Jumaat, 23 Mac 2012

Walimatul Urus Yang Terurus

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Antara aktiviti lazim pada musim cuti sekolah adalah kesibukan memenuhi undangan-undangan walimatul urus atau majlis kenduri kahwin yang kebiasaannya dilangsungkan pada hujung minggu. Adakalanya kita perlu menghadiri lebih dari dua majlis dalam satu hari. Pada dasarnya majlis kenduri kahwin ini memang sesuatu dianjurkan oleh syarak. Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a, di mana beliau berkata: “Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi s.a.w. menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, baginda mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Apabila baginda mengetahui ‘Abdurrahman bin ‘Auf baru bernikah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Menurut Ibnu Qudamah r.h di dalam al-Mughni: “Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.”

Tujuan untuk melaksanakan kenduri kahwin adalah sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t dan tanda kegembiraan kerana dapat mendirikan rumah tangga yang merupakan suatu perkara yang amat dituntut dalam Islam. Majlis ini juga dipergunakan untuk mengisytiharkan status kedua pasangan pengantin tersebut sebagai pasangan suami isteri yang sah. Justeru itu janganlah majlis yang mulia ini dicemari dengan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Hendaklah ia diadakan secara sederhana bertepatan dengan tujuan perlaksanaannya iaitu untuk mendapat keredhaan Allah. Laksanakan majlis tersebut sesuai dengan kemampuan dan elakkan pembaziran kerana sesungguhnya membazir itu perbuatan syaitan. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.” (al-Isra’ : 27) Jangan pula setelah majlis perkahwinan selesai, pasangan yang baru hendak memulakan hidup baru tersebut dibebani dengan hutang piutang dek kerana terpaksa menanggung perbelanjaan majlis perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran.

Ada golongan yang berbelanja besar untuk majlis kahwin ini bertujuan untuk berbangga-bangga dan menunjuk-menunjuk kemewahan dan kekayaan mereka. Untuk kelompok ini sila perhatikan sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong sekalipun hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Ada juga di antara kita yang memilih-milih dalam menjemput tetamu untuk majlis mereka. Mereka berbangga sekiranya yang hadir dalam majlis tersebut terdiri dari golongan-golongan VVIP berpangkat tinggi, golongan hartawan dan para selebriti. Ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga yang tiada status atau harta dilupakan. Ada segelintir pihak yang membahagikan majlis perkahwinan ini untuk golongan kaya dan miskin. Untuk si miskin memadailah dengan majlis yang dilakukan di halaman rumah sahaja manakala untuk si kaya dianjurkan satu majlis khas berasingan di hotel-hotel terkemuka. Majlis perkahwinan mengikut kasta ini pernah ditegur oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Apa yang lebih menepati sunnah adalah memenuhkan majlis kenduri kahwin dengan menjemput golongan yang beriman, bertakwa dan tekun mengikuti ajaran Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jangan kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Hindarilah amalan khurafat, tahyul dan syirik dalam majlis kenduri kahwin. Terdapat pihak yang mengundang tukang ramal untuk menentukan keserasian pasangan atau tarikh yang sesuai untuk dilangsungkan majlis. Perkhidmatan bomoh hujan juga agak laris ketika musim penganjuran majlis kenduri kahwin dalam usaha untuk menahan hujan dari turun. Kononnya bomoh-bomoh ini berkemampuan untuk mengalih hujan. Mempercayai ramalan tukang ramal dan menggunakan khidmat bomoh merupakan suatu perbuatan yang tercela dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa mendatangi tukang ramal dan bertanyakan kepadanya tentang sesuatu lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh hari.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Baginda juga telah bersabda: “Barangsiapa mendatangi dukun atau ‘arraaf (tukang ramal), lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.” (Hadis riwayat Imam Ahmad). Terdapat juga amalan-amalan tahyul untuk mengelak hujan seperti mencampak baju milik pengantin di atas bumbung, menjerang air disepanjang majlis dan lain-lain lagi. Amalan sebegini memang nampak tidak masuk akal tapi ia sememangnya pernah diamalkan oleh masyarakat Melayu. Jika tidak mana mungkin Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pernah bersidang untuk mengeluarkan fatwa seperti ini: “Amalan meletakkan baju pengantin di atas bumbung bagi menahan hujan turun adalah dilarang sama sekali kerana kepercayaan tersebut adalah merupakan satu khurafat dan boleh merosakkan akidah sebagai seorang Islam.” Sekiranya ingin cuaca cerah ketika majlis walimah maka berdoalah kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. turut pernah mengajar kita doa yang boleh kita praktikkan sebagaimana berikut:

اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari)

Antara kepercayaan khurafat dan syirik dalam majlis perkahwinan adalah keyakinan bahawa majlis menepung tawar dapat menolak bala dan memberi kebahagiaan kepada pasangan pengantin tersebut. Amalan ini dikatakan bersumber dari agama hindu yang menjadikannya upacara majlis tolak bala. Pemikiran atau amalan sedemikian rupa boleh mencemari akidah umat Islam dan perlu dihindari sebagai langkah berjaga-jaga. Tambahan pula amalan ini adalah sia-sia sahaja kerana tidak mendatangkan sebarang faedah atau kebaikan kepada pasangan pengantin maka pesanan Rasulullah s.a.w. dalam hal-hal seperti ini adalah: “Di antara kebagusan keislaman seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak berguna bagi dirinya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

