Selasa, 18 November 2008

BUANG FANATIK MAZHAB

Ustaz Anzaruddin Ahmad


Buang fanatik mazhab

ISLAM mengiktiraf perbezaan mazhab dalam bab fikah. Ia sepatutnya membawa rahmat kepada seluruh penganut agama suci ini. Bagaimanapun, sikap fanatik mazhab terutama dalam isu berkaitan fikah membawa perpecahan yang besar di kalangan umat Islam.

Perpecahan ini pula memberi ruang yang luas kepada pihak musuh untuk mengalahkan Islam.
Allah mengingatkan kita tentang larangan berpecah belah sesama Islam menerusi firman-Nya: Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kalian semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhan kalian, maka bertakwalah kepada-Ku. (al-Mukminun: 52)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual pensyarah (Bahasa Arab) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Anzaruddin Ahmad bagi mengupas persoalan fanatik mazhab ini.
Mega: Apakah maksud fanatik atau taksub?
ANZARUDDIN: Ringkasnya, fanatik atau taksub adalah sikap melampau yang dimiliki oleh seseorang sehingga menyebabkan dia tidak mahu meraikan apa juga pendapat lain yang berbeza.

Hal ini jelas bertentangan dengan sikap toleransi (tasamuh) yang dianjurkan oleh Islam. Seseorang yang dihinggapi penyakit fanatik sentiasa mendabik dada dan merasakan hanya pendapatnya yang selari dengan Islam, pendapat orang lain bukan dari agama.

Menurut Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, sikap fanatik menjadikan seseorang itu berpegang kepada sesuatu mazhab, ideologi, pendapat bangsa atau kumpulannya secara membuta-tuli. Dia langsung tidak mahu menerima sebarang perbincangan dengan sesiapa yang berselisih pendapat dengannya.

Apakah punca taksub ini?
ANZARUDDIN: Menurut al-Syeikh Muhammad al-Ghazali antara punca utama taksub ialah niat yang salah. Wujudnya penyakit hati yang tersembunyi ini menyebabkan seseorang itu menjadi sangat keras hati. Malah sentiasa ingin menang dalam berhujah.

Penyakit taksub menjadi punca permusuhan di antara sesama Islam kerana penghidapnya cuba menyekat orang lain daripada berfikir dan beramal dengan pandangan yang berbeza. Kongkongan ini akan membantutkan perkembangan ilmu dan kebebasan beramal dalam perkara khilafiah.

Sedangkan menurut sarjana Islam, Sheikh Muhammad Rasyid Redha, orang yang menghidap penyakit taksub mazhab tidak dapat menerima bahawa khilaf itu adalah rahmat. Mereka bersikap melampau dengan mewajibkan orang lain supaya mengikut mazhab mereka sahaja. Pada masa yang sama, mereka juga mengharamkan orang lain mengikut mazhab yang lain.

Apakah pula celaan terhadap mereka yang mengadakan perbahasan ilmu untuk kemenangan diri bukannya mencari kebenaran?
ANZARUDDIN: Perbahasan atau perdebatan yang dilakukan semata-mata untuk memperlihatkan kehebatan berhujah dibimbangi akan membutakan hati sehingga menyebabkan kita tidak dapat melihat kebenaran.

Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulum al-Din mengatakan: "Ketahuilah bahawa perdebatan yang bertujuan untuk menang, membesar diri, menonjol diri, kelebihan, kemuliaan serta perhatian orang lain hanya ingin menconteng arang di muka pihak lain pada masa yang berhasrat menzahirkan kelebihan serta kebaikan diri sendiri di mata manusia merupakan punca segala keburukan akhlak di sisi Allah SWT. Penyakit ini sangat disukai oleh iblis".

Memang benar apa yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali. Penyakit ini kadang-kadang membawa kepada sikap mencari-cari kelemahan para ulama. Kita perlu menerima bahwa para ulama juga manusia biasa yang bukan maksum.

Bagaimanapun, itu bukan bermakna kita diberi keizinan membuka aib mereka dengan menjaja kesilapan- kesilapan yang mereka lakukan.

Di negara kita, isu seperti perbezaan rakaat solat tarawih dan qunut pada solat subuh masih menjadi polemik di sesetengah tempat. Apakah keutamaan akhlak dalam hal sebegini?
ANZARUDDIN: Islam tidak pernah melarang para ulama berfatwa dan mengeluarkan pandangan. Namun, Islam sentiasa mensyaratkan agar persaudaraan sesama umatnya sentiasa terpelihara. Pembuatan fatwa dan pelaksanaannya mesti sentiasa mengambil kita persoalan akhlak agar manfaat daripada produk fikah yang dikeluarkan oleh para ulama berkekalan dan mudarat daripada perpecahan dapat dielakkan.

Kita perlu sedar bahawa fikah hanyalah interpretasi para ulama terhadap al-Quran dan sunnah. Oleh itu tarafnya tidak sama dengan al-Quran dan sunnah. Disebabkan interpretasi bersifat ijtihad, maka terhasil pelbagai pendapat yang berbeza-beza.

Sheikh Islam Ibn Taimiyyah mengatakan: "Sesuatu perbuatan itu kadangkala sunat dilakukan dan adakalanya digalak untuk ditinggalkan mengikut maslahatnya berdasarkan dalil-dalil syarak.

"Seseorang Muslim kadang-kadang digalak meninggalkan sesuatu perbuatan sunnah kerana apabila ia dilakukan, maka kerosakan (mafsadah) yang timbul lebih besar daripada maslahat yang diperolehi".

Mengenai membaca qunut pada solat subuh mari kita lihat kisah yang berlaku pada zaman Atba' al-Tabien yang melibatkan al-Imam al-Syafie.

Dikhabarkan pada suatu hari, Imam al-Syafie mengimami solat subuh di sebuah masjid di Baghdad yang majoriti makmumnya adalah pengikut Imam Abu Hanifah.

Dalam solat subuh itu, Imam Syafie tidak melakukan qunut sehinggakan pengikut Imam Hanifah bertanya, "kenapa tuan tidak qunut?" Imam Syafie menjawab: "Aku menghormati penghuni kubur di situ".

Kebetulan kubur Imam Abu Hanifah tidak jauh dari masjid tersebut. Maka, demi menghormati Abu Hanifah, Imam Syafie tidak membaca qunut.

Apa yang dilakukan oleh Imam Syafie bukanlah contoh penukaran fatwa (daripada qaul qadim kepada qaul jadid) tetapi adalah aplikasi beliau terhadap kaedah fiqh yang masyhur iaitu menolak kerosakan hendaklah didahulukan daripada menarik kemaslahatan.

Maknanya, apabila bertembung antara keburukan dengan kebaikan maka wajib menolak keburukan sekalipun tindakan tersebut akan menghilangkan manfaat.

Tentang bilangan rakaat solat tarawih, mari kita hayati kisah yang berlaku pada zaman Sheikh Hasan al-Banna.

Diceritakan bahawa pada satu malam Ramadan, al-Banna masuk ke sebuah masjid ketika orang ramai sedang bertengkar mengenai jumlah rakaat tarawih. Satu kelompok mengatakan ia 11 rakaat, satu lagi cenderung kepada 23 rakaat.

Al-Banna lalu bertanya kepada kelompok yang berpegang kepada 11 rakaat, "menurut kamu apakah hukum solat tarawih?" Mereka menjawab, "sunat".

Kepada kelompok yang cenderung 23 rakaat juga diajukan soalan yang sama. Lalu mereka juga memberi jawapan yang sama iaitu sunat.

Kemudian al-Banna bertanya lagi: "Apa hukumnya bertengkar sesama umat Islam di dalam masjid?" Mereka sepakat menjawab: "Haram".

Al-Banna kemudian menyedarkan mereka, "mengapa kamu melakukan yang haram hanya kerana ingin mempertahankan yang sunnah?"

Apa yang dilakukan oleh al-Banna adalah aplikasi pemahaman beliau terhadap fiqh aulawiyat (keutamaan). Peristiwa ini membuktikan betapa al-Banna adalah seorang pendakwah merangkap pemimpin gerakan Islam yang bukan sekadar mahir tentang fiqh keutamaan tetapi juga mahir dalam menentukan pada masa bila dan di mana sesuatu fatwa itu sesuai diamalkan.
Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam untuk merungkai permasalahan ini?
ANZARUDDIN: Umat Islam mesti meninggalkan fanatisme terhadap mana-mana individu atau mazhab. Sikap sebegini hanya akan melahirkan kedegilan dalam mempertahankan kesalahan dan menolak kebenaran yang akan berakhir dengan perpecahan.

Perbezaan pendapat (ikhtilaf) dalam perkara furu' (cabang) tidak sepatutnya menjadi sebab perpecahan dalam agama lebih-lebih lagi membawa permusuhan dan kebencian.
Sikap fanatik adalah barah kepada pemikiran umat Islam. Kerananya, para pengikut mazhab yang berbeza saling bercakaran dan bertindak melampau dengan mengkafirkan antara satu sama lain.

Paling menyedihkan ialah sikap fanatik mazhab itu mengorbankan ribuan nyawa dalam kalangan umat Islam. Mereka bukannya syahid pada jalan Allah kerana mempertahankan tanah umat Islam daripada penceroboh luar tetapi sebaliknya terkorban kerana berbunuhan sesama sendiri dalam mempertahankan mazhab fiqh masing-masing.

Hidup ini terlalu mahal untuk dibayar dengan perpecahan yang terlalu singkat untuk dihabiskan dengan perdebatan yang tidak bermanfaat. Alangkah indahnya jika hidup yang mahal ini kita tebus dengan persatuan yang dilandasi semangat ukhuwah yang tinggi dan perasaan saling mencintai.

Tiada ulasan: