Jumaat, 27 Februari 2009

Penilaian Semula Tarikh Kelahiran Nabi SAW

Assalaamu'alaikum
Masyarakat Islam di negara kita umumnya menerima tarikh 12hb. Rabiul Awwal sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ( Maulidur Rasul ) . Benarkah kenyataan ini. Fakta ini perlu di kaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta sejarah, hadis dan sains.
Untuk bacaan lanjut sila ke alamat :

http://www.darulkautsar.com/article.php?ArticleID=184

Selamat membaca.

Sekian Wassalaam

Isnin, 23 Februari 2009

E-Book Tentang Sejarah Sambutan Mawlid Nabi


Assalaamu'alaikum

Kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Mawlid Nabi sila baca e-book ini yang boleh dimuat turun melalui alamat di bawah :-



Semoga ada manfaatnya

Sekian Wassalaam

Jumaat, 20 Februari 2009

Mawlid Nabi VS Cinta Nabi


HAKIKAT MENCINTAI RASULULLAH S.A.W.
Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Setiap tahun umat Islam menyambut meriah kehadiran 12 Rabiul Awal, iaitu tarikh yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai upacara akan diatur sempena hari tersebut yang juga dikenali sebagai maulidul rasul seperti perarakan besar-besaran, upacara marhaban dengan membaca kitab berzanji, mengadakan jamuan-jamuan makan dan ceramah-ceramah agama. Semuanya ini dilaksanakan demi untuk menggambarkan perasaan kasih dan sayang terhadap junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Saban tahun 12 Rabiul Awal muncul, maka saban tahun juga polemik tentang sunnah atau bidaah nya menyambut maulidul rasul akan muncul. Pihak yang menentang sambutan maulidul rasul menyatakan ia adalah bidaah kerana ia tidak pernah dilaksanakan pada zaman Nabi s.a.w dan sahabatnya serta pada zaman para salafussoleh . Malah imam-imam mazhab yang empat seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad r.h juga tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini.

Timbul persoalan adakah mereka semua ini tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul? Bagi pihak yang menyokong sambutan ini mereka beranggapan ia adalah bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan baginda s.a.w. dan mencerminkan kasih sayang kita kepada baginda. Apatah lagi tidak terdapat larangan yang khusus daripada ALLAH serta Rasul-NYA ke atas sambutan maulidul rasul ini.

Apa pun jua kita tidak ingin menyambung polemik ini yang akan sentiasa dibahaskan tanpa penghujungnya. Apa yang ingin kita bahaskan di sini adalah tentang tatacara untuk membuktikan kasih sayang kita serta pengagungan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa golongan yang pertama kali mengadakan upacara sambutan maulidul rasul ini adalah Bani Ubaid al-Qadah dari kelompok Fatimiyyah yang memerintah Mesir bermula dari 362 sehingga 567 Hijrah. Mereka ini berfahaman syiah al-Rafidhah dan juga terpengaruh dengan aliran Qaramithah al-Bathiniyah iaitu kelompok yang terkeluar dari ahli sunnah wal jamaah.

Kerajaan Fathimiyah ini menganjurkan upacara peringatan maulidul rasul ini bukan atas dasar cinta mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi, tujuan utama mereka adalah berunsur politik yakni untuk mencari pengaruh serta sokongan daripada rakyat demi menutupi kesesatan mereka.

Jika mereka inilah pelopor sambutan maulidul rasul, jadi bagaimanakah caranya para salafussoleh mempamerkan kecintaaan mereka kepada Rasulullah s.a.w? Tentu sekali kita telah fahami bahawa golongan yang paling mencintai Nabi Muhammad s.a.w. adalah para sahabatnya. Malah, generasi terbaik mencontohi baginda s.a.w adalah para sahabat, tabi’in dan tabi’ al-Tabi’in sebagaimana sabdanya:

خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
"Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ al-Tabi’in)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Manaqib, hadis no: 3650.

Telah terbukti mereka ini tidak pernah menyambut maulidul rasul. Jadi bagaimanakah pandangan mereka tentang hakikat sebenar mencintai Rasulullah s.a.w.. Oleh itu, melalui makalah ini penulis akan cuba mengungkap hakikat tersebut.

Kewajipan Mencintai Nabi s.a.w

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting serta mendasar. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan (dari) berjihad untuk agama-NYA, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-NYA (azab seksa-NYA); kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." – Surah al-Taubah (9) : 24.

Firman ALLAH S.W.T:

"Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi orang-orang yang beriman berbanding diri mereka sendiri." – Surah al-Ahzab: 6.

Sabda Rasulllah s.a.w:

أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ
Maksudnya:
"Aku lebih utama bagi setiap mukmin berbanding dirinya sendiri." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Jamaah, hadis no: 6.

Sabda Rasulllah s.a.w:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya:
"Tidaklah dianggap beriman di kalangan kamu semua sehingga aku lebih dicintainya daripada ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Imaan, hadis no: 15.

Masih terdapat banyak lagi dalil sedemikian rupa yang tidak lain menunjukkan kewajipan mencintai baginda s.a.w di mana ia merupakan antara ciri-ciri golongan beriman. Rasulullah s.a.w. berhak meraih cinta tersebut kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi ALLAH, memiliki akhlak yang luhur dan jalan yang lurus, mengasihi umatnya, memberi petunjuk kepada umatnya, menyelamatkan umatnya dari neraka dan menjadi rahmat kepada seluruh alam. Mencintai Nabi Muhammad s.a.w merupakan kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu utusan ALLAH yang merupakan sebahagian dari kalimah syahadah.

Hakikat Mencintai Rasulullah

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri-ciri tertentu. Di sini penulis akan menampilkan beberapa tanda-tanda yang menggambarkan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

1. Mentauhidkan ALLAH S.W.T.

Hikmah utama diutusnya para rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan sesungguhnya KAMI telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah ALLAH dan jauhi Taghut." – Surah al-Nahl: 36.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.h berkata:

"Semua para rasul mengajak beribadah kepada ALLAH dan melarang beribadah kepada selain-NYA. Malah, ALLAH sentiasa mengutus para rasul dengan tugas tersebut semenjak terjadinya kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh a.s. Dialah rasul pertama diutus oleh ALLAH kepada penghuni bumi hingga penutup para rasul, iaitu Muhammad s.a.w yang menyampaikan dakwahnya kepada bangsa jin dan manusia di timur dan barat. Keadaan mereka semua ini digambarkan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Dan KAMI tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul melainkan KAMI wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada TUHAN (yang berhak disembah) melainkan AKU. Oleh itu, beribadahlah kamu kepada-KU." – Surah al-Anbiya': 25.

Maksud mentauhidkan ALLAH adalah beribadah hanya kepada ALLAH sahaja dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun. Inilah pengertian sebenar kalimah tauhid, iaitu La Ilahaa Illaallah (Tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan ALLAH) dengan memurnikan ibadah hanya kepada-NYA dan berlepas diri dari segala sesuatu selainnya. Inilah misi utama Nabi Muhhamad s.a.w terhadap umatnya.

Oleh itu, untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w, kita hendaklah menghindari amalan-amalan syirik seperti menyembah berhala, mengikhlaskan ibadah kita hanya kepada ALLAH, berdoa hanya kepada ALLAH tanpa perantaraan (wasilah) yang tidak di izinkan-NYA seperti bertawassul di kuburan para wali, mentaati hukum-hakam ALLAH serta berlepas diri daripada hukum buatan manusia yang tidak selari dengan syarak, tidak memakai tangkal, tidak bertilik nasib, tidak berjumpa bomoh, mengingkari nama-nama dan sifat-sifat ALLAH dan lain-lain lagi. Mentauhidkan ALLAH merupakan bukti paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w.

2. Mentaati Sunnah Nabi s.a.w.

Di antara tanda-tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Pada dasarnya semua perbuatan dan ucapan Nabi s.a.w wajib diikuti dan diteladani.

Firman ALLAH S.W.T:

Maksudnya:
"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21

Menurut al-Hafiz Ibn Kathir:

"Ayat ini merupakan dasar utama untuk mencontohi Rasulullah s.a.w baik dalam ucapan, perbuatan mahupun hal ehwal baginda.
Mentaati Rasulullah s.a.w juga adalah bukti yang menunjukkan kita mencintai ALLAH.

Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah aku, pasti ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." – Surah Ali Imran: 31

Mentaati sunnah Nabi juga bermaksud menghindari amalan bidaah. Bidaah seperti yang didefinisikan oleh Imam al-Syathibi r.h ialah:

"Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah dan tujuan mengamalnya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada ALLAH." - Rujuk Kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Syeikh Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf yang merupakan ringkasan kepada Kitab al-I’tishom karya Imam Abu Ishaq al-Syathibi (edisi terjemahan oleh Farid Qurusy, Pustaka As-Sunnah, Surabaya (2003), ms. 2.

Berdasarkan definisi ini dapat kita fahami bahawa medan operasi bidaah adalah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu apa jua bentuk rekaan terkini di dalam hal kehidupan duniawi maka ia tidak termasuk di dalam ruang lingkup perbahasan bidaah menurut definisi syarak.

Ini kerana, terdapat dalil-dalil yang menggalakkan umat Islam untuk terlibat di dalam usaha mencipta rekaan-rekaan terkini demi kemajuan umat Islam. Dalam hal ehwal duniawi, manusia memiliki kebebasan untuk melakukan inovasi termoden asalkan ia tidak mendatangkan keburukan kepada orang ramai serta tidak bertentangan dengan syariah.

Sabda Nabi s.a.w:

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ
Maksudnya:
"Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Fadhail, hadis no: 2363.

Sabda Nabi s.a.w:

مَا كَانَ مِنْ أَمْرِ دُنْيَاكُمْ فَأَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ وَمَا كَانَ مِنْ أَمْرِ دِينِكُمْ فَإِلَيَّ‏
Maksudnya:
"Jika sesuatu urusan termasuk hal ehwal dunia kamu, kamu lebih tahu untuk menguruskannya dan jika sekiranya termasuk urusan agama kamu, kembalikanlah kepada aku." - Hadis riwayat Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, kitab al-Ahkam, hadis no: 2462.

Bidaah yang kita maksudkan di sini adalah mengada-adakan ritual-ritual agama baru yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Seluruh bidaah yang bersangkutan dengan agama ini adalah sesat dan pengamalannya adalah sia-sia kerana ia tidak diterima oleh ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w:


فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
Maksudnya:
"Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah), seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah), setiap perkara yang diada-adakan termasuk kategori bidaah dan setiap perkara yang bidaah adalah sesat." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, Kitab al-Jama’ah, hadis no: 867.

Sabda Nabi s.a.w:


مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.
Maksudnya:
Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697


مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.
Maksudnya:
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718

Oleh itu, memerangi amalan bidaah merupakan satu bukti yang menunjukkan kecintaan kita kepada sunnah Nabi s.a.w. Sebaliknya, mengamalkan amalan bidaah menggambarkan pengkhianatan kita kepada baginda. Imam Malik r.h berkata:

"Sesiapa yang mencipta bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w mengkhianati risalah. Ini kerana, ALLAH telah berfirman:

"Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu." – Surah al-Maidah: 3.

Setiap perkara yang ada pada hari tersebut tidak termasuk urusan agama, maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian dari agama pada hari ini." – Rujuk Kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf, ms. 14.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan amalan-amalan bidaah walaupun ia nampak baik dan bertujuan mulia. Ingatlah pesan Abdullah bin Umar r.a:

كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَاِنْ رآهَا النَّاسُ حَسَنَةٌ
Maksudnya:
“Setiap bidaah itu sesat, walaupun manusia memandangnya (perbuatan bi’dah tersebut) hasanah (baik).” – Atsar riwayat al-Lalaka-i di dalam Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ibn Nashir di dalam al-Sunnah dan oleh Ibn Battoh di dalam al-Ibanah.

3. Menyebarkan Sunnah Nabi s.a.w.

Mencintai Nabi s.a.w bukan sekadar hanya taat kepada sunnah baginda. Malah, antara tanda kesempurnaan perasaan cinta kepada baginda adalah dengan menyebarkan sunnah-sunnah tersebut kepada seluruh umat manusia. Sabda baginda s.a.w:

فَلْيُبْلِغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ
Maksudnya:
"Hendaklah orang yang yang hadir (pada hari ini) menyampaikan (sunnahku) kepada yang tidak hadir." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Haj, hadis no: 1739.

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya:
"Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab Ahadis al-Anbiya’, no: 3461.

Keinginan untuk menyebarkan sunnah Nabi s.a.w, menyampaikannya serta mengajarkannya adalah menyambung tugasan baginda. Sekiranya kerja-kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan pasti sunnahnya akan mati dan digantikan dengan amalan-amalan bidaah .

4. Sentiasa memuji dan mengingatinya.

Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita. Kita sepatutnya selalu mengingati pengorbanan yang telah baginda lakukan demi menyelamatkan umatnya dari kesesatan. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan kita. Kita juga hendaklah hanya menyibukkan diri dengan sejarah baginda yang sahih dan menghindari cerita-cerita palsu dan lemah yang banyak tersebar dalam masyarakat.

Penulis juga menganjurkan para ulama mengkaji semula kandungan kitab marhaban atau berzanji yang sering dibacakan ketika majlis-majlis maulid kerana di dalamnya terdapat banyak kisah-kisah palsu serta riwayat yang daif (lemah) serta tidak mempunyai sandaran malah boleh membawa kepada kesyirikan dan khurafat. Bagi umat Islam di Malaysia, disaran agar mendapatkan kitab-kitab Sirah Nabi yang muktabar untuk dijadikan rujukan.

Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat kepada Nabi. (Oleh itu) wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penuh penghormatan." – Surah al-Ahzab: 56

Selawat-selawat yang kita ucapkan mestilah bersumber dari hadis-hadis yang sahih dan bukan selawat-selawat ciptaan manusia. Antara kalimah selawat yang baginda telah ajarkan adalah seperti berikut:

Pertama:

Abdul Rahman bin Abi Lailah r.a berkata:

“Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi Lailah lalu dia berkata: Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku pernah mendengarnya daripada Nabi s.a.w? Jawabku: Sudah tentu! Hadiahkanlah kepadaku. Dia berkata: Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahli bait kerana sesungguhnya ALLAH telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami memberi salam (kepadamu)? Baginda menjawab: Ucapkanlah oleh kamu semua,

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya:
“Ya ALLAH! Selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab Ahadith al-Anbiya’, hadis no: 3370.

Kedua:

Musa bin Talhah meriwayatkan daripada bapanya (iaitu Talhah bin ‘Ubaidullah) r.a katanya:

“Kami (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah (caranya) berselawat kepadamu? Baginda bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan,
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya:
“Ya ALLAH! Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 1323 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , kitab al-Sahwa, hadis no: 1273 dan 1274.

Ketiga:

Abu Mas’ud al-Anshari r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w datang kepada kami sedang kami berada dalam majlis Sa’ad bin ‘Ubadah. Kemudian Basyir bin Sa’ad bertanya kepada baginda: ALLAH telah memerintahkan kepada kami berselawat kepadamu wahai Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepadamu? Abu Mas’ud berkata: Lalu Rasulullah s.a.w diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Sa’ad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan,
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya:
“Ya ALLAH! Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati keluarga Ibrahim mengatasi seluruh alam. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai, kitab al-Sahwa, hadis no: 1268 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, kitab Tafsir al-Quran, hadis no: 3144.

Keempat:

Abu Humaid al-Saa’idi r.a berkata:

“Sesungguhnya mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah! Bagaimana (cara) kami berselawat kepadamu? Jawab baginda: Ucapkanlah,
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya:
“Ya ALLAH! Selawatlah kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad, isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana ENGKAU telah memberkati keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Anbiya’, hadis no: 3369 dan kitab al-Da’wat, hadis no: 6360. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim, kitab al-Solah, hadis no: 407.

Selain dari selawat-selawat di atas, terdapat beberapa lagi cara selawat yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w dan boleh kita dapati dari hadis-hadis sahih. Semuanya boleh dimanfaatkan ketika ingin berselawat kepada baginsa s.a.w. Sewajarnya kita mencontohi cara bacaan yang benar-benar telah diajar oleh baginda sendiri.

Dewasa ini ramai orang yang tidak mengambil peduli sunnah yang benar-benar mencontohi Rasulullah s.a.w berkaitan tatacara berselawat. Malah, mereka bukan sekadar menambah lafaz sayyidina atau lafaz-lafaz lain dalam selawat, tetapi ada yang sampai ke tahap menggubah tatacara atau lafaz-lafaz baru secara total tanpa ada contohnya daripada Nabi s.a.w, para sahabat, tabi’in, tabi’ al-Tabi’in mahupun imam-imam mazhab yang empat. Pada tanggapan mereka ini adalah satu perbuatan yang lebih bermanfaat berbanding lafaz asal yang datang daripada baginda s.a.w.

