Memaparkan catatan dengan label Akhlak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akhlak. Papar semua catatan

Isnin, 22 Jun 2009

Riak Lebih Ditakuti Dari Dajjal

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
SUMBER : Berita Harian, 20hb June 2009



Rasulullah berpesan elak menunjuk-nunjuk ketika beramal kerana menyamai syirik

RIAK ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)



Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathul Baari berkata: "Riak ialah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu."

Ada insan yang ketika beribadah secara bersendirian kualiti amalannya tidak sehebat ketika orang lain memandangnya. Contoh seseorang yang solat bersendirian maka solatnya tidak sepanjang atau bacaan dalam solat tidak dilagukan atau dinyaringkan.

Apabila di depan orang ramai, solat menjadi panjang dan suaranya dikuatkan supaya orang lain mendengar bacaan yang berlagu. Tasbihnya pula dibiarkan di tangan sambil mulut terkumat-kamit agar dilihat orang.

Begitu juga boleh dianggap riak jika seseorang memakai pakaian seperti ulama iaitu berjubah dan serban besar bertujuan menampakkan dirinya sebagai alim dan kuat beribadah. Ada juga individu sengaja menghitamkan dahi dengan menggosoknya menggunakan objek keras supaya kelihatan seperti yang kuat mengerjakan solat dan lama bersujud..

Kerisauan Baginda SAW terhadap sifat riak disebabkan penyakit hati ini mudah menyerang setiap insan kerana jiwa manusia memiliki kecenderungan suka menerima puji dan kedudukan tinggi di hadapan orang lain. Al-Muhasibi menjelaskan penyebab riak: "Senang dipuji dan takut dicela, tunduk kepada dunia dan tamak kepada perkara dimiliki orang lain."

Riak juga berbahaya kerana meresap dalam amalan umat Islam dalam keadaan samar. Mereka yang dihinggapi penyakit riak tidak menyedari ibadah sudah tercemar kerana hilang keikhlasan.

Riak dianggap Rasulullah SAW sebagai amalan syirik kecil kerana bagi seseorang yang sudah dihinggapi sifat ini ibadahnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah, sebaliknya menempatkan insan lain sebagai tandingan bagi Allah kerana amalnya bertujuan menarik perhatian insan itu.

Justeru, riak bukan sekadar boleh menyebabkan seorang terjebak dalam dosa, ia sebenarnya boleh menyebabkan amalan tidak diterima Allah. Imam Ibnu Taymiyyah berkata: "Sesungguhnya bagi seseorang yang bersikap riak dalam ibadah, bukan saja ibadahnya batal, malah dia turut mendapatkan dosa daripada perbuatannya itu yang dianggap syirik kecil."

Apabila suatu amalan dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah, ia akan diterima oleh-Nya. Sebaliknya, apabila amalan diniatkan untuk mendapat perhatian, pujian atau meraih keuntungan duniawi, maka ia tidak diterima Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya amalan itu tergantung pada niatnya, dan sesungguhnya amalan seseorang dibalas sesuai dengan apa yang dia niatkan." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Allah berfirman bermaksud: "Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan memurnikan (ikhlas) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus." (Surah Al-Bayyinah, ayat 5)

Imam Ibnu al-Qayyim ketika menafsirkan ayat itu menyatakan: "Seperti Allah adalah satu dan tiada Tuhan selain-Nya begitu pula hendaklah amal ibadah itu layak dipersembahkan hanya untuk-Nya dan tiada sekutu. Demikian juga halnya jika hanya Dia sebagai sembahan, maka wajiblah mengesakannya dalam perhambaan kerana amal yang salih adalah amal yang bersih daripada riak dan terikat dengan sunah."

Amal seseorang diterima Allah harus memenuhi dua syarat iaitu niat ikhlas semata-mata demi Allah dan dilakukan sesuai dengan tuntutan syariat (mengikuti sunnah Nabi).

Allah berfirman bermaksud: "Barang siapa berharap akan menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan jangan mempersekutukan dalam menyembah Tuhannya dengan suatu apa pun." (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Menyedari besarnya musibah dibawa sifat riak, Rasulullah SAW mengajar umatnya memohon perlindungan dengan membaca doa: "Ya, Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahuinya." (Hadis riwayat Ahmad)

Dosa syirik yang tidak diketahui merujuk riak kerana ia dianggap syirik tersembunyi. Pelakunya menampakkan ibadah itu dikerjakan kerana Allah, sedangkan niat tersembunyinya untuk mendapat perhatian dan pujian manusia.

Perasaan riak dapat disingkirkan dalam jiwa setiap insan jika dia benar-benar memahami keagungan sifat Allah yang Maha Mendengar dan Maha Melihat serta Maha Mengetahui apa yang nampak ataupun tersembunyi.

Firman Allah bermaksud: "Katakanlah, jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu menampakkannya, pasti Allah mengetahuinya" (Surah Ali-Imran, ayat 29)

Apabila seseorang mengetahui tiada apa yang terdetik di hatinya tersembunyi daripada Allah, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikhlaskan ibadahnya hanya kepada Allah.

Pada akhirat nanti, bagi mereka yang riak akan menerima pembalasan dengan dibongkarkan niatnya yang buruk itu di depan seluruh makhluk seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa beramal kerana sumah (ingin didengari manusia) Allah akan membalasnya dengan diperdengarkan kejelekannya. Siapa berbuat riak, maka Allah akan menampakkan sifat riaknya itu (di depan makhluk)." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Al-Khathabi berkata: "Makna hadis ini, orang yang melakukan amalan tanpa niat ikhlas, namun hanya mahu dilihat dan didengar manusia, maka pada hari kiamat dia akan dibalas atas hal itu iaitu dengan cara memperkenalkannya, membongkarkan kejelekannya dan menampakkan apa yang dia sembunyikan (di sebalik amalannya)."

Oleh itu, mari kita berlumba untuk mengerjakan amal salih secara tulus ikhlas kerana Allah dan jika perasaan riak timbul perlu kita segera menepisnya dan jangan dibiarkan terus bermain di jiwa kerana itu bisikan syaitan yang ingin menyesatkan manusia.

Jika seseorang pada asalnya berniat mengerjakan ibadah ikhlas kepada Allah, namun kemudian perasaan riak itu datang secara tiba-tiba dan dia berusaha menghilangkannya, keadaan itu tidak menyebabkan amalannya ditolak Allah.

Jumaat, 5 Jun 2009

BH05/06/09 : Ingat Mati Cegah Manusia Bergelumang Maksiat

Sila klik pada imej untuk membesarkan paparan

Ingat mati cegah manusia bergelumang maksiat
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Usah menunggu tua untuk bertaubat, beramal salih kerana maut datang tanpa diduga
MANUSIA yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai hawa nafsu dan hidup dibelenggu maksiat amat sikit bahkan mungkin juga tidak mengingati malaikat maut pasti datang membawa perintah Allah untuk meragut nyawanya. Jika mengingati mati, pasti mereka ketakutan atau bersedih kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat, tetapi ia gusar mengenangkan harta bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal ditinggalkannya.

Firman Allah: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185).
Ketahuilah kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan walaupun sesaat. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8)

Dengan mengingati kematian, kita lebih berwaspada dalam menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal tiba.
Mengingati kematian menyebabkan kita teruja membuat persiapan rapi menghadapinya nanti. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita sentiasa mengingati kematian.
Cara terbaik ialah mengenangkan keluarga, sahabat atau sesiapa saja yang boleh mempengaruhi hidup kita. Mereka mungkin memiliki kekayaan, jawatan besar serta disanjung tetapi kini jasadnya bersendirian di dalam kubur. Hartanya, kedudukannya serta sanjungan orang ramai kini terpisah daripadanya. Kita perlu serapkan di jiwa kematian juga pasti menjemput dan akan keseorangan di alam kubur.
Kita juga perlu menziarahi kubur kerana membantu mengingati kita juga akan menghadapi nasib sama dengan ahli kubur itu. Islam juga menganjurkan kita menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis pengebumian kerana dapat mengingatkan kita mengenai kematian. Mengingati kematian membawa nilai positif terhadap insan, maka banyak dalil menganjurkan manusia selalu mengingati kehidupan hanya sementara.

Rasulullah juga mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan kematian sebagai manusia paling bijaksana. Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik? “Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)
Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan jiwa seseorang sedang menghadapi kesulitan hidup. Ia menimbulkan kesedaran dunia bukan segala-galanya dan selepas kematian ada alam yang kehidupan serta kenikmatannya abadi. Bagi mereka yang dianugerahkan kesenangan, maka mengingati kematian menjauhkannya daripada kerlipan serta godaan duniawi. Kematian menyedarkannya kesenangan duniawi tidak kekal dan dia bakal berpisah dengannya. Hanya kehidupan di alam akhirat kekal abadi dan ini dapat menggerakkan jiwa untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia ini demi mencapai kebahagiaan di akhirat.
Oleh itu, dengan menyedari setiap bernyawa pasti akan menghadapi maut yang hanya diketahui Allah, pasti ia menimbulkan semangat untuk segera melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika seseorang menangguhkan untuk melakukan amalan salih dan ternyata ajalnya tiba ketika asyik melakukan maksiat, dia termasuk orang yang rugi dan bakal mendapat balasan buruk di akhirat.
Justeru, setiap umat Islam harus manfaatkan kehidupannya dengan cara terbaik iaitu mengerjakan amalan diperintah Allah dan Rasul-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ketika tubuh sihat, kita manfaatkan semaksimum mungkin supaya menjadi insan beriman, bertakwa dan gemar mengerjakan amal salih.
Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa kecelakaan sehingga terlantar keuzuran dan tidak lagi mampu melakukan amalan yang salih. Kita pergunakan hayat dengan menghindari perbuatan maksiat kerana mungkin entah esok mahupun lusa malaikat maut mencabut nyawa sedangkan kita masih bergelumang dengan dosa.

