah akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada Mu. Ya Allah Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia. Ya Allah Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat.
Doa awal tahun iaitu hendaklah dibaca 3 kali setelah solat Maghrib pada malam 1 haribulan Muharram dan barangsiapa membaca ini maka bahawasanya syaitan berkata telah amanlah anak adam ini daripada aku barang yang tinggal dari umurnya pada ini tahun kerana bahawasanya Allah Ta’ala telah mewakilkan dua malaikat memelihara akan dia daripada fitnah syaitan.
Pada hakikatnya kedua-dua lafaz doa ini serta fadhilat yang ditetapkan itu tidak pernah wujud dalam mana-mana kitab-kitab hadis dan tidak ada juga hadis walaupun yang bertaraf lemah (dha’if) mahupun palsu (mawdhu’) yang mengkhabarkan tentangnya. Menurut Syeikh Jamaluddin al-Qasimi r.h doa ini ialah doa yang direka dan tidak berasal daripada Nabi s.a.w. tidak juga berasal daripada para sahabat, tabi’in dan tidak diriwayatkan dalam musnad-musnad sehinggakan ianya tidak wujud dalam kitab maudhu’at (iaitu kitab yang memuatkan hadis-hadis palsu). Doa ini hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Dan perkataan “berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini” merupakan suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya.
Tetapi sekiranya sesiapa yang hendak membacanya tanpa beri'tiqad seperti yang ada di dalam fadhilat yang direka tersebut silakan, kerana ia termasuk di dalam keumuman doa, dan perlu diingat tidak ada upacara khas atau dibaca beramai-ramai (untuk membaca doa tersebut).
Hendaklah kita sentiasa berdoa memohon keampunan daripada Allah S.W.T., memohon perlindungan dari hasutan syaitan, memohon perlindungan dari mengerjakan perbuatan maksiat dan memohon agar kita sentiasa terbuka hati untuk mengerjakan amal-amal soleh. Menetapkan doa-doa tertentu, dibaca pada waktu tertentu dengan fadhilat-fadhilat yang tertentu tanpa perintah daripada Allah dan Rasul-Nya merupakan satu perbuatan mencipta hukum syarak yang baru dan perbuatan ini adalah diharamkan. Firman-Nya:
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. – al-An’aam (6) : 153
Selanjutnya Allah S.W.T. menegaskan lagi hal ini melalui firman-Nya:
Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya-fitrah) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. – al-Rum (30) : 30

Maksud melakukan perubahan terhadap ciptaan Allah dalam ayat di atas adalah mengubah agama Islam seperti menambah-nambah satu upacara ibadah yang tiada sandarannya dari al-Qur’an dan al-Sunnah iaitu dengan mengamalkan amalan bidaah seperti mengkhususkan amalan-amalan yang tertentu sempena kedatangan tahun baru hijrah. Adalah penting bagi kita untuk memastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan amal ibadah sebelum kita mengamalkannya. Ini adalah kerana setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.
Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718

Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. seperti ibadah tertentu sempena kedatangan bulan Muharram ini pada hakikatnya ia bukan sebahagian dari agama pada masa itu. Sekira ianya bukan sebahagian dari agama pada zaman Rasulullah s.a.w. maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:

Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:

Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. - al-Maaidah (5) : 3

Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

Isnin, 22 Disember 2008

UTUSAN MALAYSIA 22/12/08 : Waspada Sambut Tahun Baru


Waspada sambut tahun baru
Oleh MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS

KEHADIRAN tahun baru dilihat sebagai satu hari perayaan yang disambut dengan pelbagai upacara yang kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara terbuka mahupun tertutup dan mereka disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengasyikkan serta bertentangan dengan syarak.

Bahkan di sesetengah perhimpunan tersebut ia dicemari dengan aksi pergaulan bebas di antara kaum lelaki dan perempuan, pesta tari-menari, penggunaan pakaian yang menjolok mata bahkan adakalanya minuman keras turut disajikan sambil masing-masing menunggu kedatangan detik 12 malam yang menunjukkan masuknya tahun baru.

Maka sorak-sorai serta jerit-pekik gembira bergema apabila jam tepat menunjukkan pukul 12. Hiburan-hiburan berunsur maksiat ini akan berterusan sehingga ke pagi hari. Ini sebenarnya budaya kaum yang ingkar kepada perintah Allah yang telah menjadi ikutan muda-mudi Islam pada masa ini.

Budaya sebegini begitu giat dipropagandakan di negara-negara Islam melalui serangan ideologi oleh musuh-musuh Allah agar umat Islam terpesong daripada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Hakikatnya, kita telah diperingatkan tentang niat buruk golongan ini melalui Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)." (al-Baqarah: 120)

Malangnya terdapat di kalangan umat Islam yang tidak mengendahkan peringatan tersebut dan ramai yang bukan sekadar terlibat dalam upacara sambutan tahun baru ini malah ada juga yang menganjurkan, mempromosikan dan menggalakkan sambutan hari tersebut. Sebenarnya terdapat banyak sekali dalil-dalil daripada al-Quran mahupun sunah yang melarang perbuatan menyerupai tingkah-laku kaum yang menolak agama Allah di dalam perkara yang menjadi sifat dan khusus bagi mereka. Termasuk dalam perkara seumpama ini adalah meniru mereka dalam menyambut hari-hari perayaan dan pesta-pesta mereka.

Setiap sambutan yang dikhususkan pada hari tertentu dan sambutannya berulang-ulang setiap tahun serta diagung-agungkan oleh orang-orang bukan Islam maka ia termasuk dalam kategori hari-hari perayaan yang terlarang bagi umat Islam menyambutnya. Apatah lagi umat Islam mempunyai hari-hari perayaan tersendiri yang diredai oleh Allah SWT dan ia membatalkan seluruh hari-hari perayaan lain yang tidak disyariatkan.

Daripada Anas bin Malik r.a, dia berkata: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah, maka Baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri." (riwayat Imam al-Nasa'i di dalam Sunannya no: 959)

Daripada Tsabit bin Al-Dhahhak r.a bahawasanya dia berkata: Seorang laki-laki telah bernazar pada masa Rasulullah SAW untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu dia mendatangi Rasulullah SAW lalu berkata: Sesungguhnya aku telah bernazar untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu Nabi SAW bertanya: Apakah di dalamnya terdapat salah satu daripada berhala-berhala Jahiliah yang disembah? Mereka menjawab: Tidak. Baginda bertanya lagi: Apakah di dalamnya terdapat salah satu dari hari-hari besar mereka? Mereka menjawab: Tidak. Rasulullah SAW bersabda: Tepatilah nazarmu kerana tidak perlu menepati nazar di dalam berbuat maksiat kepada Allah dan di dalam hal yang tidak dipunyai (tidak mampu dilakukan) oleh manusia. (riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3313)
Lihatlah bagaimana berhati-hatinya Rasulullah agar kita tidak membuat sesuatu perkara yang bersamaan dengan tarikh hari-hari perayaan golongan yang syirik kepada Allah.

Tentu sekali menyambut hari-hari besar musuh-musuh Allah seperti pesta sambutan tahun baru bersama mereka di seluruh dunia memiliki implikasi yang lebih berat di sisi syarak.
Umat Islam dilarang mengikuti budaya-budaya sesuatu kaum yang bertentangan dengan syarak dan sesiapa yang meniru budaya tersebut maka di akhirat kelak mereka akan tergolong bersama-sama dengan kaum yang memusuhi Allah tersebut. "Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. (riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3512)

Tambahan pula Allah SWT telah menjadikan kelompok-kelompok yang ingkar kepada perintah-Nya memiliki hubungan yang akrab di antara satu sama lain. Maka keterlibatan orang-orang Islam dalam upacara-upacara golongan yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya menunjukkan mereka telah menjadi sebahagian daripada kelompok yang zalim tersebut sebagaimana ditegaskan dalam surah al-An'am ayat 129.

Apabila kita melakukan sesuatu perbuatan terlarang yang menyerupai kaum yang memusuhi Allah, ia sebenarnya secara tidak langsung menampakkan seolah-olah kita kagum dengan golongan yang ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengagung-agungkan budaya mereka. Sikap sebegini dicela oleh Allah SWT melalui firman-Nya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujaadalah: 22)

Seperti yang telah sedia maklum, upacara-upacara sambutan tahun baru ini kebanyakannya adalah pesta-pesta yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang berunsur maksiat dan Allah SWT telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang berpesta di atas muka bumi ini dengan perbuatan-perbuatan terlarang. Ini dijelaskan dalam surah Ghaafir ayat 75.

Berdasarkan paparan yang telah dikemukakan di atas, maka tidak boleh hukumnya seorang Muslim untuk menganjurkan, menghadirkan diri, mempromosikan ataupun membantu mengadakan perayaan-perayaan hari-hari besar yang tidak ada landasannya dalam Islam seperti sambutan tahun baru. Ini kerana ia termasuk perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti dalam surah al-Maaidah ayat 2.

Pun begitu, tidaklah pula menjadi kesalahan sekiranya setiap kali munculnya tahun baru, seseorang Muslim itu melakukan muhasabah terhadap apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan berusaha untuk membuat perancangan dalam memperbaiki apa jua kelemahan yang ada dalam diri masing-masing.

Oleh itu, apabila tibanya tahun baru maka tidaklah dilarang untuk seseorang itu menanamkan azam baru yang positif serta selari dengan syarak dan hendaklah pula dia bersungguh-sungguh untuk memastikan azam tersebut menjadi realiti dan bukan sekadar angan-angan.

Apa yang lebih baik, umat Islam mengutamakan tahun baru hijrah menurut kalendar yang telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dalam menetapkan azam baru ini. Penggunaan kalendar hijrah ini juga lebih wajar untuk diperluaskan dalam urusan-urusan harian seluruh umat Islam. Hendaklah umat Islam merasa bangga terhadap agama Islam yang dianutinya serta syiar-syiar yang berkaitan dengannya.

Janganlah kita menjadi umat yang tidak mempunyai pegangan, lantas mudah terikut-ikut dengan budaya-budaya asing yang cuba ditanamkan dalam masyarakat kita dengan tujuan untuk menjauhkan kita daripada jalan yang lurus lagi diredai Allah.

Hindarkan diri kita daripada menjadi ejen-ejen yang mempopularkan gaya hidup musuh-musuh Islam serta memasyhurkan budaya-budaya kuning mereka sehingga ia mengalahkan atau menggantikan cara hidup dan akhlak-akhlak yang Islamik.

Jumaat, 19 Disember 2008

BUKU TERBARU AKOB : BID’AH HASANAH : TOKOK TAMBAH AMALAN RASULULLAH


Assalaamu'alaikum Warahmatullah
Alhamdulillah sebuah lagi buku saya telah berada di pasaran dan kali ini saya mengupas satu isu yang sentiasa hangat dan kontroversi. Namun bagi saya penjelasan tentang hal ini tetap perlu diteruskan demi untuk menyemai budaya cintakan sunnah Nabi atau Ittiba’. Kali ini saya amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan seorang pendakwah muda yang berakhlak mulia serta tinggi ilmunya iaitu Ustaz Mohamad Khairi bin Nawawi. Secara kebetulan beliau juga merupakan graduan dari universiti yang sama seperti saya iaitu UIAM. Semoga buku ini dapat memperjelaskan isu yang kontroversi ini agar segala kekusutan yang membelakanginya dapat diuraikan secara ilmiah dan hikmah. Buku ini juga diharapkan agar dapat membangkitkan perasaan cintakan sunnah Nabi SAW serta menolak segala bentuk tokoh tambah dalam hal-hal berkaitan agama.
========================================

TAJUK : BID’AH HASANAH : TOKOK TAMBAH AMALAN RASULULLAH
PENULIS :
Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
PENYUNTING :
Ustaz Mohamad Khairi bin Nawawi
PENERBIT : Karya Bestari (Karangkraf)
MUKASURAT : 204
HARGA : Semenanjung Malaysia – RM10.00 Sabah / Sarawak – RM13.00
UNTUK MELANGGAN : Sila ke
http://www.alaf21.com.my/ atau hubungi 03-5511 8820 / 8821

Matlamat tidak menghalalkan cara. Begitulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan haramnya perbuatan menokok tambah atau bid’ah dalam ibadah. Pengharaman ini jelas disebut dalam al-Qur’an, sunnah mahupun kitab-kitab ulama terdahulu. Hakikatnya Islam telah sempurna dan tidak perlu kepada tokok tambah. Bahkan perbuatan ini dapat memburukkan wajah Islam dek timbulnya percanggahan fakta dan amalan yang membebankan umat. Tambahan pula, ia menjadi punca perpecahan umat Islam.

Malangnya, terdapat pihak yang cuba menghalalkan tokok tambah dalam agama dengan menyatakan ia Bid’ah Hasanah. Alasan merela ialah: “Apa salahnya? Amalan ini baik dan ini ibadah, bukannya maksiat.” Mereka juga menggunakan kata-kata Imam al-Syafie dan ulama-ulama lain sebagai hujah menyokong kenyataan mereka.

Bolehkah kita melakukan tokok tambah dalam agama dengan alasan niat yang baik? Adakah benar para ulama khususnya mazhab Syafie membenarkan tokok tambah dalam ibadah? Segala kemusykilan serta salah faham berhubung dalil-dalil yang membolehkan bid’ah hasanah ini dikupas dan diolah di dalam buku ini dengan hujah yang jelas daripada al-Qur’an dan al-Sunnah.

Khamis, 18 Disember 2008

SOAL JAWAB TENTANG MAAL HIJRAH


Soalan Sempena Sambutan Tahun Hijrah

Ditanya Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin Mengenai Beberapa Soalan Tentang Sambutan Hijrah

Soalan: Adakah Nabi s.a.w mula berhijrah pada bulan Muharram seperti difahami oleh kebanyakan masyarakat awam di Malaysia ini?

Jawapan: Sebenar ahli-ahli sejarah meriwayatkan bahawa baginda s.a.w keluar dari rumah baginda menuju rumah Abu Bakar untuk berhijrah adalah pada bulan Safar. al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam buku sirahnya yang terkenal Al-Rahiq al-Makhtum mencatatkan bahawa pada 27 Safar bersamaan dengan 13 September tahun 622M. Kemudian di Gua Thur. Pada hari pertama Rabiul Awwal bersamaan 16 September barulah baginda bergerak ke Madinah atau yang dikenali dengan nama Yasrib ketika itu. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan dengan 23 September barulah baginda sampai ke Quba. Baginda berada selama empat hari di Quba dan mengasaskan Masjid Quba. Kemudian pada hari Jumaat minggu tersebut barulah baginda memasuki Madinah.

Dengan ini, maka sangkaan sesetengah pihak bahawa Nabi s.a.w berhijrah pada bulan Muharram adalah tidak tepat. Sebaliknya bulan Muharram adalah bulan pertama dalam perkiraan Arab. Maka tahun hijrah dikira bukan kerana Nabi s.a.w berhijrah pada Muharram, tetapi kerana tahun berkenaan berlakunya peristiwa hijrah. Maka tahun peristiwa itu berlaku dikira sebagai tahun pertama. Adapun bulan Muharram sememangnya bulan pertama bagi tahun Arab seperti Januari bagi tahun masihi.

Soalan: Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w?

Jawapan: Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin. Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan. Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu. Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.

Soalan: Apakah kita langsung kita tidak boleh mengadakan sebarang majlis pada awal tahun hijrah?

Jawapan: Sambutan Hijrah ini tidak boleh buat atas asas ianya amalan khas agama ini. Ini kerana kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada mengada-adakan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam soal ibadah atau menokok tambah agama sedangkan baginda bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” Riwayat Muslim.

Namun majlis mengingatkan rakyat tentang tahun baru ini -pada pandangan saya- boleh diadakan atas adat negeri atau bangsa dengan tujuan mengingatkan rakyat tentang tarikh baru sesuatu tahun dengan itu lalu membolehkan mereka merancang aktiviti dan menimbulkan semangat kesepakatan serta kesungguhan. Perhimpunan menggerakkan semangat pencapaian dan kerja adalah urusan kehidupan yang diboleh syarak selagi tiada dalil tentang keharamannya. Ia bukan ibadah khusus. Di samping itu, seperti mana apabila kita melintasi sesuatu tempat atau negeri kita menyebut tentang sejarahnya, demikian apabila kita melintasi sesuatu tarikh kita menyebut tentang sejarahnya. Sebagai satu pengajaran dan proses pembelajaran. Ia dibolehkan. Namun ibadah yang khusus sempena tarikh berkenaan tidak boleh dilakukan melainkan terdapat dalil yang sabit daripada baginda Nabi s.a.w.

MAAL HIJRAH 1430 : Berhijrah Menuju Kepada Allah & Rasul


BERHIJRAH MENUJU KEPADA ALLAH DAN RASUL
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sebagaimana yang telah maklum kalendar Islam telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. Beliau dan para sahabat telah memutuskan untuk meletakkan tarikh permulaan kalendar Islam ini pada tahun di mana Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berpindah dari Mekah yang dikuasai oleh golongan musyrikin ke Madinah kerana begitu pentingnya peristiwa tersebut terhadap kejayaan dakwah Islam. Namun Maal Hijrah yang muncul setiap tahun hanya dilihat sebagai sambutan kedatangan tahun baru bagi umat Islam. Kebanyakkan umat Islam gagal menghayati semangat hijrah sebenar yang pada hakikatnya dapat memberi kesan yang begitu besar terhadap umat Islam.

Hijrah dari segi bahasa bermaksud meninggalkan atau berpindah. Dari segi istilah hijrah memiliki dua makna.

PERTAMA ia bermaksud berpindah dari negeri syirik menuju ke negeri Islam. Hijrah dalam erti ini adalah sebagaimana hijrah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya yang meninggalkan kampung halaman mereka di Mekah menuju ke Madinah. Ada yang berpendapat dengan berakhirnya penghijrahan tersebut maka tidak ada lagi hijrah setelah itu. Perkara ini dapat disangkal dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” – Hadis riwayat Abu Dawud no 2120

Oleh itu bagi umat Islam yang bermastautin di negara yang dikuasai oleh orang kafir dan tidak berupaya untuk mengamalkan agamanya malah ditindas maka diwajibkan baginya untuk berpindah ke negara Islam yang lain sekiranya memiliki kemampuan. Dalil yang mewajibkan hijrah sebegini adalah firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” – al-Nisaa’ : 97

Tetapi hijrah sebegini tidak diwajibkan bagi mereka yang tidak memiliki kekuatan dari segi fisikal mahupun ekonomi untuk berpindah. Firman-Nya: “Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” – al-Nisaa’ : 98-99

KEDUA, hijrah bermaksud meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah menuju kepada yang diperintahkan-Nya. Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang Muslim adalah seseorang yang kaum Muslimin selamat dari gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 6484

Imam Ibnul Qayyim r.h mengistilahkan hijrah seperti ini sebagai hijrah dengan hati menuju Allah dan Rasul-Nya. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Allah maka ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah pertama dalam syahadah kita iaitu Laa ilaaha illa Allah. Maka hijrah dalam hal ini menuntut kita untuk mengikhlaskan segala amal ibadah kita hanya kepada Allah. Hendaklah kita meninggalkan segala amalan-amalan yang berunsur syirik dan menyemai benih-benih tauhid kepada seluruh umat Islam. Kita harus mempertingkatkan usaha untuk membersihkan umat Islam dari perkara-perkara yang dapat mencemari aqidah umat Islam. Segala perkara khurafat, tahyul dan syirik harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Di antara amalan-amalan yang mencemari aqidah yang masih berleluasa di kalangan umat Islam di Malaysia adalah kebergantungan kepada bomoh, memakai tangkal serta azimat, berdoa kepada selain daripada Allah, bertawakal kepada selain daripada Allah, bertawassul kepada kuburan-kuburan yang dianggap keramat, menyakini ramalan-ramalan tukang ramal dan banyak lagi.

Manakala hijrah menuju kepada Nabi s.a.w. adalah proses untuk menerapkan konsep Ittiba’ al-Rasul iaitu satu upaya untuk mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Rasul, ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah ke dua dalam syahadah kita iaitu Muhammadur Rasulullah.

Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 2697

c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain melebihi perintah baginda tersebut.

d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata: “Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini.” – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.: “Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlid Nabi. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa tidak termasuk dalam amalan sunnah.

2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih sebagai ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.

4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam solat secara sengaja maka solat tersebut terbatal.

5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman daging babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana terdapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an untuk memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.

Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:

a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya serta menghapuskan dosa-dosa. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31

b) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32

c) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65

d) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih daripada Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63

e) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21

f) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36

g) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 7280.

h) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w..

Oleh itu sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini marilah kita berusaha untuk menerapkan konsep hijrah yang sebenar agar ianya memberi satu manfaat yang besar dalam hidup setiap umat Islam.