Ahad, 1 Julai 2012

Ziarah Kubur Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W.




Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Tiada makhluk bernyawa yang akan kekal hidup selamanya. Firman Allah: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati” (Ali Imran: 185). Ketahuilah bahawa kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau kekuatan. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan walaupun sesaat. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8) Setelah tercabut nyawa seseorang maka dia akan menempuh alam barzakh dan alam akhirat dan menerima balasan yang setimpal dengan amalannya semasa di dunia. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. memerintahkan kita untuk banyak-banyak mengingat kematian agar kita lebih berwaspada dalam menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal tiba. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita sentiasa mengingati kematian. Baginda bersabda: “Perbanyaklah mengingat pemutus kelezatan (yakni kematian) ”(Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Di antara cara yang paling efektif untuk kita merenungkan tentang alam kematian dan akhirat adalah dengan menziarahi kubur. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil” (Hadis riwayat Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak). Sekiranya ziarah kubur ini banyak manfaatnya pasti Rasulullah s.a.w. telah memberi penjelasan tentang adab-adab yang perlu kita patuhi kerana Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan segala perkara yang dapat membantu umatnya untuk menjejak syurga sebelum baginda wafat. Baginda bersabda: Tidaklah tertinggal sesuatu pun yang mendekatkan ke syurga dan menjauhkan dari neraka melainkan telah dijelaskan semuanya kepada anda.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Oleh itu mari kita memperhalusi apa yang Rasulullah sampaikan kepada kita tentang ziarah kubur.

Apabila berjalan di dalam kawasan perkuburan hendaklah seseorang itu membuka selipar atau kasutnya. Ini berdasarkan sebuah riwayat di mana Rasulullah s.a.w.  pernah melihat seorang lelaki yang berjalan di antara kubur dengan memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya: “Wahai pemilik kasut al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah engkau itu.” Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu ialah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dia membuka kedua-dua kasutnya itu dan melemparnya.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).

Di larang memijak kubur-kubur yang berada di kawasan itu ketika berjalan disekitarnya. Jabir r.a menerangkan: “Nabi s.a.w. melarang dari mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Menerusi hadis ini juga terdapat larangan-larangan Rasulullah yang semakin tidak di endahkan oleh umat Islam iaitu tidak membuat binaan disekeliling kubur dan tidak menulis nama, doa-doa atau ayat-ayat al-Qur’an di batu nisan mahupun di binaan sekeliling kubur. Imam al-Syafi’i r.h di dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Saya menyukai agar kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur (disimen) kerana perkara ini menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.”

Rasulullah s.a.w. turut mencela mereka yang bersandar kepada kubur dan duduk di atasnya. ‘Amr bin Hazm al-Anshari r.a menceritakan: “Rasulullah s.a.w. melihat aku bersandar kepada sebuah kubur lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Rasulullah s.a.w. turut bersabda: “Sungguh, jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang tidak mematuhi larangan ini terutamanya semasa upacara pengkebumian jenazah di mana kubur-kubur pihak lain dipijak, disandar dan diduduk di atasnya tanpa rasa bersalah.

Umat Islam turut di larang untuk membuang air besar mahupun kecil di kawasan perkuburan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sungguh, berjalan di atas bara api atau pedang atau aku ikat kasutku dengan kakiku lebih aku sukai dari berjalan di atas kubur orang Islam. Tidak ada beza keburukannya bagiku sama ada membuang hajat di tengah perkuburan atau di tengah pasar (kedua-duanya amat buruk, maka jangan melakukannya).” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Rasulullah s.a.w. memerintahkan untuk mengucapkan salam dan mendoakan ahli kubur. ‘Aishah telah berkata: “Rasulullah pernah keluar ke Baqi’ (tempat pemakaman kaum muslimim), lalu baginda mendoakan mereka. Kemudian aku (iaitu ‘Aisyah) bertanya tentang hal itu, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diperintahkan hal itu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Di antara doa yang telah diajarkan oleg baginda adalah: “Salam sejahtera wahai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan Insya Allah kam akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Ketika berdoa hendaklah menghadap ke arah kiblat dan bukan ke arah kubur. Tentang amalan kebanyakan umat Islam membaca al-Qur’an sama ada surah Yasin atau yang lainnya di kuburan maka amalan ini tidak sah bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Hadis ini menunjukkan bahawa kawasan perkuburan bukanlah tempat untuk membaca al-Qur’an sebagaimana rumah. Menerusi hadis ini juga, dapatlah difahami bahawa dilarang menjadikan rumah seperti kuburan yang tidak dibacakan al-Qur’an. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah di dalam kitabnya Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim: “Daripada (Imam) al-Syafi’i sendiri  tidak terdapat perkataan tentang masalah ini. Ini menunjukkan bahawa (baca al-Qur’an di perkuburan) menurut beliau adalah bid’ah. Imam Malik berkata: “Tidak aku dapati seorangpun daripada para sahabat dan tabi’in yang melakukan hal itu.” Amalan menabur bunga, menyiram air atau menanam pokok di atas kuburan juga bukanlah sebahagian dari sunnah Rasulullah s.a.w.

