JANGAN ABAIKAN SUNNAH BERKAITAN SUTRAH KETIKA SOLAT.
Terkenang semasa zaman
kanak-kanak dahulu semasa mula-mula belajar untuk mengerjakan ibadah solat.
Solat ketika itu ikut mana yang sempat sahaja atau yang lebih tepatnya solat
dilakukan ketika disuruh oleh ibu bapa. Solat pun didirikan dengan begitu pantas
yang mana tumakninah tidak dijaga kerana ingin mengejarkan rancangan TV atau
waktu untuk bermain. Tempat mengerjakan solat pun asalkan boleh sahaja.
Adakalanya di ruang tamu atau ruang makan yang menjadi tempat lalu-lalang ahli
keluarga yang lain. Maka bapa saya ketika itu meletakkan sesuatu barang di
hadapan saya seperti bantal atau bag. Selepas solat saya pun bertanya: “Kenapa Abah letak beg kat depan akob masa
solat tadi?” Bapa saya pun menjawab: “Ooh,
Abah letak beg tu supaya orang boleh lalu depan akob. Kau pun solat bersepah
tak kira tempat orang lalu-lalang.” Saya hanya menggangguk tanda setuju
sahaja ketika itu. Setelah dewasa dan ilmu juga telah sedikit bertambah baru
saya sedar bahawa tindakan bapa saya itu merupakan Sunnah Rasulullah s.a.w.
yang penting dan amat digalakkan untuk diamal.
Dalam seperti ini terdapat dua
konsekuensi yang perlu diperhatikan oleh semua pihak.
Pertama: Adalah
haram hukumnya untuk melintasi hadapan orang yang sedang solat. Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang
solat mengetahui apa akibat yang akan dia tanggung, nescaya dia berdiri selama
empat puluh lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang
sedang solat.” Abu al-Nadhr (salah seorang perawi hadis ini) berkata: “Aku
tidak tahu yang dimaksudkan dengan jumlah “empat puluh” tersebut, adakah empat
puluh hari, atau bulan, atau tahun.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan
Imam Muslim) Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim berkata: “Makna hadis ini, sekiranya dia
mengetahui betapa besarnya dosa dari perbuatan tersebut, pasti dia akan memilih
untuk berhenti selama empat puluh dari perlu menanggung dosa akibat perbuatan
tersebut. Jadi, hadis ini adalah larangan yang cukup keras dan ancaman yang
berat disebabkan perbuatan melintas di hadapan orang solat.” Namun begitu agak ramai
juga yang tidak ambil pusing tentang ancaman ini.
Kedua: Membiarkan orang lain
untuk melintasi dihadapan ketika seseorang itu sedang solat boleh menjejaskan
kesempurnaan solat bahkan terbatal sekiranya seorang wanita berhaid (yang telah
baligh) atau keldai atau anjing hitam yang melintasi di hadapannya. Musa ibn
Thalhah daripada bapanya, beliau berkata: “Kami pernah solat sedangkan
haiwan tunggangan lalu-lalang di hadapan kami, lalu kami menceritakan situasi
tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda bersabda: “Sekiranya telah ada
objek seperti pelana haiwan tunggangan dan diletakkan di hadapan salah seorang
dari kamu (sebagai sutrah), maka sesuatu yang melintas di hadapan mereka (di
balik sutrah) tidak akan mengancam (menjejaskan) solatnya.” (Hadis
Riwayat Imam Muslim) Rasulullah juga pernah bersabda: “Apabila salah seorang di antara
kamu melaksanakan solat, sesungguhnya dia telah memiliki sutrah bila di
hadapannya terdapat suatu penghadang seperti pelana haiwan tunggangan. Jika di
hadapannya tidak terdapat sesuatu seperti itu, solatnya akan terputus jika
dilintasi oleh keldai, wanita, dan anjing hitam.” (Hadis Riwayat
Imam Muslim) Justeru itu sekiranya ada orang lain yang ingin melintasi
dihadapan seseorang yang sedang solat, hendaklah dia menghalangnya. Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Apabila ada sesuatu melintas di hadapan salah seorang di antara kamu
yang sedang solat, maka hendaklah dia menghalangnya dari melintas sebanyak dua
kali. Apabila ia tetap juga mahu melintas,
maka lawanlah dia kerana dia adalah syaitan.” (Hadis riwayat
Imam Ibnu Khuzaimah)
Istilah syaitan di dalam hadis di atas ini bukanlah
bermakna orang yang melintasi dihadapan kita itu adalah benar-benar syaitan,
akan tetapi ia bermaksud syaitan berada bersama-sama mereka yang melintasi
orang yang sedang solat. Solat tidak batal sekiranya melakukan gerakan besar
dalam usaha untuk menghalangi sesorang atau sesuatu melintasi di hadapan orang
yang sedang solat. Diriwayatkan daripada ‘Amru ibn Syu’aib daripada ayahnya
daripada datuknya beliau berkata: “Kami bersama Rasulullah s.a.w. pernah
menuruni bukit Adzakhir, lalu tibalah waktu solat. Bagindapun melaksanakan
solat dengan menjadikan dinding sebagai arah kiblat, manakala kami berada di
belakang beliau (sebagai makmum). Tiba-tiba ada seekor anak kambing hendak
melintas di hadapan baginda, maka baginda pun segera menghalangnya sehingga
perut baginda hampir merapat (menyentuh) dinding. Akhirnya anak kambing
tersebut melintas melalui belakang baginda.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)
Kita kembali kepada tindakan bapa saya yang meletakkan
beg atau bantal di hadapan saya, ia adalah bertujuan untuk dijadikan sutrah
atau penghadang bagi seseorang yang mendirikan solat
dengan orang atau sesuatu yang berjalan di hadapannya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila
salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang setinggi
seperti pelana haiwan tunggangan di hadapannya (sebagai sutrah atau
penghadang), maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang melintas di
sebalik objek tersebut.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Apabila
seseorang itu telah meletakkan sesuatu objek setinggi pelana kuda atau sehasta
(ukuran di antara hujung siku sampai ke hujung jari tengah) di hadapannya maka
tidak menjadi masalah sekiranya ada sesiapa yang melintasi di hadapannya. Oleh
itu kesempurnaan solatnya tidak terjejas dan orang yang melintasi hadapannya turut
tidak berdosa. Hanya sahaja sekiranya ada yang ingin melintasi di antara orang
yang sedang solat dengan sutrahnya maka dia perlu dihalang dengan keras.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika salah seorang daripada kamu solat
menghadap sesuatu sebagai sutrah yang membatasi daripada orang ramai, kemudian
ada seseorang yang hendak melintas di hadapannya, maka halanglah dia. Jika dia
enggan maka lawanlah dia, kerana dia adalah syaitan.” (Hadis
riwayat Imam al-Bukhari)
Seseorang itu juga perlu solat dengan
mendekati sutrahnya itu agar syaitan tidak dapat menggangu konsentrasi sesorang
yang sedang solat seperti meniup perasaan waswas atau mengganggu pemikiran
seseorang itu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila salah seorang dari anda
solat menghadap sutrahnya (yang ada di hadapannya), hendaklah dia mendekatkan
diri ke sutrah tersebut agar syaitan tidak memutus solatya.” (Hadis
riwayat Imam Abu Dawud) Imam al-Baghawi r.h di dalam kitabnya Syarhus Sunnah berkata: “Para ulamak
berpendapat mustahab untuk mendekatkan diri kepada sutrah, di mana jarak antara
orang yang solat dengan sutrahnya sekadar memungkinkannya untuk sujud.” Di
antara objek yang pernah dijadikan sutrah seperti terdapat di dalam hadis-hadis
adalah tombak dan anak panah yang ditancap di atas tanah, haiwan tunggangan
yang sedang berdiri, tiang di dalam masjid, dinding, pelana haiwan tunggangan,
pokok dan menghadap orang yang sedang tidur.
Bagi mereka yang sedang solat secara
berjemaah, sutrah imam merupakan sutrah bagi seluruh makmumnya. Oleh itu tidak
menjadi masalah sekiranya ada yang berjalan melintasi hadapan makmum yang
sedang solat di dalam saf solat berjemaah tersebut. Ibnu ‘Umar r.a berkata: “Dahulu
Rasulullah s.a.w. apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan
(pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan baginda lalu
beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum)
di belakangnya. Baginda melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar)
beliau.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari) Hadis ini menunjukkan
bahawa apabila imam telah meletakkan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para
makmum lainnya.
Mengamalkan solat menghadap Sutrah
merupakan suatu tindakan yang amat mulia kerana ia merupakan satu usaha
untuk menghidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w. apatah lagi pada zaman kebelakangan
ini ramai di kalangan umat Islam yang semakin lalai dari mengamalkan
sunnah-sunnah baginda. Solat dengan meletakkan sutrah dihadapan kita bukan
sekadar boleh dijadikan sebagai amaran agar pihak lain supaya berjaga-jaga dari
melintasi dihadapan bahkan ia boleh membantu seseorang itu untuk khusyuk dalam
solatnya. Justeru itu marilah kita mengamalkannya dan jangan kita ambil mudah
isu berjalan melintasi orang yang sedang solat kerana ia merupakan perbuatan
yang jelas bertentangan dengan syarak.
Menulis tentang sutrah ini memang membuat
saya teringat kembali zaman kanak-kanak dulu ketika bapa saya masih agak muda
dan masih gagah. Kini umurnya sudah 77 tahun, ingatannya juga semakin kurang
dan tubuh-badannya juga sudah tidak sekuat dulu. Terima kasih kepada kedua
ibubapaku yang telah membesarkan aku dengan baik dan mendidik diriku dengan
ilmu-ilmu yang bermanfaat. “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada
mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara
dan mendidikku semasa kecil.” (al-Israa’ : 24) “Wahai Tuhan kami! Berilah
keampunan bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman,
pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” (Ibrahim : 41)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan