Isnin, 18 Ogos 2008

BERITA HARIAN 18hb Ogos : Berdakwah suatu tugas mencabar


Berdakwah suatu tugas mencabar
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

PROFESION sebagai pendakwah adalah satu tugas mencabar dan penuh liku. Ada kalanya kehadiran seorang pendakwah di tengah masyarakat tidak diterima dengan baik. Bahkan ada beranggapan mereka sebagai golongan pengganggu hak asasi individu, kelompok ketinggalan zaman, berpemikiran jumud dan bermacam lagi kata berbentuk celaan. Pendakwah hendaklah sentiasa bersabar ketika menghadapi rintangan sebegini dan meneruskan usaha dakwah demi mencapai balasan baik daripada Allah. Sesungguhnya rasul juga melalui rintangan perit seperti dihadapi sesetengah pendakwah masa kini dan mereka tetap bersabar. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, rasul sebelummu pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang yang mendustakan dan menyakiti mereka sehingga datang pertolongan Kami kepada mereka. Dan sememangnya tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah Allah (janji-Nya). Dan sesungguhnya sudah datang kepadamu sebahagian daripada berita rasul itu.” (Surah al-An’am, ayat 34)

Bersabar bukan bermaksud pendakwah hanya berdiam diri ketika kemungkaran berlaku di depan mata. Tetapi, dakwah hendaklah tetap dilakukan dengan penuh kebijaksanaan dan sikap lemah lembut. Selain itu, kita tidak perlu bersedih apabila dakwah seakan-akan tidak berjaya tetapi hendaklah bersabar kerana perubahan ke arah kebaikan tidak akan berlaku sekelip mata kecuali jika di kehendaki Allah. Hendaklah yakin bahawa tugas seorang pendakwah hanyalah untuk menyampaikan ajaran Allah dan rasul-Nya namun hanya Allah yang menentukan siapa selayaknya menerima hidayah itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada orang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk.” (Surah al-Qashash, ayat 56) Ayat itu diturunkan selepas Abu Talib menemui ajalnya dalam keadaan tidak beriman kepada Allah. Rasulullah SAW amat mengasihi bapa saudaranya itu kerana dia sentiasa melindungi Baginda daripada ancaman golongan Quraisy di Makkah walaupun Abu Talib tidak menerima risalah dibawakan Baginda. Ketika Abu Talib sedang nazak, Baginda menyeru kepadanya untuk mengucapkan kalimah syahadah berulang kali. Namun Abu Talib tetap berpegang dengan agama nenek monyangnya sehingga beliau meninggal dunia. Rasulullah begitu sedih dan kecewa lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Sungguh akan aku mohonkan keampunan untukmu selama aku tidak dilarang.” Lalu Allah menurunkan firman-Nya yang bermaksud: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang musyrik.” (Surah al-Taubah, ayat 113)

Begitulah Allah ingin menekankan bahawa seorang nabi yang maksum serta sentiasa berada di bawah bimbingan wahyu Ilahi juga tidak dapat memberikan hidayah kepada sesiapa pun kecuali dengan kehendak Allah. Oleh itu, kepada seluruh pendakwah jangan berasa gusar apabila usaha anda seakan-akan tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak. Hanya Allah saja yang berkuasa untuk menentukan siapa daripada kalangan hamba-Nya yang berkeinginan untuk menerima kebenaran. Tugas pendakwah adalah terus menyebarkan seruan Ilahi tanpa perasaan putus asa.

Apa yang penting hendaklah pendakwah melaksanakan tugas mereka dengan cara yang bijaksana. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih Mengetahui orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dia juga yang lebih Mengetahui orang yang mendapat hidayah.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Pendakwah hendaklah sentiasa memikirkan apakah natijah yang akan muncul akibat daripada tindakan diambilnya ketika berdakwah. Mereka juga hendaklah jangan terlalu ghairah serta tergesa-gesa untuk membawa pihak diseru ke jalan yang benar. Dakwah hendaklah dibangunkan atas dasar ilmu berlandaskan al-Quran dan sunnah. Dakwah tanpa ilmu pasti akan menjuruskan ke arah kesesatan dan sikap ekstrim. Oleh itu, pendakwah perlu mempunyai ilmu pengetahuan. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, yang mana aku dan pengikutku menyeru manusia kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik) dan aku sama sekali tidak termasuk golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun.” (Surah Yusuf, ayat 108)

Dakwah hendaklah terbina atas dasar menyatukan umat dan memupuk perasaan saling mencintai antara umat Islam. Kita hendaklah memupuk tali persaudaraan melalui dakwah seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Pendakwah hendaklah menghindari corak dakwah yang keras sehingga pihak lain beranggapan pendakwah lebih cenderung untuk mencari kesalahan daripada memberi nasihat yang akhirnya akan memecah-belahkan umat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, mencintai kelembutan. Dia memberikan apa saja kepada orang bersifat lemah-lembut sesuatu yang tidak diberikan kepada orang yang bersifat kasar dan juga orang yang tidak bersifat begitu.” (Hadis riwayat Muslim)

Apabila segala langkah yang sepatutnya sudah diambil dalam kegiatan dakwah, serahkan kepada yang maha Esa untuk memberi hidayah kepada hamba-Nya yang terpilih kerana sesungguhnya barang siapa diberi petunjuk oleh Allah, maka dia tidak akan mendapatkan kesesatan dan barang siapa yang tersesat, maka tidak ada yang dapat memberikannya petunjuk kecuali Allah.

Tiada ulasan: