Ahad, 9 Disember 2012

JANGAN ABAIKAN SUNNAH BERKAITAN SUTRAH KETIKA SOLAT.


JANGAN ABAIKAN SUNNAH BERKAITAN SUTRAH KETIKA SOLAT.



Terkenang semasa zaman kanak-kanak dahulu semasa mula-mula belajar untuk mengerjakan ibadah solat. Solat ketika itu ikut mana yang sempat sahaja atau yang lebih tepatnya solat dilakukan ketika disuruh oleh ibu bapa. Solat pun didirikan dengan begitu pantas yang mana tumakninah tidak dijaga kerana ingin mengejarkan rancangan TV atau waktu untuk bermain. Tempat mengerjakan solat pun asalkan boleh sahaja. Adakalanya di ruang tamu atau ruang makan yang menjadi tempat lalu-lalang ahli keluarga yang lain. Maka bapa saya ketika itu meletakkan sesuatu barang di hadapan saya seperti bantal atau bag. Selepas solat saya pun bertanya: “Kenapa Abah letak beg kat depan akob masa solat tadi?” Bapa saya pun menjawab: “Ooh, Abah letak beg tu supaya orang boleh lalu depan akob. Kau pun solat bersepah tak kira tempat orang lalu-lalang.” Saya hanya menggangguk tanda setuju sahaja ketika itu. Setelah dewasa dan ilmu juga telah sedikit bertambah baru saya sedar bahawa tindakan bapa saya itu merupakan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang penting dan amat digalakkan untuk diamal.

Dalam seperti ini terdapat dua konsekuensi yang perlu diperhatikan oleh semua pihak.

Pertama: Adalah haram hukumnya untuk melintasi hadapan orang yang sedang solat. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat mengetahui apa akibat yang akan dia tanggung, nescaya dia berdiri selama empat puluh lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang sedang solat.” Abu al-Nadhr (salah seorang perawi hadis ini) berkata: “Aku tidak tahu yang dimaksudkan dengan jumlah “empat puluh” tersebut, adakah empat puluh hari, atau bulan, atau tahun.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim) Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim berkata: “Makna hadis ini, sekiranya dia mengetahui betapa besarnya dosa dari perbuatan tersebut, pasti dia akan memilih untuk berhenti selama empat puluh dari perlu menanggung dosa akibat perbuatan tersebut. Jadi, hadis ini adalah larangan yang cukup keras dan ancaman yang berat disebabkan perbuatan melintas di hadapan orang solat.” Namun begitu agak ramai juga yang tidak ambil pusing tentang ancaman ini.
Kedua: Membiarkan orang lain untuk melintasi dihadapan ketika seseorang itu sedang solat boleh menjejaskan kesempurnaan solat bahkan terbatal sekiranya seorang wanita berhaid (yang telah baligh) atau keldai atau anjing hitam yang melintasi di hadapannya. Musa ibn Thalhah daripada bapanya, beliau berkata: “Kami pernah solat sedangkan haiwan tunggangan lalu-lalang di hadapan kami, lalu kami menceritakan situasi tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda bersabda: “Sekiranya telah ada objek seperti pelana haiwan tunggangan dan diletakkan di hadapan salah seorang dari kamu (sebagai sutrah), maka sesuatu yang melintas di hadapan mereka (di balik sutrah) tidak akan mengancam (menjejaskan) solatnya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim) Rasulullah juga pernah bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu melaksanakan solat, sesungguhnya dia telah memiliki sutrah bila di hadapannya terdapat suatu penghadang seperti pelana haiwan tunggangan. Jika di hadapannya tidak terdapat sesuatu seperti itu, solatnya akan terputus jika dilintasi oleh keldai, wanita, dan anjing hitam.” (Hadis Riwayat Imam Muslim) Justeru itu sekiranya ada orang lain yang ingin melintasi dihadapan seseorang yang sedang solat, hendaklah dia menghalangnya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila ada sesuatu melintas di hadapan salah seorang di antara kamu yang sedang solat, maka hendaklah dia menghalangnya dari melintas sebanyak dua kali. Apabila ia tetap juga mahu melintas, maka lawanlah dia kerana dia adalah syaitan.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Khuzaimah) 

Istilah syaitan di dalam hadis di atas ini bukanlah bermakna orang yang melintasi dihadapan kita itu adalah benar-benar syaitan, akan tetapi ia bermaksud syaitan berada bersama-sama mereka yang melintasi orang yang sedang solat. Solat tidak batal sekiranya melakukan gerakan besar dalam usaha untuk menghalangi sesorang atau sesuatu melintasi di hadapan orang yang sedang solat. Diriwayatkan daripada ‘Amru ibn Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya beliau berkata: “Kami bersama Rasulullah s.a.w. pernah menuruni bukit Adzakhir, lalu tibalah waktu solat. Bagindapun melaksanakan solat dengan menjadikan dinding sebagai arah kiblat, manakala kami berada di belakang beliau (sebagai makmum). Tiba-tiba ada seekor anak kambing hendak melintas di hadapan baginda, maka baginda pun segera menghalangnya sehingga perut baginda hampir merapat (menyentuh) dinding. Akhirnya anak kambing tersebut melintas melalui belakang baginda.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud) 
Kita kembali kepada tindakan bapa saya yang meletakkan beg atau bantal di hadapan saya, ia adalah bertujuan untuk dijadikan sutrah atau penghadang bagi seseorang yang mendirikan solat dengan orang atau sesuatu yang berjalan di hadapannya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang setinggi seperti pelana haiwan tunggangan di hadapannya (sebagai sutrah atau penghadang), maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang melintas di sebalik objek tersebut.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Apabila seseorang itu telah meletakkan sesuatu objek setinggi pelana kuda atau sehasta (ukuran di antara hujung siku sampai ke hujung jari tengah) di hadapannya maka tidak menjadi masalah sekiranya ada sesiapa yang melintasi di hadapannya. Oleh itu kesempurnaan solatnya tidak terjejas dan orang yang melintasi hadapannya turut tidak berdosa. Hanya sahaja sekiranya ada yang ingin melintasi di antara orang yang sedang solat dengan sutrahnya maka dia perlu dihalang dengan keras. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika salah seorang daripada kamu solat menghadap sesuatu sebagai sutrah yang membatasi daripada orang ramai, kemudian ada seseorang yang hendak melintas di hadapannya, maka halanglah dia. Jika dia enggan maka lawanlah dia, kerana dia adalah syaitan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Seseorang itu juga perlu solat dengan mendekati sutrahnya itu agar syaitan tidak dapat menggangu konsentrasi sesorang yang sedang solat seperti meniup perasaan waswas atau mengganggu pemikiran seseorang itu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila salah seorang dari anda solat menghadap sutrahnya (yang ada di hadapannya), hendaklah dia mendekatkan diri ke sutrah tersebut agar syaitan tidak memutus solatya.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) Imam al-Baghawi r.h di dalam kitabnya Syarhus Sunnah berkata: “Para ulamak berpendapat mustahab untuk mendekatkan diri kepada sutrah, di mana jarak antara orang yang solat dengan sutrahnya sekadar memungkinkannya untuk sujud.” Di antara objek yang pernah dijadikan sutrah seperti terdapat di dalam hadis-hadis adalah tombak dan anak panah yang ditancap di atas tanah, haiwan tunggangan yang sedang berdiri, tiang di dalam masjid, dinding, pelana haiwan tunggangan, pokok dan menghadap orang yang sedang tidur.
Bagi mereka yang sedang solat secara berjemaah, sutrah imam merupakan sutrah bagi seluruh makmumnya. Oleh itu tidak menjadi masalah sekiranya ada yang berjalan melintasi hadapan makmum yang sedang solat di dalam saf solat berjemaah tersebut. Ibnu ‘Umar r.a berkata: “Dahulu Rasulullah s.a.w. apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan baginda lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Baginda melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari) Hadis ini menunjukkan bahawa apabila imam telah meletakkan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.
Mengamalkan solat menghadap Sutrah merupakan suatu tindakan yang amat mulia kerana ia merupakan satu usaha untuk menghidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w. apatah lagi pada zaman kebelakangan ini ramai di kalangan umat Islam yang semakin lalai dari mengamalkan sunnah-sunnah baginda. Solat dengan meletakkan sutrah dihadapan kita bukan sekadar boleh dijadikan sebagai amaran agar pihak lain supaya berjaga-jaga dari melintasi dihadapan bahkan ia boleh membantu seseorang itu untuk khusyuk dalam solatnya. Justeru itu marilah kita mengamalkannya dan jangan kita ambil mudah isu berjalan melintasi orang yang sedang solat kerana ia merupakan perbuatan yang jelas bertentangan dengan syarak.
Menulis tentang sutrah ini memang membuat saya teringat kembali zaman kanak-kanak dulu ketika bapa saya masih agak muda dan masih gagah. Kini umurnya sudah 77 tahun, ingatannya juga semakin kurang dan tubuh-badannya juga sudah tidak sekuat dulu. Terima kasih kepada kedua ibubapaku yang telah membesarkan aku dengan baik dan mendidik diriku dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Israa’ : 24) “Wahai Tuhan kami! Berilah keampunan bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” (Ibrahim : 41)

Ahad, 28 Oktober 2012

JANGAN JADIKAN SAKIT SEBAGAI ALASAN UNTUK MENCUAIKAN SOLAT.


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sakit pada suatu sisi dilihat sebagai suatu perkara yang negatif kerana ia menimbulkan perasaan tidak selesa terhadap tubuh manusia namun ia sebenarnya merupakan ujian Allah s.w.t. terhadap hamba-hambanya. Bagi mereka yang redha dan sabar dengan ujian ini maka sakit tadi akan berubah menjadi nikmat kerana ia akan menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan dicatat sebagai suatu amalan mulia yang berhak mendapat pahala serta darjatnya disisi Allah s.w.t. akan ditingkatkan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah seorang mukmin yang terkena sesuatu penyakit meskipun hanya pada uratnya sahaja, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan peyakit tersebut, akan dicatatkan baginya satu kebaikan dan diangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Imam Thabarani)
Namun begitu adakah sakit ini tetap akan menjadi nikmat sekiranya ia dijadikan alasan untuk meninggalkan solat? Tahukan anda bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memberi ancaman yang amat berat bagi mereka yang meninggalkan solat? Sabda Rasulullah s.a.w.: “Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Dan sabdanya lagi: “Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Jika pesakit mencuaikan solat, sudahlah merana ditimpa penyakit kemudian perlu pula menanggung dosa besar kerana melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak. Ini bolehlah diibaratkan bak kata pepatah “sudah jatuh ditimpa tangga.”
Pertama sekali adakah benar tanggapan sesetengah pihak bahawa meninggalkan solat itu dibenarkan bagi pesakit?  Mari kita perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. ini: “Di angkat al-Qalam (taklif atau beban hukum) daripada tiga golongan manusia iaitu daripada orang yang tidur sehingga terjaga, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga pulih.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) Ternyata pesakit tidak termasuk tiga golongan yang terangkat dari beban hukum melainkan pesakit yang tidak sedarkan diri dan hilang akal atau gila. Oleh itu hendaklah para pesakit tetap mengerjakan solat mengikut keupayaan mereka. Islam telah memberikan rukhsah (kemudahan) yang banyak bagi para pesakit agar tetap dapat melaksanakan solat walaupun dalam keadaan sakit.
Di dalam ilmu fekah terdapat kaedah “keadaan darurat menghalalkan yang haram” (ad-dharuratu tubiihul mahzhuraat). Pada dasarnya sememangnya terdapat syarat-syarat sah solat yang perlu dipatuhi oleh setiap insan namun menerusi rukhsah yang Allah s.w.t. kurniakan kepada para pesakit sesetengah hukum itu tergugur atau dipermudahkan atas dasar darurat serta kesukaran yang terpaksa dilalui oleh pesakit tersebut dalam mendirikan solat. Perkara asas yang perlu kita fahami adalah dalam kehidupan, Allah s.w.t. tidak membebankan hambanya dengan sesuatu yang di luar batas kemampuan mereka. Firman Allah s.w.t: “…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (al-Baqarah: 185).

Sebagaimana yang kita maklum seseorang itu perlu bersolat dengan tubuh badan serta pakaian yang suci dari sebarang najis dan menutup aurat. Namun begitu jika pesakit itu tidak mampu melakukannya dan tiada orang lain yang boleh membantunya untuk menyucikan najis yang terdapat di pakaian, tubuhnya atau kawasan solatnya maka hendaklah dia tetap mengerjakan solat dalam keadaan itu dan solatnya tetap sah tanpa perlu mengulanginya di kemudian hari. Begitu juga bagi pesakit yang sentiasa berhadas seperti wanita yang mengalami istihadah (darah penyakit yang keluar berterusan dari kemaluannya), penghidap penyakit kencing tidak lawas atau pesakit yang memakai colostomy bag (alat yang dipasang di perut kepada pesakit yang tidak boleh membuang air besar secara normal) dan continuous bladder drainage (sejenis alat yang dipakaikan kepada pesakit yang tidak boleh membuang air kecil secara normal) mereka tetap perlu bersolat dalam keadaan badan tubuh bernajis. Sebelum berwuduk berusahalah untuk menghilangkan najis tersebut sekadar termampu seperti dengan membersihkan bahagian kemaluan atau menukarkan beg atau plastik yang berisi najis tersebut. Pesakit hendaklah mengambil wuduk apabila telah masuk waktu solat dan terus mendirikan solat iaitu tanpa diselangi dengan sebarang perbuatan lain. Sekiranya ketika bersolat solat air kencing meleleh, darah atau najis terkeluar ianya tidak membatalkan wuduk mahupun solat. Begitu juga bagi pesakit yang tidak mampu menutup aurat  dan tiada sesiapa yang boleh membantunya ketika itu, hendaklah dia solat dengan apa jua pakaian yang ada pada tubuhnya ketika itu.
Berwuduk sebelum solat tetap diwajibkan kepada para pesakit. Jika pesakit tidak mampu bergerak maka dia boleh meminta bantuan pihak lain untuk mewudukkannya. Sekiranya tubuh pesakit tidak boleh terkena air kerana ia akan menjadikan penyakitnya bertambah parah maka hendaklah dia bertayamum dengan menggunakan debu suci baik untuk hadas kecil atau hadas besar. Firman Allah s.w.t.: “…dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi hadas atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang suci) iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (al-Nisaa’ : 43) Bagi pesakit yang melecur sehingga tidak boleh berwuduk mahupun bertayamum maka dia dianggap tidak perlu bersuci dan dibenarkan bersolat dalam keadaan begitu.
Al-Jabirah adalah sesuatu yang dijadikan pengikat pada anggota badan yang patah atau tergeliat mahupun balutan kepada anggota yang luka, melecur dan lain-lain bentuk kecederaan dan balutan tersebut diperbuat dari kain, bahan plastik, simen, kayu dan selainnya. Pada bahagian anggota wuduk yang berbalut al-Jabirah, sesetengah ulamak berpendapat memadai pesakit itu menyapu balutan tersebut (dengan tangan yang dibasahi air) tanpa perlu membasuhnya untuk berwuduk. Namun ada juga di kalangan para ulamak yang berpendapat bahawa kawasan yang berbalut tersebut tidak perlu disapu kerana telah gugur hukum wajib membasuh ke atasnya dalam rangka memberi kemudahan. Menurut Syaikh al-Albani r.h di dalam Tamamul Minnah Fit Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah: “Hadis-hadis (berkaitan wajib menyapu atas balutan) ini -kerana begitu sangat lemahnya- tidak dapat dikuatkan oleh banyaknya jalur periwayatan.” Seterusnya Syaikh al-Albani membahaskan secara ringkas kelemahan hadis-hadis tersebut lalu beliau membawa pendapat Imam Ibnu Hazm r.h: “Oleh sebab itu, Ibnu Hazm memilih tidak disyari’atkan menyapu pembalut. Beliau berkata: Dalilnya adalah firman Allah: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (al-Baqarah : 286) dan Sabda Nabi s.a.w.: “…dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu maka lakukanlah sesuai dengan kemampuanmu.”(Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Menurut Syaikh al-Albani inilah pendapat yang yang lebih menepati kebenaran kerana ianya lebih mencerminkan kemudahan (rukhshah) dalam bersuci.
Para pesakit turut diberikan kemudahan dalam menunaikan solat mengikut keupayaannya. Ajaran Islam tidak memaksa seorang pesakit untuk berdiri ketika menunaikan solat sekiranya dia tidak mampu untuk berdiri. Solat tersebut hendaklah dilakukan menurut kemampuan dan keupayaannya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Bagi yang solat secara duduk cara duduknya ialah duduk seperti semasa membaca tahiyat awal. Namun sekiranya tidak mampu, hendaklah duduk mengikut kemampuannya. Jika tidak mampu untuk duduk maka hendaklah seseorang itu solat dalam keadaan baring sambil mengiring di atas rusuk kanan. Muka dan dada dihadapkan ke arah kiblat sedangkan rukuk dan sujud dilakukan menerusi isyarat kepala. Jika pesakit tidak mampu untuk solat secara mengiring maka solatlah dalam keadaan baring sambil terlentang. Kakinya menghala ke arah kiblat dan kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dihadapkan ke kiblat. Sekiranya dalam keadaan ini juga tidak mampu, solatlah secara melakukan isyarat kelopak mata ataupun solat dengan hatinya. Begitu juga dengan persoalan menghadap kiblat, sekiranya pesakit tidak berupaya untuk memposisikan diri mereka arah kiblat dan tiada orang lain yang dapat membantunya maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan menghadap ke mana sahaja.
Apabila pesakit merasakan sukar baginya untuk mengerjakan solat mengikut waktu yang telah ditetapkan, maka dalam rangka memberikan kemudahan kepada para pesakit, dia dibenarkan untuk menjamak (menghimpun) solatnya. Dalil yang membolehkan menjamak solat sekiranya terdapat kesukaran untuk mengerjakan solat mengikut waktu adalah sebuah riwayat daripada dari Ibnu ‘Abbas r.a: “Rasulullah s.a.w. pernah menjamak solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi s.a.w. berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Demikianlah beberapa contoh kemudahan yang dikhususkan kepada pesakit untuk mendirikan solat. Apa yang dapat kita simpulkan adalah penyakit yang menimpa seseorang itu tidak pernah menggugurkan kewajipan solat selagimana pesakit tersebut masih sedar dan boleh berfikir secara waras.

Ahad, 1 Julai 2012

Ziarah Kubur Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W.




Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Tiada makhluk bernyawa yang akan kekal hidup selamanya. Firman Allah: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati” (Ali Imran: 185). Ketahuilah bahawa kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau kekuatan. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan walaupun sesaat. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8) Setelah tercabut nyawa seseorang maka dia akan menempuh alam barzakh dan alam akhirat dan menerima balasan yang setimpal dengan amalannya semasa di dunia. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. memerintahkan kita untuk banyak-banyak mengingat kematian agar kita lebih berwaspada dalam menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut perintah Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal tiba. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita sentiasa mengingati kematian. Baginda bersabda: “Perbanyaklah mengingat pemutus kelezatan (yakni kematian) ”(Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Di antara cara yang paling efektif untuk kita merenungkan tentang alam kematian dan akhirat adalah dengan menziarahi kubur. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dahulu aku telah melarang kalian dari menziarahi kubur, sekarang berziarahlah kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, menitiskan air mata dan mengingatkan kepada Hari Akhirat. Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil” (Hadis riwayat Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak). Sekiranya ziarah kubur ini banyak manfaatnya pasti Rasulullah s.a.w. telah memberi penjelasan tentang adab-adab yang perlu kita patuhi kerana Rasulullah s.a.w. telah menyampaikan segala perkara yang dapat membantu umatnya untuk menjejak syurga sebelum baginda wafat. Baginda bersabda: Tidaklah tertinggal sesuatu pun yang mendekatkan ke syurga dan menjauhkan dari neraka melainkan telah dijelaskan semuanya kepada anda.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Oleh itu mari kita memperhalusi apa yang Rasulullah sampaikan kepada kita tentang ziarah kubur.

Apabila berjalan di dalam kawasan perkuburan hendaklah seseorang itu membuka selipar atau kasutnya. Ini berdasarkan sebuah riwayat di mana Rasulullah s.a.w.  pernah melihat seorang lelaki yang berjalan di antara kubur dengan memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya: “Wahai pemilik kasut al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah engkau itu.” Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu ialah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dia membuka kedua-dua kasutnya itu dan melemparnya.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).

Di larang memijak kubur-kubur yang berada di kawasan itu ketika berjalan disekitarnya. Jabir r.a menerangkan: “Nabi s.a.w. melarang dari mengkapur kubur, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan memijaknya.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Menerusi hadis ini juga terdapat larangan-larangan Rasulullah yang semakin tidak di endahkan oleh umat Islam iaitu tidak membuat binaan disekeliling kubur dan tidak menulis nama, doa-doa atau ayat-ayat al-Qur’an di batu nisan mahupun di binaan sekeliling kubur. Imam al-Syafi’i r.h di dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Saya menyukai agar kuburan tidak dibangunkan dan tidak pula dikapur (disimen) kerana perkara ini menyerupai hiasan dan kebanggaan sedangkan kuburan bukanlah perhiasan atau bangunan yang dibanggakan; dan saya tidak melihat kuburan golongan muhajirin dan ansar (iaitu para sahabat Nabi) yang dikapur.”

Rasulullah s.a.w. turut mencela mereka yang bersandar kepada kubur dan duduk di atasnya. ‘Amr bin Hazm al-Anshari r.a menceritakan: “Rasulullah s.a.w. melihat aku bersandar kepada sebuah kubur lalu baginda berkata: “Jangan menyakiti ahli kubur ini.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Rasulullah s.a.w. turut bersabda: “Sungguh, jika seseorang kalian duduk di atas bara api lalu ia membakar pakaiannya sehingga mengenai kulitnya lebih baik baginya dari dia duduk di atas kubur.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang tidak mematuhi larangan ini terutamanya semasa upacara pengkebumian jenazah di mana kubur-kubur pihak lain dipijak, disandar dan diduduk di atasnya tanpa rasa bersalah.

Umat Islam turut di larang untuk membuang air besar mahupun kecil di kawasan perkuburan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sungguh, berjalan di atas bara api atau pedang atau aku ikat kasutku dengan kakiku lebih aku sukai dari berjalan di atas kubur orang Islam. Tidak ada beza keburukannya bagiku sama ada membuang hajat di tengah perkuburan atau di tengah pasar (kedua-duanya amat buruk, maka jangan melakukannya).” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Rasulullah s.a.w. memerintahkan untuk mengucapkan salam dan mendoakan ahli kubur. ‘Aishah telah berkata: “Rasulullah pernah keluar ke Baqi’ (tempat pemakaman kaum muslimim), lalu baginda mendoakan mereka. Kemudian aku (iaitu ‘Aisyah) bertanya tentang hal itu, baginda menjawab: “Sesungguhnya aku diperintahkan hal itu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Di antara doa yang telah diajarkan oleg baginda adalah: “Salam sejahtera wahai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan Insya Allah kam akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kamu.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Ketika berdoa hendaklah menghadap ke arah kiblat dan bukan ke arah kubur. Tentang amalan kebanyakan umat Islam membaca al-Qur’an sama ada surah Yasin atau yang lainnya di kuburan maka amalan ini tidak sah bersumberkan daripada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Hadis ini menunjukkan bahawa kawasan perkuburan bukanlah tempat untuk membaca al-Qur’an sebagaimana rumah. Menerusi hadis ini juga, dapatlah difahami bahawa dilarang menjadikan rumah seperti kuburan yang tidak dibacakan al-Qur’an. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah di dalam kitabnya Iqtidhaa’ Shirathal Mustaqim: “Daripada (Imam) al-Syafi’i sendiri  tidak terdapat perkataan tentang masalah ini. Ini menunjukkan bahawa (baca al-Qur’an di perkuburan) menurut beliau adalah bid’ah. Imam Malik berkata: “Tidak aku dapati seorangpun daripada para sahabat dan tabi’in yang melakukan hal itu.” Amalan menabur bunga, menyiram air atau menanam pokok di atas kuburan juga bukanlah sebahagian dari sunnah Rasulullah s.a.w.

Bukanlah menjadi satu kesalahan untuk menangis ketika menziarah kubur kerana Rasulullah s.a.w. pernah mengeluarkan air mata ketika mengunjungi kubur ibu baginda. Yang dilarang adalah meratap di kuburan iaitu menangis dengan meraung-raung, menampar pipi atau mengoyakkan baju disebabkan kesedihan kerana perbuatan sebegini jelas bertentangan dengan syarak. Diharamkan untuk mengerjakan solat di kawasan perkuburan melainkan solat jenazah (bagi yang tidak sempat menunaikannya sebelum pengkebumian) kerana Rasulullah telah bersabda: “Jangan duduk di atas kubur dan jangan solat kepadanya (menghadap kuburan)” (Hadis riwayat Imam Muslim) Di dalam riwayat lain Rasulullah turut bersabda: “Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Hadis ini jelas melarang solat di kawasan perkuburan.

Di dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Hakim yang telah dipaparkan sebelum ini Rasulullah s.a.w. bersabda: “ …Akan tetapi janganlah kalian berkata-kata dengan perkataan yang keji dan batil.” Oleh itu di kawasan perkuburan janganlah kita berbicara perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak seperti menceritakan  tentang keburukan si mati. Termasuk dalam kategori ucapan-ucapan yang batil adalah berdoa memohon pertolongan kepada kuburan atau bertawasul kepada kubur-kubur yang di anggap keramat. . Syaikh Al Albani r.h di dalam Ahkaamul Janaaiz berkata: “Tidaklah samar lagi bahawa apa yang orang-orang awam lakukan ketika menziarah kubur seperti berdoa kepada mayat, memohon pertolongan kepadanya dan meminta sesuatu kepada Allah menerusi perantarannya (tawasul), adalah termasuk al-hujr (perkataan yang keji dan batil) yang paling berat dan ucapan batil yang paling besar. Maka wajib bagi para ulamak untuk memperjelaskan kepada mereka tentang hukum Allah dalam hal itu. Dan memberi penerangan kepada mereka tentang ziarah yang disyariatkan dan tujuan yang dikehendaki syarak dari ziarah tersebut” Oleh itu adalah diharamkan untuk melakukan perjalanan jauh dengan tujuan untuk beribadah di kawasan perkuburan seperti yang di gambarkan di atas di sebabkan kuburan tersebut dianggap memiliki keutamaan atau keberkatan kerana ia tertanam jenazah para Nabi atau Rasul, para sahabat atau wali-wali tertentu. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.: “Tidak boleh bersusah payah mengadakan perjalanan kecuali ke tiga masjid, iaitu al-Masjid al-Haram (di Mekah), Masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) dan Masjid al-Aqsa (di Palestin).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Perjalan khusu untuk ibadah hanya boleh dilakukan ke tiga destinasi yang disebutkan di atas.
Perkuburan Baqi
Ziarah kubur adalah termasuk ibadah dan amal soleh. Oleh itu sewajarnya ia dilaksanakan sesuai dengan ajaran Rasulullah s.a.w. yang merupakan contoh ikutan yang terbaik (Uswatun Hasanah) bagi seluruh umat Islam. Cukuplah bagi kita amalan-amalan yang sah daripada baginda dan tinggalkanlah perbuatan yang tiada landasan dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Ayuh kita hidupkan sunnah dan benteras bid’ah!

Jumaat, 11 Mei 2012

PARA PENDAKWAH PERLU HINDARI SIFAT UJUB.




Setiap manusia pasti akan dikurniakan nikmat oleh Allah s.w.t. dan adakalanya sesetengah insan itu mendapat nikmat yang lebih berbanding dengan yang lain dan ia membuatkan seseorang itu kelihatan lebih istimewa. Sedikit keistimewaan yang Allah kurniakan tersebut seperti harta yang banyak, ilmu yang tinggi, kebijaksanaan, kekuatan fizikal, paras rupa yang cantik, jawatan yang tinggi, ramai pengikut, dan pengaruh yang besar adakalanya mendorong manusia untuk lupa akan hakikat dirinya yang lemah dan sentiasa memerlukan pertolongan Allah.Perasaan sebeginiboleh menyebabkan timbulnya sifat bangga diri atau ujub.

Ujub merupakan perasaankagum terhadap diri sendiri yang terbit dihati seseorang insan yang beranggapan dirinya memiliki sifat yang lebih baik atau sempurna berbanding dengan orang lain. Imam Sufyan Ats-Tsauri r.h berkata: “Sifat ujub adalah kekagumanmu pada dirimu sendiri, sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya daripada saudara kamu. Sedangkan boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia, atau barangkali dia lebih warak daripada kamu terhadap hal-hal yang diharamkan Allah dan lebih tulus amalnya.” Imam Ibnu al-Mubarak r.h pula menyatakan: “Perasaan ujub adalah ketika engkau merasakan dirimu memiliki kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain.”

Sifat ujub ini ditegah oleh syarak kerana iamerupakan faktor yang dapat mencetuskan pelbagai sifat-sifat buruk yang lain seperti sombong, takbur, bongkak, iri hati, dengki, khianat dan sebagainya. Firman Allah s.w.t.: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong;  sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”(Luqman : 18) Allah s.w.t. turut berfirman:“…maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia-lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.” (Najm : 32)Ayat ini melarang seseorang itu dari memiliki persepsi bahawa dirinya itu suci dari melakukan kesilapan dan menolak sikap narsisisme iaitu perasaan cinta terhadap diri sendiri yang berlebihan.

Rasulullah s.a.w. turut memberi amaran bahawa bagi mereka yang bersifat ujub atau bangga diri ini mereka akan dihukum oleh Allah s.w.t. sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Baginda bersabda:"Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (merasakan dirinya lawa). Lalu Allah tenggelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat," (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Penyakit ujub ini mampu menyerang sesiapa sahaja hinggakania turut boleh menjangkiti golongan ilmuan Islam dan para pendakwah. Sikap begini kebiasaannya timbul apabila segelintir kecil para pendakwah beranggapan bahawa ilmu yang dimilikinya itu sudah cukup tinggi melangit sehingga dia merasakan kebenaran itu sentiasa berada di pihaknya. Dia tidak suka mengambil manfaat ilmu daripada pihak lain atau golongan yang tidak sealiran dengannya kerana dia merasakan dirinya sudah terlalu pandai. Dalam ertikata lain golongan pendakwah yang bermasalah ini hanya berpegang teguh dengan pendapat mereka sendiri tanpa memperdulikan pendapat yang lain. Sekiranya pendapatnya dibantah atau dia melihat pihak lain melakukan kesilapan akan dibalasnya dengan kata-kata sinis berbentuk celaan, mencaci-maki, menuduh sesat dan lain-lain perbuatan yang bertujuan untuk merendahkan pihak yang disanggahnya itu.

Satu lagi faktor penyebab timbulnya sikap bangga diri atau ujub di kalangan para pendakwah ini adalahpuji-pujian yang diberikan secara berlebihan oleh para pengikutnya. Populariti yang meningkat yang dapat dirangsangkan apabila melihat buku-buku tulisannya diulang-cetak beberapa kali, ceramah-ceramahnya dihadiri oleh ratusan bahkan ribuan orang, laman Facebook miliknya memiliki ramai pengikut, klip ceramahnya di Youtube telah dilihat (view) oleh puluhan ribu orang turut memiliki saham dalam mewujudkan perasaan bangga diri tersebut.

Ajaran Islam sentiasa bertindak menutup segala ruang-ruang kecil yang akhirnya boleh menimbulkan kerosakan yang besar.Ternyata sikap berlebihan dalam menghormati atau memuliakan golongan pendakwah atau ulamak boleh menghanyutkan mereka dengan perasaan bangga diri sekiranya mereka gagal mengawal hawa nafsu mereka.Mungkin inilah hikmahnya Rasulullah s.a.w. melarang para sahabat untuk berdiri dari tempat duduk sebagai tanda hormatketika menyambut ketibaan baginda. Anas bin Malik r.a berkata: “Tidak seorang pun yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah s.a.w..Tetapi, bila mereka melihat Rasulullah s.a.w. (hadir), mereka tidak berdiri untuk baginda.Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa baginda membenci perkara tersebut.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)Justeru itu amalan yang telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat iaitu berdiri sebagai tanda penghormatan kepada manusia seperti berdiri menyambut kehadiran Tok Guru yangmasuk untuk berceramah sewajarnya dihentikan.Rasulullah s.a.w. turut melarang kata-kata pujian yang berlebih-lebihan kepada sesiapa sahaja termasuk diri baginda sendiri.Anas bin Malik r.a berkata seorang lelakitelah datang kepada Rasulullah s.a.w seraya berkata:“Ya Muhammad! Ya Sayyidina ibni Sayyidina! (Wahai Tuan kami dan anak kepada Tuan kami), Wahai yang terbaik di kalangan kami dan anak kepada yang terbaik di kalangan kami!” Rasulullah menjawab: “Wahai manusia, hendaklah kalian bertakwa dan jangan membiarkan syaitan mempermainkan engkau. Sesungguhnya aku adalah Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya; dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi apa yang telah Allah 'Azza wa Jalla tentukan bagiku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kepada para pendakwah yang ujub dengan ilmu yang dimilikinya, ingatlah pesanan Imam Adz-Dzahabi r.h di dalam kitab beliau bertajukAl-Kaba’irini,“Kesombongan yang paling buruk adalah orang yang menyombongkan diri kepada manusia dengan ilmunya, dia merasa hebat dengan kemuliaan yang dia miliki. Orang semacam ini tidaklah bermanfaat ilmunya untuk dirinya. Kerana barang siapa yang menuntut ilmu demi akhirat maka ilmunya itu akan membuatnya rendah hati dan menumbuhkan perasaan khusyukdi hati serta ketenangan jiwa. Dia akan terus mengawasi dirinya dan tidak bosan untuk terus memperhatikannya. Bahkan di setiap saat dia selalu bermuhasabah diri dan membetulkannya. Apabila dia lalai dari hal itu, dia pasti akan terlempar keluar dari jalan yang lurus dan binasa. Barang siapa yang menuntut ilmu untuk berbangga-bangga diri dan meraih kedudukan, memandang remeh kaum muslimin yang lainnya serta memperbodoh dan merendahkan mereka, sungguh ini tergolong kesombongan yang paling besar.Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya sekecil zarah, la haula wa la quwwata illa billah (Tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah).”

Untuk menghindari sikap ujub seseorang itu mesti menyedari bahawa segala nikmat kelebihan yang ada pada diri masing-masing itu adalah semata-mata kurniaan daripada Allah s.w.t. sahaja.Oleh itu sikap yang seharusnya ada pada setiap insan apabila menerima limpah kurnia daripada Allah s.a.w.t. ada bersyukur kepada-Nya nescaya Dia akan menambah nikmat kurnian-Nya itu. Firman-Nya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan menambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim : 7) Ingatlahbahawa Allah s.w.t. pada bila-bila masa boleh menarik segala kelebihan atau keistimewaan yang telah Dia kurniakan kepada kita sekiranya kita tidak bersyukur dan berterusan dengan sikap membangga diri. Ketahuilah bahawa disisi Allah s.w.t. semua hamba-hamba-Nya sama sahaja melainkan golongan yang bertakwa yang Dia lebih muliakan. Firman-Nya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujuraat : 13)Hamba Allah yang bertakwa itu adalah mereka yang menunaikan segala kewajipan dan meninggalkan larangannya.

Kepada  seluruh penuntut ilmu, hayatilah pesanan Imam Ibnul Qayyim r.h ini di dalam kitabnya berjudul Al-Fawa’id. Menurutbeliau: “Salah satu tanda kebahagiaan dan kejayaan adalah tatkala seorang hamba semakin bertambah ilmunya maka semakin bertambah pula sikap tawaduk dan kasih sayangnya. Dan semakin bertambah amalnya maka semakin meningkat pula rasa takut dan waspadanya.Setiap kali bertambah usianya maka semakin berkuranglah ketamakan nafsunya.Setiap kali bertambah hartanya maka bertambahlah kedermawanan dan kemahuannya untuk membantu sesama manusia.Dan setiap kali bertambah tinggi kedudukan dan pangkatnya maka semakin dekat pula dia dengan manusia dan berusaha untuk menunaikan berbagai keperluan mereka serta bersikap rendah hati kepada mereka.”

Oleh itu marilah kita semua berazam untuk membuang jauh-jauh sifat ujub yang terlarang ini dan kita gantikan dengan sikap tawaduk iaitu sikap merendah tanpa menghinakan diri.Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mewahyukan kepadaku agar kalian merendahkan diri (bersikap tawaduk), sehingga tidak ada seorang pun menganiaya orang lain dan tidak ada yang bersikap sombong terhadap orang lain."(Hadis riwayat Imam Muslim). Golongan pendakwah yang tawaduk boleh menerima kebenaran yang datangnya daripada sesiapa sahaja dan mampu berinteraksi dengan semua golongan manusia.Sifat tawaduk ini dapat membantu pendakwah untuk menyatupadukan masyarakat dan menyemai perasaan kasih sayang di antara sesama umat Islam yang bersaudara.Sikap positif yang terpancar dari diri seseorang pendakwah akan membuatkan dia disenangi oleh semua lapisan masyarakat dan menjadi contoh yang baik kepada golongan sasaran yang hendak didakwahnya. Apabila pendakwah memiliki sikap yang disenangi oleh semua pihak, maka dakwahnya akanlebih mudah diterima dan berkesan.






Jumaat, 4 Mei 2012




ADAKAH SOLAT JAMAK HANYA TERHAD KETIKA MUSAFIR?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Solat jamak bermakna mengumpulkan dua solat dalam satu waktu.Contohnya mengumpulkan solat Zuhur dan Asar dalam satu waktu ataupun Maghrib dan Isyak dalam satu waktu.Jamak pula ada dua jenis iaitu:

1)                   Jamak Taqdim (yang didahulukan) iaitu mengumpulkan solat Asar bersama Zuhur dalam waktu solat Zuhur atau mengumpulkan solat Isyak dan Maghrib dalam waktu solat Maghrib.

2)                   Jamak Ta’khir (yang diakhirkan) pula ialah mengumpulkan solat Zuhur dan Asar dalam waktu solat Asar atau mengumpulkan solat Maghrib dan Isyak dalam waktu solat Isyak.

Tidak ada yang mempertikaikan tentang bolehnya menjamaksolat ketika berada dalam perjalanan. Terdapat hadis-hadis yang banyak menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. memang pernah menjamaksolat ketika bermusafir. Telah Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a bahawa dia berkata: “Inginkah tuan-tuan saya ceritakan perihal solat Rasulullah s.a.w. sewaktu sedang bersafar.” Ujar kami:“Baik.” Katanya:“Jika baginda masih berada di rumah semasa matahari telah tergelincir (masuknya waktu Zohor), beliau jamakkan Zohor dengan Asar (jamak taqdim) sebelum berangkat, tapi kalau belum lagi tergelincir, maka baginda berjalan hingga nanti bila waktu Asar masuk baginda pun berhenti dan menjamaksolat Zuhur dengan Asar (jama ta’khir). Begitu juga jika selagi baginda di rumah waktu Maghrib sudah masuk, baginda jamaklah solat Maghrib dengan Isyak, tetapi kalau waktu belum lagi masuk, baginda terus sahaja berangkat dan nanti bila waktu Isyak tiba, baginda pun berhenti untuk menjamaksolat Maghrib dan Isyak itu.”- Hadis riwayat Imam Ahmad

Kebanyakan umat Islam di Malaysia berpendapat bahawa menjamaksolat hanya dibenarkan kepada mereka yang bermusafir sahaja.Sebenarnya berada dalan keadaan musafir hanyalah salah satu dari faktor yang membenarkan solat dijamakkan. Faktor sebenar yang menentukan samaada solat boleh dijamakkan atau tidak adalah kesulitan yang dialami oleh seseorang untuk menjalankan ibadah solatnya walaupun dia bukan seorang musafir. Tentang hubungan antara menjamakkan solat dan musafir, Syaikh Muhammad Shalih al-‘Utsaimin di dalam Majmu’ Fatawa Arkanil Islammenulis: “Jamak itu tidak berkait dengan qasar tetapi terkait dengan keperluan. Apabila sahaja seseorang itu perlu untuk menjamaksolatnya baik ketika dia bermukim mahupun ketika dalam perjalanan maka dia boleh menjamaksolatnya.Oleh kerana itu manusia melakukan jamak ketika hujan yang menyulitkan mereka untuk kembali ke masjid. Juga dibolehkan menjamaksolat bila terjadi angin kencang di musim dingin yang menyukarkan mereka keluar menuju masjid. Juga dibenarkan menjamaksolat jika dia takut keselamatan hartanya atau yang semisalnya.”

Inilah rukhshah (kelonggaran) sebenarnya yang Allah s.w.t. kurniakan kepada hamba-Nya sesuai dengan sifatnya yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Maka sewajarnya kita bersyukur atas kurniaan-Nya itu dengan menggunakan rukhshah tersebut dan tidak mencipta batasan-batasan tertentu yang tidak disyari’atkan oleh Allah s.w.t.dan Rasul-Nya s.a.w.. Apatah lagi Rasulullahs.a.w.sendiri pernah menjamakkan solat bukan kerana musafir atau hujan hanya bertujuan untuk memudahkan umatnya. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a, dia berkata:“Nabi s.a.w. bersolat di Madinah (bukan dalam musafir) sebanyak tujuh dan lapan rakaat iaitu dengan menjamak Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Juga telah diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a:“Rasulullah s.a.w. pernah menjamaksolat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi s.a.w. berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.” Hadis riwayat Imam Abu Dawud

Kedua-dua hadis di atas sudah memadai untuk membatalkan pendapat mereka yang hanya menghadkan solat hanya boleh dijamakkan ketika dalam perjalanan kerana Rasulullah s.a.w. menjamaksolatnya ketika baginda berada di Madinah iaitu dalam keadaan bermukim.Malah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a ini dijadikan dalil oleh ulamak untuk membolehkan solat itu dijamakasalkan terdapat keperluan yang mendesak dan sah demi untuk menghindari kesulitan yang dihadapi itu.Malah melalui hadis ibnu ‘Abbas tersebut lafaz “bukan kerana dalam ketakutan atau hujan” secara tidak langsung menunjukkan bolehnya menjamak solat jika kita berada dalam kedua-dua situasi tersebut.Hanya sahaja menjamak solat ketika hujan hanya boleh dilakukan secara berjemaah di masjid dalam bentuk Jamak Taqdin sahaja.

Ada pihak yang menggunakan hadis-hadis seperti ini untuk membolehkan menjamaksolat secara sesuka hati tanpa ada kesulitan. Menurut Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h: Hadis ini tidaklah seperti apa yang disangka oleh banyak para penuntut ilmu bahawa solat (jamak) itu boleh dilakukan bila-bila sahaja tanpa pertimbangan dan tanpa alasanpun… Tetapi jika ada sesuatu yang memberatkan untuk dilaksanakan solat pada waktunya maka ketika itu boleh baginya menjamaksolat demi menghilangkan kesulitan tersebut; baik berupa jamak taqdim ataupun ta’khir. Sesungguhnya alasan syar’i dari solatjamak ini adalah untuk menghilangkan kesulitan dari kaum Muslimin. Maka jika tidak ada kesulitan tidak boleh jamak, dan wajib bagi kita memahami hadis di atas secara sempurna. Dan kesempurnaan hadis tersebut adalah sebagai berikut: “Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi S.a.w. berbuat sedemikian?” Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.” Dengan adanya solatjamak yang dilakukan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan mukim dan tanpa uzur turunnya hujan bukan bererti semua orang boleh menjamaksolat tanpa adanya kesulitan.”

Syaikh Abu Ubaidah Masyhur di dalam Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliinpula berkata selain dari dalam ketakutan ataupun hujan yang lebat:“Diperbolehkan menjamaksolat ketika tanah dalam keadaan berlumpur, udara yang dingin, turun salju, sakit, angin kencang bahkan kerana adanya uzur atau kepentingan lain…Ibnu Taymiyyah berkata: “Mazhab Fiqh yang paling longgar dalam masalah menjamaksolat adalah mazhab al-Imam Ahmad. Sebab beliau telah membolehkan menjamak antara dua solat hanya disebabkan adanya keperluan ataupun ketika sedang sibuk.”

Selanjutnya Syaikh Sayyid Sabiq r.hdi dalam kitabnya Fiqhus Sunnahberkata:Dalam Syarah Muslim, Imam al-Nawawi r.h berkata: “Beberapa imam membolehkan jamak bagi orang yang tidak musafir, bila ia ada suatu kepentingan, asal sahaja hal itu tidak dijadikan kebiasaan. Ini juga merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari golongan Maliki, dan menurut al-Khaththabi juga pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari golongan Syafi’i, juga dari Ishak Marwazi dan dari jemaah ahli hadis, serta inilah pula yang dipilih oleh Ibnul Mundzir.”

Telah jelas bagi kita bahawa solatjamak bukan hanya disyari’atkan ketika dalam musafir. Sekiranya memang ada keperluan yang mendesak maka dibenarkan untuk menjamakkan solat. Hanya apa yang ingin ditekankan jangan kita terlalu bermudah-mudah dalam isu solatjamak ini sehingga menjadi kebiasaan untuk manjamakkan solat tanpa sebab atau kesulitan yang dihadapi seperti diamalkan golongan Syi’ah. Ini adalah kerana hukum asal solat itu adalah mengikut waktu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya:“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” - al-Nisaa’: 103

Menurut Syaikh Abu Ubaidah di dalam Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliinkaedah umum yang yang disepakati oleh Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah:“Hendaklah setiap solat itu dikerjakan pada waktunya yang telah ditetapkan dan telah dinaskan dalam hadis-hadis Nabi, tanpa mengawalkan atau mengakhirkannya, kecuali jika ada beberapa sebab yang telah disebutkan dalam beberapa kitab fekah dan sebab itu diperkuatkan oleh dalil syari’at yang diakui (keshahihannya).

Semoga kemudahan yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada kita dipergunakan secara adil dan bijak. Sesungguhnya Allah s.w.t. yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba-Nya. Ini sebagaimana Firman-Nya: “…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…” - al-Baqarah : 185

Khamis, 26 April 2012

Assalaamu'alaikum

Jangan lupa Temujanji kita pada hari Ahad ini, 29hb April, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, Dewan Tun Dr Ismail, PWTC, di Booth Karangkraf KARYA BESTARI dari jam 12 tengahari sehingga 4 petang, Jumpa anda semua di sana.....


Jumaat, 23 Mac 2012

Walimatul Urus Yang Terurus

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Antara aktiviti lazim pada musim cuti sekolah adalah kesibukan memenuhi undangan-undangan walimatul urus atau majlis kenduri kahwin yang kebiasaannya dilangsungkan pada hujung minggu. Adakalanya kita perlu menghadiri lebih dari dua majlis dalam satu hari. Pada dasarnya majlis kenduri kahwin ini memang sesuatu dianjurkan oleh syarak. Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a, di mana beliau berkata: “Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi s.a.w. menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, baginda mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Apabila baginda mengetahui ‘Abdurrahman bin ‘Auf baru bernikah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Menurut Ibnu Qudamah r.h di dalam al-Mughni: “Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukan wajib.”

Tujuan untuk melaksanakan kenduri kahwin adalah sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t dan tanda kegembiraan kerana dapat mendirikan rumah tangga yang merupakan suatu perkara yang amat dituntut dalam Islam. Majlis ini juga dipergunakan untuk mengisytiharkan status kedua pasangan pengantin tersebut sebagai pasangan suami isteri yang sah. Justeru itu janganlah majlis yang mulia ini dicemari dengan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Hendaklah ia diadakan secara sederhana bertepatan dengan tujuan perlaksanaannya iaitu untuk mendapat keredhaan Allah. Laksanakan majlis tersebut sesuai dengan kemampuan dan elakkan pembaziran kerana sesungguhnya membazir itu perbuatan syaitan. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya.” (al-Isra’ : 27) Jangan pula setelah majlis perkahwinan selesai, pasangan yang baru hendak memulakan hidup baru tersebut dibebani dengan hutang piutang dek kerana terpaksa menanggung perbelanjaan majlis perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran.

Ada golongan yang berbelanja besar untuk majlis kahwin ini bertujuan untuk berbangga-bangga dan menunjuk-menunjuk kemewahan dan kekayaan mereka. Untuk kelompok ini sila perhatikan sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong sekalipun hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Ada juga di antara kita yang memilih-milih dalam menjemput tetamu untuk majlis mereka. Mereka berbangga sekiranya yang hadir dalam majlis tersebut terdiri dari golongan-golongan VVIP berpangkat tinggi, golongan hartawan dan para selebriti. Ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga yang tiada status atau harta dilupakan. Ada segelintir pihak yang membahagikan majlis perkahwinan ini untuk golongan kaya dan miskin. Untuk si miskin memadailah dengan majlis yang dilakukan di halaman rumah sahaja manakala untuk si kaya dianjurkan satu majlis khas berasingan di hotel-hotel terkemuka. Majlis perkahwinan mengikut kasta ini pernah ditegur oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Apa yang lebih menepati sunnah adalah memenuhkan majlis kenduri kahwin dengan menjemput golongan yang beriman, bertakwa dan tekun mengikuti ajaran Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jangan kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan janganlah memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)

Hindarilah amalan khurafat, tahyul dan syirik dalam majlis kenduri kahwin. Terdapat pihak yang mengundang tukang ramal untuk menentukan keserasian pasangan atau tarikh yang sesuai untuk dilangsungkan majlis. Perkhidmatan bomoh hujan juga agak laris ketika musim penganjuran majlis kenduri kahwin dalam usaha untuk menahan hujan dari turun. Kononnya bomoh-bomoh ini berkemampuan untuk mengalih hujan. Mempercayai ramalan tukang ramal dan menggunakan khidmat bomoh merupakan suatu perbuatan yang tercela dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa mendatangi tukang ramal dan bertanyakan kepadanya tentang sesuatu lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka solatnya tidak diterima selama empat puluh hari.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Baginda juga telah bersabda: “Barangsiapa mendatangi dukun atau ‘arraaf (tukang ramal), lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w.” (Hadis riwayat Imam Ahmad). Terdapat juga amalan-amalan tahyul untuk mengelak hujan seperti mencampak baju milik pengantin di atas bumbung, menjerang air disepanjang majlis dan lain-lain lagi. Amalan sebegini memang nampak tidak masuk akal tapi ia sememangnya pernah diamalkan oleh masyarakat Melayu. Jika tidak mana mungkin Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pernah bersidang untuk mengeluarkan fatwa seperti ini: “Amalan meletakkan baju pengantin di atas bumbung bagi menahan hujan turun adalah dilarang sama sekali kerana kepercayaan tersebut adalah merupakan satu khurafat dan boleh merosakkan akidah sebagai seorang Islam.” Sekiranya ingin cuaca cerah ketika majlis walimah maka berdoalah kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. turut pernah mengajar kita doa yang boleh kita praktikkan sebagaimana berikut:

اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.” (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari)

Antara kepercayaan khurafat dan syirik dalam majlis perkahwinan adalah keyakinan bahawa majlis menepung tawar dapat menolak bala dan memberi kebahagiaan kepada pasangan pengantin tersebut. Amalan ini dikatakan bersumber dari agama hindu yang menjadikannya upacara majlis tolak bala. Pemikiran atau amalan sedemikian rupa boleh mencemari akidah umat Islam dan perlu dihindari sebagai langkah berjaga-jaga. Tambahan pula amalan ini adalah sia-sia sahaja kerana tidak mendatangkan sebarang faedah atau kebaikan kepada pasangan pengantin maka pesanan Rasulullah s.a.w. dalam hal-hal seperti ini adalah: “Di antara kebagusan keislaman seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak berguna bagi dirinya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

Berkaitan amalan bersanding pula ia bukan termasuk dalam sunnah Nabi dalam penganjuran majlis kenduri kahwin dan ia juga dikatakan berasal dari amalan masyarakat India. Justeru ada dikalangan para ulamak yang menentang amalan ini apatah lagi seringkali ia dilaksanakan dengan keadaan para pengantin memakai pakaian yang tidak menutup aurat secara sempurna, tabarruj iaitu perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai dan seringkali ia terpalit dengan amalan membazir kerana kos pelamin dan perhiasannya juga agak tinggi. Terdapat juga sesetengah ulamak yang berpandangan amalan bersanding ini hanyalah sekadar adat dan boleh dilaksanakan tetapi dengan syarat-syarat yang tertentu seperti pakaian dan perhiasan pengantin sesuai dengan syarak, ia tidak dijalankan secara terbuka kepada yang bukan mahram dan tidak membazir. Jika tidak mampu mengikuti syarat-syarat tersebut, langkah yang lebih selamat adalah tidak melakukan upacara persandingan tersebut.

Pasangan pengantin dalam majlis perkahwinan dilayan seperti pasangan di Raja. Kedua mempelai memiliki singgahsana, dihidang dengan makanan mewah yang lazat di meja khas ketika makan beradat dan diarak secara ekslusif di dalam majlis tersebut. Dari sinilah datangnya istilah Raja Sehari dalam budaya majlis perkahwinan orang Melayu. Apabila dilayan seperti raja maka tempoh masa pasangan pengantin untuk melayan tetamu yang datang untuk meraikan mereka agak terhad kerana jadual mereka pada hari itu agak padat. Budaya raja sehari ini juga kurang menepati konsep walimah yang dianjurkan Islam iaitu pengantin sepatutnya menjadi pelayan dan melayani tetamu. Sahl bin Saad ra memberitahu bahawa Abu Usaid as-Sa’idi mengundang Rasulullah ke majlis jamuan pernikahan beliau dan ketika itu isterinya yang menjadi pengantin perempuan itulah yang sibuk melayani tetamu dan keperluan mereka. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari) Konsep Raja Sehari ini juga adalah perkara berkaitan adat semata-mata namun jika hendak diteruskan pastikan pasangan pengantin dapat meluangkan masa secukupnya untuk melayani para tetamu.

Terdapat pelbagai cara ucapan tahniah yang diucapkan kepada pasangan pengantin seperti “Selamat pengantin baru, semoga bahagia hingga ke anak cucu” “Semoga mendapat banyak anak” “Tahniah kerana sudah menjadi pasangan suami isteri” dan lain-lain lagi. Sebenarnya Rasulullah s.a.w. pernah memberi panduan tentang cara memberi ucap selamat serta mendoakan kedua pasangan pengantin serta keluarga mereka. Antara doa yang disunnahkan untuk diucap kepada para pengantin adalah:

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

Semoga Allah memberkatimu dan mencurahkan barakah ke atasmu dan mengumpulkan kedua-dua kamu dalam kebaikan (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud).

Doa untuk keluarga pengantin yang menjemput kita makan pula adalah:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُم

Ya Allah, ampunilah mereka, dan rahmatilah mereka dan berkatilah mereka pada apa yang telah Engkau kurniakan kepada mereka. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Oleh itu adalah lebih wajar bagi kita untuk memilih ucapan-ucapan yang bersumber dari Rasulullah s.a.w. kerana baginda merupakan contoh ikutan kita yang terbaik sebagaimana firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingat Allah.” (al-Ahzaab : 21)

Penganjur majlis kenduri kahwin ini juga handaklah berusaha untuk mengasingkan tempat duduk lelaki dan wanita sebagai usaha untuk menjauhkan ikhtilat (percampuran bebas) lelaki dan wanita sebagaimana yang sering wujud dalam majlis-majlis perkahwinan. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Dua mata itu boleh berzina, dan zinanya adalah pandangan (pada bukan mahram).” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Semua pihak sepakat bahawa penganjuran majlis kenduri kahwin atau walimatul urus ini merupakan suatu yang dituntut dalam agama. Justeru hendaklah kita berusaha agar majlis ini diuruskan sejajar dengan ajaran Islam. Apa jua perkara yang berbentuk maksiat, kerpercayaan karut yang mencemar akidah dan amalan-amalan bid’ah hendaklah diketepikan. Ya! Memang sukar untuk kita mengubah sesetengah amalan yang telah sebati dan menjadi adat dalam masyarakat. Namun jika generasi baru tidak mengorak langkah untuk melakukan perubahan, maka amalan-amalan yang bertentangan dengan syarak akan terus diamalkan dan upaya untuk menghidupkan sunnah-sunnah Nabi akan terus malap.

Isnin, 6 Februari 2012

PATUTKAH ISTERI YANG BEKERJA BERKONGSI GAJI DENGAN SUAMI?


Pada zaman yang serba moden ini kos sara hidup semakin meningkat terutamanya di bandar-bandar besar dan kota metropolitan. Kesempitan ekonomi semakin terasa bagi setiap keluarga terutamanya bagi mereka yang memiliki jumlah anak yang ramai kerana perbelanjaan harian semakin melonjak tinggi dari hari ke hari. Rentetan dari itu terdapat golongan isteri yang turut bekerja demi untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh para suami.

Para ulamak telah sepakat bahawa mencari nafkah bagi memenuhi segala keperluan ahli keluarga adalah tanggungjawab suami. Ini sebagaimana firman-Nya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka." (al-Nisaa’ : 34)

Di ayat yang lain Allah swt turut berfirman: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” (al-Baqarah : 233)

Oleh itu bekerja dan mencari nafkah pada dasarnya adalah kewajipan para suami untuk menanggung isteri dan keluarganya. Isteri pula bertanggungjawab untuk mengurus rumah tangga dan anak-anak namun begitu Islam tidak melarang mereka berkerjaya sekiranya terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. Ini adalah kerana pada dasarnya asal segala sesuatu itu mubah (dibolehkan) sekiranya tiada keterangan dari syarak yang melarangnya. Dalil yang mengharuskan para wanita atau isteri untuk berkerjaya adalah keumuman firman Allah s.w.t: “(Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (al-Nisaa’ : 32)

Begitulah fleksibelnya agama Islam ini yang senantiasa menepati kehendak zaman dan memenuhi segala keperluan hamba-hamba Allah s.w.t. Ternyata golongan isteri atau wanita yang bekerja bukan sekadar untuk membantu suaminya, tetapi wujud juga mereka yang berstatus janda dan perlu bekerja bagi menyara hidup mereka sekeluarga. Ada juga wanita yang perlu membantu ibu bapa mereka yang miskin atau suami yang tidak mampu untuk bekerja kerana uzur. Terdapat golongan wanita yang hidup sebatang kara tanpa keluarga yang lebih wajar baginya untuk mendapat wang dari hasil titik peluh sendiri dari hanya bergantung kepada belas ehsan atau meminta-minta dari masyarakat sekeliling. Sesetengah bidang kerja agak kurang diminati atau tidak sesuai bagi kaum lelaki dan ianya lebih bersesuaian untuk diisi oleh kaum wanita seperti jururawat, perguruan, doktor sakit puan, tukang jahit, penggunting rambut wanita dan lain-lain. Maka keadaan yang mendorong untuk golongan wanita bekerja sememang wujud dan Islam meraikannya.

Apapun adalah penting bagi wanita yang berkarier untuk menjaga diri dan kehormatan mereka sesuai dengan lunas-lunas syarak. Hendaklah mereka mendapat keizinan untuk bekerja daripada wali dan bagi yang telah berkahwin daripada suami terlebih dahulu. Para isteri yang bekerja tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap suami, anak-anak dan rumah tangga.

Bagi para suami pula, hendaklah anda semua ketahui bahawa gaji daripada hasil titik peluh si isteri yang bekerja adalah milik mutlaknya dan isteri berhak untuk membelanjakannya sesuai dengan keinginan dan keperluannya. Bukanlah menjadi suatu kewajipan bagi para isteri untuk membiayai perbelanjaan keluarga sebagaimana suami. Suami juga tidak boleh memaksa isteri untuk membantunya dalam menguruskan urusan kewangan keluarga. Namun jika isteri dengan rela hati mengizinkan suami untuk menggunakan gaji atau hartanya bagi menguruskan perbelanjaan harian maka ia dibenarkan oleh syarak.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah Bin Baz r.h. mantan Mufti Kerajaan Arab Saudi pernah ditanya: "Saya telah menikahi seorang guru. Apakah saya berhak mengambil gajinya dengan persetujuannya untuk memenuhi suatu keperluan berdua, misalnya untuk membina rumah?" Beliau menjawab : “Bukanlah menjadi suatu permasalahan bagi anda untuk untuk mengambil gaji isterimu dengan keredhaannya sekiranya dia seorang wanita rasyidah (berakal sihat). Begitu pula segala sesuatu yang dia berikan kepada anda untuk membantu anda maka bukanlah menjadi suatu permasalahan sekiranya anda mempergunakan (bantuan itu) dengan syarat dia rela dan telah dewasa. Berdasarkan firman Allah s.w.t: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (al-Nisaa’ : 4)

Kenapa Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah Bin Baz menggunakan dalil ayat al-Qur’an di atas? Apa kaitannya antara mas kahwin dengan gaji isteri? Mas kahwin (mahar) adalah hak mutlak seorang isteri dalam apa jua keadaannya. Mas kahwin tetap milik isteri walaupun suaminya meninggal dunia tanpa menyentuh (berjimak) si isteri. Sekiranya suami masih tidak membayar mas kahwin yang dijanjikan semasa akad nikah, isteri berhak untuk tidak mengizinkan suaminya untuk menyentuh tubuhnya. Kita kembali kepada surah al-Nisaa’ ayat ke empat yang telah digunakan oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bib ‘Abdullah Bin Baz sebagai dalil. Sekiranya dalam isu mas kahwin yang menjadi hak milik mutlak bagi isteri dibenarkan untuk diberikan kepada suami, maka tentu sekali gaji yang diperolehi dari hasil titik peluh sendiri turut boleh dikongsikan bersama suami demi untuk membentuk kestabilan ekonomi dalam menguruskan hal-hal kewangan keluarga.

Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Radhiyallahu 'anhu,dia berkata: " … Zainab, isteri kepada Ibnu Mas'ud datang meminta izin untuk masuk bertemu (Rasulullah). Ada yang memberitahu: "Wahai Rasulullah, ini adalah Zainab.” Baginda s.a.w. bertanya: “Zainab yang mana?" Maka ada yang menjawab: "(Zainab) isteri kepada Ibnu Mas'ud. "Baginda menjawab: "Ya, izinkanlah dirinya (untuk masuk)." Maka dia (Zainab) dia diizinkan masuk lalu berkata: "Wahai, Nabi Allah. Sesungguhnya hari ini engkau telah memerintahkan untuk bersedekah. Sedangkan aku mempunyai perhiasan dan ingin bersedekah. Namun Ibnu Mas'ud mengatakan bahawa dirinya dan anaknya lebih berhak menerima sedekahku." Nabi bersabda: "Ibnu Mas'ud berkata benar. Suami dan anakmu lebih berhak menerima sedekahmu." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Apa yang dapat kita pelajari daripada hadis ini adalah para isteri boleh memberi sedekah hartanya kepada suami serta anak-anak. Perbuatan seumpama ini merupakan suatu bentuk sedekah yang paling utama kerana para isteri mendapat dua pahala berbanding sedekah kepada pihak lain yang hanya mendapat satu pahala. Ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w.: “Baginya mendapat dua pahala (iaitu) pahala merapatkan ikatan kekeluargaan dan pahala sedekah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Ternyata tindakan isteri membantu suaminya dalam hal-hal berkaitan kewangan merupakan suatu perbuatan yang terpuji disisi syarak. Namun para suami sedaya upaya hendaklah berusaha untuk memajukan diri dalam kerjaya agar dapat meningkatkan jumlah pendapatan supaya tidak membebankan isterinya dengan sesuatu yang tidak menjadi tanggungjawab mereka. Jangan pula para suami mengambil kesempatan di atas keikhlasan para isteri untuk sama-sama menanggung kos sara hidup sekeluarga dengan menyebabkan diri menjadi pemalas atau berpuas hati dengan gaji atau jawatan sedia ada tanpa ada sikap untuk memperbaiki keadaan ke tahap yang lebih tinggi. Ingat wahai para suami! Kewajipan anda memberi nafkah kepada isteri yang berkerja tetap tidak gugur. Berusahalah untuk memperbaiki keadaan ekonomi keluarga anda agar isteri anda akan kembali menjalankan tanggungjawab asas yang paling mulia bagi seorang isteri iaitu mengurus keluarga dan mendidik anak-anak di rumah.