Memaparkan catatan dengan label Akidah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akidah. Papar semua catatan

Rabu, 14 Julai 2010

Berita Harian 14/7/10 : Musim bola jerat ramai Muslim percayakan tathayyur


Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Keghairahan teka pemenang Piala Dunia berdasar gerakan binatang boleh jejas akidah

KEJAYAAN Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010 awal pagi kelmarin menjadikan sotong kurita bernama Paul semakin popular mengalahkan bintang bola sepak yang berjuang bermati-matian di padang untuk meraih kemenangan setiap perlawanan.
Sotong di Akuarium Sea Life di Oberhausen, selatan Jerman itu sebelum ini membuat ramalan mengenai perlawanan membabitkan pasukan Jerman yang kebetulan, ramalannya mengena.

Rentetan ramalan Paul yang mengena itu, ada pihak termasuk sesetengah umat Islam seakan-akan percaya sotong ini memiliki keajaiban untuk menentukan hala tuju sesuatu perlawanan.


Sungguh aneh, budaya yang begitu sebati dalam masyarakat Arab zaman jahiliah kini menular di kalangan peminat bola sepak pada zaman serba moden. Arab jahiliah dulu memang hidup mereka sentiasa dibayangi amalan syirik, tahyul dan khurafat.

Contohnya, jika mereka ingin memulakan sesuatu perjalanan, mereka akan melihat gerakan sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan sama ada ke kiri atau ke kanan.

Mereka beranggapan arah gerakan itu boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin dihadapi dalam perjalanan nanti. Jika pergerakan itu dianggap menunjukkan alamat tidak baik, mereka akan membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan.

Imam al-Syafi’i pernah berkata: “Dulu golongan jahiliah apabila ingin bermusafir akan mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Jika ia terbang ke kanan maka mereka pun keluar atas tanggapan tuah itu. Jika ia terbang ke kiri atau ke belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila Nabi SAW diutuskan, Baginda menyeru orang ramai: Kekalkan burung pada sarangnya.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim al-Asfahani dalam Hilyah al-Auliya’).


Perkara sebegini termasuk mempercayai ramalan ‘sang sotong Paul’ yang dinamakan tathayyur atau meramalkan sesuatu kejadian buruk atau baik disebabkan sesuatu perkara. Islam menyelar tathayyur dan menganggap ia mencemar kemurnian tauhid.

Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah semata-mata.

Firman-Nya bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah al-Taubah: 51).

Meramalkan sesuatu musibah bakal menimpa berdasarkan sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan Allah tanpa ada faktor lain mempengaruhi keputusan-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-A’raaf: 131).

Oleh itu, bagi sesiapa yang membuat sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur maka dia terjebak dengan syirik.

Daripada Abdullah Ibn Umar, dia berkata, Rasulullah bersabda bermaksud: “Barang siapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Daripada Abdullah Ibn Mas’ud, Rasulullah bersabda bermaksud: “Al-Thiyarah (menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu syirik, al-Thiyarah itu syirik tiga kali. Dan tidak ada seorang pun dari kita, kecuali (telah terjadi dalam dirinya pengaruh al-Thiyarah) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).

Setiap manusia akan berhadapan dengan perasaan tathayyur tetapi jika kita bertawakal kepada Allah dalam segala perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi musibah, maka Allah menghilangkan perasaan itu daripada jiwa kita.

Oleh itu bagi yang sudah terpengaruh dengan keupayaan Paul dalam membuat ramalan, hendaklah membersihkan jiwa mereka daripada keyakinan sebegini. Paul cuma seekor binatang yang tidak dikurniakan akal. Tentu sekali ia langsung tidak mampu mengenali bendera sesebuah negara atau memahami fungsi kotak dalam akuariumnya.

Pergerakannya ke arah kotak dan bendera tertentu hanya kebetulan. Jika kita terjebak dalam perlakuan tathayyur, untuk menebusnya Rasulullah SAW mengajar kita untuk mengucapkan doa: “Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan-Mu dan tidak ada kesialan kecuali kesialan daripada-Mu dan tidak ada Tuhan selain-Mu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Isnin, 28 Disember 2009

Syaikh Wahbah al-Zuhaili dan Tauhid tiga Serangkai

Syaikh Wahbah al-Zuhaili
Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2008



Assalaamu'alaikum

Baru-baru ini Syaikh Wahbah al-Zuhaili (SWAZ) seorang tokoh ulamak terkemuka di dunia telah berkunjung ke Malaysia dan memberi ceramah perdana di Masjid Negeri Selangor pada 23hb Disember 2009 yang Lalu. Ustaz Fathul Bari (UFB) berkesempatan untuk bertanyakan beliau tentang Tauhid Tiga Serangkai yang dianggap sesat oleh Dr Uthman el-Muhammady, Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan rakan-rakan yang sewaktu dengan mereka.


Anda boleh lihat rakaman tersebut di:




Saranan Syaikh Wahbah al-Zuhaili adalah berhati-hati dengan fitnah yang datang dari kelompok yang menyesatkan Pembahagian Tauhid Tiga Serangkai ini kerana mereka mempunyai agenda jahat.

Berikut transkrip perbualan tersebut :


UFB :


يمكن تجب عن تقسيم التوحيد إلى ثلاثة أقسام؟ بعض الناس يعني يرد على هذا ويقول بأن هذا تقسيم النصارى وغير ذلك، مع أن هذا قد كررت بالحكومة قد كررت، في الجامعات والمدارس نليجه، فماذا ...؟
Boleh awak jawab tentang pembahagian tawhid kepada 3 bahagian? Sebahagian manusia – iaitu – yang menolak ke atas (pembahagian) ini, dan berkata bahawa ini ialah pembahagian Kristian dan sebagainya, tambahan lagi hal ini telah diperakui dalam kerajaan, iaitu yang telah diperakui di universiti-universiti dan sekolah-sekolah yang kami masukinya. Maka apa …?


SWAZ :

... نحن ينبغي أن لا نعرف وأن لا نستمع إلا لمقالة أهل السنة والجماعة. وأما هؤلاء المشككون، والذين يحرفون النصوص من بعض مواضعها، ويخالفون ما عليه جمهور الأمة، فهم مخطؤون، فلا تستمعوا لهم، ولا تقيموا وزنا لأي كلام يصدر منهم لأنهم في هذا لهم مآرب معينة، ونحن نبرأ إلى الله سبحانه وتعالى من مثل هذه الأعمال التي تعاتج تزرع الفنتة بين المسلمين

… Kita tidak perlu untuk mengetahui atau kita tidak perlu mendengar melainkan kepada kata-kata Ahli s-Sunnah wal-Jama`ah. Dan mereka yang ragu-ragu itu, dan yang mengubah nas-nas daripada beberapa tempat-tempatnya, dan yang mencanggahi apa yang jumhur ummah berada di atasnya, maka mereka adalah salah, dan jangan kamu dengar kepada mereka, dan jangan kamu berikan pertimbangan kepada sebarang kata-kata yang datang daripada mereka, kerana sesungguhnya mereka dalam hal ini, mereka mempunyai tujuan-tujuan yang tertentu. Dan kita berlepas kepada Allah subhanahu wata`ala, daripada yang seperti perbuatan-perbuatan ini, yang sentiasa menabur fitnah dalam kalangan muslimin.



UFB :

هي ثلاثة أقسام، هذه؟

Ia tiga bahagian, yang ini?



SWAZ :
نعم، نعم، نعم

Ya, ya, ya



UFB:
يعني يجوز؟

Boleh?


SWAZ:

يجوز هذ يجوز،

Boleh, ini boleh



SWAZ:

تسمية، نحن، أي لماذا، ما فيها شيء، لا نقول، ذوات، وأنما الذات واحدة،

وهذه الأسماء، لله الأسماء الحسنى فادعوه بها، وهذه صفات ، الأسماء

والصفات كلها لله...

Penamaan, kita, iaitu kenapa, tiada padanya apa-apa, kita tidak kata, banyak zat, tetapi Zat yang Satu. Dan nama-nama ini, dan sifat-sifat ini, nama-nama dan sifat-sifat, semuanya kepunyaan Allah.



UFB:

ألوهية، ربوبية، وغيرها

Uluhiyyah, Rububiyyah dan selainnya


SWAZ:

نعم، نعم...

Ya, ya…

Jumaat, 11 Disember 2009

Menjawab Tuduhan Yayasan Sofa


TAUHID TIGA SERANGKAI MEMANG BERASASKAN DALIL SYARAK
Oleh Ustaz Ahmad Kamil Halim

Assalamualaikum,

Untuk beberapa minggu , pihak akhbar Utusan Malaysia melalui ruangan Relung Cahaya pada setiap hari Isnin menyiarkan perbahasan tauhid tiga serangkai yang dihasilkan oleh pihak Panel Penyelidikan Yayasan Sofa ( atau singkatannya PPYS), Negeri Sembilan. Setelah mengikuti tulisan-tulisan berkenaan, saya tertarik untuk memberi sedikit pandangan. Diharap pandangan yang bakal saya tampilkan akan diberi perhatian , dibuat kajian lanjutan oleh pihak PPYS . Jika tidak , maka tidak berbaloilah saya menghabiskan masa menulis artikel ini.

Pihak PPYS cuba menafikan sekeras-sekerasnya kewujudan tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wa sifat atas kaedah pembahagian kepada tiga bahagian dengan alasan tiada dalil syarak dari Al Quran , hadis nabi dan athar para sahabat yang menyebut begitu. Benarkah begitu? Jika mahu dicari dalil secara khusus ( spesifik) sudah tidak dijumpai dalilnya. Begitu juga jika mahu dicari dalil bahawa sifat Allah Taala hanya 20 sifat sahaja maka tidak akan dijumpai dalilnya. Jika mahu dicari dalil bahawa hadis Nabi dibahagikan kepada tiga bahagian ( hadis sohih, hasan dan dhaif ) maka tidak dijumpai dalilnya. Dari mana datang nama-nama dalam hukum-hukum tajwid? Dari mana datangnya ilmu usul feqh ? Dari mana datangnya ilmu usul hadis, ilmu usul tafsir dan sebagainya.

Sebagai contoh lebih jelas, Rassulullah sa.w. tidak pernah mengajar para sahabat hukum tajwid seperti hukum idgham , hukum mad, hukum ikhfa’ dan sebagainya. Namun ianya bukanlah satu perkara baru yang dilarang kerana hanya bersifat sebagai perantaraan ( wasilah) dalam memahami ilmu dalam rangka membawa kita memahmi maksudnya ( maqasid). Banyak lagi contoh-contoh lain dalam pelbagai pembahagian bidang ilmu yang tidak akan dijumpai dalil secara khusus .

Apa yang perlu kita sama-sama fahami, pembahagian- pembahagian ini berlaku dari sudut BAHASA sahaja sebagai satu bentuk penjenamaan yang memudahkan pemahaman terhadap apa yang dipelajari hasil dari perkembangan ilmu akibat peralihan zaman.
Kembali kepada persoalan tauhid tiga serangkai . Walaupun secara spesifik penjenamaan itu tidak wujud zaman generasi terawal iaitu di zaman Rasululllah s.a.w. dan para sahabat, tetapi sesiapa yang mengkaji secara mendalam dari sudut bahasa antara Rab ( رب ) dan perkataan Ilah ( إله ) berdasarkan kamus Arab atau mu’jam , maka perbezaan dapat dilihat dengan jelas. Kenapakah ayat pertama Al-Fatihah ia berbunyi ( Alhamdulillah Rabbil Alamiin) didatangkan perkataan Rab, tetapi dalam kalimah tauhid ( syahadah) kita diajar menyebut ( La Ilah Ilallah ) dengan didatangkan perkataan Ilah.

Di zaman generasi terawal, pembahagian seperti ini tidak perlu, kerana pemahaman terhadap perkara ini berlaku secara mudah dan para sahabat memahami berdasarkan penggunaan bahasa Arab. Oleh kerana tidak ada keperluan yang mendorong kepada pembahagian itu pada zaman berkenaan maka pembahagian itu tidak wujud secara formal atau tersurat, sekalipun ianya memang wujud secara tersirat. Pembahagian ini hanya sekadar memenuhi kemaslahatan dari sudut pemahaman ilmu. Jika mahu dikatakan pembahagian ini ( secara penjenamaan khusus) sebagai satu bid’ah , maka ia dianggap bid’ah dari sudut lughah sahaja ( bahasa). Apa yang penting bukan soal nama, tetapi maksud dan pengertian yang tersirat disebaliknya. Jika mahu dibuang penjenamaan tauhid rububiyyah , tauhid uluhiyyah dan tauhid asma wasifat bermakna kita juga perlu membuang penjenamaan lain yang tiada dalil khusus seperti hukum nun mati dan tanwin dalam subek tajwid, pembahagian sifat-sifat Allah kepada sifat ma’ani, maknawiyah, nafsi dan salbiyah ( berdasarkan manhaj Asya’irah) dan pelbagi lagi contoh lain. Kaedah ini disusun berdasarkan keperluan dari sudut masolih mursalah dari subjek usul fekh.

Agak menghairankan apabila pihak PPYS mengemukakan soalan apakah terdapat perbezaan antara tauhid rububiyyah dan tauhid uluhiyyah ? Diminta buat penyelidikan terhadap tafsiran ayat berikut :

1 ) Untuk tauhid Rububiyyah sila lihat contoh ayat-ayat berikut : Surah Al-Mukminun ayat 84-89, Surah Ar Ra’du ayat 16, Surah Luqman ayat 25, Surah Al Ankabut 61-65.

2) Untuk Tauhid Uluhiyyah sila lihat ayat ayat berikut : Surah Al-Baqarah ayat 21, Surah Al Zumar ayat 14 -15 ,Surah Al Bayyinah ayat 5 ) .


Ayat-ayat di atas hanya sekadar contoh sahaja. Banyak lagi ayat-ayat lain yang boleh dijadikan rujukan dan kajian.

Benarkah Ibn Taimiyyah pencipta kaedah tauhid 3 serangkai ?

Dakwaan pihak PPYS bahawa Ibn Taimiyyah ( w. 728H) adalah pereka kepada bid’ah tauhid tiga serangkai tidak benar. Pihak PPYS disyorkan meluaskan lagi penyelidikan terhadap banyak lagi kitab-kitab turath lain yang mudah diperolehi di zaman IT ini. Jika tidak dijumpai dikedai-kedai buku, carilah dalam internet atau kitab secara e-book.

Antara tokoh terdahulu yang telah memperkatakannya ialah :

1 ) Al-Imam Abi Abdillah Ubaidillah bin Muhammad bin Battah Al-Akbariy , meninggal tahun 387 H di dalam kitab Al-Ibanah ‘An Syariah Al Firqah An Najiah Wa Mujanabah Al Firaq Al Mazmumah . Dalam teks kata-kata belaiu , antara lain ..

“ …. Bahawa Asal Iman kepada Allah yang wajib atas sekelian makhluk beri’tikad dengannya dalam mengisbatkan iman adalah tiga perkara :

Pertama : Bahawa seorang hamba beri’tiqad akan sifat ketuhanannya ( rububiyyah) agar jadilah perkara itu satu perbezaan dari mazhab ahl at ta’til yang tidak mengisbatkan adanya pencipta.

Kedua : Bahawa seorang hamba beri’tiad akan keesaanNya ( uluhiyyah) agar jadilah ia satu perbezaan dari golongan ahli syirik yang mengakui kewujudan pencipta ( Allah ) tetapi melakukan syirik dalam amalan ibadah mereka.

Ketiga : Bahawa seorang hamba beri’tiqad bahawa Allah Taala bersifat dengan sifat-sifat yang tidak haruslah Dia melainkan bersifat dengan sifat seperi ilmu, qudrat, hikmah dan semua sifat yang Dia sifatkan didalam kitabNya.”

Seterusnya beliau menyebut sebagai sambungan : “ Kerana kita dapati Allah Taala telah memerintahkan hambaNya kepada I’tiqad dengan setiap satu dari tiga perkara ini dan beriman dengannya.” Tiga perkara yang dimaksudkan oleh Ibn Battah di sini ialah tauhid rububiyyah , uluhiyyah dan asma wa sifat.

2 ) Al Imam Al Hafiz Abi Abdillah Muhammad bin Ishaq bin Yahya Bin Mandah , meninggal tahun 395 H . Di dalam kitab beliau “ Kitab At Tauhid Wa Makrifatu Asma Allah Azzawajalla Wasifati ‘Alal ittifaq Wal iftiraq “ > . Di dalam kitab beliau menjelaskan beberapa tajuk yang berkaitan dengan tauhid rabubiyyah, beberapa tajuk yang berkaitan dengan tauhid uluhiyyah dan beberapa tajuk lain berkaitan tauhid asma’ wa sifat. Apa yang lebih menarik, di dalam muqaddimah kitab ini Ibn Mandah menyebut bahwa Al-Imam Abu Yusof ( w. 182H) yang merupakan tokoh besar dalam mazhab Abu Hanifah ( w. 150) turut memperkatakan pembahagian tauhid ini semasa kurun kedua lagi .

Sangat menarik sekali bahawa Al-Imam As Syafie secara lisan yang tersirat mengakui kewujudan tauhid uluhiyyah melalui kata-kata beliau “… inilah hakikat tauhid “ dalam satu riwayat dari Imam Al Muzani yang dikemukakan oleh Al-Imam Az Zahabi didalam Siyar I’lam An Nubala’ jilid 10 m.s. 26, terbitan Muassasah Ar Risalah Beirut, Lubnan. Harap pihak PPYS memiliki kitab setebal 23 jilid ini dan membuat rujukan kepadanya.

Tindakan pihak PPYS membesar-besarkan nama Ibn Taimiyyah Rahimahullah sebagai pereka kepada tauhid tiga serangkai sekadar meneruskan agenda pihak yang sudah lama memusuhi Ibn Taimiyyah . Adalah tidak adil sekiranya kita menilai sesuatu permasalahan berdasarkan pandangan pihak yang kita cenderung kepadanya, tanpa melihat hujah-hujjah pihak lain yang kita tidak bersetuju dengannya. Di dalam dunia Islam masa kini, golongan generasi muda yang prihatin dengan perkembangan ilmu Islam, mengambil sikap menilai secara adil dan saksama segala kemelut yang berlaku. Tokoh seperti Muhammad Zahid Al Kauthari dari Negara Turki bermazhab Hanafi dan Hasan Ali As Saqaf dari Jordan antara tokoh yang kuat mengkritik Ibn Taimiyyah dan menentang keras pembahagian tauhid 3 serangkai. Apa yang memusykilkan saya ialah kenapa kaedah mengenali Allah melalui sifat 20 tidak pula diperbesarkan oleh pihak PPYS. Pada hal Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar para sahabat dan kita semua , bahawa Allah hanya memiliki 20 sifat sahaja.

Perkara yang lebih utama untuk diberi perhatian oleh pihak PPYS ialah ancaman ilmu kalam terhadap kemurniaan sistem pembelajaran ilmu tauhid. Sejarah membuktikan bahawa Al Imam As Syafie tokoh yang paling kuat menentang ilmu kalam dan penggunaannya dalam subjek akidah.

Dakwaan bahawa tauhid 3 serangkai menjadi sebab berlaku pergolakan di Negara timur tengah memerlukan kepada bukti yang jelas dan tepat. Benarkah berlaku tindakan mengkafirkan ke atas pihak yang mengengkari tauhid 3 serangkai ini?? Atau ia andaian yang dibuat kerana salah faham .

Benarkah dakwaan tauhid 3 serangkai penyebab keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah? Semua persoalan di atas perlu dibuktikan dengan dinyatakan bahan rujukannya secara adil dan telus. Tanpa rujukan dari sumber yang boleh dipercayai, ia hanya tinggal satu dakwaan kosong . Ini kerana banyak dakwaan pihak PPYS tidak disertakan bersama bahan rujukannya, nama penulis dan penerbitnya.

Adakah pihak PPYS telah membuat kajian secara adil dan seimbang ?/ Atau sekadar menceduk hujah dan fakta dari tukang-tukang fitnah yang sudah sekelian lama memusuhi Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab ( Wahabi) ? Saya lebih suka mengambil sikap tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saya suka melihat, memerhati, mengkaji kesemua pandangan. Kemudian minta petunjuk kepada Allah agar ditunjukkan yang sebenarnya.

Benarkah semua tokoh ulamak Al Azhar menolak konsep tauhid tauhid 3 serangkai ? Jika benar Mufti Mesir menolaknya, nilailah secara adil hujjah dan alasan-alasan beliau. Lihatlah hujjah dan dalil yang dikemukakan berdasarkan prinsip ilmu, manhaj yang tepat bukannya kapasiti seseorang individu dengan jawatan yang dipegangnya. Mungkin beliau ada alasan tersendiri yang boleh diterima . Bukanlah saya bermaksud mengatakan pandangan ulama’ yang menolak pembahagian tauhid 3 serangkai tidak berdasarkan prinsip ilmu atau terkeluar dari manhaj yang betul, mungkin perbezaan berlaku dari sudut kaedah istidlal dan arah pandangan yang berbeza skopnya. Perlu juga disemak dan dikaji pandangan ulamak lain kerana dunia Islam ini sangat luas . Umat Islam dan para ulama’nya ada di mana-mana.

As Syaikh Al Allamah Bakar Abu Zaid Hafizahullah berkata : { Pembahagian ini secara istiqra’ ( kajian pemerhatian) di sisi generasi salaf telah diisyaratkan oleh Ibn Mandah, Ibn Jarir At Tobari, diakui oleh Ibn Taimiyyah , Ibn Al Qayyim , diakui oleh Az Zabidi didalam Tajul Arus, guru kita Syaikh Al Amin As Syanqiti di dalam kitab tafsirnya Adwa’ Al-Bayan , Ia merupakan satu istiqra’ yang lengkap terhadap nas-nas syarak , diguna pakai di sisi ahli setiap cabang ilmu sebagaimana istiqra’ ulama’ nahu terhadap bahasa Arab , membahagikannya kepada isim (kata nama), fiil( kata kerja) dan haraf ( kata penghubung). Tiada seorang pun mencela ulama’ nahu atas pembahagian ini ( isim , fiil dan haraf) . demikianlah semua jenis istiqra’ } . Dipetik dari At Tahzir Min Mukhtasar As Sobuni Fi Tafsir .

Saya mengajak diri saya dan pihak PPYS agar perbahasan masalah ilmu dibahaskan secara penuh keinsafan , adil, berbaik sangka kepada semua pihak . Janganlah rasa kebencian kepada pihak tertentu mendorong kita berlaku tidak adil kepada mereka. Allah mengingatkan hal ini dalam ayat : “ Janganlah kebencian kepada sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, berlaku adillah, kerana ia menghampirkan kepada taqwa….” Surah Al Maidah ayat 8 .

Kaedah Tauhid 3 serangkai bukan sesuatu yang baru di negara kita sebagaimana yang disangka pihak PPYS. Mungkin bagi pihak yang tidak terdedah kepada pendekatan pengajian sebegini merasakan ianya sesuatu yang ganjil dan baru. Semasa menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh sekitar awal 80-an , saya pernah mengikut program usrah yang mengguna pakai buku Risalah Usrah susunan Abu Urwah. Di dalamnya disebut pembahagian tauhid 3 serangkai dan penjelasan maksud setiap satunya dengan jelas. Tiada masalah untuk memahaminya. Buku berkenaan masih ada dalam simpanan saya.

Persoalan adakah orang beriman juga akan terlibat dengan syirik ? Berdasarkan dalil dari Qur’an dan hadis Nabi , jawapannya ya . Lihat tafsiran ayat 106 surah Yusuf . Syirik yang dimaksudkan di sini ialah syirik yang tidak membawa kepada rosaknya agama seseorang ( syirkun duna syirkin ). Termasuklah di dalamnya beramal secara riya’ ( menunjuk-nunjuk). Contoh dari hadis ialah “ Sesungguhnya jampi mentera, tangkal azimat dan ilmu guna-gunaan perbuatan syirik “ Sunan Ibn Majah no : 3530.


Orang-orang beriman yang sempurna tauhidnya kepada Allah , berusaha menjauhi segala unsur-unsur syirik dengan sejauh-jauhnya. Inilah yang disebut oleh Allah dalam ayat 82 Surah Al An’aam. “ Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan keimanan mereka dengan syirik, merekalah yang mendapat keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk. ”

Rasulullah s.a.w. mengajar sebuah doa yang berbunyi : “ Ya Allah ! Aku berlindung denganMu dari perbuatan menyengutukanMu dengan sesuatu pada hal aku mengetahuinya, dan aku mohon keampunan terhadap perbuatan syirik yang aku tidak ketahuinya” Hadis Riwayat Imam Ahmad .

Pihak PPYS mempersoalkan kenyataan yang disebut datang dari Ibn Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya berbunyi :


1 ) Orang musyrik yang menyengutukan Allah adalah ahli tauhid secara tauhid rububiyyah .

Jawapan ; Orang musyrik zaman jahiliah mengakui Allah sebagai pencipta langit dan bumi, namun mereka menyenkutukan Allah dalam ibadah dengan menjadikan berhala sebagai perantaraan. Dalilnya boleh dilihat pada ayat : 61 Surah Al Ankabut. Juga Surah Az Zumar ayat 2 .

Dalam keadaan terdesak dan tertekan , golongan musyrik akan berdoa kepada Allah bukan kepada berhala yang mereka sembah . Namun apabila hilangnya kesusahan mereka kembali kepada keadaan asal ( syirik). Dalilnya dalam ayat 40-41 Surah Al-An’aam. Lihat juga Surah Yunus ayat 22-23.

2 ) Persoalan tawassul , istighasah dan tabbaruk mempunyai perincian tersendiri. Tawassul ada yang dibenarkan , ada yang tidak dibenarkan berdasarkan pendekatan yang digunakan. Istighasah sememangnya menyalahi nas Al – Quran termasuk konsep tauhid dalam ayat 4 surah Al-Fatihah “ Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau kami minta pertolongan “.

Kehairanan PPYS bahawa kenyataan sebegini tidak ditemui dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini Di Malaysia, menggambarkan pengajian ilmu tauhid di Malaysia ketinggalan zaman dan masih berada ditakuk lama. Perbahasan tauhid hanya terhad kepada menghafal sifat dua puluh dan beberapa perkara yang dibahaskan dalam mazhab Asya’irah , Maturidiyyah. Namun, di peringkat antarabangsa, terutama peringkat universiti di dunia Islam pengajian ilmu tauhid termasuk juga pengajian ilmu feqh dibuat secara muqaranah (perbandingan). Perbandingan ini mencakupi mazhab –mazhab lain seperti jahmiyyah, muktazilah, syi’ah, qadariyyah, jabariah , khawarij dan lain-lain. Rujukan bukan setakat kepada kitab-kitab tauhid sahaja bahkan terus kepada meneroka khazanah ilmu tauhid dari sumber asal iaitu Al Qur’an dan As Sunnah. Di dalam sahih Bukhari terdapat bahagian khusus hadis-hadis yang dihimpunkan dalam bab kitab at tauhid .

Kitab-kitab tauhid yang ditulis di zaman awal Islam turut dikaji seperti Al Fiqh Al Akbar oleh Imam Abu Hanifah, Kitab At Tauhid dan Sifat Ar Rab oleh Imam Ibnu Khuzaimah, Yang paling muktamad dalam menerangkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah kitab Syarah Usul I’tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah Min Kitab Wa Sunnah oleh Al Hafiz Abi Qasim Hibbatullah bin Al Hasan bin Mansur Al Lalakai wafat tahun 418H.

Berdasarkan kajian dan analisa oleh Ustaz dr. Ismail Lutfi Al Fatoni di dalam buku beliau Hakikat Ahli Sunnah Wal Jamaah dan peranan ulamanya yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan , terdapat 72 buah kitab tauhid bermanhaj as salaf yang ditulis dari pertengahan kurun kedua hijrah hingga pertengahan kurun ketujuh iaitu sebelum zaman wujudnya Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab. Jika pihak PPYS mengkaji kitab-kitab berkenaan, akan terjawablah persoalan bahawa kenyataan yang didakwa kononnya dari rekaan dan ciptaan Ibn Taimiyyah sebenarnya adalah andaian pihak PPYS sendiri.

Sukalah saya mengingatkan pihak PPYS , dalam dunia era globalisasi masa kini , perkembangan ilmu dan maklumat berlaku dengan begitu cepat sekali. Justeru itu, berhati-hatilah dalam membuat telahan terhadap sesuatu permasalahan. Pihak lain juga membuat kajian dan penyelidikan . Seandainya fakta dan maklumat yang disampaikan ada kelemahan dan kecacatan, pihak lain yang mengkajinya akan mengesan dengan cepat.

Kepada Allah Jua dipohon petunjukNya. Maaf dipohon sekiranya ada terkasar bahasa. Saya menulis dengan rasa tenang tanpa dipengaruhi emosi.

Walaupun kita tidak sependapat dalam persoalan tauhid tiga serangkai, namun saya mengasihi pihak PPYS atas sifat kita saudara seagama. Ya semua kita bersaudara. Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara. Salam kasih sayang dan salam ukhuwwah.


Ahmad Kamil Abdul Halim
Kota Bharu Kelantan.

Rabu, 9 Disember 2009

Pembahagian Tauhid Sebelum Ibnu Taimiyyah


Pembahagian Tauhid Sebelum Ibn Taimiyyah
Oleh: Panel Penyelidik Institut al-Qayyim

Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam

Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106). Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang mendiptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid

3: halaman 304-306.3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

Wassalam.

Rabu, 25 November 2009

MEMAHAMI KALIMAT TAUHID UNTUK ELAK PENCEMARAN AKIDAH


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Misi utama bagi setiap Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT ke atas setiap penjuru muka bumi ini adalah untuk menegakkan seruan kepada mengtauhidkan Allah SWT. Firman-Nya: “Sesungguhnya telah Kami utuskan seorang Rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Beribadahlah kepada Allah dan jauhilah taghut.” (al-Nahl : 36) Menurut Imam Malik taghut adalah setiap sesuatu yang disembah selain Allah. Oleh itu adalah menjadi satu perkara yang mustahak bagi setiap umat Islam untuk memahami dengan mendalam makna kalimat tauhid yang sering dilafazkan oleh semua hamba-hamba Allah iaitu La ilaha illallah. Adalah agak memeranjatkan apabila seorang tokoh seolah-olah mempertikaikan usaha untuk mengukuhkan pemahaman kalimah tauhid ini di tengah-tengah masyarakat di dalam sebuah akhbar baru-baru ini. Bagi beliau memadailah seseorang itu mengucap sahaja kalimah tauhid untuk mengesahkan seseorang itu sebagai Muslim yang terpelihara nyawa dan hartanya oleh Muslim yang lain. Namun hakikat tugas seorang pendakwah bukan sekadar berhenti setakat seseorang itu mampu mengucap kalimah syahadah. Misi para pendakwah adalah untuk membina generasi umat Islam yang berkualiti dan mantap akidahnya yang hanya akan dapat digapai apabila seseorang itu telah benar-benar memahami kalimah tauhid.

Makna la ilaha illallah adalah “tiada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah”. Ia bukan sekadar menetapkan (ithbat) bahawa Tuhan yang berhak disembah hanyalah Allah tetapi kalimat ini juga menolak (nafi) segala bentuk peribadahan selain daripada Allah. Firman-Nya: “Demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah adalah Tuhan dan sesungguhnya apa yang mereka sembah selain daripada Allah adalah batil.” (al-Hajj : 62)

Walaupun kalimat ini bukanlah asing bagi seluruh umat Islam namun tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh-pengaruh amalan yang boleh menjejas akidah masih menebal dalam masyarakat ini. Akibat tidak memahami kalimah tauhid dengan mendalam tokoh yang mengambil sikap acuh tak acuh dalam hal-hal berkaitan memahami makna kalimah tauhid tadi turut tidak boleh membezakan amalan ziarah kubur yang selari dengan syarak dan amalan ibadah yang terlarang di kawasan perkuburan. Tokoh tersebut terlalu mengagungkan amalan bertawssul dikuburan yang kebenarannya masih diperselisihkan oleh para ulama. Tiada ulama muktabar dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang meletakkan perbahasan tawassul di kawasan perkuburan ini sebagai perkara pokok dalam akidah sehingga sesiapa yang menolaknya dianggap terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jammah. Hanya kelompok tasauf yang ekstrim dan Syi’ah Rafidhah sahaja yang taksub dalam isu seumpama ini. Persoalan tentang golongan yang melakukan peribadatan terlarang di kawasan perkuburan atau digelar Kuburiyyun ini bukan sekadar berkisar isu tawassul seperti sangkaan tokoh tersebut. Isu kuburiyyun termasuk amalan memohon doa kepada mayat yang ditanam dalam kubur tersebut, solat sunat menghadapi kubur, tawaf mengelilingi kubur atau mengerjakan ibadah korban di kawasan perkuburan yang terdapat dalil yang tegas lagi jelas tentang pengharamannya. Hakikatnya tiada aliran pemikiran dalam Islam yang mengharamkan ziarah kubur asalkan ianya dilakukan sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w. turut bersabda “…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian.” (Hadis riwayat Imam Muslim). Apa pun dalam hal berkaitan ziarah kubur para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah membahagikan ziarah kubur kepada tiga jenis:

1) Ziarah yang disunnahkan iaitu yang sesuai dengan syariat, sebagaimana yang disebutkan dalam sejumlah hadis dengan tujuan untuk memohon ampun (istighfar) bagi mayat dan mengingatkan dirinya akan alam akhirat.


2) Ziarah yang bidaah yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan beribadah kepada Allah S.W.T. di samping kuburan dengan menyakini bahawa tempat tersebut adalah tempat (ibadah) yang paling baik.


3) Ziarah yang syirik, iaitu ziarah yang dikerjakan seseorang untuk mengharap berkat dari kuburan atau dalam rangka meminta syafaat dan pertolongan dari kuburan tersebut.


Masih ramai di kalangan masyarakat kita yang mempercayai ramalan-ramalan tukang ramal dan bomoh dalam menentukan arah hidup seharian mereka. Masih wujud juga mereka yang memakai tangkal-tangkal atau mengamalkan jampi-serapah yang syirik bertujuan untuk mengubati sesuatu penyakit. Hal ini adalah kerana kalimat tauhid tersebut hanyalah sekadar lafaz dibibir tanpa mampu untuk diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari seseorang insan. Untuk menjadikan kalimat ini berkesan dalam membasmikan pengaruh-pengaruh syirik dalam kehidupan seharian hendaklah setiap umat Islam berusaha memahami syarat-syarat yang membelakangi kalimat tersebut.

PERTAMA : Ilmu (al-‘Ilm) atau mengetahui makna sebenar kalimat tauhid tersebut. Hendaklah mereka ketahui bahawa kalimat ini menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T adalah tuhan yang berhak disembah atau diibadahi. Seluruh sembahan yang lain adalah tertolak. Faktor ilmu ini amat penting sebagai syarat agar kalimat ini dapat meniggalkan kesan yang baik bagi orang yang mengucapkannya. Firman-Nya: “Maka ketahuilah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah” (Muhammad : 19)

Baginda juga telah bersabda: “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tahu (berilmu) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, nescaya dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

KEDUA : Yakin (al-Yaqeen) atau tidak ragu-ragu bahawa Allah S.W.T. adalah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah. Sekadar mengetahui tanpa menyakini kebenaran kalimah itu tidak memadai untuk mengeluarkan seseorang dari amalan-amalan yang mencemari akidah. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-oramg yang betiman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orangyang benar.” (al-Hujuraat : 15)

KETIGA : Ikhlas (al-Ikhlaash) atau memurnikan segala bentuk ibadah hanya ditujukan kepada Allah S.W.T. dengan tujuan untuk mencapai keredaannya. Setiap amal ibadah itu hendaklah bebas dari sebarang unsur syirik dan riak. Firman-Nya: “Dan mereka tidak disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) kehidupan beragama dengan jalan yang lurus.” (al-Bayyinah : 5)

KEEMPAT : Jujur (al-Shiddiq) bermaksud hendaklah seseorang itu mengucapkan kalimah tauhid tersebut dengan sejujurnya. Apa yang dilafazkan melalui lidahnya hendaklah bertepatan dengan isi hatinya dan kemudiannya diterjemahkan melalui amalan sehariannya yang menetapkan bahawa hanya Allah S.W.T. sahaja adalah Tuhan yang berhak disembah. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidaklah seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah dengan benar dari lubuk hatinya melainkan Allah haramkan dia dari api neraka.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

KELIMA : Cinta (al-Mahabbah) kepada Allah merupakan satu bukti menujukkan seseorang itu telah diresapi dengan fahaman tauhid yang hakiki. Hendaklah ucapan kalimah tauhid tersebut disertai dengan perasaan cinta yang mendalam kepada Allah S.W.T yang melebihi daripada cinta seseorang itu kepada makhluk-Nya yang lain. Firman-Nya: “Di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Tetapi orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah.” (al-Baqarah : 165)

KEENAM : Tunduk (al-Inqiyaad) atau patuh terhadap makna kalimat tauhid ini serta segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya berlatar-belakangkan kehendak-kehendak kandungan kalimat tersebut. Sejajar dengan itu hendaklah kita hanya beribadah dan memohon pertolongan hanya kepada Allah S.W.T. serta mematuhi segala perintah-Nya. Firman-Nya : “Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah sedangkan dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang teguh.” (Luqman : 22)

KETUJUH : Menerima (al-Qabuul) segala konsep yang menaungi kalimah tauhid ini iaitu pemurniaan ibadah hanya kepada Allah S.W.T. dan menolak segala sembahan selain daripada-Nya. Segala bentuk ibadah yang ditujukan kepada selain dari Allah S.W.T. atau dilaksanakan tidak menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh-Nya hendaklah ditolak bahkan ditentang sekeras-kerasnya. Sabda-Nya: “Sesiapa yang mengucapkan La ilaha illallah (tiada Tuhan yag berhak disembah melainkan Allah) dan mengingkari segala yag diibadahi selai Allah, maka hartanya dan darahnya diharamkan (dilindungi), sedangkan perhitungannya menjadi tanggungjawab Allah.” (Hadis riwayat Imam Muslim)


Demikianlah syarat-syarat yang perlu dipatuhi agar kalimah tauhid dapat difahami dengan sebenar-benarnya supaya dapat menghindari seseorang itu dari dicemari dengan unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah dalam kehidupan sehariannya. Wajarkah kaedah-kaedah ini dikatakan sebagai bertentangan dengan pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana tanggapan tokoh tersebut? Jelas setiap syarat yang digariskan di atas berhujung pangkal kepada menerapkan nilai tauhid yang murni dan menutup segala ruang untuk terjadinya perbuatan syirik.

Isnin, 2 November 2009

BH 31/10/09 : Tiada Seruan Baru Selepas Wafat Rasulullah

Untuk membesarkan paparan sila klik pada imej. Untuk melihat artikel versi panjang sila baca di bawah


Mimpi Menjadi Modal Untuk Menjual Agama
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila kita melihat tukang jual ubat di kaki lima pasti kita akan tertarik dengan pelbagai keletah mereka dalam rangka untuk menjual barang dagangannya. Kebiasaannya tukang jual ubat tersebut akan menghebahkan kesaktian atau keajaiban yang terdapat pada ubat yang dijualnya bertujuan untuk menarik hati para pelanggan. Senario yang sama juga wujud pada sekelompok golongan agama yang ingin menyebarkan ajaran-ajaran kelompok mereka demi untuk mendapat pengaruh serta imbalan berbentuk material. Mereka turut membuat promosi seperti tukang jual ubat tadi dengan dakwaan bahawa ajaran yang mereka bawa memiliki kelebihan tertentu yang mana para pengikut-pengikutnya pasti akan masuk syurga. Tambah mereka lagi ajaran yang mereka bawa ini hanyalah untuk golongan-golongan yang khusus sahaja kerana Tuan Guru mereka mendapat ajaran-ajaran ini menerusi mimpi yang mana mereka telah bertemu Rasulullah s.a.w. atau wali-wali tertentu. Sehubungan itu tidaklah menghairankan sekiranya terdapat perbezaan dalam amalan mereka berbanding dengan orang-orang awam yang lain kerana ajaran mereka yang istimewa ini tiada dalam kitab-kitab fekah yang kebiasaanya digunakan bahkan ada juga yang tiada di dalam al-Qur’an mahupun hadi-hadis.

Bagi mereka yang lemah akalnya pasti akan mudah terpengaruh apabila mendengarkan cerita-cerita berunsur misteri dan janji-janji manis seperti pahala yang begitu banyak serta jaminan ke syurga. Segala-galanya seperti harta-benda bahkan maruah diri sanggup dikorbankan kepada Tuan Guru yang membawa ajaran tersebut kerana dia dianggap memiliki kemuliaan serta kedudukan yang begitu tinggi sehinggakan Rasulullah s.a.w. sendiri telah bertemu dengannya menerusi mimpi atau dalam keadaan sedar untuk mengajar ilmu-ilmu yang hebat itu. Sehubungan dengan itu timbul persoalan yang bermain-main dalam fikiran semua. Bolehkah kita menerima dakwaan bahawa setelah wafatnya Rasululullah s.a.w. masih tersisa ajaran-ajaran baru yang hendak disampaikan pada umatnya menerusi mimpi?

Bila membicarakan tentang mimpi maka terdapat sekelompok manusia yang hanya melihatnya sebagai mainan jiwa yang tidak memberi sebarang manfaat. Manakala terdapat segolongan lagi yang bergantung hidup kepada mimpi sehinggakan ia menjadi penentu ketika hendak membuat sebarang keputusan dalam hidupnya. Segala mimpi hendak ditafsirkan agar boleh dijadikan pedoman bagi golongan sebegini. Ada juga yang mempercayai wujud mimpi-mimpi yang boleh bertindak seumpama wahyu daripada Ilahi sehinggakan ia boleh dijadikan hujah bagi membentuk hukum-hukum serta amalan-amalan baru walaupun ia tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w..

Bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah mimpi itu pada dasarnya terdapat 3 jenis sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. : “Mimpi itu tiga jenis, mimpi yang benar berbentuk khabar gembira daripada Allah, mimpi sedih daripada syaitan dan mimpi yang disebabkan mainan jiwa seseorang.” [Hadis riwayat Imam Muslim] Mimpi daripada syaitan dan mainan jiwa sememangnya tiada memberi sebarang erti, namun bagi mimpi yang berbentuk khabar gembira daripada Allah s.w.t., ia merupakan mimpi yang benar dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Nabi s.a.w. bersabda: “Tiada lagi kenabian setelah aku kecuali al-Mubasysyiraat (berita-berita yang menggembirakan).” Para sahabat bertanya apakah yang dimaksudkan al-Mubasysyiraat? Sabda Nabi s.a.w.: “Mimpi yang benar yang dimimpikan oleh orang yang soleh.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari] Ada yang menjadikan hadis ini sebagai bukti bahawa mimpi guru-guru atau syaikh-syaikh mereka boleh dijadikan dalil dalam membawa ajaran-ajaran yang baru. Namun sebenarnya al-Mubasysyiraat hanyalah mimpi yang berbentuk khabar-khabar gembira atau berita-berita amaran yang boleh membantu orang Islam memantapkan keimanan mereka. Al-Mubasysyiraat bukan bertujuan untuk menggubal hukum-hukum yang baru kerana segala ajaran tentang Islam ini telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w. wafat. Allah S.W.T telah memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan apa yang telah diwahyukan kepadanya terhadap seluruh umat manusia. Frman-Nya: “Wahai Rasulullah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), bermakna engkau tidak menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah yang akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” [al-Maaidah (5) : 67] Rasulullah s.a.w sebagai seorang yang maksum (terpelihara dari melakukan kesilapan) pasti telah melaksanakan perintah Allah tersebut. Sebelum baginda diwafatkan, Allah S.W.T tentu telah menyempurnakan agama Islam sehingga tidak lagi memerlukan apa-apa bentuk penambahan menerusi mimpi-mimpi. Menurut Abu Dzar al-Ghifari r.a: “Rasulullah s.a.w meninggalkan kami dan tidak ada seekor burung yang mengepakkan kedua sayapnya di udara melainkan baginda menyebutkan kepada kami ilmu tentangnya. Dia berkata: Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak tertinggal sesuatupun yang dapat mendekatkan seorang hamba kepada syurga dan menjauhkannya dari neraka melainkan aku telah jelaskan kepada kamu semua.” [Hadis sahih riwayat al-Tabrani]

Mimpi yang benar ini kebiasaannya terjadi kepada orang soleh yang taat kepada sunnah Nabi namun adakalanya manusia yang biasa juga turut mengalaminya. Mimpi yang benar adalah berupa khabar gembira daripada Allah bagi hamba-hamba-Nya dengan memberi gambaran tentang perkara-perakara baik yang bakal berlaku. Mimpi yang benar ini akan menjadi kenyataan dalam hidup seseorang itu. Mimpi yang benar juga boleh terjadi dalam bentuk peringatan terhadap hamba-hambanya tentang perkara buruk yang bakal berlaku agar dia boleh berusaha untuk mengelaknya dari terjadi ataupun berbentuk amaran supaya jangan melakukan sesuatu maksiat. Inilah lapangan skop mimpi yang benar dan ianya tidak lebih dari itu. Ia bukanlah hujah syarak mahupun dalil-dalil yang boleh dipergunakan untuk membentuk fahaman yang baru sebagaimana yang difahami sesetengah pihak. Kandungan mimpi yang benar tidak akan bertentangan dengan ajaran yang terdapat di dalam al-Qur’an dan Sunnah bahkan ia berfungsi sebagai memperjelaskan atau memperingatkan seseorang tentang ajaran yang terkandung di dalam al-Qur’an mahupun Sunnah.

Mimpi bertemu dengan Nabi s.a.w. juga merupakan sebahagian dari al-Mubasysyiraat (berita-berita yang menggembirakan) yang terjadi kepada sesetengah manusia yang beruntung. Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku secara benar. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja maka dia telah mengambil tempat duduk dallam neraka.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami seseorang itu hanya dianggap telah benar-benar bertemu Rasulullah s.a.w. di dalam mimpi sekiranya paras rupa Rasulullah yang ditemuinya itu sesuai dengan sebagaimana yang telah digambarkan di dalam hadis-hadis yang sahih. Sekiranya paras rupa Rasulullah yang dilihatnya dalam mimipi tersebut tidak selari dengan hadis-hadis maka berkemungkinan besar orang yang bermimpi itu telah diperdaya oleh syaitan yang menyerupai seseorang yang lain tetapi mengaku sebagai Nabi kerana syaitan hanya tidak boleh menyerupai paras rupa nabi yang sebenar. Telah amalan umat Islam terdahulu (generasi salaf) apabila seseorang mengaku bertemu Nabi, dia dikehendaki untuk memberikan gambaran paras rupanya dalam mimpi itu. Ibnu Sirin r.h umpamanya akan bertanya kepada seseorang yang mengaku bertemu Nabi s.a.w. dalam mimpi: “Ceritakan kepadaku apa yang anda lihat.” Sekiranya diceritakan kepada beliau sifat-sifat Rasulullah s.a.w. yang tidak diketahuinya, beliau akan menegaskan: “Anda sebenarnya tidak bermimpi bertemu dengan baginda s.a.w.”

Seterusnya kandungan mimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. itu tetap perlu dipertimbangkan dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabya Mauqiful Islam Minal Ilham wal Kasyaf wa Ra’yu waminat-Tama’im wal Kahanah war-Ruqaa’: “Seseorang yang bermimpi bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam tidurnya, lalu Nabi menyuruh atau melarangnya dari melakukan sesuatu, atau menzahirkan kecintaan kepada sesuatu atau kepada peribadi atau kepada kumpulan tertentu atau menunjukkan kemurkaan dan kebenciannya kepada seseorang atau jemaah atau sesuatu pendirian atau amalan, semuanya ini tidak boleh diambil kira dan tidak mensabitkan sebarang hukum syarak baik hukum wajib, sunat haram, makruh dan juga harus atau memberikan ketuanan, pembebasan mahupun permusuhan. Semuanya perlu dibentangkan terlebih dahulu kepada syari’at yang sabit lagi maksum. Jika bertepatan ia boleh diterima tetapi jika sebaliknya yang menjadi hujah tetap syari’at. Mimpi hanya untuk menggembirakan atau menjinak-jinakkan hati sahaja.”

Tambah Dr Yusuf Qaradhawi lagi : “Perkara yang hanya dipertanggungjawabkan (taklif) oleh Allah supaya kita meyakini dan beramal dengannya ialah sesuatu yang diwahyukan kepada Rasul-Nya semasa hayat Rasul tersebut, bukan berdasarkan kepada apa yang dibawa oleh mimpi di dalam tidur setelah kewafatannya.”

Seringkali kedengaran ada kelompok tertentu yang mendakwa bahawa ajaran yang terdapat di dalam tarekat mereka ini di ambil oleh Syaikh mereka daripada Rasulullah s.a.w. dalam keadaan sedar atau terjaga. Mereka mendakwa bahawa ajaran-ajaran tersebut walaupun berbeza dengan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an atau sunnah, bercanggah pula dengan pendapat para ulamak fekah mahupun hadis tetap boleh diamalkan kerana ianya diterima secara terus daripada Rasulullah s.a.w. dalam keadaan sedar. Mereka berhujah dengan sebuah riwayat yang mana Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang melihatku dalam mimpi, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga dan syaitan tidak mampu menyerupaiku.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Walaupun hadis ini sahih namun tafsiran mereka terhadapnya tidak benar. Rasulullah s.a.w. telah wafat sebagaimana manusia yang lain. Firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula) Kemudian sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan berbantah-bantah di hadapan Tuhanmu. [al-Zumar (39) : 30-31] Baginda hanya akan dibangkitkan semula di alam akhirat setelah terjadinya kiamat. Maka tiada nas yang menunjukkan bahawa baginda boleh bangkit di dunia dan boleh bertemu dengan seseorang secara fizikal dan mengajar mereka ajaran-ajaran tentang Islam. Tiada suatu riwayat pun yang menunjukkan para sahabat Nabi pernah berjumpa baginda dalam keadaan sedar setelah baginda wafat sedangkan merekalah yang paling rapat dengan baginda, paling warak dan tawaduk.

Al-Hafiz Ibnu Hajar r.h juga menempelak dakwaan golongan yang mengaku bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan sedar menerusi kitabnya Fathul Baari. Menurut beliau: “Hal ini begitu aneh. Jika dimaksudkan (pertemuan tersebut) secara zahir maka mereka (yang mendakwa bertemu Nabi secara sedar) itu boleh dianggap sahabat Nabi, sedangkan tidak mungkin sahabat Nabi itu akan ada terus menerus sehingga hari kiamat.”

Tentang maksud sebenar maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga maka Imam al-Nawawi r.h telah memberikan tiga pendapat:

Pertama, ia berkaitan dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah s.a.w. Oleh tu sesiapa yang bermimpi bertemu dengan Nabi sedangkan dia belum berhijrah maka Allah akan memberi taufik kepadanya untuk berhijrah dan bertemu dengan Nabi secara zahir.

Kedua, dia akan melihat kenyataan mimpinya tersebut dalam keadaan terjaga pada hari kiamat, kerana semua umat baginda akan melihatnya pada hari kiamat.

Ketiga, dia akan melihat Nabi s.a.w. pada hari akhirat secara khusus dalam keadaan dekat dan mendapat syafaat daripadanya atau yang semisalnya.

Sewajarnya kita memahami bahawa Allah S.W.T. tidak membebankan seseorang itu dengan apa yang terjadi ketika mimpi. Nabi s.a.w. bersabda: “Catatan amal diangkat dari tiga orang, anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga terbangun dan dari orang gila hingga sedar” [Hadis riwayat Imam Abu Dawud] Dari hadis ini dapat kita fahami bahawa ketika tidur seseorang itu terlepas dari sebarang tanggungjawab, maka bukanlah suatu kemestian bagi seseorang itu untuk melaksanakan apa sahaja yang dilihatnya ketika bermimpi melainkan ianya sesuai dengan tuntunan syarak.

Allah S.W.T telah menyempurnakan syariat agama Islam dengan penurunan wahyu kepada Nabi s.a.w. semasa hayat baginda. Kesempurnaan syariat agama Islam ini diakui sendiri oleh Allah S.W.T. melalui firman-Nya: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redha Islam menjadi agama kamu.” [al-Maaidah (5) : 3] Sempurna dalam ayat ini bererti ianya telah lengkap. Sekiranya agama telah sempurna, mengapa kita masih memerlukan mimpi untuk dijadikan perantaraan bagi menerima amalan-amalan baru yang tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah dan para salafussoleh (ulama terdahulu)? Justeru, mereka yang mendakwa sesuatu ajaran baru itu masih boleh diterima menerusi mimpi hanya mencerminkan gambaran pemikiran mereka yang menganggap Islam ini belum sempurna sehingga memerlukan ritual-ritual baru. Sungguh rosak pemikiran sedemikan rupa.

Khamis, 29 Oktober 2009

Persaudaraan Syaitan Bersyiarkan Halloween

Persaudaraan Syaitan Bersyiarkan Halloween
Oleh Ustaz Hasrizal
SUMBER : http://www.saifulislam.com/

“Imam, apa nasihat awak kepada anak-anak kami supaya mereka tidak sibuk menyambut Halloween hujung minggu ini?” tanya seorang bapa kepada saya.

Beliau sedang menunggu Sunday School tamat tengah hari itu untuk mengambil si anak.

“Sulit. Aktiviti membuat kostum, menyiapkan bakul gula-gula, melukis poster, mengukir labu, semua itu sangat menarik perhatian anak-anak, bukan? Tempting!” saya membetulkan ketayap di kepala.

“Betul, Imam. Memberitahu anak-anak bahawa segala keseronokan itu bertentangan dengan Islam memang sulit. Saya masih mencari alternatifnya,” kata si bapa.

“Mungkin di sinilah kesilapan ibu bapa. Ada yang kuat semangat Islam, menentang sambutan harijadi, tetapi yang ditentang bukan sekadar konotasi ‘tidak Islamik’ pada sambutan harijadi itu, malah memberi hadiah kepada anak-anak pun tanpa disedari turut ditentangnya. Padahal, jika birthday itu salah sekali pun, memberi hadiah dan menyatakan penghargaan kepada anak-anak adalah Sunnah,” saya berkongsi pandangan.

“Betul. Tak sambut birthday, jangan sampai tak pernah beri anak hadiah,” tambah beliau.

“Tak bagi anak berseronok menyambut Halloween, janganlah semasa Aidilfitri pun bapa tidak bercuti untuk bergembira dengan keluarga,” saya turut menokoknya.

Kelas sudah tamat.

Anak-anak sudah keluar dari kelas dan berlari-lari turun naik tangga masjid.

Pada suatu ketika, saya dan guru-guru pening kepala dengan kerenah mereka yang sangat suka berlari di dalam bangunan masjid hingga bergegar bagai gempa bumi. Tetapi apabila memikirkan rumah Victorian masing-masing yang sempit dan berbilik-bilik, maka masjid jualah bangunan lapang yang dilihat di mata mereka seperti trek balapan!

Kawal sahaja, tidak kuasa melarangnya.

MURID TUA

Keghairahan menyambut Halloween bukan hanya mengHANTUi kanak-kanak, malah turut menggeletek naluri murid tua daripada kalangan anak muda di universiti. Andaikata mereka itu remaja yang lahir dan membesar di negara Barat, tidaklah sukar untuk difahami dari mana keinginan itu dirangsang. Tetapi jika mereka baru setahun dua menjenguk negeri orang dan ghairah mahu menyertai apa sahaja yang dilakukan massa, ia lebih kepada masalah kejutan budaya berbanding survival identiti yang dialami oleh American atau British Muslim generasi kedua dan ketiga.

“So, bolehkah ustaz kami menyambut Halloween?” tanya pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Ireland, tanah Celtic tempat lahirnya Samhain, Halloween dalam lingkungan Paganism di suatu ketika dahulu.

“Sebenarnya tiada jawapan yang muktamad untuknya,” saya melayan soalan yang ditanya.


Menjawab secara reverse psychology.

Nampak ceria di wajah pelajar yang bertanya, kerana seperti bakal menerima kurniaan keharusan menyambut Halloween daripada Ustaz Hasrizal. Bolehlah nanti dialasankan, harus menyambut Halloween menurut Ustaz Hasrizal!

“Ia bergantung kepada tahap sensitiviti kamu kepada agama. Tahap kepentingan Allah dalam hidup kamu” saya menyambung.

Berubah sedikit wajahnya.

“Jika kamu anggap, yang salah di dalam Islam hanya jika kamu sujud ke salib di gereja atau menyembah berhala di kuil dan tokong, maka Halloween tidaklah sampai ke situ. Walaupun ia adalah amalan Pagan yang lebih merupakan Festival of the Dead, hari ini perayaan Halloween sudah terpisah daripada sejarahnya. Saya rasa, hanya segelintir kawan Irish kamu yang sedar akan asal usul Halloween ini,” saya meneruskan jawapan.

“Betul ustaz. Sudah jadi budaya, bukan lagi agama. Macam Chinese New Year!” sampuk pelajar itu.

“Budaya sekular!” tokok seorang lagi.

Saya mengiyakan kata-kata mereka.

Halloween dengan sejarahnya yang penuh dengan tahyul itu, tidaklah disambut hari ini dengan kepercayaan yang sama. Labu Jack-o’-lantern itu bukan lagi untuk membantu roh Jack merayau antara langit dan bumi, atau untuk menghalau hantu.

Tetapi tanpa semua itu, Halloween masih Halloween.

Bagaimanakah tahap sensitiviti kita kepada isu-isu berikut?

IMITASI JAHILIAH

Islam mementingkan proses memelihara jati diri penganutnya. Tersendiri dan beridentiti.
Selain cara berpakaian yang ada kod tertentu berkaitan aurat sebagai asas dan keperluan memelihara janggut bagi lelaki, Islam juga menegah perbuatan meniru trend kaum lain yang menghilangkan identiti Islam seorang Muslim. Justeru Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Barangsiapa yang menyerupakan dirinya dengan satu-satu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada kaum tersebut” [Hadith daripada Ibn Umar radhiyallaahu 'anhuma, dikeluarkan oleh Abu Dawood dan disahihkan oleh Ibn Hibban]

Walaupun hadith ini lemah kerana wujudnya perawi bernama ‘Abdullah ibn Luhay’ah, ia diperkukuhkan oleh pelbagai riwayat lain yang memperincikan penegasan yang sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam seperti penegasan beza puasa kita dengan puasa Ahli Kitab pada Sahur, penegasan antara lubang dan liang lahad pada cara mengebumikan jenazah, juga pada soal bersolat dengan sarung kaki atau tidak.

Tegasnya, meraikan Halloween itu melucutkan jati diri Muslim, dan meniru identiti kaum yang mensyirikkan Allah dan meraikan kufur sebagai gurau senda harian.

PERGAULAN BEBAS

Sambutan Halloween sama ada di jalanan atau di parti-parti yang dianjurkan, sangat sinonim dengan amalan pergaulan bebas. Bercampur aduk di antara lelaki dan perempuan dalam suasana liar, malah keliru di antara lelaki dan perempuan kerana kostum yang pelbagai, sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah Halloween sangat sinonim dengan pertambahan kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan seks seperti rogol. Biar pun jenayah ini mengalami normalisasi akibat budaya Barat yang bertolak ansur malah menerima seks bebas ini, bagaimana pula dengan Islam, al-Quran, kubur, Akhirat, Syurga, Neraka dan Allah Subhanahu wa Ta’aala itu sendiri?

Soalnya sejauh manakah sensitiviti kita terhadap hal tersebut?

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan)” [al-Israa' 13: 32]

Halloween adalah pakej lengkap untuk anak muda mendekatkan diri kepada zina.

MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM

“Trick or treat?!” sergah anak-anak muda di pintu rumah.

Tuan rumah mempunyai dua pilihan.

Sama ada melayan ‘hantu-hantu’ yang datang ke muka pintu (treat), atau disumpah dengan sial di dalam sejarah atau helah mengena yang dikenakan mengikut kreativiti mereka (trick).

Mengetuk pintu rumah pada waktu malam untuk gurau senda versi Halloween ini amat mengganggu ketenteraman awam. Orang tua dan bayi kecil adalah golongan yang paling terjejas. Tambahan pula dengan penyertaan mercun, Halloween sangat mengganggu malah bisa juga memudaratkan orang lain.

Ia bertentangan dengan definisi Muslim yang disebut oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Seorang Muslim itu ialah seseorang yang para Muslim lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya” [Muttafaq 'alayhi]

Muslim mengambil berat dan membantu jiran tetangga.

Muslim tidak menyusah dan mengganggu mereka.

PEMBAZIRAN

Matlamat baiknya tiada.

Belanja meraikan Halloween membabitkan wang dan masa.

Kombinasi antara wang dan masa yang dibelanjakan dengan matlamat baik yang tiada, menghasilkan formula pembaziran.

Berapakah keuntungan yang diperolehi oleh peniaga-peniaga yang menjual kostum serta segala peralatan untuk menyambut Halloween? Berapakah penjimatan yang boleh dilakukan apabila kita tidak menjadi manusia yang sentiasa mengikut trend, buat apa yang orang lain buat, beli apa yang orang lain beli, pakai apa yang orang lain pakai?

Ada saudara mara yang kesusahan, ada anak yatim dan miskin yang memerlukan bantuan, ada tanggungjawab belajar yang memerlukan buku serta pelbagai proses pembelajaran lain yang perlu diutamakan, mengapa Halloween jadi pilihan?

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [al-Israa' 17: 26-27]

Ada banyak bentuk pembaziran lain yang menjadikan kita saudara Syaitan. Tetapi membazirkan wang dan masa untuk Halloween, adalah acara rasmi menjadi saudara Syaitan dengan sokongan kostum dan kegilaan laku.

LAGHA

Apa sahaja perbuatan yang tidak dapat dijustifikasikan motifnya secara positif pada neraca agama, adalah lagha.

Menghindarkan diri daripada perkara-perkara lagha itu adalah salah satu daripada jalan penting untuk seorang insan beriman mengecap kejayaan di dunia dan di Akhirat.

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Usaha seorang Mukmin mencegah dirinya daripada terbabit dengan sambutan Halloween adalah sebahagian daripada sikapnya yang perlu berterusan pada mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Jelas sekali keupayaan mengawal diri agar kehidupan terisi dengan manfaat, kebajikan dan kebaikan, adalah sikap-sikap manusia berjaya, dan selayaknya golongan yang berjaya itu didahului oleh Mukmin yang sudah sedia menerimanya sebagai sebahagian daripada tujuan hidup.

PENTINGKAH SEMUA ITU?

“Berbalik kepada persoalan asal tadi, pentingkah semua itu kepada kita?” saya mengejutkan pelajar daripada lamunan mereka.

“Nasihat saya ini tidak relevan jika Halloween mahu dihindarkan, sedangkan majlis tari menari, keluar masuk rumah lelaki dan perempuan secara bebas dan semua itu masih menjadi kebiasaan harian kita. Semuanya berbalik kepada tahap sensitiviti anda. Ia besar bagi seorang Mukmin yang menjadikan Allah sebagai keutamaan tertinggi hidupnya. Ia remeh bagi Muslim yang lebih cenderung untuk menjamu nafsunya berbanding tujuan hidup yang tinggi. Terpulang” saya menyudahkan sesi soal jawab.

Teringat kembali kepada sambungan perbualan saya bersama ibu bapa pelajar Belfast Islamic School.

Kami para guru menganjurkan kepada ibu bapa pelajar supaya berhemah dalam menerangkan hal ini kepada anak-anak. Jangan sampai nanti, ada anak-anak yang beranggapan bahawa ibu bapa mereka menjadikan agama sebagai alasan untuk tidak mengeluarkan belanja, mengongkong anak-anak sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa yang mematuhi agama.

Pastikan sambutan Aidilfitri dan Aidiladha cukup manis untuk dikenang oleh anak-anak. Elakkan bekerja pada hari perayaan kaum Muslim yang dianugerahkan Allah dan Rasul ini.
Berikan keyakinan kepada anak-anak untuk berani tersendiri. Mempunyai identiti dan tidak sentiasa terpaksa serupa dengan orang lain.

Jika terdesak, cutikan sahaja anak-anak daripada hari persekolahan ketika parti Halloween diadakan.

Dan apa yang lebih utama, jadikan Islam benar-benar sebagai sistem nilai keluarga. Jangan tunggu Halloween baru mahu ‘menggunakan’ Islam.

Dalam situasi seperti ini, ‘presenting problem’ yang ada di depan mata adalah Halloween. Tetapi ‘the real problem’ yang perlu diberikan perhatian ialah, di mana Islam dalam hidup kamu?

Soalan itu semakin ganjil apabila ia dirujuk kepada keghairahan warga Malaysia menyertai Halloween kebelakangan ini.

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
========================
BACA JUGA ARTIKEL "HALLOWEEN KERAMAT?" DI :

Jumaat, 16 Oktober 2009

Tawassul : Antara Sunnah Dan Bid'ah


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila manusia dirundung pelbagai masalah dalam kehidupan dan seolah-olah tiada insan lain yang ingin menghulurkan bantuan untuk mengharungi kedukaan tersebut, janganlah merasa gelisah kerana sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa berada bersama kita dan mendengar doa permohonan hamba-hamba-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda: Doa adalah ibadah. (Lalu baginda membaca ayat): Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmdzi]


Menerusi hadis di atas dapat kita perhatikan bahawa doa itu termasuk dalam perkara ibadah. Justeru wajib doa itu dimohonkan ikhlas hanya kepada Allah S.W.T. dan tatacara doa itu hendaklah mengikuti apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w. Maka timbul pertanyaan bagaimanakah amalan tawassul yang diamalkan oleh segelintir manusia yang berdoa menerusi perantaraan zat atau kemuliaan Nabi s.a.w. ataupun orang-orang soleh yang telah meninggal dunia? Adakah tatacara ini bersesuaian dengan Sunnah Nabi s.a.w. seperti tanggapan sesetengah pihak?


Makna tawassul secara mudah adalah mengambil suatu perantaraan yang boleh menyampaikan seseorang kepada tujuannya. Oleh itu sesetengah pihak beranggapan, sesuatu doa itu akan lebih mudah untuk dimakbulkan sekiranya kita menjadikan Nabi s.a.w. atau mereka yang dianggap wali sebagai perantaraan dalam doa tersebut. Sebagai contoh di antara lafaz-lafaz doa tawassul tersebut adalah “Ya Allah, dengan hak Nabi-Mu atau dengan kemuliaan Nabi-Mu maka perkenankanlah doa ku…” atau “Ya Allah dengan kemuliaan wali-Mu Syaikh Abdul Qadir al-Jailani perkenankanlah doaku…”. Malah ada yang lebih melampaui batas sehingga membenarkan berdoa kepada Allah menerusi perantaraan kuburan-kuburan para Nabi-Nabi dan wali-wali.


Para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah membahagikan tawassul ini kepada dua jenis. Pertama, tawassul yang selari dengan syarak, iaitu bertawassul dengan wasilah (perantaraan) yang benar, wasilah yang berupaya untuk menghantar keinginannya (kepada Allah S.W.T). Kedua, tawassul yang tidak dibenarkan iaitu bertawassul kepada Allah S.W.T. dengan dengan sesuatu yang tidak ditetapkan sebagai wasilah oleh syarak.


Berikut adalah bentuk tawassul yang selari dengan syarak.


1) Tawassul menerusi Nama-Nama Allah yang indah serta Sifat-Sifat-Nya yang sempurna.

Dibenarkan untuk berdoa menerusi perantaraan Nama-Nama Allah yang Indah serta Sifat-Sifat-Nya yang sempurna. Firman-Nya: “Hanya milik Allah nama-nama yang indah, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” [al-A’raaf (7) : 180]


Contoh lafaz doa dalam menggunakan Nama-Nama Allah adalah sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Abdullah ibnu Mas’ud r.a: “Saya memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang menjadi milik-Mu, yang Engkau sendiri menamakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan ilmu-Nya di dalam Kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada salah seorang daripada hamba-Mu, atau yang Engkau simpan dalam ilmu ghaib di sisi-Mu …” [Hadis riwayat Imam Ahmad]


Contoh lafaz doa menggunakan sifat Allah pula adalah: “Ya Allah, dengan ilmu ghaib-Mu dan takdir-Mu terhadap makhluk, hidupkanlah aku selagi Engkau tahu bahawa hidup itu lebih baik bagi ku dan matikanlah aku selagi Engkau tahu bahawa mati itu lebih baik bagiku.” [Hadis riwayat Imam al-Nasa'i]


2) Tawassul dengan Amal Soleh


Kita juga dibenarkan untuk menggunakan amal-amal soleh yang kita lakukan sendiri sebagai wasilah (perantaraan) dalam permohonan doa kita kepada Allah S.W.T. Doa bentuk ini adalah sebagaimana yang telah diajar oleh Allah menerusi firman-Nya: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul, karena itu masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi (tentang keesaan Allah)." [Ali ‘Imran (3) : 53]


Rasulullah s.a.w. juga telah menceritakan (sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari) bagaimana tiga pemuda yang bermalam di falam sebuah gua, kemudian mereka terperangkap di dalamnya setelah sebuah batu besar jatuh menutupi mulut pintu gua tersebut. Mereka telah berusaha untuk mengangkat batu tersebut namun ternyata ia terlalu berat untuk mereka. Akhirnya mereka berdoa kepada Allah dan bertawassul dengan amal soleh mereka iaitu berbakti kepada ibu dan bapa, menghindari perbuatan zina dan amanah terhadap hak orang lain. Lafaz doa mereka adalah: “(Ya Allah!) Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu semata-mata kerana mencari Wajah-Mu, maka berilah kami satu bukaan untuk melihat langit (dari dalam gua tersebut)” Maka Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.


3) Tawassul dengan doa orang yang soleh yang masih hidup

Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekiranya kita berjumpa dengan orang soleh yang masih hidup dan memiliki pengetahuan yang tinggi tentang al-Qur’an dan al-Sunnah lalu meminta agar dia mendoakan apa yang kita inginkan. Contoh tawassul jenis ini begitu banyak. Di antaranya adalah hadis daripada Anas r.a yang mengisahkan tentang tawassulnya ‘Umar r.a kepada ‘Abbâs r.a ketika musim kemarau. ‘Umar r.a berkata : “Ya Allah, kami dulu bertawassul kepada-Mu dengan Nabi kami, lalu Engkau turunkan hujan kepada kami, dan sekarang kami bertawassul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan.” Anas berkata: “Lalu turunlah hujan kepada mereka.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]


Sesungguhnya apabila terjadi musim kemarau pada zaman Rasulullah s.a.w. maka para sahabat datang kepada baginda memohon agar baginda berdoa supaya diturunkan hujan. Maka bagindapun berdoa lalu turunlah hujan lebat terus-menerus selama seminggu sehingga menyebabkan banjir di beberapa tempat. Kemudian mereka meminta pula baginda berdoa agar hujan tersebut berhenti. Peristiwa ini telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a di dalam Sahih al-Bukhari. Oleh itu kata-kata ‘Umar di dalam hadis di atas bermaksud mereka dahulu kita kemarau telah bertawassul dengan doa Rasulullah s.a.w. Lantas pada zaman beliau baginda telah wafat dan tidak lagi boleh untuk mendoakan bagi mereka maka mereka meminta bapa saudara Nabi iaitu ‘Abbas untuk berdoa agar diturunkan hujan


Menerusi peristiwa tawassulnya ‘Umar menerusi doa ‘Abbas ini, tidakkah terdetik di fikiran para pembaca sekiranya bertawassul menerusi kehormatan Nabi s.a.w. ataupun orang-orang soleh yang telah meninggal dunia merupakan wasilah yang selari dengan syarak mengapa mereka tidak menjadikan Nabi mahupun Abu Bakar atau mereka yang gugur syahid ketika perang Badar sebagai perantaraan dalam doa mereka? Kenapa ‘Umar tidak memerintahkan mereka untuk pergi ke kuburan mereka dan berdoa di situ? Ini adalah bukti yang kukuh bahawa ‘Umar dan para sahabat mengetahui perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam bentuk tawassul yang dibenarkan oleh syarak.


Pada zaman‘Umar r.a. tentera Islam telah berjaya menawan kubu Tustar. Ibnu Ishaq di dalam kitabnya al-Maghazi telah meriwayatkan bahawa tentera Islam telah menemui sekujur mayat yang tidak reput di atas sebuah katil di dalam Balai Perbendaharaan al-Hurmuzan. Di atas kepala mayat tersebut terdapat sebuah kitab lalu ia diserahkan kepada ‘Umar. ‘Umar kemudian mengarahkan Ka’ab r.a untuk menterjemahkan kandungan kitab tersebut. Ternyata kitab tersebut menceritkan kisah-kisah umat yang lampau serta kejadian yang bakal berlaku dan diyakini bahawa mayat tersebut merupakan mayat seorang Nabi Allah bernama Danial a.s.. Sekiranya terjadi musim kemarau maka masyarakat setempat di situ akan membawa keluar katil dan mayat tersebut untuk dijadikan perantaraan dalam meminta hujan. Apakah arahan ‘Umar terhadap mayat tersebut? Adakah beliau menyuruh agar dibina kuburan berserta kubah yang besar agar mudah untuk masyarakat tersebut bertawassul dengan zat atau kehormatan Nabi Danial di sisi kuburnya? Ternyata hal itu tidak berlaku. ‘Umar mengarahkan untuk digali tiga belas liang lahad secara berselerakkan pada siang hari. Pada sebelah malamnya mereka menguburkan jasad Nabi Danial di dalam salah satu liang tersebut dan dikambus kesemuanya agar masyarakat di situ tidak dapat menjejak di mana kubur Nabi Danial. Ini merupakan bukti yang kukuh bahawa ‘Umar dan para sahabat tidak mengiktiraf amalan tawassul di kuburan para Nabi s.a.w. bahkan orang-orang soleh kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar mereka tatacara doa sedemikian rupa.


Kita lihat pula hadis orang buta yang sering dijadikan dalil untuk membenarkan tawassul menerusi kemuliaan atau kehormatan Rasulullah s.a.w.. “Daripada ‘Utsman bin Hunaif: Bahwasanya seorang lelaki yang matanya buta telah berjumpa Nabi s.a.w. lalu berkata : “Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkanku.” Nabi menjawab: “Jika kamu mahu aku akan mendoakanmu, dan jika kamu mahu untuk bersabar maka hal ini lebih baik.” Lalu orang buta itu berkata: “Berdoalah”. Lantas Nabi memerintahkannya untuk berwuduk dengan sempurna lalu solat dua rakaat kemudian berdoalah dengan doa ini: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang penuh rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya saya menghadap dengan engkau kepada Rabbku untuk memenuhi hajatku ini, maka penuhilah untukku. Ya Allah, terimalah syafaatnya untukku dan terimalah syafaatku untuknya.” Dia (‘Utsman bin Hunaif) berkata: “Lelaki buta itu mengamalkannya lalu dia pun sembuh.” [Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah]


Sekiranya kita melihat pada permulaan hadis ini sahaja sudah cukup jelas bahawa orang buta itu bertemu Rasulullah s.a.w. bertujuan untuk memohon baginda berdoa untuknya. Sekiranya dia ingin bertawassul melalui zat atau kemuliaan Rasulullah seperti sangkaan sesetengah pihak, kenapa dia perlu bertemu dengan baginda sedang dia boleh duduk sahaja di rumahnya sendiri dan terus berdoa “Ya Allah, dengan hak Nabi-Mu atau dengan kemuliaan Nabi-Mu maka kembalikanlah penglihatan ku…”? Apatah lagi baginda memberikan pilihan kepadanya, adalah afdal sekiranya dia bersabar dengan kecacatan yang telah Allah kurniakan kepadanya, namun dia tetap ingin didoakan. Maka Nabi berjanji akan mendoakannya dan mengajarinya doa.


Rasulullah juga turut memerintahkan orang buta tersebut untuk berwuduk dengan sempurna lalu mengerjakan solat sunat itu sendiri sebelum berdoa. Ini semua menjurus kepada bentuk tawassul menerusi amal soleh seperti yang telah dibincangkan. Setelah itu Nabi berdoa agar penglihatan orang buta itu dikembalikan kemudian baginda mengajarnya lafaz doa seperti yang termaktub dalam hadis tersebut kepada orang buta itu.


Tafsiran sebenar dan bersesuaian dengan tujuan orang buta itu bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bagi lafaz “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad…” adalah “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan doa Nabi-Mu”


Sekiranya orang buta itu bertawassul dengan zat atau kemuliaan Rasulullah s.a.w. maka bagaimana hendak difahami lafaz doa “Ya Allah, terimalah syafaatnya (Rasulullah) untukku (orang buta), terimalah syafaatku (orang buta) untuknya (Rasulullah)”? Adakah setelah orang buta itu bertawassul dengan kehormatan Rasulullah lalu baginda pula bertawassul dengan kehormatan orang buta tersebut? Syafaat secara bahasa bermaksud doa. Maka tafsiran yang benar bagi lafaz doa di atas adalah, “Ya Allah, terimalah doa Rasulullah s.a.w. untuk aku dan terimalah doaku agar engkau makbulkan doa Rasulullah s.a.w. untuk mengembalikan penglihatanku.”

Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa di dalam riwayat-riwayat yang lebih kuat tiada lafaz “dan terimalah syafaatku untuknya”. Namun ternyata dakwaan ini adalah palsu dan berniat jahat kerana selain riwayat Imam Ibnu Majah di atas, Imam Ahmad dan al-Hakim turut meriwayatkan hadis dengan lafaz doa yang sama. Al-Hakim mengatakan bahwa hadis yang diriwayatkan dengan lafaz ini adalah sahih dari segi sanad walaupun Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak meriwayatkan dalam kitabnya dan ia turut dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi. Terdapat juga sesetengah penulis yang tidak amanah telah memotong lafaz ini apabila meriwayatkan hadis ini kerana ia menyebabkan tafsiran mereka terhadap hadis ini kepada tawassul dengan dzat atau kemuliaan Rasulullah s.a.w. tidak dapat dilakukan.


Sebenarnya para ulama telah mengkategorikan hadis tentang orang buta ini di dalam bab mukjizat-mukjizat Nabi yang mana doa baginda sememangnya mustajab. Ini membuktikan bahawa rahsia kembalinya penglihatan orang buta tersebut adalah terletak kepada berkatnya doa Rasulullah s.a.w. dan merupakan salah satu mukjizat baginda. Lantaran itu setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. tiada orang buta yang kembali pulih penglihatan mereka sekiranya mereka membaca lafaz doa tersebut seperti di dalam hadis di atas.


Oleh itu kedua-dua hadis yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. ini tidak menunjukkan kepada maksud tawassul menerusi zat atau kehormatan Rasulullah dan tidak boleh dijadikan sandaran untuk menguatkan pendapat mereka. Selebihnya mereka menggunakan hadis-hadis yang lemah (dha’if) dan ada juga yang palsu (mawdhu’) untuk mendokong pegangan mereka. Apabila dikritik kerana menggunakan hadis dha’if maka mereka menyatakan ada ulama yang membenarkan penggunaannya dalam bab fadhaail al-amal (keutamaan melakukan sesuatu amal) atau targhib (anjuran untuk melakukan sesuatu amalan) dan tarhib (amaran terhadap sesuatu amalan). Namun penggunaan hadis dha’if dalam isu tawassul ini bukan termasuk bab fadhaail al-amal mahupun targhib dan tarhib. Tetapi ia adalah hal-hal berkaitan akidah dan penetapan hukum-hakam (iaitu menetapkan hukum sunat terhadap amalan tawassul menerusi zat atau kehormatan Nabi) dan penggunaan hadis dha’if adalah sama sekali tidak dibenarkan dalam skop sebegini. (Sila rujuk artikel penulis tentang hadis Dha'if di http://akob73.blogspot.com/2008/10/bolehkah-beramal-dengan-hadis-dhaif.html )


Sesetengah pihak menuduh mereka yang menolak tawassul melalui zat dan kemuliaan Rasulullah s.a.w. termasuk di dalam golongan yang tidak mencintai dan menghormati Rasulullah s.a.w.. Pada dasarnya bukti kecintaan yang kukuh kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan mematuhi segala perintahnya, berpegang teguh kepada sunnahnya dan menghindari segala larangannya serta amalan-amalan bid’ah. Mereka yang benar-benar cintakan Rasulullah sentiasa akan menekankan betapa pentingnya konsep ittiba’ al-Rasul. Ittiba’ al-Rasul bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalat dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan. Ittiba’ bukan sekadar bukti kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. bahkan ia merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Ali ‘Imran (3) : 31]


Rasulullah bersabda: “Tinggalkan apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi] Justeru dalil-dalil yang diguna-pakai untuk membolehkan tawassul dengan zat dan kehormatan para Nabi s.a.w. serta orang-orang soleh yang telah meninggal dunia penuh dengan keraguan bahkan terlalu rapuh. Oleh itu ikutlah saranan Rasulullah s.a.w. untuk berpegang dalil-dalil yang jelas dan sah dalam isu ini iaitu dengan memanjatkan doa kepada Allah S.W.T. tanpa sebarang perantaraan yang tidak dibenarkan syarak. Firman Allah S.W.T.: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [al-Baqarah (2) : 186]



NOTA TAMBAHAN


Baru-baru ini seorang tokoh telah menulis sebuah artikel tentang tawassul menerusi Zat dan kehormatan Nabi s.a.w. di dalam sebuah majalah. Untuk menguatkan pendapat beliau ini beberapa hadis dha’if (lemah) telah digunakan. Hadis-hadis ini telah disemak oleh sahabat penulis, saudara Fathi yang merupakan ahli panel Jabatan Hadis, laman web http://www.al-fikrah.net/ dan ia boleh dirujuk di alamat :