Selasa, 19 Mei 2009

Mazhab Imam al-Syafi'i Terhadap Hadis Ahad

Buku yang semestinya dimiliki dan dibaca oleh setiap pencinta ilmu.


MAZHAB IMAM AL-SYAFI’I TERHADAP HADIS AHAD
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Kita di Malaysia lebih mengenali Mazhab al-Syafi’i sebagai satu mazhab dalam hukum-hukum fiqh. Sebenarnya Mazhab al-Syafi’i merangkumi semua cabang-cabang Islam seperti akidah, hadis dan sebagainya. Dalam artikel ini penulis ingin perkenalkan Mazhab al-Syafi’i dari sudut Sunnah dan Hadis.

Al-Imam al-Syafi`i sebagai pembela sunnah.

Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah (150H-204H) diperkenalkan oleh al-Imam al-Zahabi, seorang ahli sejarah yang ulung seperti berikut:

"Muhammad bin Idris bin ‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hisyam bin al-Mutallib bin ‘Abd Manaf bin Qusaiy bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Luaiy bin Ghalib. Beliau adalah Imam, ‘alim zamannya, pembela sunnah, faqih agama, Abu ‘Abd Allah al-Qurasyi (keturunan Quraisy), juga al-Mutallibi (keturunan al-Mutallib) al-Syafi’i (keturunan al-Syafi’i) al-Makki. Kelahiran Ghazzah, bernasab (berketurunan) Rasulullah s.a.w." (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`)

Al-Imam Ahmad rahimahullah berkata : “Sungguh Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah adalah seorang pembela sunnah.” Tambah Al-Imam Ahmad rahimahullah lagi , “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikut sunnah seperti Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah.” Al-Imam Ahmad rahimahullah seterusnya berkata, “Di antara kesungguhan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah yang terpuji adalah apabila ia mendengar hadis yang belum ada padanya, maka ia mengambilnya dan meninggalkan pendapatnya.” (al Baihaqi, Manaqib al-Syafi’i, 1/471 & 476).

Beberapa kenyataan dari beliau di bawah ini akan dapat memberi satu gambaran yang lebih jelas tentang kesungguhan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah untuk mengikuti sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sehingga beliau digelar sebagai pembela sunnah (Nashir al-sunnah).
"Apabila hadis itu sahih, maka dia adalah madzhabku." (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 58)

“Setiap apa yang aku katakan, sedangkan dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terdapat hadis sahih yang bertentangan dengan perkataanku, maka hadis nabi adalah lebih utama. Oleh itu, janganlah kamu mengikutiku (bertaqlid padaku)." (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 59)

"Kaum muslimin telah sepakat bahwa barang siapa yang telah terang baginya Sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengikuti perkataan seseorang." (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 58)

Seorang lelaki berkata kepada al-Imam al-Syafi`i: “Apakah engkau akan berpegang dengan hadis ini, wahai Abu ‘Abd Allah?”. Jawab beliau: “Apabila diriwayatkan daripada Rasulullah sesuatu hadis yang sahih dan aku tidak mengambilnya, maka ketahuilah bahawa akalku telah hilang”. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)

Kata al-Humaidi: Suatu hari al-Syafi`i meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?”. Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasululah shallallahu 'alaihi wasallam lalu aku tidak berpegang dengannya. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)

“Langit manakah yang akan memayungiku, bumi manakah yang akan menanggungku, jika aku meriwayatkan hadis daripada RasululLah shallallahu 'alaihi wasallam lalu aku tidak berpegang kepadanya” (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)

“Setiap hadis daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku” (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/35)

“Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku. Jika sahihnya sesuatu hadis maka campakkan pendapatku ke dinding”. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/35)

“Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, 'Ilam al-Muwaqqi'iin, 2/263)

Demikianlah mazahab Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah terhadap sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kepada kita semua yang bermazhab syafi’i.

Mazhab Al-Imam al-Syafi`i dalam menerima hadis ahad.

Sebelum kita melihat pegangan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah terhadap hadis ahad, kita akan terlebih dahulu meneliti mazhab Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dalam menerima atau menolak sesebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Semoga dengan pemahaman yang benar dalam syarat-syarat sah dan diterimanya hadis menurut Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah, ianya akan dapat kita jadikan pedoman dalam berinteraksi dengan sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam termasuk hadis-hadis yang berstatus ahad.

Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah bercerita:

Ada seorang berkata: “Sebutkan kepadaku batas minimum syarat untuk diterima hujjah terhadap ahli ilmu sehingga berita atau riwayat orang khusus diterima dan dianggap (benar) bagi mereka."

Aku (Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah) menjawab : "Riwayat satu orang dari satu orang, hingga sampai kepada Nabi atau hingga kebawah (peringkat terakhir / paling bawah). Hujjah dan perbahasan dengan riwayat satu orang tidak dapat diterima kecuali jika memenuhi sejumlah kriteria.

Di antara kriteria itu adalah yang meriwayatkan adalah seorang tsiqah (terpercaya) dalam agama, dikenal jujur dalam berbicara, faham dengan apa yang diriwayatkannya, mengetahui maksud lafaz, dan ketika menyampaikan hadis ia menyampaikan sesuai dengan apa yang didengar tepat dengan huruf-hurufnya dan tidak menyampaikannya dengan makna (dengan lafaz dari dia sendiri). Kerana bila ia meriwayatkannya dengan makna (dengan pemahaman dia sendiri), padahal ia tidak mengetahui maksud lafaz, maka mungkin terjadi ia salah memahami sehingga seharusnya haram, malah ia katakan halal. Dan apabila ia menyampaikannya (meriwayatkannya) dengan huruf-hurufnya, maka kesalahfahaman tersebut tidak akan terjadi. Ia harus meriwayatkannya seperti itu baik dengan cara dihafal atau ditulis.

Bila ada ahli penghafal hadis yang lain meriwayatkan hadisnya, maka riwayatnya harus sama dengan riwayatnya itu. Juga ia tidak tergolong seorang yang mudallis (menipu) dengan meriwayatkan dari seorang yang dijumpainya pada satu riwayat yang tidak didengar olehnya, ia harus meriwayatkan dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam riwayat yang tidak berbeza dengan apa yang diriwayatkan oleh orang-orang tsiqah daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Begitulah kriteria yang harus dimiliki mulai perawi terendah (paling bawah) hingga paling atas yang sampai kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Kerana masing-masing dari mereka diakui oleh orang yang mengambil riwayatnya dan oleh orang yang mengambil riwayat darinya, sehingga masing-masing dari mereka harus memenuhi kriteria ini." (Dr Muhammad AW al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i rahimahullah Ta’ala, 89)

Sekian kata-kata Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah yang darinya boleh kita membuat satu kesimpulan bahawa beliau menerima hadis dan mengikutinya dengan syarat hadis itu sahih dari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan tidak membezakan antara hadis ahad atau hadis mutawatir. Kriteria yang telah ditetapkan oleh Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah ini adalah sama dengan kaedah yang telah dibuat oleh Ulama’ Hadis dalam bidang musthalah iaitu:
Sanadnya tersambung (tidak putus / muttashil)

Para Perawinya adil

Perawinya dhabit (tepat dan sempurna hafalannya)

Selamat dari syadz. Yang dimaksudkan syadz adalah riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat orang lain yang lebih tsiqah darinya.

Selamat dari 'illat atau cacat yang membuatnya cela.

Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah mengomentari ucapan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah di atas sebagai berikut :

"Siapa sahaja yang memahami ucapan al-Imam al-Syafi`i rahimahullah pada bab ini, pasti ia akan mendapati, bahwa al-Imam al-Syafi`i rahimahullah telah merangkum kaedah-kaedah yang sahih tentang ilmu al-hadis (al-Musthalah), dan bahawa dialah yang pertama kali menjelaskan secara jelas tentangnya, dia juga sebagai pembela hadis serta orang yang berhujah tentang wajibnya mengamalkan sunnah. Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah juga memberi bantahan terhadap orang-orang yang menentang dan menolak hadis. Benarlah penduduk Makkah yang menggelari al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dengan gelar Nashir al-Sunnah (pembela sunnah), semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala meridhainya." (Dr Muhammad AW al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, 89)

Demikian serba ringkas tentang mazhab al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dalam mengesahkan dan menerima sesebuah hadis yang boleh kita semua jadikan sebagai pedoman dan inilah manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang sebenar.

Sikap Al-Imam al-Syafi`i terhadap hadis ahad

Para ulama hadis dan usul fiqh masa kini membahagikan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada dua bahagian, mutawatir dan ahad.

Hadis mutawatir adalah hadis yang diriwayatkan oleh ramai perawi sehingga mustahil terjadi pendustaan atau kesilapan dari mereka dalam meriwayatkan hadis tersebut. Sedangkan hadis ahad ialah hadis yang tidak memenuhi syarat-syarat mutawatir. Ianya hanya diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi sahaja. Hadis ahad juga terbahagi kepada sahih, hasan dan dha’if. Hadis ahad yang sahih dan hasan merupakan hujah sedangkan yang dha’if bukan hujah.

Terjadi perbezaan pendapat tentang hadis ahad sama ada ianya menunjukkan ilmu yang yakin atau hanya dugaan (dzan) sahaja. Secara amnya ada empat pandangan ulama’ berkaitan dengan isu ini.

Kelompok yang pertama menyatakan hadis ahad menunjukkan ilmu yang yakin secara mutlak, baik ianya didukungi oleh beberapa qarinah (petunjuk) ataupun tidak. Asalkan saja persyaratannya menunjukkan ia sebuah hadis yang sahih menurut kaedah ilmu hadis, maka hadis tersebut menghasilkan ilmu yang yakin walaupun ianya hadis ahad.

Kelompok yang kedua menyatakan hadis ahad menunjukkan dzan secara mutlak, baik didukungi beberapa qarinah atau tidak. Kelompok ini sama sekali tidak berhujah dengan hadis ahad baik dalam hal aqidah mahupun hukum-hakam.

Kelompok yang ketiga menyatakan hadis ahad hanya boleh diterima dalam masalah hukum sahaja tetapi tidak menjadi hujah kepada masalah aqidah kerana perkara berkaitan aqidah harus datang dari ilmu yang yakin secara seluruhnya.

Kelompok yang keempat menyatakan hadis ahad menujukkan ilmu yang yakin apabila disokong oleh beberapa qarinah atau tanda-tanda yang memberi keyakinan.

Berkaitan dengan perbezaan pendapat ini Al-Imam al-Syaukani rahimahullah berkata:

"Ketahuilah, bahawa perbezaan pendapat yang kami sebutkan pada awal perbahasan ini, iaitu perbahasan tentang hadis ahad, bahawa hadis ahad itu menujukkan ilmu yang yakin atau dzan, terikat oleh syarat, iaitu bila hadis tersebut tidak ada hadis lain yang memperkuatkannya. Adapun jika wujud hadis yang memperkuatkannya, atau hadis tersebut masyhur atau mustafidh, maka tak ada perbezaan pendapat antara ulama seperti yang telah disebutkan." (Dr Muhammad AW al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, 90)
Syaikh al Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah pula berkata:

"Para ahli usul fiqh dari pengikut Al-Imam Abu Hanifah, Al-Imam al-Syafi'i dan Al-Imam Ahmad rahimahumullah berpendapat : Jika hadis ahad diterima oleh umat dengan menyakini dan mengamalkannya, maka ia menunjukkan ilmu yang yakin, kecuali menurut sekelompok kecil pengikut ahli ilmu kalam yang mengingkarinya." (Majmu' al Fatawa, 18/41-48)

Menurut Al-Imam al-Futuhi rahimahullah:

"Ibnu 'Aqil, Ibnu al-Jauzi, al-Qadhi Abu Ya'la, Abu Bakr al-Baqilani, Ibnu Hamid, Ibnu Barhan, Fakhruddin ar-Razi, Al-Amidi rahimahumullah dan yang lainnya berpendapat, bahawa apa yang diriwayatkan secara perseorangan dari umat yang disepakati dan diterima oleh umat, maka ia menunjukkan ilmu yang yakin." (Dr Muhammad AW al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, 91)

Dalam mengambil dan meriwayatkan hadis ahad para sahabah dan generasi sesudah mereka yang terdiri dari para tabi'in dan tabi’ut tabi’in (generasi salaf al-ummah), berijma' (sepakat) atas wajibnya mengamalkan hadis ahad dan tidak ada yang berselisih akan hal ini kecuali kelompok yang bukan dari kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah seperti Mu'tazilah dan Rafidhah. Maka pendapat yang menyelishi kesepakatan generasi salaf al-ummah ini merupakan pendapat yang baru (muhdats) dan pendapat yang bid’ah.

Ini sebagaimana ditekankan oleh al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah:

"Keharusan mengamalkan hadis ahad itu adalah pendapat seluruh tabi'in dan para fuqaha sesudahnya diseluruh negeri hingga kini. Tidak ada keterangan yang sampai kepadaku tentang adanya salah seorang dari mereka yang menentang atau menyalahinya." (Dr Muhammad AW al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, 91)
Dr. Abdullah bin Shalih al-Fauzan berkata,

“… wajib mengamalkan apa yang terkandung dalam hadis ahad dengan menyakini (kebenarannya) jika ia berbentuk berita, dan dengan mengamalkannya jika berupa thalab (tuntutan, iaitu perintah dan larangan), dengan syarat, hadis itu sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Menurut pendapat yang benar, berdasarkan keumuman dalil-dalil yang mewajibkan beramal dengan hadis ahad, (maka) tidak ada perbezaan tentang hal itu antara ahkam (hukum-hakam) dan aqaid (keyakinan atau aqidah). ……Ketahuilah, bahawa membezakan antara aqaid dan ahkam di dalam berdalil dengan hadis ahad, merupakan pendapat yang anih dan baru yang tidak ada dalilnya dari al-Kitab dan al-Sunnah. Bahkan menyelisihi yang ada pada (bercanggah dengan pendapat) al-salaf al-salih. (Dr. Abdullah bin Shalih Fauzan, Syarh al-Waraqat, 214)

Kesimpulannya generasi salaf al-Ummah telah menggunakan hadis ahad dalam seluruh perkara agama baik dalam masalah aqidah mahupun masalah hukum-hakam. Setiap hadis sahih yang datang daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka mereka menerimanya, mereka menggunakannya sebagai hujah dan mereka mengharamkan untuk menolaknya atau berselisih dengannya walaupun ianya berstatus ahad. Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah telah membela mazhab salaf al-ummah ini dan tidak ada satu keterangan yang sahih dari Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah yang menunjukkan beliau melarang menggunakan hadis ahad atau membahagikan hadis ahad sebagai hanya boleh diterima dalam masalah hukum-hakam tetapi tertolak jika ianya menyentuh perkara berkaitan aqidah.

Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani,

“Menegaskan hal ini (penggunaan hadis ahad sebagai hujah), beliau (Al-Imam al-Syafi`i) telah menuliskan sebuah bab yang penting dalam kitab al-Risalah yang beliau beri judul “Dalil-dalil yang menetapkan kesahihan hadis ahad.” Kemidian beliau (Al-Imam al-Syafi`i) menerangkan beberapa dalil yang umum, baik dari al-Quran mahupun dari al-Sunnah yang menjelaskan kesahihan hadis ahad dalam masalah aqidah (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Hadits Sebagai Landasan Akidah dan Hukum, 93)

Sebagai contohnya beliau telah menerima hadis ru'yah (yang berstatus ahad) iaitu hadis yang menerangkan bahawa golongan umat Islam yang beriman akan melihat Allah Subhanahu wa Ta‘ala di hari akhirat nanti sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Al-Imam Baihaqi dalam kitab Manaqib al-Syafi'i dari Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah, bahawa ketika ia ditanya oleh Sa'id bin Asad tentang hadis ru'yah, ia berkata : "Hai Ibnu asad, hukumlah aku baik aku hidup ataupun mati, jika aku tidak mengikuti hadis sahih yang datang dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sekalipun aku tidak mendengarnya langsung." (Al-Imam al Baihaqi, Manaqib al-Syafi'I, 1/421) Ini menunjukkan sikap beliau yang tetap menerima sesebuah hadis asalkan sahaja ianya sahih, walaupun hadis tersebut berstatus ahad termasuk dalam perkara bersangkutan dengan aqidah.

Antara dalil yang digunakan oleh al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dalam penerimaan hadis ahad adalah peristiwa pindahnya kiblat dari Baitul Maqdis ke Makkah yang berlaku di Masjid Quba. Dengan sanadnya yang sampai kepada Abdullah bin 'Umar radhiallahu 'anhuma, al-Imam al-Syafi`i rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu 'Umar: Ketika orang-orang di Quba' sedang solat subuh, datanglah seseorang lalu ia berkata:

"Telah turun al-Qur'an kepada Rasulullah, beliau disuruh solat mengadap Ka'abah (di Makkah). Maka ketika mendengar berita itu, mereka (jamaah yang sedang solat) langsung memusingkan badan mereka yang pada waktu itu sedang menghadap ke arah negeri Syam (Baitul Maqdis) ke arah Ka'abah."

Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah berkata,

"Penduduk Quba' adalah orang-orang Ansar yang senantiasa bersegera kepada ketaatan. Mereka tidak melakukan hal itu kecuali kerana ada berita, sekalipun mereka tidak melihat Rasulullah dan tidak mendengar ayat tentang perubahan kiblat itu daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam secara langsung. Mereka juga melakukan ketaatan itu sekalipun hanya dengan berita daripada satu orang (khabar ahad), yang penting si pembawa berita itu jujur. Mereka tidak melakukannya kerana berita daripada satu orang, melainkan kerana mereka tahu dan yakin bahawa berita daripada yang jujur seperti itu wajib dipercayai dan diterima sebagai dalil.

Mereka juga tidak membuat satu hal besar seperti ini dalam agama (iaitu perpindahan kiblat), melainkan atas dasar ilmu dan keyakinan bahawa mereka boleh membuat hal itu, mereka tidak perlu memberitahukan apa yang diperbuatnya (iaitu) berupa pindahnya arah kiblat kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan jika berita dari satu orang (khabar ahad) tentang perpindahan arah kiblat yang mereka terima itu hanya sekadar boleh diambil, tentu Rasulullah akan bertanya kepada mereka: "Kamu sedang menghadap kiblat, jangan kamu pindah arah kecuali setelah mengetahui dan yakin mendengarnya daripadaku atau dari orang banyak atau lebih dari satu orang (yakni khabar mutawatir)” (Al-Imam al-Syafi`i, al-Risalah, 401-408)

Kata-kata ini bagai petir yang menyambar muka-muka mereka yang telah berdusta atas nama beliau dengan menyatakan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah berpendapat hadis ahad tidak menunjukkan ilmu yang yakin. Berkaitan dengan hadis perpindahan kiblat ini Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah berkata,

“Hadis ini merupakan dalil yang sangat jelas yang menunjukkan bahawa para sahabah menerima hadis ahad sebagai hujah dalam menghapuskan suatu hukum dan menggantikannya dengan hukum baru. Andaikan khabar itu tidak termasuk hujah, maka mereka tidak akan menentang sesuatu yang telah terdapat hukumnya dengan khabar tersebut. Berkata al-Imam Ibn Qayyim rahimahullah, “Perbuatan mereka itu (menerima khabar ahad) tidak ditentang oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan beliau mensyukuri mereka akan hal itu.” (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Hadits Sebagai Landasan Akidah dan Hukum, 92)

Seterusnya al-Imam al-Syafi`i rahimahullah menyebutkan pula beberapa peristiwa yang terjadi di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu ketika baginda menghantar seorang utusan atau wakil dari kalangan para sahabat ke beberapa daerah untuk menyampaikan ajaran Islam yang tentu sekali akan membahaskan pelbagai isu agama termasuk aqidah. Berkata al-Imam al-Syafi`i rahimahullah:

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengutus Abu Bakar sebagai pimpinan pada musim haji pada tahun ke 9 yang diikuti oleh jama'ah yang jumlahnya banyak dari berbagai negeri. Abu Bakar menjalankan haji bersama mereka dan memberitahukan kepada mereka apa yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang perintah dan larangan. Pada tahun itu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengutus 'Ali bin Abi Thalib untuk membacakan kepada mereka pada Hari Nahar, rangkaian ayat dari surah bara'ah (surah at Taubah) .... Baik Abu Bakar mahupun 'Ali dikenali oleh penduduk Makkah sebagai orang yang jujur, takwa dan taat beragama, sedang jemaah haji yang tidak mengetahui tentang sifat keduanya diberitahukan oleh jemaah yang lain yang mengetahuinya. Jadi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengutus orang saat itu kecuali hanya satu orang (iaitu Abu Bakar) dan 'Ali, juga ketika mengutus untuk tugas lain. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga telah mengirim para sahabat ke berbagai negeri yang lain.

……Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengutuskan Mu'adz bin Jabal radhiallahu 'anh ke negeri Yaman untuk memerangi orang yang membangkang dan mengajari penduduk Yaman tentang apa yang difardhukan kepada mereka serta mengambil zakat yang harus mereka keluarkan. Kerana kedudukan dan kejujuran Mu'adz sudah terkenal daripada kalangan mereka, maka merekapun mematuhi perintahnya. Setiap orang yang diberi tugas oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan untuk memberitahukan kepada penduduk negeri, tempatnya menjadi kewajipan bagi mereka. Dan tidak ada seorang pun dari mereka yang saya (Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah) ketahui ketika datang seorang yang jujur yang diberi tugas oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk menyampaikan satu berita atau perintah), berkata: "Kamu itu hanya satu orang. Jadi kami tidak mempercayaimu tentang apa yang tidak kami dengar langsung dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam." (Al-Imam al-Syafi`i, ar Risalah, 401-408)
Anas bin Malik radhiallahu 'anh pernah menceritakan bahawa,

“Sesungguhnya penduduk Yaman telah datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka berkata, “Utuslah kepada kami seorang yang akan mengajarkan kepada kami al-Sunnah dan Islam.” Anas bin Malik berkata, “Maka bagindapun menggenggam tangan Abu Ubaidah dan berkata, ini adalah kepercayaan umat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari secara ringkas). Terhadap hadis ini Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah berkata,

“..jika hadis ahad bukan termasuk hujah, pasti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan mengutus Abu Ubaidah seorang diri. Demikian juga yang dikatakan pada utusan-utusan baginda yang lainnya ke beberapa negeri, seperti bila baginda mengutus Ali bin Abi Thalib, Muadz bin Jabal dan Abu Musa al-Asy’ari seperti tercantum dalam al-Sahihain (Shahih al-Bukhari & Shahih Muslim) dan yang lainnya.

Tidak diragukan lagi bahawa di antara ajaran mereka kepada kaumnya adalah hal-hal yang menyangkut persoalan aqidah. Seandainya hadis ahad bukan termasuk ukuran dalam penetapan sebuah dalil, tentu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak akan mengutus sahabatnya orang perseorangan kerana demikian itu merupakan suatu yang sia-sia. Hal ini juga telah diulas oleh Al-Imam al-Syafi`i dalam ar-Risalah, “Sesungguhnya baginda shallallahu ‘alaihi wasallam mengutus seorang kepada suatu kaum dengan membawa khabar. Jika baginda menginginkan, mungkin baginda langsung akan mendatangi kaum itu dan berbicara kepada mereka atau beliau mengutuskan kepada mereka beberapa orang, namun beliau hanya mengutus seorang yang diketahui kejujurannya.” (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Hadits Sebagai Landasan Akidah dan Hukum, 90-91)

Seterusnya al-Imam al-Syafi`i rahimahullah menggunakan surat keluarga 'Amr bin Hazm sebagai dalil untuk menerima hadis ahad. Surat tersebut merupakan surat yang ditulis sendiri oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk penduduk Yaman. Beliau shallallahu ‘alaihi wasallam mengirimnya kepada 'Amr bin Hazm. Kemudian surat itu sampai kepada keluarga 'Amr, lalu orang Yaman mengambil kandungan surat tersebut sebagai hujah.

Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah berkata:

"Ketika didapati pada keluarga 'Amr bin Hazm, ucapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang berbunyi : "Pada setiap jari tangan (jika dipatahkan) wajib diganti dengan 10 ekor unta, maka orang langsung mengambil hadis itu padahal sebelumnya mereka menolaknya kerana belum tahu bahawa ucapan itu adalah ucapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam." (Riwayat ini disahihkan oleh Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Suyuti dalam al-Durr al-Mantsur dan Ibnu 'Abdil Barr)

Semua hujah di atas membuktikan kedudukan sebenar hadis ahad di sisi umat generasi awal (Salaf al-Ummah) secara umum dan di sisi al-Imam al-Syafi’i secara khusus. Kita akhiri perbincangan ini dengan kata-kata al-Imam al-Syafi’i rahimahullah:

"Seandainya seseorang boleh mengatakan dalam ilmu khusus (hadis ahad), bahawa umat Islam dahulu mahupun sekarang boleh bersepakat atas diakui hadis ahad (diterima sebagai hujah), maka aku (al-Imam al-Syafi`i) akan mengatakannya hal itu juga. Aku tidak ingat (tidak tahu) tentang adanya perselisihan di kalangan ulama akan kehujahan hadis ahad." (ar-Risalah, 457)

Penutup

Inilah mazhab Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dalam menerima al-Sunnah dan hadis ahad sebagai hujah. Sudah jelas bagi kita Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah mewajibkan penggunaan al-Sunnah, termasuklah hadis ahad dalam semua perkara agama dan beliau juga tidak membezakan penggunaannya (hadis ahad) dalam masalah aqidah dan masalah yang lain. Kita juga dapat melihat bahawa Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dan Imam-Imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang lain telah sepakat untuk menggunakan hadis ahad dalam isu seperti azab kubur, soal jawab munkar & nakeer, turunnya Imam Mahdi & Isa al-Masih, syafaat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di hari akhirat, Tawheed Asma was Sifat, hadis ru'yah dan banyak perkara lagi.

Kita harus berhati-hati dengan satu arus yang agak kuat dewasa ini yang dibawa oleh musuh-musuh Islam untuk menentang Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi berselindung di sebalik isu hadis ahad. Objektif yang utama adalah untuk menimbulkan keraguan dalam masyarakat Islam terhadap hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Musuh-musuh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sememangnya senantiasa membenci Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, malah seboleh-bolehnya mereka inginkan umat Islam agar menjauhkan diri dari sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Ternyata dengan menolak penggunaan hadis ahad sebagai hujah boleh menggoyahkan institusi sunnah kerana hadis yang tarafnya mutawatir hanyalah sedikit. Secara tidak langsung dengan menolak penggunaan hadis ahad, begitu banyak hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih akan tersisih dari masyarakat Islam.
Nasihat saya kepada para pembaca yang budiman sekalian adalah kekal dengan manhaj yang telah disepakati oleh para salaf al-ummah. Inilah generasi yang telah dijamin oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai generasi yang terbaik untuk dijadikan contoh ikutan sebagaimana sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:

"Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiut tabiin)" (Hadis riwayat al-Bukhari)

al-Imam al-Auza’i (157H) rahimahullah pernah berpesan:

Bersabarlah dalam menetapi sunnah, berhentilah pada saat kaum (salaf al-Ummah) berhenti, katakanlah sebagaimana perkataan mereka dan diamlah sebagaimana mereka diam. Berjalanlah di atas jalan mereka yang terdahulu (al-Salaf) kerana jalan tersebut akan menghantar kepada tujuan yang telah mereka capai. (Diriwayatkan oleh al-Ajurri dalam al-Syari‘ah).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan