Rabu, 9 Disember 2009

Pembahagian Tauhid Sebelum Ibnu Taimiyyah


Pembahagian Tauhid Sebelum Ibn Taimiyyah
Oleh: Panel Penyelidik Institut al-Qayyim

Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam

Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106). Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang mendiptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid

3: halaman 304-306.3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

Wassalam.

MESTI BELI ! : BUKU TERBARU HAFIZ FIRDAUS ABDULLAH


Synopsis:

Buku ini merupakan himpunan 20 artikel dan soal-jawab agama yang ditulisoleh Hafiz Firdaus Abdullah untuk ruangan Cahaya Rohani dalam majalah Dara.com.Artikel-artikel pelbagai tajuk ini merupakan bahan tazkirah yang bermanfaatuntuk seisi keluarga, sesama kumpulan halaqah atau terhadap diri sendiri.

Price: RM 13.00



Synopsis:

Mutakhir ini timbul pelbagai fenomena seka yang aneh, musykil dan membimbangkan.Tidak ketinggalan fenomena perubahan jantina, sama ada secara ajukan ataupembedahan. Kenapakah semua ini berlaku da apakah pandangan Islam tentangnya?Lebih penting, bagaimana cara menyelesaikannya?Buku Islam, Jantina dan Seka mengupas fenomena di atas serta beberapa isu lainyang penting di kalangan umat Islam masa kini.Ia merupakan himpunan artikel yang ditulis oleh Hafiz Firdaus Abdullah yangsebelum ini pernah disiarkan dalam majalah-majalah tempatan atau menjadi notakuliah dalam kelas-kelas pengajian beliau
Price: RM 12.00


Synopsis:

Isu keperluan berjamaah, fenomena berbilang jamaah, individu yang engganmenyertai jamaah dan sebagainya merupakan persoalan yang kerap kali dibincang,khususnya di kalangan para pelajar institusi pengajian tinggi.Maka buku ini menghimpun beberapa artikel yang rapat berkaitan dengan persoalandi atas, dengan harapan ia dapat membantu memberi pencerahan dan pembukaankepada mereka yang tercari-cari jawapannya.Tidak ketingaalan ia juga ditujukan kepada mereka yang sudah selesa dengansatu pendapat tetapi ingin menganalisa sesuatu yang baru.Hafiz Firdaus Abdullah, penulis yang sedia dikenali sering membuat rombakanparadigm kepada apa yang asalnya sudah dianggap selesa kepada sesuatu lain yanglebih menyelesakan

Price: RM 14.00


Isnin, 30 November 2009

Arus Perdana Sebagai Mazhab Baru?


Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Seluruh pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah mengiktiraf kewujudan mazhab-mazhab dalam Islam dan mengambil sikap toleransi ketika menangani perbezaan pendapat di antara sesama umat Islam. Hanya sahaja sikap segelintir kecil umat Islam yang fanatik mazhab telah memecah belah umat Islam menjadi berpuak-puak sehingga timbul perselisihan faham yang boleh meruntuhkan perpaduan. Sikap fanatik mazhab ini adakalanya melampaui batas sehinggakan ada pengikut fanatik mazhab Syafi’i menganggap tidak sah bernikah dengan wanita bermazhab Hanafi kerana pengikut mazhab Hanafi bersikap ragu-ragu di dalam keimannya kerana membolehkan seorang muslim mengatakan, “Saya beriman Insya-Allah”. Ada pula dari kalangan mereka yang bermazhab Syafi’i yang berkata dibenarkan berkahwin dengan wanita bermazhab Hanafi kerana mengqiyaskan mereka dengan ahlul kitab (golongan nasrani dan yahudi) yang dibenarkan syarak untuk dinikahi.

Terdapat juga hadis-hadis palsu direka semata-mata untuk meninggikan mazhab sendiri serta memburukkan mazhab lain. Di kalangan pengikut fanatik mazhab Hanafi mereka mencipta hadis palsu untuk memburuk-burukan Imam al-Syafi’i r.h. Hadis palsu tersebut berbunyi begini, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan muncul di kalangan umat aku seseorang yang bernama Muhammad bin Idris (Imam al-Syafi’i) yang akan mendatangkan kerosakan kepada umat ku lebih buruk daripada iblis dan akan muncul pula di kalangan umatku seorang lelaki bernama Abu Hanifah yang akan menjadi cahaya penyuluh umat aku.”

Sikap fanatik sebegini dikhuatiri mula kelihatan di Malaysia apabila seorang tokoh baru-baru ini dengan lantangnya menyeru seluruh umat Islam di Malaysia supaya terus berpegang hanya dengan fahaman yang telah diterima arus perdana dan pandangan arus perdana tersebut tidak boleh dipertikaikan lagi. Timbul satu persoalan yang mendasar, bagaimana sekiranya mazhab arus perdana itu didapati kurang tepat berbanding dengan al-Qur’an dan al-Sunnah? Adakah umat Islam di Malaysia tetap harus kekal berpegang dengan arus perdana? Adakah pandangan yang dikatakan arus perdana itu dianggap lebih tinggi tarafnya daripada firman Allah S.W.T. dan sabda Rasulullah s.a.w.? Bagaimana pula dengan seruan al-Qur’an yang menyuruh setiap perselihan pendapat dalam Islam itu diselesaikan dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah? Firman Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (al-Nisaa’ (4) : 59)

Adakah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang kelihatan bercanggah dengan aliran arus perdana perlu ditafsir semula agar ia selari dengan pandangan arus perdana sebagaimana yang sering dilakukan oleh golongan fanatik mazhab? Sikap fanatik sebegini pernah diutarakan oleh Abu al-Hassan Muhammad al-Karkhy di dalam kitabnya Tarikh al-Tasyri' al-Islami: "Semua ayat al-Quran yang menyelisihi (pendapat) sahabat-sahabat kami, ayat itu hendaklah ditakwil (diberi maksud lain) atau dimansuhkan (dihapuskan hukumnya). Begitu juga hadis Nabi s.a.w, ia perlu ditakwil atau dimansuhkan." Ternyata ini merupakan satu pandangan yang keliru kerana tiada suatu pandangan atau fahaman yang muncul daripada seseorang individu mahupun kumpulan tertentu yang boleh diletakkan lebih tinggi dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Tiada yang terpelihara dari melakukan kesilapan dalam hal-hal keagamaan melainkan Rasulullah s.a.w. Imam Malik bin Anas r.h pernah berkata: “Sesiapapun perkataanya boleh ditolak dan boleh diterima, kecuali hanya Nabi s.a.w.” Bukanlah menjadi suatu kesalahan apabila kita berpegang dan mengamalkan sesuatu pandangan dari mazhab selain dari arus perdana sekiranya pandangan tersebut lebih menepati ajaran Rasulullah s.a.w. Dr. M. Said Ramadhan al-Buthi di dalam kitab beliau bertajuk Al Laa Mazhabiyyah Akhtharu Bid’ah Tuhaddadu ash-Shari’ati al-Islaamiyyah telah berkata: “Tidaklah menjadi satu kewajipan bagi seseorang muqallid (yang bertaklid kepada sesuatu mazhab) untuk mengikuti salah satu mazhab tertentu, atau menjadi satu perkara yang haram baginya untuk berpindah-pindah mazhab. Begitu pula telah menjadi suatu kesepakatan kaum muslimin, bahawa seorang muqallid dapat memilih atau mengikuti salah satu mujtahid jika telah diyakini kebenaran mazhab-mazhab dan pendapat-pendapatnya, seperti seseorang berpindah-pindah kepada salah satu dari keempat imam mazhab. Maka seandainya, pada masa sekarang ada yang melarang untuk berpindah-pindah mazhab, orang itu telah masuk dalam kategori fanatik yang menyesatkan, yang telah menjadi suatu kesepakatan kaum Muslimin untuk meniadakannya. Suatu yang harus diketahui bagi seorang peneliti, tidak ada pertentangan bahawa tidak ada hukumnya bagi seorang muqallid untuk tidak mengikuti satu mazhab sahaja, atau berpindah-pindah ke mazhab yang lain. Artinya tidak ada kewajipan untuk terikat kepada salah satu mazhab tertentu, sama dengan tidak ada pelarangan untuk terikat kepada salah satu mazhab.” Sekian pandangan Dr. M. Said Ramadhan al-Buthi. Semoga kita semua terhindar dari sikap fanatik mazhab yang menyesatkan sebagaimana dicela oleh beliau.

Seterusnya tokoh yang memperjuangkan aliran arus perdana tersebut berulang-kali menyeru agar pandangan yang kelihatan syaz atau ganjil ditengah-tengah masyarakat agar ditolak. Adakah wajar seruan sebegini? Kenapa pandangan yang dianggap ganjil itu tidak dinilai terlebih dahulu dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah kerana sesuatu pandangan yang dianggap syaz atau ganjil itu pada hakikatnya mungkin lebih mendekati ajaran Rasulullah. Tidak mustahil pula sekiranya pandangan atau amalan yang di anggap sebagai arus perdana pada zaman ini pula sebenarnya tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah dan para sahabat. Sekiranya Rasulullah dan para sahabat masih hidup tentu mereka juga akan menyatakan pandangan atau amalan tersebut sebagai ganjil. Wajarkah pandangan majoriti itu diletakkan sebagai nilai ukur yang baku untuk menilai sama ada sesuatu pandangan itu sebagai benar atau salah? Firman Allah S.W.T.: “Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata.” (al-An’am (6) : 116)

Sebenarnya nilai ukur kebenaran itu bukan kerana jumlah pengikut yang besar, tetapi nilai ukurannya adalah kebenaran atau kebatilan yang menyertai sesuatu pandangan itu setelah diletakkan di atas neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Pandangan yang benar walaupun dipegang oleh sebilangan kecil orang Islam tetap harus dijadikan ikutan. Itulah jalan yang lebih selamat. Setiap perkara yang batil itu tidak boleh berubah menjadi benar hanya kerana jumlah pengikutnya yang banyak. Apatah lagi Rasulullah s.a.w. pernah menggambarkan bahawa golongan yang benar-benar akan mengikuti sunnahnya pada masa hadapan adalah sedikit jumlahnya. Baginda bersabda: “Sesungguhnya Islam itu muncul sebagai agama yang asing (sedikit pengikutnya) dan suatu saat akan kembali asing sebagaimana pertama kali muncul.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Untuk menguatkan hujah betapa wajibnya seseorang itu untuk mengikut arus perdana atau majoriti umat Islam maka mereka menjaja sebuah athar daripada Abdullah bin Mas’ud r.a yang berbunyi “Apa yang dilihat baik oleh kaum Muslimin (al-Muslimun), maka ia baik di sisi Allah, dan apa yang dilihat buruk di sisi kaum Muslimin maka ia buruk di sisi Allah. (Hadis riwayat Ahmad) Sebenarnya athar di atas ini bukan sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang mereka sangkakan. Ia hanyalah ucapan ‘Abdullah bin Masu’d. Oleh itu sewajarnya sabda Rasulullah yang menyuruh kita mengutamakan pandangan al-Qur’an dan al-Sunnah seperti: “Aku telah meninggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat dengan keduanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya” lebih wajib kita utamakan daripada kata-kata seorang sahabat seperti riwayat tersebut.

Sekiranya kita terima pandangan mereka bahawa athar tersebut adalah sabda Nabi sekalipun ternyata tafsiran mereka terhadapnya juga kurang tepat. Menurut para ulama hadis, riwayat di atas hanya bersangkutan dengan kesepakatan kaum Muslimin iaitu spesifik kepada generasi sahabat Nabi sahaja. Hal ini adalah kerana perkataan al dalam al-Muslimun itu berbentuk definitif (al-‘ahd) menunjukkan kelompok orang Islam yang tertentu yakni para sahabat Nabi r.a. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat matan penuh athar ini. “Sesungguhnya Allah melihat hati para hamba-Nya lalu mendapati hati Muhammad s.a.w sebagai hati terbaik di antara para hamba-Nya lalu baginda dipilih dan diutus menjadi Rasul. Kemudian Allah melihat hati hamba-hamba-Nya setelah melihat hati Muhammad lalu mendapati hati para sahabat sebagai hati yang terbaik, maka mereka dijadikan sebagai menteri-menteri Nabi-Nya. Mereka berperang dan berjuang di atas agama-Nya. Maka apa yang dilihat baik oleh kaum Muslimin, maka ia baik di sisi Allah, dan apa yang dilihat buruk di sisi kaum Muslimin maka ia buruk di sisi Allah.” Apatah lagi dalam riwayat lain, kita dapati ucapan Ibn Mas’ud r.a tersebut adalah ulasan beliau tentang kesepakatan (ijmak) para sahabat dalam perlantikan Abu Bakar r.a sebagai khalifah Islam yang pertama. Dalam riwayat lain, terdapat tambahan dalam ucapan Ibn Mas’ud tersebut: “Kesemua sahabat sependapat untuk melantik Abu Bakar menjadi khalifah.” (Hadis riwayat al-Hakim. Sanad hadis ini sahih menurut al-Hakim dan ia disepakati oleh al-Zahabi). Ini lebih mengukuhkan lagi pandangan istilah al-Muslimun (kaum muslimin) di dalam athar tersebut merujuk kepada kesepakatan para sahabat Nabi s.a.w. dan bukan majoriti umat Islam atau arus perdana seperti sangkaan tokoh tersebut.

Sekiranya kita ambil pandangan mereka bahawa perkataan al dalam al-Muslimun itu berbentuk al-istighraq (merangkumi semua kaum Muslimin), maka kita perlu mengetahui bahawa ianya bermaksud kesepakatan yang terjadi di kalangan para ulama (ijmak). Mana mungkin urusan baik dan buruk dalam agama diletakkan sewenang-wenangnya kepada seluruh umat Islam. Bukan kesemua umat Islam arif tentang ilmu-ilmu yang diperlukan untuk mengistinbat (mengeluarkan) hukum dan bukan semua memahami tafsiran sebenar sesuatu ayat al-Qur’an mahupun hadis Nabi. Menurut Imam ‘Izz bin ‘Abdul Salam r.h ketika mengulas athar ini: “Jika hadis itu sahih, maka yang dimaksudkan dengan kata ‘al-Muslimun’ adalah ahlul ijma’ (ahli ijmak).”

Mari kita ambil satu contoh amalan arus perdana yang dibangkitkan oleh tokoh tersebut iaitu upacara tahlil ketika kenduri arwah bertujuan untuk mengirim pahala bacaan kepada mereka yang telah meninggal dunia. Bolehkah kita katakan upacara ini telah diterima oleh ijmak (kesepakatan seluruh ulama) sedangkan ianya tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. atau para sahabatnya bahkan Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah mengajarnya di dalam mana-mana kitabnya. Apa yang lebih tepat menurut Imam al-Syafi’i adalah pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada arwah. Imam al-Nawawi di dalam Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya iaitu firman Allah: “…bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Al-Najm (53) : 39) dan Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Penganut mazhab arus perdana adakalanya terlalu mudah menetapkan sesuatu pandangan itu sebagai ijmak sedangkan realitinya masih terdapat para ulama yang berselisih pendapat dalam isu-isu yang dibangkitkan itu. Jangan terlalu mudah menggunakan istilah ijmak kerana Imam Ahmad r.h pernah mencela mereka yang gemar membuat dakwaan ijmak terhadap sesuatu perkara. Beliau berkata: “Sesiapa yang mengaku ijmak maka sesungguhnya dia bohong dan tidak mengerti bahawa manusia berselisih.”

Justeru sewajarnya kita berlapang dada dalam isu yang terdapat perselisihan pendapat di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah dan tidak memaksa pihak lain untuk mengikuti satu aliran pandangan sahaja. Isu perbezaan pendapat harus diselesaikan menerusi perbincangan ilmiah berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah. Tindakan mereka yang fanatik dengan arus perdana ini ditakuti akan memandulkan keupayaan umat Islam di Malaysia untuk berfikir secara analitikal dan kitikal. Jika dikaji sikap para ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah, mereka sentiasa menerima teguran dengan hati yang terbuka, membetulkan ajaran mana yang tersilap dan menghormati antara satu sama lain. Pernah sekali Imam Malik bin Anas r.h ditanya adakah perlu membasuh jari-jari kaki ketika berwuduk? Beliau menjawab: “Itu tidak perlu”. Setelah berakhirnya majlis kuliah tersebut, seorang anak murid Imam Malik, bernama Ibnu Wahab telah berkata: “Aku mengetahui akan suatu hadis berkenaan soalan tadi.” Bertanya Imam Malik: “Hadis apakah itu ?” Ibnu Wahab berkata: “Laith ibnu Sa’ad, Ibnu Lahee’ah dan ‘Amr bin al-Hariith telah meriwayatkan dari jalan Yazid bin ‘Amr, daripada Mustawrid bin Shaddad; di mana mereka telah berkata: “Kami melihat Rasulullah menggosok antara jari-jari kakinya ketika berwudhu dengan anak jarinya.” Berkata Imam Malik: “Riwayat ini adalah sahih. Aku tidak pernah mendengarnya hingga seketika tadi.” Ibnu Wahab seterusnya menerangkan bahawa Imam Malik kemudian mengajar orang ramai untuk menggosok jari-jari kaki mereka apabila berwuduk. (Riwayat Ibnu abi Hatim di dalam kitab al-Jahr wat-Ta’deel) Demikian sikap Imam Malik yang apabila sahaja dia mendengar suatu hadis yang beliau anggap sebagai sahih, dia terus membetulkan ajarannya tanpa sebarang halangan atau keraguan. Oleh itu kenapa mereka yang menjenamakan diri mereka sebagai arus perdana memiliki hati yang begitu keras untuk menerima kebenaran sekiranya terbukti pandangan mereka kurang tepat.

Rabu, 25 November 2009

MEMAHAMI KALIMAT TAUHID UNTUK ELAK PENCEMARAN AKIDAH


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Misi utama bagi setiap Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT ke atas setiap penjuru muka bumi ini adalah untuk menegakkan seruan kepada mengtauhidkan Allah SWT. Firman-Nya: “Sesungguhnya telah Kami utuskan seorang Rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Beribadahlah kepada Allah dan jauhilah taghut.” (al-Nahl : 36) Menurut Imam Malik taghut adalah setiap sesuatu yang disembah selain Allah. Oleh itu adalah menjadi satu perkara yang mustahak bagi setiap umat Islam untuk memahami dengan mendalam makna kalimat tauhid yang sering dilafazkan oleh semua hamba-hamba Allah iaitu La ilaha illallah. Adalah agak memeranjatkan apabila seorang tokoh seolah-olah mempertikaikan usaha untuk mengukuhkan pemahaman kalimah tauhid ini di tengah-tengah masyarakat di dalam sebuah akhbar baru-baru ini. Bagi beliau memadailah seseorang itu mengucap sahaja kalimah tauhid untuk mengesahkan seseorang itu sebagai Muslim yang terpelihara nyawa dan hartanya oleh Muslim yang lain. Namun hakikat tugas seorang pendakwah bukan sekadar berhenti setakat seseorang itu mampu mengucap kalimah syahadah. Misi para pendakwah adalah untuk membina generasi umat Islam yang berkualiti dan mantap akidahnya yang hanya akan dapat digapai apabila seseorang itu telah benar-benar memahami kalimah tauhid.

Makna la ilaha illallah adalah “tiada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah”. Ia bukan sekadar menetapkan (ithbat) bahawa Tuhan yang berhak disembah hanyalah Allah tetapi kalimat ini juga menolak (nafi) segala bentuk peribadahan selain daripada Allah. Firman-Nya: “Demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah adalah Tuhan dan sesungguhnya apa yang mereka sembah selain daripada Allah adalah batil.” (al-Hajj : 62)

Walaupun kalimat ini bukanlah asing bagi seluruh umat Islam namun tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh-pengaruh amalan yang boleh menjejas akidah masih menebal dalam masyarakat ini. Akibat tidak memahami kalimah tauhid dengan mendalam tokoh yang mengambil sikap acuh tak acuh dalam hal-hal berkaitan memahami makna kalimah tauhid tadi turut tidak boleh membezakan amalan ziarah kubur yang selari dengan syarak dan amalan ibadah yang terlarang di kawasan perkuburan. Tokoh tersebut terlalu mengagungkan amalan bertawssul dikuburan yang kebenarannya masih diperselisihkan oleh para ulama. Tiada ulama muktabar dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang meletakkan perbahasan tawassul di kawasan perkuburan ini sebagai perkara pokok dalam akidah sehingga sesiapa yang menolaknya dianggap terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jammah. Hanya kelompok tasauf yang ekstrim dan Syi’ah Rafidhah sahaja yang taksub dalam isu seumpama ini. Persoalan tentang golongan yang melakukan peribadatan terlarang di kawasan perkuburan atau digelar Kuburiyyun ini bukan sekadar berkisar isu tawassul seperti sangkaan tokoh tersebut. Isu kuburiyyun termasuk amalan memohon doa kepada mayat yang ditanam dalam kubur tersebut, solat sunat menghadapi kubur, tawaf mengelilingi kubur atau mengerjakan ibadah korban di kawasan perkuburan yang terdapat dalil yang tegas lagi jelas tentang pengharamannya. Hakikatnya tiada aliran pemikiran dalam Islam yang mengharamkan ziarah kubur asalkan ianya dilakukan sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. turut bersabda “…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian.” (Hadis riwayat Imam Muslim). Apa pun dalam hal berkaitan ziarah kubur para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah membahagikan ziarah kubur kepada tiga jenis:

1) Ziarah yang disunnahkan iaitu yang sesuai dengan syariat, sebagaimana yang disebutkan dalam sejumlah hadis dengan tujuan untuk memohon ampun (istighfar) bagi mayat dan mengingatkan dirinya akan alam akhirat.


2) Ziarah yang bidaah yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan beribadah kepada Allah S.W.T. di samping kuburan dengan menyakini bahawa tempat tersebut adalah tempat (ibadah) yang paling baik.


3) Ziarah yang syirik, iaitu ziarah yang dikerjakan seseorang untuk mengharap berkat dari kuburan atau dalam rangka meminta syafaat dan pertolongan dari kuburan tersebut.


Masih ramai di kalangan masyarakat kita yang mempercayai ramalan-ramalan tukang ramal dan bomoh dalam menentukan arah hidup seharian mereka. Masih wujud juga mereka yang memakai tangkal-tangkal atau mengamalkan jampi-serapah yang syirik bertujuan untuk mengubati sesuatu penyakit. Hal ini adalah kerana kalimat tauhid tersebut hanyalah sekadar lafaz dibibir tanpa mampu untuk diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari seseorang insan. Untuk menjadikan kalimat ini berkesan dalam membasmikan pengaruh-pengaruh syirik dalam kehidupan seharian hendaklah setiap umat Islam berusaha memahami syarat-syarat yang membelakangi kalimat tersebut.

PERTAMA : Ilmu (al-‘Ilm) atau mengetahui makna sebenar kalimat tauhid tersebut. Hendaklah mereka ketahui bahawa kalimat ini menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T adalah tuhan yang berhak disembah atau diibadahi. Seluruh sembahan yang lain adalah tertolak. Faktor ilmu ini amat penting sebagai syarat agar kalimat ini dapat meniggalkan kesan yang baik bagi orang yang mengucapkannya. Firman-Nya: “Maka ketahuilah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah” (Muhammad : 19)

Baginda juga telah bersabda: “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tahu (berilmu) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, nescaya dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

KEDUA : Yakin (al-Yaqeen) atau tidak ragu-ragu bahawa Allah S.W.T. adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Sekadar mengetahui tanpa menyakini kebenaran kalimah itu tidak memadai untuk mengeluarkan seseorang dari amalan-amalan yang mencemari akidah. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-oramg yang betiman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orangyang benar.” (al-Hujuraat : 15)

KETIGA : Ikhlas (al-Ikhlaash) atau memurnikan segala bentuk ibadah hanya ditujukan kepada Allah S.W.T. dengan tujuan untuk mencapai keredaannya. Setiap amal ibadah itu hendaklah bebas dari sebarang unsur syirik dan riak. Firman-Nya: “Dan mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) kehidupan beragama dengan jalan yang lurus.” (al-Bayyinah : 5)

KEEMPAT : Jujur (al-Shiddiq) bermaksud hendaklah seseorang itu mengucapkan kalimah tauhid tersebut dengan sejujurnya. Apa yang dilafazkan melalui lidahnya hendaklah bertepatan dengan isi hatinya dan kemudiannya diterjemahkan melalui amalan sehariannya yang menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T. sahaja adalah Tuhan yang berhak disembah. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah dengan benar dari lubuk hatinya melainkan Allah haramkan dia dari api neraka.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

KELIMA : Cinta (al-Mahabbah) kepada Allah merupakan satu bukti menujukkan seseorang itu telah diresapi dengan fahaman tauhid yang hakiki. Hendaklah ucapan kalimah tauhid tersebut disertai dengan perasaan cinta yang mendalam kepada Allah S.W.T yang melebihi daripada cinta seseorang itu kepada makhluk-Nya yang lain. Firman-Nya: “Di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Tetapi orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah.” (al-Baqarah : 165)

KEENAM : Tunduk (al-Inqiyaad) atau patuh terhadap makna kalimat tauhid ini serta segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya berlatar-belakangkan kehendak-kehendak kandungan kalimat tersebut. Sejajar dengan itu hendaklah kita hanya beribadah dan memohon pertolongan hanya kepada Allah S.W.T. serta mematuhi segala perintah-Nya. Firman-Nya : “Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedangkan dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang teguh.” (Luqman : 22)

KETUJUH : Menerima (al-Qabuul) segala konsep yang menaungi kalimah tauhid ini iaitu pemurniaan ibadah hanya kepada Allah S.W.T. dan menolak segala sembahan selain daripada-Nya. Segala bentuk ibadah yang ditujukan kepada selain dari Allah S.W.T. atau dilaksanakan tidak menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh-Nya hendaklah ditolak bahkan ditentang sekeras-kerasnya. Sabda-Nya: “Sesiapa yang mengucapkan La ilaha illallah (tiada Tuhan yag berhak disembah melainkan Allah) dan mengingkari segala yag diibadahi selai Allah, maka hartanya dan darahnya diharamkan (dilindungi), sedangkan perhitungannya menjadi tanggungjawab Allah.” (Hadis riwayat Imam Muslim)


Demikianlah syarat-syarat yang perlu dipatuhi agar kalimah tauhid dapat difahami dengan sebenar-benarnya supaya dapat menghindari seseorang itu dari dicemari dengan unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah dalam kehidupan sehariannya. Wajarkah kaedah-kaedah ini dikatakan sebagai bertentangan dengan pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana tanggapan tokoh tersebut? Jelas setiap syarat yang digariskan di atas berhujung pangkal kepada menerapkan nilai tauhid yang murni dan menutup segala ruang untuk terjadinya perbuatan syirik.

Isnin, 23 November 2009

BUKU BARU : PETUNJUK JALAN LURUS

TERBARU DAN TERHANGAT DI PASARAN






PETUNJUK JALAN LURUS
Penulis: Ust. Emran Ahmad
Halaman: 176
Harga: RM8.00
AL-FATIHAH mencerminkan intipati al-Quran yang seharusnya dibaca dengan penuh penghayatan, tafakur dan tadabur agar segala butiran dapat diambil dan diamalkan tanpa ragu. Namun, pernahkah kita terfikir untuk mengetahui maksud ayat-ayatnya? Mendalami setiap patah kalimah & memahami erti serta tafsiran di sebalik setiap ayat?


PETUNJUK JALAN LURUS merupakan ringkasan tafsir surah al-Fatihah yang dimulakan dengan sejarah penurunan ayat, nama lain bagi surah tersebut, pengertian setiap ayat dan kesannya di dalam kehidupan serta pentafsiran dari ayat pertama hingga akhir. Juga disertakan fadilat surah ini agar menjadi sebab utama bagi setiap orang agar beriman untuk membacanya saban hari.
Untuk melanggan secara online sila ke :

IMAM AL-SYAFI’I ADALAH WAHHABI?


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Melihatkan kepada tajuk artikel ini pasti ramai yang terpinga-pinga bahkan mungkin ada yang mengurut-urut dada kerana sesak nafas seolah-olah satu malapetaka besar bakal menimpa umat Islam di Malaysia yang terkenal dengan kepatuhan mereka kepada mazhab Syafi’i. Namun janganlah runsing atau gundah-gulana kerana tajuk yang kelihatan seperti boleh menimbulkan kontroversi ini hanyalah bertujuan untuk membuka minda mereka yang keliru dengan isu Wahhabi yang dimainkan oleh beberapa tokoh di akhbar-akhbar tempatan beberapa minggu kebelakangan ini.

Sesetengah golongan yang menganggap diri mereka sebagai pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah bahkan penganut mazhab Syafi’i yang tulen amat menentang budaya talfiq atau mengikuti hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab. Umat Islam di Malaysia khususnya orang Melayu diwajibkan untuk hanya berpegang kepada mazhab Syafi’i sahaja bagi kekal sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka yang mengamalkan talfiq maka tercemarlah pemikiran mereka dan jadilah mereka ini kelompok Wahhabi. Tetapi apa yang menghairankan adalah, Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menyuruh sesiapapun untuk mengikuti pandangan beliau sepenuhnya. Bahkan Imam al-Syafi’i amat menganjurkan anak murid serta pengikutnya untuk menimbang pandangannya dengan al-Qur’an dan al-Sunnah sebelum menerimanya. Dalam erti kata lain amalan talfiq itu tidak pernah ditentang oleh Imam al-Syafi’i sendiri. Menurut Imam al-Syafi’i: “Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu.” (Riwayat al-Harawi di dalam Dzamm al-Kalam, al-Khatib di dalam Ihtijaj bi al-Syafie, Ibn Asakir, al-Nawawi di dalam al-Majmu’, al-Fullani, Ibn al-Qayyim, Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah dan Ibn Hibban di dalam sahihnya.) Beliau juga pernah berkata: "Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasulullah s.a.w menurut kalangan ahli hadis tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya (meninggalkannya) sama ada ketika aku masih hidup atau selepas kematianku." (Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibn al-Qayyim di dalam al-I’lam dan al-Fullani) Namun apabila ada golongan di Malaysia yang mengikuti saranan Imam al-Syafi’i ini maka mereka dianggap telah menderhaka kepada Mazhab Syafi’i versi Malaysia yang dipandang paling tulen.

Melafazkan niat Usholli ketika mengerjakan solat fardu mahupun sunat merupakan ciri-ciri yang penting untuk menjamin seseorang itu sah bermazhab Syafi’i. Jika ada yang berpegang kepada pendapat tidak perlu berniat Usholli ketika solat maka tipislah harapannya untuk mendapat tauliah mengajar agama di sesetengah negeri. Anehnya jika kita buka kitab al-Umm maka tidak wujud satu batah barispun yang mengajar kita lafaz niat Usholli mahupun Nawaitu. Bagi Imam al-Syafi’i niat itu adalah perbuatan di dalam hati dan solat itu dimulakan dengan lafaz takbir. Di dalam al-Umm beliau berkata: “Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.”

Jika selepas solat pula tidak diamalkan zikir beramai-ramai dengan suara yang kuat, pengamalnya berkemungkinan tinggi akan terus dicop sebagai pengikut ajaran Wahhabi yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak termasuk dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita buka sekali lagi kitab al-Umm dan lihat apa yag diperkatakan oleh Imam al-Syafi’i tentang zikir lepas solat. Menurut beliau: “Saya (Imam al-Syafi'i) memandang baik bagi Imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah Azza wa jalla telah berfirman: “... dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu, juga janganlah engkau perlahankannya...” (al-Israa' (17):110) Iaitu - Allah sahaja yang Maha Mengetahui ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri. “ Imam al-Baihaqi seterusnya memperjelaskan mazhab al-Syafi’i dalam kitabnya Sunan al-Kubra: “Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr semula – pen).” Sekian pandangan sebenar Imam al-Syafi’i tentang zikir selepas solat tetapi malangnya wujud sesetengah tokoh di Malaysia ini beranggapan mereka itu lebih Syafi’i daripada Imam al-Syafi’i itu sendiri.

Mengkritik amalan mengirim bacaan pahala kepada arwah seperti ritual tahlil ketika kenduri arwah atau membaca al-Qur’an di tepi kubur bukanlah satu tindakan yang bijak di Malaysia. Si pengkritik pasti akan dihambur dengan pelbagai kata-kata berbentuk celaan dan yang paling popular tentulah tuduhan sebagai Wahhabi. Imam al-Nawawi di dalam Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya iaitu firman Allah: “…bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” (Al-Najm (53) : 39) dan Sabda Nabi s.a.w.: “Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Namun kata-kata Imam al-Nawawi ini bagaikan tiada nilai bagi pembela-pembela mazhab Syafi’i di Malaysia.

Bagi mereka yang tidak mahu mengerjakan kenduri arwah bukan sahaja dinggap menderhaka kepada mazhab Syafi’i bahkan adakalanya mereka dicerca sebagai golongan bakhil. Beginilah sikap mereka yang mengaku sebagai pejuang mazhab Syafi’i di Malaysia, sudahlah keluarga arwah sedang bersedih dengan pemergian insan yang mereka sayangi, dipaksa pula keluarga arwah tersebut untuk menyediakan jamuan makan agar perut mereka dapat diisi. Adakah ini benar-benar pandangan mazhab Syafi’i? Di dalam kitab I’anatu al-Talibin ada disebut tentang isu kenduri arwah menurut mazhab al-Syafi’i: “Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia menjemput orang menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si mati adalah bidaah yang dibenci, termasuklah di dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si mati kerana terdapat hadis sahih dari Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata: “Kami menganggap berkumpul beramai-ramai di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah) Indahnya pandangan mazhab Syafi’i yang asal berbanding dengan pegangan mereka yang mengaku Syafi’i di Malaysia. Masyarakat sekeliling sepatutnya membantu dalam menggembirakan keluarga arwah dengan membawa makanan kepada mereka. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali di dalam al-Wajiz Fi Fiqhi al-Imam al-Syafi’i telah berkata: “Disukai membuat makanan untuk keluarga si mati.” Jangan pula selepas ini Imam al-Ghazali juga dikatakan Wahhabi.

Sekiranya ketika urusan pengkebumian jenazah tidak dilakukan amalan talqin, pasti ia akan menjadi topik bualan yang hangat di sesebuah kampung kerana ia dianggap telah mencemar tradisi orang Melayu yang berteraskan mazhab Syaf’i. Tapi hakikatnya amalan talqin ini tidak pernah tertulis di dalam mana-mana kitab Imam al-Syafi’i itu sendiri. Hanya sahaja ulama bermazhab syafi’i yang kemudian menganggap ianya sunat. Dr. Muhammad A.W. al-‘Aqil di dalam kitab Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i telah berkata: “Mengenai Talqin, yang popular di kalangan masyarakat yang dilakukan setelah penguburan mayat, di mana salah seorang berdiri di sampingnya untuk mengajari mayat dengan lafaz berikut: “Hai Fulan bin Fulan, ingatlah kalimah yang engkau pegang sampai masuk ke kubur, iaitu bersaksi bahawa tidak adal Illah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah…” dan seterusnya, atau lafaz lain yang semakna, maka kami tidak mendapatkan keterangan dari Imam al-Syafi’i tentang masalah ini. Kami hanya mendapatkannya dari ulamak mutaakhkhirin (yang datang kemudian) dari para pengikut mazhab Imam al-Syafi’i.”

Hiasan-hiasan dikuburan seperti binaan kubah terutamanya di kuburan mereka yang di anggap sebagai para wali atau peneraju sesebuah tarekat merupakan satu perkara yang terima sebagai baik bagi pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia. Suasana yang kondusif ini amat bersesuaian untuk mereka melakukan ibadah-ibadah tertentu di kawasan perkuburan tersebut. Yang menghairankan Imam al-Syafi’i sendiri tidak pernah menganjurkan ibadah-ibadah seperti tawassul, membaca al-Qur’an, tawaf atau menyembelih haiwan korban di kawasan perkuburan. Menurut Ibnu Taimiyyah r.h di dalam Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim: “Daripada al-Syafi’i sendiri tidak terdapat perkataan tentang masalah ini, yang demikian ini menunjukkan bahwa (baca al-Qur-an di perkuburan) menurut beliau adalah bidaah.” Tambahan pula Imam al-Syafi’i sendiri melarang dinaikkan sebarang binaan di atas kubur. Menurut beliau di dalam al-Umm: “Saya menyukai agar kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur kerana perkara ini menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.” Imam al-Nawawi r.h pula di dalam kitab Majmu’ menyatakan: “Imam al-Syafi’i dan para sahabatnya mengatakan bahawa termasuk hal yang dibenci adalah menembok kuburan, menuliskan nama si mati atau yang lainnya dan juga membangunkan binaan di atasnya. Ini tiada perbezaan pendapat di kalangan kita. Dengan mazhab (pendapat) ini pula Malik, Ahmad, Daud dan majoriti ulama telah berfatwa.” Tetapi pandangan sebegini tidak boleh diajarkan kepada umat Islam di Malaysia kerana takut ia boleh mengelirukan orang awam walaupun tidak dapat dinafikan ia adalah pandangan Imam al-Syafi’i.

Memadailah dengan beberapa contoh di atas yang diketengahkan bukan bertujuan untuk mengeruhkan lagi suasana atau mengelirukan sesiapa. Tapi ia sekadar untuk mengingatkan kepada sesetengah pihak agar mengkaji terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud di kalangan mazhab-mazhab dalam Islam sebelum menuduh seseorang itu terkeluar dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana tidak berpegang kepada mazhab Syafi’i. Walaupun seseorang itu pernah belajar dipondok mahupun lulusan dari Institut Pengajian Tinggi di Timur Tengah, ia tidak menjamin bahawa dia telah menguasai semua cabang ilmu. Qatadah pernah berkata: “Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf (perbezaan pendapat), maka dia belum mencium fikih (ilmu Fekah) dengan hidungnya.” Bila kefahaman tentang perbezaan pendapat yang ada dalam Islam ini tidak berada ditahap yang memuaskan, maka pandangan yang sebenarnya berasal daripada Imam al-Syafi’i turut dipolemikkan sebagai Wahhabi. Jangan nanti pandangan Imam al-Syafi’i terpaksa diketepikan demi untuk menjaga kesinambungan Mazhab Syafi’i versi Malaysia sebagai satu-satunya mazhab yang boleh diamalkan di negara ini.

Sebagai nasihat kepada semua hayatilah sebuah riwayat daripada ‘Uthman bin Atha’ daripada bapanya, dia berkata: “Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum dia mengetahui ikhtilaf yang terjadi di kalangan manusia (ulama), kerana jika dia melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah (terpercaya kebenarannya) dari ilmu yang dia yakini.” Berlapang dadalah dalam isu-isu yang terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jumaat, 20 November 2009

SIAPA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH?



Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Dulu kita pernah digemparkan dengan definisi sempit Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) oleh seorang tokoh di Malaysia. Menurut beliau ASWJ ialah mereka yang bermazhab fekah Syafie, berakidah Asy’ariah atau Maturidiah dan bertasauf dengan cara Imam al-Ghazali. Maka ramai yang tertanya-tanya tentang status mereka yang hidup sebelum Imam al-Syafie, Imam Abu Hassan al-Asya’ri dan Imam Maturidi dan Imam al-Ghazali? Adakah pegangan fekah, akidah dan akhlak mereka terkeluar daripada golongan ASWJ. Bagaimana pula dengan mereka yang berpegang kepada mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali? Adakah mereka tidak tergolong dalam kelompok ASWJ? Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah wujudnya beberapa golongan termasuk sesetengah tokoh agama di Malaysia yang beranggapan bahawa ASWJ adalah mereka yang berqunut Subuh, menganjurkan upacara Kenduri Arwah, bertalqin, membaca surah Yasin pada malam Jumaat, berzikir beramai-ramai sesudah solat dan lain-lain perkara seperti apa yang telah dibangkitkan oleh beberapa akhbar beberapa minggu kebelakangan ini.

Oleh itu siapakah sebenar ASWJ itu? ASWJ adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. sama ada di dalam bentuk iktikad (akidah), ibadat, muamalat dan akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in (generasi al-Salafussoleh) dan mereka yang mengikuti mereka ini sehingga ke hari ini. Setiap yang sesuai dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menerima dan menetapkannya. Sebaliknya, setiap yang bertentangan dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menolaknya, tanpa mengira siapa pun yang berpegang kepada pendapat tersebut. Generasi al-Salafussoleh yang dijadikan contoh ikutan ASWJ ini telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w. sebagai generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabdanya: Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut tabi’in). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Para ulama ASWJ memperjuangkan Ittiba' (mengikuti sunnah Nabi s.a.w.) dan meninggalkan ibtida' (amalan-amalan bidaah). ASWJ berkeyakinan bahawa syariat Islam telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w. wafat sehingga tidak memerlukan penciptaan amalan-amalan baru yang tidak pernah dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah. ASWJ hanya akan mengamalkan ibadat yang terdapat dalil yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. dan meninggalkan segala amalan berdasarkan rekaan akal manusia dan bersandarkan hadis-hadis yang lemah serta palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah tanpa ilmu sehingga mudah amalan-amalan bidaah meresap dan kemudiannya dianggap sunnah.

ASWJ tidak mengagungkan mana-mana imam ataupun ulama. Tiada pegangan mahupun ucapan daripada seseorang tokoh atau kumpulan yang mereka ambil secara keseluruhannya kecuali apa yang benar-benar bersumber daripada Rasulullah s.a.w.. Walaubagaimanapun mereka tetap menghormati seluruh imam-imam ASWJ terutamanya imam-imam mazhab yang empat iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad. Bagi ASWJ pendapat ataupun ucapan selain daripada Rasulullah s.a.w. adalah tidak terpelihara dari kesilapan maka mereka menimbangnya dengan al-Qur'an dan al-Sunnah. Jika ia sesuai dengan keduanya maka ianya akan diterima sebagai hujah dan sekiranya tidak maka ianya akan terbatal. Pada masa yang sama ASWJ mengiktiraf kewujudan keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Hanya sahaja ASWJ menolak tindakan keterlaluan sesetengah pihak yang berpegang kepada mazhab secara taksub sehingga mengenepikan al-Qur’an dan hadis Rasulullah s.a.w.. Syaikh Muhammad Abdul Wahhab yang sering dituduh sebaga anti mazhab juga sebenarnya berpegang kepada mazhab Hanbali. Anaknya Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad telah memperjelaskan tentang hakikat dakwah bapanya sebagai berikut:

“Bahawa mazhab kami dalam ushuluddin (tauhid) adalah mazhab ASWJ, dan cara pemahaman kami adalah mengikut cara ulama salaf. Sedangkan dalam hal masalah furu’ (fekah) kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal…Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil malah kami memaksa mereka supaya bertaklid kepada salah satu dari mazhab empat tersebut. Kami sama sekali tidak pernah mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwakan dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana ada nas yang jelas, baik dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya, ataupun mentakhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegangi pula oleh salah seorang imam yang empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti." - Syaikh Muhammad Basyir al-Sahsawani, Shiyanah al-Insan, ms. 473




Sebagaimana para al-Salafussoleh yang tidak berselisih di dalam masalah-masalah pokok berkaitan akidah begitu juga dengan ASWJ. Pendapat mereka sama dalam masalah iman, definisi dan berbagai persoalannya, dalam masalah takdir dan juga dalam masalah-masalah prinsip lainnya. Dalam masalah Tauhid al-Asma wa al-Sifat pendapat para al-Salafussoleh adalah satu. ASWJ menetapkan nama-nama Allah yang indah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna seperti yang telah dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Kaedah ini telah disepakati oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Ahmad dan juga pegangan sebenar Imam Abu al-Hassan al-Asya’ari. Tauhid al-Asma wa al-Sifat memutuskan untuk kita menetapkan apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diri-Nya di dalam kitab-Nya dan oleh Rasulllah sa.w. dengan keimanan yang bersih dari tahrif (mengubah makna tersebut), ta’thil (meniadakan sifat tersebut), takyif (bertanyakan bagaimana sifat tersebut) dan tamthil (menyamakan sifat tersebut dengan makhluk). Ini adalah kerana Allah-lah yang paling mengetahui tentang sesuatu termasuk tentang sifat-sifat yang ada pada diri-Nya dan manusia yang paling mengetahui dan mengenali Allah S.W.T. adalah Rasulullah s.a.w..

ASWJ adalah kelompok yang paling amanah dalam hal-hal yang berkaitan dengan ilmu agama. Sekiranya mereka menukil sesuatu pendapat atau pandangan, mereka tidak memalsukan atau memutarbelitkan fakta. Jika mereka menukil daripada seseorang yang berbeza pendapat dengan mereka, maka mereka menukilnya dengan sempurna, tidak mengambil apa yang sesuai dengan pendapatnya dan meninggalkan yang lain. Mereka tidak segan silu untuk menerima kebenaran dari sesiapapun, juga tidak malu untuk kembali kepada kebenaran sekiranya kesilapan berada di pihak mereka. Mereka juga tidak memaksa orang lain mengikuti pandangan mereka, tidak mengatakan sesat orang-orang yang menyelisihinya, dan tidak terlalu memberat-beratkan perkara yang wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama ASWJ.

ASWJ adalah kelompok pertengahan dan pilihan. Sikap kesederhanaan ASWJ jelas kelihatan dalam banyak hal yang berkaitan dengan akidah, hukum, ibadat, akhlak dan lain-lainnya. Mereka adalah kelompok pertengahan di antara yang ekstrem dan yang meremehkan. ASWJ amat menitik-beratkan untuk menyatukan umat Islam kepada kebenaran. Mereka sangat mengambil berat untuk menguatkan kesatuan umat Islam dan menghilangkan segala sebab-sebab yang boleh membawa pertikaian dan perpecahan. Sebab mereka mengetahui, persatuan adalah rahmat dan perpecahan adalah azab.

ASWJ menolak sikap bermudah-mudah di dalam mengkafirkan atau menyesatkan di antara sesama Islam. ASWJ hanya membantah dan menjelaskan kebenaran kepada orang yang berselisih dengan mereka. ASWJ berpendapat bahawa dosa besar yang dilakukan oleh seorang mukmin tidak mengeluarkannya dari iman selama tidak menganggap dosa-dosa yang dilakukan itu boleh atau halal. ASWJ berkeyakinan mukmin yang melakukan dosa besar, bila dia meninggal dunia sebelum sempat bertaubat, sekiranya dia dimasukkan ke dalam neraka, dia tidak kekal di dalamnya lalu akan dimasukkan ke syurga setelah itu. Urusan seorang mukmin yang melakukan dosa-dosa besar diserahkan kepada kehendak Allah S.W.T. sepenuhnya sama ada diampunkan segala dosanya atau menerima pembalasan yang setimpal dengan dosanya.

Demikanlah secara ringkasnya beberapa ciri kelompok yang dikenali sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.