Bukanlah menjadi satu kesalahan untuk menangis ketika menziarah kubur kerana Rasulullah s.a.w. pernah mengeluarkan air mata ketika mengunjungi kubur ibu baginda. Yang dilarang adalah meratap di kuburan iaitu menangis dengan meraung-raung, menampar pipi atau mengoyakkan baju disebabkan kesedihan kerana perbuatan sebegini jelas bertentangan dengan syarak. Diharamkan untuk mengerjakan solat di kawasan perkuburan melainkan solat jenazah (bagi yang tidak sempat menunaikannya sebelum pengkebumian) kerana Rasulullah telah bersabda: “Jangan duduk di atas kubur dan jangan solat kepadanya (menghadap kuburan)” (Hadis riwayat Imam Muslim) Di dalam riwayat lain Rasulullah turut bersabda: “Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Hadis ini jelas melarang solat di kawasan perkuburan.

Di dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Hakim yang telah dipaparkan sebelum ini Rasulullah s.a.w. bersabda: “ …Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.” Oleh itu di kawasan perkuburan janganlah kita berbicara perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak seperti menceritakan  tentang keburukan si mati. Termasuk dalam kategori ucapan-ucapan yang batil adalah berdoa memohon pertolongan kepada kuburan atau bertawasul kepada kubur-kubur yang di anggap keramat. . Syaikh Al Albani r.h di dalam Ahkaamul Janaaiz berkata: “Tidaklah samar lagi bahawa apa yang orang-orang awam lakukan ketika menziarah kubur seperti berdoa kepada mayat, memohon pertolongan kepadanya dan meminta sesuatu kepada Allah menerusi perantarannya (tawasul), adalah termasuk al-hujr (perkataan yang keji dan batil) yang paling berat dan ucapan batil yang paling besar. Maka wajib bagi para ulamak untuk memperjelaskan kepada mereka tentang hukum Allah dalam hal itu. Dan memberi penerangan kepada mereka tentang ziarah yang disyariatkan dan tujuan yang dikehendaki syarak dari ziarah tersebut” Oleh itu adalah diharamkan untuk melakukan perjalanan jauh dengan tujuan untuk beribadah di kawasan perkuburan seperti yang di gambarkan di atas di sebabkan kuburan tersebut dianggap memiliki keutamaan atau keberkatan kerana ia tertanam jenazah para Nabi atau Rasul, para sahabat atau wali-wali tertentu. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.: “Tidak boleh bersusah payah mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid, iaitu al-Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Palestin).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Perjalan khusu untuk ibadah hanya boleh dilakukan ke tiga destinasi yang disebutkan di atas.
Perkuburan Baqi
Ziarah kubur adalah termasuk ibadah dan amal soleh. Oleh itu sewajarnya ia dilaksanakan sesuai dengan ajaran Rasulullah s.a.w. yang merupakan contoh ikutan yang terbaik (Uswatun Hasanah) bagi seluruh umat Islam. Cukuplah bagi kita amalan-amalan yang sah daripada baginda dan tinggalkanlah perbuatan yang tiada landasan dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Ayuh kita hidupkan sunnah dan benteras bid’ah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan