Ahad, 28 Oktober 2012

JANGAN JADIKAN SAKIT SEBAGAI ALASAN UNTUK MENCUAIKAN SOLAT.


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sakit pada suatu sisi dilihat sebagai suatu perkara yang negatif kerana ia menimbulkan perasaan tidak selesa terhadap tubuh manusia namun ia sebenarnya merupakan ujian Allah s.w.t. terhadap hamba-hambanya. Bagi mereka yang redha dan sabar dengan ujian ini maka sakit tadi akan berubah menjadi nikmat kerana ia akan menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan dicatat sebagai suatu amalan mulia yang berhak mendapat pahala serta darjatnya disisi Allah s.w.t. akan ditingkatkan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah seorang mukmin yang terkena sesuatu penyakit meskipun hanya pada uratnya sahaja, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan peyakit tersebut, akan dicatatkan baginya satu kebaikan dan diangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Imam Thabarani)
Namun begitu adakah sakit ini tetap akan menjadi nikmat sekiranya ia dijadikan alasan untuk meninggalkan solat? Tahukan anda bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memberi ancaman yang amat berat bagi mereka yang meninggalkan solat? Sabda Rasulullah s.a.w.: “Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Dan sabdanya lagi: “Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Jika pesakit mencuaikan solat, sudahlah merana ditimpa penyakit kemudian perlu pula menanggung dosa besar kerana melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak. Ini bolehlah diibaratkan bak kata pepatah “sudah jatuh ditimpa tangga.”
Pertama sekali adakah benar tanggapan sesetengah pihak bahawa meninggalkan solat itu dibenarkan bagi pesakit?  Mari kita perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. ini: “Di angkat al-Qalam (taklif atau beban hukum) daripada tiga golongan manusia iaitu daripada orang yang tidur sehingga terjaga, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga pulih.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) Ternyata pesakit tidak termasuk tiga golongan yang terangkat dari beban hukum melainkan pesakit yang tidak sedarkan diri dan hilang akal atau gila. Oleh itu hendaklah para pesakit tetap mengerjakan solat mengikut keupayaan mereka. Islam telah memberikan rukhsah (kemudahan) yang banyak bagi para pesakit agar tetap dapat melaksanakan solat walaupun dalam keadaan sakit.
Di dalam ilmu fekah terdapat kaedah “keadaan darurat menghalalkan yang haram” (ad-dharuratu tubiihul mahzhuraat). Pada dasarnya sememangnya terdapat syarat-syarat sah solat yang perlu dipatuhi oleh setiap insan namun menerusi rukhsah yang Allah s.w.t. kurniakan kepada para pesakit sesetengah hukum itu tergugur atau dipermudahkan atas dasar darurat serta kesukaran yang terpaksa dilalui oleh pesakit tersebut dalam mendirikan solat. Perkara asas yang perlu kita fahami adalah dalam kehidupan, Allah s.w.t. tidak membebankan hambanya dengan sesuatu yang di luar batas kemampuan mereka. Firman Allah s.w.t: “…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (al-Baqarah: 185).

Sebagaimana yang kita maklum seseorang itu perlu bersolat dengan tubuh badan serta pakaian yang suci dari sebarang najis dan menutup aurat. Namun begitu jika pesakit itu tidak mampu melakukannya dan tiada orang lain yang boleh membantunya untuk menyucikan najis yang terdapat di pakaian, tubuhnya atau kawasan solatnya maka hendaklah dia tetap mengerjakan solat dalam keadaan itu dan solatnya tetap sah tanpa perlu mengulanginya di kemudian hari. Begitu juga bagi pesakit yang sentiasa berhadas seperti wanita yang mengalami istihadah (darah penyakit yang keluar berterusan dari kemaluannya), penghidap penyakit kencing tidak lawas atau pesakit yang memakai colostomy bag (alat yang dipasang di perut kepada pesakit yang tidak boleh membuang air besar secara normal) dan continuous bladder drainage (sejenis alat yang dipakaikan kepada pesakit yang tidak boleh membuang air kecil secara normal) mereka tetap perlu bersolat dalam keadaan badan tubuh bernajis. Sebelum berwuduk berusahalah untuk menghilangkan najis tersebut sekadar termampu seperti dengan membersihkan bahagian kemaluan atau menukarkan beg atau plastik yang berisi najis tersebut. Pesakit hendaklah mengambil wuduk apabila telah masuk waktu solat dan terus mendirikan solat iaitu tanpa diselangi dengan sebarang perbuatan lain. Sekiranya ketika bersolat solat air kencing meleleh, darah atau najis terkeluar ianya tidak membatalkan wuduk mahupun solat. Begitu juga bagi pesakit yang tidak mampu menutup aurat  dan tiada sesiapa yang boleh membantunya ketika itu, hendaklah dia solat dengan apa jua pakaian yang ada pada tubuhnya ketika itu.
Berwuduk sebelum solat tetap diwajibkan kepada para pesakit. Jika pesakit tidak mampu bergerak maka dia boleh meminta bantuan pihak lain untuk mewudukkannya. Sekiranya tubuh pesakit tidak boleh terkena air kerana ia akan menjadikan penyakitnya bertambah parah maka hendaklah dia bertayamum dengan menggunakan debu suci baik untuk hadas kecil atau hadas besar. Firman Allah s.w.t.: “…dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi hadas atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang suci) iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (al-Nisaa’ : 43) Bagi pesakit yang melecur sehingga tidak boleh berwuduk mahupun bertayamum maka dia dianggap tidak perlu bersuci dan dibenarkan bersolat dalam keadaan begitu.
Al-Jabirah adalah sesuatu yang dijadikan pengikat pada anggota badan yang patah atau tergeliat mahupun balutan kepada anggota yang luka, melecur dan lain-lain bentuk kecederaan dan balutan tersebut diperbuat dari kain, bahan plastik, simen, kayu dan selainnya. Pada bahagian anggota wuduk yang berbalut al-Jabirah, sesetengah ulamak berpendapat memadai pesakit itu menyapu balutan tersebut (dengan tangan yang dibasahi air) tanpa perlu membasuhnya untuk berwuduk. Namun ada juga di kalangan para ulamak yang berpendapat bahawa kawasan yang berbalut tersebut tidak perlu disapu kerana telah gugur hukum wajib membasuh ke atasnya dalam rangka memberi kemudahan. Menurut Syaikh al-Albani r.h di dalam Tamamul Minnah Fit Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah: “Hadis-hadis (berkaitan wajib menyapu atas balutan) ini -kerana begitu sangat lemahnya- tidak dapat dikuatkan oleh banyaknya jalur periwayatan.” Seterusnya Syaikh al-Albani membahaskan secara ringkas kelemahan hadis-hadis tersebut lalu beliau membawa pendapat Imam Ibnu Hazm r.h: “Oleh sebab itu, Ibnu Hazm memilih tidak disyari’atkan menyapu pembalut. Beliau berkata: Dalilnya adalah firman Allah: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (al-Baqarah : 286) dan Sabda Nabi s.a.w.: “…dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu maka lakukanlah sesuai dengan kemampuanmu.”(Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Menurut Syaikh al-Albani inilah pendapat yang yang lebih menepati kebenaran kerana ianya lebih mencerminkan kemudahan (rukhshah) dalam bersuci.
Para pesakit turut diberikan kemudahan dalam menunaikan solat mengikut keupayaannya. Ajaran Islam tidak memaksa seorang pesakit untuk berdiri ketika menunaikan solat sekiranya dia tidak mampu untuk berdiri. Solat tersebut hendaklah dilakukan menurut kemampuan dan keupayaannya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Bagi yang solat secara duduk cara duduknya ialah duduk seperti semasa membaca tahiyat awal. Namun sekiranya tidak mampu, hendaklah duduk mengikut kemampuannya. Jika tidak mampu untuk duduk maka hendaklah seseorang itu solat dalam keadaan baring sambil mengiring di atas rusuk kanan. Muka dan dada dihadapkan ke arah kiblat sedangkan rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala. Jika pesakit tidak mampu untuk solat secara mengiring maka solatlah dalam keadaan baring sambil terlentang. Kakinya menghala ke arah kiblat dan kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dihadapkan ke kiblat. Sekiranya dalam keadaan ini juga tidak mampu, solatlah secara melakukan isyarat kelopak mata ataupun solat dengan hatinya. Begitu juga dengan persoalan menghadap kiblat, sekiranya pesakit tidak berupaya untuk memposisikan diri mereka arah kiblat dan tiada orang lain yang dapat membantunya maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan menghadap ke mana sahaja.
Apabila pesakit merasakan sukar baginya untuk mengerjakan solat mengikut waktu yang telah ditetapkan, maka dalam rangka memberikan kemudahan kepada para pesakit, dia dibenarkan untuk menjamak (menghimpun) solatnya. Dalil yang membolehkan menjamak solat sekiranya terdapat kesukaran untuk mengerjakan solat mengikut waktu adalah sebuah riwayat daripada dari Ibnu ‘Abbas r.a: “Rasulullah s.a.w. pernah menjamak solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi s.a.w. berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Demikianlah beberapa contoh kemudahan yang dikhususkan kepada pesakit untuk mendirikan solat. Apa yang dapat kita simpulkan adalah penyakit yang menimpa seseorang itu tidak pernah menggugurkan kewajipan solat selagimana pesakit tersebut masih sedar dan boleh berfikir secara waras.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan