Jumaat, 12 Jun 2009

Kamus Al-Farid unik, terkini dan komprehensif

Dr. Mohd. Puzhi Usop (kanan) dan Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid bersama Kamus Al-Farid semasa kunjungan mereka ke pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini.



Kamus Al-Farid unik, terkini dan komprehensif
Oleh ZUARIDA MOHYIN
UTUSAN MALAYSIA 12hb Jun 2009


LAMBAKAN kamus-kamus di pasaran telah memberikan pelbagai alternatif pilihan kepada pengguna untuk memahami, menguasai serta memperkayakan sesuatu bahasa secara berkesan.
Apatah lagi, berada pada abad ke 21 ini menyaksikan bidang perkamusan begitu pantas berkembang sehingga sukar dipastikan kualiti bahan-bahannya.

Pun begitu, kita masih kurang penerbitan kamus-kamus berbahasa Arab yang menepati cita rasa masyarakat Malaysia serta sesuai dengan persekitaran sini. Ini kerana kebanyakan kamus yang berada di pasaran kini adalah terbitan dari negara-negara Arab.

Oleh itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif menerbitkan sebuah kamus bahasa Arab, Al-Farid yang diharapkan dapat menjadi alternatif kepada pengguna.

Kamus ini adalah hasil gemblengan tenaga sekumpulan pensyarah berpengalaman dari Jabatan Bahasa al-Quran, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Mereka ialah Dr. Mohd. Puzhi Usop, Ustaz Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, Ustazah Norasmazura Muhammad, Ustazah Marzidah Hashim dan Ustazah Raja Munirah Raja Sulaiman.

Menurut Mohd. Puzhi yang juga merupakan Ketua Jabatan Bahasa al-Quran di Pusat Bahasa UIAM menjelaskan, pilihan nama al-Farid dipilih bertepatan dan bersesuaian dengan maknanya iaitu 'unik'. Keunikan pendekatan yang digunakan dalam menghasilkan kamus tersebut.

"Keistimewaan utama kamus ini ialah ia bersifat user friendly atau mesra pengguna. Ini kerana ia dapat membantu pengguna untuk mencari makna perkataan dengan mudah dan pantas.

"Pengguna tidak perlu bersusah payah untuk mencari kata dasar (masdar) sesuatu perkataan, sebaliknya hanya perlu merujuk kepada huruf pertama pada setiap perkataan. Contohnya perkataan masjid, pengguna cuma perlu mencari di huruf 'mim' dan bukan merujuk kata dasar kepada masjid iaitu 'sajada'. Yang pasti, teknik atau pendekatan ini sangat membantu dan menjimatkan waktu," katanya yang turut ditemani Mohd. Azrul Azlen dalam usaha mempromosikan kamus tersebut di pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah mereka juga, kekuatan kamus ini juga terletak pada penggunaan tri-bahasa, di mana setiap enti bahasa Arab diterangkan secara sepenuhnya menggunakan tiga bahasa iaitu Bahasa Arab - Bahasa Inggeris - Bahasa Malaysia. Kaedah ini adalah julung-julung kalinya digunakan dalam penerbitan kamus bahasa Arab.

"Selain itu, keistimewaan kamus ini juga dilihat pada kata kerja suruhan yang dilengkapkan kepada setiap kata kerja yang diberikan. Pendekatan ini bukan sahaja dapat menambahkan perbendaharaan kata pelajar dan pembaca malah memudahkan mereka untuk berkomunikasi serta membantu menggunakan kata kerja tersebut dengan betul dan tepat.

"Sementara itu, setiap entri yang terdapat dalam kamus ini merangkumi perkataan-perkataan pilihan yang penting, relevan dan sering digunapakai dalam kehidupan seharian. Ia juga memuatkan perkataan-perkataan yang terkandung dalam sukatan pelajaran KBSM dan J-Qaf. Secara tidak langsung ia menjadi kamus yang ideal untuk rujukan pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, tenaga pengajar bahasa Arab serta orang awam.

"Kamus al-Farid ini juga unik dengan adanya sentuhan terhadap kata mufrad dan jamak, perkataan seerti dan berlawan. Tajuk sebegini jarang terdapat pada kamus-kamus yang sedia ada di pasaran sekarang," terangnya akan nilai tambah dan pelengkap yang menjadikan Al-Farid lebih unik, terkini dan komprehensif.

Malah kamus ini juga dilengkapi dengan lebih daripada 50 tajuk-tajuk pengkhususan yang amat relevan dengan suasana di Malaysia dan ia dianggap dapat membantu pembaca. Antaranya;

l Nama Allah, sifat wajib dan sifat mustahil bagi-Nya

l Nama-nama surah dalam al-Quran serta maknanya

l Bacaan dalam solat, doa dan zikir harian

l Ucapan-ucapan harian dalam bahasa Arab

l Istilah-istilah khas untuk komputer, tatabahasa, pos dan lain-lain

l Nama-nama negara, kementerian, pertubuhan, institusi pengajian tinggi dan sebagainya

l Alamat-alamat laman web bahasa Arab

Tiada ulasan:

Catat Ulasan