Khamis, 19 Jun 2008

SESATKAH AKIDAH IBNU TAYMIYYAH DAN MUHAMMAD 'ABDUL WAHHAB


SESATKAH AKIDAH IBNU TAYMIYYAH DAN MUHAMMAD 'ABDUL WAHHAB?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus



Semenjak kebelakangan ini wujud segelintir tokoh-tokoh agama tempatan yang memperhebatkan serangan mereka terhadap Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab rahimahumallah. Melalui seminar-seminar diseluruh tanah air, kuliyah-kuliyah agama di merata-rata masjid dan artikel-artikel di media massa golongan ini telah menabur benih-benih fitnah kononnya kedua syaikh tersebut telah menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya (Tasybih) dan menjadikan Allah berjisim dan berjasmani (Tajsim) berdasarkan Nama-Nama dan Sifat-Sifat-Nya. Hal ini amat menghairankan kita kerana tokoh-tokoh tersebut selama ini menyerukan agar jangan mudah membid’ahkan, mengkafirkan serta menyesatkan sesama umat Islam namun sikap mereka ini boleh kita ibaratkan seperti ibu ketam yang ingin mengajar anaknya supaya berjalan lurus. Ternyata ucapan menyesatkan, membid’ahkan serta mengkafirkan pengikut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab atau kelompok yang mereka labelkan sebagai Wahabi begitu mudah mereka muntahkan dari mulut-mulut mereka yang celupar itu. Melalui risalah yang ringkas ini penulis akan cuba mengupas akidah sebenar Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab berkaitan dengan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah yang Maha Sempurna serta Indah. Kemudian penulis juga akan menilai pegangan syaikh berdua tersebut dengan pegangan ke empat-empat imam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik , Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad rahimahumullah agar dapat kita melihat betapa jahilnya tuduhan yang telah dilemparkan oleh tokoh-tokoh agama tersebut.

Kaedah Yang Membelakangi Tawhid al-Asma was-Sifaat.

Tawhid al-Asma’ was-Sifaat adalah menetapkan apa-apa yang Allah dan Rasul-Nya telah tetapkan atas diri-Nya baik itu berkenaan dengan Nama-Nama mahupun Sifat-Sifat Allah dan mensucikan-Nya daripada segala 'aib dan kekurangan sebagaimana hal tersebut telah disucikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Tawhid ini dalam ertikata lain adalah untuk mengenali Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui Nama-Nama-Nya yang indah dan Sifat-Sifat-Nya yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna. Tidak ada jalan lain untuk sampai kepada pengetahuan ini melainkan melalui jalan wahyu iaitu berpandukan dari al-Qur’an dan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.

Berkaitan dengan Tawhid al-Asma’ was-Sifaat ini Syaikh Muhammad bin Sholeh al-Utsaimin rahimahullah telah berkata:

Kita mengetahui bahawa Allah telah mengkhabarkan kepada kita tentang Diri-Nya dengan Nama-Nama-Nya yang indah dan Sifat-Sifat-Nya yang Sempurna. Kita juga yakin sepenuhnya bahawa Allah-lah yang paling mengetahui segala sesuatu, paling benar perkataan-Nya dan paling baik penuturan-Nya. Oleh kerana itu, kita wajib tanpa ragu-ragu lagi menetapkan Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut bagi Allah sesuai sepertimana yang Dia khabarkan sendiri kepada kita. Begitu juga sikap penerimaan kita terhadap khabar yang disampaikan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mana baginda adalah orang yang paling tahu tentang Allah ‘Azza Wa Jalla, paling benar beritanya, paling tulus niatnya dan paling jelas penuturan serta penjelasannya. Jadi wajib kita menerima berita sahih yang datang dari baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tentang Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah ‘Azza wa Jalla. - Syaikh Muhammad bin Sholeh al-Utsaimin, al-Qowa’idul Mutsla, m.s. 83

Menurut Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab rahimahullah:

“Aku bersaksikan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sekalian mereka yang hadir bersamaku daripada para malaikat dan aku bersaksikan kamu : “Bahawa aku beri ‘itiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah, beriman dengan Allah dan para malaikat, kitab kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari kebangkitan selepas mati serta qadar baik dan jahat”.

“Aku beriman dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala : Beriman dengan sifat yang Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyifatkan diri-Nya dengannya sepertimana yang dinyatakan dalam kitab-Nya dengannya sepertimana yang dinyatakan dalam kitab-Nya dan yang datang melalui lidah Rasul-Nya tanpa tahrif (mengubah) dan tamtsil (mengumpamakan). Bahkan aku beri ‘itiqad bahawasa sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak ada sesuatu yang serupa dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar juga Maha Melihat”.

“Aku tidak menafikan apa apa yang disifatkan bagi Diri-Nya dan aku tidak mengubah perkataan Allah daripada tempatnya dan tidak mengingkari nama-nama dan ayat-ayat-Nya. Aku tidak mengetahui kaifiat-Nya dan aku tidak membandingkan sifat-sifat Alla dengan sifat makhluk. Kerana Allah tiada yang senama bagi-Nya, tiada seumpama, tiada bandingan dan tidak dikiaskan dengan makhluk-Nya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala lebih mengetahui tentang diri-Nya dan yang selain daripada-Nya serta lebih benar dan baik perkataan-Nya”.

“Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala menyucikan diri-Nya daripada sesuatu yang menyalahi, yang disifatkan oleh ahli takyif (menentukan cara kaifiat) dan tamtsil dan daripada sesuatu yang dinafikan oleh ahli tahrif dan ta’til (menafikan sifat)” – Di nukil dari kertas kerja karangan Syaikh Muhammad ‘Abdul Qadir al-Mandeeli bertajuk Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab dan Dakwahnya.

Dari keyakinan ini maka datanglah kaedah emas dalam memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah sebagaimana yang telah digariskan oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa:

(Hendaklah) beriman kepada apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diri-Nya di dalam kitab-Nya dan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan keimanan yang bersih dari tahrif dan ta'thil serta dari takyif dan tamtsil. - Syaikh Alawi bin Abdul Qadir as-Segaf, Mengungkap Kesempurnaan Sifat-Sifat Allah, m.s. 4

Untuk kita benar-benar dapat memahami dan mempraktikkan kaedah ini maka adalah sangat mustahak untuk mengetahui definisi tahrif, ta'thil, takyif dan tamtsil. Penjelasan terhadap definisi-definisi ini penulis rujuk kepada tulisan Sai’d bin Ali bin Wahf al-Qahtaniy dalam kitabnya Syarh al-‘Aqidah al-Wasithiyah Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah: Studi tentang ‘Aqidah Ahlussunnah wal Jamaaah.

Pertama: Tahrif

Tahrif secara bahasa (lughah) bermakna mengubah dan mengganti. Menurut pengertian syar'i ia adalah: “Mengubah lafaz Nama-Nama Allah yang Husna dan Sifat-Sifat-Nya yang Maha Tinggi, atau makna-maknanya.” Tahrif ini boleh kita bahagikan kepada dua jenis:

Pertama: Tahrif dengan cara menambah, mengurangi atau mengubah bentuk lafaz sehingga sekali gus mengubah maknanya. Seperti ucapan kaum Jahmiyah dan mereka yang terpengaruh dengan fahaman mereka, bahawa Sifat Istawa diubah kepada Istawla (menguasai), merujuk kepada ayat:

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam. - al-A'raaf (7): 54

Di sini ada penambahan huruf Lam dalam Sifat Istawa’ sehingga ia diubah menjadi Istawla.

Kedua: Tetap membiarkan lafaz sebagaimana asli tetapi melakukan pengubahan terhadap maknanya. Contohnya Sifat Allah al-Yad (tangan) diubah maknanya menjadi an-Ni'mah (Nikmat) merujuk kepada ayat:

Allah berfirman: “Hai iblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kedua Tangan-Ku? - Saad (38): 7

Kedua: Ta’thil

Ta'thil secara bahasa bererti meniadakan. Menurut pengertian syar'i ia adalah: “Meniadakan Sifat-Sifat Ilahiyah dari Allah Ta'ala, mengingkari keberadaan Sifat-Sifat tersebut pada Zat-Nya, atau mengingkari sebahagian darinya.” Perbezaan antara Tahrif dan Ta'thil adalah, Tahrif merupakan penafsiran semula terhadap Sifat-Sifat Allah manakala Ta'thil merupakan penafian terhadap Sifat-Sifat Allah.

Jenis-Jenis Ta'thil

Pertama: Penolakan terhadap Allah atas kesempurnaan Sifat-Nya yang suci, dengan cara meniadakan Nama dan Sifat-Nya atau sebahagian darinya sebagaimana yang dilakukan oleh penganut fahaman Jahmiyah dan Mu'tazilah.

Kedua: Meninggalkan mu'amalah dengan-Nya, iaitu dengan cara meninggalkan ibadah kepada-Nya baik secara keseluruhan mahupun sebahagian, atau dengan cara beribadah kepada selain-Nya di samping beribadah kepada-Nya.

Ketiga: Meniadakan pencipta bagi makhluk. Contoh, orang yang menggunakan perkataan “alam semulajadi” yang bermaksud kejadian alam yang terjadi dengan sendirinya.

Jadi setiap orang yang melakukan Tahrif pasti akan melakukan Ta'thil tetapi tidak semua yang melakukan Ta'thil telah melakukan Tahrif. Barangsiapa yang mengubah atau menetapkan satu makna yang bathil dan menafikan satu makna yang benar daripada Sifat Allah, maka dia telah melakukan Tahrif dan Ta'thil sekaligus. Ada pun seorang yang menafikan Sifat Allah, maka dia telah melakukan Ta’thil tanpa Tahrif. Contohnya bagi seorang yang mengubah Sifat Istawa’ kepada Istawla, maka dia juga telah menafikan Sifat Istawa’ tersebut. Maka dia melakukan Tahrif dan Ta’thil sekali gus. Akan tetapi jika dia sekadar menolak Sifat Istawa’ tanpa mengubah lafaznya, maka dia hanyalah seorang yang melakukan Ta’thil tanpa Tahrif.

Ketiga: Takyif

Takyif bererti bertanya bagaimana. Contohnya adalah sikap bertanya bagaimana Sifat Istawa' Allah di atas Arsh, atau bagaimana bentuk al-Yad (tangan) Allah Subhanahu wa Ta’ala. Secara syar'i Takyif bermaksud: “Sikap menentukan atau mempastikan hakikat suatu Sifat dengan menetapkan tatacara, ciri-ciri dan bentuk tertentu terhadap Nama-Nama Allah atau Sifat-Sifat-Nya.” Perlu dibezakan bahawa tindakan meniadakan Takyif tidaklah bererti meniadakan makna terhadap Nama atau Sifat Allah. Peniadaan Takyif tidak bererti makna Nama dan Sifat Allah dibiarkan sehingga tidak diketahui langsung pengertiannya. Ini kerana erti Nama atau Sifat tersebut tersebut memang sedia difahami atau dimaklumi melalui kaedah Bahasa Arab. Dalam ertikata lain semua Sifat Allah menunjukkan makna yang hakiki dan pasti. Kita mengimani dan menetapkan Sifat tersebut untuk Allah seraya memahami ertinya akan tetapi kita tidak mengetahui tatacara, ciri-ciri dan bentuk Sifat tersebut. Yang wajib adalah beriman ke atasnya dan menetapkan Sifat-Sifat tersebut dengan memahami maknanya secara hakiki manakala bentuk dan keadaannya diserahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Keempat: Tamtsil

Tamtsil ertinya mengumpamakan atau memisalkan. Ia juga menghampiri erti Tasybih iaitu menyerupakan. Dari segi syar'i ia adalah: “Mengumpamakan atau menyerupakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Sifat-Sifat Zatiyah-Nya mahupun Fi'liyah-Nya sebagaimana makhluk-Nya.” Tamtsil ini pula terbahagi kepada dua:

Pertama: Menyerupakan makhluk dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Misalnya orang Nasrani yang menyerupakan Nabi Isa ‘alaihissalam dengan Allah dan orang Yahudi yang menyerupakan 'Uzair dengan Allah.

Kedua: Menyerupakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan makhluk. Contohnya kelompok Ahlul Zahir yang menyatakan Allah mempunyai tangan sebagaimana tangan yang dimiliki oleh makhluk, memiliki penglihatan sebagaimana penglihatan makhluk serta penyerupaan-penyerupaan lain.

Secara ringkasnya kaedah ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Malik apabila ditanya tentang tatacara, ciri-ciri dan bentuk Istawa'. Jawab Imam Malik:

Istawa' itu ma'lum (diketahui maknanya), Bagaimana (kaifiat) tatacara, ciri-ciri dan bentuk majhul (tidak diketahui), mengimaninya wajib, sedangkan bertanya tentangnya (tatacara, ciri-ciri dan bentuk) adalah bid'ah.

Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah dari segi makna memang dapat kita fahami dan ketahui. Contohnya Al-Yad dalam bahasa Arab maknanya tangan maka kita tetapkan Sifat Tangan kepada Allah sebagaimana maknanya yang hakiki. Namun begitu bagaimana kaifiatnya (tatacara, ciri-ciri dan bentuk) al-Yad kita serahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan ianya diluar batasan akal untuk membayangkannya. Apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang Dia memiliki Dua Tangan dalam surah Saad (38):75, kita beriman kepada firman-Nya. Tentu sekali Sifat itu sesuai dengan kebesaran-Nya, kemuliaan-Nya dan kesempurnaan-Nya dan sama sekali tidak menyerupai makhluk-Nya sebagaimana firman-Nya:

Tiada sesuatupun yang seumpama dengan (Zat-Nya, Sifat-Sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. - al-Syuura (42): 11

Ayat ini mengandungi penyucian (Tanzih) dan penafian kepada Allah daripada menyerupai makhluk-Nya, baik dalam Zat, Sifat mahupun Perbuatan-Nya. Bahagian awal ayat ini (Tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya..) merupakan bantahan terhadap kaum al-Musyabbihah dan al-Mujassimah manakala bahagian akhir ayat (Dan Dia Maha Mendengar dan Melihat) merupakan bantahan kepada kaum al-Mu'athilah (orang yang meniadakan sifat-sifat Allah).

Setelah jelas kepada kita pengertian Tahrif, Ta’thil, Takyif dan Tamtsil, maka mudahlah untuk kita berinteraksi dengan Sifat-Sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ringkasnya, kita Ahlus Sunnah beriman dan menerima Sifat-Sifat Allah tanpa Tahrif, Ta’thil, Takyif dan Tamtsil.

Pegangan Imam-Imam Mazhab Tentang Tawhid al-Asma’ was-Sifaat.

Kaedah-kaedah yang dipegang oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab ini sebenarnya merupakan kaedah yang telah disepakati oleh keempat-empat imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad rahimahumullah ta’ala tanpa sedikit pun perbezaan di antara mereka. Berikutnya akan penulis paparkan kata-kata mereka satu persatu sebagai bukti kesepakatan mereka dalam kaedah yang mereka gunakan untuk berinteraksi dengan Nama-Nama Allah yang Indah dan Sifat-Sifat-Nya yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna.

Imam Abu Hanifah rahimahullah

Dalam kitab al-Fiqhul-Akhbar, m.s. 66-68, berkata Imam Abu Hanifah:

Dan apa yang disebut oleh Allah Ta’ala dalam al-Qur’an daripada sebutan Wajah dan Tangan dan Diri maka ia adalah Sifat-Sifat bagi-Nya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan tidak boleh dikatakan bahawa Tangan-Nya adalah kuasa-Nya (kudrat) atau nikmat-Nya kerana padanya terdapat pembatalan sifat. Ini adalah pendapat al-Qadariyyah dan al-Mu’tazilah. Akan tetapi Tangan-Nya adalah Sifat-Nya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan Marah-Nya dan Redha-Nya adalah dua Sifat daripada Sifat-Sifat-Nya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat).

Imam Malik rahimahullah

Abu Nu’aim meriwayatkan daripada Ja’far bin Abdillah, dia berkata:

Ketika kami sedang berada di samping Malik bin Anas, datanglah seorang pemuda lalu bertanya: “Wahai Abu Abdillah, al-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih) Istawa’ di atas Arasy, bagaimanakah Istawa’ tersebut?” Mendengar pertanyaan ini, Imam Malik menjadi marah, lalu dia menundukkan muka ke bumi seraya menyandarkannya ke tongkat yang dipegangnya hingga tubuhnya bersimbah peluh.

Setelah dia mengangkat kepalanya, dia berkata: “Cara Istawa’-Nya tidak diketahui sedangkan Istawa’ telah jelas dan diketahui, beriman kepadanya adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah. Aku menyangka engkau adalah si pelaku bid’ah.” Lalu beliau menyuruh orang itu keluar. – Rujuk buku Muhammad bin Abdurrahman al-Maghrawi yang berjudul Manhaj Akidah Salaf: Akidah Imam Malik, m.s. 161-167 untuk mengetahui dengan lebih mendalam pegangan Imam Malik.

Imam al-Syafi’i rahimahullah

Berkata Imam al-Syafi’i dalam kitabnya al-Risalah m.s. 7 hingga 8:

Segala puji bagi Allah…. Dia adalah seperti yang disifatkan terhadap diri-Nya dan dia mengatasi dengan Sifat-Nya atas makhluk-Nya.

Imam al-Zahabi dalam kitabnya Siyar A’lam an-Nubala, jld. 20, m.s. 341 meriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i:

Kita tetapkan Sifat-Sifat yang disebutkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah dan kita nafikan Tasybih (penyerupaan dengan makhluk) daripada-Nya sebagaimana Dia telah menafikannya daripada Diri-Nya.”

Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais melalui bukunya Aqidah Empat Imam Mazhab (ms. 45-49) juga telah menyebut pegangan Imam al-Syafi’i daripada sebuah manuskrip asli riwayat Abu Talib al-‘Usyari yang kini tersimpan di University of Leaden di Belanda. Berkata Abu Talib al-‘Usyari, al-Syafi’i pernah ditanya sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla dan apa-apa yang patut untuk diimani. Maka al-Syafi’i menjelaskan:

Allah Tabaraka wa Ta’ala memiliki Asma’ (nama-nama) dan Sifat-Sifat yang telah disebutkan oleh kitab-Nya (al-Qur’an) dan diberitakan oleh Nabi-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam (Hadis yang sahih). Ia tidak boleh diingkari oleh sesiapapun dari makhluk Allah Subhanahu wa Ta’ala yang telah sampai kepadanya dalil bahawa al-Qur’an turun membawa keterangan tentang hal tersebut, juga sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh perawi yang adil dan thiqah (terpercaya) yang telah jelas lagi sahih dalam menerangkan masalah ini. Maka barangsiapa yang mengingkari atau berbeza dengan semuanya itu padahal hujah (dalil dan keterangan) tersebut telah jelas baginya, bererti dia kafir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Adapun jika dia menentang kerana belum mendapat hujah dan keterangan tersebut, maka dia diampuni kerana kebodohannya kerana pengetahuan tentang semuanya itu (Sifat-Sifat Allah dan Asma-Nya) tidak dapat dijangkau oleh akal dan pemikiran.

Yang termasuk ke dalam keterangan-keterangan seperti ini adalah keterangan-keterangan Allah Subhanahu wa Ta’ala bahawa Dia Maha Mendengar dan bahawa Allah itu memiliki Tangan sesuai dengan firman-Nya:

Justeru kedua Tangan Allah terbuka. - al-Maaidah (5): 64

dan bahawa Allah memiliki Tangan Kanan, sebagaimana Dia nyatakan:

Dan langit digulung dengan Tangan Kanan-Nya. - al-Zumar (39): 67

dan bahawa Allah itu memilki Wajah, berdasarkan firman-Nya yang menetapkannya:

Dan tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali wajah Allah… - al-Qashash (28): 88

Dan kekallah wajah Tuhanmu yang mempunyai keagungan dan kemuliaan. - al-Rahmaan (55): 2

Juga bahawa Allah mempunyai Tumit (tapak kaki), sesuai dengan pernyataan Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam:

Tidaklah penuh neraka jahannam melainkan ia berkata: “Adakah lagi untuk ditambah?” sehinggalah Allah Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Memberkati dan Maha Tinggi meletakkan tapak kaki-Nya ke dalam neraka. Maka berkata neraka: “Cukup, cukup, demi Keagungan-Mu” sehinggalah sebahagian neraka dilipat (memenuhi) sebahagian yang lain. - Shahih Muslim – no: 2848 (Kitab Syurga, nikmat dan sifat ahlinya, Bab Neraka akan dimasuki oleh orang yang angkuh.......). Dalam risalah Abu Talib al-‘Usyari, hadis ini disebut secara ringkas. Di sini penulis menyebut lafaz yang penuh bagi memudahkan kefahaman pembaca.

Dan Allah Tertawa berdasarkan sabda Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam tentang orang mati fi sabilillah, yakni:

Dia akan bertemu dengan Allah Azza wa Jalla sedang Allah Tertawa kepadanya. - Setakat ini hadis dengan lafaz di atas belum ditemui. Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais dalam bukunya Itiqad al-A’immah al-Arba‘ah (Dar al-‘Ashimah, Riyadh 1992), m.s. 47, notakaki 3 menyandarkan hadis ini kepada riwayat Shahih al-Bukhari, hadis no: 2826 (Kitab Jihad) dan Shahih Muslim, hadis no: 1890 (Kitab Kepimpinan). Yang benar hadis di atas menghampiri lafaz yang terdapat dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim.

Dan bahawa Allah Turun ke langit dunia pada setiap malam berdasarkan hadis Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam tentangnya (seperti disebutkan dalam Sahih Muslim dan hadis riwayat Jamaah).

Begitu juga keterangan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itu tidak buta sebelah mata-Nya berdasarkan pernyataan Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda menyebut dajjal, baginda bersabda:

Sesungguhnya ia (Dajjal) buta sebelah matanya dan sesungguhnya Tuhanmu tidaklah buta sebelah mata-Nya. - Shahih Muslim, hadis no: 2933 (Kitab Fitnah dan isyarat-isyarat Hari Kiamat)

Dan bahawa orang-orang mukmin pasti akan melihat tuhan mereka pada hari kiamat dengan pandangan mata seperti halnya mereka melihat bulan di malam purnama, juga bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala mempunyai Jari Jemari seperti ditetapkan oleh sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam:

Tidaklah ada satu hati pun melainkan ia berada di antara Dua Jari dari Jari-Jari al-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih) - Sunan Ibnu Majah, hadis no: 199 (Muqaddimah) dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibnu Majah, hadis no: 166.

Semua sifat-sifat ini yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri bagi Diri-Nya dan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk-Nya, hakikat yang tidak dapat dijangkau oleh akal atau fikiran dan orang yang mengingkarinya kerana bodoh (tidak mengetahui keterangan-keterangan tentangnya) tidaklah kafir kecuali jika dia mengetahuinya tetapi dia tetap mengingkarinya, barulah dia kafir. Dan bila mana yang datang tersebut merupakan berita yang kedudukannya dalam pemahaman seperti sesuatu yang disaksikan dalam apa yang didengar, maka wajib baginya sebagai orang yang mendengar berita tersebut untuk mengimani dan tunduk kepada hakikat hal tersebut dan mempersaksikan atasnya seperti halnya dia melihat dan mendengar dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Namun kita tetapkan Sifat-Sifat ini dengan menafikan (meniadakan) Tasybih sebagaimana Allah telah menafikannya daripada diri-Nya dalam firman-Nya:

Tiada sesuatupun yang seumpama dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. - asy-Syuura (42): 11

Imam Ahmad rahimahullah

Berkata Musaddad bin Mursahad dalam kitabnya al-‘Aqidah li Ahmad bin Hambal, m.s. 127, aku bertanya (kepada Imam Ahmad bin Hambal) tentang hadis-hadis yang menerangkan Sifat-Sifat Allah, maka beliau menjawab: “Diterima sebagaimana ia datang dan diimani dengannya dan jangan ditolak daripadanya apa-apa jika ia adalah dengan sanad yang sahih.” - Hafiz Firdaus, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah, m.s. 45

Sekian beberapa himpunan kata-kata daripada para imam mazhab yang empat, semoga Allah merahmati mereka semua. Terdapat banyak lagi nukilan kata-kata Imam-Imam Mazhab tersebut yang telah penulis himpunkan dalam buku penulis bertajuk “Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah”. Silalah rujuk buku tersebut untuk mendapatkan gambaran yang lebih mendalam tentang pandangan Imam-Imam tersebut berkaitan dengan Tawhid al-Asma’ was-Sifaat. Apa yang dapat kita simpulkan daripada kata-kata mereka di atas adalah,

Aqidah empat imam adalah sesuai dengan apa yang dituturkan al-Qur’an dan al-Sunnah serta apa yang dianut oleh para sahabat dan tabi’in yang mengikuti mereka dengan penuh ihsan. Tidak ada perbezaan dan perselisihan di antara para imam tersebut. Bahkan, alhamdulillah, mereka sepakat untuk beriman kepada Sifat-Sifat Allah...... Bahkan mereka sama sekali mengingkari golongan Jahmiyah dan Ahlul Kalam yang terpengaruh dengan filsafat Yunani dan aliran-aliran Mutakallimin. - Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais, Aqidah Empat Imam Mazhab, m.s. 4

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah berkata dalam kitabnya al-Iman:

Di antara rahmat Allah kepada para hamba-Nya adalah bahawa para imam yang mempunyai lidah kebenaran pada umat, seperti empat imam mazhab dan selain mereka, adalah bahawa mereka mengingkari (menentang) pendapat Ahlul Kalam dari kalangan Jahmiyah tentang al-Qur’an, iman dan Sifat-Sifat Allah. - Dinukil daripada buku Aqidah Empat Imam Mazhab, m.s. 4

Kesimpulan

Maka sewajarnya bagi kita untuk mencontohi aqidah keempat-empat imam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah tersebut dalam bab tawhid al-Asma’ was-Sifaat ini. Banyak orang yang menyandarkan diri mereka kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara umum dan Mazhab al-Syafi’i secara khusus akan tetapi mereka tidak memahami penyandaran mereka, jauh sekali daripada berpegang kepadanya secara benar. Diharapkan mulai kini kita sama-sama merenung semula apa yang sepatutnya menjadi pegangan kita yang sebenar.

Di dalam al-Qur’anul-Karim terdapat banyak ayat yang menerangkan Nama dan Sifat Allah 'Azza wa Jalla. Apa yang nyata, Allah tidak pernah menyuruh kita untuk menafi (Ta’thil) atau mengubah (Tahrif) istilah mahupun makna bagi Nama-Nama dan Sifat-Sifat-Nya tersebut. Selain itu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai seorang penjelas al-Qur’an juga tidak pernah menjelaskan bahawa Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut adalah sesuatu yang perlu dinafikan (Ta’thil) atau diubah (Tahrif) istilah atau maknanya. Bahkan di dalam pelbagai hadis baginda yang sahih, baginda sendiri menetapkan Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut. Hal ini diterima dan diimani oleh para sahabat tanpa mereka terfikir untuk menafikannya (Ta’thil) atau mengubah (Tahrif) istilah dan maknanya. Semua ini berlaku bukan kerana wujud ruang kosong “kelupaan” akan tetapi kerana Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut sememangnya dimaksudkan untuk difahami sebagaimana ada tanpa penafian (Ta’thil) dan pengubahan (Tahrif).

Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan generasi awal umat Islam, iaitu generasi as-Salafussoleh, tidak wujud persoalan bahawa jika diterima Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah “sebagaimana ada” akan mengakibatkan penyerupaan (Tasybih) Allah dengan makhluk ciptaan-Nya. Malah jauh sekali daripada pemikiran mereka bahawa penerimaan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah “sebagaimana ada” bererti Allah memiliki jisim dan anggota jasmani (Tajsim). Semua ini tidak berlaku kerana mereka – generasi as-Salafussoleh – melandasi pemahaman mereka terhadap Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah bersama-sama dengan ayat yang menafikan apa jua bentuk persamaan dengan mana-mana makhluk-Nya. Ayat yang dimaksudkan adalah:

Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya. - al-Ikhlas (112):04

Dan firman-Nya:

Tiada sesuatupun yang seumpama dengan-Nya dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. - asy-Syuura (42):11

Ringkasnya, generasi as-Salafussoleh beriman kepada semua Nama dan Sifat Allah selagi mana ia dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Mereka menerima dan menetapkan semua Nama dan Sifat tersebut serta memahami maknanya tanpa membahas apa dan bagaimana bentuk dan ciri-cirinya (tanpa Takyif) kerana mereka sedia maklum berdasarkan ayat 4 surah al-Ikhlas dan ayat 11 surah asy-Syura bahawa Nama dan Sifat tersebut bebas daripada apa jua penyerupaan dengan makhluk Allah di alam ini. Mereka juga tidak berfikir apa dan bagaimana bentuk dan ciri-cirinya (juga tanpa Takyif) kerana mereka sedia maklum bahawa akal fikiran tidak sekali-kali akan dapat menemui jawapannya.

Persoalan yang mungkin bermain-main di fikiran para pembaca adalah jika Tawhid al-Asma was-Sifaat yang dipegang oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab tersebut merupakan kaedah yang benar menurut mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah, maka apakah pegangan tokoh-tokoh agama yang sedang menyibukkan diri mereka untuk menyesatkan pegangan kedua syaikh tersebut? Mari kita lihat analisis yang dilakukan ulamak-ulamak berikut:

Imam Abu Hatim al-Razi (277H) berkata:

Tanda golongan Jahmiyah adalah mereka menggelar Ahlus Sunnah dengan panggilan Musyabbihah (menyerupakan Allah dengan makhluk).

Imam al-Barbahari (329H) berkata:

Bila kamu mendengar seseorang berkata: “Orang itu adalah Musyabbih” ketahuilah dia adalah Jahmiyah.

Imam Ismail al-Shabuni (449H) berkata:

Ciri-ciri Ahlul Bid’ah sangat jelas dan ciri yang paling terang adalah sikap mereka yang secara terang-terangan memusuhi dan menghina Ahlus Sunnah dan Ahlul Athar (ahli hadis) serta memberi nama-nama yang buruk kepada mereka antaranya Hasyawai, Jahalah, Zahiriyah dan Musyabbihah. - Ketiga-tiga kata-kata di atas dinukil daripada buku Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhailli yang berjudul Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, m.s.75-76

Aliran al-Jahmiyyah berasal daripada seorang yang bernama Jahm bin Safwan (128H). Antara teori yang direka-cipta oleh aliran ini adalah menafikan Sifat-Sifat Allah, Allah berada di mana-mana, di setiap tempat dan al-Qur’an adalah makhluk. Diriwayatkan bahawa aliran al-Jahmiyyah berasal daripada Ja’d bin Dirham, daripada Aban bin Sam‘an, daripada Thaluth, anak kepada saudara perempuan Lubaid bin al-A’sham, seorang Yahudi yang telah mensihir Rasulullah pada zaman baginda. Asas-asas pemikiran aliran al-Jahmiyyah beralih ke aliran al-Mu’tazilah dan seterusnya ke aliran al-Asya‘irah dan al-Matudiriyyah dengan beberapa perubahan.

Bukan penulis bermaksud untuk menuduh tokoh-tokoh agama tersebut sebagai Ahlul Bid’ah, al-Jahmiyyah ataupun al-Mu’tazilah. Hanya sahaja penulis khuatiri pandangan mereka ini menyerupai kelompok tersebut tanpa mereka sedari akan hal tersebut. Semoga melalui risalah ini ianya akan dapat menjernihkan semula keadaan dan menyatukan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah bagi menghadapi ancaman golongan Syi’ah al-Rafidhah, Kumpulan Artikel 11, Kumpulan Jangan Ikut Tuhan (budaya Punk dan Black Metal), Golongan Islam Liberal, Golongan Anti Hadis, kelompok sekular, aliran Hedonis, Neo-Murji’ah, missionaris Kristian dan jarum-jarum zionis yang cuba untuk memporak-perandakan kesatuan umat Islam. Merekalah musuh utama umat Islam dan bukan golongan Wahabi yang sebenarnya melakukan usaha untuk memartabatkan Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam serta menentang segala bentuk pencemaran yang menggugat ketulenan Islam.

5 ulasan:

  1. Assalammualaikum, sahabatku akob, alhamdulillah dapat bertemu di alam maya...tahniah di atas komitmen ilmu yang tinggi melalui penulisan buku-buku ilmiah.

    Kalau kesempatan tolong email buku-buku yang baik, shamsuliskandar@gmail.com. Bila free call la, kena teh tarik 0193413312.

    BalasPadam
  2. Wa'alaikumussalaam Warahmatullah

    Dari zaman UIAM ciri-ciri kepimpinan memang telah ada dalam diri enta. Itu sebab akob dahulu secara peribadi memang begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk melihat enta menjadi Ketua Student's Representative Council UIAM.

    Sekarang enta dah jadi Ketua Pemuda PKR. Tahniah. Mungkin in the future jadi menteri kabinet pula or who knows mungkin juga the next Prime Minister of Malaysia.

    Enta kat area KL ke sekarang ni or dah jadi rakyat Dungun.

    Insya Allah kita akan bertemu dalam masa terdekat ini dan akob akan hadiahkan beberapa buku akob yang stoknya masih ada kepada enta.

    Please call me at 016 2640 722 at any time. Teh tarik mana cukup. Kita pekena Roti Nan + kari kambing sekali. Peghhh..

    Sekian Wassalaam

    BalasPadam
  3. Assalamu'alaikum Akhi Akob&Pembaca...

    Hanyasanya ALLAH jua yang dapat membalas ikhtiar yang dilakukan oleh saudara Akob kita. Selain pembaca setia, saya juga berharap seorang alim bernama yang bernama Asy-Syeikhhhh El-Muhammadi yg membuat ulasan berkenaan pembahagian tauhid kepada 3bahagian akan mulai faham&mendapat hidayat&taufiq daripada ALLAH Azza Wa Jalla.

    BalasPadam
  4. Assalamu'alaikum Akhi Akob&Pembaca...

    Hanyasanya ALLAH jua yang dapat membalas ikhtiar yang dilakukan oleh saudara Akob kita. Selain pembaca setia, saya juga berharap seorang alim bernama yang bernama Asy-Syeikhhhh El-Muhammadi yg membuat ulasan berkenaan pembahagian tauhid kepada 3bahagian akan mulai faham&mendapat hidayat&taufiq daripada ALLAH Azza Wa Jalla.

    BalasPadam
  5. Wa'alaikumussalaam Warahmatullah.

    Ya Akhi, Terima Kasih atas sokongan dan dokongan.

    BalasPadam