Selasa, 27 September 2011

PENYAKIT MATERIALISTIK DI KALANGAN PENDAKWAH


Melaksanakan urusan dakwah iaitu mengajak manusia menuju kepada perintah Allah dan Rasul-Nya merupakan suatu ibadah yang agung dan dituntut oleh syarak. Firman Allah SWT: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru menuju Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”. (Fushshilat:33). Oleh itu ia harus dilakukan dengan penuh keikhlasan demi untuk mencapai keredhaan Allah SWT tanpa mengharapkan sebarang balasan berupa wang ringgit, harta benda atau untuk meraih jawatan.

Saya terkenangkan nasihat yang diberikan oleh guru penulis Ustaz Abu Farooq yang mana beliau setelah tamat pengajian beliau di Timur Tengah dan kembali ke Malaysia beliau memfokuskan diri untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi beliau dan keluarga terlebih dahulu sebelum terjun ke dalam bidang dakwah secara serius. Ini adalah kerana beliau tidak mahu bergantung hidup menerusi urusan dakwah atau menjadikannya sebagai profesion untuk menyara keluarga beliau. Menurut Ustaz Abu Farooq dengan meletakan urusan dakwah sebagai satu-satunya sumber pendapatan sedikit sebanyak ia mampu mencemar keikhlasan seseorang itu dalam melaksanakan ibadah yang amat mulia ini. Adakah ia dilaksanakan kerana ingin mencapai keredhaan Allah SWT atau adakah kerana mengejar harta dunia? Tambah beliau lagi urusan dakwah ini wajib dilaksanakan dengan meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai sumber ilmu yang hendak disebarkan walaupun ia menentang arus pandangan orang ramai di kalangan masyarakat. Sekiranya urusan ini dijadikan sumber kewangan maka seseorang pendakwah itu berkemungkinan untuk memiliki kecenderungan bagi menyesuaikan bahan-bahan dakwah mereka agar selari dengan pandangan orang ramai dan membelakangi kebenaran. Seandainya bahan dakwah tersebut melawan arus maka ia bakal menjejaskan jumlah jemputan ceramah yang diterima bahkan mungkin digam. Berkurangnya jemputan ceramah akan menyebabkan berkurangnya jumlah upah yang diterima dan ini pasti akan menjejaskan pendapatan seseorang pendakwah yang menjadikannya sebagai sumber ekonomi.

Adalah penting bagi seluruh pendakwah atau penceramah untuk memahami bahawa urusan yang mulia ini akan menjadi sia-sia sekiranya ia dilaksanakan demi untuk mencapai keuntungan berbentuk material sahaja. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak akan menerima dari semua jenis amalan kecuali yang murni (ikhlas) untuk-Nya dan untuk mencari wajah-Nya.” (Hadis riwayat Imam al-Nasa’i)

Berlandaskan faktor inilah kita melihat bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah meminta sebarang upah dalam mengajak umatnya kepada ajaran Islam. Allah SWT berfirman: “Katakanlah (hai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikit pun kepadamu atas dakwahku; dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-adakan. Al-Qur'an ini tidak lain hanyalah peringatan bagi semesta alam.” (Shad : 86-87)

Terdapat segelintir golongan pendakwah yang menetapkan harga bagi ceramah-ceramah yang mereka sampaikan atau kertas kerja-kertas kerja yang ingin mereka bentangkan. Upah berbentuk wang di dalam sampul surat atau cek yang diberikan oleh pihak penganjur selepas majlis dijadikan sumber motivasi yang paling utama dalam melaksanakan urusan dakwah. Sekiranya banyak jumlah wang yang diterima maka semakin rajinlah pendakwah tersebut untuk memenuhi jemputan penganjur tersebut. Sekiranya sedikit pula ganjarannya atau tiada upah yang ditawarkan maka semakin keraplah majlis-majlis ilmu tersebut dibatalkan bahkan ditolak atas permintaan pendakwah tersebut kerana beliau memberikan keutamaan kepada majlis-majlis yang lebih lumayan pulangannya.

Justeru sekiranya ada dikalangan pendakwah kita yang dihinggapi dengan penyakit materialistik sebegini hendaklah mereka memperbetulkan niat mereka. Artikel ini bukan bertujuan untuk mengharamkan para pendakwah dari menerima upah. Sekiranya seseorang itu berdakwah dengan cara yang benar dan ikhlas lalu kemudian dia diberi upah sedangkan dia tidak mengharapkannya atau tidak memintanya kerana niatnya hanya untuk menyebarkan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya maka dalam konteks ini tidaklah menjadi suatu kesalahan bagi pendakwah tersebut untuk menerimanya. Saidina Umar r.a berkata: “Dahulu Rasulullah s.a.w. memberikan pemberian kepadaku, kemudian aku mengatakan: “Berikan kepada orang yang lebih miskin daripadaku.” Maka baginda s.a.w. bersabda: “Ambillah itu! Jika datang kepadamu sesuatu dari harta ini, sedangkan engkau tidak memperhatikan (iaitu tidak mengharapkannya) dan tidak meminta, maka ambillah itu! Dan yang tidak, maka janganlah engkau mengikuti hawa nafsumu terhadapnya!” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Kebelakangan ini pusat-pusat rawatan Islam bercambah dengan begitu pesat sekali. Di antara metod utama yang digunakan oleh pusat-pusat ialah pembacaan ruqyah atau jampi-jampi yang kebanyakannya digunakan untuk merawati kes-kes gangguan sihir dan jin. Tentu sekali usaha mereka yang melaksanakan ruqyah ini sekiranya ikhlas untuk membantu dan untuk mencapai keredhaan Allah SWT merupakan suatu amalan yang soleh. Menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah didalam Majmu’ al-Fatawa: “Ini termasuk amalan yang paling afdal, ia adalah amalan para Nabi dan orang-orang yang soleh. Ini adalah kerana para Nabi dan orang-orang yang soleh senantiasa mencegah setan-setan dari (mengganggu) anak Adam, dengan cara yang Allah dan Rasul-Nya izinkan. Sebagaimana yang dilakukan oleh Al-Masih (Nabi Isa a.s.) dan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi kita, Muhammad saw”

Ruqyah yang kita maksudkan disini adalah jampi-jampi yang selari dengan syarak bukan jampi serapah yang diamalkan oleh golongan bomoh dan pawang yang tidak difahami maksudnya bahkan mengandungi perkataan-perkataan yang diharamkan. Ruqyah yang selari dengan syari’at adalah jampi-jampi yang menggunakan perkataan-perkataan yang boleh difahami dan tidak bercanggah dengan syarak atau mencemari akidah. Ruqyah yang afdal adalah menggunakan ayat-ayat al-Qur’an dan doa-doa bersumberkan hadis-hadis Rasulullah saw.

Namun apa yang sedikit menggusarkan adalah tindakan sesetengah pihak yang mengkomersial upacara ruqyah ini sehingga ia dijadikan profesion sehingga meninggalkan pekerjaan tetap mereka. Bahkan ada sesetengah dari kalangan mereka yang mengabaikan untuk mendalami ilmu-ilmu agama yang selama ini mereka menekuninya dan melalaikan urusan dakwah untuk mendidik masyarakat kerana terlalu disibukkan dengan aktiviti di pusat-pusat rawatan mereka yang dapat menjana pendapatan yang mewah. Segelintir dari pengusaha pusat rawatan Islam ini mengenakan caj yang mahal sehingga menyusahkan golongan yang miskin. Sekiranya kita mengkaji perjalanan hidup Rasulullah saw, para sahabat baginda serta para ulamak besar Ahlus Sunnah wal Jamaah kita tidak akan menjumpai daripada kalangan mereka yang membuka pusat-pusat rawatan ruqyah atau menjadikannya sebagai pekerjaan tetap walaupun keperluan untuk merawat sihir atau gangguan jin turut wujud pada zaman mereka.

Mereka yang melakukan upacara ruqyah lalu meminta upah darinya maka terdapat celaan daripada Rasulullah saw terhadap perbuatan tersebut. Baginsa bersabda: “Barangsiapa membaca al-Qur’an, hendaklah dia meminta pahalanya kepada Allah. Sesungguhnya akan datang kelak sebuah kaum yang membaca al-Qur’an lalu mereka meminta (harta) manusia dengan al-Qur’an.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Namun sekiranya upacara ruqyah itu dilakukan ikhlas untuk membantu para pesakit dan untuk mencapai kemuliaan di sisi Allah SWT tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan dari pesakit, namun pesakit tersebut atau ahli keluarganya dengan ikhlas memberi upah maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerimanya. Pernah terjadi pada zaman Nabi saw, seorang sahabat Nabi saw telah menggunakan surah al-Fatihah sebagai jampi kepada seorang yang terkena sengat binatang berbisa. Untuk rawatan tersebut beliau telah menerima sejumlah ekor kambing untuk dirinya berserta rombongannya sebagai upah. Maka timbul kekeliruan dikalangan mereka sama ada boleh menerima serta membahagikan kambing-kambing tersebut sesama mereka lalu setibanya mereka di Madinah mereka berjumpa Rasulullah saw untuk mendapatkan pandangan baginda. Maka sabda Rasulullah saw: “Apakah yang membuatmu tahu bahawa itu (iaitu surah al-Fatihah) adalah ruqyah (jampi)? Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu benar. Bahagikanlah (kambing-kambing tersebut) dan berilah kepadaku satu bahagian.” Lantas Nabi pun tertawa.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Apa yang dapat kita simpulkan di sini adalah penting untuk para pendakwah meluruskan semula niat mereka dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwah mereka. Dakwah mengajak umat manusia kepada ajaran Allah dan Rasul-nya merupakan tugas utama bagi para Rasul dan pendakwah yang meneruskan warisan ini tentulah memiliki kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT. Janganlah tugas yang suci ini dicemari dengan sikap materialistik yang akhirnya menjejaskan keikhlasan seseorang pendakwah dan menyebabkan usaha mulia mereka itu tidak diterima oleh Allah SWT sebagai amalan soleh.