Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sakit
pada suatu sisi dilihat sebagai suatu perkara yang negatif kerana ia
menimbulkan perasaan tidak selesa terhadap tubuh manusia namun ia sebenarnya
merupakan ujian Allah s.w.t. terhadap hamba-hambanya. Bagi mereka yang redha
dan sabar dengan ujian ini maka sakit tadi akan berubah menjadi nikmat kerana
ia akan menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan dicatat sebagai suatu amalan mulia
yang berhak mendapat pahala serta darjatnya disisi Allah s.w.t. akan
ditingkatkan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidaklah seorang mukmin yang
terkena sesuatu penyakit meskipun hanya pada uratnya sahaja, melainkan Allah
akan menghapuskan dosa-dosanya dengan peyakit tersebut, akan dicatatkan baginya
satu kebaikan dan diangkat darjatnya.” (Hadis riwayat Imam Thabarani)
Namun
begitu adakah sakit ini tetap akan menjadi nikmat sekiranya ia dijadikan alasan
untuk meninggalkan solat? Tahukan anda bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memberi
ancaman yang amat berat bagi mereka yang meninggalkan solat? Sabda Rasulullah
s.a.w.: “Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir)
ialah solat, dan barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi
seorang kafir.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi) Dan sabdanya lagi: “Sesungguhnya
yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan
meninggalkan solat.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Jika pesakit
mencuaikan solat, sudahlah merana ditimpa penyakit kemudian perlu pula
menanggung dosa besar kerana melakukan perkara yang bercanggah dengan syarak.
Ini bolehlah diibaratkan bak kata pepatah “sudah jatuh ditimpa tangga.”
Pertama
sekali adakah benar tanggapan sesetengah pihak bahawa meninggalkan solat itu
dibenarkan bagi pesakit? Mari kita
perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. ini: “Di angkat al-Qalam (taklif atau
beban hukum) daripada tiga golongan manusia iaitu daripada orang yang tidur
sehingga terjaga, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga
pulih.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) Ternyata pesakit tidak termasuk
tiga golongan yang terangkat dari beban hukum melainkan pesakit yang tidak
sedarkan diri dan hilang akal atau gila. Oleh itu hendaklah para pesakit
tetap mengerjakan solat mengikut keupayaan mereka. Islam
telah memberikan rukhsah (kemudahan) yang banyak bagi para pesakit agar
tetap dapat melaksanakan solat walaupun dalam keadaan sakit.
Di
dalam ilmu fekah terdapat kaedah “keadaan darurat menghalalkan yang
haram” (ad-dharuratu tubiihul mahzhuraat). Pada dasarnya sememangnya
terdapat syarat-syarat sah solat yang perlu dipatuhi oleh setiap insan namun
menerusi rukhsah yang Allah s.w.t. kurniakan kepada para pesakit
sesetengah hukum itu tergugur atau dipermudahkan atas dasar darurat serta
kesukaran yang terpaksa dilalui oleh pesakit tersebut dalam mendirikan solat.
Perkara asas yang perlu kita fahami adalah dalam kehidupan, Allah s.w.t. tidak
membebankan hambanya dengan sesuatu yang di luar batas kemampuan mereka. Firman
Allah s.w.t: “…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki
kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(al-Baqarah: 185).
Sebagaimana
yang kita maklum seseorang itu perlu bersolat dengan tubuh badan serta pakaian
yang suci dari sebarang najis dan menutup aurat. Namun begitu jika pesakit itu
tidak mampu melakukannya dan tiada orang lain yang boleh membantunya untuk
menyucikan najis yang terdapat di pakaian, tubuhnya atau kawasan solatnya maka
hendaklah dia tetap mengerjakan solat dalam keadaan itu dan solatnya tetap sah
tanpa perlu mengulanginya di kemudian hari. Begitu juga bagi pesakit yang
sentiasa berhadas seperti wanita yang mengalami istihadah (darah penyakit yang keluar berterusan dari kemaluannya),
penghidap penyakit kencing tidak lawas atau pesakit yang memakai colostomy bag (alat yang dipasang di
perut kepada pesakit yang tidak boleh membuang air besar secara normal) dan continuous bladder drainage (sejenis alat yang dipakaikan kepada pesakit yang tidak
boleh membuang air kecil secara normal) mereka tetap perlu bersolat dalam
keadaan badan tubuh bernajis. Sebelum berwuduk berusahalah untuk menghilangkan
najis tersebut sekadar termampu seperti dengan membersihkan bahagian kemaluan
atau menukarkan beg atau plastik yang berisi najis tersebut. Pesakit hendaklah
mengambil wuduk apabila telah masuk waktu solat dan terus mendirikan solat
iaitu tanpa diselangi dengan sebarang perbuatan lain. Sekiranya ketika bersolat
solat air kencing meleleh, darah atau najis terkeluar ianya tidak membatalkan
wuduk mahupun solat. Begitu juga bagi pesakit yang tidak mampu menutup aurat dan tiada sesiapa yang boleh membantunya
ketika itu, hendaklah dia solat dengan apa jua pakaian yang ada pada tubuhnya
ketika itu.
Berwuduk
sebelum solat tetap diwajibkan kepada para pesakit. Jika pesakit tidak mampu
bergerak maka dia boleh meminta bantuan pihak lain untuk mewudukkannya.
Sekiranya tubuh pesakit tidak boleh terkena air kerana ia akan menjadikan
penyakitnya bertambah parah maka hendaklah dia bertayamum dengan menggunakan
debu suci baik untuk hadas kecil atau hadas besar. Firman Allah s.w.t.: “…dan
jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu
datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, kemudian kamu
tidak mendapat air (untuk mandi hadas atau berwuduk), maka hendaklah kamu
bertayamum dengan tanah (debu yang suci) iaitu sapukanlah ke muka kamu dan
kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”
(al-Nisaa’ : 43) Bagi pesakit yang melecur sehingga tidak boleh berwuduk
mahupun bertayamum maka dia dianggap tidak perlu bersuci dan dibenarkan
bersolat dalam keadaan begitu.
Al-Jabirah
adalah sesuatu yang dijadikan pengikat pada anggota badan yang patah atau
tergeliat mahupun balutan kepada anggota yang luka, melecur dan lain-lain
bentuk kecederaan dan balutan tersebut diperbuat dari kain, bahan plastik,
simen, kayu dan selainnya. Pada bahagian anggota wuduk yang berbalut al-Jabirah, sesetengah ulamak
berpendapat memadai pesakit itu menyapu balutan tersebut (dengan tangan yang
dibasahi air) tanpa perlu membasuhnya untuk berwuduk. Namun ada juga di
kalangan para ulamak yang berpendapat bahawa kawasan yang berbalut tersebut
tidak perlu disapu kerana telah gugur hukum wajib membasuh ke atasnya dalam
rangka memberi kemudahan. Menurut Syaikh al-Albani r.h di dalam Tamamul
Minnah Fit Ta’liq ‘Ala Fiqhus Sunnah: “Hadis-hadis (berkaitan wajib menyapu
atas balutan) ini -kerana begitu sangat lemahnya- tidak dapat dikuatkan oleh
banyaknya jalur periwayatan.” Seterusnya Syaikh al-Albani membahaskan secara
ringkas kelemahan hadis-hadis tersebut lalu beliau membawa pendapat Imam Ibnu
Hazm r.h: “Oleh sebab itu, Ibnu Hazm memilih tidak disyari’atkan menyapu
pembalut. Beliau berkata: Dalilnya adalah firman Allah: “Allah tidak
memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (al-Baqarah
: 286) dan Sabda Nabi s.a.w.:
“…dan jika aku menyuruh kamu melakukan sesuatu maka
lakukanlah sesuai dengan kemampuanmu.”(Hadis
riwayat Imam al-Bukhari) Menurut Syaikh al-Albani inilah pendapat yang yang
lebih menepati kebenaran kerana ianya lebih mencerminkan kemudahan (rukhshah) dalam
bersuci.
Para
pesakit turut diberikan kemudahan dalam menunaikan solat mengikut keupayaannya.
Ajaran Islam tidak memaksa seorang pesakit untuk berdiri ketika menunaikan
solat sekiranya dia tidak mampu untuk berdiri. Solat tersebut hendaklah
dilakukan menurut kemampuan dan keupayaannya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Hendaklah kamu menunaikan solat dalam keadaan berdiri, jika kamu tidak
mampu, maka lakukanlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu
juga, tunaikanlah solat dalam keadaan berbaring” (Hadis riwayat Imam
al-Bukhari). Bagi yang solat secara duduk cara duduknya ialah duduk seperti
semasa membaca tahiyat awal. Namun sekiranya tidak mampu, hendaklah duduk
mengikut kemampuannya. Jika tidak mampu untuk duduk maka hendaklah seseorang
itu solat dalam keadaan baring sambil mengiring di atas rusuk kanan. Muka dan
dada dihadapkan ke arah kiblat sedangkan rukuk dan sujud dilakukan menerusi
isyarat kepala. Jika pesakit tidak mampu untuk solat secara mengiring maka
solatlah dalam keadaan baring sambil terlentang. Kakinya menghala ke arah
kiblat dan kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dihadapkan ke kiblat.
Sekiranya dalam keadaan ini juga tidak mampu, solatlah secara melakukan isyarat
kelopak mata ataupun solat dengan hatinya. Begitu juga dengan persoalan
menghadap kiblat, sekiranya pesakit tidak berupaya untuk memposisikan diri
mereka arah kiblat dan tiada orang lain yang dapat membantunya maka hendaklah
dia bersolat dalam keadaan menghadap ke mana sahaja.
Apabila
pesakit merasakan sukar baginya untuk mengerjakan solat mengikut waktu yang
telah ditetapkan, maka dalam rangka memberikan kemudahan kepada para pesakit,
dia dibenarkan untuk menjamak (menghimpun) solatnya. Dalil yang membolehkan
menjamak solat sekiranya terdapat kesukaran untuk mengerjakan solat mengikut
waktu adalah sebuah riwayat daripada dari Ibnu ‘Abbas r.a: “Rasulullah
s.a.w. pernah menjamak solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah
(bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.” Lalu orang
bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi s.a.w. berbuat sedemikian?” Jawabnya:
“Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.” (Hadis riwayat Imam
Abu Dawud)
Demikianlah
beberapa contoh kemudahan yang dikhususkan kepada pesakit untuk mendirikan
solat. Apa yang dapat kita simpulkan adalah penyakit yang
menimpa seseorang itu tidak pernah menggugurkan kewajipan solat selagimana
pesakit tersebut masih sedar dan boleh berfikir secara waras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan