Rabu, 3 September 2008

ULASAN BUKU : Menyambut Ramadan Dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW

Assalaamu'alaikum

Alhamdulillah buku akob "Menyambut Ramadan Dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW" telah diberi ulasan dalam akhbar Utusan Malaysia tahun lepas. Berikut akob paparkan semula uslan buku tersebut.

Sekian Wassalaam

--------------------------------------------------------------------------------------

Sambutan Aidilfitri cara Rasulullah
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1015&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_08.htm&arc=hive

TENTUNYA tidak relevan lagi untuk mengulas tentang sambutan Ramadan kerana ketika ini telah pun memasuki bulan Syawal, dengan itu bermakna Aidilfitri yang disambut. Tetapi masih ada kaitannya ialah, Aidilfitri itu disambut kerana berakhirnya bulan Ramadan.

Walaupun buku ini berbicara tentang Ramadan, ia turut tidak melupakan untuk mengupas perihal Aidilfitri. Fokusnya tetap sama iaitu bagaimana cara sambutannya mengikut amalan Rasulullah.

Penulis buku ini memulakan bab mengenai Aidilfitri dengan memberi ‘rasa’ kurang senang dengan cara hari kebesaran itu disambut oleh segelintir masyarakat Islam.

Menurutnya, amat sedikit di kalangan kita semua yang benar-benar mengambil kira tatacara yang telah diajar oleh Rasulullah semasa menyambut perayaan Aidilfitri.

‘‘Bukan satu kejutan atau menghairankan jika dikatakan bahawa perayaan Aidilfitri di kalangan umat Islam dewasa ini tidak banyak bezanya dengan cara golongan kafir merayakan hari kebesaran mereka.

‘‘Bunyi persamaan itu agak keterlaluan tetapi pertimbangkan pelbagai kemungkaran yang berlaku semasa sambutan Aidilfitri. Contohnya pembaziran, pergaulan bebas, bersalaman lelaki dan wanita bukan muhrim dan sebagainya. Itu belum dikira ada sesetengah kita yang berbohong, mengumpat dan melakukan perbuatan tidak senonoh lain,’’ tulis beliau pada bab Kedatangan Aidilfitri, di halaman 118.

Di dalam bab yang sama beliau turut menyatakan betapa kebanyakan daripada kita semua lebih gemar menghabiskan masa menonton rancangan di televisyen dan bukannya ziarah-menziarahi sesama saudara.

Tambahnya, rancangan televisyen (bukan semua) penuh dengan program berunsur hedonis selain ada juga segelintir kita yang menziarah kubur pada Hari Raya, dianggap penulis sebagai upacara bidaah.

Justeru, dengan menyorot serta mencedok ayat-ayat Quran dan hadis, penulis cuba memberi panduan berhubung cara yang afdal untuk menyambut serta meraikan Aidilfitri.

Antara panduan yang terdapat di dalam buku ini termasuk amalan-amalan sunat dilakukan di Aidilfitri; hukum mengerjakan solat Aidilfitri; sifat solat Hari Raya Nabi Muhammad s.a.w.; masalah berkaitan solat Hari Raya; khutbah; hukum bergembira di Hari Raya dan mengerjakan puasa enam hari di bulan Syawal.

Tidak ketinggalan, pengertian Aidilfitri itu sendiri disertakan dan dikongsi bersama dengan pembaca semua.

Kalau kita belum jelas, makna eid daripada segi bahasa ialah sesuatu yang berlaku berulang-ulang atau hari orang berkumpul.

Muncul

Ibn al-Arabi menyebut: ‘‘Hari Raya disebut eid kerana hari itu akan sentiasa muncul pada setiap tahun dan membawa kegembiraan baru.’’

Fitri atau fitrah pula bermakna sedia kala atau bersifat asal. Maka Hari Raya Aidilfitri ialah salah satu dari hari kebesaran umat Islam yang disambut tanggal 1 Syawal setiap tahun setelah berjaya menyempurnakan ibadat sepanjang Ramadan dan kembali kepada fitrah, iaitu dibenarkan makan serta minum.’’

Dalam bab seterusnya, penulis mengupas satu persatu mengenai amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah sempena menyambut ketibaan Aidilfitri.

Antara amalan yang diajarkan itu termasuklah bertakbir, meneruskan qiamullail, mandi dan makan sebelum solat Hari Raya, memakai pakaian indah, berjalan menuju ke tempat solat, mengikuti jan berbeza ketika pergi dan pulang serta mengerjakan solat di tempat lapang.

Barangkali ada kemusykilan tentang pengucapan Selamat Hari Raya di kalangan kita semua. Dalam hal ini, penulis ada menyebut mengenai senario umat Islam di Malaysia mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin’.

Namun kata penulis, apa yang lebih bertepatan ialah mengambil teladan sunah Nabi s.a.w. sebagaimana diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, yang dinukilkan daripada Jubair Nufair katanya yang bermaksud: ‘‘Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w. bertemu di Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain iaitu ‘taqabbalullah minna waminka’ bermaksud: ‘‘Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu.’’

Sementara itu, menariknya dalam buku ini ialah penulis mengutarakan mengenai hukum bergembira di Hari Raya.

Lazimnya, bagi kita di Malaysia, kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri diterjemahkan dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul dan ziarah-menziarahi sesama umat Islam. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum Aidilfitri dimanfaatkan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan.

‘‘Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam sempena menyambut Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak.’’

Rasulullah sendiri telah membenarkan penduduk Madinah bergembira apabila munculnya Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Setiap tahun, umat Islam di seluruh negara akan membuat persiapan ‘beria-ia’, tidak kira semasa menyambut Ramadan atau Aidilfitri.

Pendek kata, golongan yang beria-ia ini sanggup mengeluarkan kos perbelanjaan yang besar sehingga melupakan apa yang diajar oleh ayat al-Quran dan hadis Nabi.

Dalam hal ini, kita sendiri mengetahui bahawa Islam tidak pernah menghalang atau melarang umatnya berbelanja, bersuka ria atau menyambut perayaan dengan kemeriahan.

Tetapi perlu diingatkan bahawa Allah s.w.t. telah menggariskan beberapa panduan dan contoh terbaik bagi hamba-hambaNya dalam menyambut kedua-dua bulan yang mulia itu.

Selain berpandukan ayat Quran dan hadis Nabi, buku tulisan Mohd. Yaakub, graduan lulusan Sains Kemanusiaan dan Ilmu Wahyu & Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini boleh dijadikan sandaran bacaan bagi menambah ilmu pengetahuan tentang cara sambutan Ramadan dan Aidilfitri seperti disyariatkan Islam.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam,

Was googling over some verses in Quran pertaining to Eid' UlFitr/ Syawal or anything related with Ramadhan.Stumbled upon your blog and I understand that most of your article related to Islamic knowledge etc. I like your writings.

I'm currently doing some research on quotes from Al-Quran or Hadith which relates to Eid ul-Fitr and Ramadhan..for greetings card. Do you know where can i get those quotes on verses in Al-Quran. It can be both in english and malay.

Thanks.

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Wa'alaikumussalaam Warahmatullah

You may buy this book of mine entitle "Menyambut Ramadan Dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW" published by Karya Bestari.

Thank You