Memaparkan catatan dengan label Fekah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fekah. Papar semua catatan

Ahad, 18 Disember 2011

KEJAMKAH CARA PENYEMBELIHAN UMAT ISLAM?





Pada akhir bulan Jun lalu kita digemparkan dengan laporan bahawa Dewan Rakyat Belanda telah meluluskan rang undang-undang untuk mengharamkan penyembelihan haiwan di negara itu. Undang-undang itu menetapkan haiwan yang akan disembelih perlu berada dalam keadaan tidak sedar iaitu satu kaedah yang berbeza dengan cara penyembelihan Islam. Akhbar Sinar Harian melaporkan bahawa Ketua Parti Hak Asasi Haiwan di Belanda, Marianne Thieme secara biadap menuduh kaedah penyembelihan Islam menyebabkan kesakitan kepada haiwan dan menegaskan kebebasan agama perlu dihadkan. Begitulah tanggapan dunia barat terhadap kaedah penyembelihan yang dilakukan umat Islam yang dilihat kejam kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutamanya ketika amalan korban pada Hari Raya Aidiladha. Benarkah dakwaan ini?

Islam pada dasarnya menganjurkan umatnya untuk hidup secara aman, penuh kesederhanaan dan mengarahkan penganutnya untuk sentiasa membuat kebaikan sesama manusia dan makhluk-makhluk Allah yang lain di atas muka bumi ini. Sebagai contoh Syaddad bin Aus r.a pernah berkata : “Dua perkara yang aku hafal daripada Nabi s.a.w., baginda berkata : Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik (ihsan) ke atas segala sesuatu. Jika anda membunuh maka berbuat ihsanlah dalam cara membunuh dan jika anda menyembelih maka berbuat ihsanlah dalam cara menyembelih, dan hendaklah anda menajamkan pisaunya dan mempermudahkan penyembelihan itu.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Beginilah Islam mengatur umatnya agar mempermudahkan urusan penyembelihan haiwan dengan mensyaratkan agar terlebih dahulu mengasah alat yang bakal digunakan supaya tidak menyiksa haiwan tersebut. Alat yang digunakan di dalam proses penyembelihan itu mestilah tajam agar mudah untuk memotong ketiga-tiga urat atau saluran dileher haiwan tersebut iaitu saluran pernafasan, saluran makanan serta dua saluran pembuluh darah. Bukan sekadar itu, Islam turut memakruhkan umatnya mengasah pisau dihadapan haiwan yang bakal disembelih tersebut. Daripada Ibnu Abbas r.a dia berkata: “Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki yang meletakkan kakinya di atas pipi (sisi) kambing dalam keadaan dia mengasah pisaunya sedangkan kambing tersebut memandang kepadanya, maka baginda mengatakan: "Perbuatan seperti ini tidak boleh diterima. Apakah engkau ingin benar-benar mematikannya. (dalam riwayat lain : Apakah engkau ingin mematikannya dengan beberapa kematian)." (Hadis riwayat Imam al-Baihaqi) Beginilah telitinya Islam dalam mencorakkan adab umatnya terhadap haiwan yang bakal disembelih. Oleh itu adakah wajar Islam dituduh sebagai agama yang kejam terhadap haiwan?

Islam mewajibkan penyembelihan haiwan yang hendak dijadikan makanan. Firman Allah s.w.t.: “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya” (Surah al-An’aam, ayat 118). Antara tujuan penyembelihan ini adalah untuk mengeluarkan darah haiwan tersebut. Fakta saintifik membuktikan bahawa darah adalah medium terbaik bagi mikro organisma membiak. Justeru timbul persolan, kenapa tidak dipenggal sahaja kepala haiwan tersebut agar mempercepatkan poses pengaliran keluar darah haiwan tersebut? Ini adalah kerana sekiranya dipenggal kepala haiwan tersebut, ia akan menyebabkan saraf tunjang (spinal cord) terputus dan degupan jantung haiwan tersebut akan terhenti secara mendadak. Ini sebenarnya akan menyekat aliran darah keluar dari haiwan tersebut. Aliran darah yang sempurna dari haiwan yang disembelih tersebut turut menyebabkan daging akan kekal segar lebih lama.

Kita kembali kepada persoalan adakah kaedah penyembelihan secara Islam ini merupakan kaedah yang menyiksa haiwan. Kajian sebenarnya pernah dilaksanakan oleh Profesor Willhelm Schulze dan Dr. Hazem dari University of Veterinary Medicine Hanover. Beliau telah meletakkan alat untuk mengesan perasaan sakit Electroencephalograph (EEG) di permukaan otak dan alat untuk merakam degupan jantung Electrocardiogram (ECG) keatas haiwan yang bakal disembelih itu. Hasil kajian mereka telah membuktikan bahawa kaedah penyembelihan cara Islam ini sebenarnya tidak zalim. Pada detik-detik awal selepas lembu disembelih iaitu setelah ketiga saluran di leher telah terputus, EEG tidak menunjukkan sebarang perubahan graf. Ini menunjukkan haiwan itu tidak mengalami sebarang kesakitan secara tiba-tiba selepas penyembelihan. Kemudian, dalam masa 10 saat EEG merekodkan keadaan yang dinamakan sebagai ‘deep sleep’ di mana, haiwan mengalami keadaan tidak sedarkan diri kesan dari darah yang mengalir keluar dari tubuh haiwan itu. Bacaan ECG pula meningkat menunjukkan aktiviti jantung semakin aktif kerana pengaliran keluar darah. Dalam masa tidak lebih dari 23 saat bacaan ECG terus meningkat selari dengan peningkatan kadar pengeluaran darah manakala EEG pula pada paras 0 yang menunjukkan haiwan tersebut langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kesakitan.

Haiwan tersebut tidak mengalami kesakitan kerana kerana penyembelihan tersebut telah memutuskan saluran serta saraf yang mengalirkan darah ke saraf otak yang bertanggungjawab untuk membawa perasaan sakit. Oleh itu jika tiada kesakitan kenapa haiwan tersebut menggelupur setelah disembelih? Menurut Profesor Schulze dan Dr. Hazem haiwan tersebut menggelupur bukan kerana sakit tetapi disebabkan oleh penegangan dan pengenduran otot yang kekurangan darah disebabkan pengaliran darah keluar dari badan haiwan tersebut.
Kajian yang sama turut membuktikan bahawa kaedah barat yang kononnya paling berperikemanusiaan iaitu meletakkan haiwan dalam keadaan tidak sedar sebelum disembelih dengan mengenakan rejatan elektrik, memukul kepala haiwan tersebut atau cara-cara lain sebenarnya lebih menyakiti haiwan tersebut. Kadar EEG meningkat dengan begitu tinggi kerana tekanan rasa sakit yang keterlaluan ketika haiwan tersebut dipukul dikepalanya menerusi kaedah penembakan bola logam (Captive Bolt Pistol-CBP). Bacaan ECG pula menurun pada tahap yang paling rendah menunjukkan jantung terhenti berdegup. Ini menyebabkan tidak banyak darah yang mengalir keluar dari badan haiwan tersebut setelah disembelih sehingga terkumpulnya banyak darah beku dalam daging haiwan tersebut.

Bukan sekadar kaedah CBP yang mengenakan hentakan kuat ke kepala lembu itu menyiksa haiwan tersebut, bahkan ia merupkan antara faktor yang menyebabkan tersebarnya wabak Lembu Gila (Mad Cow Disease) sebagaimana kajian yang telah dilakukan oleh Texas A&M University dan Canadian Food Inspection Agency. Tisu otak dan saraf tunjang merupakan bahagian yang paling terjejas teruk apabila haiwan itu dijangkiti penyakit lembu gila. Kaedah CBP ini boleh menyebab tisu otak hancur dan bertaburan sehingga menyebabkan bakteria penyakit lembu gila akan merebak ke daging.

Ternyata kaedah penyembelihan Islam merupakan cara yang terbaik, paling berperikemanusiaan dan paling bersih serta berkualiti. Ternyata tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh golongan aktivis hak asasi haiwan di barat adalah tidak benar bahkan tidak adil terhadap umat Islam. Sekilas pandang tindakan dewan rakyat Belanda mahupun dunia barat yang memandang negatif terhadap kaedah penyembelihan umat Islam nampak seolah peradaban barat begitu prihatin terhadap hak asasi haiwan, namun apa yang menghairankan di sisi lain mereka agak sambil lewa dalam menentang kekejaman yang telah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap umat Islam di Palestin. Adakah penderitaan seekor lembu yang jelas merupakan sumber makanan ketika disembelih adalah lebih penting untuk dipertahankan berbanding nyawa umat Islam?

Isnin, 30 Ogos 2010

Artikel Tentang Sambutan Hari Raya Mengikut Sunnah


Assalaamu'alaikum

Ramadan tahun ini semakin meninggalkan kita. Syawal semakin hampir menjelma.

Berikut saya sertakan beberapa artikel tentang Sambutan Hari Raya Mengikut Sunnah Nabi SAW dan beberapa hukum tentang Puasa Enam.

Semoga ianya bermanfaat. Tidak dapat Buat Semua Jangan Tinggalkan Semua.


Sekian Wassalaam



ADAKAH DISUNNAHKAN MENZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA AIDILFITRI


PUASA ENAM MENDAPAT GANJARAN PUASA SEPANJANG TAHUN
http://akob73.blogspot.com/2008/09/puasa-enam-mendapat-ganjaran-puasa.html


AFDAL QADA' HUTANG RAMADAN SEBELUM MULAKAN PUASA ENAM SYAWAL
http://akob73.blogspot.com/2008/10/afdal-qada-hutang-ramadan-sebelum.html


Isnin, 2 Ogos 2010

Mari Mengulangkaji Tentang Ramadhan


Assalaamu'alaikum

Kehadiran bulan Ramadhan merupakan satu rahmat daripada ALLAH. Ia merupakan bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini.

Memandangkan Ramadhan semakin hampir dengan kita, ada baiknya juga kita bersama-sama mengulangkaji perkara-perkara yang disunnahkan sempena bulan Ramadhan ini.

Berikut beberapa artikel yang perna saya disiarkan dalam blog Minda Akob ini untuk dikongsikan bersama dengan para pengunjung semua.












Kemuliaan Malam Lailatul Qadar






Semoga ada manfaatnya dan sila sebarkan.

Sekian Wassalaam

Jumaat, 16 Oktober 2009

Tawassul : Antara Sunnah Dan Bid'ah


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila manusia dirundung pelbagai masalah dalam kehidupan dan seolah-olah tiada insan lain yang ingin menghulurkan bantuan untuk mengharungi kedukaan tersebut, janganlah merasa gelisah kerana sesungguhnya Allah S.W.T. sentiasa berada bersama kita dan mendengar doa permohonan hamba-hamba-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda: Doa adalah ibadah. (Lalu baginda membaca ayat): Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmdzi]


Menerusi hadis di atas dapat kita perhatikan bahawa doa itu termasuk dalam perkara ibadah. Justeru wajib doa itu dimohonkan ikhlas hanya kepada Allah S.W.T. dan tatacara doa itu hendaklah mengikuti apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w. Maka timbul pertanyaan bagaimanakah amalan tawassul yang diamalkan oleh segelintir manusia yang berdoa menerusi perantaraan zat atau kemuliaan Nabi s.a.w. ataupun orang-orang soleh yang telah meninggal dunia? Adakah tatacara ini bersesuaian dengan Sunnah Nabi s.a.w. seperti tanggapan sesetengah pihak?


Makna tawassul secara mudah adalah mengambil suatu perantaraan yang boleh menyampaikan seseorang kepada tujuannya. Oleh itu sesetengah pihak beranggapan, sesuatu doa itu akan lebih mudah untuk dimakbulkan sekiranya kita menjadikan Nabi s.a.w. atau mereka yang dianggap wali sebagai perantaraan dalam doa tersebut. Sebagai contoh di antara lafaz-lafaz doa tawassul tersebut adalah “Ya Allah, dengan hak Nabi-Mu atau dengan kemuliaan Nabi-Mu maka perkenankanlah doa ku…” atau “Ya Allah dengan kemuliaan wali-Mu Syaikh Abdul Qadir al-Jailani perkenankanlah doaku…”. Malah ada yang lebih melampaui batas sehingga membenarkan berdoa kepada Allah menerusi perantaraan kuburan-kuburan para Nabi-Nabi dan wali-wali.


Para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah membahagikan tawassul ini kepada dua jenis. Pertama, tawassul yang selari dengan syarak, iaitu bertawassul dengan wasilah (perantaraan) yang benar, wasilah yang berupaya untuk menghantar keinginannya (kepada Allah S.W.T). Kedua, tawassul yang tidak dibenarkan iaitu bertawassul kepada Allah S.W.T. dengan dengan sesuatu yang tidak ditetapkan sebagai wasilah oleh syarak.


Berikut adalah bentuk tawassul yang selari dengan syarak.


1) Tawassul menerusi Nama-Nama Allah yang indah serta Sifat-Sifat-Nya yang sempurna.

Dibenarkan untuk berdoa menerusi perantaraan Nama-Nama Allah yang Indah serta Sifat-Sifat-Nya yang sempurna. Firman-Nya: “Hanya milik Allah nama-nama yang indah, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” [al-A’raaf (7) : 180]


Contoh lafaz doa dalam menggunakan Nama-Nama Allah adalah sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Abdullah ibnu Mas’ud r.a: “Saya memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang menjadi milik-Mu, yang Engkau sendiri menamakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan ilmu-Nya di dalam Kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada salah seorang daripada hamba-Mu, atau yang Engkau simpan dalam ilmu ghaib di sisi-Mu …” [Hadis riwayat Imam Ahmad]


Contoh lafaz doa menggunakan sifat Allah pula adalah: “Ya Allah, dengan ilmu ghaib-Mu dan takdir-Mu terhadap makhluk, hidupkanlah aku selagi Engkau tahu bahawa hidup itu lebih baik bagi ku dan matikanlah aku selagi Engkau tahu bahawa mati itu lebih baik bagiku.” [Hadis riwayat Imam al-Nasa'i]


2) Tawassul dengan Amal Soleh


Kita juga dibenarkan untuk menggunakan amal-amal soleh yang kita lakukan sendiri sebagai wasilah (perantaraan) dalam permohonan doa kita kepada Allah S.W.T. Doa bentuk ini adalah sebagaimana yang telah diajar oleh Allah menerusi firman-Nya: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul, karena itu masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi (tentang keesaan Allah)." [Ali ‘Imran (3) : 53]


Rasulullah s.a.w. juga telah menceritakan (sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari) bagaimana tiga pemuda yang bermalam di falam sebuah gua, kemudian mereka terperangkap di dalamnya setelah sebuah batu besar jatuh menutupi mulut pintu gua tersebut. Mereka telah berusaha untuk mengangkat batu tersebut namun ternyata ia terlalu berat untuk mereka. Akhirnya mereka berdoa kepada Allah dan bertawassul dengan amal soleh mereka iaitu berbakti kepada ibu dan bapa, menghindari perbuatan zina dan amanah terhadap hak orang lain. Lafaz doa mereka adalah: “(Ya Allah!) Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu semata-mata kerana mencari Wajah-Mu, maka berilah kami satu bukaan untuk melihat langit (dari dalam gua tersebut)” Maka Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.


3) Tawassul dengan doa orang yang soleh yang masih hidup

Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekiranya kita berjumpa dengan orang soleh yang masih hidup dan memiliki pengetahuan yang tinggi tentang al-Qur’an dan al-Sunnah lalu meminta agar dia mendoakan apa yang kita inginkan. Contoh tawassul jenis ini begitu banyak. Di antaranya adalah hadis daripada Anas r.a yang mengisahkan tentang tawassulnya ‘Umar r.a kepada ‘Abbâs r.a ketika musim kemarau. ‘Umar r.a berkata : “Ya Allah, kami dulu bertawassul kepada-Mu dengan Nabi kami, lalu Engkau turunkan hujan kepada kami, dan sekarang kami bertawassul kepada-Mu dengan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan.” Anas berkata: “Lalu turunlah hujan kepada mereka.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]


Sesungguhnya apabila terjadi musim kemarau pada zaman Rasulullah s.a.w. maka para sahabat datang kepada baginda memohon agar baginda berdoa supaya diturunkan hujan. Maka bagindapun berdoa lalu turunlah hujan lebat terus-menerus selama seminggu sehingga menyebabkan banjir di beberapa tempat. Kemudian mereka meminta pula baginda berdoa agar hujan tersebut berhenti. Peristiwa ini telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a di dalam Sahih al-Bukhari. Oleh itu kata-kata ‘Umar di dalam hadis di atas bermaksud mereka dahulu kita kemarau telah bertawassul dengan doa Rasulullah s.a.w. Lantas pada zaman beliau baginda telah wafat dan tidak lagi boleh untuk mendoakan bagi mereka maka mereka meminta bapa saudara Nabi iaitu ‘Abbas untuk berdoa agar diturunkan hujan


Menerusi peristiwa tawassulnya ‘Umar menerusi doa ‘Abbas ini, tidakkah terdetik di fikiran para pembaca sekiranya bertawassul menerusi kehormatan Nabi s.a.w. ataupun orang-orang soleh yang telah meninggal dunia merupakan wasilah yang selari dengan syarak mengapa mereka tidak menjadikan Nabi mahupun Abu Bakar atau mereka yang gugur syahid ketika perang Badar sebagai perantaraan dalam doa mereka? Kenapa ‘Umar tidak memerintahkan mereka untuk pergi ke kuburan mereka dan berdoa di situ? Ini adalah bukti yang kukuh bahawa ‘Umar dan para sahabat mengetahui perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam bentuk tawassul yang dibenarkan oleh syarak.


Pada zaman‘Umar r.a. tentera Islam telah berjaya menawan kubu Tustar. Ibnu Ishaq di dalam kitabnya al-Maghazi telah meriwayatkan bahawa tentera Islam telah menemui sekujur mayat yang tidak reput di atas sebuah katil di dalam Balai Perbendaharaan al-Hurmuzan. Di atas kepala mayat tersebut terdapat sebuah kitab lalu ia diserahkan kepada ‘Umar. ‘Umar kemudian mengarahkan Ka’ab r.a untuk menterjemahkan kandungan kitab tersebut. Ternyata kitab tersebut menceritkan kisah-kisah umat yang lampau serta kejadian yang bakal berlaku dan diyakini bahawa mayat tersebut merupakan mayat seorang Nabi Allah bernama Danial a.s.. Sekiranya terjadi musim kemarau maka masyarakat setempat di situ akan membawa keluar katil dan mayat tersebut untuk dijadikan perantaraan dalam meminta hujan. Apakah arahan ‘Umar terhadap mayat tersebut? Adakah beliau menyuruh agar dibina kuburan berserta kubah yang besar agar mudah untuk masyarakat tersebut bertawassul dengan zat atau kehormatan Nabi Danial di sisi kuburnya? Ternyata hal itu tidak berlaku. ‘Umar mengarahkan untuk digali tiga belas liang lahad secara berselerakkan pada siang hari. Pada sebelah malamnya mereka menguburkan jasad Nabi Danial di dalam salah satu liang tersebut dan dikambus kesemuanya agar masyarakat di situ tidak dapat menjejak di mana kubur Nabi Danial. Ini merupakan bukti yang kukuh bahawa ‘Umar dan para sahabat tidak mengiktiraf amalan tawassul di kuburan para Nabi s.a.w. bahkan orang-orang soleh kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar mereka tatacara doa sedemikian rupa.


Kita lihat pula hadis orang buta yang sering dijadikan dalil untuk membenarkan tawassul menerusi kemuliaan atau kehormatan Rasulullah s.a.w.. “Daripada ‘Utsman bin Hunaif: Bahwasanya seorang lelaki yang matanya buta telah berjumpa Nabi s.a.w. lalu berkata : “Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkanku.” Nabi menjawab: “Jika kamu mahu aku akan mendoakanmu, dan jika kamu mahu untuk bersabar maka hal ini lebih baik.” Lalu orang buta itu berkata: “Berdoalah”. Lantas Nabi memerintahkannya untuk berwuduk dengan sempurna lalu solat dua rakaat kemudian berdoalah dengan doa ini: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad, Nabi yang penuh rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya saya menghadap dengan engkau kepada Rabbku untuk memenuhi hajatku ini, maka penuhilah untukku. Ya Allah, terimalah syafaatnya untukku dan terimalah syafaatku untuknya.” Dia (‘Utsman bin Hunaif) berkata: “Lelaki buta itu mengamalkannya lalu dia pun sembuh.” [Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah]


Sekiranya kita melihat pada permulaan hadis ini sahaja sudah cukup jelas bahawa orang buta itu bertemu Rasulullah s.a.w. bertujuan untuk memohon baginda berdoa untuknya. Sekiranya dia ingin bertawassul melalui zat atau kemuliaan Rasulullah seperti sangkaan sesetengah pihak, kenapa dia perlu bertemu dengan baginda sedang dia boleh duduk sahaja di rumahnya sendiri dan terus berdoa “Ya Allah, dengan hak Nabi-Mu atau dengan kemuliaan Nabi-Mu maka kembalikanlah penglihatan ku…”? Apatah lagi baginda memberikan pilihan kepadanya, adalah afdal sekiranya dia bersabar dengan kecacatan yang telah Allah kurniakan kepadanya, namun dia tetap ingin didoakan. Maka Nabi berjanji akan mendoakannya dan mengajarinya doa.


Rasulullah juga turut memerintahkan orang buta tersebut untuk berwuduk dengan sempurna lalu mengerjakan solat sunat itu sendiri sebelum berdoa. Ini semua menjurus kepada bentuk tawassul menerusi amal soleh seperti yang telah dibincangkan. Setelah itu Nabi berdoa agar penglihatan orang buta itu dikembalikan kemudian baginda mengajarnya lafaz doa seperti yang termaktub dalam hadis tersebut kepada orang buta itu.


Tafsiran sebenar dan bersesuaian dengan tujuan orang buta itu bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bagi lafaz “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan Nabi-Mu Muhammad…” adalah “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu dan menghadap kepada-Mu dengan doa Nabi-Mu”


Sekiranya orang buta itu bertawassul dengan zat atau kemuliaan Rasulullah s.a.w. maka bagaimana hendak difahami lafaz doa “Ya Allah, terimalah syafaatnya (Rasulullah) untukku (orang buta), terimalah syafaatku (orang buta) untuknya (Rasulullah)”? Adakah setelah orang buta itu bertawassul dengan kehormatan Rasulullah lalu baginda pula bertawassul dengan kehormatan orang buta tersebut? Syafaat secara bahasa bermaksud doa. Maka tafsiran yang benar bagi lafaz doa di atas adalah, “Ya Allah, terimalah doa Rasulullah s.a.w. untuk aku dan terimalah doaku agar engkau makbulkan doa Rasulullah s.a.w. untuk mengembalikan penglihatanku.”

Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa di dalam riwayat-riwayat yang lebih kuat tiada lafaz “dan terimalah syafaatku untuknya”. Namun ternyata dakwaan ini adalah palsu dan berniat jahat kerana selain riwayat Imam Ibnu Majah di atas, Imam Ahmad dan al-Hakim turut meriwayatkan hadis dengan lafaz doa yang sama. Al-Hakim mengatakan bahwa hadis yang diriwayatkan dengan lafaz ini adalah sahih dari segi sanad walaupun Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak meriwayatkan dalam kitabnya dan ia turut dipersetujui oleh Imam al-Dzahabi. Terdapat juga sesetengah penulis yang tidak amanah telah memotong lafaz ini apabila meriwayatkan hadis ini kerana ia menyebabkan tafsiran mereka terhadap hadis ini kepada tawassul dengan dzat atau kemuliaan Rasulullah s.a.w. tidak dapat dilakukan.


Sebenarnya para ulama telah mengkategorikan hadis tentang orang buta ini di dalam bab mukjizat-mukjizat Nabi yang mana doa baginda sememangnya mustajab. Ini membuktikan bahawa rahsia kembalinya penglihatan orang buta tersebut adalah terletak kepada berkatnya doa Rasulullah s.a.w. dan merupakan salah satu mukjizat baginda. Lantaran itu setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. tiada orang buta yang kembali pulih penglihatan mereka sekiranya mereka membaca lafaz doa tersebut seperti di dalam hadis di atas.


Oleh itu kedua-dua hadis yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. ini tidak menunjukkan kepada maksud tawassul menerusi zat atau kehormatan Rasulullah dan tidak boleh dijadikan sandaran untuk menguatkan pendapat mereka. Selebihnya mereka menggunakan hadis-hadis yang lemah (dha’if) dan ada juga yang palsu (mawdhu’) untuk mendokong pegangan mereka. Apabila dikritik kerana menggunakan hadis dha’if maka mereka menyatakan ada ulama yang membenarkan penggunaannya dalam bab fadhaail al-amal (keutamaan melakukan sesuatu amal) atau targhib (anjuran untuk melakukan sesuatu amalan) dan tarhib (amaran terhadap sesuatu amalan). Namun penggunaan hadis dha’if dalam isu tawassul ini bukan termasuk bab fadhaail al-amal mahupun targhib dan tarhib. Tetapi ia adalah hal-hal berkaitan akidah dan penetapan hukum-hakam (iaitu menetapkan hukum sunat terhadap amalan tawassul menerusi zat atau kehormatan Nabi) dan penggunaan hadis dha’if adalah sama sekali tidak dibenarkan dalam skop sebegini. (Sila rujuk artikel penulis tentang hadis Dha'if di http://akob73.blogspot.com/2008/10/bolehkah-beramal-dengan-hadis-dhaif.html )


Sesetengah pihak menuduh mereka yang menolak tawassul melalui zat dan kemuliaan Rasulullah s.a.w. termasuk di dalam golongan yang tidak mencintai dan menghormati Rasulullah s.a.w.. Pada dasarnya bukti kecintaan yang kukuh kepada Rasulullah s.a.w. adalah dengan mematuhi segala perintahnya, berpegang teguh kepada sunnahnya dan menghindari segala larangannya serta amalan-amalan bid’ah. Mereka yang benar-benar cintakan Rasulullah sentiasa akan menekankan betapa pentingnya konsep ittiba’ al-Rasul. Ittiba’ al-Rasul bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalat dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan. Ittiba’ bukan sekadar bukti kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. bahkan ia merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Ali ‘Imran (3) : 31]


Rasulullah bersabda: “Tinggalkan apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan.” [Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi] Justeru dalil-dalil yang diguna-pakai untuk membolehkan tawassul dengan zat dan kehormatan para Nabi s.a.w. serta orang-orang soleh yang telah meninggal dunia penuh dengan keraguan bahkan terlalu rapuh. Oleh itu ikutlah saranan Rasulullah s.a.w. untuk berpegang dalil-dalil yang jelas dan sah dalam isu ini iaitu dengan memanjatkan doa kepada Allah S.W.T. tanpa sebarang perantaraan yang tidak dibenarkan syarak. Firman Allah S.W.T.: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” [al-Baqarah (2) : 186]



NOTA TAMBAHAN


Baru-baru ini seorang tokoh telah menulis sebuah artikel tentang tawassul menerusi Zat dan kehormatan Nabi s.a.w. di dalam sebuah majalah. Untuk menguatkan pendapat beliau ini beberapa hadis dha’if (lemah) telah digunakan. Hadis-hadis ini telah disemak oleh sahabat penulis, saudara Fathi yang merupakan ahli panel Jabatan Hadis, laman web http://www.al-fikrah.net/ dan ia boleh dirujuk di alamat :

Isnin, 12 Oktober 2009

Sebuah teguran suci dan jujur kepada al-Fadhil Dr Muhammad Uthman el-Muhammady


Oleh: Yussamir Yusof

Assalamualaikom, kita memberi tajuk surat ini dengan nama “Sebuah teguran suci dan jujur kepada Al-fadhil al-‘alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.”Tulisan ini bukanlah untuk mencari permusuhan antara kita dengan Al-Fadhil al-‘Alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady. Dan jauh sekali untuk mengajar Al-Fadhil yang lebih arif dan alim dalam pengetahuan agama. Al-Fadhil adalah seorang yang merdeka dan berhak untuk membantah fahaman dalam agama Islam yang tidak beliau setujui. Malahan pasti bagi kita, al-Fadhil bersetuju dalam setiap perkara manusia tidak pernah sama (kecuali dalam akidah), kerana masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.
Boleh jadi, perbezaan pandangan ini sebenarnya memberi rahmat dan percambahan intelektual pada diri umat Islam yang mencintai ilmu. Kita juga pasti, al-Fadhil bersetuju bahawa kebenaran itu lebih kita cintai dari mana-mana tokoh yang kita sayangi. Malahan perbezaan pandangan ini seharusnya lebih menanamkan rasa kasih dan sayang antara kita. As-Syauqi dalam sebuah syairnya ketika mendendangkan perihal perbezaan pandangan ini berkata, “Perbezaan pandangan tidak boleh merosak rasa saling menyayangi.”
Di dalam artikel yang bertajuk “Terjemahan kitab Al-Radd ‘ala al-Wahabiyah oleh Sayyid Zaini Dahlan” oleh al-Fadhil ke majalah Milenia edisi bulan Ogos 2009 bilangan ke 84 ada beberapa perkara yang harus diperhatikan semula. Kitab yang ditulis oleh As-sayyid Zaini Dahlan ini sebenarnya banyak di dalamnya fitnah yang besar dan batil terhadap al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab. Malahan mengenai musafir menziarahi makam Rasulullah sebenarnya telah disalah-fahami oleh As-Sayyid Zaini Dahlan terhadap kalam Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab.
1. Penjelasan tentang menziarahi makam RasulullahAl-Imam
Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab tidak pernah melarang umat Islam untuk menziarahi makam Rasulullah. Tetapi yang beliau larang ialah berniat semata-mata datang ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah ataupun memasukkan sekali menziarahi makam rasullullah dalam manasik haji. Sebetulnya ialah, berniat untuk datang ke Madinah adalah untuk melakukan solat di dalam Masjid Nabawi. Dalam masa yang sama, meluangkan masa untuk menziarahi makam Rasulullah. Larangan untuk melakukan perjalanan (musafir) semata-mata untuk menziarahi Rasulullah mencakupi semua tempat dan semua kuburan, sehingga tidak boleh pula untuk tujuan shalat, memohon berkat atau beribadah. Menziarahi kubur tidak boleh menjadi niat utama dalam perjalanan menuju ke Madinah.
Walaubagaimanapun menziarahi makam Rasulullah adalah salah satu adab dan digalakkan kepada seluruh umat Islam. Hikmah perintah menziarahi kubur (bukan sahaja tertaluk kepada makam Rasulullah) adalah untuk mengingatkan manusia kepada akhirat, dan orang-orang yang telah mati. Larangan untuk menjadikan ziarah ke makam Rasulullah sebagai niat utama disebabkan mahu mengelakkan umat Islam menjadikan amalan menziarahi makam Rsulullah sebagai ‘id iaitu amalan berkunjung berulang-ulang dan menjadi rutin.
Nabi Muhammad alahi-wasalam telah bersabda, “ Janganlah kalian menjadikan rumah-rumah kalian sebagai kuburan, dan janganlah kalian menjadikan kuburanku sebagai sesuatu (yang dikunjungi berulang-ulang secara) rutin. Berselawatlah kalian kepadaku, kerana sesungguhnya selawat kalian disampaikan kepadaku di mana pun kalian berada.” (Hadith direkodkan Abu Daud dalam Al-Manasik (2042), dan Ahmad (2/367) )
Salah faham As-Sayyid Zaini Dahlan terhadap apa yang ditulis oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab telah ditiru bulat-bulat oleh Yusuf al-Nabhani dalam kitabnya yang bertajuk Syawahid al-Haq fi al-Istighosah bi Sayyid al-Khalq. Malahan ramai lagi yang tersalah faham dengan tulisan Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab, antaranya Muhammad Najib dalam kitabnya Sawqih dalam Tabyin al-Haq wa al-Sawwab, dan Muhammad Tahir Yusuf dalam kitabnya Quwwah al-Difa’ wa al-Hujum.
Bagi menjawab tuduhan-tuduhan ini Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab dengan sendiri telah membantah segala tuduhan ini di Makkah pada bulan Muharam tahun 1218H. Kata beliau, “Kami menetapkan kemuliaan Nabi kita Muhammad sallahu ‘alayhi wa sallam melebihi kemuliaan makhluk lainnya secara mutlak. Baginda hidup di dalam kuburnya menerusi kehidupan alam barzakh melebihi kehidupan para syuhada’ sebagaimana termaktub dalam al-Quran. Baginda mendengar ucapan salam yang diucapkan ke atasnya serta mengenali para penziarah yang menziarahi kuburnya. Namun Nabi sallahu ‘alayhi wa sallam tidak pula mengarahkan bermusafir melainkan untuk menziarahi masjidnya serta bersolat di dalamnya. Walaubagaimanapun sekiranya seseorang itu berniat untuk menziarahi Nabi sallahu ‘alayhi wa sallam berserta dengan niat menziarahi masjid serta solat di dalamnya, maka ia tidak mengapa. (Rujuk Al-Durar al-Saniyyah jil 1, hlmn 127-128)
2. Penjelasan hadith-hadith yang dinukilkan dalam artikel
Dalam artikel yang ditulis kembali oleh al-fadhil ini, kita beranggapan bahawa beliau tidak sengaja atau terlupa untuk menyemak kembali hadith-hadith yang digunakan. Antara hadith-hadith tersebut ialah:
1. Barangsiapa yang menziarahiku setelah aku mati, maka seolah-olah ia menziarahi ketika aku masih hidup. (Hadith direkodkan Ad-Daru Quthni (2/278), Al-Baihaqi (5/246), Ibnu Adi dalam Al-Kamil (2/382). Lihat As-Silsilah Adh-Dha'ifah (47, 1021)
[Ulasan Hadith : Hadith ini semuanya dari sanad Hafsh bin Sulaiman dari Laits bin Abi Sulaim. Sanad hadith ini lemah kerana lemahnya Laits bin Abi Sulaim, oleh karena terbukti bahawa beliau mencampur-aduk hadith. Manakala Hafsh bin Sulaiman yang dinamakan juga al-Gadhri sangat lemah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya at-Taqrib, bahkan Ibnu Muin menyatakan sebagai pendusta dan pemalsu hadith. ]
2. Barangsiapa yang menziarahiku, maka aku menjadi pemberi syafa'at atau menjadi saksi baginya. (Hadith direkodkan oleh Ath-Thayalusi (65), Al-Baihaqi (5/245). Lihat Irwa'ul Ghalil (1127). )
[Ulasan Hadith: Hadits ini mungkar kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Musa bin Hilal Al ‘Abdi. Beberapa ulama ahli hadith seperti Abu Hatim, Al Bukhari, An Nasai, Al Hakim, Ibnu Abdil Hadi, Ibnu Hajar dan Al Baihaqi sendiri (yang meriwayatkan hadits tersebut) mengkritik perawi tersebut.]
3. Barangsiapa yang menunaikan haji ke Baitullah walhal dia tidak menziarahiku maka sesungguhnya dia bersikap kasar kepadaku.” [Ulasan hadith: Ini hadits maudhu'. Hal ini telah ditegaskan oleh adz-Dzahabi dalam kitabnya yang bertajuk al-Mizan jilid 3 halaman 237. Begitu juga dengan Syeikh ash-Shaghan di dalam kitab al-Ahadith al-Maudhuiyah halaman 46.]
Setelah disemak dan diteliti kembali, semua hadith-hadith ini batil, tidak ada asalnya, para ulama hadith telah menjelaskan kebatilannya. Para ulama ahli hadith menegaskan bahwa sanad-sanadnya lebih lemah daripada sarang labah-labah. Di antara para ulama yang menegaskannya adalah Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi, an-Nawawi, al-‘Uqaili, adz-Dzahabi, as-Suyuthi dan yang lainnya.
Malahan hadith-hadith yang berkenaan dengan ziarah makam Rasulullah tidak ada seorang pun dari ahli hadis seperti Bukhari, Muslim atau Ashabus Sunan seperti Abi Daud dan Nasaii, malah tidak seorang pun dari para ahli sanad seperti Ahmad dan yang semisal dengannya seperti imam-imam fikeh seumpama Malik, Syafie, Ahmad, Ishak, at-Thauri, Awzaii, Abi Hanifah dan yang semisal dengan mereka yang meriwayatkannya.
Barangsiapa yang ingin tahu kedhaifan sanad dan kemungkaran matan riwayat-riwayat di atas, bolehlah membaca kitab ash-Shaarimul Munki fir Radd 'Alas Subki karangan al-Hafizh Ibnu 'Abdil Hadi. Beliau telah mengumpulkan dan memeriksa hadith-hadith yang berkaitan dengan ziarah Rasulullah. Beliau menyebutkan hadith-hadith tentang ziarah kubur satu persatu lalu membicarakan kelemahannya serta ulasan para ulama tentangnya.
Tambahan itu, antara kitab-kitab yang mengulas kedhaifan dan kepalsuan hadith-hadith di atas ialah ialah dalam buku At-Talkhis al-Habir jilid 2 halaman 507-509, Fadhail Madinah halaman 583-595, As-Silsilah Ad-Dhaifah Jilid 1 halaman 61-63, Tanbih Zair al-Madinah halaman 16-30, bantahan terhadap Al-Akhna'i karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, bantahan terhadap As-Sabaki karya Ibnu Abdil Hadi dan bantahan terhadap An-Nabhani karya Al-Alusiy. Hendaknya kita tidak terpedaya oleh orang yang berdalih dengan hadith-hadith tersebut.
3. Pengakuan Ulama besar terhadap As-Sayyid Zaini Dahlan ini?
Syeikh Fauzan al-Sabiq dalam kitabnya yang bertajuk Al-Bayan wa al-Isyhar menyatakan, “Sebahagian para ulama besar Makkah mengulas tentang Dahlan seperti berikut: “Berdasarkan penelitian didapati bahawa hasil karya Dahlan laksana bangkai yang tidak boleh dimakan kecuali oleh orang yang berada dalam keadaan terdesak.”
Oleh itu ia ditolak oleh kebanyakkan para ulama di India, Iraq, Najd serta selainnya dengan mendedahkan segala bentuk kesesatan yang terdapat di dalamnya. Aku dapati dari beberapa alim ulama berdasarkan dokumen para ilmuan Islam yang berkata berkenaan Dahlan seperti berikut: “Hakikatnya Dahlan seorang Rafidhi (Syiah Rafidhah) namun menyembunyikan pegangannya dengan bertaklid kepada salah satu dari mazhab yang empat.”
Di antara bukti menunjukkan Dahlan seorang Rafidhi yang hanya bertopengkan mazhab Ahlu-Sunnah khasnya mazhab yang mulia al-Imam Syafie’ rahimahullah ialah sebuah kitab yang dikarangnya bertajuk Asna al-Muthalib fi Najah Abi Talib. Ia ditulis bagi menolak dengan penuh hawa nafsu kitab-kitab hadith serta as-Sunnah yang sahih lagi mutawatir.”
Ulasan dan penjelasan di atas ini sekali lagi ditegaskan bahawa bukanlah niat kita untuk mengajar atau menunjukkan alim terhadap al-Fadhil al-‘alim as-Syeikh Dr Muhammad Uthman el-Muhammady. Kita sendiri telah banyak menadah ilmu dari karya-karya serta tulisan-tulisan al-Fadhil yang penuh dengan hikmah.
Tetapi tulisan ini adalah secebis kajian dan pengetahuan yang ingin dikongsi bersama dengan al-Fadhil bagi melihat kebenaran dan menolak kebatilan. Kita dan seluruh umat Islam lebih cintakan kebenaran dari mana-mana tokoh yang kita cintai. Manakala kita percaya al-Fadhil lebih arif dengan firman Allah yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maidah 5:8)
Sebelum mengakhiri perkongsian kita dengan al-Fadhil, kita memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna dalam risalahnya yang bertajuk Da’watunaa. Kata Hassan al-Banna, “Perbezaan bukan merupakan aib akan tetapi yang aib dan yang tercela ialah fanatik tehadap sesuatu pandangan serta mengongkong kebebasan akal fikiran manusia. Pandangan terhadap masalah-masalah perbezaan seperti inilah sebenarnya mampu mempersatukan kembali hati-hati yang berpecah-belah. Dan cukup bagi manusia bersatu di atas sesuatu yang boleh membuat muslim menjadi muslim yang sejati.”

Selasa, 18 Ogos 2009

Artikel Akob di Buletin al-Khaadem

Sila Klik Pada Imej Di Atas Untuk Membesarkan Paparan


Assalaamu'alaikum

Terlebih dahulu akob ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Pertubuhan al-Khaadem kerana sudi menyertakan 2 artikel akob di dalam Buletin al-Khaadem terbitan mereka.
Pertubuhan al-Khaadem pimpinan Syaikh Hussain Yee memang begitu dekat dengan akob. Pada peringkat awal akob berminat dengan dakwah ahlus sunnah wal jamaah, akob memang sentiasa mengunjungi Dewan Kuliyah al-Khaadem untuk menadah ilmu daripada Syaikh Hussain Yee. Cara penyampaian beliau yang mudah tetapi ilmiah, padat dengan dalil-dalil al-dari Qur'an dan al-Sunnah menyebabkan akob begitu tertarik hati untuk mendalami ilmu-ilmu agama.
Kini walaupun artikel-artikel akob telah tersiar dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah, tetapi apabila artikel akob diterima oleh Syaikh Hussain Yee dalam Buletin mereka, perasaan akob sukar hendak digambarkan. Jika dahulu akob hanya membaca artikel-artikel orang lain di dalam buletin al-Khaadem, tetapi dalam buletin kali ini artikel akob pula dipaparkan. Terima kasih kepada seluruh AJK Buletin al-Khaadem yang bertanggung jawab menerbitkan buletin ini.
Akob amat menganjurkan untuk seluruh pembaca blog MINDA AKOB untuk menghadiri kuliyah-kuliyah di Dewan al-Khaadem seperti butiran di bawah :
Kuliyah Who Are We? in English setiap hari Ahad 10.30pagi hingga 12.30ptg
Kuliyah Aqidah Setiap hari Isnin Selepas solat Isya'
Alamat :
Pertubuhan al-Khaadem
Lot 1034, Jalan Cempaka, Sungai Kayu Ara
47400 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
No Tel : 03-7726 4146
Dapatkan juga Kad Ramadan dan Hari Raya yang begitu menarik dari Pertubuhan al-Khaadem. Di dalam kad tersebut disertakan amalan-amalan Sunnah sempena Ramadan dan ketika sambutan Aidilfitri.

Jumaat, 29 Mei 2009

Mogok Lapar Ditolak Oleh Islam




SOALAN Ditanya Dr. Mohd Asri mengenai mogok lapar yang sertai oleh seseorang muslim, apa hukumnya?


Jawapan: Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara (the ends do not justify the means). Apa sekalipun hasrat baik tidak boleh dihalalkan dengan cara yang tidak diterima oleh syariat. Mogok lapar adalah satu penyeksaan diri sendiri yang mempunyai ‘nilai ketidakcerdikan’ yang amat sangat.


Memang, pada zaman Nabi ia pernah dibuat oleh ibubapa kuffar Quraish bagi membantah anak-anak mereka menganut Islam. Namun itu adalah kebodohan kaum Quraish. Para Nabi a.s. dan pengikut mereka telah menentang berbagai sistem dan kezaliman, tiada seorang pun di kalangan mereka yang melancarkan mogok lapar. Allah tidak pernah mensyariatkan hal itu sama sekali.


Mungkin Gandhi pernah menjadi contoh dalam hal itu. Tetapi tidak para pejuang Islam. Jika ada pun seseorang berpuasa dengan cara yang diajar oleh Allah dan RasulNya. Bukan untuk membantah sesiapa, tetapi mendekatkan diri kepada Allah. Itupun dilarang ‘wisal’ dalam puasa, maksudnya berterusan tanpa buka setelah masuk waktu berbuka.


Malanglah, jika umat Islam terpengaruh dengan pendekatan yang bukan Islamic, bukan memperkenalkan kematangan pemikiran Islam. Jika seseorang mati dalam mogok lapar, ia termasuk dalam hukum membunuh diri. Ini seperti dalam hadis al-Bukhari, dalam sebuah peperangan, ada seorang pejuang telah berjuang dengan hebat sehingga dia dipuji oleh para sahabat. Nabi memberitahu mereka dia ahli nereka. Mereka hairan. Namun apabila diperiksa didapati dia membunuh diri kerana tidak sabar atas kecederaan yang dialaminya.


Dengan itu, bagi saya jika ‘pejuang mogok lapar’ mati dia termasuk dalam hadis ini. Orang politik mungkin menghalalkan apa sahaja untuk politik mereka, tetapi para pejuang prinsip hendaklah berpegang kepada prinsip tanpa mengira siapa pun”


– dr mohd asri zainul abidin, lampeter, UK.

Khamis, 7 Mei 2009

HUKUM BUANG AIR KECIL SECARA BERDIRI


OLEH : Ustaz Abu Syu'aib



Persoalan yang sering ditanya oleh kebanyakkan orang ialah apakah hukumnya kencing berdiri?Jawapan kepada persoalan ini tidak akan terlepas daripada membicarakan hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa’ie daripada Aisyah radiallahu anha, dia berkata:


مَنْ حَدَّثَكُم أنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيه وَسَلَّم كَانَ يَبُوْلُ قَائِماً، فَلاَ تُصدِّقوه، مَا كَانَ يَبُوْلُ إلاَّ قَائِداً

Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Nabi s.a.w. pernah kencing berdiri, maka janganlah membenarkannya, baginda s.a.w. tidak pernah kencing melainkan dalam keadaan duduk. (al-Nasa’ie, disahihkan oleh al-Albani).


Daripada hadis ini, dapat difahami bahawa Nabi s.a.w. tidak pernah kencing berdiri dan perkara ini diceritakan oleh Aisyah r.ha, wanita yang paling faqih di dunia ini dan yang paling mengetahui semua perkara di dalam rumah nabi s.a.w. masakan tidak, beliau merupakan isteri nabi s.a.w. ummul mukminin r.ha. penafian Aisyah r.ha ini menunjukkan beliau meriwayatkannya berdasarkan pengetahuannya dan apa yang dilihatnya.


Walaupun demikian terdapat hadis yang lain yang yang menceritakan nabi s.a.w. pernah kencing dalam keadaan berdiri. Hadis yang masyhur yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (217) dan muslim (273) daripada Huzaifah r.h. dimana beliau juga telah menceritakan apa yang diketahuinya:


أتَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سُبَاطَةَ قومٍ، فبال قائماً، ثم دعا بماءٍ فجِئْتُهُ بماءٍ فتَوَضَّأ.

Nabi s.a.w. telah mendatangi suatu kawasan pembuangan sampah, lalu kencing dalam keadaan berdiri, kemudian nabi meminta dibawakan air, maka aku (huzaifah) pun membawakan air kepada baginda dan baginda berwudhuk.


Al-Imam al-Bukhari telah menamakan bab di dalam sahihnya “Bab kencing berdiri dan duduk” lalu membawakan hadis ini. menunjukkan perbuatan tersebut dibolehkan. Dengan adanya hadis ini yang mengisbatkan (menetapkan) perbuatan nabi s.a.w. kencing berdiri daripada Huzaifah yang juga merupakan antara sahabat yang besar, maka menurut kaedahnya isbat didahulukan daripada penafian, dan sesiapa yang mengetahui merupakan hujjah keatas sesiapa yang tidak mengetahui.Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan di dalam “Fathul Bari” (1/330)وَقَدْ ثَبَتَ عَنْ


عُمَر وَعَلِيّ وَزَيْد بْن ثَابِت وَغَيْرهمْ أَنَّهُمْ بَالُوا قِيَامًا وَهُوَ دَالٌّ عَلَى الْجَوَازِ مِنْ غَيْرِ كَرَاهَةٍ إِذَا أَمِنَ الرَّشَاشَ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ . وَلَمْ يَثْبُتْ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّهْيِ عَنْهُ شَيْء.

Terdapat juga riwayat yang menyatakan Umar, Ali, Zaid bin thabit dan selain mereka bahawa mereka pernah kencing berdiri, dan ini menunjukkan perbuatan tersebut dibolehkan, dan tidak makruh sekiranya selamat daripada percikan, wallahu a’lam. Juga tiada tegahan daripada nabi s.a.w. tentang perkara ini.


Disana terdapat riwayat yang menyatakan umar menafikan bahawa dia kencing berdiri semenjak dia memeluk Islam


ما بلتُ قائماً منذ أسلمتُ

Aku tidak pernah kencing berdiri semenjak aku memeluk Islam.


Tetapi kata-kata Umar ini berlawanan dengan perkataan Zaid r.h.


رأيتُ عمر بال قائماً

Aku pernah melihat Umar kencing berdiri.


Kedua-dua riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam “Musonnaf” dan sanadnya sahih seperti yang dikatakan oleh Syeikh Al-Albani di dalam komentarnya kepada hadis no. 934 dalam “al-Dhoifah”Kata syeikh Al-Albani: kemungkinan perbuatan kencing berdiri dilakukan oleh Umar r.h. selepas dia mengetahui bahawa kencing berdiri itu dibolehkan dan tidaklah menjadi kesalahan.


Kesimpulan


Daripada hadis-hadis yang dikemukan di atas disimpulkan bahawa kebanyakan hal keadaan nabi s.a.w. terutamanya di dalam rumah sewaktu kencing ialah dalam keadaan duduk seperti yang dinyatakan oleh Aisyah r.ha. tetapi dalam sesetangah keadaan di luar rumah baginda pernah kencing dalam keadaan berdiri dan ianya dibolehkan dan tiada sebarang masalah. Tetapi seperti yang dinyatakan oleh Al-Imam Ibn Hajar dibolehkan sekiranya selamat daripada percikkan air kencing kepada baju ataupun badan. Contohnya jika seseorang itu kencing dipermukaan yang boleh memantulkan semula air kencing ke badan atau pakaiannya maka ia tidak dibenarkan, ini seperti simen dan apa sahaja permukaan yang keras.


Wallahu a’lam.

Khamis, 30 April 2009

ISU MENETAP AGAMA ANAK BERDASARKAN AGAMA ASAL KETIKA PERKAHWINAN


PANDANGAN DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN MENGENAI KEPUTUSAN KABINET YANG MENETAP AGAMA ANAK BERDASARKAN AGAMA ASAL KETIKA PERKAHWINAN


Berbagai pihak meminta saya menyatakan pendirian dalam isu agama anak yang ditetapkan oleh Kabinet Malaysia yang baru. Di sini saya sebut, ada beberapa masalah dalam isu ini yang mesti difahami dan dinilai, juga pendapat saya dalam hal ini;


1) Islam menganggap setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan yang bersih dari pencemaran pemikiran dan akidah. Tiada nilaian dosa atau pahala buat mereka. Jika mereka mati sebelum mencapai umur mukallaf, mereka mati dalam keadaan bersih sekalipun ibubapa mereka tidak menganut agama Islam.


2) Ibubapa merupakan faktor utama dalam mempengaruhi fitrah anak yang bersih tersebut. Anak kecil biasanya akan terikut dengan agama ibubapanya. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


3) Para sarjana fekah ramai yang berpendapat bahkan ada yang mendakwa telah ijmak (sepakat), bahawa pengislaman bapa membawa kepada pengislaman anak yang masih kecil. Namun mereka berbeza pendapat tentang pengislaman ibu; apakah diikuti dengan pengislaman anak atau tidak. Di kalangan sarjana fekah ada yang berpendapat agama anak berdasarkan agama yang paling mulia dan sudah pasti mereka akan memutuskan jika bertembung antara Islam dan selainnya; maka agamanya dianggap sebagai Islam. Apa yang penting tiada nas Islam yang jelas dalam memutuskan hal ini. Ia lebih merujuk kepada soal ijtihad. Namun asas yang penting yang mesti ditegakkan adalah keadilan, di samping memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.


4) Kepentingan membincangkan tentang status agama anak ini adalah untuk pengurusan jenazah, harta pusaka dan beberapa perkara yang lain. Bukan untuk menentu kedudukannya di syurga atau neraka seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan anak kecil bebas dari nilaian dosa dan pahala sehingga dia menjadi mukallaf.


5) Saya berpendapat; tiada kemunasabahan yang cukup untuk Pihak Kabinet menentukan agama anak secara keputusan yang sedemikian. Lebih baik urusan ini diserahkan kepada mahkamah –sekalipun mahkamah sivil- untuk memutuskannya. Mahkamah mesti menentukan hak jagaan kepada pihak yang paling baik untuk kemaslahatan anak. Di sini datangnya peranan badan-badan Islam atau pihak pengurusan zakat umat Islam untuk memastikan kekuatan kewangan dan sebagainya dalam membantu ‘saudara baru’ melayakkan mereka mendapat hak jagaan. Jika badan-badan ini masih tidur atau sekadar sibuk dengan lawatan dan mensyuarat di hotel-hotel sahaja, jadilah apa yang terjadi sekarang.


6) Keputusan kabinet tersebut boleh merampas hak salah seorang ibubapa yang menukar agamanya dan bersifat tidak adil. Jika sudut kebendaan itu yang dinilai, kelayakan menjaga seseorang anak itu berbeza antara pasangan. Tidak mungkin dibuat keputusan yang tetap kerana setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza. Biar mahkamah menentukannya secara adil. Sesiapa yang berhak menjaga anak, maka tidak menjadi masalah jika berlaku perselisahan agama anak berdasarkan pihak yang menjaganya atau jika anak itu sudah pandai menilai, dia mungkin boleh membuat pengakuan agama pilihannya.


7) Sepatutnya, isu agama anak tidak ditimbulkan melainkan ketika perselisihan antara pasangan sahaja. Anak sepatutnya diberi peluang untuk mengenai Islam setelah ibu atau bapa menganut Islam. Peruntukan zakat muallaf secara besar perlu diberikan untuk ini. Zakat bukan lawatan hujung tahun dan penukaran kereta baru para pegawai. Malanglah keputusan kabinet ini boleh menghalang dakwah seorang bapa atau ibu kepada anak berkenaan.


8) Ini kerana, anak itu bersih fitrahnya. Ibubapa mempunyai peranan mempengaruhinya. Itu adalah hak mereka untuk mempengaruhi anak mereka. Jika salah seorang ibubapanya menganut Islam sementara seorang lagi tidak, anak berkenaan mungkin akan dipengaruhi oleh salah seorang daripada mereka. Sekalipun jika mereka berpisah, peluang yang adil untuk anak bertemu dengan bapa atau ibunya hendaklah diberikan. Selepas itu terpulang kepada anak berkenaan dalam menentukan agamanya.


9) Saya berpendapat; keputusan kabinet lebih dipengaruhi oleh perkembangan politik kepartian dan undi tanpa melihat kepada sudut keadilan untuk semua. Ia adalah penindasan terhadap saudara baru dan boleh menakutkan mereka yang ingin menganut Islam. Dalam kegilaan mendapatkan undi, jangan digadai masa depan umat Islam dan keharmonian agama dalam negara.

10) Sekali lagi saya tegaskan, golongan ‘saudara baru’ dalam negara ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya dan pihak yang bertanggungjawab terutama yang menguruskan zakat dan badan-badan agama kerajaan pusat dan negeri tidak menyibukkan diri dalam menjaga kebajikan mereka dan usaha dakwah dalam memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam yang sebenar. Zakat tidak diuruskan dengan sepatutnya dan dana-dana untuk kemajuan Islam tidak dialirkan dengan cara yang wajar dalam menjaga kepentingan dakwah Islamiyyah.


11) Saya dengan ini meminta pihak Kabinet menilai balik keputusan tersebut dan juga pihak-pihak agama dalam negara kita memainkan peranan yang sepatutnya dalam memberikan keadilan kepada ‘saudara baru’.


12) Jika Fatwa Kebangsaan JAKIM boleh membuat sidang fatwa segera tentang ‘dakwat pilihanraya’ mengapa tidak Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak memberikan pandangan para mufti dengan segera dan jelas dalam hal ini. Malanglah jika isu penkid dan yoga digembar-gembur, tetapi isu keadilan hak saudara baru dilewat-lewatkan.

13) Saya ingin berpesan kepada diri sendiri, juga mengambil kesempatan berpesan kepada mereka yang berjawatan berkaitan agama agar jangan memikirkan tentang gaji, sambungan kontrak, gelaran menjelang harijadi sultan, elaun, rombongan dan urusan dunia yang lain melebihi kepentingan dan masa depan umat.


Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin,
29.4.09Lampeter, UK.

Sabtu, 14 Februari 2009

Akob di Berita Harian 14/2/2009 : Rugi Tak Rebut Ganjaran Solat Berjemaah


Rugi tak rebut ganjaran berlipat ganda bersolat jemaah
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Pahala diukur ketika mula berwuduk hingga selesai menunaikan sembahyang di masjid

PEMBINAAN masjid yang besar demi memenuhi keperluan beribadat umat Islam sayangnya tidak menzahirkan gambaran diharapkan apabila jumlah mereka yang bersolat secara berjemaah tidak sepadan dengan keluasan masjid itu. Ada masjid yang boleh menampung ribuan jemaah tetapi apabila tiba waktu solat fardu, bilangan jemaah hanya sekadar dua atau tiga saf saja sedangkan solat secara berjemaah memiliki pelbagai keutamaan besar dan menyeluruh.

Pahala bagi orang bersolat berjemaah bermula ketika dia berjalan keluar rumah menuju masjid hinggalah selesai menunaikan solat secara berjemaah. Bukan setakat itu saja, bahkan ia berlanjutan sehingga dia tiba di rumahnya dari masjid. Banyak keutamaan solat berjemaah antaranya keutamaan ketika perjalanan ke masjid. Bekas perjalanan bagi mereka yang menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah akan dihitung dan dibalas dengan ganjaran pahala.

Daripada Jabir bin 'Abdullah, dia berkata: "Bani Salimah ingin berpindah supaya lebih hampir dengan masjid, lantas menyatakan bahawa tempat itu banyak kosong. Maka sampailah berita itu kepada Nabi SAW lalu, Baginda bersabda: Hai Bani Salimah! Tetaplah di rumah kalian, sesungguhnya akan dicatat bekas perjalanan kalian (ke masjid). Mereka berkata: Tidaklah menyenangkan bagi kami, kalau kami berpindah." (Hadis riwayat Muslim)


Tambahan lagi langkah perjalanan menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah itu dapat menghapuskan dosa dan meninggikan darjat seseorang manusia di sisi Allah. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku tunjukkan atas sesuatu yang mana Allah akan menghapuskan dosa dengannya dan terangkat beberapa darjat? Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Sempurnakanlah wuduk pada saat cuaca sangat dingin, perbanyakkanlah melangkah menuju masjid, dan menunggu selepas solat. Demikianlah itu bagi kalian pertalian." (Hadis riwayat Muslim) Orang yang keluar menuju masjid dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat berjemaah akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan juga dianggap melakukan solat daripada permulaan perjalanannya hingga dia kembali ke rumahnya.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah daripada Abu Umamah yang bermaksud: "Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan suci (berwuduk) menuju solat wajib (dengan berjemaah) maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan haji dengan memakai ihram." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) Allah juga menyediakan syurga bagi orang yang pergi dan pulang dari masjid. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kedua ialah keutamaan ketika berada dalam masjid dan mengerjakan solat secara berjemaah. Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan insan untuk berasa bangga jika menjadi tetamu kepada orang kenamaan seperti Sultan atau Perdana Menteri. Namun, begitu ramai kurang memahami dengan menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat secara berjemaah kita sebenarnya sedang menjadi tetamu Allah. Masjid adalah rumah Allah dan tentu sekali sebagai tuan rumah, Allah memuliakan tetamu-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang berwuduk dalam rumahnya dan menyempurnakan wuduknya kemudian pergi ke masjid maka dia adalah tetamu Allah dan kewajipan bagi yang dikunjungi untuk memuliakan yang mengunjungi."

Apabila seseorang itu berada dalam masjid untuk menunggu masuknya waktu solat sesungguhnya dia mendapat pahala seperti berada dalam keadaan bersolat di sisi Allah dan malaikat pula sentiasa mendoakan keampunan serta rahmat baginya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seseorang daripada kalian yang menunggu waktu solat, (dia berada) dalam solat selama tidak batal, maka malaikat mendoakan baginya: Ya Allah, ampunkan dia, ya Allah rahmatilah dia." (Hadis riwayat Muslim)

Mengerjakan solat berjemaah memiliki keutamaan berlipat ganda jika dibandingkan solat sendirian. Daripada 'Abdullah bin 'Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat berjemaah lebih utama jika dibandingkan dengan solat sendirian dengan 27 darjat." (Hadis riwayat Bukhari) Di samping itu, keutamaan solat berjemaah juga bertambah dengan jumlah orang bersolat.

Semakin ramai makmum maka semakin tinggi nilai pahala diperoleh oleh semua makmum. Daripada Ubai bin Ka'ab, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya solat seseorang bersama seseorang lebih utama daripada solatnya sendirian, dan solatnya bersama dua orang, lebih utama daripada solatnya dengan seorang dan jumlah yang lebih banyak, maka itulah yang lebih disukai oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah juga memberi perlindungan daripada syaitan kepada mereka yang mengerjakan solat berjemaah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu bagaikan serigala bagi manusia seperti serigala bagi kambing, yang menjadikan kambing yang di dalam keadaan sendirian dan lalai sebagai mangsa, maka waspadalah kalian daripada bersendirian dan wajib bagi kalian untuk berjemaah dan pergi ke masjid." (Hadis riwayat Ahmad)

Sesiapa yang mendapatkan takbir yang pertama bersama imam selama 40 hari berturut-turut maka Allah membebaskannya daripada api neraka dan kemunafikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang solat kerana Allah selama 40 hari di dalam jemaah dengan mengikuti takbir yang pertama, ditulis baginya dua kebebasan, iaitu bebas daripada api neraka dan kemunafikan." (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Keutamaan solat berjemaah ada yang berlanjutan sehingga tiba di rumah seperti pahala banyak dan disediakan tempat baginya di syurga. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila salah seorang di antara kalian berwuduk di rumahnya kemudian datang ke masjid adalah dia berada dalam solat sampai dia pulang." Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan dan keutamaan solat jemaah yang menjanjikan banyak kebaikan sewajarnya menjadi aspirasi bagi kita semua untuk mengerjakan solat secara berjemaah.

Isnin, 12 Januari 2009

ISU PALESTINE : Qunut Nazilah atau Solat Hajat?


ISU PALESTINE : QUNUT NAZILAH ATAU SOLAT HAJAT?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus



Keganasan dan kerakusan rejim zionis di bumi Palestin amat menyedihkan hati seluruh umat Islam di seluruh dunia. Sehingga artikel ini ditulis 875 orang rakyat Palestin termasuk kanak-kanak kecil telah terkorban manakala lebih daripada 3,000 orang lagi telah tercedera akibat dari serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza. Entah mengapa agaknya penindasan terhadap rakyat Palestine seakan-akan tiada kesudahannya. Kita juga amat kesal dengan kebaculan pemimpin-pemimpin negara Arab yang gagal untuk bersatu tenaga bagi membantu umat Islam di Palestin memerangi tentera penceroboh Israel. Hal ini menyebabkan negara sekecil Israel boleh merampas tanah serta membunuh umat Islam di Palestin sesuka hati mereka di hadapan mata bangsa Arab tanpa mereka mampu untuk berbuat apa pun. Dalam usaha untuk membantu umat Islam di Palestine maka ramai dikalangan umat Islam di Malaysia menyeru untuk dilaksanakan solat hajat secara berjemaah di masjid-masjid demi memohon keselamatan sauadara-saudara kita di sana. Hanya sahaja apa sepatutnya yang lebih utama untuk dilaksanakan ketika musibah dan bencana sedang melanda umat Islam adalah mengerjakan qunut nazilah dalam solat-solat fardu. Namun sunnah Rasulullah s.a.w. mengerjakan qunut nazilah ini jarang-jarang dikerjakan walaupun keadaan umat Islam di seluruh dunia begitu terhimpit dan sewajarnya kita mendoakan keselamatan untuk mereka menurut tatacara yang diajar oleh Baginda. Dalil disyariatkan qunut nazilah ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w. telah berqunut sebulan berturut-turut dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu dalam rakaat terakhir ketika iktidal sehabis mengucapkan ‘sami’allahuliman hamidah.’ Di situ baginda berdoa untuk kebinasaan Banu Sulaim, Ra’al, Dzakwan dan Ushaiyah, sedang makmum yang di belakangnya mengaminkan doa itu.” - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya. No: 1231

Anas bin Malik pula telah berkata: “Rasulullah s.a.w. tidaklah pernah berdoa selepas bangun daripada rukuk kecuali untuk memohon kebaikan kepada orang ramai atau mengutuk sesetengah kaum itu.” - Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sahih Ibnu Khuzaimah dan juga diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Bulughul Maram, no: 0242

Mengerjakan qunut nazilah ketika terjadinya bencana dalam kaum Muslimin merupakan pegangan mazhab Syafi’i, Hanafi dan juga Hambali. Berkaitan dengan perlaksanaan qunut nazilah ini Syaikh al-Mubarakfury telah berkata: Ini memang dikhususkan pada hari-hari genting dan ketika terjadinya peristiwa menakutkan atau bencana, kerana Nabi s.a.w. tidak pernah membaca qunut kecuali untuk mendoakan kebaikan bagi kaum muslimin atau memohonkan kebinasaan kaum kafir – Dinukil dari kitab Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram karangan Abdullah bin Abdurrahaman al-Bassam, jilid 2, ms. 236

Syaikh Abu Ubaidah pula telah menegaskan: Membaca doa qunut (nazilah) dalam keadaan-keadaan tertentu merupakan bantuan berupa doa kepada sesama umat Islam. Sedangkan mendoakan musuh kaum muslimin supaya hancur telah dicontohkan dari Rasulullah s.a.w. dengan cara berdoa (berqunut nazilah) ketika solat, tepatnya setelah membaca sami’allahu liman hamidah pada rakaat terakhir. - Syaikh Abu Ubaidah Mashur bin Hassan dalam kitab beliau Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, ms. 136- 137.

Di antara lafaz-lafaz doa yang pernah Rasulullah s.a.w. ketika qunut nazilah adalah seperti berikut:

Ya Allah, Selamatkan al-Walid bin al-Walid, Salamah bin Hisyam, Ayyash bin Abi Rabi’ah serta orang-orang beriman yang tertindas. Ya Allah. Timpakanlah kecelakaan daripada Mu kepada penduduk Mudhar, jadikanlah mereka atas mereka seperti tahun-tahun Yusuf (masa kemarau). – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya no: 804

Ya Allah, Laknatlah fulan, fulan dan fulan - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya no: 4559

Untuk situasi sekarang ini maka di dalam lafaz doa qunut nazilah tersebut hendaklah kita mendoakan keselamatan bagi rakyat Palestine dan ditimpakan kecelakaan terhadap rejim Zionis dan penyokong-penyokong kekejaman mereka. Qunut nazilah ini dilaksanakan setelah mengucapkan ‘sami’allahuliman hamidah’ ketika bangun dari posisi rukuk. Hendaklah imam mengeraskan suaranya ketika berdoa dan makmun dibelakangnya mengaminkan doa tersebut. Inilah sunnah Rasulullah s.a.w. ketika terjadinya musibah yang melanda kaum Muslimin. Tidak ada sebarang riwayat yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. pernah menganjurkan solat hajat secara berjemaah dalam apa jua keadaan. Bahkan hadis-hadis tentang solat hajat itu sendiripun adalah berstatus lemah. Lazimnya, dalil yang digunakan untuk mensyari’atkan solat sunat hajat ini adalah hadis-hadis yang berikut.

Menurut Faaid bin Abdurrahman yang meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa, Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang bani Adam (manusia) hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya kemudian solat dua rakaat. Terus (setelah selesai solat) hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian dia mengucapkan doa…… Menurut Abu ‘Isa ini adalah hadis Gharib dan dalam sanadnya terdapat Faaid bin ‘Abdurrahman yang dha’if (lemah) dalam hadis dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa’. - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunannya Kitab al-Sholaah, no: 441.

Gharib bermaksud yang asing, jauh, aneh atau susah difahami. Hadis gharib bermaksud hadis yang diriwayatkan dengan satu sanad atau hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi. Hadis gharib ini ada yang sahih, hasan dan juga dha’if (lemah). Namun begitu hadis yang diperbincangkan ini statusnya dha’if dan tidak boleh dijadikan sebagai dalil dalam menetapkan sesuatu hukum. Ini diindikasikan sendiri oleh Imam al-Tirmizi r.h ketika meriwayatkan hadis ini. Hadis di atas ini berstatus dha’if jiddan (sangat lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Faaid bin Abdurrahman Abu al-Waruqa’ dan beliau telah dilemahkan oleh ulamak hadis seperti Imam al-Tirmizi, Imam Abdullah bin Ahmad, Imam Ibn Ma’in, Imam Abu Daud, Imam al-Nasaai, Imam Abu Hatim, Imam al-Hakim, Imam Ibn Hibban dan Imam al-Bukhari. Oleh itu hadis di atas tidak boleh dijadikan dalil untuk mensyari’atkan solat Hajat.

Sebuah hadis berkaitan dengan solat hajat juga telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Maimun Abu Muhammad al-Mura’i al-Tamimi. Dia berkata: Yahya bin Abi Kathir telah menceritakan daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam daripada Abu Darda’ radhiallahu’ anh katanya: Wahai sekalian manusia! Aku telah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahupun lambat. - Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 26225.

Hadis ini juga tidak sahih kerana dalam sanadnya terdapat seorang perawi, iaitu Maimun Abu Muhammad al-Mura’i. Beliau seorang yang majhul (tidak dikenali) sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ulamak hadis seperti Imam Ibn Ma’in, Imam Ibn ‘Adiy, Imam al-Zahabi dan Syeikh Nashiruddin al-Albani. Sanad hadis ini juga munqati’ (terputus) kerana Yahya bin Abi Kathir yang merupakan seorang tabi’ al-tabi’in telah meriwayatkan secara terus daripada Yusuf bin Abdullah bin Salam. Sedangkan Yusuf merupakan seorang sahabat Nabi s.a.w. Al-Tabi’in adalah seseorang yang di dalam hidupnya sempat berjumpa dengan sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam Manakala tabi’ al-Tabi’in adalah seseorang yang sempat berjumpa seorang tabi’in. Di dalam hadis ini, seorang tabi’ al-Tabi’in telah meriwayatkan hadis secara terus daripada seorang sahabat Nabi s.a.w tanpa perantaraan daripada seorang tabi’in di dalam sanadnya. Oleh itu, hadis ini dikategorikan sebagai munqati’, iaitu terputus sanadnya.

Oleh itu marilah kita menyuburkan semula sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang semakin jarang-jarang diamalkan di Malaysia iaitu membaca qunut nazilah ketika terjadi apa jua bentuk musibah sama ada di dalam negeri mahupun di luar negeri. Semoga doa-doa kita itu dimakbulkan Allah s.w.t. dan dapat membantu meringankan beban saudara-saudara seagama kita serta menghancurkan musuh-musuh Islam.

Jumaat, 2 Januari 2009

Harian Metro 2hb Jan 09 : HIASI MUHARAM DGN AMAL SOLEH

Hiasi Muharam dengan amal soleh

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
http://www.hmetro.com.my/

ALLAH SWT dengan sifat-Nya Maha Pemurah (ar-Rahmah) lagi Maha Penyayang (ar-Rahman) sudah menetapkan sesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding bulan lain agar Dia dapat memberi ganjaran lebih kepada hamba-Nya pada kadar masa tertentu itu.

Antara bulan dianggap istimewa itu ialah Muharam - bulan pertama dalam kalendar Hijrah dan ia juga satu daripada empat bulan haram yang penuh berkat.

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang sudah ditetapkan) di dalam Kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.

"Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa." (at-Taubah: 36)

Menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya)" menunjukkan pada bulan haram iaitu Muharram satu daripadanya kita dilarang daripada melakukan perbuatan terlarang kerana dosa melakukan kemungkaran pada bulan ini adalah lebih buruk balasannya daripada Allah, berbanding bulan lain.

Tetapi bagi mereka yang melakukan amal soleh ganjaran pahalanya adalah lebih tinggi berbanding bulan yang lain.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun, sabda Nabi s.a.w ini memperincikan lagi mengenai nama bulan berkenaan.

"Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." (Riwayat Imam al-Bukhari)

Oleh itu hendaklah pada bulan Muharam yang mulia ini kita hindarkan diri daripada melakukan amalan yang dilarang dan mempertingkatkan amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah terutama puasa.

Ini kerana Rasulullah s.a.w bersabda: "Sebaik-baik puasa selepas Ramadan adalah bulan Allah al-Muharam dan sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat malam." (Riwayat Imam Muslim)

Sabda baginda "bulan Allah al-Muharam" menegaskan lagi betapa mulianya bulan Muharam ini. Oleh itu hendaklah kita bersungguh-sungguh untuk berpuasa sebanyak mungkin pada bulan Muharam.

Begitupun, ini tidak bermakna kita disyariatkan untuk berpuasa sepanjang bulan terbabit kerana Rasulullah s.a.w hanya berpuasa sebulan penuh pada Ramadan.

Aisyah r.a berkata: "Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban." (Riwayat Imam al-Bukhari)

Pada Muharam ini juga ada hari yang digelar sebagai Asyura iaitu hari di mana Nabi Musa a.s. dan pengikutnya diselamatkan oleh Allah daripada tentera Firaun.

"Nabi s.a.w datang ke Madinah dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka; ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Firaun. Maka sabda Nabi s.a.w; kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah." (Riwayat Imam al-Bukhari)

Melalui hadis di atas ini juga dapat kita fahami amal ibadat khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w adalah ibadat puasa.

Disunatkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari sesudahnya.

Rasulullah s.a.w memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi. Sabda baginda, maksudnya: "Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)

Kemunculan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar umat Islam sentiasa dihiasi dengan beberapa amal ibadat tertentu. Upacara terbabit bermula pada hari terakhir Zulhijjah iaitu di ambang menjelangnya 1 Muharam.

Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari terakhir bulan Zulhijjah dan membaca doa akhir tahun selepas solat Asar. Seterusnya selepas menjelangnya 1 Muharam iaitu selepas solat Maghrib dibaca pula doa awal tahun, bacaan surah Yasin, zikir tertentu malah ada juga yang mengerjakan solat sunat sempena 1 Muharam dan berpuasa pada siang harinya.

Sebenarnya semua amalan terbabit atau apa juga amalan sempena tibanya tahun baru Hijrah tidak memiliki dalil sahih daripada Rasulullah s.a.w. bahkan imam mazhab seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad r.h juga tidak pernah mengamalkannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak pernah menyambut kehadiran bulan Muharam atau kedatangan tahun baru dengan upacara tertentu.

Kalendar Hijrah juga tidak wujud pada zaman Rasulullah kerana ia hanya diperkenalkan pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab iaitu tujuh tahun selepas baginda wafat.

Umar yang memperkenalkan kalendar ini juga tidak pernah melakukan atau menganjurkan upacara tertentu sempena kedatangan tahun baru dan begitu juga kalangan sahabat serta generasi soleh yang lain.

Adapun hadis dijadikan hujah oleh golongan yang melakukan amalan tertentu sempena kedatangan tahun baru adalah hadis lemah dan palsu, antaranya hadis daripada Ibn Abbas, yang berkata:

"Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa berpuasa pada hari akhir bulan Zulhijjah dan hari pertama di bulan Muharam, maka sesungguhnya dia sudah menghabiskan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya sebagai penghapus dosanya 50 tahun."

Menurut Ibnu al-Jauzi di dalam al-Mawdhu'at, hadis berkenaan adalah palsu. Begitu juga dengan satu lagi hadis yang turut dinisbahkan palsu oleh Imam as-Suyuthi di dalam La'aali al-Mashnu'ah, iaitu hadis bermaksud:

"Rasulullah s.a.w bersabda; sesiapa berpuasa sembilan hari dari awal Muharam maka Allah membina untuknya sebuah kubah di udara yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu."

Setiap kali di ambang tahun baru Hijrah, media, jabatan atau pihak pentadbiran agama di Malaysia menganjurkan majlis bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Masjid di seluruh tanah air juga mengadakan upacara khas untuk membaca doa awal dan akhir tahun itu.

Ada sesetengah pihak berpandukan lafaz tertentu bersama kelebihan tersendiri yang dinyatakan dalam buku tertentu. Tetapi pada hakikatnya ada lafaz doa terbabit dan fadilat yang dinyatakan itu tidak pernah tercatit dalam mana-mana kitab hadis.

Menurut Syeikh Jamaluddin al-Qasimi r.h, doa terbabit ialah doa yang direka dan tidak berasal daripada Nabi s.a.w, tidak juga berasal daripada kalangan sahabat, tabiin dan tidak diriwayatkan dalam musnad sehinggakan ia tidak wujud dalam kitab maudhu'at (iaitu kitab yang memuatkan hadis palsu).

Doa terbabit hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Ayat seperti "berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini" (yang dinyatakan pada sesetengah buku doa awal dan akhir tahun) adalah suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya.

Tetapi sekiranya sesiapa yang hendak membacanya tanpa beritikad seperti yang ada di dalam fadilat yang direka itu, silakan kerana ia termasuk di dalam keumuman doa dan perlu diingat tidak ada upacara khas atau dibaca beramai-ramai (untuk membaca doa terbabit).


Rabu, 31 Disember 2008

MUHARAM : ELAKKAN KEPERCAYAAN KARUT

Muharam: Elakkan Kepercayaan Karut
Oleh: Abdul Razak bin Abd Muthalib
http://abdulrazak.com/ver1/

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Allah swt juga mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat. Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan hakim bagi segala penentuan.

Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati banyak riwayat yang membicarakan tentang amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw. Ini penting kerana setiap amalan yang ingin kita lakukan mestilah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang sahihah agar ianya diterima dan diberikan ganjaran pahala.

Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharram ini ialah:

Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:

1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: ((Apakah ini?)). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu)), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari )

2- A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah saw telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)“. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

3- Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah saw juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: ((Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah diantara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura‘ 4/245).


Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah saw bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Diantaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah saw ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda saw menjawab: ((Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu)). (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).

Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah saw begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah saw berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan di atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)


Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharam)

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

1- Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah saw bersabda lagi: ((Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9)). Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah saw wafat terlebih dahulu.”. (Riwayat Imam Muslim)

2- Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9)). (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi saw berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10“. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254) .

Justeru, marilah kita merebut peluang di kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah saw seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat diwaktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram)).
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).

Kepercayaan dan Amalan Yang Bukan Dari Ajaran Sunnah
Kesedaran umat Islam dalam mengisi kedatangan bulan Muharam yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik. Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat iaitu semoga ianya akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak. Namun, peringatan Nabi saw di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Daripada A’isyah r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ((Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama) maka ianya akan tertolak)). (Riwayat Muslim).

Sebab itulah para ulamak, diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh telah meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah swt dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw. Al-Fudhail dalam menafsirkan firman Allah di dalam surah Hud, ayat ke-8 dan surah al-Mulk ayat ke-2 iaitu (Maksudnya: (Allah menjadikan semua itu) untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya)), beliau berkata: “iaitu yang lebih ikhlas dan lebih tepat. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak tepat, maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak akan diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan ikhlas dan tepat“. Beliau berkata lagi: “Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata, dan yang dikatakan tepat itu ialah ianya bertepatan dengan sunnah“.
(Ibn Rejab, Jami’ al-Ulum wa al-HIkam, Tahqiq:Dr. Yusof al-Baqa’I (Bierut: al-Maktabah al-‘Asriah, cet. ke-3, 2000), hal.15)

Justeru, dalam keghairahan kita menambahkan amal ibadah di dalam bulan Muharam yang mulia ini, marilah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menyemak semula adakah amalan-amalan yang kita lakukan itu menepati syarat-syarat yang telah digariskan ini.

Di antara amalan-amalan di bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunnah Rasulullah saw yang sahihah ialah:

1- Memakai celak pada hari ‘Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu’ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah saw bersabda: ((Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari ‘Asyura’, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya)). (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu ‘at, 2/116)

Hadis ini hukumnya maudhu’ (palsu). Imam Ahmad berkata: “Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah saw tentang amalan memakai celak pada hari ‘Asyura, dan ianya adalah bid’ah“.

2- Solat sunat yang khusus pada hari ‘Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu’: ((Sesiapa yang sembahyang padanya (hari ‘Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali Qullhuwallhu ahad, maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun)).

3- Mandi yang khusus pada hari ‘Asyura’ dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang sakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu’: ((Barang siapa yang mandi dan bersuci pada hari ‘Asyura’, ia tidak akan ditimpa sebarang sakit pada sepanjang tahun, kecuali mati)).

4- Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari ‘Asyura’ dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada ‘Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: ((Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman, pakaian) kepada ahli keluarganya, pada hari ‘Asyura’, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki di sepanjang tahunnya)). Hadis ini hukumnya maudhu’, disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu’at,2/115).

5- Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur ‘Asyura) yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah saw atau disandarkan kepada peristiwa nabi Nuh a.s yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar. Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ianya bersumberkan daripada cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab “Qashas al-Anbiya’.

6- Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas. sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam. Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

Al-Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ menyebut bahawa kebanyakan hadis-hadis maudhu’ ini yang berkaitan dengan amalan di bulan Muharam khasnya pada hari ‘Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh al-Husaian. Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-‘Izz al-Hanafi: “Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi saw sebarang amalan pun pada hari ‘Asyura selain daripada puasa Baginda. Ada pun golongan Rafidhah melakukan bid’ah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan al-Husain pada hari ini. Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunnah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan dari biji-bijian (bubur) dan memakai celak dan mereka meriwayatkan hadith-hadith maudhu’tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga“.
(Syiekh ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001), hal. 271)

Demikianlah beberapa contoh daripada amalan-amalan umat Islam di dalam bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan daripada sunnah Rasulullah saw yang sahih, mahu pun para sahabat dan para Imam kaum muslimin. Justeru, jalan yang terbaik ialah dengan mengikuti sunnah Baginda saw, dan seburuk-buruk perkara pula ialah mencipta sesuatu yang baru di dalam urusan agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah swt untuk mengikuti sunnah Rasulullah saw.