Selasa, 27 Oktober 2009

Generasi muda buta agama mudah dipesong


Tajdid Iman: Generasi muda buta agama mudah dipesong
Oleh Dr Juanda Jaya
SUMBER : Berita Harian, 28hb Oktober 2009

BUTA agama dan rabun dunia, kedua-duanya akan berakhir dengan kegagalan dunia akhirat. Generasi Islam yang membesar tanpa ilmu dan maklumat agama yang sahih akan mudah dipengaruhi pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam. Lihatlah kebebasan bersuara di alam siber, mereka mempersoalkan pengharaman arak, zina, judi, syirik dan sebagainya yang jelas dalilnya di dalam al-Quran dan Sunnah. Boleh jadi selepas ini mereka akan mempersoalkan tidak wajibnya sembahyang lima waktu atau puasa dan zakat mengikut kebebasan berfikir yang diagungkan generasi pintar berfalsafah ini.

Mereka lahir dari rahim wanita Islam yang memahami agama secara tradisi, kemudian ia berkembang mengikut rangsangan persekitaran yang membentuk pemikiran dan perasaan. Jika mereka disentuh dengan al-Quran dan Sunnah yang sempurna maka tidaklah mudah pemikiran jahiliah yang bertopengkan kebebasan akal mempengaruhi hati dan jiwa yang memang sebati dengan agama.

Tetapi, jika pendedahan agama terbatas, setakat belajar membaca muqaddam dan sekali seumur hidup khatam al-Quran kemudian tidak dilanjutkan dengan pencarian maklumat Islam sahih, akhirnya generasi Islam ini terpaksa beradaptasi dengan persekitaran yang tidak Islamik. Persekitaran jahiliah moden itu secara tidak langsung membentuk pemikiran baru yang mula menafikan sentuhan Islam tradisi yang diajarkan orang tua mereka. Mengapakah keadaan sebegini terjadi sehingga melemahkan semangat agama dalam jiwa generasi baru?

Adakah kerana kesilapan orang tua menyemai keindahan Islam di sanubari kita? Atau sistem pendidikan yang tidak menyebelahi agama dan terlalu hebat mengagungkan ilmu mengurus dunia saja? Pada hal kesempurnaan insan bergantung dengan kebijaksanaannya mengurus dunia dan akhirat tanpa melebihkan satu dari yang lain. Ilmu menjadi teras keimanan seseorang, agama ini menyanjung setinggi-tingginya usaha meneroka khazanah ilmu duniawi dan ukhrawi tanpa membeza-bezakan satu dengan yang lain.

Generasi Islam yang buta agama tapi celik IT, pakar ekonomi, peneraju politik, ahli astronomi, pencetus teknologi nuklear dan persenjataan canggih dikhuatiri mencampakkan terus nilai Islam dari pemikiran dan pendiriannya kerana menganggap agama memandulkan usaha kemajuan, membelenggu kebebasan berfikir dan membius akal dengan angan-angan akhirat yang tidak nyata sifatnya. Akhirnya mereka mengadaptasikan ilmu yang dimiliki untuk kepuasan peribadi, menonjolkan kehebatan melalui persaingan haiwan yang membunuh terus nilai kemanusiaan.

Semua pendedahan agama yang diusahakan orang tua secara tradisi tidak mampu membendung lonjakan protes yang ditunggangi faham kebebasan berfikir untuk mempersoalkan hukum hakam agama yang bagi mereka cukup merimaskan gaya hidup mereka. Malangnya orang yang memiliki ilmu agama pula tidak mampu menjawab dan mendedahkan kesilapan generasi buta agama ini, ada yang terus memfatwa kafir dan memilih pendekatan menyerang, bukan berdialog dengan hikmah dan mau'izah hasanah (cara yang baik).

Pada hal semangat agama ini terletak pada unsur kasih sayang dan khabar gembira melebihi ancaman sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkan ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." – (Surah Ali Imran: 159)

Akhirnya generasi buta agama ini tidak lagi menghormati ulama konservatif yang membenci mereka dan menambahkan lagi ketidakpercayaan mereka terhadap agama sendiri. Dalam pada itu datanglah gelombang pemikiran bebas yang cuba menghentam Islam, sikap umat Islam yang bermasalah dijadikan dalil bahawa agama itu bermasalah. Negara Islam mundur yang dipersalahkan ajaran Islamnya, lelaki Muslim kahwin cerai sesuka hati, dituduh Islam yang menghalalkannya, pengeboman yang didalangi pengganas Muslim dijadikan dalil kekejaman ajaran Islam. Kalau yang mengganas orang Nasrani dan Yahudi pula langsung tidak timbul isu agama mereka ganas dan kalau yang miskin itu di negara bukan Islam tidak pula agama mereka dikatakan kolot.

Generasi Islam sudah mengalami bermacam-macam ujian yang secara tidak langsung melunturkan warna Islam sebenar dari pemikiran dan perasaan mereka. Cubaan indoktrinasi fahaman sesat cebisan dari kumpulan Islam yang menyeleweng dari al-Quran dan Sunnah kemudian usaha orientalis yang meracuni sejarah Islam, propaganda fahaman sosialis komunis, kapitalis dan liberal yang cuba memomokkan Islam. Semua itu memberi impak yang cukup dahsyat dalam melunturkan kecintaan generasi Islam kepada agamanya.

Tidak hairan jika seorang sosialis Muslim akan lahir seramai kapitalis Muslim di seluruh dunia yang langsung mengetepikan ajaran Islam dari kehidupan. Generasi ini bernafas dengan nafas Karl Marx walau nama depannya Muhammad atau menyokong idea kebebasan Barat walau harus menginjak al-Quran dan Sunnah. Ke manakah arah tuju umat ini? Apakah identiti mereka tetap kekal walaupun pemikiran dan perjuangan jelas menyokong fahaman kuffar?

Belum terlambat untuk kembali kepada Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Kembali kepada asal dan lupakan kecelaruan iman akibat terikut-ikut dan berbangga-bangga dengan fahaman yang menyimpang dari jalan Sunnah. Pelajari fakta dan data Islam yang mencakupi ilmu tafsir al-Quran, hadis, aqidah, fekah, sejarah dan maklumat perkembangan Islam yang sahih. Setiap Muslim bukan diwajibkan membaca saja tetapi bertanggungjawab menjadikan ilmu Islam sebagai penyelesaian terhadap persoalan hidup manusia.

Untuk itu diperlukan dialog ilmiah yang bersifat kasih sayang antara ulama dan umat kerana agama ini bukan penghukum tetapi penyelesai masalah manusia. Kekuatan orang alim bergantung dengan kukuhnya penguasaan ilmu mereka dan tanggungjawab peribadi sebagai ulama pewaris Nabi, penyelesai masalah umat bukan merabunkan Islam dari pandangan generasi baru dengan sikap membenci dan menghukum.

Penulis ialah Mufti Perlis

1 ulasan:

  1. Salam ukhwah..
    Pertama kali nak beri komen...pendik saja. Jgn dipersalahkan generasi muda semata2. Tiada yg muda, tiadalah yg tua. Siapakah yg bertanggungajawab 'mendidik' generasi muda? Apakah contoh yg telah diberikan oleh generasi tua kpd generasi muda?

    Sekadar utk difikirkan bersama.

    (p/s Saya tergolong di dlm generasi tua, kasihan melihat generasi muda masa kini).

    BalasPadam