Jumaat, 20 November 2009

SIAPA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH?



Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Dulu kita pernah digemparkan dengan definisi sempit Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) oleh seorang tokoh di Malaysia. Menurut beliau ASWJ ialah mereka yang bermazhab fekah Syafie, berakidah Asy’ariah atau Maturidiah dan bertasauf dengan cara Imam al-Ghazali. Maka ramai yang tertanya-tanya tentang status mereka yang hidup sebelum Imam al-Syafie, Imam Abu Hassan al-Asya’ri dan Imam Maturidi dan Imam al-Ghazali? Adakah pegangan fekah, akidah dan akhlak mereka terkeluar daripada golongan ASWJ. Bagaimana pula dengan mereka yang berpegang kepada mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali? Adakah mereka tidak tergolong dalam kelompok ASWJ? Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah wujudnya beberapa golongan termasuk sesetengah tokoh agama di Malaysia yang beranggapan bahawa ASWJ adalah mereka yang berqunut Subuh, menganjurkan upacara Kenduri Arwah, bertalqin, membaca surah Yasin pada malam Jumaat, berzikir beramai-ramai sesudah solat dan lain-lain perkara seperti apa yang telah dibangkitkan oleh beberapa akhbar beberapa minggu kebelakangan ini.

Oleh itu siapakah sebenar ASWJ itu? ASWJ adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. sama ada di dalam bentuk iktikad (akidah), ibadat, muamalat dan akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in (generasi al-Salafussoleh) dan mereka yang mengikuti mereka ini sehingga ke hari ini. Setiap yang sesuai dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menerima dan menetapkannya. Sebaliknya, setiap yang bertentangan dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menolaknya, tanpa mengira siapa pun yang berpegang kepada pendapat tersebut. Generasi al-Salafussoleh yang dijadikan contoh ikutan ASWJ ini telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w. sebagai generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabdanya: Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut tabi’in). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Para ulama ASWJ memperjuangkan Ittiba' (mengikuti sunnah Nabi s.a.w.) dan meninggalkan ibtida' (amalan-amalan bidaah). ASWJ berkeyakinan bahawa syariat Islam telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w. wafat sehingga tidak memerlukan penciptaan amalan-amalan baru yang tidak pernah dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah. ASWJ hanya akan mengamalkan ibadat yang terdapat dalil yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. dan meninggalkan segala amalan berdasarkan rekaan akal manusia dan bersandarkan hadis-hadis yang lemah serta palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah tanpa ilmu sehingga mudah amalan-amalan bidaah meresap dan kemudiannya dianggap sunnah.

ASWJ tidak mengagungkan mana-mana imam ataupun ulama. Tiada pegangan mahupun ucapan daripada seseorang tokoh atau kumpulan yang mereka ambil secara keseluruhannya kecuali apa yang benar-benar bersumber daripada Rasulullah s.a.w.. Walaubagaimanapun mereka tetap menghormati seluruh imam-imam ASWJ terutamanya imam-imam mazhab yang empat iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad. Bagi ASWJ pendapat ataupun ucapan selain daripada Rasulullah s.a.w. adalah tidak terpelihara dari kesilapan maka mereka menimbangnya dengan al-Qur'an dan al-Sunnah. Jika ia sesuai dengan keduanya maka ianya akan diterima sebagai hujah dan sekiranya tidak maka ianya akan terbatal. Pada masa yang sama ASWJ mengiktiraf kewujudan keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Hanya sahaja ASWJ menolak tindakan keterlaluan sesetengah pihak yang berpegang kepada mazhab secara taksub sehingga mengenepikan al-Qur’an dan hadis Rasulullah s.a.w.. Syaikh Muhammad Abdul Wahhab yang sering dituduh sebaga anti mazhab juga sebenarnya berpegang kepada mazhab Hanbali. Anaknya Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad telah memperjelaskan tentang hakikat dakwah bapanya sebagai berikut:

“Bahawa mazhab kami dalam ushuluddin (tauhid) adalah mazhab ASWJ, dan cara pemahaman kami adalah mengikut cara ulama salaf. Sedangkan dalam hal masalah furu’ (fekah) kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal…Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil malah kami memaksa mereka supaya bertaklid kepada salah satu dari mazhab empat tersebut. Kami sama sekali tidak pernah mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwakan dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana ada nas yang jelas, baik dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya, ataupun mentakhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegangi pula oleh salah seorang imam yang empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti." - Syaikh Muhammad Basyir al-Sahsawani, Shiyanah al-Insan, ms. 473




Sebagaimana para al-Salafussoleh yang tidak berselisih di dalam masalah-masalah pokok berkaitan akidah begitu juga dengan ASWJ. Pendapat mereka sama dalam masalah iman, definisi dan berbagai persoalannya, dalam masalah takdir dan juga dalam masalah-masalah prinsip lainnya. Dalam masalah Tauhid al-Asma wa al-Sifat pendapat para al-Salafussoleh adalah satu. ASWJ menetapkan nama-nama Allah yang indah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna seperti yang telah dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Kaedah ini telah disepakati oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Ahmad dan juga pegangan sebenar Imam Abu al-Hassan al-Asya’ari. Tauhid al-Asma wa al-Sifat memutuskan untuk kita menetapkan apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diri-Nya di dalam kitab-Nya dan oleh Rasulllah sa.w. dengan keimanan yang bersih dari tahrif (mengubah makna tersebut), ta’thil (meniadakan sifat tersebut), takyif (bertanyakan bagaimana sifat tersebut) dan tamthil (menyamakan sifat tersebut dengan makhluk). Ini adalah kerana Allah-lah yang paling mengetahui tentang sesuatu termasuk tentang sifat-sifat yang ada pada diri-Nya dan manusia yang paling mengetahui dan mengenali Allah S.W.T. adalah Rasulullah s.a.w..

ASWJ adalah kelompok yang paling amanah dalam hal-hal yang berkaitan dengan ilmu agama. Sekiranya mereka menukil sesuatu pendapat atau pandangan, mereka tidak memalsukan atau memutarbelitkan fakta. Jika mereka menukil daripada seseorang yang berbeza pendapat dengan mereka, maka mereka menukilnya dengan sempurna, tidak mengambil apa yang sesuai dengan pendapatnya dan meninggalkan yang lain. Mereka tidak segan silu untuk menerima kebenaran dari sesiapapun, juga tidak malu untuk kembali kepada kebenaran sekiranya kesilapan berada di pihak mereka. Mereka juga tidak memaksa orang lain mengikuti pandangan mereka, tidak mengatakan sesat orang-orang yang menyelisihinya, dan tidak terlalu memberat-beratkan perkara yang wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama ASWJ.

ASWJ adalah kelompok pertengahan dan pilihan. Sikap kesederhanaan ASWJ jelas kelihatan dalam banyak hal yang berkaitan dengan akidah, hukum, ibadat, akhlak dan lain-lainnya. Mereka adalah kelompok pertengahan di antara yang ekstrem dan yang meremehkan. ASWJ amat menitik-beratkan untuk menyatukan umat Islam kepada kebenaran. Mereka sangat mengambil berat untuk menguatkan kesatuan umat Islam dan menghilangkan segala sebab-sebab yang boleh membawa pertikaian dan perpecahan. Sebab mereka mengetahui, persatuan adalah rahmat dan perpecahan adalah azab.

ASWJ menolak sikap bermudah-mudah di dalam mengkafirkan atau menyesatkan di antara sesama Islam. ASWJ hanya membantah dan menjelaskan kebenaran kepada orang yang berselisih dengan mereka. ASWJ berpendapat bahawa dosa besar yang dilakukan oleh seorang mukmin tidak mengeluarkannya dari iman selama tidak menganggap dosa-dosa yang dilakukan itu boleh atau halal. ASWJ berkeyakinan mukmin yang melakukan dosa besar, bila dia meninggal dunia sebelum sempat bertaubat, sekiranya dia dimasukkan ke dalam neraka, dia tidak kekal di dalamnya lalu akan dimasukkan ke syurga setelah itu. Urusan seorang mukmin yang melakukan dosa-dosa besar diserahkan kepada kehendak Allah S.W.T. sepenuhnya sama ada diampunkan segala dosanya atau menerima pembalasan yang setimpal dengan dosanya.

Demikanlah secara ringkasnya beberapa ciri kelompok yang dikenali sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.

3 ulasan:

  1. good..bahasa digunakan dengan baik dan membuatkan saya mudah memahami..terima kasih

    BalasPadam
  2. saya tidak pernah taqlik pada mana mana ulamak melainkan madzhab mereka itu saya ketahui ada dalil yang berteras shahih dari Rasulullah s.a.w.

    BalasPadam
  3. Ustaz,

    saya mohon kebenaran nak letak artikel ni dalam blog saya...boleh ye? dah letak pon...hehehe...tqvm

    BalasPadam