Khamis, 6 Ogos 2009

ISA Menurut Siasah Syar'iyyah


Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Menurut Siasah Syar’iyyah
Ustaz Lokmanulhakim Bin Hussain @ Abu Umair


Bismillah. Selawat dan Salam ke atas Rasulillah Sallallahu Alaihi Wasallam.

PENDAHULUAN

Sejak Kerajaan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali dengan ISA pada tahun 1960, banyak kontroversi timbul tentang akta ini. Tidak berperikemanusiaan, zalim, melanggar hak asasi manusia, bercanggah dengan Quran dan Sunnah, dan pelbagai reaksi diutarakan oleh sebahagian masyarakat.

“….Rakyat negara ini perlu berani membuat anjakan paradigma dalam menyatakan sokongan bagi membantah kezaliman dan kejahatan ISA yang digunakan sejak zaman penjajahan dulu….” Seru seorang wartawan dalam sebuah artikel akhbar politik tanahair.

Benarkah dakwaan bahawa ISA secara prinsipnya ialah satu kezaliman? Tepatkah kenyataan bahawa penahanan tanpa bicara tidak ada langsung sandarannya dalam syarak? Oleh itu akta ini wajib dihapuskan daripada undang-undang sesebuah negara bertamadun?

Atau mungkinkah penggunaan ISA pada asasnya diizinkan syarak, cuma perlaksanaannya mestilah dengan cara yang hak dan tidak menzalimi tahanan?

KONSEP PENAHANAN DALAM ISLAM

Dalam ilmu Qadha’ dan Politik Islam dibicarakan mengenai hukuman penahanan, atau penjara. Perlaksanaan penahanan atau penjara secara dasar diharuskan dalam Islam. Bahkan ulama bersepakat tentang fakta ini, berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Sunnah.

Penahanan seseorang individu oleh pihak berkuasa tidak semestinya disebabkan kesabitan jenayah oleh Mahkamah. Ada juga penahanan individu kerana langkah berwaspada demi menjaga maslahah umum dan mengelakkan keburukan. Oleh itu, sarjana Islam membahagikan motif penahanan kepada dua kategori:

Pertama: Penahanan Untuk HukumanKedua: Penahanan Untuk Waspada

PENAHANAN UNTUK HUKUMAN

Penahanan hukuman ialah perlaksanaan penjara terhadap individu yang sudah sabit kesalahannya di mahkamah. Ia biasanya berkuatkuasa selepas mahkamah mensabitkan kesalahan seseorang individu dan menjatuhkan hukuman takzir penjara terhadapnya. Motif tahanan jenis ini ialah sebagai hukuman atau balasan kesalahannya supaya diambil pengajaran oleh dirinya dan masyarakat secara amnya.

PENAHANAN UNTUK WASPADA

Penahanan untuk waspada pula ialah penahanan terhadap individu yang belum disabitkan kesalahannya di mahkamah. Tetapi disebabkan maslahah, dia perlu ditahan sementara waktu.
Penahanan jenis ini dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Antaranya penahanan individu yang ditohmah melakukan kesalahan. Ia dikenali dengan tahanan reman. Tahanan reman bertujuan agar siasatan dapat dilakukan terhadap suspek secara menyeluruh.

Sungguhpun tahanan reman adalah tahanan terhadap individu sebelum dibicarakan di mahkamah, ia dibenarkan oleh syarak. Kerana tahanan jenis ini bermotifkan maslahah yang kuat, iaitu menjalankan soal siasat terhadap suspek.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap seorang Yahudi yang dituduh membunuh seorang wanita dengan cara memecahkan kepalanya menggunakan batu. Selepas diambil pengakuan daripadanya, barulah dijatuhkan hukuman qisas terhadapnya. Peristiwa ini boleh dijadikan dalil bahawa perintah tahanan reman ada sandaran daripada syarak.

Antara jenis penahanan untuk waspada juga ialah penahanan individu yang dipercayai membawa ancaman kepada keselamatan awam atau keamanan negara. Biarpun individu itu tidak boleh didakwa di mahkamah, tetapi kewujudannya di tengah-tengah masyarakat boleh membawa mudarat terhadap orang awam dan keselamatan.

Jika pemerintah berpendapat bahawa seseorang individu memberi ancaman keselamatan, tetapi tidak ada bukti untuk ditohmah, maka pemerintah boleh menahannya sementara waktu sehingga ke satu tempoh yang sesuai.

Dalilnya, kisah Abu Sufian yang menghantar seorang lelaki ke Madinah untuk membunuh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Allah Taala telah mengkhabarkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tentang perancangan lelaki tersebut. Lalu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengeluarkan arahan supaya dia ditangkap.

Apabila ditangkap, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan dia mahu melakukan pembunuhan kerana dia sudah awal-awal lagi menyembunyikan senjatanya. Pun begitu demi kemaslahatan, baginda mengarahkan supaya lelaki ini ditahan di rumah seorang sahabat, Usaid bin Hudhair.

Kisah ini menunjukkan harus bagi pemerintah mengeluarkan arahan tahanan terhadap seseorang yang dilihat membahayakan keselamatan, sekalipun dia belum melakukan jenayah apatah lagi untuk dibicarakan di mahkamah. Penahanan orang seperti ini adalah berasaskan kepercayaan pemerintah bahawa kewujudannya di tengah-tengah masyarakat membawa bahaya.