Berkaitan amalan bersanding pula ia bukan termasuk dalam sunnah Nabi dalam penganjuran majlis kenduri kahwin dan ia juga dikatakan berasal dari amalan masyarakat India. Justeru ada dikalangan para ulamak yang menentang amalan ini apatah lagi seringkali ia dilaksanakan dengan keadaan para pengantin memakai pakaian yang tidak menutup aurat secara sempurna, tabarruj iaitu perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai dan seringkali ia terpalit dengan amalan membazir kerana kos pelamin dan perhiasannya juga agak tinggi. Terdapat juga sesetengah ulamak yang berpandangan amalan bersanding ini hanyalah sekadar adat dan boleh dilaksanakan tetapi dengan syarat-syarat yang tertentu seperti pakaian dan perhiasan pengantin sesuai dengan syarak, ia tidak dijalankan secara terbuka kepada yang bukan mahram dan tidak membazir. Jika tidak mampu mengikuti syarat-syarat tersebut, langkah yang lebih selamat adalah tidak melakukan upacara persandingan tersebut.

Pasangan pengantin dalam majlis perkahwinan dilayan seperti pasangan di Raja. Kedua mempelai memiliki singgahsana, dihidang dengan makanan mewah yang lazat di meja khas ketika makan beradat dan diarak secara ekslusif di dalam majlis tersebut. Dari sinilah datangnya istilah Raja Sehari dalam budaya majlis perkahwinan orang Melayu. Apabila dilayan seperti raja maka tempoh masa pasangan pengantin untuk melayan tetamu yang datang untuk meraikan mereka agak terhad kerana jadual mereka pada hari itu agak padat. Budaya raja sehari ini juga kurang menepati konsep walimah yang dianjurkan Islam iaitu pengantin sepatutnya menjadi pelayan dan melayani tetamu. Sahl bin Saad ra memberitahu bahawa Abu Usaid as-Sa’idi mengundang Rasulullah ke majlis jamuan pernikahan beliau dan ketika itu isterinya yang menjadi pengantin perempuan itulah yang sibuk melayani tetamu dan keperluan mereka. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Konsep Raja Sehari ini juga adalah perkara berkaitan adat semata-mata namun jika hendak diteruskan pastikan pasangan pengantin dapat meluangkan masa secukupnya untuk melayani para tetamu.

Terdapat pelbagai cara ucapan tahniah yang diucapkan kepada pasangan pengantin seperti “Selamat pengantin baru, semoga bahagia hingga ke anak cucu” “Semoga mendapat banyak anak” “Tahniah kerana sudah menjadi pasangan suami isteri” dan lain-lain lagi. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. pernah memberi panduan tentang cara memberi ucap selamat serta mendoakan kedua pasangan pengantin serta keluarga mereka. Antara doa yang disunnahkan untuk diucap kepada para pengantin adalah:

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

Semoga Allah memberkatimu dan mencurahkan barakah ke atasmu dan mengumpulkan kedua-dua kamu dalam kebaikan (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud).

Doa untuk keluarga pengantin yang menjemput kita makan pula adalah:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُم

Ya Allah, ampunilah mereka, dan rahmatilah mereka dan berkatilah mereka pada apa yang telah Engkau kurniakan kepada mereka. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Oleh itu adalah lebih wajar bagi kita untuk memilih ucapan-ucapan yang bersumber dari Rasulullah s.a.w. kerana baginda merupakan contoh ikutan kita yang terbaik sebagaimana firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (al-Ahzaab : 21)

Penganjur majlis kenduri kahwin ini juga handaklah berusaha untuk mengasingkan tempat duduk lelaki dan wanita sebagai usaha untuk menjauhkan ikhtilat (percampuran bebas) lelaki dan wanita sebagaimana yang sering wujud dalam majlis-majlis perkahwinan. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Dua mata itu boleh berzina, dan zinanya adalah pandangan (pada bukan mahram).” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Semua pihak sepakat bahawa penganjuran majlis kenduri kahwin atau walimatul urus ini merupakan suatu yang dituntut dalam agama. Justeru hendaklah kita berusaha agar majlis ini diuruskan sejajar dengan ajaran Islam. Apa jua perkara yang berbentuk maksiat, kerpercayaan karut yang mencemar akidah dan amalan-amalan bid’ah hendaklah diketepikan. Ya! Memang sukar untuk kita mengubah sesetengah amalan yang telah sebati dan menjadi adat dalam masyarakat. Namun jika generasi baru tidak mengorak langkah untuk melakukan perubahan, maka amalan-amalan yang bertentangan dengan syarak akan terus diamalkan dan upaya untuk menghidupkan sunnah-sunnah Nabi akan terus malap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan