Rabu, 25 Jun 2008

MY SECOND BOOK - FREE FOR EVERYBODY


Assalaamu'alaikum


Alhamdulillah buku ke dua akob bertajuk SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR ADALAH SEDEKAH ALLAH yang diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa kini boleh didapai dalam bentuk e-Book di laman Web sahabat akob iaitu al-Fadhil Kapten Hafiz Firdaus di alamat berikut:


http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Jamak-dan-Qasar/Kata%20pengantar.htm


Di antara topik yang telah akob bahaskan dalam buku ini adalah seperti berikut:-



1) Pengertian jamak dan qasar
2)
Beberapa Tatacara sembahyang jamak dan qasar di Malaysia
3)
Hukum mengqasar sembahyang dalam perjalanan
4)
Jarak perjalanan yang membolehkan sembahyang diqasarkan
5)
Tempoh perjalanan yang membenarkan sembahyang diqasarkan
6)
Menjamak sembahyang bukan terhad ketika dalam perjalanan
7)
Niat yang perlu dilafazkan ketika menjamak dan mengqasarkan sembahyang
8)
Hubungkait niat dengan pembolehan menjamak dan mengqasarkan sembahyang



Sinopsis:


Di antara sifat pengasih Allah kepada para hamba-Nya ialah Dia memudahkan hukum sembahyang ketika musafir atau menghadapi kesukaran. Kemudahan ini, yang dikenali sebagai sembahyang Jamak dan Qasar, disebut oleh Rasulullah s.a.w sebagai satu sedekah dari Allah.


Akan tetapi, sayang sekali, sebahagian umat Islam telah meletak pelbagai syarat ke atas sembahyang Jamak dan Qasar sehingga akhirnya ia tidak dianggap sebagai satu kemudahan,malah menjadi satu kesukaran yang membebankan umat.



Melalui buku ini, penulis menjelaskan bahawa segala syarat-syarat tersebut sebenarnya tidak berasal daripada Allah dan Rasul-Nya. Penulis menguatkan penjelasannya ini dengan dalil-dalil daripada al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih, diikuti dengan penjelasan para ilmuan yang meneliti persoalan ini dengan mendalam.


Kami sebagai penerbit yakin bahawa melalui buku ini, sedekah Allah dalam kemudahan sembahyang Jamak dan Qasar akan dapat dinikmati semula sepenuhnya oleh para pembaca sekalian.



Oleh itu silalah melapangkan masa anda untuk membacanya.

Sekian Wassalaam

Khamis, 19 Jun 2008

SESATKAH AKIDAH IBNU TAYMIYYAH DAN MUHAMMAD 'ABDUL WAHHAB


SESATKAH AKIDAH IBNU TAYMIYYAH DAN MUHAMMAD 'ABDUL WAHHAB?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus



Semenjak kebelakangan ini wujud segelintir tokoh-tokoh agama tempatan yang memperhebatkan serangan mereka terhadap Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab rahimahumallah. Melalui seminar-seminar diseluruh tanah air, kuliyah-kuliyah agama di merata-rata masjid dan artikel-artikel di media massa golongan ini telah menabur benih-benih fitnah kononnya kedua syaikh tersebut telah menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya (Tasybih) dan menjadikan Allah berjisim dan berjasmani (Tajsim) berdasarkan Nama-Nama dan Sifat-Sifat-Nya. Hal ini amat menghairankan kita kerana tokoh-tokoh tersebut selama ini menyerukan agar jangan mudah membid’ahkan, mengkafirkan serta menyesatkan sesama umat Islam namun sikap mereka ini boleh kita ibaratkan seperti ibu ketam yang ingin mengajar anaknya supaya berjalan lurus. Ternyata ucapan menyesatkan, membid’ahkan serta mengkafirkan pengikut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab atau kelompok yang mereka labelkan sebagai Wahabi begitu mudah mereka muntahkan dari mulut-mulut mereka yang celupar itu. Melalui risalah yang ringkas ini penulis akan cuba mengupas akidah sebenar Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab berkaitan dengan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah yang Maha Sempurna serta Indah. Kemudian penulis juga akan menilai pegangan syaikh berdua tersebut dengan pegangan ke empat-empat imam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik , Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad rahimahumullah agar dapat kita melihat betapa jahilnya tuduhan yang telah dilemparkan oleh tokoh-tokoh agama tersebut.

Kaedah Yang Membelakangi Tawhid al-Asma was-Sifaat.

Tawhid al-Asma’ was-Sifaat adalah menetapkan apa-apa yang Allah dan Rasul-Nya telah tetapkan atas diri-Nya baik itu berkenaan dengan Nama-Nama mahupun Sifat-Sifat Allah dan mensucikan-Nya daripada segala 'aib dan kekurangan sebagaimana hal tersebut telah disucikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Tawhid ini dalam ertikata lain adalah untuk mengenali Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui Nama-Nama-Nya yang indah dan Sifat-Sifat-Nya yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna. Tidak ada jalan lain untuk sampai kepada pengetahuan ini melainkan melalui jalan wahyu iaitu berpandukan dari al-Qur’an dan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.

Berkaitan dengan Tawhid al-Asma’ was-Sifaat ini Syaikh Muhammad bin Sholeh al-Utsaimin rahimahullah telah berkata:

Kita mengetahui bahawa Allah telah mengkhabarkan kepada kita tentang Diri-Nya dengan Nama-Nama-Nya yang indah dan Sifat-Sifat-Nya yang Sempurna. Kita juga yakin sepenuhnya bahawa Allah-lah yang paling mengetahui segala sesuatu, paling benar perkataan-Nya dan paling baik penuturan-Nya. Oleh kerana itu, kita wajib tanpa ragu-ragu lagi menetapkan Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut bagi Allah sesuai sepertimana yang Dia khabarkan sendiri kepada kita. Begitu juga sikap penerimaan kita terhadap khabar yang disampaikan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mana baginda adalah orang yang paling tahu tentang Allah ‘Azza Wa Jalla, paling benar beritanya, paling tulus niatnya dan paling jelas penuturan serta penjelasannya. Jadi wajib kita menerima berita sahih yang datang dari baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tentang Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah ‘Azza wa Jalla. - Syaikh Muhammad bin Sholeh al-Utsaimin, al-Qowa’idul Mutsla, m.s. 83

Menurut Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab rahimahullah:

“Aku bersaksikan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sekalian mereka yang hadir bersamaku daripada para malaikat dan aku bersaksikan kamu : “Bahawa aku beri ‘itiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah, beriman dengan Allah dan para malaikat, kitab kitab-Nya, para Rasul-Nya, hari kebangkitan selepas mati serta qadar baik dan jahat”.

“Aku beriman dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala : Beriman dengan sifat yang Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyifatkan diri-Nya dengannya sepertimana yang dinyatakan dalam kitab-Nya dengannya sepertimana yang dinyatakan dalam kitab-Nya dan yang datang melalui lidah Rasul-Nya tanpa tahrif (mengubah) dan tamtsil (mengumpamakan). Bahkan aku beri ‘itiqad bahawasa sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak ada sesuatu yang serupa dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar juga Maha Melihat”.

“Aku tidak menafikan apa apa yang disifatkan bagi Diri-Nya dan aku tidak mengubah perkataan Allah daripada tempatnya dan tidak mengingkari nama-nama dan ayat-ayat-Nya. Aku tidak mengetahui kaifiat-Nya dan aku tidak membandingkan sifat-sifat Alla dengan sifat makhluk. Kerana Allah tiada yang senama bagi-Nya, tiada seumpama, tiada bandingan dan tidak dikiaskan dengan makhluk-Nya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala lebih mengetahui tentang diri-Nya dan yang selain daripada-Nya serta lebih benar dan baik perkataan-Nya”.

“Maka Allah Subhanahu wa Ta’ala menyucikan diri-Nya daripada sesuatu yang menyalahi, yang disifatkan oleh ahli takyif (menentukan cara kaifiat) dan tamtsil dan daripada sesuatu yang dinafikan oleh ahli tahrif dan ta’til (menafikan sifat)” – Di nukil dari kertas kerja karangan Syaikh Muhammad ‘Abdul Qadir al-Mandeeli bertajuk Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab dan Dakwahnya.

Dari keyakinan ini maka datanglah kaedah emas dalam memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah sebagaimana yang telah digariskan oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa:

(Hendaklah) beriman kepada apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diri-Nya di dalam kitab-Nya dan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan keimanan yang bersih dari tahrif dan ta'thil serta dari takyif dan tamtsil. - Syaikh Alawi bin Abdul Qadir as-Segaf, Mengungkap Kesempurnaan Sifat-Sifat Allah, m.s. 4

Untuk kita benar-benar dapat memahami dan mempraktikkan kaedah ini maka adalah sangat mustahak untuk mengetahui definisi tahrif, ta'thil, takyif dan tamtsil. Penjelasan terhadap definisi-definisi ini penulis rujuk kepada tulisan Sai’d bin Ali bin Wahf al-Qahtaniy dalam kitabnya Syarh al-‘Aqidah al-Wasithiyah Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah: Studi tentang ‘Aqidah Ahlussunnah wal Jamaaah.

Pertama: Tahrif

Tahrif secara bahasa (lughah) bermakna mengubah dan mengganti. Menurut pengertian syar'i ia adalah: “Mengubah lafaz Nama-Nama Allah yang Husna dan Sifat-Sifat-Nya yang Maha Tinggi, atau makna-maknanya.” Tahrif ini boleh kita bahagikan kepada dua jenis:

Pertama: Tahrif dengan cara menambah, mengurangi atau mengubah bentuk lafaz sehingga sekali gus mengubah maknanya. Seperti ucapan kaum Jahmiyah dan mereka yang terpengaruh dengan fahaman mereka, bahawa Sifat Istawa diubah kepada Istawla (menguasai), merujuk kepada ayat:

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang Menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula Yang Menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam. - al-A'raaf (7): 54

Di sini ada penambahan huruf Lam dalam Sifat Istawa’ sehingga ia diubah menjadi Istawla.

Kedua: Tetap membiarkan lafaz sebagaimana asli tetapi melakukan pengubahan terhadap maknanya. Contohnya Sifat Allah al-Yad (tangan) diubah maknanya menjadi an-Ni'mah (Nikmat) merujuk kepada ayat:

Allah berfirman: “Hai iblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kedua Tangan-Ku? - Saad (38): 7

Kedua: Ta’thil

Ta'thil secara bahasa bererti meniadakan. Menurut pengertian syar'i ia adalah: “Meniadakan Sifat-Sifat Ilahiyah dari Allah Ta'ala, mengingkari keberadaan Sifat-Sifat tersebut pada Zat-Nya, atau mengingkari sebahagian darinya.” Perbezaan antara Tahrif dan Ta'thil adalah, Tahrif merupakan penafsiran semula terhadap Sifat-Sifat Allah manakala Ta'thil merupakan penafian terhadap Sifat-Sifat Allah.

Jenis-Jenis Ta'thil

Pertama: Penolakan terhadap Allah atas kesempurnaan Sifat-Nya yang suci, dengan cara meniadakan Nama dan Sifat-Nya atau sebahagian darinya sebagaimana yang dilakukan oleh penganut fahaman Jahmiyah dan Mu'tazilah.

Kedua: Meninggalkan mu'amalah dengan-Nya, iaitu dengan cara meninggalkan ibadah kepada-Nya baik secara keseluruhan mahupun sebahagian, atau dengan cara beribadah kepada selain-Nya di samping beribadah kepada-Nya.

Ketiga: Meniadakan pencipta bagi makhluk. Contoh, orang yang menggunakan perkataan “alam semulajadi” yang bermaksud kejadian alam yang terjadi dengan sendirinya.

Jadi setiap orang yang melakukan Tahrif pasti akan melakukan Ta'thil tetapi tidak semua yang melakukan Ta'thil telah melakukan Tahrif. Barangsiapa yang mengubah atau menetapkan satu makna yang bathil dan menafikan satu makna yang benar daripada Sifat Allah, maka dia telah melakukan Tahrif dan Ta'thil sekaligus. Ada pun seorang yang menafikan Sifat Allah, maka dia telah melakukan Ta’thil tanpa Tahrif. Contohnya bagi seorang yang mengubah Sifat Istawa’ kepada Istawla, maka dia juga telah menafikan Sifat Istawa’ tersebut. Maka dia melakukan Tahrif dan Ta’thil sekali gus. Akan tetapi jika dia sekadar menolak Sifat Istawa’ tanpa mengubah lafaznya, maka dia hanyalah seorang yang melakukan Ta’thil tanpa Tahrif.

Ketiga: Takyif

Takyif bererti bertanya bagaimana. Contohnya adalah sikap bertanya bagaimana Sifat Istawa' Allah di atas Arsh, atau bagaimana bentuk al-Yad (tangan) Allah Subhanahu wa Ta’ala. Secara syar'i Takyif bermaksud: “Sikap menentukan atau mempastikan hakikat suatu Sifat dengan menetapkan tatacara, ciri-ciri dan bentuk tertentu terhadap Nama-Nama Allah atau Sifat-Sifat-Nya.” Perlu dibezakan bahawa tindakan meniadakan Takyif tidaklah bererti meniadakan makna terhadap Nama atau Sifat Allah. Peniadaan Takyif tidak bererti makna Nama dan Sifat Allah dibiarkan sehingga tidak diketahui langsung pengertiannya. Ini kerana erti Nama atau Sifat tersebut tersebut memang sedia difahami atau dimaklumi melalui kaedah Bahasa Arab. Dalam ertikata lain semua Sifat Allah menunjukkan makna yang hakiki dan pasti. Kita mengimani dan menetapkan Sifat tersebut untuk Allah seraya memahami ertinya akan tetapi kita tidak mengetahui tatacara, ciri-ciri dan bentuk Sifat tersebut. Yang wajib adalah beriman ke atasnya dan menetapkan Sifat-Sifat tersebut dengan memahami maknanya secara hakiki manakala bentuk dan keadaannya diserahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Keempat: Tamtsil

Tamtsil ertinya mengumpamakan atau memisalkan. Ia juga menghampiri erti Tasybih iaitu menyerupakan. Dari segi syar'i ia adalah: “Mengumpamakan atau menyerupakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Sifat-Sifat Zatiyah-Nya mahupun Fi'liyah-Nya sebagaimana makhluk-Nya.” Tamtsil ini pula terbahagi kepada dua:

Pertama: Menyerupakan makhluk dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Misalnya orang Nasrani yang menyerupakan Nabi Isa ‘alaihissalam dengan Allah dan orang Yahudi yang menyerupakan 'Uzair dengan Allah.

Kedua: Menyerupakan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan makhluk. Contohnya kelompok Ahlul Zahir yang menyatakan Allah mempunyai tangan sebagaimana tangan yang dimiliki oleh makhluk, memiliki penglihatan sebagaimana penglihatan makhluk serta penyerupaan-penyerupaan lain.

Secara ringkasnya kaedah ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Malik apabila ditanya tentang tatacara, ciri-ciri dan bentuk Istawa'. Jawab Imam Malik:

Istawa' itu ma'lum (diketahui maknanya), Bagaimana (kaifiat) tatacara, ciri-ciri dan bentuk majhul (tidak diketahui), mengimaninya wajib, sedangkan bertanya tentangnya (tatacara, ciri-ciri dan bentuk) adalah bid'ah.

Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah dari segi makna memang dapat kita fahami dan ketahui. Contohnya Al-Yad dalam bahasa Arab maknanya tangan maka kita tetapkan Sifat Tangan kepada Allah sebagaimana maknanya yang hakiki. Namun begitu bagaimana kaifiatnya (tatacara, ciri-ciri dan bentuk) al-Yad kita serahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan ianya diluar batasan akal untuk membayangkannya. Apabila Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang Dia memiliki Dua Tangan dalam surah Saad (38):75, kita beriman kepada firman-Nya. Tentu sekali Sifat itu sesuai dengan kebesaran-Nya, kemuliaan-Nya dan kesempurnaan-Nya dan sama sekali tidak menyerupai makhluk-Nya sebagaimana firman-Nya:

Tiada sesuatupun yang seumpama dengan (Zat-Nya, Sifat-Sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. - al-Syuura (42): 11

Ayat ini mengandungi penyucian (Tanzih) dan penafian kepada Allah daripada menyerupai makhluk-Nya, baik dalam Zat, Sifat mahupun Perbuatan-Nya. Bahagian awal ayat ini (Tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya..) merupakan bantahan terhadap kaum al-Musyabbihah dan al-Mujassimah manakala bahagian akhir ayat (Dan Dia Maha Mendengar dan Melihat) merupakan bantahan kepada kaum al-Mu'athilah (orang yang meniadakan sifat-sifat Allah).

Setelah jelas kepada kita pengertian Tahrif, Ta’thil, Takyif dan Tamtsil, maka mudahlah untuk kita berinteraksi dengan Sifat-Sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ringkasnya, kita Ahlus Sunnah beriman dan menerima Sifat-Sifat Allah tanpa Tahrif, Ta’thil, Takyif dan Tamtsil.

Pegangan Imam-Imam Mazhab Tentang Tawhid al-Asma’ was-Sifaat.

Kaedah-kaedah yang dipegang oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab ini sebenarnya merupakan kaedah yang telah disepakati oleh keempat-empat imam mazhab seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad rahimahumullah ta’ala tanpa sedikit pun perbezaan di antara mereka. Berikutnya akan penulis paparkan kata-kata mereka satu persatu sebagai bukti kesepakatan mereka dalam kaedah yang mereka gunakan untuk berinteraksi dengan Nama-Nama Allah yang Indah dan Sifat-Sifat-Nya yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna.

Imam Abu Hanifah rahimahullah

Dalam kitab al-Fiqhul-Akhbar, m.s. 66-68, berkata Imam Abu Hanifah:

Dan apa yang disebut oleh Allah Ta’ala dalam al-Qur’an daripada sebutan Wajah dan Tangan dan Diri maka ia adalah Sifat-Sifat bagi-Nya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan tidak boleh dikatakan bahawa Tangan-Nya adalah kuasa-Nya (kudrat) atau nikmat-Nya kerana padanya terdapat pembatalan sifat. Ini adalah pendapat al-Qadariyyah dan al-Mu’tazilah. Akan tetapi Tangan-Nya adalah Sifat-Nya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan Marah-Nya dan Redha-Nya adalah dua Sifat daripada Sifat-Sifat-Nya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat).

Imam Malik rahimahullah

Abu Nu’aim meriwayatkan daripada Ja’far bin Abdillah, dia berkata:

Ketika kami sedang berada di samping Malik bin Anas, datanglah seorang pemuda lalu bertanya: “Wahai Abu Abdillah, al-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih) Istawa’ di atas Arasy, bagaimanakah Istawa’ tersebut?” Mendengar pertanyaan ini, Imam Malik menjadi marah, lalu dia menundukkan muka ke bumi seraya menyandarkannya ke tongkat yang dipegangnya hingga tubuhnya bersimbah peluh.

Setelah dia mengangkat kepalanya, dia berkata: “Cara Istawa’-Nya tidak diketahui sedangkan Istawa’ telah jelas dan diketahui, beriman kepadanya adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah. Aku menyangka engkau adalah si pelaku bid’ah.” Lalu beliau menyuruh orang itu keluar. – Rujuk buku Muhammad bin Abdurrahman al-Maghrawi yang berjudul Manhaj Akidah Salaf: Akidah Imam Malik, m.s. 161-167 untuk mengetahui dengan lebih mendalam pegangan Imam Malik.

Imam al-Syafi’i rahimahullah

Berkata Imam al-Syafi’i dalam kitabnya al-Risalah m.s. 7 hingga 8:

Segala puji bagi Allah…. Dia adalah seperti yang disifatkan terhadap diri-Nya dan dia mengatasi dengan Sifat-Nya atas makhluk-Nya.

Imam al-Zahabi dalam kitabnya Siyar A’lam an-Nubala, jld. 20, m.s. 341 meriwayatkan daripada Imam al-Syafi’i:

Kita tetapkan Sifat-Sifat yang disebutkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah dan kita nafikan Tasybih (penyerupaan dengan makhluk) daripada-Nya sebagaimana Dia telah menafikannya daripada Diri-Nya.”

Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais melalui bukunya Aqidah Empat Imam Mazhab (ms. 45-49) juga telah menyebut pegangan Imam al-Syafi’i daripada sebuah manuskrip asli riwayat Abu Talib al-‘Usyari yang kini tersimpan di University of Leaden di Belanda. Berkata Abu Talib al-‘Usyari, al-Syafi’i pernah ditanya sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla dan apa-apa yang patut untuk diimani. Maka al-Syafi’i menjelaskan:

Allah Tabaraka wa Ta’ala memiliki Asma’ (nama-nama) dan Sifat-Sifat yang telah disebutkan oleh kitab-Nya (al-Qur’an) dan diberitakan oleh Nabi-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam (Hadis yang sahih). Ia tidak boleh diingkari oleh sesiapapun dari makhluk Allah Subhanahu wa Ta’ala yang telah sampai kepadanya dalil bahawa al-Qur’an turun membawa keterangan tentang hal tersebut, juga sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh perawi yang adil dan thiqah (terpercaya) yang telah jelas lagi sahih dalam menerangkan masalah ini. Maka barangsiapa yang mengingkari atau berbeza dengan semuanya itu padahal hujah (dalil dan keterangan) tersebut telah jelas baginya, bererti dia kafir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Adapun jika dia menentang kerana belum mendapat hujah dan keterangan tersebut, maka dia diampuni kerana kebodohannya kerana pengetahuan tentang semuanya itu (Sifat-Sifat Allah dan Asma-Nya) tidak dapat dijangkau oleh akal dan pemikiran.

Yang termasuk ke dalam keterangan-keterangan seperti ini adalah keterangan-keterangan Allah Subhanahu wa Ta’ala bahawa Dia Maha Mendengar dan bahawa Allah itu memiliki Tangan sesuai dengan firman-Nya:

Justeru kedua Tangan Allah terbuka. - al-Maaidah (5): 64

dan bahawa Allah memiliki Tangan Kanan, sebagaimana Dia nyatakan:

Dan langit digulung dengan Tangan Kanan-Nya. - al-Zumar (39): 67

dan bahawa Allah itu memilki Wajah, berdasarkan firman-Nya yang menetapkannya:

Dan tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali wajah Allah… - al-Qashash (28): 88

Dan kekallah wajah Tuhanmu yang mempunyai keagungan dan kemuliaan. - al-Rahmaan (55): 2

Juga bahawa Allah mempunyai Tumit (tapak kaki), sesuai dengan pernyataan Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam:

Tidaklah penuh neraka jahannam melainkan ia berkata: “Adakah lagi untuk ditambah?” sehinggalah Allah Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Memberkati dan Maha Tinggi meletakkan tapak kaki-Nya ke dalam neraka. Maka berkata neraka: “Cukup, cukup, demi Keagungan-Mu” sehinggalah sebahagian neraka dilipat (memenuhi) sebahagian yang lain. - Shahih Muslim – no: 2848 (Kitab Syurga, nikmat dan sifat ahlinya, Bab Neraka akan dimasuki oleh orang yang angkuh.......). Dalam risalah Abu Talib al-‘Usyari, hadis ini disebut secara ringkas. Di sini penulis menyebut lafaz yang penuh bagi memudahkan kefahaman pembaca.

Dan Allah Tertawa berdasarkan sabda Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam tentang orang mati fi sabilillah, yakni:

Dia akan bertemu dengan Allah Azza wa Jalla sedang Allah Tertawa kepadanya. - Setakat ini hadis dengan lafaz di atas belum ditemui. Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais dalam bukunya Itiqad al-A’immah al-Arba‘ah (Dar al-‘Ashimah, Riyadh 1992), m.s. 47, notakaki 3 menyandarkan hadis ini kepada riwayat Shahih al-Bukhari, hadis no: 2826 (Kitab Jihad) dan Shahih Muslim, hadis no: 1890 (Kitab Kepimpinan). Yang benar hadis di atas menghampiri lafaz yang terdapat dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim.

Dan bahawa Allah Turun ke langit dunia pada setiap malam berdasarkan hadis Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam tentangnya (seperti disebutkan dalam Sahih Muslim dan hadis riwayat Jamaah).

Begitu juga keterangan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itu tidak buta sebelah mata-Nya berdasarkan pernyataan Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda menyebut dajjal, baginda bersabda:

Sesungguhnya ia (Dajjal) buta sebelah matanya dan sesungguhnya Tuhanmu tidaklah buta sebelah mata-Nya. - Shahih Muslim, hadis no: 2933 (Kitab Fitnah dan isyarat-isyarat Hari Kiamat)

Dan bahawa orang-orang mukmin pasti akan melihat tuhan mereka pada hari kiamat dengan pandangan mata seperti halnya mereka melihat bulan di malam purnama, juga bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala mempunyai Jari Jemari seperti ditetapkan oleh sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam:

Tidaklah ada satu hati pun melainkan ia berada di antara Dua Jari dari Jari-Jari al-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih) - Sunan Ibnu Majah, hadis no: 199 (Muqaddimah) dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibnu Majah, hadis no: 166.

Semua sifat-sifat ini yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri bagi Diri-Nya dan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk-Nya, hakikat yang tidak dapat dijangkau oleh akal atau fikiran dan orang yang mengingkarinya kerana bodoh (tidak mengetahui keterangan-keterangan tentangnya) tidaklah kafir kecuali jika dia mengetahuinya tetapi dia tetap mengingkarinya, barulah dia kafir. Dan bila mana yang datang tersebut merupakan berita yang kedudukannya dalam pemahaman seperti sesuatu yang disaksikan dalam apa yang didengar, maka wajib baginya sebagai orang yang mendengar berita tersebut untuk mengimani dan tunduk kepada hakikat hal tersebut dan mempersaksikan atasnya seperti halnya dia melihat dan mendengar dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Namun kita tetapkan Sifat-Sifat ini dengan menafikan (meniadakan) Tasybih sebagaimana Allah telah menafikannya daripada diri-Nya dalam firman-Nya:

Tiada sesuatupun yang seumpama dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. - asy-Syuura (42): 11

Imam Ahmad rahimahullah

Berkata Musaddad bin Mursahad dalam kitabnya al-‘Aqidah li Ahmad bin Hambal, m.s. 127, aku bertanya (kepada Imam Ahmad bin Hambal) tentang hadis-hadis yang menerangkan Sifat-Sifat Allah, maka beliau menjawab: “Diterima sebagaimana ia datang dan diimani dengannya dan jangan ditolak daripadanya apa-apa jika ia adalah dengan sanad yang sahih.” - Hafiz Firdaus, Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah, m.s. 45

Sekian beberapa himpunan kata-kata daripada para imam mazhab yang empat, semoga Allah merahmati mereka semua. Terdapat banyak lagi nukilan kata-kata Imam-Imam Mazhab tersebut yang telah penulis himpunkan dalam buku penulis bertajuk “Kaedah Memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah”. Silalah rujuk buku tersebut untuk mendapatkan gambaran yang lebih mendalam tentang pandangan Imam-Imam tersebut berkaitan dengan Tawhid al-Asma’ was-Sifaat. Apa yang dapat kita simpulkan daripada kata-kata mereka di atas adalah,

Aqidah empat imam adalah sesuai dengan apa yang dituturkan al-Qur’an dan al-Sunnah serta apa yang dianut oleh para sahabat dan tabi’in yang mengikuti mereka dengan penuh ihsan. Tidak ada perbezaan dan perselisihan di antara para imam tersebut. Bahkan, alhamdulillah, mereka sepakat untuk beriman kepada Sifat-Sifat Allah...... Bahkan mereka sama sekali mengingkari golongan Jahmiyah dan Ahlul Kalam yang terpengaruh dengan filsafat Yunani dan aliran-aliran Mutakallimin. - Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais, Aqidah Empat Imam Mazhab, m.s. 4

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah berkata dalam kitabnya al-Iman:

Di antara rahmat Allah kepada para hamba-Nya adalah bahawa para imam yang mempunyai lidah kebenaran pada umat, seperti empat imam mazhab dan selain mereka, adalah bahawa mereka mengingkari (menentang) pendapat Ahlul Kalam dari kalangan Jahmiyah tentang al-Qur’an, iman dan Sifat-Sifat Allah. - Dinukil daripada buku Aqidah Empat Imam Mazhab, m.s. 4

Kesimpulan

Maka sewajarnya bagi kita untuk mencontohi aqidah keempat-empat imam mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah tersebut dalam bab tawhid al-Asma’ was-Sifaat ini. Banyak orang yang menyandarkan diri mereka kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara umum dan Mazhab al-Syafi’i secara khusus akan tetapi mereka tidak memahami penyandaran mereka, jauh sekali daripada berpegang kepadanya secara benar. Diharapkan mulai kini kita sama-sama merenung semula apa yang sepatutnya menjadi pegangan kita yang sebenar.

Di dalam al-Qur’anul-Karim terdapat banyak ayat yang menerangkan Nama dan Sifat Allah 'Azza wa Jalla. Apa yang nyata, Allah tidak pernah menyuruh kita untuk menafi (Ta’thil) atau mengubah (Tahrif) istilah mahupun makna bagi Nama-Nama dan Sifat-Sifat-Nya tersebut. Selain itu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai seorang penjelas al-Qur’an juga tidak pernah menjelaskan bahawa Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut adalah sesuatu yang perlu dinafikan (Ta’thil) atau diubah (Tahrif) istilah atau maknanya. Bahkan di dalam pelbagai hadis baginda yang sahih, baginda sendiri menetapkan Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut. Hal ini diterima dan diimani oleh para sahabat tanpa mereka terfikir untuk menafikannya (Ta’thil) atau mengubah (Tahrif) istilah dan maknanya. Semua ini berlaku bukan kerana wujud ruang kosong “kelupaan” akan tetapi kerana Nama-Nama dan Sifat-Sifat tersebut sememangnya dimaksudkan untuk difahami sebagaimana ada tanpa penafian (Ta’thil) dan pengubahan (Tahrif).

Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan generasi awal umat Islam, iaitu generasi as-Salafussoleh, tidak wujud persoalan bahawa jika diterima Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah “sebagaimana ada” akan mengakibatkan penyerupaan (Tasybih) Allah dengan makhluk ciptaan-Nya. Malah jauh sekali daripada pemikiran mereka bahawa penerimaan Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah “sebagaimana ada” bererti Allah memiliki jisim dan anggota jasmani (Tajsim). Semua ini tidak berlaku kerana mereka – generasi as-Salafussoleh – melandasi pemahaman mereka terhadap Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah bersama-sama dengan ayat yang menafikan apa jua bentuk persamaan dengan mana-mana makhluk-Nya. Ayat yang dimaksudkan adalah:

Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya. - al-Ikhlas (112):04

Dan firman-Nya:

Tiada sesuatupun yang seumpama dengan-Nya dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. - asy-Syuura (42):11

Ringkasnya, generasi as-Salafussoleh beriman kepada semua Nama dan Sifat Allah selagi mana ia dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Mereka menerima dan menetapkan semua Nama dan Sifat tersebut serta memahami maknanya tanpa membahas apa dan bagaimana bentuk dan ciri-cirinya (tanpa Takyif) kerana mereka sedia maklum berdasarkan ayat 4 surah al-Ikhlas dan ayat 11 surah asy-Syura bahawa Nama dan Sifat tersebut bebas daripada apa jua penyerupaan dengan makhluk Allah di alam ini. Mereka juga tidak berfikir apa dan bagaimana bentuk dan ciri-cirinya (juga tanpa Takyif) kerana mereka sedia maklum bahawa akal fikiran tidak sekali-kali akan dapat menemui jawapannya.

Persoalan yang mungkin bermain-main di fikiran para pembaca adalah jika Tawhid al-Asma was-Sifaat yang dipegang oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Abdul Wahhab tersebut merupakan kaedah yang benar menurut mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah, maka apakah pegangan tokoh-tokoh agama yang sedang menyibukkan diri mereka untuk menyesatkan pegangan kedua syaikh tersebut? Mari kita lihat analisis yang dilakukan ulamak-ulamak berikut:

Imam Abu Hatim al-Razi (277H) berkata:

Tanda golongan Jahmiyah adalah mereka menggelar Ahlus Sunnah dengan panggilan Musyabbihah (menyerupakan Allah dengan makhluk).

Imam al-Barbahari (329H) berkata:

Bila kamu mendengar seseorang berkata: “Orang itu adalah Musyabbih” ketahuilah dia adalah Jahmiyah.

Imam Ismail al-Shabuni (449H) berkata:

Ciri-ciri Ahlul Bid’ah sangat jelas dan ciri yang paling terang adalah sikap mereka yang secara terang-terangan memusuhi dan menghina Ahlus Sunnah dan Ahlul Athar (ahli hadis) serta memberi nama-nama yang buruk kepada mereka antaranya Hasyawai, Jahalah, Zahiriyah dan Musyabbihah. - Ketiga-tiga kata-kata di atas dinukil daripada buku Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhailli yang berjudul Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, m.s.75-76

Aliran al-Jahmiyyah berasal daripada seorang yang bernama Jahm bin Safwan (128H). Antara teori yang direka-cipta oleh aliran ini adalah menafikan Sifat-Sifat Allah, Allah berada di mana-mana, di setiap tempat dan al-Qur’an adalah makhluk. Diriwayatkan bahawa aliran al-Jahmiyyah berasal daripada Ja’d bin Dirham, daripada Aban bin Sam‘an, daripada Thaluth, anak kepada saudara perempuan Lubaid bin al-A’sham, seorang Yahudi yang telah mensihir Rasulullah pada zaman baginda. Asas-asas pemikiran aliran al-Jahmiyyah beralih ke aliran al-Mu’tazilah dan seterusnya ke aliran al-Asya‘irah dan al-Matudiriyyah dengan beberapa perubahan.

Bukan penulis bermaksud untuk menuduh tokoh-tokoh agama tersebut sebagai Ahlul Bid’ah, al-Jahmiyyah ataupun al-Mu’tazilah. Hanya sahaja penulis khuatiri pandangan mereka ini menyerupai kelompok tersebut tanpa mereka sedari akan hal tersebut. Semoga melalui risalah ini ianya akan dapat menjernihkan semula keadaan dan menyatukan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah bagi menghadapi ancaman golongan Syi’ah al-Rafidhah, Kumpulan Artikel 11, Kumpulan Jangan Ikut Tuhan (budaya Punk dan Black Metal), Golongan Islam Liberal, Golongan Anti Hadis, kelompok sekular, aliran Hedonis, Neo-Murji’ah, missionaris Kristian dan jarum-jarum zionis yang cuba untuk memporak-perandakan kesatuan umat Islam. Merekalah musuh utama umat Islam dan bukan golongan Wahabi yang sebenarnya melakukan usaha untuk memartabatkan Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam serta menentang segala bentuk pencemaran yang menggugat ketulenan Islam.

Rabu, 18 Jun 2008

BUKU-BUKU TERBARU DI PASARAN

Assalaamu'alaikum

Berikut adalah dua buku yang banyak manfaatnya karangan rakan-rakan seperjuangan akob. Pastikan kedua-dua buku di bawah menjadi koleksi peribadi anda semua. Selamat membeli dan membaca.

Sekian Wassalam





(1)
Judul: 10 Ciri al-Hafiz Cemerlang.
Penulis: Badrul Hisham bin Sulaiman.
Penerbit: Jahabersa, Johor Bahru (07-2351602)
Harga: RM20.00, 196 mukasurat.

Sinopsis:
Buku ini menerangkan ciri-ciri yang sepatutnya dimiliki oleh seorang penghafaz al-Qur’an. Ia ditulis bukan sahaja khusus untuk para pelajar tahfiz tetapi juga untuk seorang hafiz yang sudah agak “berkarat” hafalannya dan orang awam yang ingin menghafal dan mengamalkan al-Qur’an.


(2)
Judul: Isa al-Masih: Jawapan Islam Terhadap Risalah Kristian.
Penulis: Mohammad Amin Yaacob.
Penerbit: Pustaka Salam, Batu Caves (03-61869469)
Harga: RM15.00, 118 mukasurat.

Sinopsis:

Buku ini menjawab sebuah risalah yang diedarkan secara percuma oleh para pendakwah Kristian. Risalah itu kononnya menerangkan kebenaran agama Kristian berbanding Islam. Maka buku ini menjawab dakwaan tersebut, bahawa agama Kristian sebenarnya memiliki banyak kekurangan berdasarkan bukti dari sumber-sumber Kristian itu sendiri!

Isnin, 16 Jun 2008

Marah : Antara Yang Tercela Dan Terpuji


Assalaamu'alaikum
Artikel ini pernah disiarkan di Akhbar Utusan Malaysia pada tahun lepas semoga ada manfaatnya kepada semua.
Sekian Wassalaam
MARAH : ANTARA YANG TERCELA DAN TERPUJI
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Dalam kehidupan manusia sehari-harian, pasti kita akan berhadapan dengan perkara-perkara yang membangkitkan kemarahan. Kita juga sering menghubung-kaitkan marah ini sebagai satu perkara yang negatif. Ternyata Islam juga mencela sikap marah sebagaimana Firman Allah S.W.T.:

(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) - perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada "Kalimah Taqwa", sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan "kalimah Taqwa" itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. - al-Fath (48) : 26

Lihatlah bagaimana Allah S.W.T. mencela keangkuhan golongan kafirun terhadap golongan yang beriman yang mana ianya timbul akibat kemarahan mereka terhadap ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menyerang institusi keagamaan, masyarakat dan sosial mereka. Sementara itu Allah S.W.T. juga memuji sifat tenang dan tenteramk yang telah dikurniakan kepada golongan mukminin. Ternyata menerusi ayat ini sifat marah dinilai secara negatif. Namun begitu adakah Islam ingin membasmi sifat marah secara total? Sebelum itu mari kita lihat jenis-jenis manusia berkaitan dengan sifat marah.

Golongan Pertama : Tafrith yakni mereka yang lansung tidak memiliki sifat marah. Apa jua yang belaku disekelilingnya maka dia langsung tidak menunjukkan perasaan marah. Manusia jenis ini sama sekali tidak memilki sikap pembelaan terhadap kebenaran. Dia tidak terasa tersinggung apabila agamanya diinjak-injak oleh musuh-musuh Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang terkenal dengan sikap tawaduk tetap mempertahankan maruah agama dengan menentang musuh-musuhnya sekiranya perlu. Firman Allah S.W.T.:

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). - al-Fath (48) : 29
Golongan jenis ini juga apabila terjadi perlanggaran terhadap kehormatan diri mahupun ahli keluarganya maka dia akan menghadapinya dengan sikap yang penuh kebaculan dan terlalu merendah diri. Sedangkan Islam melihat perlunya sikap cemburu demi untuk melindungi kehormatan ahli keluarganya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya dia (Sa’ad) adalah seorang yang kuat cemburunya dan saya adalah lebih kuat cemburunya (berbanding dengan Sa’ad), dan Allah adalah lebih cemburu lagi daripada saya (iaitu sekiranya Dia melihat hamba-Nya melakukan perbuatan maksiat). - Hadis riwayat Imam Muslim no: 1498

Jelas di sini sifat tafrith atau langsung kehilangan sifat marah adalah tercela disisi syarak.
Golongan Kedua: Ifrath iaitu mereka yang tidak dapat mengawal perasaan marah lalu bersikap berlebih-lebihan sehingga hilanglah pengawalan akal yang waras terhadap dirinya. Golongan seperti ini akan berteriak dengan suara yang kuat serta mengeluarkan kata-kata yang kasar lagi kesat bahkan ada kalanya sehingga menyebabkan terjadinya pukul-memukul ataupun amukan yang dahsyat sehingga terjadi pertumpahan darah. Marah yang tidak dapat dikawal juga dapat membentuk perasaan dendam, benci dan dengki sehingga mendorongnya untuk melakukan pembalasan terhadap orang yang dimarahinya. Disebabkan buruknya akibat sifat marah yang melulu ini maka Rasulullah s.a.w. amat menitikberat agar perasaan itu dikawal dengan baik. Apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada baginda s.a.w, lantas baginda bersabda:

"Jangan marah."

Kemudian sahabat tersebut mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab:

"Jangan marah." - Rujuk Sahih al-Bukhari, hadis no: 6116.

Allah S.W.T juga memuji mereka yang dapat mengawal perasaan marah melalui Firman-Nya:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. - Aali ‘Imraan (3) : 133-134.

Di antara cara-cara untuk mengawal perasaan marah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. adalah:

a) Mengucapkan Ta’awudz (A’udzu billahi minasy syaithoonir rajeem - Aku berlindung kepada Allah dari Syaitan yang terkutuk). Ini adalah kerana perasaan marah itu timbul dari hasutan syaitan.
b) Diam atau tidak berbicara.
c) Jika semasa timbul perasaan marah itu seseorang itu sedang berdiri maka hendaklah dia duduk. Jika tidak reda juga maka hendaklah dia baring.
d) Berwuduk kerana air wuduk itu dapat menangkan jiwa yang sedang marah

Golongan Ketiga: I’tidal iaitu golongan yang bersikap sederhana di antara Tafrith dan Ifrath. Mereka tidak menghilangkan sikap marah secara total tetapi hanya akan marah dalam situasi yang bersesuaian, akal juga masih menguasai dirinya dan mereka sentiasa mengikuti batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Kemarahan yang tergolong dalam kategori terpuji adalah kemarahan yang timbul hanya kerana menurut perintah Allah S.W.T. dan untuk membela agama Islam serta umatnya. Oleh itu hendaklah kemarahan yang ada dalam jiwa seorang muslim itu bertindak untuk menolak gangguan orang lain terhadap kehormatan dirinya, keluarganya serta umat Islam keseluruhannya dan menghukum mereka yang ingkar kepada printah Allah S.W.T.. Firman Allah S.W.T.:

Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendaki-Nya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. - al-Tawbah (9) : 14-15

Di antara sifat Rasulullah s.a.w. adalah tidak menunjukkan kemarahan baginda lalu melakukan pembalasan hanya kerana kepentingan peribadinya, namun segala kemarahannya adalah kerana mempertahankan hukum-hukum Allah S.W.T.. Saidatina ‘Aisyah r.a telah meriwayatkan bahawa:

Dan tidaklah baginda membalas dengan hukuman untuk (membela) dirinya di dalam sesuatu sama sekali kecuali jika perkara-perakara yang diharamkan Allah dilanggar, maka baginda akan membalas dengan hukuman terhadap perkara itu kerana Allah. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 6126

Apakah yang dapat kita simpulkan tentang sifat marah ini? Sekiranya sifat marah itu hilang sama-sekali dalam jiwa seseorang maka ianya termasuk dalam perbuatan yang tercela dan menunjukkan ciri-ciri seorang insan yang lemah pegangan agamanya, penakut, lemah imannya dan kurang cintanya terhadap agama Allah. Begitu juga sifat marah yang berlebih-lebihan tanpa batasan ianya juga mengundang bahaya serta boleh menimbulkan suasana yang kacau-bilau. Oleh itu yang benar adalah sekalipun sifat marah itu perlu ada pada diri seseorang tetapi ianya sentiasa diarahkan kepada perkara yang kena pada tempatnya, dikawal oleh akal yang bijaksana dan batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Inilah sikap pertengahan yang adil lagi terpuji malah ianya merupakan ciri-ciri umat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu umat yang bersikap penuh kesederhanaan dalam semua perkara.Firman Allah S.W.T.:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. - al-Baqarah (2) : 143

Oleh itu sewajarnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamal sifat marah yang I’tidal ini. Lantaran itu di antara langkah-langkah yang perlu di ambil adalah:

a) Hendaklah kita sentiasa mengingatkan diri kita bahawa mengawal perasaan marah merupakan satu sifat yang dipuji oleh Allah S.W.T melalui sekian banyak dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebagai contohnya Allah S.W.T. berfirman:

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya. - al-Syuura (42) : 36-37

b) Perlu kita sedari bahawa sifat marah yang berlebih-lebihan merupakan sifat yang melampaui batas, hasil dari hasutan syaitan dan ianya mengundang balasan yang buruk daripada Allah S.W.T. kerana Dia tidak menyukai hamba-Nya yang melampaui batas. Firman-Nya:
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. - Hud (11) : 112

c) Kita juga perlu mengingatkan diri kita akibat buruk yang terhasil dari sifat marah yang melampau itu. Ianya bakal mengundang tindak balas dari orang yang dimarahinya itu secara keras bukan sahaja terhadap dirinya tetapi juga kepada ahli keluarganya. Orang yang pemarah juga tidak disukai orang sekelilingnya malah mungkin juga akan disisih oleh masyarakat

d) Sewajarnya kita menerapkan di dalam jiwa kita semangat untuk membela kebenaran agar kita ketahui di dalam situasi yang bagaimana kita perlu menunjukkan perasaan marah dan melakukan tindakan yang sewajarnya terutamanya terhadap musuh-musuh Allah S.W.T. Apabila Islam cuba diperkotak-katikkan oleh golongan munafik serta kafir, maka umat Islam harus bangkit untuk berjihad dan bersatu menentang mereka sekeras-kerasnya. Firman Allah S.W.T.:
Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. - al-Tahriim (66) : 9

e) Hendaklah diperhebatkan penyebaran ilmu-ilmu yang berkaitan urusan memperbaiki serta menyucikan jiwa (tazkiyatun nafs) berlandaskan al-Qur’an, al-Sunnah serta amalan para al-Salafussoleh. Hanya menerusi jiwa yang bersih sahaja seseorang itu akan dapat mengawal perasaan marahnya bersesuaian dengan kehendak syarak. Tazkiyatun Nafs adalah merupakan tugas yang utama bagi para Nabi dan Rasul termasuk junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.. Firman ALLAH S.W.T.:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. - Aali ‘Imraan (3) : 164
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesungguhnya aku hanya diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. - Hadis riwayat Ahmad, no: 8595
Justeru itu tidaklah menjadi kesalahan untuk marah sekiranya ianya tergolong dalam marah yang terpuji seperti yang telah penulis bahaskan di atas. Malah pada zaman Islam sedang diserang dari pelbagai penjuru, hilangnya sifat marah pada jiwa umat Islam akan menyebabkan kesesatan berleluasa dan hancurnya kekuatan umat. Jangan kita hanya menyesal setelah maruah agama dan bangsa telah tergadai. Bangkitlah wahai umat Islam, kita teguhkan pegangan kita terhadap agama Allah dan perhebatkan tekanan kita terhadap musuh-musuh Allah terutamanya musuh dalam selimut iaitu golongan munafik yang ingin mengganggu-gugat kita bertopengkan slogan hak asasi manusia, hak kebebasan agama serta penyatuan di antara agama-agama. Firman Allah S.W.T.:
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. - Aali ‘Imraan (3) : 19
Walaupun begitu umat Islam hanya memusuhi mereka yang memiliki niat jahat terhadap kita. Bagi mereka yang ingin hidup secara harmoni bersama umat Islam serta menghormati ajaran-ajaran yang terdapat dalam Islam maka kita diperintahkan untuk bergaul dengan mereka secara adil. Firman Allah S.W.T.:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. - al-Mumtahanah (60) : 8-9

Rabu, 11 Jun 2008

Sajak Suara Tajdid Kami

Assalaamu'alaikum
Sajak ini telah dikarang oleh guruku dan rakan seperjuanganku Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis Darus Sunnah. Sila layari http://drmaza.com/

Selasa, 10 Jun 2008

Berita Harian 10hb June : Cinta sesama ummah mampu elak perpecahan


Cinta sesama ummah mampu elak perpecahan
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Agama/20080609234539/Article/index_html


MENGHARUNGI kehidupan pada zaman serba moden, kelihatan struktur hidup bermasyarakat di kalangan umat Islam semakin goyah. Kehidupan semakin menjadi terlalu individualistik dan rata-rata insan hanya mengambil berat mengenai perkara yang boleh menggugat kebahagiaan mereka.

Maka tidak hairanlah jika kemungkaran yang berlaku secara terbuka di depan mata, ramai mengambil sikap tidak endah kerana ia tidak membabitkan diri atau keluarga mereka.

Anak yang ponteng sekolah bebas menghisap rokok di sesetengah kawasan awam kerana tiada siapa menegur mereka. Apa yang dijadikan alasan bagi sesetengah pihak untuk tidak menghalang itu ialah murid berkenaan bukan anak mereka.



Muda-mudi kita juga bebas berpakaian mencolok mata serta berkelakuan tidak senonoh secara terbuka tanpa ada yang menegah kerana mereka tidak ada hubung kait dengan diri kita. Sungguh menghairankan senario sebegini kerana Islam agama yang menggalakkan umatnya mengerjakan amal makruf dan menolak kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Ada juga di kalangan umat Islam yang tidak begitu mengenali jiran tetangga di sekeliling mereka. Interaksi antara jiran terbatas kepada sapaan kecil yang tidak begitu bererti. Susah payah diharungi jiran tetangga tidak dipedulikan.

Mungkin ada di kalangan jiran kita yang benar-benar kesempitan kewangan sehingga hidup berlapar bersama anak mereka sedangkan kita dengan penuh ketenangan dan kegembiraan menjamu makanan yang enak serta berlambak sehinggakan lebihan makanan dibuang saja.

Bagaimana hal ini boleh terjadi sedangkan Islam menekankan kepentingan menjalinkan hubungan yang baik dengan tetangga.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri." (Surah al-Nisaa', ayat 36)

Kita juga sering melihat umat Islam apabila berbeza pendapat dalam apa juga perkara, maka mereka akan berantakan sehingga terputus tali silaturahim. Keadaan ini tidak sewajarnya terjadi kerana Islam benar-benar menolak hidup berpuak yang akhirnya akan menjerumuskan umat Islam kepada lembah perpecahan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik, iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (daripada fahaman dan amalan yang terpesong itu)." (Surah al-Ruum, ayat 31-32)

Diakibatkan sikap tidak ambil peduli antara sesama umat Islam ini jugalah, maka golongan Yahudi di Israel berkemampuan menindas rakyat Palestin serta merampas tanah mereka sesuka hati sedangkan Israel pada hakikatnya dikelilingi negara Arab yang jumlah rakyatnya jauh lebih ramai daripada mereka.

Umat Islam hanya mampu melihat kezaliman rejim Zionis tanpa mampu untuk berbuat apa-apa.

Umat Islam hanya tekun bersidang dalam persidangan atau muktamar bagi mencapai pelbagai resolusi yang akhirnya sekadar menjadi ilusi. Mana semangat jihad umat Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama." (Surah al-Hajj, ayat 78)

Demikianlah beberapa contoh yang menggambarkan betapa rapuhnya kehidupan bermasyarakat di kalangan umat Islam. Keadaan ini terjadi kerana hilangnya perasaan cinta di hati umat Islam terhadap sesama mereka.

Islam melihat perasaan cinta sebagai satu aspek penting dalam menerapkan hidup bermasyarakat yang ideal. Seorang Muslim tidaklah dianggap sempurna keimanannya sehingga dia mencintai umat Islam yang lain seperti dia mencintai dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian sehingga dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) seperti dia mencintai dirinya sendiri." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Cinta di sini bermaksud kecenderungan terhadap sesuatu yang diinginkan dalam diri seperti kebaikan, kesempurnaan, keutamaan, mencapai manfaat serta menghindari bahaya. Oleh itu, umat Islam harus hidup dalam keadaan seperti pepatah Melayu menyatakan, cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya.

Jika kita inginkan segala kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain juga mencapai kebaikan itu. Jika kita berjaya menerapkan nilai cinta yang suci sebegini dalam jiwa, kita tidak akan berasa tenang apabila melihat umat Islam lain berada dalam lembah kemungkaran atau hidup sudah.

Kita pasti akan bangkit untuk mempertahankan maruah umat Islam lain yang tercalar serta menjamin seluruh umat Islam akan mencapai segala bentuk kebaikan dalam hidup seperti diinginkan diri sendiri. Kita juga akan sentiasa berusaha memperbaiki keadaan umat Islam sekeliling dan berganding bahu demi membentuk masyarakat bertamadun yang mampu mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Maaidah, ayat 2)

Justeru, janganlah kita berlengah untuk menyemaikan benih cinta di kalangan sesama umat Islam. Cintailah saudara kita di kalangan umat Islam dengan penuh ketulusan kerana sesungguhnya ia kewajipan yang dituntut syarak. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas mencintai sesama umat Islam akan dapat mencapai keimanan yang sempurna.

Isnin, 9 Jun 2008

HENDAKLAH BERSABAR KETIKA MENGHADAPI UJIAN ALLAH S.W.T.


HENDAKLAH BERSABAR KETIKA MENGHADAPI UJIAN ALLAH S.W.T.
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Setiap manusia pasti akan menghadapi liku-liku putaran hidup bagaikan roller-coaster. Adakalanya kita berada megah di atas dan adakalanya kita berduka di bawah. Kedua-duanya sebenarnya merupakan ujian bagi kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini agar dapat dikenal-pasti siapakah di antara kita yang paling berkualiti amalnya menerusi cara kita menghadapi ujian-ujian tersebut. Firman Allah S.W.T.:

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) – al-Mulk (67) : 2

Ujian daripada Allah S.W.T ini meliputi seluruh hamba-Nya yang taat mahupun yang derhaka. Malah ujian bagi hamba-hamba-Nya taat adalah lebih hebat berbanding dengan mereka yang engkar. Rasulullah s.a.w pernah di tanya:

Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian?

Baginda menjawab: Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no: 2322)

Justeru itu segala ujian daripada Allah S.W.T ini haruslah kita tempuhi dengan penuh kesabaran agar ianya dapat mendekatkan kita kepada-Nya dan menerima segala limpah rahmat-Nya. Firman Allah S.W.T.:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157

Rata-rata umat Islam di Malaysia hanya akan menyebut Innalillahi wa inna ilahirajiun apabila menerima berita kematian. Tapi menerusi ayat ini dapatlah kita fahami bahawa sekiranya kita ditimpa apa jua bentuk musibah atau mendengar orang lain didatangi bencana maka hendaklah kita mengucapkan kalimah tersebut.

Apakah itu sabar? Sabar adalah teguh dan tetap berada di atas landasan yang dikehendaki oleh agama apabila berhadapan atau menentang sesuatu pengaruh yang ditimbulkan oleh hawa nafsu baik ketika ingin mengerjakan perbuatan untuk mencari ketaatan Allah, melakukan perkara-perkara maksiat dan ketika ditimpa musibah. Manusia sentiasa berada di dalam situasi di mana pengaruh agama sentiasa berperang dengan hawa nafsu. Demi untuk menjamin hawa nafsu dapat ditewaskan maka sifat sabar itu perlu ada bagi setiap orang yang beriman. Hendaklah kita fahami bahawa ujian Allah boleh berada dalam bentuk nikmat kebaikan dan juga musibah yang berbentuk kesusahan. Firman-Nya:

Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. - al-Anbiya’ (21) : 35

Dari ayat di atas dapat kita nyatakan bahawa ujian yang perlu di hadapi oleh manusia ini terdiri dari dua bentuk.

PERTAMA: Perkara yang sesuai dengan hawa nafsu manusia seperti kekayaan, berjawatan tinggi, terkenal dan mengecapi semua nikmat dunia yang lain. Manusia ketika ingin mencapai nikmat dunia, mereka perlu untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh serta bersabar. Apabila nikmat tersebut telah dikecapi maka ujian yang datang darinya juga begitu hebat maka kesabaran memainkan peranan yang penting demi menjamin bahawa nikmat dunia yang diperolehi itu dipergunakan sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Sebagai contoh, kekayaan yang kita perolehi adakalanya menyebabkan manusia lupa daratan, menjadi angkuh dan menjauhkannya dari perintah Allah S.W.T.. Oleh itu hendaklah hawa nafsu itu diperangi menerusi sifat sabar agar kekayaan bukan sahaja akan menjadikannya insan yang beriman malah dibelanjakan hartanya itu sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Allah S.W.T. mengingatkan kita melalui firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. – al-Munaafiquun (63) : 11

KEDUA: Ujian dalam ketegori ini meliputi perkara-perkara yang tidak secocok dengan kehendak hawa nafsu manusia. Ianya boleh terjadi disebabkan perbuatan atau usaha manusia itu sendiri ataupun ianya datang di luar kawalan manusia seperti bencana yang tidak dapat dielakkan.

Ujian yang tidak selari dengan hawa nafsu kita tetapi terjadi disebabkan perbuatan manusia sendiri terbahagi kepada dua bentuk.

a) KETAATAN : Manusia memerlukan kesabaran tatkala hendak melaksanakan amalan-amalan yang berbentuk ketaatan. Ini adalah kerana ujian yang dihadapi oleh seseorang apabila hendak melaksanakan ibadah sekiranya tidak dihadapi dengan penuh kesabaran akan menyebabkan gagalnya perlaksanaan amalan tersebut. Sebagai contoh yang mudah apabila kita hendak melaksanakan solat tahajud atau subuh yang mana kita perlu menghadapi ujian malas untuk bangun awal dari tempat tidur kita. Sekiranya kita tidak sabar untuk menghadapi ujian tersebut maka akhirnya kita akan memilih tilam serta bantal yang empuk dari beribadah di atas sejadah. Firman Allah S.W.T.:

"Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepada-Nya; adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding dengan-Nya?" – Maryam (19) : 65

Segala amalan yang boleh membawa kita ke syurga dilingkari oleh perkara-perkara yang tidak disenangi oleh hawa nafsu yang perlu kita hadapi agar perlaksanaannya menjadi realiti. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang tidak disukai (oleh hawa nafsu), sedangkan neraka dikelilingi oleh syahwat. Hadis riwayat Imam Muslim (no: 2823)

b) KEMAKSIATAN: Manusia juga memerlukan kesabaran yang tegar untuk menghindarkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan maksiat baik dari segi perbuatan, perkataan dan keinginan hatinya. Maksiat itu walaupun mempunyai daya tarikan yang kuat namun ianya sebenarnya tidak sesuai dengan kehendak hawa nafsu manusia kerana pada hakikatnya ia akan membawa keburukan kepada manusia. Kita ambil contoh melakukan seks bebas. Perbuatan tersebut sememangnya dapat memuaskan nafsu syahwat manusia, namun ia sebenarnya memusnahkan sistem kekeluargaan manusia, menyebarkan penyakit berjangkit serta membawa gejala sosial yang menghancurkan generasi masa hadapan. Lantaran itu Allah S.W.T. melarang perbuatan maksiat. Firman-Nya:

Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya. - al-Nahl (16) : 90

Ujian yang datang tanpa dapat dikawal oleh manusia dalam bentuk bencana mahupun musibah yang dihadapi juga terdapat dua bentuk.

a) Musibah yang melanda namun manusia mampu menghindarinya seperti penganiayaan sesama manusia, dipulaukan oleh masyarakat, dihina oleh orang ramai melalui perbuatan dan ucapan. Sebagai contohnya ujian yang dihadapi oleh para pendakwah yang dicemuh oleh masyarakat sekelilingnya yang jahil dan musuh-musuh Allah. Dia sebenarnya boleh meneruskan dakwahnya dengan cara yang penuh hikmah dan bersabar atas ujian tersebut tanpa melakukan apa-apa balasan yang akan memburukkan lagi keadaan. Firman Allah S.W.T.:

Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik. – al-Muzzammil (73) : 10

Walaupun begitu Allah S.W.T membenarkan kita untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh pihak lain tanpa melakukannya secara berlebih-lebihan namun bersabar itu adalah jalan yang lebih baik.

Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. – al-Nahl (16) : 126

b) Musibah yang melanda manusia dan dia tidak mampu untuk menghalangnya sama sekali. Contohnya seperti kematian, kemarau berpanjangan, kecacatan, wabak penyakit, banjir besar dan bencana-bencana alam yang lain. Apabila terjadinya musibah sedemikian rupa maka hendaklah kita menghadapinya dengan keredhaan dan penuh kesabaran. Firman Allah S.W.T.:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. – al-Baqarah (2) : 155

Haruslah kita ingati bahawa musibah yang menimpa manusia itu ada hikmah yang tersembunyi. Sebagai contohnya bagi mereka yang berada dalam daerah yang dilanda wabak taun dan menghadapinya redha dan penuh kesabaran maka Allah S.W.T. akan memberinya ganjaran seperti seorang yang mati syahid.

‘Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang hal wabak taun, maka diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. bahawa wabak taun ialah satu bentuk siksa Allah yang dikirimkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi para hamba-Nya yang beriman. Maka seorang mukmin yang berada di daerah yang dijangkiti wabak itu jika sabar dan ikhlas kerana dia mengerti tidak akan terkena wabak itu kecuali kalau memang sudah ditakdirkan Allah baginya, maka Allah akan mencatat baginya sebagai ganjaran seperti pahala seorang yang mati syahid. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 3474)

Justeru itu dapatlah kita fahami bahawa semua umat manusia terdedah kepada pelbagai bentuk ujian daripada Allah S.W.T dan kenyataan ini memerlukan setiap orang menyemai sifat kesabaran yang hakiki dalam setiap gerak-geri hidupnya. Menyedari akan pentingnya sifat kesabaran ini maka Allah S.W.T. memberikan keutamaan yang besar bagi mereka yang sabar. Di antara keutaman-keutamaan tersebut adalah seperti berikut:

a) Sifat sabar menunjukkan seseorang itu memiliki keimanan yang tinggi kepada Allah S.W.T.. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sangat mengagumkan keadaan seorang mukmin sebab segala keadaan untuknya (dianggap) baik dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur maka syukur itu lebih baik baginya. Dan bila menderita kesusahan dia sabar maka kesabaran itu lebih baik baginya. - Hadis riwayat Imam Muslim (no: 2999)

b) Mereka yang sabar akan menerima ganjaran pahala yang tidak terbatas dan memudahkannya untuk menjadi ahli syurga. Firman Allah S.W.T:

Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. – al-Zumar (39) : 10

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Allah 'Azza wa Jalla telah berfirman: “Apabila saya menguji seorang hamba-Ku dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan Syurga. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 5653)

c) Mereka yang sabar sentiasa dekat dengan Allah S.W.T. dan mudah untuk menerima bantuan-Nya bagi menghadapi kehidupan yang mendatang. Firman-Nya

Sesungguhnya Allah menyertai(membantu) orang-orang yang sabar. – al-Baqarah (2) : 153

d) Kesabaran termasuk dalam kategori amalan yang sangat baik dan dituntut untuk dikerjakan. Firman Allah S.W.T.:

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). – al-Syuura (42) : 43

e) Kesabaran menunjukkan seseorang untuk memiliki kekuatan yang hakiki. Sabda Rasulullah s.a.w.

"Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari (no: 6114)

Demikanlah beberapa keutamaan sifat sabar yang sempat penulis perturunkan. Adalah harapan penulis melalui keutamaan-keutamaan yang dipaparkan ini ianya akan menjadi pencetus yang membakar semangat bagi para pembaca untuk menjadi insan yang penyabar terutamanya ketika menghadapi pelbagai ujian daripada Allah S.W.T.. Apatah lagi hidup pada zaman yang serba moden ini kita semakin terdedah dengan ujian-ujian yang semakin getir yang memerlukan kita untuk memaksimumkan penyemaian sifat kesabaran dalam jiwa kita.

Jumaat, 6 Jun 2008

Hukum meninggalkan solat


Assalaamu'alaikum


Artikel ini pernah disiarkan di akhbar Berita Harian dan Majalah i. Semoga ada manfatnya sebagai peringatan untuk diri sendiri, ahli keluarga, rakan-taulan dan seluruh umat Islam.


Sekian Wassalaam


HUKUM MENINGGALKAN SOLAT
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Ibadah solat merupakan satu bentuk ibadah yang paling utama di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ianya merupakan rukun Islam yang kedua setelah mengucap dua kalimah syahadah. Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya tentang apakah Islam, lantas baginda menjawab:

Islam itu dibangunkan atas lima perkara, Syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa di bulan Ramadhan dan haji ke rumah Allah (Baitullah). (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 8)

Tidak seperti ibadah lain, kewajipan ibadah solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam pada malam berlakunya peristiwa Isra’ Mi’raj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas radhiallahu’anh:

Pada malam Isra’ difardhukan kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam solat sebanyak lima puluh kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah), Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah. Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari) akan mendapatkan pahala sebanyak solat lima puluh kali. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi no: 197)

Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadah solat yang melebihi ibadah-ibadah lain. Ibadah solat juga merupakan tiang yang asas bagi agama Islam dan sekiranya tiang ini runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan dengan agama. Ini sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

Pangkal semua urusan agama adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncak tertingginya adalah jihad. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi no: 2541)

Beginilah tingginya martabat ibadah solat di sisi Islam. Maka tidaklah menghairankan sekiranya perkara yang mula-mula dihisab ketika di hari akhirat nanti adalah ibadah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat maka sia-sialah segala amal ibadahnya yang lain. Ini sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

Sesungguhnya yang pertama kali di hisab bagi seseorang hamba di hari kiamat dari amal-amalnya ialah solatnya, jikalau solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jikalau amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung... (Hadith riwayat Imam al-Tirmidzi no: 378)

Oleh itu seharusnya seluruh umat Islam memberi perhatian yang tinggi terhadap kesempurnaan ibadah solat ini kerana implikasi ibadah solat terhadap diri kita semua sebagaimana yang telah saya paparkan di atas adalah begitu besar. Namun sayang seribu kali sayang kerana masih ramai dari kalangan umat Islam yang melalaikan ibadah solat. Insya-Allah melalui risalah ringkas ini penulis akan cuba membentangkan tentang hukum meninggalkan solat secara sengaja tanpa uzur syar’i. Semoga risalah ini akan dapat membuka hati mereka yang selama ini mengambil sikap acuh tak acuh dalam melakukan solat untuk bertaubat dan kembali semula kepada jalan yang haq (benar).


HUKUM BAGI MEREKA YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA

Ulama’ telah berbeza pendapat tentang hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja. Kita boleh bahagikan pendapat ulama’ ini kepada dua iaitu:

a) Golongan pertama berpendapat bahawa meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya maka mereka tergolong di dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak kafir. Bagi mereka yang meninggalkan solat secara sengaja dan menolak akan kewajipannya maka mereka adalah kafir yang mengeluarkan mereka dari agama Islam. Golongan ini berpendapat bahawa semua bentuk kesalahan di atas muka bumi ini masih boleh diampunkan oleh Allah 'Azza wa Jalla kecuali dosa syirik. Ini sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. (al-Nisaa’ (4) :116)

Mereka juga berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang tidak mengsyirikkan Allah Subhanahu wa Ta'ala (termasuk mereka yang lalai dalam solat) tetap layak untuk menerima syafaat Nabi shallahu 'alaihi wasallam di hari akhirat kelak. Hanya mereka yang masih Muslim sahaja yang boleh menerima syafaat baginda tersebut. Nabi shallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Bagi setiap Nabi ada doa yang dimakbulkan Tuhan. Maka semua Nabi itu bersegera mengajukan permohonannya. Tetapi saya menyimpan doa saya itu untuk memberi syafaat kepada umatku di hari kiamat. Dan ia akan mencapai insya-Allah orang yang mati tanpa mempersekutukan Allah dengan suatupun juga. (Hadis riwayat Imam Muslim no: 199)

b) Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai baik dia mengakui kewajipan solat atau tidak, kesemua mereka ini termasuk di dalam golongan yang kafir dan terkeluar dari agama Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula. Dalil-dalil yang menyokong pendapat kedua ini adalah begitu banyak dan lebih khusus berbanding dengan dalil-dalil yang berbentuk umum yang diguna-pakai oleh golongan pertama. Ayat-ayat al-Qur’an dan Hadis-hadis Nabi shallahu 'alaihi wasallam yang sahih secara jelas menunjukkan bahawa ibadah solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelakunya gugur keimanannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) yang kamu baca dan pelajari? Bahawa di dalam Kitab itu membolehkan kamu mendapat apa sahaja yang kamu pilih? Atau adakah kamu mendapat akuan-akuan yang ditegaskan dengan sumpah dari Kami, yang tetap hingga hari kiamat, menentukan bahawa kamu dapat mencapai apa yang kamu putuskan? Bertanyalah kepada mereka: "Siapakah orangnya di antara mereka yang menjamin benarnya hukum: bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa yang didapati oleh orang Islam?" Atau adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (yang sefaham dengan mereka? Kalau ada) maka hendaklah mereka membawanya, jika betul mereka orang-orang yang benar. (Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya, Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat. (al-Qalam (68) : 35-43)

Allah Subhanahu wa Ta'ala memulakan ayat ini dengan menyanggah mereka yang menyamakan taraf hamba-hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya dengan mereka yang ingkar atau kafir. Kemudian Allah Subhanahu wa Ta'ala menggambarkan kedaan huru-hara ketika di alam akhirat dan Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya sujud menyembah-Nya. Namun bagi mereka yang dahulunya di dunia tidak bersujud (bersolat) kepada Allah secara sengaja tanpa uzur, mereka tidak mampu untuk bersujud kepada-Nya berserta orang-orang Islam yang lain. Ini menunjukkan, bahawa mereka itu termasuk golongan orang-orang kafir dan munafik yang mana ketika semua umat Islam bersujud kepada Allah 'Azza wa Jalla namun mereka enggan kerana tidak mampu. Andaikata mereka masih termasuk di kalangan orang-orang Islam tentu mereka mampu bersujud kepada-Nya di alam akhirat kelak. Beginilah hinanya mereka yang tidak mengerjakan solat ketika kehidupan mereka di dunia ini. Allah Subhanahu wa Ta'ala menghinakan mereka malah menyingkirkan mereka dari barisan orang-orang Islam.

Allah Subhanahu wa Ta'ala juga menyamakan mereka yang tidak bersolat dengan golongan Kufur Takzib iaitu mereka yang mendustakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam. Kufur Takzib ini adalah termasuk di dalam kategori Kafir Akbar iaitu satu bentuk kekafiran yang boleh menyebabkan pelakunya kekal di dalam neraka selama-lamanya. Firman-Nya:

(Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan dia tidak mengerjakan solat (yang difardhukan mengerjakannya)! Akan tetapi dia mendustakan, dan berpaling ingkar! (al-Qiyaamah (75) : 31-32)


Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Taatlah dan kerjakanlah solat", mereka enggan mengerjakannya. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (perintah-perintah Allah dan laranganNya)! (al-Mursalaat (77) : 48-49)

Mereka yang tidak bersolat bukan sahaja dianggap sebagai tidak beriman dengan perintah Allah 'Azza wa Jalla malah mereka juga adalah termasuk di kalangan golongan Kafir iba’ wal Istikbar (keengganan dan kesombongan) yang juga sebahagian dari jenis-jenis Kafir Akbar. Ini adalah kerana mereka yang sengaja meninggalkan solat bukannya tidak mengetahui akan kerfardhuannya dan azab yang bakal mereka hadapi sekiranya enggan mengerjakannya, namun mereka tetap ingkar disebabkan kesombongan yang wujud di dalam jiwa mereka. Sikap ini adalah sakan-akan dengan kelakuan Iblis ketika Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkannya untuk sujud kepada Nabi Adam ‘alaihi al-Salam. Iblis tidak menafikan ketuhanan Allah 'Azza wa Jalla namun di sebabkan kesombongannya yang menganggap dirinya lebih mulia dari Nabi Adam ‘alaihi al-Salam maka Iblis ingkar kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Hubungan antara mereka yang meninggalkan solat dengan Kafir iba’ wal Istikbar adalah sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. (al-Sajda (32) : 15)

Oleh itu bagi mereka yang enggan bersujud (bersolat) kepada Allah 'Azza wa Jalla maka keimanannya telah lenyap dan terpalitlah sifat sombong serta takbur kepada Allah 'Azza wa Jalla.

Ancaman tentang kafirnya mereka yang meninggalkan solat secara sengaja ini juga pernah disuarakan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:

Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi no: 2545)

Dan sabdanya lagi :

Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat. (Hadis riwayat Imam Muslim no: 82)

Jelas kedua hadis di atas menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan solat telah kafir atau gugur keimanannya. Di akhirat kelak mereka akan diletakkan bersama dengan Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf laknatullah yang kafir. Ini sebagaimana diperjelaskan di dalam hadis berikut ini.

Dari Nabi shallahu 'alaihi wasallam bahawa pada suatu hari baginda memperingatkan tentang solat maka baginda bersabda: “Barangsiapa yang memeliharanya (yakni solat), maka dia akan memperolehi cahaya, bukti keterangan dan kebebasan di hari kiamat. Dan bagi mereka yang tidak mengendahkannya (yakni solat), maka dia tidak akan memperolehi cahaya, bukti keterangan dan kebebasan, sedang di hari kiamat dia akan bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalf.” (Hadis riwayat Imam Ahmad no: 6288)

Apa kaitannya Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf dengan mereka yang meninggalkan solat? Kebiasaannya mereka yang meninggalkan solat terdiri dari mereka yang terlalu sibuk menguruskan harta, kerajaan, kekuasaan dan perniagaannya. Maka menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:

Maka orang yang bimbang dengan harta, dia akan senasib dengan Qarun, dan yang sibuk menguruskan kerajaan, dia akan bersama Haman dan sesiapa yang terperdaya oleh kebesaran dan urusan pemerintahan dia akan ditemankan oleh Fir’aun, sedangkan orang yang bimbang menguruskan perniagaan maka dia akan berada bersama Ubai bin Khalf. (Syaikh Sayyid Sabiq Fikih Sunnah (edisi Terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 1,ms. 198)

Tambahan lagi para sahabat radhiallahu 'anhum telah berpendapat bahawa perbuatan meninggalkan solat boleh menjerumuskan seseorang itu kepada kekafiran. Dari ‘Abdullah bin Syaqiq al-Uqaili, dia berkata:

Tidak ada satu amalanpun yang dipandang oleh para sahabat Muhammad shallahu 'alaihi wasallam bahawa meninggalkannya dapat menjatuhkan kepada kekafiran kecuali solat. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi no: 2546)

Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh juga pernah berkata: “Tidak beragama Islam bagi orang yang meninggalkan solat.” (Riwayat Imam Ibnu Syaibah dalam al-Iman: 34, dinukil dari kitab Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, (edisi Terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 322. Selepas ini buku ini akan disebut sebagai “Majmu’ Fatawa : Bab Ibadah”.)

Sekianlah perbahasan para ulama’ tentang hukum meninggalkan solat. Apa pun jua para ulama’ telah sepakat bahawa meninggalkan solat merupakan satu bentuk dosa yang besar dan diancam siksa yang amat perit oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Penulis lebih cenderung dengan pendapat golongan kedua kerana dalil-dalil yang mereka gunakan adalah lebih khusus berbanding dengan pendapat golongan yang pertama. Penulis juga tertanya-tanya adakah layak bagi mereka yang meninggalkan solat secara terus-menerus secara sengaja masih termasuk di dalam kelompok golongan yang beriman bahawa solat itu disyari’atkan? Secara logiknya tak mungkin bagi mereka yang benar-benar yakin bahawa solat lima waktu itu difardhukan oleh Allah 'Azza wa Jalla dan mereka yakin bahawa meninggalkan solat itu termasuk dosa yang besar serta diancam dengan azab yang perit tetapi di masa yang sama masih tetap melalaikannya secara terus-menerus. Menurut Ibnu Qayyim rahimahullah:

Tidak mungkin orang yang terus-menerus meninggalkannya (yakni solat) itu meyakini (beriman) akan kewajipannya. Kerana keimanan itu memerintahkannya untuk melaksanakannya. Maka jika di hatinya tidak terdetik keinginan untuk melaksanakannya tentulah tidak ada sedikitpun iman di hatinya. (Dinukil dari kitab Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa : Bab Ibadah, ms. 322)


HUKUMAN BUNUH TERHADAP MEREKA YANG TIDAK BERSOLAT

Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah:

Barangsiapa yang meninggalkan solat wajib sementara dia Muslim, maka dia harus ditanya: “Mengapa kamu tidak bersolat?” Kalau dia menjawab: “Saya terlupa.” Maka katakanlah: “Solatlah ketika engkau ketika telah ingat.” Jika dia menjawab: “Kerana saya sakit.” Maka katakanlah kepadanya: “Solatlah semampumu; berdiri, duduk atau berbaring atau dengan isyarat.” Apabila dia menjawab: “Saya mampu untuk bersolat, tetapi saya tidak solat dan saya akui solat itu wajib hukumnya.” Maka katakanlah kepadanya: “Solat itu adalah amal yang tidak boleh diwakilkan kepada yang lain. Ia wajib dikerjakan oleh kamu oleh itu bertaubatlah! Jika tidak kami akan membunuhmu.” (Dinukil dari kitab Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala, karya Dr. Muhammad A.W. al-Aqil (edisi terjemahan oleh H. Nabhani Idris, Pustaka Imam Asy-Syafi’i, Bogor, 2002) ms. 170)

Demikianlah pendapat Imam al-Syafi’i yang juga merupakan pendapat majoriti ahli fiqh seperti Imam Malik, Imam Ahmad, Ibnu Baththah, Sa’id bin Jubair, ‘Amir al-Sya’bi, Ibrahim al-Nakha’i, Abu ‘Amr al-Auza’i, Ayyub al-Sakhtiyani, ‘Abdullah bin al-Mubarak, Ishaq bin Rahawaih, ‘Abdul Malik bin Hubaib, Ibnu Qudamah dan Ibnu Hazm rahimahumullah.

Namun begitu hukuman bunuh ini hanya boleh dilaksanakan oleh penguasa Muslim yang sah di sesebuah negara melalui proses kehakiman. Beginilah seriusnya hukum terhadap mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.



KESIMPULAN

Oleh itu meninggalkan solat secara sengaja tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak bukanlah satu perkara yang enteng atau remeh. Ianya membabitkan status Islam atau Kafir, neraka atau syurga. Ketahuilah bahawa solat itu adalah wajib ‘ain dan tiada yang terkecuali darinya walaupun sebesar mana kedudukannya di dunia ini dan di mata masyarakat. Mengabaikannya bermakna anda mengundang kecelakaan yang amat buruk, maka berwaspadalah kalian semua.

Khamis, 5 Jun 2008

Dakwah Sunnah Tetap Mendatang Dan Tidak Dapat DiTahan!

Apa bila ditanyakan tentang cabaran yang dihadapi oleh gerakan sunnah di tengah-tengah masyarakat nusantara yang kuat berpegang kepada Islam Tradisional dan Mazhab Syafi'i, guruku al-Fadhil Ustaz Shofwan Badrie menyatakan:

"Kita diperintah oleh Rasulullah untuk menyampaikan kepada umat, jika masyarakat menerima, kita bertahmid kepada Allah. Dan jika umat menolak, kami mengharap kepada Allah apa yang kami lakukan itu dicatit sebagai amal soleh. Kami hanya diamanahkan untuk menyampaikan risalah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.. Diterima atau tidak, itu tidak menjadi pertimbangan yang serius. Jika kita merujuk kepada al-Qur'an pun, dakwah kebanyakan Rasul ditolak oleh umat mereka. Itu sudah menjadi sunnah Allah.

Namun melalui ta'lim, dakwah dan kelas-kelas melalui khutbah dan penulisan, kami semakin diterima ramai. Dakwah Sunnah adalah satu ombak yang terus-menerus mendatang dan tidak dapat disekat. Semakin lama semakin besar walaupun terus disekat, ditahan tetapi ia mendatang. dan saya yakin arus ini tidak dapat ditahan." - Majalah i bulan Jun 2008, An-Nidaa': Pelihara Risalah Tulen Dakwah Rasulullah s.a.w., ms.15

Dapatkan segera Majalah i bulan Jun 2008. di antara topik-topik menarik:

1) Pejuang Perubahan Akan Dikenang - Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis
2) Temuramah khas dengan Menteri Besar Perak tentang Ketuanan Melayu
3) Ulasan tentang filem Fitna Gert Wilders
4) Perkembangan Gerakan Islam di Turki
5) Keadaan Umat Islam Di Spainyol
6) Ucapan Syahadah Terbatal Mempercayai Tilikan Bomoh - Ustaz Abu Syu'aib
Dan banyak lagi artikel-artikel yang menarik!