Jumaat, 13 Ogos 2010
Berbuka puasa, perlu beri perhatian kepada adab
Oleh - Mohd Yaakub Mohd Yunus
SUMBER : SINAR HARIAN 13th August 2010
Rasulullah SAW mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:
Membaca doa yang thabit daripada Nabi SAW
Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca: Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala. (Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah) – Hadis riwayat Abu Dawud, no: 2010.
Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku. (Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in an taghfirali)” - Hadis riwayat Ibn Majah, no: 1743.
Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” – Hadis riwayat Ibn Majah, hadis no: 1743.
Menyegerakan berbuka puasa
Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi SAW yang sabdanya: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari. no: 1957.
Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman: “Sebaik-baik hamba-Ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa.” - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 636.
Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air
Rutab ialah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi SAW. Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, Baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, Baginda akan meneguk beberapa teguk air.” - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no: 632.
Bersegera mengerjakan solat Maghrib
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah SAW juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat
Maghrib. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 674.
Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, jilid 4, muka surat 208: “Dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
Berbuka puasa secara sederhana
Firman Allah SWT: “Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” – Surah al-A’raaf : 31
Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang Muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi SAW: “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 2302.
Menjamu makanan untuk berbuka bagi orang berpuasa
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa, terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah. Firman Allah SWT: “Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” - Surah al-Insaan: 8-9.
Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 735.
* Penulis ialah Penolong Naib Presiden Bahagian Perbankan Perniagaan, Affin Bank Berhad
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan