Jumaat, 30 Oktober 2009

Dapatkan buku ke 8 akob secara PERCUMA!!!

Untuk membaca buku ini secara online sila ke :

=========================

Kata-Kata Aluan Daripada Tuan Hassan Tuan Lah
CEO & Ketua Jabatan Fiqh www.al-fikrah.net


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Segala puji bagi Allah Subhanahu wa Ta'ala, selawat dan salam ke atas Rasulullah, penghulu, imam, qudwah hasanah dan kekasih kita semua. Juga selawat dan salam kita berikan kepada kaum keluarga (ahlil bait) baginda, para sahabat, kaum salaf dan sesiapa yang menjejaki sunnah dan hidayah baginda hingga ke penghujung usia alam buana ini.

Saya rasa berbesar hati di atas penghargaan saudara saya, Mohd Yaakub Mohd Yunus yang sudi menjemput saya memberi sepatah dua kata-kata aluan sempena pelancaran buku beliau yang terbaru. Saya secara peribadi amat mengkagumi kegigihan penulis. Walaupun bekerjaya di sektor perbankan yang kita tahu dengan kesibukannya, tetapi masih mampu menghasilkan buku demi buku yang berkualiti serta mampu menandingi kitab-kitab agama yang dihasilkan di Timur Tengah.

Topik buku ini ialah topik yang paling popular dalam pasaran buku-buku agama di Malaysia, yakni seputar wuduk, tayamum dan ghusl (mandi). Tetapi kebanyakan buku tersebut hanyalah mengukuhkan satu mazhab sahaja, misalnya mazhab resmi Malaysia, manakala penulis membuka semula sempadan fiqih kepada fiqh yang asli dan original, merentasi mazhab dan Imam selaras dengan era digital dan internet. Umat Islam semakin celik komputer dan internet dan mereka semakin terdedah kepada ledakan maklumat di ruang siber, maka mereka memerlukan fiqih yang lebih global dan terbuka.

Manhaj buku ini atau metodenya ialah fiqhus sunnah, iaitu fiqih berasaskan amalan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang digarap dari pelbagai sumber kedua yang mentafsir amalan sunnah tersebut dan penulis kemudian melakukan tarjih dan tahqiq (menimbang semua pendapat dan mengesyorkan apakah pendapat yang paling hampir kepada kebenaran). Sumber sekunder atau kitab-kitab khazanah ilmu-ilmu Islam (turath) itu adalah kitab-kitab tafsir, kitab-kitab hadis, dan syarah kepada kitab hadis, kemudian kitab-kitab induk mazhab-mazhab fiqh yg muktabar (reliable) dan kitab-kitab ulamak-ulamak terkini yang dinamakan muhaqqiqin (yang tekun meneliti dan membuat kajian kepada perselisihan dan kesamaran dalil-dalil hukum fiqih).

Penulis juga memilih jalan yang sederhana dan pertengahan. Disamping mengesyorkan pendapat yang paling rajih (lebih benar), beliau tidak menolak pendapat-pendapat dan ketetapan-ketetapan dalam mazhab-mazhab sedia ada. Ini berbeda dengan sesetengah penulis yang mencela pendapat-pendapat Imam dan madzhab.

Walaupun tiga sub-topik yang dipilih oleh penulis (wuduk, mandi dan tayamum) sudah terlalu biasa dihidangkan dalam kitab-kitab fardhu ’ain di pasaran buku tempatan, tetapi penulis menjanjikan kelainan dan menyegarkan semula topik ini yang begitu kaku dan beku bahkan praktis berwuduk, bertayamum dan mandi sudah menjadi amalan turun temurun tanpa dipedulikan dalil-dalil yang mendokong amalan dan ritual di kamar mandi umat Islam.

Saya yakin kehadiran buku ini akan memperkayakan khazanah buku agama berasaskan dalil di tanah air kita dan ia akan memberi banyak manfaat kepada umat Islam berbanding buku agama yang biasa kedapatan di pasaran buku tempatan, antara faedahnya:

Menyampaikan hukum-hukum fiqih kepada massa dalam isu-isu yang sering diperselisihkan.

1) Ia menjadikan fiqh made easy atau menjadikan hukum-hukum fiqih itu mudah dimengerti hatta oleh orang yang tiada asas al-Qur’an dan al-Hadis sekalipun.

2) Mendedahkan kepada massa konsep pendapat yang lemah dan pendapat yang kuat.

3) Mengangkat kejumudan dan kelesuan umat lantaran lamanya budaya taklid dan bermadzhab.

4) Memberi pendedahan kepada massa bagaimana teknik atau manhaj yang harus digunakan dalam menganalisa perselisihan dalam hukum-hukum fiqih yang melibatkan rantingan.

Wuduk, mandi dan tayamum adalah alat thohaarah dan dengannya umat Islam melakukan ibadah. Kualiti solat bermula dengan wuduk, maka penulis telah melakukan sebaiknya. Saya doakan buku ini diterima oleh pencinta ilmu di tanahair dan negara jiran nusantara dan mudah-mudahan fiqh berasaskan dalil dan muqarran (perbandingan) mampu memecah kejumudan dan kesempitan dalam beragama, ini adalah kerana penulis telah membawa kita kepada wuduk, tayamum dan mandi seperti yang dilakukan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam 1400 tahun dahulu. Jika masyarakat sebelum ini banyak didedahkan tentang sifat solat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka kali ini kita kena ketahui pula tentang wuduk cara Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأ.
Allah tidak menerima solat salah seorang di antara kalian yang berhadas hingga dia berwuduk. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 225)



Sekian

Tuan Hassan Tuan Lah
Ketua Jabatan Fiqh dan CEO http://www.al-fikrah.net/

3 ulasan:

  1. assalamualaikum.

    tak ada rujukan al-quran dan hadith hadith nabi s.a.w. (maksud: kosong ja ruangannya)

    BalasPadam
  2. assalamualaikum.
    mengapa isi rujukan kosong sahaja!

    BalasPadam
  3. Wa'alaikumssalaam,

    Saya lihat semua ok jer. Yg terbaik utk view e-book ini adalah sistem perisian IE.

    BalasPadam