Isnin, 1 Jun 2009

Berita Harian 1hb Jun 09 : Perasaan Malu Benteng Cegah Maksiat

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
HILANGNYA perasaan malu dalam jiwa boleh menyebabkan seseorang insan itu tanpa segan silu mengerjakan maksiat. Baru-baru ini kita digemparkan dengan tajuk utama akhbar, “Trend Baru Remaja Melayu: Kelab Tiada Dara”. Memetik laporan akhbar itu: “Walaupun masih belasan tahun, mereka bangga tiada dara. Kumpulan remaja Melayu terbabit juga menubuhkan kelab untuk bertukar teman lelaki. Ahlinya diwajibkan memakai tatu.”
Ini hanyalah sekelumit pendedahan mengenai sikap anak muda kita yang semakin jauh hanyut hidup bergelumang maksiat disebabkan hilangnya sifat malu. Sehubungan itu, ada satu keperluan mendesak untuk menerapkan sifat malu iaitu aspek ditekankan ajaran Islam dalam jiwa setiap umat Islam.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya salah satu perkara yang sudah diketahui manusia dari kata-kata kenabian terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqolani: “Secara bahasa malu (al-Hayaa’) bermaksud perubahan yang ada pada diri seseorang kerana takut melakukan perbuatan dapat menimbulkan aib. Dari segi terminologi pula ia bererti perangai yang mendorong untuk menjauhi sesuatu yang buruk dan mencegah untuk tidak memberikan sesuatu hak kepada pemiliknya.” Malu adalah satu cabang daripada cabang iman kerana ia dapat menjadi faktor mendorong seseorang menjadi insan yang taat kepada segala perintah Allah dan mencegahnya daripada terjerumus dalam perbuatan maksiat.

Mengenai hubungan iman dan malu, Ibnu Quthaibah berkata, sifat malu dapat menghalang dan menghindarkan seseorang melakukan kemaksiatan seperti iman. Maka sifat malu disebut sebagai iman, seperti sesuatu dapat diberi nama dengan nama lain yang dapat menggantikan posisinya.
Perasaan malu sudah diwarisi daripada nabi terdahulu kepada satu generasi ke generasi dan oleh itu anjuran supaya memiliki perasaan malu kekal menjadi sebahagian syarak bagi umat Nabi Muhammad SAW.
Sabda Baginda SAW supaya mereka yang tidak malu untuk berbuat sesuka hati mereka, ulama mentafsirkannya dengan tiga cara, pertama iaitu perintah berbentuk ancaman jika tiada malu, buatlah perkara bertentangan syarak kerana pasti akan dibalas Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Kerjakanlah olehmu apa-apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 40)
Kedua ialah perintah berbentuk penjelasan bahawa bagi sesiapa yang tidak memiliki perasaan malu maka dia tidak akan malu untuk melakukan apa juga perbuatan termasuk perkara yang bercanggah dengan syariat. Ia kerana yang mampu mencegah seseorang daripada mengerjakan maksiat adalah perasaan malu. Sabda Baginda SAw yang bermaksud: “Barang siapa melakukan pembohongan atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat duduknya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Ketiga, perintah yang menunjukkan erti pembolehan seperti dijelaskan Imam al-Nawawi: “Perintah itu mengandungi erti pembolehan. Maksudnya, jika engkau ingin mengerjakan sesuatu, maka lihatlah jika perbuatan itu sesuatu yang menjadikan engkau tidak merasa malu kepada Allah dan manusia, maka lakukanlah. Jika tidak maka tinggalkanlah.”
Pendapat pertama adalah pandangan yang dipilih majoriti ulama dan lebih tepat. Demikianlah bagaimana Rasulullah SAW menitikberatkan umatnya menerapkan perasaan malu dalam kehidupan seharian kerana ia boleh menghalang seseorang melakukan perkara dilarang. Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri.
Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya. Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan. Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa’) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Isnin, 13 April 2009

Berita Harian 13hb April 2009 - Menegur pemimpin perlu dilakukan secara bijaksana


Menegur pemimpin perlu dilakukan secara bijaksana
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
SUMBER : http://www.bharian.com.my/

KEWUJUDAN kepemimpinan yang stabil bagi sesebuah negara dilihat sebagai satu aspek penting dalam Islam. Tanpa kepemimpinan yang positif dan ikhlas berjuang, kepentingan rakyat tidak akan mampu ditadbir dengan baik.

Apabila masyarakat dibiarkan tanpa pemimpin nescaya keadaan akan menjadi huru-hara di mana golongan kuat menindas yang lemah. Tanpa pemimpin, undang-undang rimba akan ditegakkan dan kezaliman bermaharajalela.

Justeru, urusan kepemimpinan adalah antara satu dasar utama dalam Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemimpin di bumi, seperti Dia menjadikan orang sebelum mereka khalifah yang berkuasa." (Surah al-Nur, ayat 55)

Lantaran itu, Islam meletakkan beberapa dasar penting bagaimana rakyat perlu berinteraksi dengan pemimpin yang berkuasa dalam sesebuah negara demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran masyarakat.

Ketaatan kepada pemimpin adalah satu dasar yang pokok. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu." (Surah al-Nisaa', ayat 59)

Namun, Islam hanya menetapkan kewajipan untuk mendengar dan taat kepada pemimpin selagi mana pemimpin itu tidak menyuruh membuat perkara berunsur maksiat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat.

Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tidak wajib untuk mendengar dan tidak wajib taat." (Hadis riwayat Bukhari) Jika pemimpin memerintahkan untuk melakukan perbuatan bertentangan syarak, yang diingkari hanyalah perbuatan itu akan tetapi kesetiaan kepada pemimpin tetap perlu diteruskan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah itu. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu)." (Hadis riwayat Muslim)

Jika pemimpin melakukan kesalahan maka hendaklah mereka dinasihati dengan cara baik berbekalkan niat untuk membawa kebaikan kepada masyarakat keseluruhannya tanpa ada motif lain. Dalam Musnad Ahmad diriwayatkan Rasulullah SAW menyenaraikan tiga perkara yang Allah reda untuk diamalkan bagi hamba-Nya yang mana salah satu darinya adalah: "Kalian menasihati orang yang Allah angkat menjadi pemimpin atas urusan kalian."

Menasihati atau menegur pemimpin tidak boleh dilakukan secara terbuka, dengan kata berbentuk cacian dan menghina atau tujuan menanam perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap pemimpin itu. Hendaklah kita sedari pemimpin adalah manusia biasa yang ada kalanya melakukan kesilapan dalam menguruskan urusan pentadbiran.

Namun, jika pemimpin melakukan kesilapan ia bukan bererti kita dibenarkan untuk mencela secara terbuka tetapi hendaklah menasihatinya dan memperjelaskan kesalahannya dengan cara penuh hikmah.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh cara menasihati pemimpin melalui sabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) sudah melaksanakan tanggungjawabnya." (Hadis riwayat Ahmad)

Menerusi prinsip ini, bukan bermakna umat Islam hanya membisu apabila kemaksiatan atau kezaliman seperti rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa berlaku dengan alasan ia berpunca daripada pihak pemimpin. Maksiat serta kezaliman tetap perlu diingkari dan diperjelaskan secara umum kepada masyarakat bahawa perkara itu bertentangan syarak dan terlarang.

Pemimpin yang ingkar terhadap maksiat sudah diberitahu Rasulullah SAW menerusi bimbingan wahyu Ilahi dan Baginda menyuruh umat Islam untuk taat kepada pemimpin itu selagi mana dia adalah seorang Muslim dan tidak wujud tanda jelas bahawa dia kafir daripada agama Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia sudah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia sudah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya. Sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (saja) dengan pedang? Baginda menjawab: Jangan, selama mana mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian." (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah beberapa prinsip bagaimana umat Islam harus berurusan dengan pemimpin demi mencapai kestabilan politik dan kesatuan umat yang menjadi faktor penting dalam membentuk umat Islam yang kuat dan digeruni musuh. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam dan menggembirakan musuh Allah.

Isnin, 22 Disember 2008

UTUSAN MALAYSIA 22/12/08 : Waspada Sambut Tahun Baru


Waspada sambut tahun baru
Oleh MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS

KEHADIRAN tahun baru dilihat sebagai satu hari perayaan yang disambut dengan pelbagai upacara yang kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara terbuka mahupun tertutup dan mereka disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengasyikkan serta bertentangan dengan syarak.

Bahkan di sesetengah perhimpunan tersebut ia dicemari dengan aksi pergaulan bebas di antara kaum lelaki dan perempuan, pesta tari-menari, penggunaan pakaian yang menjolok mata bahkan adakalanya minuman keras turut disajikan sambil masing-masing menunggu kedatangan detik 12 malam yang menunjukkan masuknya tahun baru.

Maka sorak-sorai serta jerit-pekik gembira bergema apabila jam tepat menunjukkan pukul 12. Hiburan-hiburan berunsur maksiat ini akan berterusan sehingga ke pagi hari. Ini sebenarnya budaya kaum yang ingkar kepada perintah Allah yang telah menjadi ikutan muda-mudi Islam pada masa ini.

Budaya sebegini begitu giat dipropagandakan di negara-negara Islam melalui serangan ideologi oleh musuh-musuh Allah agar umat Islam terpesong daripada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Hakikatnya, kita telah diperingatkan tentang niat buruk golongan ini melalui Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)." (al-Baqarah: 120)

Malangnya terdapat di kalangan umat Islam yang tidak mengendahkan peringatan tersebut dan ramai yang bukan sekadar terlibat dalam upacara sambutan tahun baru ini malah ada juga yang menganjurkan, mempromosikan dan menggalakkan sambutan hari tersebut. Sebenarnya terdapat banyak sekali dalil-dalil daripada al-Quran mahupun sunah yang melarang perbuatan menyerupai tingkah-laku kaum yang menolak agama Allah di dalam perkara yang menjadi sifat dan khusus bagi mereka. Termasuk dalam perkara seumpama ini adalah meniru mereka dalam menyambut hari-hari perayaan dan pesta-pesta mereka.

Setiap sambutan yang dikhususkan pada hari tertentu dan sambutannya berulang-ulang setiap tahun serta diagung-agungkan oleh orang-orang bukan Islam maka ia termasuk dalam kategori hari-hari perayaan yang terlarang bagi umat Islam menyambutnya. Apatah lagi umat Islam mempunyai hari-hari perayaan tersendiri yang diredai oleh Allah SWT dan ia membatalkan seluruh hari-hari perayaan lain yang tidak disyariatkan.

Daripada Anas bin Malik r.a, dia berkata: "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah, maka Baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri." (riwayat Imam al-Nasa'i di dalam Sunannya no: 959)

Daripada Tsabit bin Al-Dhahhak r.a bahawasanya dia berkata: Seorang laki-laki telah bernazar pada masa Rasulullah SAW untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu dia mendatangi Rasulullah SAW lalu berkata: Sesungguhnya aku telah bernazar untuk menyembelih unta sebagai korban di Buwanah. Lalu Nabi SAW bertanya: Apakah di dalamnya terdapat salah satu daripada berhala-berhala Jahiliah yang disembah? Mereka menjawab: Tidak. Baginda bertanya lagi: Apakah di dalamnya terdapat salah satu dari hari-hari besar mereka? Mereka menjawab: Tidak. Rasulullah SAW bersabda: Tepatilah nazarmu kerana tidak perlu menepati nazar di dalam berbuat maksiat kepada Allah dan di dalam hal yang tidak dipunyai (tidak mampu dilakukan) oleh manusia. (riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3313)
Lihatlah bagaimana berhati-hatinya Rasulullah agar kita tidak membuat sesuatu perkara yang bersamaan dengan tarikh hari-hari perayaan golongan yang syirik kepada Allah.

Tentu sekali menyambut hari-hari besar musuh-musuh Allah seperti pesta sambutan tahun baru bersama mereka di seluruh dunia memiliki implikasi yang lebih berat di sisi syarak.
Umat Islam dilarang mengikuti budaya-budaya sesuatu kaum yang bertentangan dengan syarak dan sesiapa yang meniru budaya tersebut maka di akhirat kelak mereka akan tergolong bersama-sama dengan kaum yang memusuhi Allah tersebut. "Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. (riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya no: 3512)

Tambahan pula Allah SWT telah menjadikan kelompok-kelompok yang ingkar kepada perintah-Nya memiliki hubungan yang akrab di antara satu sama lain. Maka keterlibatan orang-orang Islam dalam upacara-upacara golongan yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya menunjukkan mereka telah menjadi sebahagian daripada kelompok yang zalim tersebut sebagaimana ditegaskan dalam surah al-An'am ayat 129.

Apabila kita melakukan sesuatu perbuatan terlarang yang menyerupai kaum yang memusuhi Allah, ia sebenarnya secara tidak langsung menampakkan seolah-olah kita kagum dengan golongan yang ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya serta mengagung-agungkan budaya mereka. Sikap sebegini dicela oleh Allah SWT melalui firman-Nya: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujaadalah: 22)

Seperti yang telah sedia maklum, upacara-upacara sambutan tahun baru ini kebanyakannya adalah pesta-pesta yang dipenuhi dengan perkara-perkara yang berunsur maksiat dan Allah SWT telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang berpesta di atas muka bumi ini dengan perbuatan-perbuatan terlarang. Ini dijelaskan dalam surah Ghaafir ayat 75.

Berdasarkan paparan yang telah dikemukakan di atas, maka tidak boleh hukumnya seorang Muslim untuk menganjurkan, menghadirkan diri, mempromosikan ataupun membantu mengadakan perayaan-perayaan hari-hari besar yang tidak ada landasannya dalam Islam seperti sambutan tahun baru. Ini kerana ia termasuk perbuatan yang melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT seperti dalam surah al-Maaidah ayat 2.

Pun begitu, tidaklah pula menjadi kesalahan sekiranya setiap kali munculnya tahun baru, seseorang Muslim itu melakukan muhasabah terhadap apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan berusaha untuk membuat perancangan dalam memperbaiki apa jua kelemahan yang ada dalam diri masing-masing.

Oleh itu, apabila tibanya tahun baru maka tidaklah dilarang untuk seseorang itu menanamkan azam baru yang positif serta selari dengan syarak dan hendaklah pula dia bersungguh-sungguh untuk memastikan azam tersebut menjadi realiti dan bukan sekadar angan-angan.

Apa yang lebih baik, umat Islam mengutamakan tahun baru hijrah menurut kalendar yang telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dalam menetapkan azam baru ini. Penggunaan kalendar hijrah ini juga lebih wajar untuk diperluaskan dalam urusan-urusan harian seluruh umat Islam. Hendaklah umat Islam merasa bangga terhadap agama Islam yang dianutinya serta syiar-syiar yang berkaitan dengannya.

Janganlah kita menjadi umat yang tidak mempunyai pegangan, lantas mudah terikut-ikut dengan budaya-budaya asing yang cuba ditanamkan dalam masyarakat kita dengan tujuan untuk menjauhkan kita daripada jalan yang lurus lagi diredai Allah.

Hindarkan diri kita daripada menjadi ejen-ejen yang mempopularkan gaya hidup musuh-musuh Islam serta memasyhurkan budaya-budaya kuning mereka sehingga ia mengalahkan atau menggantikan cara hidup dan akhlak-akhlak yang Islamik.

Khamis, 4 Disember 2008

Berita Harian 4/12 : MEDIA USAH GHAIRAH DEDAH AIB ORANG

Assalaamu'alaikum
Berikut adalah artikel akob menegur tindakan segelintir kecil pangamal media yang gemar mendedahkan aib pihak lain yang telah di siarkan dalam akhbar Berita Harian 4hb Disember 2008. akob turut sertakan artikel asal yang belum diedit.
Sekian Wassalaam
Ghibah atau mengumpat adalah menyebutkan hal-hal yang dibenci atau menimbulkan kemarahan pihak lain baik hal itu berkaitan dengan kekurangan dalam bentuk fizikal, tingkah laku dan perbuatan sama ada ianya disebutkan secara langsung mahupun secara isyarat. Mengumpat merupakan satu perbuatan yang dikeji oleh syarak dan pelakunya dianggap seperti telah memakan daging mayat saudaranya sendiri. Firman Allah S.W.T.: “Dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kalian akan merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang” - Al-Hujurat (49) : 12

Namun dewasa ini terdapat pihak yang menjadikan amalan mengumpat ini sebagai kerjaya rasmi. Habis segala hal-hal berbentuk peribadi yang mengaibkan ingin dibongkarkan menerusi pelbagai medium media massa untuk dihidangkan kepada masyarakat yang dahagakan cerita-cerita sensasi dan kontroversi. Terdapat sesetengah pengamal media beranggapan perbuatan sedemikan rupa ini bukan suatu kesalahan kerana mereka hanya menyampaikan cerita yang benar walaupun ianya boleh mengaibkan sesetengah pihak. Adakala isu yang dimainkan oleh media itu dapat meruntuhkan sebuah perkahwinan, memutuskan tali silaturahim di antara sesama umat Islam dan boleh menyebabkan terjadinya persengketaan yang berpanjangan. Hendaklah golongan ini memahami sekiranya apa jua bentuk keaiban yang diperkatakan tentang pihak lain itu benar sekalipun ia tetap termasuk dalam kategori mengumpat yang diharamkan. Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah sekiranya berita tersebut tidak benar. Jika ini terjadi maka mereka ini telah sebenarnya telah menggabungkan dua bentuk perbuatan yang mungkar iaitu fitnah dan mengumpat sekaligus. Berkaitan dengan perbuatan mengumpat sebegini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Tahukah kalian apa itu mengumpat?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Kemudian baginda s.a.w. bersabda: “Mengumpat adalah ketika engkau membicarakan tentang saudaramu sesuatu yang dia benci.” Ada yang bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?” Baginda s.a.w. menjawab: “Jika yang kalian katakan itu benar, bererti kalian telah mengumpatnya. Namun jika apa yang kalian katakan itu tidak benar, bererti kalian telah memfitnahnya.” – Hadis riwayat Imam Muslim

Perkara yang dirasakan boleh memalukan atau menimbulkan kemarahan umat Islam yang lain sepatutnya disembunyikan dari pengetahuan umum. Hendaklah kita semua ketahui bahawa menjaga kehormatan orang Islam yang lain merupakan satu tanggunjawab yang telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap orang Islam ke atas orang Islam yang lain itu diharamkan darahnya (tidak boleh membunuhnya), haram pula hartanya (tidak boleh merampasnya) dan haram pula kehormatannya (tidak boleh mengumpat).” – Hadis riwayat Imam Muslim

Terdapat sesetengah pengamal media begitu berbangga dengan kejayaan mereka apabila dapat membongkar sesuatu isu yang sensasi. Ketahuilah bahawa sikap mereka yang bergembira di atas kesedihan orang Islam yang lain merupakan satu perbuatan yang kelak akan mendatangkan balasan yang buruk. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah engkau meampakkan kegembiraan di atas kesedihan saudaramu yang akan menyebabkan Allah merahmatinya dan menimpakan kepada mu kesedihan saudaramu itu.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi
Hal ini adalah kerana bergembira di atas kesedihan umat Islam yang lain bukan suatu perbuatan atau akhlak golongan beriman yang sentiasa mencintai saudara seagamanya seperti dia mencintai dirinya sendiri. Allah S.W.T. juga telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang gemar menyebarkan aib orang lain. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar berita perbuatan yang amat keji tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” – al-Nur (24) : 19

Ketika Rasulullah s.a.w. dimikrajkan ke langit baginda telah melihat siksaan yang mengerikan menimpa golongan yang gemar megumpat. Ianya dikhabar di dalam sebuah hadis seperti berikut:

Ketika baginda dimikrajkan, baginda melewati sekelompok orang yang mempunyai kuku-kuku dari tembaga. Mereka mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku tembaga tersebut. Lalu baginda bertanya kepada Jibril: “Wahai Jibril siapa mereka itu?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang sering makan daging manusia, dan mereka yang suka membicarakan kejelekan orang lain” - Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud

Justeru itu bagi mereka yang menjadikan umpat-mengumpat serta mencari-cari cerita sensasi yang boleh mengaibkan pihak lain sebagai suatu kelaziman, hendaklah mereka melakukan muhasabah terhadap perbuatan mereka tersebut. Allah S.W.T. berfirman: “Janganlah kamu mengintip (mencari keaiban) orang lain.” - Al-Hujurat (49) : 12

Oleh itu janganlah kita semua disibukkan dengan mcari atau mendedahkan keaiban orang lain. Apa yang lebih munasabah untuk kita lakukan bersama adalah untuk melihat keaiban ataupun kekurangan yang ada pada diri kita sendiri agar kita semua dapat membebaskan diri kita dari melakukan perkara-perkara yang berdosa dan berunsur maksiat. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya beruntunglah (thuubaa) mereka yang disibukkan oleh aibnya (sendiri) daripada membicarakan keaiban orang lain.” – Hadis riwayat al-Bazzar

Para ulamak telah menafsirkan istilah thuubaa di dalam hadis di atas sebagai sebuah pohon di dalam syurga dan darjat yang tinggi di dalam syurga. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang beruntung ini. Bagi pemilik syarikat-syarikat media tempatan berusahalah untuk mengurangkan isu-isu kontroversi yang tidak memberikan faedah kepada masyarakat dan tingkatkan prestasi dalam menerbitkan berita-berita yang dapat membawa umat Islam ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat kelak.

Khamis, 6 November 2008

MARI BERTAUBAT


KENAPA TIDAK MAHU BERTAUBAT?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Pepatah Melayu ada menyatakan: “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.” Acapkali di dalam hidup seseorang insan dia akan menempuh situasi penyesalan setelah segala-galanya terlambat dan tidak mampu dirubah lagi. Namun begitu apa yang sepatutnya kita semua fikirkan secara mendalam adalah penyesalan pada hari penghitungan ketika berada di Padang Mahsyar di mana segala amalan semasa kita hidup di dunia akan dihisab dan kemudian ditentukan sama ada kita akan ke syurga mahupun neraka. Ya, apabila ditunjukkan kepada seseorang hamba ALLAH segala keburukan ketika di dunia dahlu, maka akan timbul penyesalan kerana takutkan balasan yang pedih di neraka, maka terdetik di hatinya agar dilewatkan ajalnya ataupun dia dihidupkan semula ke dunia supaya dapat dia bertaubat atas segala kesilapannya dahulu. Namun sayang seribu kali sayang, penyesalannya itu hanya sia-sia kerana ketika di Padang Mahsyar pintu taubat telah tertutup rapat. Maka akan timbul dibenak fikirannya alangkah baik sekiranya aku di dunia dahulu tidak melakukan segala dosa-dosa tersebut. Namun begitu tiada apa lagi yang mampu hendak dilakukan melainkan menanti sahaja hukuman serta azab ALLAH S.W.T. atas kesilapannya yang lalu. Senario sedemikian rupa telah dirakamkan di dalam al-Qur’an melalui firman-NYA:

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang KAMI berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai TUHANku! Alangkah baiknya kalau ENGKAU lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH Amat Mendalam Pengetahuan-NYA mengenai segala yang kamu kerjakan. – al-Munaafiquun [63] : 10-11

Bagi seseorang manusia yang banyak melakukan dosa seboleh-bolehnya pasti akan meminta untuk dilewatkan ajalnya walaupun hanya seketika demi untuk bertaubat kepada ALLAH S.W.T. dan mengerjakan amal-amal soleh tatkala hadirnya Malaikat Maut untuk mencabut nyawanya. Namun begitu permintaan tersebut tentunya akan ditempelak oleh Malaikat Maut kerana waktu datangnya ajal itu telah ditetapkan oleh ALLAH S.W.T. tanpa awal mahupun lewat walaupun sesaat. Seorang ulamak tafsir ketika mengulas firman ALLAH S.W.T. di atas telah berkata:

Manusia yang lalai itu apabila sudah tiba saat kematiannya lalu berkata kepada Malaikat Maut: Hai Malaikat Maut, sudilah kiranya tuan lewatkan kematianku ini sebentar sahaja, sehari pun jadilah, agar saya berkesempatan untuk bertaubat kepada ALLAH pada hari itu serta beramal soleh untuk kematianku ini.

Jawab Malaikat Maut: Itu tidak mungkin terjadi, sebab hari-hari yang lalu sudah kau buang sia-sia sahaja. Jadi tidak boleh ditambah sekalipun hanya sehari.

Katanya pula: Jika demikian sesaat sahaja pun cukuplah.

Jawab Malaikat Maut: Dahulu sudah berjuta-juta saat yang kau sia-siakan. Jadi sesaat pun tidak dapat dipenuhi permohonan itu.

Setelah itu, lalu ditutup pintu taubat untuknya. Kemudan nafasnya tercungap-cungap beberapa kali sehingga akhirnya hilanglah nafasnya dan meninggal dunia dalam keadaan penyesalan. – Dinukil dari kitab Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mukmin
– Ringkasan Dari Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi al-Dimasyqi [tajuk asalnya adalah Mau’izah al-Mukminin min Ihya’ ‘Uluum al-Deen], Victory Agencie, Kuala Lumpur, 2005, jilid 2, ms. 415.

Apatah lagi sekiranya orang yang ingkar kepada perintah ALLAH tersebut ketika hidupnya begitu sombong terhadap peringatan yang diberikan kepadanya. Kononnya kehidupan yang dilalui dengan berpakaian mendedah aurat, berpacaran bersama pasangan yang bukan muhrim, minum arak, seks bebas, menjadi pengunjung tetap di kelab-kelab malam dan lain-lain lagi merupakan kehidupan yang sesuai pada zaman serba moden lagi canggih ini. Golongan yang cuba membawanya ke arah kebenaran ditempelak sebagai golongan yang jumud lagi ketinggalan zaman dan mengganggu hak asasinya untuk hidup sebagaimana yang dirasakan sesuai bagi dirinya. Pasti penyesalannya ketika di hari penghitungan akan lebih mencengkam jiwanya. Pasti terdetik di benak hatinya alangkah baik sekiranya aku dahulu menuruti nasihat mereka yang ingin mengembalikan aku ke jalan yang lurus serta diredhai ALLAH S.W.T.. Tentu juga terdetik di dalam hatinya alangkah baik sekiranya aku diberi kesempatan untuk kembali ke dunia agar aku boleh menjadi insan yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Namun segala-galanya sudah terlewat. Kesempatan yang ALLAH S.W.T telah berikan kepadanya telah dipersiakan dan kini dia sudah tidak memiliki jalan untuk berpatah ke belakang melainkan meletakkan untuk nasibnya di atas kehendak ALLAH S.W.T.. Senario sebegini juga telah digambarkan oleh ALLAH S.W.T. melalui firman-NYA:

"Atau berkata semasa dia melihat azab: “Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!” (Kata-kata yang tersebut ditolak oleh ALLAH dengan firman-NYA): "Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjuk-KU (melalui Rasul-KU), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!" Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap ALLAH (dan yang menyatakan kesedihan itu) - muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur? – al-Zumar [39] : 58-60

Namun begitu berita baik bagi mereka yang sedang menatap risalah ini kerana kita semua masih bernyawa. Pintu taubat sedang dibuka seluas-luasnya untuk kita semua. Ini bermakna kita masih berpeluang untuk menghindari perasaan penyesalan yang begitu mengerikan seperti yang tergambar di dalam kedua-dua ayat al-Qur’an di atas. Oleh itu ayuh kita bersegera untuk bertaubat atas segala kesalahan kita yang lalu. Namun begitu apakah makna taubat yang sebenar dan adakah taubat bagi mereka yang telah terlalu jauh terperangkap di alam maksiat dan kesesatan itu masih diterima oleh ALLAH S.W.T.? Insya-ALLAH melalui risalah yang ringkas ini penulis akan cuba untuk menjawab persoalan tersebut.

APA ITU TAUBAT?

Taubat dari segi bahasa ertinya kembali. Menurut syarak pula ianya bermaksud kembali kepada jalan yang benar dari jalan yang sesat. Ianya bukan sekadar permohonan maaf tetapi ianya disertai penyesalan terhadap sesuatu kesalahan lalu berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Taubat yang diterima oleh ALLAH S.W.T hanyalah taubat seorang Muslim. Adapun taubat bagi orang kafir hanyalah dengan baginya meninggalkan agama asalnya lalu memeluk Islam. Firman ALLAH S.W.T.:

Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah dia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, KAMI telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. – al-Nisaa’ [4] :18

Taubat itu memilki tiga komponen yang penting iaitu ilmu, keadaan dan perbuatan.

1) Ilmu merupakan pengetahuan terhadap perkara-perkara yang distilahkan sebagai maksiat serta menyedari akan bahayanya kesesatan tersebut terhadap diri seseorang. Keinginan untuk bertaubat hanya akan terdetik apabila timbul kesedaran bahawa perilakuknya tersebut adalah salah, boleh menghancurkan hidupnya, meragut kebahagiaan di akhirat kelak, membunuh jiwanya serta menjadi punca renggangnya hubungan di antara ALLAH S.W.T. dengan hambanya sehingga menyebabkan seseorang itu terhalang dari mencapai rahmat-NYA di dunia mahupun di akhirat. Hal ini akan menjadi lebih mudah sekiranya seseorang itu memiliki ilmu yang benar bersumber dari al-Qur’an dan al-Sunnah dan tentu sekali golongan yang paling mudah bertaubat adalah mereka yang berilmu terutamanya daripada kalangan para ulamak.

2) Setelah kita menyedari akan kesalahan yang kita lakukan itu sebagai perbuatan yang menyanggahi perintah ALLAH dan Rasul-NYA maka akan timbul keadaan penyesalan di dalam jiwa seseorang sehingga timbul keazaman untuk menjauhi dari perbuatan tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda:

النَّدَمُ تَوْبَةٌ.
Penyesalan itu adalah taubat. - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4242.


3) Lantaran itu akan timbul komponen yang ketiga iaitu perbuatan untuk meninggalkan perlakuan yang telah kita bertaubat darinya serta keinginan yang mendalam untuk tidak mengulanginya kembali pada masa yang akan datang. Keinginan untuk bertaubat itu akan timbul dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana ALLAH S.W.T. dan bukan kerana faktor-faktor selain untuk mencapai keredhaan-NYA. Penyesalan yang terbit dalam jiwa seseorang akan menimbulkan semangat untuk dia mengerjakan amal-amal yang soleh demi untuk menebus kesalahan-kesalahannya yang lampau. Firman ALLAH S.W.T:

Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama ALLAH, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan ALLAH membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan, kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, ALLAH akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. – al-Furqaan [25] : 68-70

Rasulullah s.a.w. pula bersabda:


وأتْبعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَة تَمْحُهَا
Ikutilah keburukan itu dengan kebaikan maka kebaikan akan menghilangkan keburukan tadi – Hadis riwayat Imam al-Nawawi di dalam al-Adzkar, hadis no: 1084 dam Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 115.

Menurut Imam al-Nawawi r.h:

Taubat itu wajib dari tiap-tiap dosa. Sekiranya maksiat [dosa] itu hanya di antara dia dengan ALLAH, tiada berhubungan dengan hak manusia maka ada tiga syarat taubat:

1) Harus menghentikan maksiat

2) Harus menyesal atas perbuatan yang telah terlanjur dilakukannya

3) Niat bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan itu kembali
Dan apabila dosa itu ada hubungan dengan hak manusia maka taubatnya ditambah syarat yang ke empat iaitu:

4) Menyelesaikan urusannya dengan orang yang berhak dengan minta maaf atau halalnya atau mengembalikan apa yang harus dikembalikan

- Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Terjamah Riadhus Shalihin, [Victory Agencie, 1995, Kuala Lumpur], jilid 1, ms. 29

Ada di kalangan ulamak yang telah menggariskan beberapa syarat lain untuk menjamin kesempurnaan taubat seseorang. Di antaranya adalah seperti berikut:

1) Hendaklah dia meninggalkan dosa tersebut ikhlas semata-mata kerana ALLAH.

2) Hendaklah dia merasa bahawa dosa-dosa tersebut memberi kesan yang buruk serta merbahaya kepada pelakunya.

3) Hendaklah seseorang itu bersegera untuk bertaubat apabila menyedari kesalahan yang dilakukan kerana menunda taubat juga merupakan satu bentuk dosa.

4) Hendaklah dia merasa khuatir bahawa taubatnya tersebut memiliki kekurangan dan kemungkinan tidak akan diterima oleh ALLAH S.W.T.. Sifat ini pasti akan menyebabkan seseorang itu bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan taubatnya agar diterima oleh ALLAH S.W.T.

5) Hendaklah dia menyempurnakan hak-hak ALLAH yang dia tinggalkan pada masa lampau. Contohnya sekiranya dia tidak menunaikan zakat maka hendaklah ditunaikannya kerana ianya menjadi hak golongan fakir dan miskin.

6) Hendaklah dia meninggalkan serta menjauhi tempat-tempat maksiat demi untuk mengelakkannya dari mengulangi perbuatan maksiat tersebut.

7) Hendaklah dia menjauhkan diri daripada orang-orang yang mendorongnya untuk melakukan maksiat.

8) Hendaklah dia memusnahkan segala barang-barang haram miliknya yang boleh mendorongnya untuk melakukan dosa-dosa.


9) Hendaklah dia memilih kawan-kawan yang boleh mendorongnya mengerjakan amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada ALLAH S.W.T.. Hendaklah dia rajin menghadiri kelas-kelas agama serta mendekatkan diri dengan para ulamak.

10) Hendaklah dia membersihkan tubuhnya yang telah tumbuh dari hasil pendapatan yang haram dengan bersungguh-sungguh mengerjakan amal-amal yang soleh

11) Hendaklah taubat tersebut dilakukan sebelum ajal hampir tiba dan sebelum matahari terbit di sebelah barat. Ini adalah kerana pintu taubat akan ditutup rapat di dalam dua keadaan yang disebutkan di atas. Dalilnya adalah seperti berikut:

Rasulullah s.a.w. bersabda:


مَنْ تَابَ قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ
Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka ALLAH menerima taubat dan memaafkannya. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2703

Nabi s.a.w. bersabda:


إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Sesungguhnya ALLAH tetap menerima taubat seseorang hamba-NYA selama ruh [nyawanya] belum sampai di tenggorokan [hampir mati]. Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no: 3460

- Diringkaskan dari kitab Uriidu An Atuuba Wa Lakin karya Syaikh Muhammad bin Shalih al-Munajjid Edisi terjemahan dengan tajuk Taubat, Jalan Pintas Menebus Dosa, At-Tibyan, Solo 2005, ms. 22-31.

Taubat yang sempurna dikenali dengan nama Taubat Nasuha. Firman ALLAH S.W.T:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada ALLAH dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari ALLAH tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai TUHAN kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". - Al-Tahriim [66] : 8

Maksud perkataan Nasuha dalam firman-NYA di atas adalah suatu bentuk taubat dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh kerana mengharapkan keredhaan ALLAH S.W.T dan jauh dari tujuan-tujuan yang lain. Taubat jenis ini akan menyebab seseorang itu dimasukkan ke syurga.

KEWAJIPAN BERTAUBAT

Setiap manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan adalah mereka yang segera bertaubat serta memohon keampunan ALLAH S.W.T.. Rasulullah s.a.w. bersabda:


كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ.
Setiap anak Adam [manusia] berbuat kesalahan dan sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang bertaubat. – Hadis riwayat Imam Tirmidzi, no: 2423.

Perasaan untuk bersegera bertaubat timbul kerana wujud keyakinan di dalam diri masing-masing bahawa dosa-dosa yang telah dilakukannya itu adalah berbentuk kedurhakaan kepada ALLAH S.W.T, ianya menjauhkan dirinya daripada ALLAH dan ianya bakal mengundang azab yang pedih. Oleh itu ALLAH S.W.T amat menganjurkan hamba-hmaba-NYA untuk memohon keampunan daripada-NYA serta bertaubat. Firman-NYA:

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh ALLAH hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima ALLAH taubatnya; dan (ingatlah) ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. – al-Nisaa’ [4] : 17

Hukum taubat adalah Fardu ‘Ain iaitu menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Dalilnya adalah firman ALLAH S.W.T.:

…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. – al-Nuur [24] : 31

Ayat di atas berbentuk kata kerja perintah [ism f’il ‘amar] dan ia meggambarkan ALLAH S.W.T. telah mewajibkan setiap hamba-NYA untuk bertaubat kepada-NYA sekiranya telah terlanjur melakukan kesalahan. Hal ini juga telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya malah baginda seorang yang bersih dari segala bentuk dosa juga senantiasa memohon ampun dan bertaubat kepada ALLAH S.W.T setiap hari.

Rasulullah s.a.w. bersabda:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Hai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada ALLAH dan Istighfarlah [mintalah ampun] kepada-NYA maka sungguh saya bertaubat Istighfar setiap hari seratus kali. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2702.

Sabdanya lagi:


وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Demi ALLAH, sesungguhnya saya membaca Istighfar [meminta ampun] kepada–NYA dan bertaubat kepada ALLAH setiap hari lebih dari 70 kali. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 6307.

Adakah kita merasakan diri kita lebih mulia dari Rasulullah s.a.w. ataupun kita juga bebas dari melakukan sebarang dosa sehingga memberatkan diri kita untuk memohon ampun serta bertaubat kepada ALLAH S.W.T.? Oleh itu hendaklah kita senantiasa memohon ampun kepada ALLAH S.W.T. serta bersegera untuk bertaubat kepada-NYA apabila kita terlanjur melakukan maksiat.

Justeru itu ulamak Ahlus Sunnah wal Jamaah telah bersepakat akan kewajipan untuk bertaubat. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi:

[Para ulamak] umat Islam telah ijmak [bersepakat] bahawa hukum bertaubat adalah fardu [wajib] atas seluruh mukminin. – Imam al-Qurthubi, al-Jaami’ Li Ahkam al-Qur’an, jilid 5, ms. 90.

Pendapat ini juga telah disokong oleh Imam Ibnu Qudamah di dalam Minhaj al-Qashidin serta Imam al-Nawawi di dalam Riadhus Shalihin.

KEUTAMAAN BERTAUBAT

Amalan bertaubat ini memiliki banyak keutamaannya. Di antaranya adalah seperti berikut.

1) Bertaubat dapat mensucikan seseorang dari dosa-dosanya

Rasulullah s.a.w. bersabda:

التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لاَ ذَنْبَ لَهُ
Seseorang yang bertaubat dari dosanya itu adalah sama dengan orang yang tidak mempunyai dosa lagi. – Hadis Riwayat Ibnu Majah, no: 4240

Baginda juga menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan solat Sunat Taubat sebanyak dua rakaat akan memudahkan pengampunan ALLAH S.W.T terhadap dosa-dosanya.

Sabdanya:


مَا مِنْ رَجُلٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا ثُمَّ يَقُومُ فَيَتَطَهَّرُ ثُمَّ يُصَلِّي ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ لَهُ
Tiada seorang yang melakukan suatu dosa kemudian dia pergi berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat, kemudian memohon ampun kepada ALLAH melainkan ALLAH akan mengampuninya. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no: 2932.

2) Bertaubat dapat mensucikan hati seseorang dari noda yang mengotorinya. Rasulullah s.a.w bersabda:



إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ كَلاَّ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ.
Sesungguhnya seorang mukmin bila melakukan dosa, maka akan timbul satu titik noda hitam di hatinya, Jika dia bertaubat, meninggalkan perbuatan tersebut dan memohon keampunan [kepada ALLAH], maka hatinya kembali bersih. Tetapi bila menambah [perbuatan dosa], maka bertambahlah noda hitam tersebut sampai memenuhi hatinya. Maka itulah al-Raan [penutup hati] yang telah disebutkan ALLAH dalam firman-NYA: Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. [alMutaffifiin [83] : 14] – Hadis riwayat Ibnu Majah, no: 4234.

3) ALLAH mengasihi mereka yang bertaubat.

SesungguhNya ALLAH mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. – al-Baqarah [2] : 222

4) Sikap bersegera untuk bertaubat merupakan ciri-ciri mereka yang berjaya.

…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. – al-Nuur [24] : 31

5) Mereka yang bertaubat akan diberi ganjaran syurga

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada ALLAH dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai… - Al-Tahriim [66] : 8

6) Bertaubat dapat mengelakkan seseorang dari menerima balasan yang pedih daripada ALLAH S.W.T di dunia mahupun di akhirat. Firman-NYA:

Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), ALLAH akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. – al-Tawbah [9] : 74

Sebaliknya bagi mereka yang bertaubat ALLAH S.W.T memberi nikmat kesenangan hidup di dunia mahupun di akhirat. Firman-NYA:

Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada TUHAN kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-NYA; supaya DIA memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) DIA akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya). – Hud [11] : 3

7) Mereka yang bertaubat bebas dari sifat gololongan yang zalim kerana ALLAH S.W.T menyifatkan mereka yang enggan bertaubat sebagi zalim. Firman ALLAH S.W.T.:

Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. – al-Hujuraat [49] : 11

Demikianlah beberapa keutamaan bertaubat yang sempat penulis perturunkan. Semoga ianya dapat menjadi sumber motivasi kepada kita semua untuk bersegera melakukan taubat di atas segala kesalahan yang telah kita lakukan.

DOA YANG TERBAIK DALAM MEMOHON KEAMPUNAN

Lafaz doa yang terbaik dalam memohon keampunan daripada ALLAH S.W.T untuk bertaubat dari segala kesalahan-kesalahan kita adalah doa yang diamalakan oleh Rasulullah s.a.w. yang digelarسَيِّدُ الاِسْتِغْفَارِ (Sayyid al-Istighfar) iaitu:


اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ.
Ya ALLAH, ENGKAUlah TUHANku. Tiada yang layak disembah melainkan ENGKAU. ENGKAU menciptakanku. Aku adalah hamba-MU, aku berada dalam perjanjian dengan-MU, ikrar kepada-MU dari kejahatan segala yang telah aku lakukan. Aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmat-MU kepadaku dan aku mengakui dosaku. Oleh itu ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampunkan dosa-dosa selain ENGKAU.

Baginda bersabda:


وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ.
Sesiapa yang mengucapnya pada siang hari dengan penuh keyakinan lalu dia mati pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk ahli syurga. Sesiapa yang mengucapkannya pada waktu petang dengan yakin dan mati sebelum pagi menjelang, dia termasuk ahli syurga. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 6306

Oleh itu usahakanlah untuk membaca Sayyid al-Istighfar ini pada waktu pagi dan petang setiap hari agar kita dapat meraih apa yang seperti disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis di atas.

ADAKAH ALLAH AKAN MENERIMA TAUBAT HAMBANYA YANG BERGELUMANG DENGAN MAKSIAT?

Ramai di antara mereka yang telah melakukan pelbagai jenis maksiat merasakan mereka sudah tiada harapan lagi untuk bertaubat serta menerima kemaafan daripada ALLAH S.W.T.. Sikap ini sebenarnya tidak tepat kerana ianya menyalahi sifat ALLAH S.W.T. yang Maha Pengasih serta Penyayang terhadap hamba-hamba-NYA malah di antara sifat-NYA yang mulia adalah menerima permohonan taubat daripada hamba-hamba-NYA. Ini sebagaimana firman-NYA:

Dan DIA lah TUHAN yang menerima taubat dari hamba-hamba-NYA (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan DIA mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. – al-Syuura [42] : 25

Tambahan lagi ALLAH S.W.T amat kasih kepada hamba-hamba-NYA yang bertaubat dan menyukai untuk menerima taubat mereka bahkan memperkenankan taubat hamba-hamba-NYA merupakan sesuatu yang benar-benar mudah bagi-NYA. Rasulullah s.a.w. bersabda:


أَفْرَحُ بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ سَقَطَ عَلَى بَعِيرِهِ وَقَدْ أَضَلَّهُ فِي أَرْضِ فَلاَةٍ
Sesungguhnya ALLAH lebih suka menerima taubat seorang hamba-NYA, melebihi dari kesenangan seorang yang menemukan kembali dengan tiba-tiba untanya yang telah hilang di tengah hutan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 6309

Rasulullah s.a.w. bersabda:


لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِي ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
Sesungguhnya ALLAH lebih suka menerima taubat seseorang hamba-NYA, melebihi dari kesenangan orang yang berkenderaan di hutan, kemudian hilang, sedang kenderaan itu penuh membawa bekal makanan dan minumannya, sehingga dia putus harapan untuk mendapatkannya kembali, lalu dia duduk di bawah pohon dengan kecewa dan putus asa; tiba-tiba ketika dia bangun dari tidurnya, kenderaannya telah ada kembali di depannya lengkap dengan bekalnya, maka segera dia pegang kendalinya sambil berkata: Ya ALLAH, Engkau hambaku, dan aku Tuhannya. Terlanjur [keliru] lidahnya kerana sangat gembira. Terbaliknya lidahnya sebagaimana di atas itu maka ALLAH lebih gembira menerima taubat seorang hamba-NYA melebihi kegembiraan orang yang menemu kembali harapannya itu. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2747

Oleh itu dapat kita fahami bahawa walau bagaimana besar sekalipun dosa yang dipikul oleh seseorang itu maka Tangan ALLAH sentiasa terbuka untuk menerima taubat hamba-hamba-NYA. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:


إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ بِهَذَا الإِسْنَادِ نَحْوَهُ
Sesungguhnya ALLAH 'Azza wa Jalla melebarkan Tangan-NYA untuk menerima taubat bagi seseorang yang berbuat keburukan pada waktu malam hingga siang hari dan untuk orang-orang yang berbuat keburukan di waktu siang hingga malam hari. Hal ini berterusan sehingga terbitnya matahari dari sebelah barat [yakni setelah hampir waktu kiamat]. – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2759

ALLAH S.W.T akan akan mengampunkan segala bentuk dosa yang dilakukan oleh hamba-hamba-NYA selagimana mereka tidak melakukan perbuatan syirik. Berikut penulis paparkan firman ALLAH S.W.T. di dalam dua buah hadis qudsi untuk membuktikan kenyataan di atas:


قَالَ الله تَعَالىَ: مَنْ عَلِمَ أَنِّيْ ذُوْ قُدْرَةِ عَلَىْ مَغْفِرَةٍ الذُّنُوْبِ غَفَرْتُ لَهُ وَلاَ أُبَالِي، مَا لَمْ يُشْرِكْ بِيْ شَيْئًا.
Firman ALLAH Ta’ala: Barangsiapa yang mengetahui bahawa AKU mempunyai kekuasaan untuk mengampuni dosa-dosa, nescaya AKU telah mengampuni dosa-dosanya dan AKU tidak peduli [terhadap dosanya yang bamyak], selagi dia tidak mempersekutukan AKU dengan sesuatu apapun. – Hadis riwayat Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 6054



يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلاَ أُبَالِي. يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلاَ أُبَالِي. يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً.
Wahai anak Adam, selagi engkau berdoa kepada-KU dan berharap kepada-KU, nescaya AKU ampuni dosa-dosamu yang telah lampau dan AKU tidak peduli. Wahai anak Adam, andaikata dosamu mencapai petala langit kemudian engkau memohon ampun kepada-KU, nescaya AKU ampuni dan AKU tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau mendatangi-KU dengan membawa sepenuh bumi kesalahan, kemudian engkau mendatangi-KU dalam keadaan tidak menyekutukan-KU dengan sesuatu apapun, nescaya AKU akan mendatangimu dengan sepenuh bumi ampunan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi, no: 3463.

Berikut pula disertakan sebuah kisah di mana seorang yang telah membunuh seratus manusia lalu dia ingin melakukan taubat maka ALLAH S.W.T telah mempermudahkan urusannya serta menerima taubatnya. Nabi s.a.w. bersabda:


كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَسَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الأَرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَاهِبٍ فَأَتَاهُ فَقَالَ إِنَّهُ قَتَلَ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ نَفْسًا فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ. فَقَالَ: لاَ. فَقَتَلَهُ فَكَمَّلَ بِهِ مِائَةً ثُمَّ سَأَلَ عَنْ أَعْلَمِ أَهْلِ الأََرْضِ فَدُلَّ عَلَى رَجُلٍ عَالِمٍ. فَقَالَ: إِنَّهُ قَتَلَ مِائَةَ نَفْسٍ فَهَلْ لَهُ مِنْ تَوْبَةٍ. فَقَالَ: نَعَمْ وَمَنْ يَحُولُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّوْبَةِ انْطَلِقْ إِلَى أَرْضِ كَذَا وَكَذَا فَإِنَّ بِهَا أُنَاسًا يَعْبُدُونَ اللَّهَ فَاعْبُدْ اللَّهَ مَعَهُمْ وَلاَ تَرْجِعْ إِلَى أَرْضِكَ فَإِنَّهَا أَرْضُ سَوْءٍ. فَانْطَلَقَ حَتَّى إِذَا نَصَفَ الطَّرِيقَ أَتَاهُ الْمَوْتُ فَاخْتَصَمَتْ فِيهِ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ وَمَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ. فَقَالَتْ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ: جَاءَ تَائِبًا مُقْبِلاً بِقَلْبِهِ إِلَى اللَّهِ. وَقَالَتْ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ: إِنَّهُ لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطّ.ُ فَأَتَاهُمْ مَلَكٌ فِي صُورَةِ آدَمِيٍّ فَجَعَلُوهُ بَيْنَهُمْ فَقَالَ: قِيسُوا مَا بَيْنَ الأَرْضَيْنِ فَإِلَى أَيَّتِهِمَا كَانَ أَدْنَى فَهُوَ لَهُ فَقَاسُوهُ فَوَجَدُوهُ أَدْنَى إِلَى الأَرْضِ الَّتِي أَرَادَ فَقَبَضَتْهُ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ.
Dahulu pada umat-umat yang terdahulu, terjadi seorang telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa, kemudian dia ingin bertaubat, maka dia mencari seorang alim, dan ditunjukkan kepada seorang pendeta, maka dia bertanya bahawa dia telah membunuh sembilan puluh sembilan jiwa maka apakah ada jalan untuk bertaubat? Jawab pendeta tersebut tidak ada. Maka segera dibunuh pendeta tersebut sehingga genap seratus orang yang telah dibunuhnya. Kemudian dia mencari orang alim yang lainnya, dan ketika telah ditunjukkan maka dia menerangkan bahawa dia telah membunuh seratus orang, apakah ada jalan baginya untuk bertaubat? Jawab si alim tersebut: Ya ada, dan siapakah yang dapat menghalangnya untuk bertaubat? Pergilah ke dusun itu kerana di sana banyak orang-orang yang taat kepada ALLAH, maka berbuatlah sebagaimana perbuatan mereka, dan jangan kembali ke negerimu ini kerana ianya tempat penjahat. Maka pergilah orang itu ke sana. Tatkala di tengah perjalalanan dia mati secara mendadak. Maka bertengkarlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Siksa. Berkata Malaikat Rahmat: Dia telah berjalan untuk taubat kepada ALLAH dengan sepenuh hatinya. Berkata Malaikat Siksa: Dia belum pernah berbuat kebaikan sama sekali. Maka datanglah seorang malaikat yang menyerupai manusia dan dijadikannya sebagai juri [hakim] di antara mereka. Maka dia berkata: Ukurlah sahaja di antara dua dusun yang ditinggalkan dan yang ditujui, maka ke mana dia lebih dekat maksukkanlah dia kepada golongan orang di sana. Maka diukurnya dan didapati dia lebih dekat kepada dusun baik yang ditujunya berukuran sejengkal, maka dipegang ruhnya oleh Malaikat Rahmat. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 2766.

Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam riwayat lain ALLAH memerintahkan kepada bumi yang dituju supaya mendekat dan menyuruh bumi yang ditinggalkan supaya menjauh – Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Terjemahan Riadhus Shalihin [Victory Agencie, 1995 Kuala Lumpur], jilid 1, ms. 35.

Lihatlah bagaimana ALLAH S.W.T, membantu hamba-NYA yang benar-benar ikhlas untuk bertaubat kepada-NYA sedangkan hamba-NYA tersebut telah melakukan dosa yang amat besar. Oleh itu bagi mereka yang sepanjang hidupnya telah bergelumang dengan pelbagai jenis dosa janganlah mereka putus harapan dan hendaklah segera bertaubat. Firman ALLAH S.W.T.:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKU yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya DIA lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada TUHAN kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-NYA, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. – al-Zumar [39] : 53-54


KESIMPULAN

Generasi umat Islam pada zaman ini bukan sekadar tidak melaksanakan segala suruhan ALLAH S.W.T serta Rasul-NYA malah mereka juga meremeh-remehkan perkara-pekara yang dilarang oleh ALLAH S.W.T dan Rasul-NYA. Hal ini juga telah wujud pada zaman para sahabat r.a masih hidup. Anas bin Malik r.a umpamanya pernah mengkritik mereka yang hidup pada zamannya dengan berkata:


إِنَّكُمْ لَتَعْمَلُونَ أَعْمَالاً هِيَ أَدَقُّ فِي أَعْيُنِكُمْ مِنْ الشَّعَرِ إِنْ كُنَّا لَنَعُدُّهَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْمُوبِقَاتِ.
Sesungguhnya kalian melakukan perbuatan dosa yang menurut pandangan kalian lebih lembut dari sehelai rambut, padahal pada zaman Nabi s.a.w. kami memandangnya sebagai sesuatu yang membinasakan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 6492.

Hal tersebut terjadi kepada umat Islam yang hidup pada kurun-kurun yang terbaik yang mana para sahabat Nabi masih hidup lagi. Sekiranya Anas bin Malik r.a hidup pada zaman sekarang dan dapat melihat segala kemungkaran yang dilakukan oleh umat Islam secara berleluasa tanpa segan dan silu pasti beliau akan lebih terperanjat dan sedih dengan keadaan ini.

Oleh itu disebabkan kita kini hidup di dalam suasana yang mana maksiat dilakukan sewenang-wenangnya dan pintu-pintu untuk melakukan maksiat terbuka dengan luas maka kita sebenarnya terdedah kepada godaan untuk melakukan perbuatan maksiat malah sering juga kita tertewas ketika berhadaan dengan godaan-godaan tersebut. Justeru itu hendaklah kita sentiasa perbanyakkan permohonan keampunan serta bersegera untuk bertaubat di atas segala kelalaian kita. Firman ALLAH S.W.T

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada ALLAH lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan ALLAH -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). – ‘Aali Imraan [3] : 135

Rabu, 24 September 2008

Hakikat Bermaafan Pada Hari Raya


HENDAKLAH KITA MENJADI SEORANG YANG PEMAAF
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Perbuatan memohon serta memberi kemaafan merupakan satu amalan yang mulia disisi syarak. Oleh itu di antara adat resam orang Melayu ketika menyambut Aidilfitri adalah dengan saling bermaafan di antara satu sama lain. Ucapan yang paling sering kita dengar ketika sambutan Aidilfitri adalah ‘maaf zahir dan batin’. Oleh itu sewajarnya untuk kita membincangkan tentang bagaimana untuk menjadi seorang yang pemaaf secara hakiki ketika kehangatan sambutan Aidilfitri semakin terasa.

Adakalanya kita merasakan begitu sukar untuk memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan terhadap kita. Terkadang juga kita masih terbawa-bawa dengan kesilapan yang telah dilakukan terhadap kita bertahun-tahun yang lampau dan ianya masih lagi menjejaskan hubungan kita dengan pihak tersebut. Ini sebenarnya secara tidak langsung menyalahi perintah Allah S.W.T. untuk mencintai sesama muslim. Sabda Nabi s.a.w.:

Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 13)

APAKAH MAKNA MEMBERI KEMAAFAN

Erti memberi kemaafan adalah apabila seseorang itu mampu untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu dari mereka yang melakukan kesalahan tersebut namun dia tidak melakukannya malah dia memaafkannya secara ikhlas demi mengharapkan keredhaan Allah S.W.T..

Sesungguhnya di dalam al-Qur’an terdapat sebuah kisah yang akan lebih memperjelaskan makna memberi kemaafan. Nabi Yusuf a.s. merupakan anak kesayangan bagi Nabi Ya’kub a.s. sehinggakan Nabi Yusuf dicemburui oleh saudara-saudaranya yang lain. Lalu mereka mengkhinati Nabi Yusuf dan mencampakkan baginda ke dalam sebuah perigi. Namun demikian baginda telah diselamatkan oleh sekumpulan musafir dari negara Mesir lalu mereka membawanya ke sana. Untuk dipendekkan cerita akhirnya Nabi Yusuf telah dilantik oleh pemerintah Mesir untuk menjadi pembesar negara yang bertanggungjawab menjaga perbendaharaan. Baginda kemudiannya ditakdirkan untuk bertemu semula dengan saudara-saudaranya yang telah mengkhianati baginda sebelum ini. Dengan kekuasaan yang ada pada tangan baginda tentu sekali dengan mudah baginda mampu untuk membalas perbuatan khianat saudara-saura kandungnya itu. Namun sikap pemaaf baginda telah menghindarinya dari bersikap sedemikian rupa dan kisah ini telah dirakamkan di dalam al-Qur’an melalui ayat-ayat di bawah:

Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".
Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
(Yusuf (12) : 90-92)

KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN

Ø Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah S.W.T. telah mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang yang bertaqwa). Firman-Nya:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 133-134)

Ø Allah S.W.T. mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.

Dari ayat di atas ini juga dapat kita membuat kesimpulan bahawa mereka yang pemaaf mudah mendapat keampunan Allah S.W.T. dan akan ditempatkan di syurga. Di ayat yang lain Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

… dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)

Ø Sikap pemaaf merupakan akhlak yang mulia yang dituntut oleh syarak

Sikap mudah memaafkan orang lain merupakan suatu akhlak yang mulia lagi terpuji dan ianya tergolong dalam amalan yang amat digalakkan perlaksanaannya oleh Allah S.W.T.. Firman-Nya:

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (al-Syuura (42) : 43)

Ø Allah S.W.T. mengasihi mereka yang pemaaf

Allah S.W.T. mengasihi mereka yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya:

… dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 134)

Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi oleh Allah S.W.T. akan mudah mendapat rahmat serta keampunan-Nya.

Demikianlah beberapa keutamaan yang sempat penulis ketengahkan untuk menunjukkan betapa agungnya sikap mudah memaafkan serta melupakan kesalahan orang lain terhadap kita.

NABI S.A.W. MERUPAKAN SEORANG YANG PEMAAF

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. merupakan sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Di antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah s.a.w. adalah sikap pemaaf baginda. Hal ini dapat kita perhatikan di dalam banyak peristiwa yang terjadi pada diri baginda melalui banyak riwayat-riwayat yang sabit. Namun begitu memadai bagi penulis untuk menurunkan beberapa sahaja hadis-hadis yang berkaitan. Aishah r.a berkata:

Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mempergunakan tangannya untuk memukul isteri atau pelayan, kecuali ketika dalam perang fisabilillah dan belum pernah Rasulullah diganggu lalu membalas kecuali jika terlanggar suatu hukum Allah, maka dia membalas kerana Allah 'Azza wa Jalla. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2328)

Hadis di atas ini menjadi dalil bahawa sifat suka memberi kemaafan ini harus sesuai dengan keadaan. Sekiranya hukum Allah S.W.T. ditolak malah dihina, maruah umat Islam dicalar, maksiat berleluasa dan lain-lain perbuatan berat yang menyalahi syarak maka sewajarnya untuk kita memberi balasan ataupun tindakan yang sewajarnya. Sebagai contohnya sekiranya ahli keluarga kita melakukan maksiat, tidaklah semestinya untuk kita secara semberono memaafkannya tanpa memberi hukuman yang setimpal. Sekiranya setelah ditegur ataupun diberi hukuman setimpal dan dia menyedari akan kesilapannya serta bertaubat untuk menjauhi perbuatan maksiat tersebut maka hendaklah kita memaafkannya serta menyokong usahanya untuk berubah ke arah kebaikan.

Ibnu Mas’ud r.a berkata:

Seolah-olah saya masih melihat pada Rasulullah s.a.w. ketika kejadian seorang Nabi yang dianiayai kaumnya hingga berlumuran darah, sambil mengusap darah dari mukanya lalu bersabda: “Ya Allah, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 3477)

Semoga riwayat-riwayat di atas akan dijadikan pedoman bagi kita untuk mudah memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.

CIRI-CIRI YANG PERLU ADA UNTUK MENJADI SEORANG YANG PEMAAF

Sesungguhnya terdapat beberapa kualiti diri yang perlu ada di dalam diri masing-masing sebelum dapat menjadi seorang yang pemaaf. Tanpa ciri-ciri tersebut tentu sekali amat sukar bagi sesiapa jua untuk memaafkan mahupun melupakan kesalahan orang terhadap dirinya. Ciri-ciri tersebut adalah:

Ø Bersabar

Boleh dikatakan sikap sabar ini adalah pokok bagi bercambahnya segala akhlak-akhlak yang mulia. Jika dilihat kepada sikap pemaaf yang sedang kita perbincangkan ini, ianya hampir pasti tidak akan terlaksana tanpat sifat sabar. Sekiranya seseorang membuat kesalahan terhadap kita lantas kita hilang sabar maka ianya akan menimbulkan perasaan marah dan sekiranya perasaan marah ini pula tidak dibendung ianya akan menimbulkan pula perasaan dendam terhadap pelaku kesalahan tersebut. Sebaliknya sekiranya kita mampu untuk bersabar terhadap kesalahan orang lain terhadap kita maka kita akan lebih mudah untuk memaafkannya serta melupakan segala kesalahan yang telah dilakukannya. Oleh itu tidaklah menjadi satu hal yang aneh sekiranya Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat besar bagi mereka yang penyabar. Firman-Nya:

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (al-Zumar (39) : 10)

Ø Mengawal perasaan Marah

Perasaan marah merupakan satu senjata tipu daya syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Syaitan sememangnya sentiasa ingin melihat kehidupan manusia porak-peranda dan berduka-cita. Lalu dibisikkan ke telinga-telinga manusia api kemarahan dan menghindari sikap saling bermaafan untuk mengeruhkan lagi suasana. Ini sememangnya tugas syaitan, musuh yang nyata bagi golongan yang beriman. Firman Allah S.W.T.:

Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. (al-Mujadalah (58) : 10)

Maka itu penting bagi kita untuk mangawal perasaan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini ternyata amat dititik-beratkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada baginda s.a.w. ternyata baginda bersada:

Jangan Marah.

Kemudian orang tersebut mengulangi permintaanya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab:

Jangan Marah. (Sila rujuk peristiwa ini di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6116)

Ternyata mengawal perasaan marah itu adalah penting di sisi Nabi s.a.w. sehingga berulang-ulang kali baginda mengingatkannya kepada sahabat tersebut. Baginda juga beranggapan bahawa bagi seseorang yang mampu mengawal perasaan marah maka dia merupakan seorang yang gagah perkasa. Sabdanya:

Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergulat (bergusti), tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6114)

Allah S.W.T. juga akan memberi ganjaran yang besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 2417)

Sebaiknya untuk kita meredakan perasaan marah kita terhadap seseorang hendaklah kita fokuskan jiwa kita untuk melihat sudut positif yang terdapat di dalam orang yang sedang kita marahi tersebut. Mungkin terdapat banyak perkara-perkara baik yang pernah dia lakukan terhadap kita yang sekiranya kita renungkan secara mendalam akan memadamkan api kemarahan yang wujud di dalam jiwa kita. Sebagai contohnya apabila kita marah melihat kesalahan yang dilakukan oleh isteri kita maka hendaklah kita fokuskan perbuatan-perbuatan yang baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan kita. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 1469)

Ø Menghilangkan perasan dendam kesumat

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam di dalam jiwa. Maka hati akan merasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta perasaan ingin menjauhkan diri daripada orang tersebut. Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita ingin menghukum pihak yang telah melakukan kesalahan terhadap kita. Saidina Abu Bakar al-Shiddiq r.a pernah menghadapi masalah perhubungan dengan salah seorang ahli keluarga beliau yang bernama Misthah lalu beliau mengambil keputusan untuk tidak memberi nafkah kepadanya kemudian turunlah firman Allah Ta’ala:

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)

Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh orang lain dengan kejahatan yang lain. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ianya hanya akan mengeruhkan lagi suasana. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada di dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang tersebut. (Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim r.a)

Ø Lemah lembut

Di antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan sikap saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian terutamanya dengan sesama muslim merupakan satu akhlak yang terpuji dan mencerminkan budi pekerti yang luhur dan kewarasan jiwa. Nabi s.a.w. pernah bersabda:

Wahai ‘Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) kelemah-lembutan apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya. (hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2593)

Dan Allah S.W.T. juga telah menganugerahkan kepada Nabi-Nya sikap lemah lembut terhadap umat manusia yang lain dan sikap ini merupakan daya tarikan terhadap manusia disekelilingya terhadap dakwahnya. Melalui sikap lemah-lembut ini jugalah membuahkan munculnya sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain. Firman Allah S.W.T.:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aali Imraan (3) : 159)

KESIMPULAN

Justeru itu hendaklah lafaz ‘maaf zahir dan batin’ yang kita ucapkan pada hari lebaran ini kita lakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan sekadar mengikut adat resam. Kita hendaklah menjadi seorang yang gemar memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat ini merupakan cerminan bagi akhlak yang mulia dan ianya dituntut oleh syarak. Sikap saling memaafkan ini merupakan salah satu dari ciri-ciri yang perlu wujud di dalam masyarakat Islam demi untuk mengukuhkan perpaduan serta persaudaraan yang kian terhakis. Perpecahan yang melanda umat Islam telah melemahkan kita sehinggakan kita berantakan sesama sendiri sedangkan pihak musuh Islam sentiasa menantikan ruang-ruang kelemahan yang ada demi untuk meruntuhkan apa sahaja kekuatan yang masih wujud pada umat Islam. Ingatlah bahawa semua umat Islam itu bersaudara dan hindarkanlah dari berpecah-belah. Firman Allah S.W.T.:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Aali Imraan (3) : 103)