Hadis palsu menyesatkan umat
Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz
Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz
Sumber : Utusan Online
Dalam sebuah risalah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ajaran sesat didefinisikan sebagai apa jua ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan Islam yang berdasarkan al-Quran dan sunah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah. (Mustafa Ab. Rahman & rakan-rakan, Mengenal ajaran sesat di Malaysia, Jakim, 2000, hal: 1).
Risalah yang sama juga ada menyebutkan bahawa antara ciri-ciri ajaran sesat itu ialah ia tidak berdasarkan nas-nas syarak sama ada al-Quran atau pun hadis tetapi berdasarkan kepada cerita rekaan, dongeng, khayalan karut, kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam. (Ibid, hal: 10).
Tidak dinafikan lagi bahawa hadis-hadis palsu yang digunakan dalam epistemologi Islam adalah termasuk dalam kategori cerita rekaan dan dongeng. Tetapi, malangnya di negara kita Malaysia, fenomena penggunaan hadis palsu dalam menghuraikan ajaran agama oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab masih berleluasa.
Antara contoh terkini yang disebarkan ialah hadis-hadis berkenaan membaca al-Quran ketika ziarah kubur. Hadis itu bermaksud, “Barang siapa berziarah ke kuburan kedua-dua oran tua atau salah satu di antara mereka pada hari Jumaat dan membacakan surah Yasin, maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan”.
Hadis ini dijadikan dalil untuk menjustifikasikan amalan membaca al-Quran di kubur, kononnya amalan itu adalah suatu sunah yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. Walhal, ia adalah sebuah hadis palsu yang mana kepalsuannya telah ditegaskan oleh para ulama hadis seperti Ibn Adiyy dalam Al-Kamil Fi Ducafa' Ar-Rijal (1985, 5:151), Az-Zahabi dalam Mizan Al-Ictidal Fi Naqd ar-Rijal (T.th, 4: 181), As-Suyuti dalam Al-Lali’ Al-Masnu’ah Fi Al-Ahadith Al-Maudu’ah (1401 H, 2: 440) dan At-Ta’qqubat ‘Ala Al-Maudu’at (1303 H, Hal: 23), Asy-Syaukani dalam Al-Fawaid Al-Majmu’ah Fi Al-Ahadith Al-Maudu’ah (1407 H, Hal: 850), At-Tarabulusi dalam Al-Kasyf Al-Ilahi (1408 H, 1:937) dan As-San’ani dalam An-Nawafih Al-‘Atirah Fi Al-Ahadith Al-Musytahirah (1414 H, hal: 2167).
Satu lagi hadis palsu berkaitan membaca al-Quran di kubur ialah yang bermaksud, “Barang siapa yang berziarah di kuburan, kemudian dia membaca al Fatihah, Qul Huwallahu Ahad dan al-Hakumut Takasur, lalu ia berdoa: “Ya Allah, kuhadiahkan pahala pembacaan firman-Mu pada kaum mukminin penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari kiamat”.
Saya telah cuba setakat terdaya menyemak sumber dan status hadis ini sama ada dalam kitab-kitab yang mengumpul hadis sahih atau yang mengumpul hadis daif dan palsu, tetapi gagal menemuinya. Ketiadaan hadis berkenaan dalam kitab-kitab sumber hadis yang muktabar adalah suatu petanda yang menunjukkan kepalsuannya. Satu perkara yang perlu dijelaskan di sini ialah perbezaan antara hukum ziarah kubur sambil membaca zikir yang sabit daripada Nabi s.a.w. dengan hukum membaca al-Quran di atas kubur. Tiada sesiapa pun yang menghukum amalan ziarah kubur sambil memberi salam kepada penghuni kubur serta berdoa dan beristighfar untuk mereka sebagai amalan bidaah. Kerana amalan sedemikian memang disunahkan oleh Nabi s.a.w. melalui nas-nas yang sahih.
Berbeza dengan amalan ziarah kubur sambil membaca al-Quran di atasnya, di mana jumhur ulama memang melihatnya sebagai bidaah, kerana beberapa alasan ilmiah.
Pertama, kerana tidak ada nas sahih yang menyokong amalan membaca al-Quran di kubur. Semua hadis berkenaan amalan tersebut tiada asal usulnya (palsu) sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Albani dalam Ahkam Al-Janaiz Wa Bida’iha (1969, hal: 191).
Salam
Salam
Kedua, kerana semua nas sahih berkenaan cara Nabi s.a.w. ziarah kubur tidak menyebut baginda pernah melakukan amalan membaca al-Quran di kubur. Meskipun para sahabat r.a. mengajukan pertanyaan yang khusus tentang apa yang perlu dibaca ketika ziarah kubur, namun baginda menjawabnya tidak lebih daripada sekadar memberi salam dan mendoakan keampunan untuk ahli kubur. Sekiranya al-Quran boleh dibaca di kubur nescaya baginda akan menyatakannya.
Ketiga, kerana terdapat nas-nas sahih yang menafikan adanya amalan membaca al-Quran di kubur pada zaman Nabi s.a.w. seperti sabda baginda yang bermaksud, Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kawasan perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari daripada rumah yang di bacakan di dalamnya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim, Tarmizi, dan Ahmad).
Dalam hadis ini, Nabi s.a.w. menggalakkan umatnya supaya membaca al-Quran di rumah kerana ia boleh menghalau hantu syaitan. Baginda melarang umatnya daripada membiarkan rumah mereka sunyi sepi tanpa bacaan al-Quran kerana rumah yang tiada bacaan al-Quran itu sama seperti kawasan perkuburan yang juga sunyi sepi lantaran tiada orang membaca al-Quran di situ.
Analogi Nabawi ini membuktikan bahawa masyarakat Islam di zaman Nabi s.a.w. sememangnya tidak melakukan amalan membaca al-Quran di kubur, sebab itulah baginda menggambarkan rumah yang sunyi daripada bacaan al-Quran itu sama seperti kubur.
Jika masyarakat Islam di zaman Nabi s.a.w. melakukan amalan membaca al-Quran di kubur nescaya baginda tidak akan menyamakan rumah yang tiada bacaan al-Quran itu dengan kubur.
Tiada siapapun menafikan kelebihan membaca al-Quran, tetapi sebagaimana syarak menggalakkan bacaan al-Quran pihak syarak juga menentukan tempat yang sesuai untuk membaca al-Quran.
Tiada siapapun menafikan kelebihan membaca al-Quran, tetapi sebagaimana syarak menggalakkan bacaan al-Quran pihak syarak juga menentukan tempat yang sesuai untuk membaca al-Quran.
Majoriti masyarakat Islam di Malaysia boleh dikatakan kurang kerap membaca al-Quran, justeru jika kekurangan itu disusuli pula dengan kesilapan memilih tempat, maka ia sesuatu yang sangat merugikan.
Lebih buruk lagi jika segala syaitan yang ada di kawasan perkuburan itu berpindah ke kawasan perumahan umat Islam di sebabkan kekerapan mereka membaca al-Quran di kubur daripada di rumah.
* Dr. Azwira Abdul Aziz ialah pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan