Selasa, 31 Mac 2009

SYAIKH MUHAMMAD ‘ABDUL WAHAB DAN DAKWAHNYA PART 2


Oleh Syaikh Muhammad ‘Abdul Qadir al-Mandeeli

Masyarakat Najd sebelum Da’wah Syaikh Muhammad Abd Wahhab.

Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab telah mendapati bahawa khurafat dan I’tiqad yang rosak dan bercanggah dengan usul agama yang sahih telah berleluasa didalam negei Najd dan di kawasan kawasan sekitarnya. Masyarakat ketika itu sering berulang alik ke kubur di negeri itu untuk meminta hajat atau meminta agar mereka dilepaskan daripada kesusahan.

Umpamanya di Al Jubailah, mereka berulang alik ke kubur yazid b. Al Khattab dan merendah diri serta meminta hajat daripadanya. Peristiwa yang terlebih ganjil lagi berlagu di Negeri Al Mantahah dimana mereka bertawassul dengan “Pokok Tamar Jantan” dimana orang yang belum berkahwin akan berkata:

“Wahai bapa sekelian bapa(iaitu pokok tamar jantan), saya hendak berkahwin sebrlum cukup setahun”.

Kebanyakan masyarakat Islam ketika itu sentiasa berulang alik ke kubur kubur yang didakwanya sebagai kubur para sahabat dan para wali. Tanpa disedari meraka telah melakukan upacara ibadat yang tidak selayaknya melainkan untuk ALLAH seperti bernazar, tawaf, menyembelih, meminta tolong dan sebagainya. Mereka seolah olah tidak mengenal Allaa SWT. Apabila ditimpa musibah atau sakit, maka mereka akan menjerit jerit menangis berdoa’ dan meminta tolong di kubur kubur. Mereka juga seolah olah tidak pernah mendengar Firman ALLAH SWT :

“Berdoalah kepadaku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina dina”. (Al Mu’min : 60)

Hati mereka terikat kuat dengan kubur kubur, pokok pokok dan gua gua. Diantara factor factor yang menyebabkan hati mereka lebih gemar meminta doa kepada selain daripada ALLAH SWT dan tidak terus kepada ALLAH sepertimana yang telah disarankan oleh ayat diatas ialah:

1. Penerimaan amalan ini secara warisan daripada bapa bapa dan datuk datuk mereka tanpa meneliti kesahihan amalan tersebut.

2. Tiadanya golongan yang bangkit untuk membenteras bidaah bidaah ini dan berusaha untuk mengembalikan mereka kepada ajaran Islam yang sahih.

3. Bagi sesetengah golongan perkara ini merupakan sumber rezeki dan batu loncatan untuk mendapatkan pangkat dan kedudukan yang mereka inginkan.

4. Kejahilan mereka dengan hakikat Islam yang sebenarnya yang dibawa oleh Rasulullah SAW, sehinggakan mereka mencampur adukkan agama dengan perkara lain atau menggantikannya dengan sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

5. Pemimpin dan penguasa tidak memandang berat terhadap persoalan tersebut. Mereka hanya sibuk untuk mengumpul harta.

Justeru itu Syaikh Muhammad Abd Wahhab bangkit menentang perkara bidaah ini dengan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah. Beliau bersungguh sungguh didalam usaha berda’wah mengajak manusia kepada mengesakan ALLAH Subhanu Wata’ala didalam beribadat serta berjuang untuk menghapuskan syirik, bidaah dan kesesatan.

Aqidah Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab

Mengenai aqidah Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab adalah lebih wajar sekiranya kita meneliti dan mengamati tulisan beliau dalam sebuah kitabnya yang menjelaskan pegangan akidahnya. Berkata Syaikh R.h, “Aku bersaksikan ALLAH SWT dan sekalian mereka yang hadir bersamaku daripada para malaikat dan aku bersaksikan kamu : “Bahawa aku beri ‘itiqad Ahlu-Assinah Wal Jamaah, beriman dengan ALLAH dan para malaikat, kitab kitabNya, para RasulNya, hari kebangkitan selepas mati serta qadar baik dan jahat”.

“Aku beriman dengan ALLAH SWT: Beriman dengan sifat yang ALLAH SWT telah menyifatkan diriNya denganNya sepertimana yang dinyatakan dalam kitabNya denganNya sepertimana yang dinyatakan dalam kitabNya dan yang dating melalui lidah RasulNya tanpa tahrif (mengubah) dan tamsil (mengumpamakan). Bahkan aku beri ‘itiqad bahawasa sesungguhnya ALLAH SWT tidak ada sesuatu yang serupa denganNya dan Dia Maha Mendengar juga Maha Melihat”.

“Aku tidak menafikan apa apa yang disifatkan bagi DiriNya dan aku tidak mengubah perkataan ALLAH daripada tempatnya dan tidak mengingkari nama nama dan ayat ayatNya. Aku tidak mengetahui kaifiatNya dan aku tidak membandingkan sifat sifat ALLAH dengan sifat makhluk. Kerana ALLAH tiada yang senama bagiNya, tiada seumpama, tiada bandingan dan tidak dikiaskan dengan makhlukNya. Sesungguhnya ALLAH SWT lebih mengetahui tentang diriNya dan yang selain daripadaNya serta lebih benar dan baik perkataanNya”.

“Maka ALLAH SWT menyucikan diriNya daripada sesuatu yang menyalahi, yang disifatkan oleh ahli Takyif (menentukan cara kaifiat) dan Tamsil dan daripada sesuatu yang dinafikan oleh ahli Tahrif dan Ta’til (menafikan sifat)” Firman ALLAH SWT:

“Maha suci TUHANmu yang mempunyai keperkasaan daripada mereka katakana, dan kesejahteraan dilimpahkan ke atas pada Rasul, dan segala puji bagi ALLAH TUHAN sekelian alam”. (As Soffat: 180 – 182)

“Golongan yang berjaya (Firqah An Najiah) itu adalah pertengahan diantara Qadariyyah dan Jabariyyah di dalam bab Af’al (perbuatan) ALLAH SWT: pertengahan di antara Murjiah dan Jahmiah di dalam bab Iman dan Deen; pertengahan diantara Rafidoh dan Khawarij di dalam bab para sahabat Rasulullah SAW”.

“Aku ber’itiqad bahawa Al-Quran itu Kalamullah yang diturunkan dan bukannya makhluk. DaripadaNya ia bermula dan kepadaNya ia kembali. Sesungguhnya ALLAH SWT berkata kata dengan secara hakikat (sebenarnya) ALLAH SWT menurunkannya kepada hamba dan rasul kepercayaanNya atas jalan wahyu. Utusan ALLAH SWT di antaraNya dengan hamba hambaNya ialah nabi kita Muhammad SAW”…

Kemudian di tempat yang lain Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab menulis: “Aku beriman bahawasanya nabi kita Muhammad SAW adalah penutup para Nabi dan Rasul. Tidak sah iman seseorang sehinggalah ia beriman kepada risalahnya dan bersaksi dengan kenabiannya”.

Seafdhal-afdhal umatnya adalah Abu Bakar As Siddik, kemudian Umar Al Faruq, kemudian Uthman Zu Nurain, kemudian Ali Al Murtadha, kemudian selebihnya dari sepuluh orang (yang dijamin masuk syurga) kemudian ahli perang Badar, kemudian ahli Asy Syajarah, mereka yang menyertai baia’h Ar Ridwan, kemudian sekelian para sahabat RadhiALLAHu’anhum.

Aku mengasihi sekalian para sahabat Rasulullah SAW, sentiasa menyebut kebaikan mereka, meminta ampun untuk mereka, menahan diri daripada menyebut keburukan mereka, dan diam di dalam perkara yang diperselisihkan diantara mereka.

Aku berkeyakinan dengan kelebihan mereka, sepertimana Firman ALLAH SWT:

Maksudnya: “Dan orang orang yang dating sesudah mereka, mereka berdoa: “Ya TUHAN Kami! Beri ampunlah kami dan saudara saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu dari kami dan janganlah kau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang orang yang beriman, Ya TUHAN Kami! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Hasyr:10)

“Aku berdoa dengan keredhaan ALLAH SWT bagi ummahatulmu’minin yang bersih daripada setiap kejahatan. Aku mengakui keramat para wali, tetapi mereka tidak berhak dengan sesuatu daripada hak ALLAH SWT. Aku tidak bersaksi dengan syurga dan tidak juga neraka bagi mana mana muslimin, melainkan mereka yang telah disaksikan oleh Rasulullah SAW. Tetapi aku berharap kebaikan bagi orang yang berbuat baik dan aku takut atas orang yang berbuat kejahatan.

Aku tidak mengkafirkan seseorang Islam dengan sebab dosanya dan aku juga tidak mengeluarkanya daripada golongan Islam”.

Daripada beberapa petikan tulisan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab mengenai aqidah dai atas, jelaslah kepada kita bahawa aqidah beliau adalah Aqidah Salafu As Soleh. Ianya juga merupakan pegangan aqidah imam imam Mazhab dan imam imam Muhaddisin.

Oleh itu, untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang intipati perjuangan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab adalah wajar bagi kita mendalami hasil karya beliau. Disamping itu, melalui pembacaan dan kajian terhadap buku buku karya Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab, kita akan mendapat jawapan yang jelas terhadap fitnah fitnah yang dilemparkan ke atas beliau.

Isnin, 30 Mac 2009

SYAIKH MUHAMMAD ‘ABDUL WAHAB DAN DAKWAHNYA - PART 1

Tuan Guru Syaikh Muhammad ‘Abdul Qadir al-Mandeeli
Guru di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah

Oleh : Syaikh Muhammad 'Abdul Qadir al-Mandeeli

Pendahuluan

Meskipun ilmu pengetahuan telah tersebar luas di kalangan masyarakat Islam dan fikiran umat Islam telah terbuka, namun tidak dapat dinafikan bahawa kesamaran serta syubhat ke atas Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab r.h masih lagi bersarang di dalam fikiran sesetengah umat Islam. Mereka terkeliru dengan dusta-dusta dan fitnah-fitnah yang dilemparkan oleh orang-orang yang mempunyai tujuan tertentu ke atas Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab.

Kekaburan itu menjadi bertambah kelam apabila cerita-cerita sebenar mengenai Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab tidak sampai kepada mereka dan ketidakmampuan mereka dalam menilai sesuatu syubhat itu dengan berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Mereka dimomokkan dengan fitnah-fitnah yang menakutkan tentang Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab sedangkan beliau telah bertungkus lumus di dalam memperjuangkan Aqidah yang sahih, syariat yang sejahtera dan akhlak yang mulia dengan membersihkannya daripada perkara perkara bidaah dan kurafat yang mencarikkan kesucian Islam itu sendiri.

Keadaan mereka menjadi bertambah parah dengan sebab sikap ta’sub dan taqlid buta mereka. Lantas sikap toleransi dan berfikiran terbuka tidak wujud pada diri mereka bagi mendengar serta meneliti kebenaran perjuangan dakwah Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab. Maka terjadilah segala fitnah fitnah dan syubhat mengenai Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab itu seperti fatamorgana yang beralun alun di padang pasir tatkala panas terik sedangkan apabila dihampirinya tidak ada satu apa pun yang didapatinya.

Andaikata seseorang itu mempunyai akal yang bersih daripada syubhat syubhat tersebut serta cintakan kebenaran nescaya beliau akan mendapati bahawa tuduhan terhadap Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab itu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Oleh itu kita berharap kepada saudara saudara sekalian agar berfikiran terbuka, bebas daripada bersikap jumud dan permusuhan, sentiasa berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah di dalam meneliti perbahasan bab ini serta sentiasa mempunyai sikap ingin tahukan kebenaran.

Kertas kerja ini adalah langkah asas bagi memperkenalkan kepada masyarakat Islam tentang Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab dan dakwahnya serta sekaligus menghapuskan fitnah fitnah terhadapnya.

Di dalam kertas kerja ini juga kita akan membicarakan syubhat dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau, dimana perbahasannya adalah berkisar disekitar tiga perkara. Dengan kata lain sekiranya kita meneliti terhadap fitnah fitnah itu hanya berlengkar sekitar tiga perkara, iaitu:-

Berkenaan Tauhid Uluhiyyah dan furu’nya seperti Istighatah, berdamping kepada yang selain daripada ALLAH, nazar, sembelih, bersumpah dengan makhluk dan sebagainya. Berkenaan Tauhid al Asma’ was Sifaat. Ingkarnya terhadap bid’aah bid’aah mauled, tarikat sufiah dan adat adat yang diada adakan yang menghina agama Islam itu sendiri.


Sejarah Ringkas Syaikh Muhammad Abd Wahhab

Syaikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin At-Tamimi. Dilahirkan di ‘Uyainah yang terletak di sebelah utara Riyadh pada tahun 1115 H. (1703M) dan meninggal dunia paa tahun 1206H. Beliau membesar di bawah jagaan ayahnya yang juga merupakan seorang Qadi di ‘Uyainah.

Syaikh Mohammad Abd Wahhab telah menghafal Al-Qur’an sebelum mencapai umur sepuluh tahun. Beliau telah mempelajari fiqih Hambali, Tafsir dan Hadith daripada bapanya. Sememangnya dari sejak kecil beliau amat menggemari membaca kitab-kitab Tafsir, Hadith dan Aqidah serta lebih banyak menumpukan kepada hasil karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan Al-Hafiz Ibnu Qayyim di dalam pembacaannya.

Setelah itu beliau berangkat ke Makkah Al Mukaramah untuk menunaikan ibadah haji, kemudian terus ke Al Madinah Al Munawwarah menziarahi Masjid Nabawi, menziarahi Rasulullah SAW dan para sahabatnya RA. Seterusnya beliau mendalami ilmu agama daripada para ulama Madinah seperti Syaikh ‘Abdullah b. Ibrahim b Saif, Sheikh Ali Afandy Ad Daghastani, Syaikh Ismail Al ‘ Ajluni, Syaikh ‘Abdul Latif Al-‘Afaaqi Al Ahsaai’, Syaikh Muhammad Hayat As Sindi.

Kemudian Syaikh Muhammad Abd Wahhab pulang ke Najid dan terus ke Basrah. Beliau tinggal di sana beberapa waktu dan mendalami ilmu agamanya daripada para ulama Basrah seperti Syaikh Muhammad Al Mujmu’I dan Al ‘Allamah Malla Hamdu Al Jamili. Di dalam perjalanan pulang ke Nadj beliau telah berhenti di AL Ahsaa’ dan duduk belajar dari Syaikh Muhammad b Abd Latif As Syafi’i.

Ketika pulang ke negerinya, beliau telah melihat kemungkaran, kesyirikan dan kesesatan berleluasa di Negeri Najd, Haramain, Iraq dan lain lain tempat. Sehingga ketika beliau berada di Madinah Al Munawwarah beliau telah mendengar orang ber’istighatah ( minta tolong ) dengan Rasulullah SAW dan bukannya dengan ALLAH SWT. Lalu ia bertanya kepada Syaikh Hayat As Sindi tentang perkara tersebut, maka dengan segera Syaikh tersebut menjawab : “ Sesungguhnya celakalah mereka itu dengan apa yang mereka itu padanya dan kekarutan yang mereka kerjakan itu.”

Pada tahun 1158H, beliau telah pergi ke Dar’iah dan menjadi tetamu bagi ‘Abdul Rahman bin Suwailim dan Ahmad B Suwailim. Semasa di sana beliau telah dikunjungi oleh orang ramai untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama darinya. Kemudian beliau telah bersetuju dengan Muhammad b. Sa’ud Amir Ad Dar’iah untuk berjihad di jalan ALLAH bagi melaksanakan tuntutan “amar ma’ruf dan nahi mungkar” serta menegakkan syariat agama Islam.

Meskipun orang ramai telahpun menaruh minat serta memberi sokongan yang kuat terhadap da’wah Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab, namun tidak dapat dinafikan di sana terdapat beberapa golongan yang menentang usaha murni beliau, sehingga sesetengah orang awam telah terpengaruh dengan dakyah-dakyah golongan yang menentang usaha beliau ini disebabkan kerana:-

1. Pihak penentang beliau telah menulis surat kepada kerajaan Uthmaniyyah bagi meminta bantuan ketenteraan dan mendesak agar Kerajaan Uthmaniyyah menghalangi usaha-usaha Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab. Mereka telah menakut-nakutkan pemerintah Kerajaan Uthmaniyyah dengan dakwaan jika Kerajaan Uthmaniyyah tidak campur tangan di dalam masalah ini nescaya kehebatan kerajaan Uthmaniyyah akan hilang dari hati-hati orang Islam. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan mereka telah memburuk-burukkan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab dengan menaburkan fitnah-fitnah yang dusta, umpamanya mereka menuduh Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab telah membuat mazhab yang kelima, beliau tidak mencintai Rasulullah, tidak mengasihi para wali dan sebagainya.

2. Golongan Ulama yang hidup mereka hanya bergantung dengan dakyah-dakyah yang membesar-besarkan kubur-kubur dan qubbah-qubbah yang dihiasi dengan pelbagai corak sangat takut dan bimbang dakwah Salafiah yang dibawa oleh Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab. Lalu mereka menentang habis-habisan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab demi untuk menjaga sumber rezeki mereka.

3. Sesetengah ulama tidak dapat gambaran yang jelas dan tepat tentang Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab dan dakwahnya. Merekahanya sekadar mendengar daripada orang yang berhasad dengki dan memburuk-burukkan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab tanpa merujuk terus kepada kitab-kitab karangan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab.


Kitab-Kitab Karangan Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab.

Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab telah mengarang beberapa buah kitab bagi menegakkan ajaran Al-Qu’ran dan Al Sunnah serta sekaligus menjelaskan matlamat dakwah beliau. Di antara kitab-kitab tersebut ialah:

 KitabatTauhid
 Kasyfu asy Syubhat
 Thulatha al Usul
 Mukhtasar as Sirah an Nabawiyyah
 Al-Qawaid al Arba’
 Usul al Iman
 Kitab Mufid al Mustafid fi Kufri Tariq at Tauhid
 Syurut as Solah wa Arkaanuha
 Kitab Fadl al Islam
 Majmu’ Rasail fi at Tauhid wal Iman wa Masail al Jahiliyyah.
 Kitab at Thoharah
 Mukhtasar al Insof fi Ma’rifah ar Rajih minal Khilaf
 Nasihah al Muslimin bi Ahaadith Khatimal Mursalin
 Kitab Al Kabair
 Mukhtasar Zaadul Ma’ad
 Kitab Fadhailul Qur’an
 Istinbath minal Qur’an
 Al Hudha An Nabawi
 Majmu’ as Sawaiq
 Majmu’ al Hadith ‘ala Abwab al Fiqh
 Ahaadith al Fitan
 Mukhtasar al Bukhari
 Ar Rasail asy Syakhsyiyyah
 Ikhtisar as Syarh al Kabir
 Masail al Jahiliyyah dan sebagainya

Didalam kitab Unwan Al-Majid telah menyatakan bahawa ramai daripada pembesar pembesar ulama di zaman itu turut mendalami ilmu mereka daripada Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab. Keempat empat anak Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab juga telah menjadi ulama besar dizaman itu hasil daripada beliau. Mereka itu ialah Husain, ‘Abdullah, Ali dan Ibrahim.

Disamping itu terdapat ramai anak anak murid Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahhab yang muncul sebagai tenaga penggerak Da’wah As Salafiah di merata rata tempat. Mereka kebanyakannya telah menjadi qadhi atau mufti diseluruh pelusuk Tanah Arab. Di antara mereka itu ialah:

 Syaikh ‘Abdul Aziz b. ‘Abdullah Al Husain Al Naasiri
 Syaikh Sa’id b. Huja’i
 Syaikh Abdur Rahman b. Naami
 Syaikh Hamid b. Naasir b. Usman b. Ma’mar
 Syaikh Ahmad b. Rasyid Al Uraini
 Syaikh ‘Abdul Aziz Abu Hasan
 Syaikh ‘Abdul Aziz b. Suwailim
 Syaikh Hasan b. Aidan dan lain lain lagi.

Jumaat, 27 Mac 2009

Orang Politik! Berbaloikah Ini Semua


Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Malas rasanya hendak mengulas keserabutan politik negara kita. Saya yang berada jauh di cerok Lampeter, Wales ini pun terasa betapa serabutnya kerenah politik dalam negara. Kadang-kala rasa letih perasaan hendak membaca berita-berita negara kebelakangan ini. Semuanya tentang kekeliruan politik.

Jika ada berita yang menyejuk jiwa seperti kisah kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang berjaya dalam pelajarannya sekalipun dari keluarga miskin, tidak pula menjadi isu hangat untuk diperkatakan oleh masyarakat kita. Mungkin sekadar laporan media untuk sehari dua. Tidak enak barangkali untuk dihidang bersama rakan sebagai jamuan telinga seperti mana sedapnya mendengar cerita kekalutan politik.

Padahal pendidikan dan ilmu diperlukan secara langsung oleh setiap insan, sedangkan politik rakus dan ‘gila kuasa’ hanya untuk mereka yang dimabukkan oleh syaitan. Sehingga saya baca daripada satu sumber berita kononnya dijumpai ‘barangan bomoh’ yang diletakkan di bawah meja Perdana Menteri. Pelik bunyinya kisah-kisah politik kebelakangan ini. Apa yang patutnya rahsia, dikongsi semua. Ada yang patut dikongsi semua, menjadi rahsia.

Maka tertanya sekelian rakyat: “tangan-tangan siapakah gerangan?”. Jika saya yang berada di Lampeter United Kingdom ini iaitu satu kawasan yang dianggap ulu tetapi tenang, menghijau, dengan udaranya yang segar dan masyarakatnya yang agak mesra, pun terasa mual dan loya dengan berita-berita negara kita, apatahlagi perasaan rakyat yang prihatin yang hidup dalam negara.

Atau mungkin rakyat negara kita sudah sampai kepada satu tahap menganggap kisah-kisah kecurangan dan sensasi ahli politik adalah satu hiburan seperti mana kisah-kisah gossip artis. Padahal ada beza antara dua kelompok tersebut. Gossip artis mungkin kesannya tidak seburuk kecurangan ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa, memecah belahkan masyarakat hanya atas kepentingan, membazir masa rakyat dan menggadaikan masa depan awam.

Membaca berita ahli politik; tikam menikam sesama sendiri, benci-membenci dalam mengejar kuasa, curahan wang dan harta kerana pangkat semata, dedah mendedah keaiban masing-masing dan berbagai lagi menjadikan dada kusut dan serabut. ‘Sembang-sembang’ mereka penuh dengan sumpah seranah dan permusuhan hanya kerana kuasa.

Kawan-kawan orang politik ramai yang munafik daripada yang jujur. Pujian untuk orang politik banyak yang dusta daripada yang ikhlas. Bak kata ungkapan pantun dalam lagu: Inikah dia lakonan hidup, di pentas dunia insan berpura. Tipu dan daya mencapai maksud, budi dan harta merangkum noda.

Hairan kita dengan orang politik, apakah candu yang mereka telan sehingga mereka sanggup berada di alam yang seperti itu. Apakah yang mereka kejar untuk memperolehinya sehingga mereka sanggup meredah badai kesakitan jiwa dan perasaan yang sedemikian. Apakah mereka mengejar kuasa tanpa bahagia? Atau kuasa bersama derita? Atau biar derita asal berkuasa? Atau mereka sebenar tidak berjumpa dengan nikmat hidup bahagia? Atau mereka bak apa yang Allah firman dalam al-Quran: (maksudnya)

“Oleh itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak pinak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan itu semua dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55).

Sejarah seantero dunia meriwayatkan cerita-cerita politik itu penuh dengan riwayat sengsara dan derita. Orang yang tamakkan kuasa sebenarnya mengidap sejenis penyakit gila yang mungkin bertindak di luar dari kebiasaan insan yang normal. Dia mungkin berbohong, khianat, rasuah, menzalimi insan lain, bahkan mungkin membunuh atas kegilaan yang luar kawalan. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya, hanya kerana kuasa.

Tetapi yang pasti jika diteliti, mereka ini hilang kewarasan, kebahagiaan dan ketenteraman hidup. Jiwa mereka miskin. Bayang-bayang ketakutan atas dosa dan hilang kuasa memburu mereka setiap waktu dan penjuru. Perasaan resah apabila bersendirian tanpa pengikut, atau sendiri bermimpi ngeri bimbang hilang pengaruh. Demikianlah insan apabila Allah dan bayangan hari akhirat itu hilang dari jiwa seseorang insan.

Para pejuang kebenaran kerana Allah juga mungkin derita dan diseksa. Mungkin juga diuji dengan penderitaan fizikal dan tekanan perasaan sebagai insan. Namun, keimanan, keikhlasan dan harapan mendapat ganjaran di sisi Allah sentiasa menjadikan derita itu kecil, bahkan mungkin bertukar menjadi nikmat apabila apabila mengenang bahawa ujian dan bala itu penyebab ganjaran dan pahala serta menghapuskan dosa.

Jiwa mereka besar kerana tempat pergantungan mereka sangat agung. Ini seperti yang sering para pejuang sebutkan: “Jika aku dipenjara maka itu satu kerehatan. Jika dibuang negeri maka itu satu perlancongan dan jika aku dibunuh maka itu bererti syahid. Para pejuang kebenaran sentiasa damai kerana nampak ke mana jalan hendak dituju. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’: (maksudnya)

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ugutan, ancaman, penghinaan, kezaliman dan segala rupa kesakitan hidup dirasai oleh orang politik dan bukan politik. Namun antara perbezaan mereka yang berkerja untuk menegakkan kebenaran kerana Allah dan mereka yang berjuang untuk kepentingan tembolok sendiri adalah ketenangan jiwa dan kehalusan perasaan yang penuh syahdu dan lunak yang tidak dimiliki melainkan oleh golongan yang pertama.

Golongan pertama iaitu para pejuang kebenaran kerana Allah, tanpa mengira atas pentas apa mereka berada; dakwah, politik, ekonomi, pendidikan atau apa sahaja, akan melalui kesukaran perjuangan mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan pahala dan keampunan serta tawakal yang penuh kepadaNya. Samada kemenangan atau ketewasan; semuanya dihayati sebagai nikmat pengorbanan untuk insan kerana Tuhan.

Firman Allah Surah Ali ‘Imran 173: (maksudnya)

“Mereka yang apabila diberitahu oleh orang ramai (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa manusia berkumpul untuk memerangi kamu, maka gerunlah kamu kepada mereka”. (maka berita itu sebenarnya) menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)”.

Sebab itu dalam sejarah kuasa politik sekalipun hebat, gagal untuk menundukkan pejuang kebenaran yang ikhlas. Sekalipun tubuh dan harta para pejuang itu diseksa dan dirampas, tetapi jiwa penguasa juga yang menderita. Namun sejarah terus mencatatkan kedua kelompok itu sentiasa berterusan wujud sekalipun menghadapi berbagai rintangan.

Penegak kebenaran kerana Allah ada di setiap zaman menghadapi segala tribulasi perjuangan kerana memburu keredhaan Allah dan syurga yang dijanjikan. Sementara kelompok yang tamakkan kuasa juga wujud di setiap zaman disebabkan penyakit gila yang meresap ke dalam jiwa mereka. Mereka terbayang pada kuasalah segala keindahan dan keseronakan. Mereka lupa betapa ramai yang berkuasa itu telah hilang nikmat kebahagiaan jiwa. Sabda Nabi s.a.w:

“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Ya, politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya adalah tuntutan. Kita perlukan orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan berdasarkan wahyu Tuhan. Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan gila.

Maka ingin kita bertanya kepada mereka ini yang sengit bertarung saban hari: “Berbaloikah semua itu?”

Khamis, 26 Mac 2009

MENJAGA KETULENAN SEJARAH ISLAM


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Ramai pihak mempunyai kecenderungan untuk menerima secara bulat-bulat tentang kisah-kisah yang terkandung di dalam buku-buku sejarah Islam memandangkan subjek sejarah merupakan satu bidang yang dianggap ilmiah kerana ianya termasuk dalam sukatan pelajaran di sekolah dan institut pengajian tinggi. Namun masyarakat Islam harus sentiasa diperingatkan bahawa buku-buku sejarah sebenarnya tidak bebas dari riwayat-riwayat lemah dan palsu sama ada secara tidak sengaja atau disengajakan oleh musuh-musuh Islam. Ini adalah kerana para penulis sejarah Islam adakalanya terlalu mementingkan jalan cerita dan kesinambungannya. Syaikh Hammam Sa’id telah berkata di dalam Muqaddimah kepada Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah yang ditulis oleh Ibrahim al-`Ali: “Para ahli sejarah dan penulis sirah telah tasahul (memudah-mudahkan) di dalam periwayatan. Mereka menyebut di dalam kitab-kitab mereka khabar-khabar yang terputus sanadnya (munqati`) kerana ingin menjaga di sudut kesinambungan gambaran sejarah yang berkait dengan peristiwa-peristiwa tersebut. Sementara para ulama hadis (al-Muhaddithin) berpandukan metodologi kritis (manhaj al-Naqd) yang membezakan antara riwayat-riwayat yang sahih dengan yang selainnya, sekalipun membawa kepada terputusnya gambaran sejarah atau penerimaan episod-episod secara tidak lengkap” - Muqaddimah kepada Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah, ms. 7.

Terdapat juga kitab-kitab sejarah sekadar mengumpulkan sahaja apa-apa sahaja riwayat berkaitan sejarah Islam di dalam bukunya dengan menyertakan sanad (rantaian perawi yang meriwayatkan kisah tersebut) tanpa memisahkan cerita yang benar dan palsu. Di antara kitab yang menggunakan metode ini adalah Tarikh al-Umam wa al-Muluk yang juga dikenali sebagai Tarikh al-Tabari karya Imam al-Tabari. Imam al-Tabari pada mukadimah kitab tersebut telah berkata : “Apa yang ada di dalam kitabku ini mengenai berita yang aku sebut tentang sebahagian kisah orang-orang yang lalu, ada di antara berita tersebut yang menyebabkan pembacanya merasa benci atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat, maka hendaklah dia tahu bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang-orang yang menyampaikannya kepadaku. Adapun aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”

Syaikh Salah `Abd al-Fattah al-Khalidi ketika membahaskan manhaj sejarawan Islam terutamanya al-Tabari, beliau menjelaskan: “Para ahli sejarah Islam telah menulis himpunan riwayat yang banyak dalam penulisan mereka. Mereka mencampurkan antara yang sahih dengan yang palsu lagi dusta. Mereka tidak mengasingkan antara yang sahih dari yang sebaliknya. Mereka juga tidak mentakhrijkan riwayat-riwayat tersebut dan tidak pula menjelaskan kedudukan perawi-perawinya. Namun begitu mereka meriwayatkan riwayat-riwayat tersebut secara bersanad. Mereka menyebut rawi-rawi bagi setiap sanad. Sepertimana mereka juga menyebut bagi sesuatu kejadian itu, berbagai-bagai riwayat yang berulang-ulang, bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain. Ini bukan bererti kehendak mereka ingin berpegang, mempercayai dan menerima kandungannya, tetapi yang menjadi tujuan mereka ialah menunaikan amanah ilmu. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mencatat dan menulis setiap yang sampai kepada mereka sama ada riwayat itu benar atau dusta, betul atau salah” - Salah `Abd al-Fattah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, m.s.7, teks asal menuskrip. Dinukil daripada kertas kerja bertajuk Manhaj Ahl al-Sunnah Dalam Menilai Maklumat dan Menghukum Individu dikarang oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Oleh itu bagi mereka yang memiliki kepakaran untuk mengkaji perawi-perawi yang terdapat di dalam sanad sesuatu riwayat hendaklah dia memperjelaskan darjat kekuatan kisah tersebut agar dapat kita pisahkan kisah yang benar dan palsu.

Di antara kelompok yang begitu rancak menyebarkan riwayat-riwayat dusta adalah golongan Syi’ah al-Rafidhah bertujuan untuk mengelirukan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ada juga di antara kisah-kisah palsu itu tersebar ditengah-tengah masyarakat kita bahkan ada juga yang dimasukkan ke dalam buku-buku teks yang dirujuk oleh pihak sekolah dan institute pengajian tinggi. Di antara kisah yang kita pelajari di sekolah adalah peristiwa tahkim yang sebenarnya diriwayatkan oleh Abu Mikhnaf seorang tokoh Syi’ah yang melampau (ghuluw). Kisah ini terdapat di dalam Tarikh al-Tabari (jilid 5, ms 51). Peristiwa tahkim ini terjadi setelah peperangan di antara tentera Ali dan Mu’awiyah r.h bertujuan untuk mencari jalan damai di antara kedua-dua pihak. Abu Musa al-Ash’ari r.a mewakili pihak Ali manakala Amr bin al-As r.a mewakili pihak Mu’awiyah. Di dalam perundingan tersebut kedua pihak Ali dan Mu’awiyah dipecat dari jawatan masing-masing dan perlantikan khalifah baru diserah kepada umat Islam. Setelah mencapai persetujuan keputusan tersebut perlu dimaklumkan kepada orang ramai. Abu Musa al-Ashari sebagai wakil kepada Ali mengumumkan bahawa beliau setuju bahawa kedua-dua Ali dan Mu’wiyah dilucutkan jawatan mereka. Walaubagaimanapun Amr bin al-Ash ketika membuat pengumuman telah menyatakan bahawa Abu Musa telah bersetuju untuk memecat Ali dan beliau juga bersependapat dengannya namun beliau ingin mengekalkan Mu’awiyah kerana dia adalah wali Uthman r.a dan penuntut darahnya serta paling layak menggantikan tempatnya. Selanjutnya cerca-mencerca terjadi diantara Amr dan Abu Musa sehingga terjadi pergaduhan kecil yang kemudiannya dileraikankan oleh orang ramai. Diriwayatkan juga Ali ketika berqunut subuh telah melaknat Mu’awiyah dan Amr. Apabila Mu’awiyah mendengar tindakan itu maka dia pun melakukan tindakan yang sama terhadap Ali. Riwayat ini dijadikan senjata oleh pihak Syi’ah yang untuk menjatuhkan martabat para sahabat Nabi dengan menggambarkan betapa laknat-melaknat, menghukum fasik, melakukan kejahatan dan berdusta adalah sesuatu yang pernah berlaku di kalangan para sahabat, malah solat juga dipergunakan untuk saling laknat-melaknat di antara satu sama lain. Oleh itu tidak hairanlah sekiranya para sahabat boleh melakukan perkara yang sama terhadap Ali dan Ahlul Bait.

Khalifah Yazid pula digambarkan dalam sesetengah buku sejarah sebagai peminum arak, seorang yang suka berfoya-foya, suka mendengar muzik dan menghabiskan waktu dengan penari-penari, begitu juga beliau adalah orang terlalu rendah jiwanya sehingga suka bermain dengan monyet dan kera, terlalu mudah diterima oleh umat Islam kemudian. Ibnu Taymiyyah di dalam Majmu’ al-Fatawa telah menkhabarkan terdapat dua golongan yang melampau dalam memuja dan mencela Khalifah Yazid. Menurut Ibnu Taymiyyah pandangan yang adil adalah: “Yazid bin Muawiyah lahir pada zaman khalifah Usman ibn Affan r.a dan tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w.. Oleh itu berdasarkan kesepakatan para ilmuan, beliau bukanlah daripada kalangan generasi sahabat. Beliau juga bukanlah masyhur dari sudut keagamaannya dan kesolehannya. Beliau hanyalah seorang dari kalangan pemuda-pemudi Islam. Pada waktu yang sama, beliau tidak kafir dan tidak zindiq. Beliau memegang jawatan khalifah selepas ayahnya di atas kebencian sebahagian umat Islam dan keredhaan sebahagian yang lain. Beliau memiliki keberanian dan kemuliaan dan tidaklah beliau menampakkan perbuatan-perbuatan maksiat sebagaimana yang dihikayatkan oleh musuh-musuhnya.”

Peristiwa terbunuhnya Saidina Hussain di Karbala juga telah dicemari dengan banyak kisah-kisah palsu. Apa yang harus kita fahami bahawa riwayat-riwayat yang menyatakan Yazid sebagai pembunuh Saidina Hussain 90% daripadanya adalah daripada Abu Mikhnaf, al-Saaib al-Kalbi dan anaknya Hisyam yang merupakan penganut fahaman Syi’ah Rafidhah yang ekstrim dan telah dituduh sebagi pendusta oleh para ulama rijal (ilmu mengkaji biografi para perawi). Arahan sebenar Yazid kepada Ubaidullah bin Ziyad hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina Husain dan penduduk Kufah. Yazid telah berkata: “Saya mendapat tahu bahawa Hussain telah menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan-kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui, tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangi mu dan tulislah selalu kepada ku tentang apa yang berlaku.” – Al-Bidayah Wa al-Nihayah, jilid 8, ms. 165.

Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam bidang pemikiran politik. Mana-mana pemimpin pasti akan berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberontakan bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat tampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Namun Ubaidullah bin Ziyad telah bertindak melampaui dari arahan sebenar Yazid lantas menyerang rombongan Saidina Hussain di Karbala lalu membunuhnya. Dakwaan bahawa Yazid gembira di atas kematian Saidina Hussein dan beliau meletakkan kepala Saidina Hussein yang dipenggal di atas tombak serta diarak keliling kota Baghdad juga merupakan kisah palsu rekaan golongan Syi’ah bertujuan untuk mencemar imej Yazid dan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Yazid sebenarnya amat dukacita dengan tragedi pembunuhan Hussain. Yazid juga telah memuliakan ahli rombongan Hussain yang terselamat dalam peristiwa Karbala tersebut dan mengarahkan tenteranya untuk mengiringi mereka agar selamat kembali ke Madinah.

Penyelewengan sejarah juga dilakukan demi untuk memberi gambaran yang buruk terhadap sesetengah tokoh-tokoh gerakan dakwah hanya kerana pandangan tokoh-tokoh tersebut berlawanan dengan pegangan yang dipegang oleh mereka secara turun-temurun. Di antara tokoh dakwah yang hebat difitnah adalah Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dan Syaikh Muhammad Andul Wahhab r.h.

Ibnu Batutah umpamanya telah menyatakan bahawa ketika beliau berada di Damsyik beliau berkesempatan untuk menghadiri majlis pengajian yang dikendalikan oleh Ibnu Taymiyyah di Masjid al-Umawi. Menurut Ibnu Batutah ketika berada di atas mimbar masjid, Ibnu Taymiyyah sedang menerangkan tentang hadis nuzul

Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Shahih al-Bukhari, hadis no: 1145.

Lalu Ibnu Taymiyyah berucap: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti aku turun ini.” Ibnu Taymiyyah kemudiannya turun satu tangga demi satu tangga mimbar. Cerita ini kemudiannnya dipergunakan oleh musuh-musuh Ibnu Taymiyyah untuk menuduh beliau sebagai mujassimah (golongan yang menyerupakan Allah dengan makhluk). Riwayat ini sebenarnya dusta kerana Ibnu Batutah di dalam kitab Rehlah Ibnu Batutah telah menyebut bahawa dia telah memasuki bandar Damsyik pada tarikh 19hb Ramadan 726H sedangkan Ibnu Taymiyyah telah dipenjarakan pada tarikh 6 Sya’ban 726H dan beliau terus berada di dalam penjara tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada tarikh 20 Zulkaedah 728H. Oleh itu mustahil Ibnu Batutah telah berjumpa dengan Ibnu Taymiyyah di masjid al-Umawi.

Sejarah tentang Syaikh Muhammad Abdul Wahhab juga telah dipalsukan dengan tuduhan bahawa beliau datang membawa mazhab baru, melarang orang ramai untuk berpegang kepada sesuatu mazhab dan menyuruh orang ramai untuk melakukan ijtihad sendiri. Satu perkara yang sememangnya telah masyhur bahawa Syaikh Muhammad ‘Abdul Wahab r.h dari segi fikahnya bermazhab Hanbali. Melalui risalah-risalah tulisan tangannya sendiri beliau telah menafikan tuduhan terhadap beliau dan para pengikutnya bahawa mereka menolak kewujudan mazhab-mazhab fikah di dalam Islam dan memandangnya sebagai bid’ah. Anaknya Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdul Wahab telah memperjelaskan tentang hakikat dakwah bapanya sebagai berikut:

Bahawa mazhab kami dalam ushuluddin (tauhid) adalah mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah, dan cara pemahaman kami adalah mengikut cara ulamak salaf. Sedangkan dalam hal masalah furu’ (fikah) kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal r.h. Kami tidak pernah mengingkari (melarang) seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab yang luar dari mazhab empat seperti mazhab Rafidhah, Zaidiyah, Imamiyah dan lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil malah kami memaksa mereka supaya bertaklid kepada salah satu dari mazhab empat tersebut. Kami sama sekali tidak pernah mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwakan dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana ada nas yang jelas, baik dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya, ataupun mentakhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegangi pula oleh salah seorang imam yang empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti… - Syaikh Muhammad Basyir al-Sahsawani, Shiyanah al-Insan, ms. 473.

Demikianlah beberapa contoh peristiwa dalam sejarah Islam yang telah diselewengkan musuh-musuh Islam dan disusup masuk ke dalam buku-buku sejarah. Justeru itu pengkajian berkaitan sejarah Islam ini sepatutnya mempunyai dasar-dasar yang kukuh serta kaedah-kaedah yang tetap sehingga buku-buku tentang sejarah Islam tidak dimasuki riwayat-riwayat bohong dan bercampur kemungkaran. Justeru penelitian fakta tentang sejarah Islam sepatutnya diterapkan kaedah-kaedah ilmu Mustholatul Hadis (pengkajian sanad atau sumber riwayat) agar kita dapat menyalurkan kepada masyarakat riwayat-riwayat yang benar sahaja tentang sejarah Islam.

Jumaat, 20 Mac 2009

SYARAT-SYARAT DALAM MEMAHAMI KALIMAT TAUHID


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Misi utama bagi setiap Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT di setiap penjuru muka bumi ini adalah untuk menegakkan seruan untuk mengtauhidkan Allah SWT. Firman-Nya: “Sesungguhnya telah Kami utuskan seorang Rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Beribadahlah kepada Allah dan jauhilah taghut.” – al-Nahl (16) : 36 Menurut Imam Malik taghut adalah setiap sesuatu yang disembah selain Allah. Oleh itu adalah menjadi satu perkara yang mustahak bagi setiap umat Islam untuk memahami dengan mendalam makna kalimat tauhid yang sering dilafazkan iaitu La ilaha illallah. Kalimat ini yang juga dikenali sebagai kalimat ikhlas merupakan sebahagian dari rukun Islam yang pertama iaitu mengucap syahadah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.: “Islam itu dibangunkan atas lima perkara, Syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke rumah Allah (Baitullah) dan puasa di bulan Ramadan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Makna la ilaha illallah adalah “tiada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah S.W.T.”. Ia bukan sekadar menetapkan (ithbat) bahawa Tuhan yang berhak disembah hanyalah Allah tetapi kalimat ini juga menolak (nafi) segala bentuk peribadahan selain daripada Allah. Firman-Nya: “Demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah adalah Tuhan dan sesungguhnya apa yang mereka sembah selain daripada Allah adalah batil.” – al-Hajj (22) : 62)

Walaupun kalimat ini bukanlah merupakan sesuatu yang asing bagi seluruh umat Islam namun tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh-pengaruh amalan syirik masih menebal di dalam masyarakat ini. Kita masih melihat wujudnya kelompok yang melakukan ibadah seperti solat atau tawaf di kuburan para nabi mahupun wali Allah malah kuburan-kuburan tersebut dijadikan perantaraan dalam berdoa untuk sesuatu hajat. Ada juga yang masih mempercayai ramalan-ramalan tukang ramal dan bomoh dalam menentukan arah hidup seharian mereka. Masih wujud juga mereka yang memakai tangkal-tangkal atau mengamalkan jampi-serapah yang syirik bertujuan untuk mengubati sesuatu penyakit. Terdapat juga kelompok yang menolak hukum-hukum Allah dan mengutamakan hukum ciptaan manusia dalam mentadbir sesebuah masyarakat. Hal ini adalah kerana kalimat tauhid tersebut hanyalah sekadar lafaz dibibir dan tidak dihayati sepenuhnya ke dalam jiwa dan sanubari seseorang insan. Untuk menjadikan kalimat ini berkesan sehingga mampu membasmi pengaruh-pengaruh syirik dalam kehidupan seharian hendaklah setiap umat Islam memahami rukun-rukun serta syarat-syarat yang membelakangi kalimat tersebut.

PERTAMA : Ilmu (al-‘Ilm) atau mengetahui makna sebenar kalimat tauhid tersebut. Hendaklah setiap insan ketahui bahawa kalimat ini menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T adalah tuhan yang berhak disembah atau diibadahi. Seluruh sembahan yang lain adalah tertolak. Faktor ilmu ini amat penting sebagai syarat agar kalimat ini dapat meninggalkan kesan yang baik bagi orang yang mengucapkannya. Firman-Nya: “Maka ketahuilah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah” – Muhammad (47) : 19

Baginda juga telah bersabda: “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tahu (berilmu) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, nescaya dia akan masuk syurga.” – Hadis Riwayat Muslim

KEDUA : Yakin (al-Yaqeen) atau tidak ragu-ragu bahawa Allah S.W.T. adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Sekadar mengetahui tanpa menyakini kebenaran kalimah itu adalah tidak memadai untuk mengeluarkan seseorang dari amalan-amalan yang mencemari akidah. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.” – al-Hujuraat (40) : 15

KETIGA : Ikhlas (al-Ikhlaash) atau memurnikan segala bentuk ibadah hanya ditujukan kepada Allah S.W.T. dengan tujuan untuk mencapai keredaannya. Setiap amal ibadah itu hendaklah bebas dari sebarang unsur syirik dan riak. Firman-Nya: “Dan mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) kehidupan beragama dengan jalan yang lurus.” – al-Bayyinah (98) : 5

KEEMPAT : Jujur (al-Shiddiq) bermaksud hendaklah seseorang itu mengucapkan kalimah tauhid tersebut dengan sejujurnya. Apa yang dilafazkan melalui lidahnya hendaklah bertepatan dengan isi hatinya dan kemudiannya diterjemahkan melalui amalan sehariannya yang menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T. sahaja adalah Tuhan yang berhak disembah. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah dengan benar dari lubuk hatinya melainkan Allah haramkan dia dari api neraka.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari

KELIMA : Cinta (al-Mahabbah) kepada Allah merupakan satu bukti menunjukkan seseorang itu telah diresapi dengan fahaman tauhid yang hakiki. Hendaklah ucapan kalimah tauhid tersebut disertai dengan perasaan cinta yang mendalam kepada Allah S.W.T yang melebihi daripada cinta seseorang itu kepada makhluk-makhluk-Nya yang lain. Firman-Nya: “Di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Tetapi orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah.” – al-Baqarah (2) : 165

KEENAM : Tunduk (al-Inqiyaad) atau patuh terhadap makna kalimat tauhid ini serta segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya berlatar-belakangkan kehendak-kehendak kandungan kalimat tersebut. Sejajar dengan itu hendaklah kita hanya beribadah dan memohon pertolongan hanya kepada Allah S.W.T. serta mematuhi segala perintah-perintah-Nya. Firman-Nya : “Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedangkan dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang teguh.” – Luqman (31) : 22

KETUJUH : Menerima (al-Qabuul) segala konsep yang menaungi kalimah tauhid ini iaitu pemurniaan ibadah hanya kepada Allah S.W.T. dan menolak segala sembahan selain daripada-Nya. Segala bentuk ibadah yang ditujukan kepada selain daripada Allah S.W.T. atau dilaksanakan tidak menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh-Nya hendaklah ditolak bahkan ditentang sekeras-kerasnya. Sabda-Nya: “Sesiapa yang mengucapkan La ilaha illallah (tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah) dan mengingkari segala yang diibadahi selain Allah, maka hartanya dan darahnya diharamkan (dilindungi), sedangkan perhitungannya menjadi tanggungjawab Allah.” – Hadis riwayat Imam Muslim

Demikianlah syarat-syarat yang perlu dipatuhi agar kalimah tauhid dapat difahami dengan sebenar-benarnya dan dapat menghindari seseorang itu dari dicemari dengan unsur-unsur syirik dalam kehidupan sehariannya.

Rabu, 11 Mac 2009

TEGURAN SUCI & JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR



TAJUK : Sebuah Polemik Agama : Teguran Suci dan jujur Terhadap Mufti Johor
PENULIS : Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah @ Hamka
PENERBIT : Pustaka Dini
HARGA : RM 13.00
===========================

Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka merupakan seorang tokoh agama dan pendakwah yang terkenal serta disegani di nusantara. Beliau telah mengarang banyak kitab-kitab yang sehingga kini menjadi rujukan para pencinta ilmu yang berbahasa Melayu. Namun begitu buku beliau ini yang bertajuk TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR tidak begitu diketahui ramai tentang kewujudannya malah ada yang menganggapnya sebagai The Lost Manuscript. Buku ini beliau karang sebagai tindak balas kepada kenyataan Mufti Johor ketika itu iaitu Sohibul Samahah Sayyid Alwi al-Haddad tentang buku Ibadat Rasulullah karangan Ustaz Abu Bakar Asyaari di dalam akhbar Semenanjung bertarikh 14 Julai 1958 dengan tajuk Tiada Guna Kerana Mengelirukan Orang Ramai : Kaum Muda Menyebabkan 30 Juta Jadi Komunis. Di dalam akhbar tersebut Sohibul Samahah telah melemparkan pelbagai tuduhan yang berunsur fitnah kepada Kaum Muda yang akhirnya telah dibantah dan diberi penjelasan yang ilmiah serta hikmah oleh Hamka. Di antara tuduhan Sohibul Samahah :

1) Menyamakan Kaum Muda dengan gerakan Young Turks yang menjatuhkan Khalifah Islam dan menaikkan Kamal Attartuk di Turki

2) Kaum Muda Mengambil Fatwa daripada kumpulan Qadiani

3) Ketua Kaum Muda di Mesir bernama Abu Ziyad telah dihukum kafir

4) Menuduh Ust Hassan Bandung ketika mengarang kitab Tafsir al-Qur'an telah mengguna pakai teori Darwin dan Sigmund Freud

5) Soalan-soalan agama yg dibangkikan oleh Kaum Muda menimbulkan was-was dan telah menyebabkan 10 juta umat Islam Indonesia memeluk agama Kristian dan 30 juta lagi menganut fahaman Komunis

6) Kitab Ibadat Rasulullah itu tidak berguna dan sewajarnya dibinasakan dan lain-lain lagi.

Melihatkan tuduhan-tuduhan yang sebegini berat lagi tidak berasas maka Hamka bangkit memberi penjelasan yang tuntas menerusi risalah ini yang beliau karang hanya dalam masa lima hari. Begitulah senario semenjak zaman-berzaman yang mana Kelompok Kaum Tua dari dahulu sampai sekarang akan sentiasa menabur pelbagai bentuk fitnah demi untuk mengahalang gerakan Tajdid dari menular di Malaysia. Sohibul Samahah Sayyid Alwi al-Haddad merupakan di antara sumber rujukan utama mereka dalam isu Kaum Tua vs Kaum Muda ini dan beliau juga merupakan seorang mufti yang berwibawa serta tinggi ilmunya. Namun tiada yang maksum melainkan Rasulullah s.a.w. dan pendapat beliau di dalam akhbar Semenanjung tersebut terdapat banyak fakta-fakta yang tidak benar.

Hamka dalam risalah ini menegaskan di dalam Islam tidak ada Kaum Tua dan Kaum Muda dan kesemua jemaah umat Islam harus utamakan perpaduan dan menjadikan al-Qur'an serta as-Sunnah sebagai neraca dalam apa jua perbezaan pendapat.


Setelah 50 tahun buku ini menghilang dari pasaran buku dan kini Pustaka Dini mengedarkan semula The Lost Manuscript of Hamka ini. Saya menyeru kepada sekalian pengunjung blog Minda Akob ini untuk mendapatkan senaskah buku ini kerana ia mengandungi banyak fakta-fakta ilmiah berkaitan perbezaan pendapat di antara Kaum muda dan Kaum Tua. Walaupun buku ini dikarang pada tahun 1958 namun bahan-bahan yang ada di dalam buku tersebut masih relevan dengan senario zaman sekarang. Apatah lagi memang masih ada segelintir kelompok-kelompok manusia yang sering memutarkan lagu-lagu lama yang telah lapuk ditelan zaman pada zaman sekarang yang serba canggih.

Selasa, 10 Mac 2009

Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan
Oleh : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
SUMBER : http://drmaza.com/home/?p=567

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

Mawlid Bukan Sekadar Perarakan

Maulid al-Rasul : Bukan Sekadar Perarakan
Oleh: Abd Razak Muthalib
http://abdulrazak.com/ver1/

Setiap kali tibanya Rabi’ al-awal, pastinya peristiwa agung kelahiran Muhammad saw akan menjadi ingatan di hati seorang mukmin. Peristiwa ini merupakan noktah permulaan dalam sejarah Islam. Di sinilah bermulanya sinar cahaya Islam yang memadam api-api jahiliyyah dan ianya terus bersinar menyinari seluruh alam hingga ke hari ini. Risalah yang dibawa oleh insan mulia ini merupakan risalah terakhir yang hanyasanya diakui dan dijamin oleh Allah swt akan kebenarannya. Maka beruntunglah sesiapa yang memilih untuk berada di bawah naungan cahayanya. Firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya hanyasanya agama yang benar di sisi Allah adalah Islam” (Ali Imran: 19).

Tidak dapat dinafikan bahawa nikmat Islam yang dikecapi sekarang ini adalah hasil perjuangan gigih yang penuh cabaran dan ujian yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw dan generasi terdahulu. Jasa besar oleh insan mulia ini tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja. Apatah lagi oleh mereka yang mengaku sebagai umat Muhammad saw. Maka pelbagai cara dilakukan dan diamalkan dalam usaha untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw, terutamanya bersempena dengan bulan kelahiran Baginda ini. Tanggal 12 Rabi’ al-awal, pelbagai sambutan dan perayaan diadakan demi mengingati kembali tarikh kelahiran Nabi Muhammad saw. Di sesetengah dunia Islam, pada tanggal ini diadakan majlis secara besar-besaran, walau pun terdapat percanggahan pendapat di kalangan ulamak tentang tarikh yang tepat kelahiran Rasulullah saw. Yang mashur dan tersebar dikalangan umat Islam ialah pada 12 Rabi’ al-awal. Pendapat lain menyatakan bahawa tarikh yang tepat bagi kelahiran Rasulullah saw ialah pada 9 Rabi’ al-awal tahun gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi. (Lihat: al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (al-Mansurah: Dar al-wafa’, cet. 2, 2000), hal. 71).

Namun begitu, perbezaan tarikh ini bukanlah menjadi persoalan utama. Apa yang penting ialah masing-masing telah berusaha untuk menunjukkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw dan ianya diterjemahkan dengan cara mengadakan sambutan ini. Masing-masing melakukannya tidak dengan tujuan lain kecuali untuk tujuan kebaikan dan mendapat balasan daripada Allah swt.

Sesungguhnya tidak diragukan lagi bahawa perasaan kasih dan sayang kepada junjungan mulia Muhammad saw wujud di dalam sanubari setiap individu Muslim yang sempurna imannya. Namun, adakah ianya sama dengan perasaan kasih dan sayang seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat baginda? Tidak syak lagi, para sahabat r.a adalah golongan yang paling mencintai dan menyayangi baginda s.a.w. Kecintaan dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah s.a.w telah dibuktikan. Mereka sangggup berkorban apa sahaja demi mentaati Rasulullah. Senang dan duka dikongsi bersama. Dugaan dan rintangan diharungi semua. Harta benda menjadi infaq utama. Hatta nyawa menjadi galang gantinya, asalkan risalahnya dijaga dan terpelihara. Golongan inilah yang telah diberi pengiktirafan oleh Rasulullah s.a.w sebagai golongan yang terbaik. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:”Sebaik-baik manusia adalah yang berada di kurunku (para sahabat), kemudian yang menyusuli mereka (para tabiin), kemudian yang menyusuli mereka (tabi’ al-tabiin)”.(Riwayat al-Bukhari, hadis no. 2652)

Golongan yang paling mengasihi dan menyayangi Rasulullah s.a.w ini juga telah menunjukkan contoh teladan, bagaimana mereka menterjemahkan kasih sayang mereka itu, sama ada ketika hayat Rasulullah s.a.w mahu pun setelah baginda wafat. Justeru, adalah menjadi tugas kita untuk menyemak kembali adakah amalan yang kita lakukan sekarang ini dengan tujuan menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w sama seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat baginda? Sekiranya ia bertepatan, maka teruskanlah dan sebarkanlah. Tetapi jika sebaliknya, maka adalah lebih baik dan utama untuk diberhentikan. Jadikanlah para sahabat baginda ini sebagai golongan teladan. Ianya akan pasti membawa kita ke jalan kebenaran.

Justeru, persoalan yang terpampang di hadapan kita ialah; adakah cukup untuk kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w hanya dengan melakukan perarakan sempena Maulid al-Rasul? Atau ia hanya sekadar untuk memenuhi takwim kalendar tahunan? Atau untuk menunjukkan adanya perlaksanaan ajaran Islam? Atau untuk menghabiskan peruntukan kewangan tahunan? Atau sebagai salah satu faktor kemajuan pelancongan? Atau untuk mendapatkan sokongan dan pujian? Jika semua persoalan ini jawapannya ialah “tidak”, maka apa yang perlu kita buktikan? Apa yang perlu kita buktikan ialah apa yang telah dibuktikan oleh para sahabat dan generasi salaf al-soleh terdahulu. Kecintaan mereka kepada baginda s.a.w dibuktikan dengan mengikuti dan mengamalkan sunnah baginda. Kita yakin dan percaya bahawa kecintaan mereka kepada Rasulullah s.a.w adalah jauh lebih tinggi daripada kita, walaupun mereka tidak pernah meraikan hari kelahiran baginda s.a.w ini.

Cinta dan ikuti (al-mahabbah wa al-ittiba’)

Dua perkara asas yang mesti diberi perhatian di dalam membicarakan hubungan Muslim terhadap Rasulullah s.a.w adalah al-mahabbah (cinta) dan al-ittiba’ (ikut). Kedua-dua elemen ini mesti wujud secara beriringan di dalam diri seorang Muslim. Tidak cukup untuk seseorang menyatakan perasaan cintanya terhadap Rasulullah s.a.w tanpa mengikuti sunnah baginda. Begitu juga sebaliknya jika seseorang itu mengikuti ajarannya tanpa ada perasaan kasih dan sayang kepada baginda.

Sejarah Islam telah membuktikan wujudnya dua golongan ini. Pertama: Abu Talib, bapa saudara Rasulullah s.a.w, adalah antara manusia yang paling mencintai Muhammad s.a.w. Abu Talib pernah memelihara baginda setelah kematian ibu bapanya. Dialah juga antara peribadi penting yang telah mempertahankan Rasulullah s.a.w daripada ancaman kafir Quraish semasa menyebarkan dakwah di zaman permulaan Islam. Namun, sayang sekali, walau begitu tinggi kasih sayang Abu Talib kepada anak saudaranya, namun ianya tidak diiringi dengan mengikuti ajaran yang dibawa olehnya. Maka natijahnya, Abu Talib tetap termasuk di dalam golongan mereka yang tidak beriman.

Kedua: Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan ketua golongan munafiq. Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi Muhammad s.a.w. Namun, ikutannya ini tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada baginda. Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi Muhammad. Tindakan munafiq ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan kasih sayang di dalam diri terhadap Rasulullah.

Justeru, al-mahabbah dan al-ittiba’ ini mesti digandingkan dan wujud selari demi memastikan kesempurnaan iman kita terhadap Rasulullah s.a.w.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ((Tidak beriman dikalangan kamu sehinggalah aku lebih dicintainya melebihi ayahnya, anaknya dan manusia sekeliannya)). (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Hub al-Rasul min al-Iman & Muslim, Kitab al-Iman, Bab: Wujub Mahabat al-Rasul)
Allah swt juga telah menetapkan bahawa taat dan ikuti Rasulullah s.a.w ini merupakan tanda taat dan patuh kepada-Nya, maka ia adalah lebih utama untuk membuktikan kecintaan kepada baginda s.a.w sendiri. Firman Allah swt bermaksud: ((Katakanlah (wahai Muhammad) Sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya kamu akan dikasihi Allah dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu)). (Ali Imran: 31)

Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Ayat ini merupakan kayu ukur kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah swt tetapi tidak berada di atas jalan Muhammad, bahawa sesungguhnya dia adalah dusta di dalam dakwaannya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad di dalam keseluruhan percakapan dan amalannya)) (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Damsyiq: Dar al-Fiha’, Cet. 2, 1998 ), 1/477)

Marilah kita bersama-sama muhasabah diri ini sejauh mana perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah s.a.w. Janganlah perasaan cinta kepada kebesaran dunia, kaum keluarga, harta benda, pangkat dan kedudukan mengatasi perasaan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Seterusnya, cinta ini perlulah diiringi dengan menuruti jejak langkah baginda dan mengamalkan sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan kepada kita. Semoga dengan perasaan cinta dan ikutan kita kepada Rasulullah s.a.w ini menjadi penolong untuk kita bersama-sama dengan baginda di syurga kelak. Amin.

Khamis, 5 Mac 2009

Majalah i Bulan March 2009




MAJALAH i bulan March mengfokuskan kepada topik utama PRIHATIN UNTUK RAKYAT PALESTIN. Sehubungan itu pelbagai isu yang menarik tentang kesukaran untuk menyelesaikan isu Palestin, semangat yang bermusin terhadap isu Palestin, Pro dan Kontra disebalik kempen memboikot barangan yang ada kaitannya dengan rejim zionis. Di antara penulis yang menyumbang dalam isu Palestin ini adalah Am Ghazali, Ir Hj Zairulshahfuddin Zainal Abidin dari JIM, Dato’ dr Ma’amor Osman dari PPIM, Mazlan bin Zainol dan Kapten Hafiz Firdaus Abdullah.

Di dalam edisi kali ini Majalah I juga telah mewawancara SS Dr. Juanda Jaya, Mufti Baru Kerajaan Negeri Perlis Darus Sunnah. Dr Juanda telah menceritakan wawasan dan visi beliau dan juga tentang gerakan Sunnah.

Antara artikel-artikel lain yang menarik adalah :

1) Zionis Dokongi Kemenangan Obama? Oleh Zainur Rashid bin Zainuddin (Perunding Aman Palestine)

2) Menjaga Ketulenan Sejarah Islam oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

3) Kisah Pengkhianatan & Kekejaman Yahudi oleh Abd Razak Muthalib

4) Isu Pinggan Mangkuk Tulang Haiwan oleh Mohd Khairil Anwar Abdul Latif @ Abu Syu’aib

Dan Banyak Lagi.


Dapatkan segera Majalah i bulan March sebelum kehabisan stok.

Isnin, 2 Mac 2009

MAWLID NABI VS ITTIBA' AL-RASUL

ITTIBA’ SEBAGAI BUKTI KECINTAAN KEPADA NABI
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Mencintai Rasulullah s.a.w. merupakan satu perkara yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya. Firman Allah S.W.T: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." – Surah al-Taubah (9) : 24.

Firman-Nya lagi: "Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi orang-orang yang beriman berbanding diri mereka sendiri." – Surah al-Ahzab (33) : 6.

Oleh itu saban tahun menjelangnya 12 Rabiulawal umat Islam diseluruh dunia menyambut hari yang dianggap sebagai ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai upacara seperti perarakan, ceramah-ceramah khas, majlis marhaban dan lain-lain lagi dianjurkan demi untuk menunjukkan kecintaan kepada Nabi s.a.w.. Namun begitu secara realitinya program-program tersebut kurang membangkitkan kecintaan yang hakiki kepada baginda s.a.w.. Umat Islam diseluruh dunia masih mengabaikan sunnah-sunnah baginda dan lebih memilih untuk melakukan amalan-amalan bidaah yang dianggap baik oleh mereka. Ini tidak lain tidak bukan kerana kurang penekanan konsep ittiba’ di dalam majlis-majlis sempena Mawlidurasul tersebut walaupun perbelanjaan yang dikeluarkan mencecah puluhan ribu ringgit. Ittiba’ merupakan cara yang paling efektif untuk menterjemahkan hakikat sebenar mencintai Rasulullah s.a.w.

Apakah itu ittiba’? Ittiba’ dari segi bahasa bermaksud mengikuti atau mencontohi. Bila dikatakan Ittiba’ al-Rasul ianya bermakna mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t..

Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:

a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.

b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah:

“Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, hadis no: 2697

“Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam Muslim, hadis no: 1718.

c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain di atas perintah baginda tersebut.

d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:

Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.

e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.:

“Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89

f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:

1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlidurasul. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa adalah bidaah.

2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan kehendak syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam atau itik sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih untuk ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.

3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.

4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam sesuatu ibadah maka ibadah tersebut terbatal.

5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.

6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.

g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana tedapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.

Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:

a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31

b) Ittiba’ merupakan suatu amalan yang dapat menghapuskan dosa sebagaimana firman Allah di atas.

c) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32

d) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65

e) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih dari Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63

f) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21

g) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36

h) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 7280.

i) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w

Sekiranya kedua syarat yang telah digariskan di atas atau salah satu darinya tidak dipenuhi, maka amal ibadah tersebut dianggap terbatal. Firman Allah S.W.T: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." - Surah al-Mulk: 2.

Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h: "Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” - Dinukil daripada kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258.

Menerusi penjelasan yang serba ringkas ini maka tidak hairanlah sekiranya kita simpulkan bahawa cara yang paling utama untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan memahami, mengamalkan serta menyebarkan konsep ittiba’. Untuk kita menerapkan konsep ittiba’ ini ternyata ianya bukan satu proses yang datang hanya sekali dalam setahun iaitu ketika sambutan Mawlidurasul. Ianya perlu disemaikan ke dalam minda setiap umat Islam sepanjang masa. Oleh itu sempena sambutan Mawlidurasul tahun ini marilah kita berusaha sedaya upaya untuk mengamalkan ittiba’ dan membanteras sehingga ke akar umbi segala perkara maksiat yang dilarang oleh syarak.