Tetapi tempoh penahanan mestilah sekadar keperluan dan tidak dilakukan penganiayaan terhadap tahanan.

Ulama menyebut antara bentuk penahanan tanpa kesabitan kesalahan ialah jika berlaku pemberontakan oleh satu-satu kumpulan, kerajaan boleh menahan anak isteri para pemberontak buat sementara waktu supaya mereka tidak terpengaruh dan bersama-sama mengikut jejak pemberontak. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan pun, tetapi demi maslahah yang lebih besar mereka ditahan.

Maka difahami bahawa keizinan dikuatkuasakan penahanan tanpa bicara mahkamah, adalah kerana maslahah umum. Oleh itu pihak yang berhak mengeluarkan arahan ini ialah Ketua Negara.

AKTA ISA DARI SUDUT SYARAK

Berbalik kepada akta yang termaktub dalam perlembagaan negara kita. Bagi saya, akta ISA termasuk dalam kategori penahanan untuk waspada. Penahanan jenis ini di dalam siasah syar’iyyah adalah di bawah bidang kuasa pemerintah. Maka ia diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Agak kurang tepat orang yang berpendapat ia langsung tidak ada dalam Islam atau bercanggah dengan Quran dan Sunnah.

Cuma dari sudut perlaksanaan akta ini di negara kita, didapati ia tidak menepati syarat dan etika yang digariskan dalam siasah syar’iyyah. Berikut adalah contohnya:

1. Syarak membenarkan penahanan untuk waspada dalam kes-kes yang memberi ancaman kepada keselamatan, atau keamanan samada individu tertentu atau masyarakat. Tetapi apa yang berlaku hari ini, mereka yang tidak membahayakan keselamatan pun turut menjadi mangsa. Dibimbangi akta ini hanya menjadi benteng politik pemerintah.

2. Tempoh penahanan yang dibenarkan syarak bagi penahanan untuk waspada ialah sekadar keperluan, kerana ia bukan satu bentuk hukuman. Maka, memanjangkan tempoh penahanan ISA sehingga 2 tahun atau lebih adalah tidak wajar.

3. Layanan yang sepatutnya diberikan kepada tahanan jenis ini tidak boleh disamakan dengan layanan banduan-banduan di penjara. Mereka yang dipenjara kerana sabit kesalahan boleh dilayan dengan sedikit kekerasan. Tetapi tahanan untuk waspada wajib dilayan sebagai seorang Muslim yang tidak bersalah. Apa yang diceritakan oleh bekas-bekas tahanan ISA, seolah-olah layanan terhadap mereka lebih teruk daripada layanan banduan yang merompak dan merogol.

KESIMPULAN

Secara ringkasnya, -Wallahu A’lam- penahanan tanpa bicara dibenarkan dalam Islam dalam kes-kes tertentu. Peruntukan ini adalah bagi memelihara keselamatan awam. Tetapi hanya dalam lingkungan yang sangat sempit. Ia tidak wajar dijadikan senjata pemerintah untuk menjamin survival politik diri sendiri.

Tempoh penahanan juga mesti dihadkan sekadar keperluan. Layanan kepada tahanan hendaklah secara ukhuwwah dan berperikemanusiaan, bukan dilayan sebagai banduan. Jangan sampai menzalimi tahanan dan keluarga mereka tanpa sabitan kesalahan.

Jika Kerajaan berpendapat akta ini masih relevan untuk diamalkan, ia perlu kepada penambahbaikan dan kemaskini agar bertepatan dengan siasah Islamiyyah.

Wallahu A’lam.
abuumair
Madinah, KSA.
19 Mei 2008 bersamaan 14 Jumada al-Awal 1429.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum,

    Saudara menjustifikasikan ISA dengan mengambil contoh penahanan Usaid Bin Hudhair. Pada pendapat saya, analogi ini telah tersasar.

    Usaid ditahan walaupun tiada bukti apabila diperiksa kerana Allah telah memberitahu kepada Rasulullah akan niat Usaid.

    Adakah sama pemakluman Allah kepada Rasulnya dengan tindakan pemerintah di Malaysia? Apatah lagi sudah terlalu banyak bukti yang ISA ini disalahguna untuk kepentingan politik individu di kalangan parti pemerintah atau oleh parti pemerintah sendiri dalam usaha mengekal penguasaan.

    BalasPadam
  2. Wa'alaikumussalaam,

    Artikel ini karangan sahabat saya Ust Abu Umair.

    Pertamanya kenapa Rasul dan Nabi itu dari kalngan Manusia dan bukan malaikat? Kerana jika Nabi & Rasul itu malaikat maka kita akan boleh beralasan bagaimana nak ikut, dia bukan manusia tapi malaikat. Itu sebab Rasulullah itu adalah contoh ikutan terbaik bagi seuruh manusia.

    Jika alasannya Rasulullah menerima wahyu maka dia boleh tahu siapa benar siapa salah maka kenapa ada sistem penghakiman pada zaman Rasulullah? Kan Rasulullah boleh buat kepeutusan terus utk menentukan siapa benar & siapa salah? Buat apa buang masa melalui proses pembicaraan? Maka ini satu lagi alasan kenapa tindak tanduk Rasulullah tersebut boleh dijadikan hujjah.

    ISA disalah gunakan saya setuju. Perlu ada reform. Kita tunggu nanti apakan reform yg akan dilakukan

    Sekian

    BalasPadam