Bulan Zulhijjah merupakan bulan yang terakhir di dalam kalendar hijrah. Ia termasuk di antara bulan-bulan haram yang dimuliakan oleh ALLAH S.W.T. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat ALLAH menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662
Justeru sebagaimana bulan-bulan Haram yang lain bulan Zulhijjah ini seharusnya diisi dengan amalan-amalan soleh yang selari dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Bulan Zulhijjah juga merupakan bulan di mana umat Islam berkumpul di Tanah Haram untuk mengerjakan ibadat Haji. Pada bulan ini juga terdapat hari perayaan yang paling utama bagi umat Islam iaitu Aidiladha.
Pada bulan Zulhijjah itu sendiri terdapat hari-hari yang lebih diutamakan berbanding dengan hari-hari yang lain pada bulan tersebut seperti berikut:
1) Keutamaan Sepuluh Hari Yang Pertama
Sepuluh hari pertama pada bulan Zulhijjah merupakan hari yang diberkati oleh ALLAH S.W.T. dan bagi mereka yang mengerjakan amal-amal soleh pada hari ini ia akan mendapat keutamaan dan ganjaran yang lebih berbanding dengan hari-hari yang lain pada sepanjang tahun. Firman ALLAH S.W.T.:
Demi fajar, dan malam yang sepuluh – al-Fajr (89) : 1-2
Para ulama telah menafsirkan malam yang sepuluh itu sebagai malam-malam pada sepuluh hari yang pertama dalam bulan Zulhijjah. Imam Ibn Rajab r.h berkata:
“Malam-malam yang sepuluh adalah sepuluh hari Zulhijjah, inilah tafsiran yang benar dari majoriti ahli tafisr daripada kalangan salaf dan selain mereka. Dan tafsiran ini telah sahih pula (diterima) daripada Ibn ‘Abbas r.a.” – Ibn Rajab, Latha’iful Ma’arif, ms. 470. Penulis nukil dari buku Ensiklopedi Amalan Sunnah Dibulan Hijriyah.
Daripada Ibn ‘Abbas r.a, dia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:
Tiada hari-hari yang amalan soleh di dalamnya lebih dicintai ALLAH daripada hari- hari(ayyam) ini (iaitu sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan ALLAH?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan ALLAH kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 969
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar r.h:
(Setelah membawa beberapa riwayat sokongan) Dari sini, maka jelaslah ayyam pada hadis bab di atas adalah sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. – Ibn Hajar al-‘Asqolani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 307, ketika mensyarah hadis no: 969.
Jelas menerusi hadis ini amalan pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah begitu besar. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar:
“Jika seseorang melakukan hal seperti itu (iaitu berjihad sehingga mengorbankan diri dan harta), maka dia lebih baik atau sedarjat dengan mereka yang melakukan ibadat pada sepuluh hari pertama pada bulan Zulhijjah.” - Ibn Hajar al-‘Asqolani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 307, ketika mensyarah hadis no: 969.
Selanjutnya al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan sepuluh hari pertama Bulan Zulhijjah adalah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat (secara serentak) pada bulan-bulan yang lain.
Justeru hendaklah setiap umat Islam memperbanyakkan solat-solat sunat terutamanya solat tahajjud, berzikir, berdoa, membaca al-Qur’an, melaksanakan ibadat korban dan mengerjakan ibadat haji bagi yang mampu. Hendaklah berusaha untuk berpuasa pada sembilan hari yang pertama pada bulan Zulhijjah tersebut. Ummul Mukminun Hafshah berkata:
Adalah Nabi s.a.w. berpuasa pada hari puasa ‘Asyura dan sembilan hari pertama pada bulan Zulhijjah dan tiga hari di dalam setiap bulan. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, no: 2332
2) Hari Arafah
Hari Arafah atau hari yang ke sembilan dalam bulan Zulhijjah merupakan hari di mana para jemaah haji berwukuf di padang Arafah. Hari Arafah ini merupakan hari yang paling ramai umat manusia beriman diampunkan dosa-dosanya lalu dan diselamatkan dari siksa api neraka oleh ALLAH S.W.T. serta diperkenankan permohonan hamba-hamba-NYA. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Tiada suatu hari hari yang di dalamnya ALLAH menyelamatkan hamba-NYA dari neraka yang lebih ramai daripada hari Arafah iaitu tatkala ALLAH mendekat dan berbangga di hadapan para malaikat-NYA seraya berfirman: Apa yang mereka inginkan?” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 2402
Justeru bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji disunatkan untuk berpuasa dan fadilatnya adalah dosa-dosa tahun yang lepas serta yang akan datang akan diampunkan. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut ALLAH dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut ALLAH dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 1162.
Bagaimana pula bagi mereka yang sedang berwukuf di padang Arafah? Perlukan mereka turut berpuasa? Majoriti (jumhur) ulama berpendapat tidak dianjurkan bagi jemaah haji yang sedang berwukuf untuk berpuasa pada hari Arafah. Pandangan ini dikuatkan dengan sebuah riwayat daripada Kuraib daripada Maimunah r.a yang menceritakan:
Bahawasanya orang ramai merasa ragu-ragu tentang puasa Rasulullah s.a.w. pada hari Arafah. Maka aku (yakni Maimunah) membawakan air susu kepadanya. Pada saat itu baginda sedang wukuf di tempat wukuf. Baginda meminumnya dan manusia melihatnya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 1989
Motif Rasulullah s.a.w. menganjurkan para sahabat untuk tidak berpuasa ketika wukuf di Arafah adalah bertujuan agar para sahabat yang sedang mengerjakan ibadah haji memiliki tubuh badan yang segar dan kuat supaya mereka dapat melipat gandakan amal ibadat pada hari itu yang terdapat banyak fadilatnya. At-Thobari r.h berkata:
“Rasulullah s.a.w. tidak berpuasa di Arafah dengan maksud memberi petunjuk bahawa yang terbaik dilakukan oleh mereka yang mengerjakan haji di Makkah adalah tidak berpuasa supaya tidak lemah untuk berdoa dan berzikir pada hari Arafah.” – Rujuk Fathul Baari, jilid 11, ms. 437, syarah hadis no: 1989.
Ada juga yang menyatakan Rasulullah tidak berpuasa ketika di Arafah kerana hari itu merupakan hari raya bagi para jemaah haji yang berkumpul untuk melaksanakan ibadat wukuf. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Hari Arafah, Hari Raya Korban dan Hari-Hari Tasyriq adalah hari raya bagi kita orang Islam dan hari makan dan minum. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, no: 2066
Namun terdapat juga para ulama yang berpendapat hadis yang menunjukkan Rasulullah tidak berpuasa ketika di Arafah bukanlah menunjukkan dilarang sama sekali bagi para jemaah haji untuk berpuasa. Perbuatan tersebut hanya menunjukkan bahawa perbuatan tersebut boleh ditinggalkan. Justeru ada ulama yang berpendapat diperbolehkan berpuasa ketika wukuf di Arafah sekiranya ia tidak menyebabkan sesesorang itu menjadi lemah untuk mengerjakan amal-amal ibadat seperti berzikir dan berdoa.
Apa pun jua sunnah Rasulullah dan amalan para Khulafa’ al-Rasyidin lebih patut kita contohi kerana mereka merupakan contoh tauladan yang paling afdal untuk diikuti. Ibn ‘Umar r.a pernah ditanya tentang puasa pada hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah, dia menjawab:
Aku melaksanakan haji bersama Rasulullah s.a.w. dan baginda tidak berpuasa pada hari itu, juga bersama Abu Bakar dan beliau tidak berpuasa (pada hari itu), juga bersama ‘Umar dan beliau tidak berpuasa (pada hari itu), juga bersama ‘Uthman dan beliau tidak berpuasa (pada hari itu). Dan aku turut tidak berpuasa (pada hari itu), aku tidak memerintahkan (pihak lain) untuk berpuasa dan tidak melarangnya. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 682
Adalah disunatkan bagi jemaah haji yang hendak wukuf di ‘Arafah untuk mandi terlebih dahulu sebagaimana tatacara mandi wajib. Dalilnya adalah:
Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh pernah ditanya tentang mandi; apakah harus mandi setiap hari? Maka beliau menjawab:
Tidak harus. Namun, yang harus mandi ialah pada hari Jumaat, hari ‘Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri. - Hadis riwayat Imam al-Syafi’i di dalam Musnad al-Syafi’i
Terdapat pihak yang berpendapat terdapat solat sunat khusus sempena hari Arafah bersamdarkan hadis:
Barangsiapa yang solat dua rakaat pada hari Arafah dengan membaca setiap rakaatnya surah al-Fatihah tiga kali, kecuali ALLAH akan berfirman: “Aku bersaksi untuk kalian bahawa AKU telah mengampuninya.”
Hanya sahaja hadis di atas ini merupakan hadis maudhu’ (palsu) sebagaimana yang telah diperkatakan oleh Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhu’aat dan al-Syaukani di dalam al-Fawaid. Tiada hadis yang sahih menunjukkan adanya solat khusus sempena hari Arafah. Walaubagaimanapun diperbolehkan untuk memperbanyakkan amalan-amalan soleh termasuk mengerjakan solat-solat sunat lain yang lazim dikerjakan pada hari-hari lain sepanjang tahun apatah lagi hari ‘Arafah merupakan hari yang penuh keberkatan.
Terdapat juga setengah ulama yang membenarkan amalan Ta’rif. Ta’rif adalah berkumpulnya orang-orang yang tidak melaksanakan ibadat haji di Masjid pada malam Arafah untuk melakukan kegiatan seperti dilakukan oleh mereka yang sedang mengerjakan ibadat haji di padang Arafah seperdi berdoa, berzikir dan sebagainya. Mereka berhujah bahawa Ibn ‘Abbas r.a merupakan orang yang pertama melakukan upacara Ta’rif ini di Basrah. Ketika menjelang senja (selepas solat Asar) pada hari Arafah Ibn ‘Abbas telah menaiki mimbar masjid dan mengajar jemaah masjid beberapa potong ayat al-Qur’an dan memberi peringatan kepada para jemaah sehingga Maghrib lalu mengerjakan solat Maghrib bersama. Menurut mereka Ibn ‘Abbas telah melakukan Ta’rif ini semasa pemerintahan Saidina’Ali dan beliau tidak menentangnya. Oleh itu suatu tradisi yang dilakukan pada zaman sahabat dan tiada sesiapa yang menentangnya maka tidak boleh disebut sebagai amalan bid’ah. Di antara para ulama yang tidak menolak amalan Ta’rif adalah Imam Ahmad. Ketika ditanya tentang amalan Ta’rif dia berkata:
Tiada apa-apa kerana itu hanyalah doa dan zikir kepada ALLAH. Dintanyakan kepadanya: “Apakah anda melakukannya?” Dia menjawab: “Saya tidak melakukannya.” – Rujuk al-Mughni, jilid 2, ms. 399 dan Thabaqaat al-Hanabilah, jilid 1, ms. 67. Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah ms. 406
Namun terdapat juga para ulama yang menyatakan tradisi Ta’rif ini sebagai bid’ah dan makruh untuk dilakukan. Kehadiran Ibn ‘Abbas pada hari itu hanyalah bertujuan untuk menyampaikan seruan al-Qur’an dan bukan untuk menyamai amalan para jemaah haji yang sedang wukuf di Arafah sebagaimana yang telah diperjelaskan oleh Abu Syamah di dalam kitabnya al-Baits al-Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits. Tambahan pula menurut Syaikh ‘Abdullah al-Tuwaijiry di dalam kitabnya al-Bida’ al-Hauliyyah (ms. 414) Ibn ‘Abbas tidak mengulangi perbuatannya itu pada tahun yang berikutnya lalu bagaimana tindakan beliau ini boleh dijadikan sebagai tradisi Ta’rif.
Tindakan seorang sahabat juga adalah tidak kuat untuk dijadikan hujah sekiranya berlawanan dengan nas-nas sahih yang jelas. Telah sabit larangan Rasulullah s.a.w. untuk mencipta amal ibadat baru atau amalan bid’ah yang tidak pernah diajar oleh baginda sebagaimana sabdanya:
Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2697
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di
dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim
di dalam Sahihnya, no: 1718
Jelas Rasulullah s.a.w tidak pernah mengajar para sahabat baginda tradisi Ta’rif ini.
Ibn Wadhah meriwayatkan daripada Abu Hafsh al-Madani berkata: “Pada hari Arafah orang ramai duduk Masjid Nabawi untuk berdoa setelah solat Asar lalu keluar Nafi’ pembantu Ibn ‘Umar dari rumah keluarga ‘Umar lantas berkata: “Sesungguhnya apa yang kamu lakukan ini adalah bid’ah dan bukan sunnah. Sesungguhnya saya tahu para salaf tidak melakukannya.” Kemudian dia pulang dan tidak ikut berkumpul. Setelah itu dia keluar lagi dan melakukan seperti apa yang dilakukannya pada kali pertama lalu pulang.” – Rujuk al-Bida’ karya Ibn Wadhah, ms. 46. Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah ms. 406
Ibn Wahhab telah berkata:
Saya mendengar Malik ditanya tentang berkumpulnya manusia pada malam hari ‘Arafah setelah solat Asar untuk berdoa. Dia (Imam Malik r.h) menjawab: “Ini tidak diperintahkan kepada manusia melainkan semua ini termasuk dalam kategori bid’ah.” - Dinukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah, ms. 405
Justeru penulis lebih cenderung dengan pendapat para ulama yang membid’ah upacara Ta’rif ini kerana tiada dalil yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. menganjurkan amalan tersebut.
3) Hari Raya Aidiladha
Pada tarikh Sepuluh Zulhijjah umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha yang merupakan hari kebesaran bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.
Walaupun di Malaysia sambutan Hari Raya Aidilfitri jauh lebih meriah berbanding Aidiladha, namun hakikatnya di sisi ALLAH S.W.T. Aidiladha adalah lebih utama berbanding Aidilfitri. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya hari yang paling agung disisi ALLAH Tabaraka wa Ta’ala adalah Hari Raya Aidiladha, setelah itu ada hari al-Qurr (iaitu hari kedua Aidiladha yakni pada 11 Zulhijjah). – Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, no: 1502
Kemuliaan tarikh sepuluh Zulhijjah ini adalah lebih terserlah apabila ada ulama berpendapat bahawa pada hari inilah apa yang disitilahkan sebagai Haji Akbar. Ibn ‘Umar r.a telah menceritakan bahawa Nabi s.a.w. berdiri di antara tempat-tempat melontar jumrah pada hari raya Aidiladha, pada saat haji yang baginda lakukan lalu baginda bersabda:
Ini adalah hari Haji Akbar (Haji yang paling besar). – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 1742
Terdapat sesetengah pihak yang berpandangan terdapat solat malam khusus sempena Aidiladha bersandarkan sebuah hadis:
Barangsiapa yang solat malam Aidiladha dua rakaat dengan membaca di setiap rakaatnya surah al-Fatihah lima belas kali dan qul huwallahu ahad lima belas kali, ALLAH akan mencatatkan namanya sebagai penghuni syurga.
Namun hadis ini merupakan hadis maudhu’ (palsu) sebagaimana yang telah diperkatakan oleh Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhu’aat dan al-Syaukani di dalam al-Fawaid. Tiada hadis yang sahih menunjukkan adanya solat khusus sempena Aidiladha. Bagi mereka yang telah biasa mengerjakan qiyam al-lail maka boleh meneruskannya pada malam Aidiadha seperti malam-malam yang lain.
4) Hari-Hari Tasyriq
Hari Tasyriq merupakan hari-hari yang jatuh pada tarikh sebelas, dua belas dan tiga belas Zulhijjah. Ia di namakan Tasyriq kerana pada hari tersebut daging kurban dibahagikan. Hari-hari Tasyriq ini merupakan hari yang dimuliakan oleh ALLAH S.W.T. dan memiliki keutamaan. Firmannya:
Dan berzikirlah (dengan menyebut) ALLAH dalam beberapa hari yang terbilang. – al-Baqarah (2) :203
Di dalam Tafseer Ibn Kathir telah dibawa sebuat riwayat Daripada Ibn ‘Abbas r.a yang berkata: Beberapa hari yang terbilang (dalam hadis di atas) adalah hari-hari Tasyriq. Di dalam kitab tersebut Ibn Kathir r.h telah membawa sebuah riwayat daripada Nubayshah Al-Hudzali, dia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:
Hari Tasyriq adalah hari untuk makan, minum dan berzikir. – Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 19797
Menerusi hadis ini dapat kita fahami dua perkara tentang Hari Tasyriq.
Pertama: Ia termasuk hari perayaan Aidiladha yang mana ia adalah hari untuk makan dan minum serta hari untuk bergembira. Oleh itu digalakkan untuk berkumpul bersama keluarga serta sahabat handai dengan menyediakan jamuan makan asalkan segala adab-adab yang dituntut oleh syarak dijaga serta tiada pembaziran. Justeru pada hari Tasyriq termasuk dalam hari-hari yang diharamkan untuk berpuasa. Ketika ‘Abdullah bin ‘Amru r.a bertemu dengan dengan ayahnya (‘Amru bin al-‘Ash r.a), ‘Amru bin al-’Ash sedang makan. Ayahnya menjemput ‘Abdullah bin ‘Amru untuk makan bersama tetapi beliau menolak dengan alasan sedang berpuasa. Lalu ‘Amru bin al-‘Ash berkata:
Ini adalah hari-hari yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. untuk berpuasa dan menyuruh kita untuk menjadikannya (hari-hari) suci. – Diriwayatkan oleh Imam Imam Malik di dalam al-Muwatha’, hadis no: 137
Menurut Imam Malik r.h hari-hari tersebut adalah hari Tasyrik.
Kedua: Ia merupakan hari untuk memperbanyakkan zikir kepada ALLAH terutamanya takbir dalam rangka memperbesarkan serta mengagungkan ALLAH S.W.T.. Di dalam Sahih al-Bukhari telah diriwayatkan:
Ketika di Mina (pada hari-hari Tasyriq), ‘Umar r.a mengumandangkan takbir di dalam khemahnya sehingga orang ramai yang berada di dalam masjid mendengarnya, maka mereka dan orang ramai yang sedang berada di pasar turut ikut mengumandangkan takbir sehingga kota Mina bergemuruh dengan takbir. Ibn ‘Umar mengumandangkan takbir di Mina pada hari-hari itu (iaitu Tasyriq) setiap kali selesai melaksanakan solat, di tempat tidurnya, di khemah, di dalam masjid dan ketika dia sedang berjalan pada hari-hari itu. – Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di bab Takbir Pada Hari-Hari Mina Dan Ketika Berangkat Menuju Arafah di dalam Sahihnya
ALLAH S.W.T dengan sifat-NYA yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Penyayang (al-Rahman) telah menetapkan sesesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding dengan bulan-bulan yang lain agar Dia dapat memberi ganjaran yang lebih kepada hamba-hamba-NYA pada kadar-kadar masa yang tertentu itu. Di antara bulan yang dianggap istimewa itu adalah bulan Zulhijjah yang merupakan salah satu dari empat bulan-bulan haram yang penuh berkat. Sabda Nabi s.a.w. :
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat ALLAH menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662
1 ulasan:
Assalamu'alaikum.. mohon dikongsi
Catat Ulasan