Tindakan sebegini sepatutnya dihindari secara total oleh umat Islam dan kembali kepada ajaran Nabi s.a.w sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih. Ini kerana, Nabi Muhammad s.a.w adalah makhluk paling sempurna ibadahnya dan yang paling mulia di sisi ALLAH. Sewajarnya kita tidak mencontohi ikutan selain baginda s.a.w.

Menurut Syeikh Abu Ubaidah:

"Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi s.a.w merupakan contoh ibadah dan sesuatu bersifat tauqifi. Kita tidak boleh menambah mahupun mengubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk formula selawat yang baru. Tindakan itu merupakan salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemilik syariat (ALLAH) yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh hati." - Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Solat, edisi terjemahan oleh W. Djunaeidi S, Pustaka Azzam, Jakarta (2001), ms. 162.

Sememangnya, berselawat kepada baginda disyariatkan dalam pelbagai ibadah seperti tasyahhud dalam solat, khutbah, solat jenazah, sesudah azan, saat berdoa, saat namanya disebut dan pelbagai kesempatan lain.

5. Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w.

Antara tanda cinta seseorang kepada Nabi s.a.w adalah mencintai mereka yang dicintai oleh baginda seperti ahli keluarga dan para sahabatnya serta membenci mereka yang memusuhi, membenci serta menentang dakwah baginda.

Sabda Rasulullah s.a.w:
لاَ تَسُبُّوا أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِي فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَوْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا أَدْرَكَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلاَ نَصِيفَهُ
Maksudnya:
"Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab Fadhail al-Sohabah, hadis no: 2541.

Sabda Nabi s.a.w:

أَلاَ أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللَّهِ وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ وَرَغَّبَ فِيهِ ثُمَّ قَالَ وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمْ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي
Maksudnya:
"Wahai manusia! Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa yang hampir sahaja utusan TUHANku (malaikat maut) datang menjemputku lalu aku memenuhinya. Aku akan meninggalkan kepadamu tsaqalain (dua perkara yang berat):
Pertama, Kitabullah yang berisi petunjuk dan cahaya. Berpegang teguhlah kepada Kitabullah. Baginda menganjurkan atas Kitabullah dan motivasi untuk itu,
Kemudian baginda bersabda: Dan juga ahli baitku. Aku mengingatkan kamu semua kepada ALLAH tentang ahli baitku, aku mengingatkan kamu semua kepada ALLAH tentang ahli baitku." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab Fadhail al-Sohabah, hadis no: 2408.

Secara logiknya, sesiapa yang mencintai seseorang dia juga akan mencintai apa yang dicintai oleh orang yang disayangi. Hal ini dikuatkan dengan dalil berikut:

"Sesungguhnya sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan mencintai segala yang disukainya, yang serupa dengannya dan segala yang ada kaitan dengannya." - Rujuk Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari karya al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani.

6. Membenci Orang Yang Dibenci Oleh Nabi s.a.w.

Hendaklah kita membenci serta menjauhkan diri daripada mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan yang bertentang dengan syarak. Firman Allah S.W.T..

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan DIA akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. – al-Mujadaalah (58) : 22

7. Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik.

Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hakam ALLAH serta sunnah-sunnah baginda s.a.w sedang hebat diperlekehkan oleh kelompok-kelompok munafik seperti gerakan Islam liberal, golongan anti hadis, para orientalist dan kelompok sesat yang lain.

Oleh itu, antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan membantah hujah-hujah golongan tersebut dan membela baginda dengan memberikan penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu-isu batil yang dibangkitkan oleh musuh-musuh ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w:


مَنْ يَرُدُّهُمْ عَنَّا وَلَهُ الْجَنَّةُ أَوْ هُوَ رَفِيقِي فِي الْجَنَّةِ
Maksudnya:
"Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al Jihad wa al-Siyara, hadis no: 1789.

ALLAH akan sentiasa menghargai mereka yang membela agama-NYA dengan memberi pertolongan kepada mereka.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH pasti menolong mereka yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya ALLAH benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa." – Surah al-Haj: 40.

Demikianlah beberapa tanda yang menggambarkan hakikat sebenar mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Jelas di sini bahawa hakikat mencintai Nabi s.a.w bukanlah satu perkara yang datang hanya setahun sekali, iaitu pada tarikh 12 Rabiul Awal sahaja atau dengan hanya menganjurkan upacara-upacara tertentu sempena maulidur rasul. Malah, mencintai Nabi Muhammad s.a.w adalah satu proses berterusan dan sentiasa perlu diberi perhatian setiap waktu dan ketika.

Jelas juga kepada kita bahawa antara ciri-ciri utama golongan yang benar-benar mencintai baginda adalah mereka yang sentiasa berusaha menegakkan sunnah serta menentang bidaah.

Semoga sambutan maulidur rasul di Malaysia benar-benar akan menggambarkan hakikat sebenar kecintaan umat Islam di negara ini terhadap Nabi Muhammad s.a.w dengan menyisihkan segala amalan-amalan bidaah yang dikhususkan sempena sambutan hari yang penuh bermakna bagi seluruh umat Islam. Cinta kepada Rasulullah s.a.w dapat dibuktikan dengan ittiba’ (mengikuti sunnah Nabi s.a.w) dan bukan ibtida’ (mengamalkan amalan bidaah).

Selasa, 17 Februari 2009

Wawancara Dr. Mohd Asri Dengan Harakah

Rakyat muak, generasi muda alergik dengan Umno - Dr Asri

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) -"PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa.'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya."
Suaranya vokal dan adakalanya kontroversi namun ramai yang 'merindui' pendapatnya yang berpaksikan tafsiran agama dan tidak bias kepada mana-mana pihak. Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN sekali lagi mendapatkan pandangan kritis bekas Mufti Perlis Dr. Asri Zainul Abdin yang kini berada di Lampeter, United Kongdom. Beliau sedang menjalankan kajian atas perbandingan tafsiran hadis antara kelompok tradisi dan modernis serta dalam cuti sabatikal yang diberikan oleh Universiti Sains Malaysia.

Harakah: Mengapa Dr. lebih awal meletakkan jawatan sebagai Mufti dan tidak berhasrat menyambung semula ? Inikah yang dinamakan berundur sebelum berjuang? Boleh beritahu sebab letak jawatan sebenarnya?

Dr Asri: Ya! Ratusan email, sms dan berbagai yang dihantar kepada saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan saya meninggalkan jawatan mufti. Mereka berpendapat saya membuat keputusan yang tidak tepat. Alhamdulillah, saya berterima kasih atas keprihatinan mereka.

Saya bertawakkal kepada Allah atas segala perancangan. Sekarang ini pun banyak email yang dihantar menjemput saya pulang dengan ditawarkan berbagai-bagai urusan atau 'tanggungjawab'. Biarlah dulu saya di sini.

Saya tidak jadi mufti untuk mengaut kesenangan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Saya serahkan urusan jiwa ini kepada Allah. Saya hanya ingin menjadikan jawatan itu sebagai medan tanggungjawab dan menyampaikan mesej Islam yang saya fahami. Saya berdoa kepada Allah sebelum menjadi mufti agar diberikan pertolongan kepada saya.

Alhamdulillah, walaupun ada yang tidak bersetuju dengan saya, tetapi dalam tempoh tersebut pandangan dan isu yang saya lontar telah menjadi bahan perbincangan ilmu dalam masyarakat. Soal pro dan kontra itu perkara biasa. Jika perkara itu tiada pro dan kontra bererti tiada siapa yang mengambil peduli mengenainya. Banyak bahan telah saya tulis dalam tempoh tersebut dan tersebar dengan begitu luas. Begitu juga ceramah, kertas kerja, wawancara saya di sana-sini menjadi bahan yang diperbincangkan dengan meluas.

Alhamdulillah, generasi muda dan lapisan terpelajar yang suka membaca sebelum membuat penilaian, yang tidak menjadikan maki-hamun sebagai landasan hidup, yang tidak mengulas sebelum mengetahui, mereka ini begitu ramai yang memberikan sokongan yang besar kepada saya.

Dalam politik juga saya rasa, alhamdulillah, akhirnya banyak pihak akur bahawa saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam memberikan pandangan. Saya beberapa kali dijemput oleh Kerajaan Kelantan. Kali terakhir sebelum saya berhenti, saya sempat hadir jemputan ceramah Kerajaan Negeri Kelantan untuk Tabung Serambi Mekah yang di lancarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sehari kemudian, saya dijemput oleh Perdana Menteri untuk memberikan ceramah khas kepada ahli kabinet dan Majlis Tertinggi Umno dan hadirin yang hadir.

Beberapa hari kemudian saya dijemput oleh Pemuda Parti Keadilan untuk memberikan tazkirah, tapi saya tidak sempat. Semasa saya sampai ke United Kingdom, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjemput saya memberikan ucapan dalam Majlis DAP. Cuma saya tidak dapat pulang.

Saya berharap saya sudah cuba melakukan sesuatu. Saya cuba mengemukakan 'politik idea' mengatasi sempadan politik kepartian. Apa yang menjadi matlamat bukan menegakkan parti tertentu, tetapi menegakkan fikrah Islamiyyah yang lebih besar dari kesempitan parti.

Alhamdulillah, jumlah pembaca artikel saya juga begitu besar. Melalui ruangan saya dalam Minda Mufti, saya bersahabat baik dengan berbagai insan ternama. Saya rasa banyak mesej saya telah sampai. Saya memerah tenaga dalam tempoh dua tahun. Bersabar atas kerenah mereka yang suka memfitnah atau mengganggu perjalanan tersebut. Saya harap Allah berikan pahala atas itu semua. Harakah sendiri pada awalnya begitu prajudis, tetapi setahun tahun sebelum saya berhenti, kelihatannya positif.

Akhirnya, apabila saya rasa ruang jawatan itu 'sudah mula sempit' atau sudah memadai, maka saya beristikharah untuk berhenti. Itupun baik juga. Ia menafikan fitnah mereka yang 'tidak sayang lidah mereka di akhirat' bahawa kenyataan atau pendapat saya selama ini untuk kesinambungan jawatan. Alhamdulillah, sama sekali tidak. Semoga Allah merezekikan kita semua melihat jawatan dan kedudukan dengan penuh rasa amanah dan gerun.

Dr. dilihat sangat vokal dan adakalanya 'mempersembahkan' pemikiran agama dari sudut yang berbeza, adakah mencari kelainan serta seringkali mentafsirkan hukum agama dari sudut yang berbeza dan adakalanya tidak pernah didengari umum seperti soal-soal bidaah seperti kenduri arwah, tahlil di kubur dan dikatakan tidak mengikut tradisi yang telah dilakukan oleh nenek moyang? Adakah mereka tidak betul sebelum itu ? Malah Dr. dilabel sebagai liberal, kaum muda dan wahabi dan sebagainya lantaran pembaharuan yang dibawa?

Inilah masalah sesetengah pihak. Mereka tidak dapat menerima orang lain berbeza pendapat dengan mereka. Melabel orang tanpa asas yang jelas adalah budaya buruk.

Dahulu masa Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebelum menjadi Menteri Besar pun terkena tohmahan yang sama ketika beliau melontarkan beberapa pandangan yang berbeza dengan pengajian biasa di pondok-pondok. Syeikh Abu Bakar al-Baqir dari Gunung Semanggol yang mengasaskan Hizbul Muslimin semasa hayatnya dituduh sebagai kaum muda dan sesat. Prof. Burhanudin al-Helmi juga pernah dituduh sebagai kaum muda. Demikian Sayyid Syeikh al-Hadi, Za?ba dan berbagai lagi pejuang perubahan dituduh dengan tuduhan yang sama.

Saya teringatkan kata-kata Za?ba dalam bukunya "Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri" yang Prof DiRaja Ungku Aziz kirimkan kepada saya agar saya baca.

Antara katanya:"Malangnya jika ada siapa-siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti "sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu" dan berbagai-bagai lagi.

Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!! Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat?. Demikian kata Za?ba.

Apabila saya menjadi mufti sesetengah pihak menunggu agar saya membangkitkan isu-isu tradisi melayu seperti kenduri arwah dan seumpamanya. Namun mereka tersilap, alhamdulillah perhitungan dan fokus pemikiran Islam saya merentasi kesempitan isu yang mereka tunggu bagaikan nak ?kiamat? itu. Ada anda lihat isu kenduri arwah menjadi tajuk utama akhbar dalam senarai puluhan isu yang telah saya bangkitkan.

Maksudnya kenduri arwah itu sudah lama dilarang?

Kemudian, saya ingin bertanya, apakah jika seseorang tidak mahu kenduri arwah maka dia menjadi wahabi? Kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i tulisan tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan 'Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut:

"Daripada bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya?.

Apakah semua penulis itu wahabi?!!.Jika kita tengok kitab-kitab melayu jawi kita dapati perkara yang sama. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga Allah merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: "(dan makruh) lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya."

Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: "Maka bid'ah yang tidak elok." Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Saya tidak tahu apa itu wahabi melainkan setelah mereka menyebut perkataan tersebut lalu saya terpaksa mencari maksudnya. Saya bukan penggemar buku Muhammad bin ?Abdul Wahhab. Tetapi, jika anda menuduh saya amat terpengaruh dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, itu mungkin benar.

Saya seperti yang Dr. Yusuf al-Qaradawi sebut tentang dirinya dalam buku Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah, kata Dr al-Qaradawi: "Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku".

Saya rasa, saya pun demikian. Namun, alhamdulillah, saya tidak fanatik Ibn Taimiyyah seperti mereka yang fanatik mazhab. Seperti kata al-Imam Malik bin Anas:"Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya, melainkan Nabi Muhammad s.a.w yang maksum?.

Mengapa lagu Dr. bertajuk "Aku Bukan Musuh Harta" yang dimuatkan di dalam album Yang Benar Tetap Benar nyanyian Kopratasa, Aishah dan kumpulan baru Algebra diharamkan oleh RTM?

Sebenarnya banyak pihak tersalah faham. Album tersebut bukan terbitan saya. Pihak penerbit mengambil puisi-puisi saya dengan keizinan dan dijadikan lagu. Itu sahaja. Mereka jemput saya baca dua puisi dalam album tersebut. Lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' adalah salah satu daripada puisi saya. Saya tidak berkempen untuk saudara membeli album itu, kerana bukan semua orang setuju dan suka dengar lagu.

Cuma saya pun hairan jika lirik itu menjadi ketakutan kepada RTM. Barangkali mereka takut ramai yang terasa pedas. Saya hairan, jika benar mereka ingin membantu memerangi rasuah, biarlah lirik itu dilagukan. Entah berapa banyak lirik yang merepek boleh dibenarkan. Saya teringat kata-kata Presiden PAS Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang kebetulan agak baik dengan saya. Katanya: "Orang kalau salah, dia tengok polis nak balik rumah pun dia takut."

Kemenangan Pakatan Rakyat di Permatang Pauh oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan di Kuala Terengganu oleh Abdul Wahid Endut daripada PAS baru-baru, bagaimana Dr sendiri tafsirkan dan 'signal' apa sebenarnya daripada rakyat ?

Maaf, saya tidak merasa bahawa itu menunjukkan atau bererti majoriti rakyat telah begitu selesa dengan pakatan pembangkang. Kita tahu bukan semua orang PAS selesa dengan KeADILan. Demikian sebaliknya. Demikian juga DAP yang menolak konsep Negara Islam PAS.
Apa yang jelas bagi saya adalah rakyat muak dengan Umno. Rakyat sudah tidak tahan dengan kerenah, perangai dan gelagat kebanyakan orang Umno. Generasi muda terutamanya, kelihatan begitu 'allergic' dengan Umno. Berdasarkan pengalaman lepas, tiada lagi gambaran indah Umno dalam fikiran mereka.

Mereka melihat Umno hanya menjaga kepentingan kelompok. Ramai yang bongkak dan sombong. Kebelakangan ini baru nampak macam nak berubah sedikit. Itupun masih tidak cukup. Baru-baru ini, kebetulan saya 'terjumpa' seorang menteri di London, saya bertanya dia tentang pilihanraya Kuala Trengganu. Dengan lagaknya dia berkata: "Apa lagi rakyat mahu, semua kita dah beri". Tengok, masih lagi sombong dan enggan menilai diri dan parti walaupun telah berulang kali dia ajar oleh rakyat.

Saya fikir Umno tahu apakah ubat yang menyembuhkan penyakit parti itu, tetapi mereka tidak mampu lakukan. Ubatnya adalah dengan memotong atau membuang segala barah penyakit yang hidup dalam tubuh Umno. Itu terlalu sukar bagi kepimpinan Umno kerana sebahagian yang tidak kecil dalam kepimpinan itu sendirilah barah penyakit tersebut. Jika rawatan dilakukan, bererti mereka akan terkorban.

Bagaimana pula pandangan Dr. terhadap PAS ?

PAS juga kena berhati-hati. Penyakit yang ada di tubuh Umno hari ini tidak mustahil akan merebak ke tubuh PAS apabila berkuasa.'Kuasa dan harta' bukan sedikit ujiannya. Kita semua jangan cakap besar dan takabur. Hari ini kuasa dan ruang mendapatkan harta masih sedikit, maka barah pun masih kecil. Barah itu ada potensi berkembang apabila ruang harta dan kuasa membesar. Hati-hati, banyakkan doa dan pohon perlindungan dengan Allah. Jangan cuma runtuhkan jahiliah, lalu tegakkan jahiliah baru dengan nama yang baru. Jahiliah tetap jahiliah.

Adapun KeADILan, maaf saya masih kabur untuk membezakan sebahagaian mereka dengan Umno. Jika dilihat pada gelagat, gaya bahasa dan hidup, cara fikir, saya agak ramai di kalangan mereka masih Umno, cumanya tidak berpuas hati dengan Umno atas beberapa sebab semasa, bukan prinsip. Tidak mustahil bila-bila waktu mendesak mereka akan kembali menjadi Umno. Mungkin bukan semua, tetapi ramai juga yang begitu.

Saya suka jika kita berpegang kepada prinsip. Saya setuju dengan apa yang Naib Presiden PAS Mohammad Sabu pernah kata dalam satu temubual yang saya baca. Beliau hairan mengapa PAS dapat menerima 'lompat parti' apabila KeaDILan menguar-uarkan 16 September lepas, sedangkan dahulu PAS sendiri yang mengatakan ?lompat parti? adalah tidak berprinsip dan khianat.

Hari ini berlaku 'lompat parti' di Perak, sekali lagi PAS menyatakan ini pengkhianatan dan tidak berprinsip. Mengapa PAS tidak mengatakan hal yang sama pada 16 September yang lepas. Maaf, saya tidak mahu terbabit dengan kerenah politik. Marilah kita pohon agar Allah menjadikan kita sentiasa beristiqamah atas kebenaran terhadap kawan ataupun lawan. Itulah Islam yang sejagat lagi adil, jika kita ingin tegakkan.

Ada yang mengatakan institusi Mufti ini 'beku' dan tidak lantang dalam mempersoalkan kelemahan kerajaan, benarkah begitu dan pernah Dr. sendiri mengkritik kerajaan khususnya melibatkan persoalan agama? Ada contoh?

Saya tidak mahu bercakap tentang institusi mufti lagi. Sudah banyak kali saya cakap. Cukup saya katakan saya kecewa, Majlis Fatwa Kebangsaan patut mengepalai isu-isu umat Islam, seperti fatwa tentang isu Palestin. Anda boleh baca tulisan-tulisan saya yang mengkritik fungsi mufti dan majlis fatwa. Sehingga saya terfikir negara ini perlukan Majlis Fatwa yang bebas, dibiayai oleh institusi wakaf. Maka fatwa-fatwa itu nanti akan benar-benar mewakili umat. Jika anda lihat di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI) hampir mendekati maksud ini.

Adapun saya, kepada Allah saya serahkan segalanya. Anda tahu semasa saya menjadi mufti, saya memberikan teguran kepada semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang, artis, pihak swasta dan lain-lain. Anda boleh lihat berbagai isu saban minggu semasa saya menjadi mufti. Pernah saya mengkritik upacara yang dilakukan di Tugu Kebangsaan oleh kepimpinan negara.

Dari sudut politik, apakah yang boleh Dr. nasihatkan kepada pejuang-pejuang agama agar tidak lari dari daripada asas agama selain parti pemerintah agar berubah demi kepentingan rakyat?

Saya ingin nasihat diri saya dan mereka yang menyatakan berjuang untuk Islam dengan nasihat yang pernah diberikan oleh al-Syeikh Maulana Abul Hasan ?Ali al-Nadwi dalam risalahnya Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan al-Muslimin). Beliau pernah nasihati Jamaah al-Ikhwan al-Muslimin dengan nasihat ini:-

"Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur."

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya?

Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi adalah ketulusan mereka dari memikiran kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.

... maknanya tujuan tubuhkan kerajaan demi capai matlamat agama?

"Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan?

Kata Abul Hasan lagi:"Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperolehi itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semulajadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semulajadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya..".

Katanya juga:"Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jamaah yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan berkerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka.

Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia ?dengan izin Allah- dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya.

Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kesian kasih kepada insan yang tersiksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa -setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah- tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya.

Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya.

Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah?. Itu sebahagian nasihatnya.

Nasihat saya, semoga jiwa saya dan saudara semua, sama seperti yang dinasihati oleh tokoh yang besar ini. Kita membawa mesej dakwah Islam yang kudus. Jangan kita berpolitik sehingga kita terlupa siapa kita? Apakah matlamat kita? Selalu kita bertanya apakah tindakan kita, jika baginda s.a.w hadir melihatnya, maka baginda akan setuju dan menyokong kita?.- azm

Sabtu, 14 Februari 2009

Akob di Berita Harian 14/2/2009 : Rugi Tak Rebut Ganjaran Solat Berjemaah


Rugi tak rebut ganjaran berlipat ganda bersolat jemaah
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Pahala diukur ketika mula berwuduk hingga selesai menunaikan sembahyang di masjid

PEMBINAAN masjid yang besar demi memenuhi keperluan beribadat umat Islam sayangnya tidak menzahirkan gambaran diharapkan apabila jumlah mereka yang bersolat secara berjemaah tidak sepadan dengan keluasan masjid itu. Ada masjid yang boleh menampung ribuan jemaah tetapi apabila tiba waktu solat fardu, bilangan jemaah hanya sekadar dua atau tiga saf saja sedangkan solat secara berjemaah memiliki pelbagai keutamaan besar dan menyeluruh.

Pahala bagi orang bersolat berjemaah bermula ketika dia berjalan keluar rumah menuju masjid hinggalah selesai menunaikan solat secara berjemaah. Bukan setakat itu saja, bahkan ia berlanjutan sehingga dia tiba di rumahnya dari masjid. Banyak keutamaan solat berjemaah antaranya keutamaan ketika perjalanan ke masjid. Bekas perjalanan bagi mereka yang menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah akan dihitung dan dibalas dengan ganjaran pahala.

Daripada Jabir bin 'Abdullah, dia berkata: "Bani Salimah ingin berpindah supaya lebih hampir dengan masjid, lantas menyatakan bahawa tempat itu banyak kosong. Maka sampailah berita itu kepada Nabi SAW lalu, Baginda bersabda: Hai Bani Salimah! Tetaplah di rumah kalian, sesungguhnya akan dicatat bekas perjalanan kalian (ke masjid). Mereka berkata: Tidaklah menyenangkan bagi kami, kalau kami berpindah." (Hadis riwayat Muslim)


Tambahan lagi langkah perjalanan menuju ke masjid untuk bersolat berjemaah itu dapat menghapuskan dosa dan meninggikan darjat seseorang manusia di sisi Allah. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku tunjukkan atas sesuatu yang mana Allah akan menghapuskan dosa dengannya dan terangkat beberapa darjat? Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Sempurnakanlah wuduk pada saat cuaca sangat dingin, perbanyakkanlah melangkah menuju masjid, dan menunggu selepas solat. Demikianlah itu bagi kalian pertalian." (Hadis riwayat Muslim) Orang yang keluar menuju masjid dalam keadaan berwuduk untuk mengerjakan solat berjemaah akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakan haji dan juga dianggap melakukan solat daripada permulaan perjalanannya hingga dia kembali ke rumahnya.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah daripada Abu Umamah yang bermaksud: "Barang siapa keluar dari rumahnya dalam keadaan suci (berwuduk) menuju solat wajib (dengan berjemaah) maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan haji dengan memakai ihram." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) Allah juga menyediakan syurga bagi orang yang pergi dan pulang dari masjid. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kedua ialah keutamaan ketika berada dalam masjid dan mengerjakan solat secara berjemaah. Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan insan untuk berasa bangga jika menjadi tetamu kepada orang kenamaan seperti Sultan atau Perdana Menteri. Namun, begitu ramai kurang memahami dengan menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat secara berjemaah kita sebenarnya sedang menjadi tetamu Allah. Masjid adalah rumah Allah dan tentu sekali sebagai tuan rumah, Allah memuliakan tetamu-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang berwuduk dalam rumahnya dan menyempurnakan wuduknya kemudian pergi ke masjid maka dia adalah tetamu Allah dan kewajipan bagi yang dikunjungi untuk memuliakan yang mengunjungi."

Apabila seseorang itu berada dalam masjid untuk menunggu masuknya waktu solat sesungguhnya dia mendapat pahala seperti berada dalam keadaan bersolat di sisi Allah dan malaikat pula sentiasa mendoakan keampunan serta rahmat baginya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seseorang daripada kalian yang menunggu waktu solat, (dia berada) dalam solat selama tidak batal, maka malaikat mendoakan baginya: Ya Allah, ampunkan dia, ya Allah rahmatilah dia." (Hadis riwayat Muslim)

Mengerjakan solat berjemaah memiliki keutamaan berlipat ganda jika dibandingkan solat sendirian. Daripada 'Abdullah bin 'Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat berjemaah lebih utama jika dibandingkan dengan solat sendirian dengan 27 darjat." (Hadis riwayat Bukhari) Di samping itu, keutamaan solat berjemaah juga bertambah dengan jumlah orang bersolat.

Semakin ramai makmum maka semakin tinggi nilai pahala diperoleh oleh semua makmum. Daripada Ubai bin Ka'ab, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya solat seseorang bersama seseorang lebih utama daripada solatnya sendirian, dan solatnya bersama dua orang, lebih utama daripada solatnya dengan seorang dan jumlah yang lebih banyak, maka itulah yang lebih disukai oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Allah juga memberi perlindungan daripada syaitan kepada mereka yang mengerjakan solat berjemaah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu bagaikan serigala bagi manusia seperti serigala bagi kambing, yang menjadikan kambing yang di dalam keadaan sendirian dan lalai sebagai mangsa, maka waspadalah kalian daripada bersendirian dan wajib bagi kalian untuk berjemaah dan pergi ke masjid." (Hadis riwayat Ahmad)

Sesiapa yang mendapatkan takbir yang pertama bersama imam selama 40 hari berturut-turut maka Allah membebaskannya daripada api neraka dan kemunafikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang solat kerana Allah selama 40 hari di dalam jemaah dengan mengikuti takbir yang pertama, ditulis baginya dua kebebasan, iaitu bebas daripada api neraka dan kemunafikan." (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Keutamaan solat berjemaah ada yang berlanjutan sehingga tiba di rumah seperti pahala banyak dan disediakan tempat baginya di syurga. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila salah seorang di antara kalian berwuduk di rumahnya kemudian datang ke masjid adalah dia berada dalam solat sampai dia pulang." Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Barang siapa pergi ke masjid dan kembali, Allah akan menyediakan tempat baginya di syurga setiap kali dia pergi ke masjid dan kembali dari masjid." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan dan keutamaan solat jemaah yang menjanjikan banyak kebaikan sewajarnya menjadi aspirasi bagi kita semua untuk mengerjakan solat secara berjemaah.

Rabu, 11 Februari 2009

Mufti tidak semesti disandang orang pencen


Bersemuka: Mufti tidak semesti disandang orang pencen
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Dunia makin pantas berubah dan masa depan negara ditentukan oleh bentuk generasi masa kini

SELEPAS seminggu memegang jawatan Mufti Perlis, bagaimana Dr melihat tugas dan fungsi sebagai mufti di negeri itu?

Tugas mufti adalah sebagai pusat rujukan tertinggi umat Islam bagi mendapatkan nasihat dalam isu agama. Mufti memegang amanah untuk memastikan segala rujukan hukum syarak adalah berteraskan dua rujukan utama Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Inilah identiti Ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi identiti negeri Perlis secara jelas. Tegasnya, tugas memastikan nasihat yang benar dan tepat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah bukanlah suatu tugas mudah. Ia memerlukan usaha penyelidikan dan penggalian ilmu yang mendalam. Saya fikir tugas asasi yang berat ini sudah memadai untuk menjelaskan betapa besarnya amanah yang mesti dijalankan oleh seorang mufti. Mufti mesti turun padang berjumpa umat untuk menjelaskan setiap hukum syarak dan berusaha menghilangkan kekeliruan yang wujud di kalangan mereka. Jawatan mulia ini bukan hanya untuk ditonton dan duduk selesa dalam pejabat, jawatan mulia ini mesti diletakkan pada tempatnya iaitu ia benar-benar menjalankan tugas sebagai penjelas hukum Islam kepada umat.

Apakah agaknya penambahbaikan yang dirasakan perlu dilaksanakan oleh Pejabat Mufti Perlis?

Penambahbaikan yang terbaik ialah dengan memantapkan sistem penyampaian yang selalu dilaungkan oleh kepemimpinan negara. Biarlah semua peringkat masyarakat mempunyai akses mudah untuk berhubung dengan institusi yang bertanggungjawab memberi penjelasan serta kefahaman mengenai hukum hakam supaya segala silap faham agama dapat dirungkaikan dengan mudah dan terang. Masyarakat mesti jelas tempat rujukan dan mereka mesti dimudahkan untuk merujuk. Pada saya ia tidak akan merendahkan martabat mufti. Mesra media juga adalah salah satu caranya kerana bagaimana masyarakat hendak dapat input yang jelas jika mufti tidak memberi maklumat tepat kepada media. Media penting untuk mendidik masyarakat serta memberi penjelasan mengenai Islam yang sebenar. Pendapat mufti amat penting diketengahkan supaya tidak berlaku kecelaruan pandangan di kalangan ahli masyarakat. Bahkan fatwa yang dikeluarkan adalah hasil usaha memahami hukum syarak berdasarkan al-Quran dan al-sunnah, iaitu sumber yang wajib diterima masyarakat Islam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin begitu popular ketika memegang jawatan ini kerana kelantangannya mengemukakan isu. Apa pendekatan Dr?

Kelantangan mestilah berteraskan kebenaran yang diyakini bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah. Setiap Muslim wajib mempertahankan dua sumber asasi Islam ini. Jika orang Islam sendiri membelakangkan dua sumber utama ini, maka apakah identiti Islam masih wujud pada umat ini. Dua sumber ini kekal abadi kemaksumannya, manakala pandangan manusia hanyalah sekadar suatu pandangan. Saya yakin umat Islam masa kini lebih meyakini kaedah penjelasan hukum bersandarkan dalil yang jelas dan mudah daripada al-Quran dan al-Sunnah. Saya lebih sukakan pendekatan mendidik dan memahamkan masyarakat. Kebiasaannya manusia menentang perkara yang mereka tidak ketahui. Umum mengetahui bahawa ‘manusia menjadi musuh terhadap perkara yang dia tidak ketahui’. Saya juga tidak bersetuju jika mufti tidak boleh bercakap atau mesti dikurangkan bercakap kerana mufti perlu menerima jemputan berceramah bagi menjelaskan hukum syarak. Dengan cara itu usaha mendidik serta memberi kefahaman kepada masyarakat dapat dilakukan. Apa yang datang daripada mufti adalah pandangan dan jika tidak bersetuju, perkara itu boleh dibincangkan tetapi hendaklah dengan cara beradab.

Adakah jawatan ini akan membuka peluang lebih luas untuk Dr menceburi bidang politik pula pada masa depan?

Politik adalah sebahagian daripada agama Islam. Islam tidak pernah terpisah daripadanya bahkan Islam perlu ditadbir oleh politik berteraskan roh Islam bagi memastikan pentadbiran manusia itu berasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan yang ditentukan wahyu Ilahi. Setiap orang perlu memberi sumbangan ke arah memastikan umat Islam ditadbir menurut kehendak agama mereka. Apakah saya akan aktif dalam politik selepas ini? Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi menjadi cita-cita saya untuk mendaulatkan Islam, bukan saja di negara ini malah kepada umat Islam yang lain.

Suasana sekarang melihat agama turut dipolitikkan, apakah pandangan Dr? Apa nasihat Dr kepada mereka yang mempolitikkan agama?

Ini sekadar persepsi yang subjektif. Pelbagai pihak ada dimensi pandangan tersendiri. Apa yang penting ialah kebenaran agama Islam hanya akan kelihatan jika setiap perkara yang disandarkan kepada Islam, berlatarkan rujukan asasi iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan yang lari daripada kedua sumber ini, bukanlah mewakili Islam. Beri ruang seluas-luasnya kepada ahli agama yang benar-benar layak dan berautoriti melakukan kerja mereka. Ahli agama umpama pakar profesional dalam bidang mereka. Mengapa jika doktor pakar bedah jantung diberikan autoriti dan kepercayaan sepenuhnya dalam bidang mereka, tetapi tidak kepada ahli agama. Ini suatu pilih kasih yang jelas, dan teramat malang ia berlaku kepada urusan agama. Sementara bagi ahli agama, sama ada yang rasmi atau tidak, hendaklah sentiasa mempunyai rasa takut kepada Allah dalam melaksanakan amanah urusan agama ini. Jika mereka dapat menjauhi nafsu keduniaan, saya yakin tidak akan berlaku penyalahgunaan ruang agama oleh pihak berkepentingan jahat.

Ada juga dakwaan mengatakan bahawa Dr menyokong fahaman Wahabi. Betul ke?

Umat Islam mesti menyokong setiap kebenaran bersandarkan hujah al-Quran dan al-Sunnah. Kebenaran hanya berlegar sekitar dua sumber ini. Persepsi dan tohmahan liar pelbagai pihak adalah sesuatu yang lumrah. ‘Setiap yang mempunyai nikmat itu, pasti ada yang dengki kepadanya’. Ini suatu kaedah umum yang wajar direnungi oleh setiap orang yang Allah uji dengan kedudukan. Tohmahan adalah harga yang perlu dibayar oleh setiap yang diuji dengan amanah oleh Allah. Isu Wahabi dan pelbagai label adalah isu lapuk sejak sebelum merdeka di Malaysia. Sesiapa yang memahami sejarah negara pasti faham kenapa sesetengah golongan suka melemparkan label ini kepada golongan yang mahukan kemajuan dalam beragama bagi umat Islam di Malaysia.

Apa pandangan Dr mengenai pemilihan mufti di kalangan orang muda sedangkan dulu mufti adalah mereka yang sudah berpengalaman. Adakah tindakan kerajaan memberi peluang kepada golongan muda itu langkah terbaik?

Pada saya tidak timbul soal umur. Saya sendiri pun sudah berasa diri ini juga sudah berumur. Jika disemak pelantikan yang lain, ramai juga dilantik pada usia muda awalnya dan terus kekal di kerusi itu hingga berpuluh tahun lamanya. Jawatan mufti bukan hanya untuk mereka yang pencen. Ia adalah untuk mereka yang mendapat kepercayaan, seterusnya berkemampuan untuk menyelidik isu keagamaan. Dunia kini semakin pantas berubah. Masa depan negara kita ditentukan oleh bentuk generasi masa kini yang masih muda. Saya percaya orang muda lebih memahami cara hidup dan cara fikir generasi muda masa kini.

Selasa, 10 Februari 2009

Khomeini Dan Aqidah Syiah Satu Kebangkitan Yang Palsu


Khomeini Dan Aqidah Syiah Satu Kebangkitan Yang Palsu
SUMBER : http://www.darulkautsar.com/

Pada tahun 1977 setelah sekian lama berada di bawah sistem pemerintahan beraja, Iran mula memasuki era baru di dalam pemerintahannya apabila revolusi yang dicetuskan oleh Khomeini (seorang tokoh ulung Syiah di abad ini) dengan teori “walayatul faqihnya” berjaya menumbangkan kerajaan Shah Reza Pahlavi. Umat Islam di mana-mana mengalami satu kejutan dalam dunia politiknya apabila negara yang ditegakkan itu berasaskan agama Islam dengan slogan-slogannya yang kelihatan Islamik dan proganda-proganda demi kesatuan umat Islam dan masa depan mereka yang cemerlang.

Sebelum pergi lebih jauh, terlebih dahulu semestinya kita mempastikan sama ada teori “walayatul faqih” itu bersesuaian dengan agama Islam sehingga boleh dikatakan negara yang tegak di atas teori itu adalah tertegak di atas asas –asas Islam atau ianya bersesuaian dan bertepatan dengan aqidah dan ajaran Syiah Imamiyyah Itsana Asyariyyah yang dianuti oleh Khomeini sendiri dan majoriti rakyat Iran hari ini.

Untuk mengetahui sama ada teori “walayatul faqih” itu bersesuaian dengan ajaran Syiah Imamiyyah perlulah kita merujuk kepada para ulamak Syiah sendiri kerana merekalah yang berhak menentukan perkara ini. Antara ulamak Syiah yang boleh dikemukakan sebagai contoh ialah Ayatollah Hasan Thabathabdi Al Qummi. Kerana menentang teori “walayatul faqih” yang dikemukakan oleh Khomeini, beliau terpaksa menderita berbagai-bagai tekanan dan penindasan dari pihak kerajaan Khomeini sehingga dilarang bercakap menerusi telefon , menemui sahabat handai dan kaum kerabat, begitu juga dihadkan kepadanya menggunakan air dan eletrik , juga telah dihalang dari mendapat rawatan di hospital.

Beliau berpendapat tidak ada orang yang layak memegang wilayah `aammah (kekuasaan umum merangkumi sudut pemerintahan, perekonomian, ketenteraan dan sebagainya) selain daripada orang-orang yang maksum seperti para Nabi dan para Imam, kerana selain mereka biar bagaimanapun alimnya, wara’nya, bertakwanya dan adilnya namun ia tetap tidak terlepas daripada kelalaian dan kekeliruan, lupa atau mungkin dipengaruhi oleh sentimen. Adalah mustahil bagi Allah swt menentukan ketaatan kepada mana-mana kerajaan atau pemerintah yang tidak terpelihara daripada dosa dan kelalaian itu.

Menurut pendapat beliau lagi, jika keputusan faqih mesti ditaati maka akan timbul kekacauan dan haru biru dalam masyarakat yang tidak mungkin terkawal kerana tidak mungkin kesemua faqih itu bersepakat dalam sesuatu perkara. Jadi pendapat fakih yang manakah di antara sekian ramai faqih itu mesti dipegang dan ditaati? Tentu sekali ketaatan seperti ini tidak diharuskan.
Selain daripada itu tabiat semulajadi manusia, menurut beliau, adalah (manusia itu) benar-benar derhaka. Seandainya seorang faqih itu betul-betul seorang yang adil, beragama dan jujur sehingga dapat kita katakan sifat–sifat yang ada padanya itu akan menegahnya daripada melakukan khilaf dengan kehendak Allah dengan sengaja, tetapi mungkin ia melakukanya dengan kelalaian, bahkan mungkin ia melakukan banyak sekali percanggahan kerana kelekaan dan terlupa. Ini bererti tindak tanduknya itu menyalahi kehendak Allah dan kemaslahatan umum negara Islam.

Kata beliau lagi, “Sesungguhnya saya tidak dapat menerima dengan apa cara sekalipun pencabulan dan penghinaan terhadap aliran Syiah dan saya tidak membenarkan mana-mana kediktatoran berlaku di dalam dunia ini”.

Akhir sekali di dalam kenyataan akhbar “Kayhan” yang diterbitkan di London beliau menyatakan secara terbuka, katanya “Saya mengisytiharkan kepada sekelian ahli-ahli fikir dan cerdik pandai di dunia ini dan kepada sekelian umat Islam bahawa banyak tindak tanduk yang berlaku selepas terbentuknya Republik (Iran) yang “bukan Islam” atas nama Islam ini langsung tidak mempunyai hubungan dengan Islam yang sebenar dan ugama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan bertentangan dengan sekelian nas-nas daripada Tuhan yang telah sampai kepada kita. Saya mengisytiharkan kepada sekelian makhluk Allah bahawa tidak ada sesiapapun yang berhak untuk mengkritik Islam dengan sebab tindak-tanduk tindak-tanduk yang tidak berperikemanusiaan dan tidak berakhlak yang telah mereka (penguasa Iran) lakukan kerana tindakan–tindakan itu langsung tidak ada kena mengenanya dengan Islam, (lihat Naqdu Walayatil Faqih-Muhammad Maalullah, m.s. 27 & 28, 30 & 31)

Dr. Musa Al Musavi seorang cendiakiawan Syiah berpendapat “walayatul faqih” adalah satu bidaah yang dihubungkan dengan penguasa–penguasa yang mendakwa mereka sebagai wakil-wakil Imam Mahdi di zaman Ghaibah Kubra (Keghaiban Besar). Fikrah ini sebetulnya berpunca daripada fikrah huluhiyyah (incarnation) yang telah meresapi pemikiran Islam daripada pemikiran orang-orang Kristian yang berpendapat bahawa Allah telah menjelma di dalam Al Masih dan Al Masih pula telah menjelma di dalam Pope Agung.

Di zaman terdapatnya mahkamah-mahkamah ‘Inquisition’ di Sepanyol, Itali dan sebahagian wilayah Peranchis, Pope-Pope menghukum orang-orang Kristian dan lain-lain atas nama kekuasaan ketuhanan yang mutlak, di mana ia memerintahkan supaya seseorang dihukum gantung, dibakar atau dipenjarakan.

Bid’ah ini telah meresap ke dalam pemikiran Syiah selepas Ghaibah Kubra dan telah bertukar menjadi aqidah bilamana para ulamak Syiah sibuk membuat perincian tentang Imamah dengan mengatakan Imamah ialah suatu jawatan ketuhanan yang diberikan kepada Imam sebagai pengganti kepada Rasulullah s.a.w. dan oleh kerana Imam itu hidup (Imam Ke-12) tetapi ia terlindung daripada penglihatan mata kasar, maka dengan ghaibnya itu, tidaklah ia kehilangan kuasa ketuhanannya tetapi kuasanya itu berpindah kepada wakil-wakilnya kerana wakil itu menepati orang yang diwakili di dalam semua perkara (As Syiah Wa At Tashih, m.s. 70)

Pada muka surat yang lain di dalam buku yang sama, Dr.Musa Al Musavi berkata, “Konsep walayatul faqih” bertentangan dengan nas Al Quran dan sesiapa yang menentang nas Tuhan , ia akan dikira terkeluar dari Islam.” (m.s. 73)

Sementara Ayatollah Syariat Madari, guru kepada Khomeini sendiri yang telah mengurniakan gelaran “Ayatollah” kepada Khomeini, dan merupakan seorang tokoh ulamak atau faqih yang sangat besar dalam istilah mereka. Beliau telah memberi sumbangan yang besar dan memainkan peranan yang penting dalam mencetuskan revolusi Iran itu. Dalam umurnya yang telah menjangkau 80 tahun, telah diserbu oleh algojo-algojo Khomeini kerana menentang pendapatnya berhubung dengan” walayatul faqih”. Ayatollah Syariat Madari juga seperti tokoh-tokoh Syiah yang lain membataskan kekuasaan faqih dalam bidang-bidang tertentu sahaja. Khomeini telah menghantarkan 10,000 orang algojo-algojonya supaya menyerbu rumah Ayatollah Syariat Madari untuk membunuh beliau dan pengikut-pengikutnya-(Dr.Musa Al Musavi-At Tsauratuu Al Baaisah hal.51),

Demikianlah kita lihat teori “walayatul faqih” itu adalah satu teori yang dikemukakan dan dipraktikkan oleh Khomeini tetapi ditentang dengan hebat oleh tokoh-tokoh ulamak Syiah dan mereka tidak mahu menerima teori itu sebagai sebahagian dari ajaran Syiah.

Untuk mengetahui sama ada teori “walayatul faqih” itu bersesuaian dengan agama Islam yang sebenar yang dianuti oleh majoriti penganut agama Islam di dunia ini, perlulah kita membandingkan di antara aqidah Syiah anutan Khomeini dengan akidah Islam yang dianuti oleh majoriti umat Islam itu atau dengan kata lain, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Walayatul faqih adalah satu teori penubuhan negara yang dikemukakan oleh Khomeini dan dikuliahkan oleh beliau sekian lama kepada penganut-penganut Syiah dengan alasan Naib Imam boleh menggantikan Imam dalam menubuhkan sesebuah negara dan penubuhan itu dianggap sah setelah mereka putus asa pada hakikatnya dengan “kemunculan Mahdi”yang tak kunjung datang (Khomeini–Al Hukumah Al Islamiyyah, m.s. 74) . Sedangkan mengikut akidah Syiah, tidak ada sebuah kerajaan Syiah pun yang boleh ditubuhkan atau ditegakkan sebelum kemunculan Imam Mahdi.

Mengikut Syiah, setiap negara yang ditegakkan sebelum kemunculan Imam Mahdi adalah tidak sah walaupun pembawanya berada di atas jalan yang benar. Al Kulaini meriwayatkan dari Abi Bashir dari Abi Abdillah (Jaafar Shadiq) bahawa beliau berkata, “Setiap orang yang menjulang bendera sebelum Qaaim (Al Mahdi) adalah taghut yang disembah selain dari Allah SWT.” (Ar Raudhah Min Al Kafi, m.s.295)

Pensyarah kitab Al Kafi, Maula Muhammad Soleh Al Maazan Daraani (wafat 1080 H) di dalam syarahnya terhadap kitab Al Kafi yang dianggap sebagai syarah Al Kafi yang muktamad menyebutkan bahawa, “walaupun orang yang menjulangnya itu menyeru kepada kebenaran” (Syarah Al Kafi ,jilid 2 m.s. 371)

Muhammad Husain Al Kasyifin Ghitha’ juga menyatakan kepercayaan Syiah tentang terbatasnya wilayah `aammah kepada para imam sahaja. Kata beliau, “Syiah Itsna Asyariyyah mempercayai wilayah umum (kekuasaan umum) terhadap Islam tergantung pada beberapa orang yang termaklum nama- nama dan bilangan mereka.Mereka telah di pilih oleh Allah sebagaimana Ia memilih para Nabinya.”(Ashlu As Syiah Wa Ushuluha, m.s. 58)

Sementara Ayatollah Al Uzma Muhammad Al Husaini Al Baghdadi An Najafi pula mengatakan, “Sesungguhnya terlalu banyak riwayat daripada para imam yang mengharamkan pemberontakkan terhadap musuh-musuh dan sultan-sultan yang sezaman dengan mereka” (Wujubu An Nahdhah li Hifdzi Al Baidhah, m.s. 93)

KHOMEINI DAN AQIDAH SYIAH

Di dalam beberapa perkara , Khomeini memang telah menyalahi ajaran Syiah dipegang oleh majoriti Syiah Imamiyyah Itsna Asyariyyah. Antaranya ialah teori walayatul faqih seperti yang telah dikemukakan sebelum ini. Kerana itu adalah benar jika dikatakan ajaran dan`trend’ yang dibawa oleh Khomeini ini merupakan satu pecahan baru kepada aliran Syiah Imamiyyah Itsna Asyariyyah dan boleh kita namakan dengan “Khomeinism”. Tetapi pada keseluruhannya Khomeini tetap berpegang teguh dengan aqidah dan ajaran Syiah yang diterima di kalangan Syiah Imamiyyah Itsna Asyariyyah secara turun temurun. Boleh dikatakan tidak ada perbezaan di dalam aqidah dan ajaran Syiah yang diterima oleh generasi Syiah yang dahulu dengan Syiah yang diterima oleh Khomeini ini. Kalaupun ada , hanyalah dari segi mempraktikkan konsep taqiyyah dengan seluas-luasnya sampai ke peringkat negara dan antarabangsa. Antara yang dapat kita lihat dengan ketara sekali ialah aqidah Khomeini tentang Imamah, ismah, takrif Al Quran, takfir sahabat , taqiyyah, mut`ah dan lain –lain lagi.

Syiah dahulu mempercayai Imamah, iaitu kepercayaan bahawa Imam-imam dilantik dan ditentukan oleh Allah s.w.t. Imamah merupakan salah satu rukun iman. Sesiapa yang tidak percaya kepada rukun ini, tidaklah ia termasuk golongan orang-orang mukmin. Khomeini juga mempercayai demikian.

Di dalam kitabnya Al Hukumah Al Islamiyyah di bawah tajuk “Wilayah Takwiniyyah” Khomeini berkata, “Sesungguhnya di antara aqidah aliran kita yang asasi dan terpenting ialah para Imam (Dua Belas) kita mempunyai darjat dan kedudukan yang tidak sampai kepadanya Malaikat Muqarrab dan Nabi lagi Rasul (Al Hukumah Al Islamiyyah, m.s. 52 ). Di tempat yang lain Khomeini menulis, “Pengajaran –pengajaran para Imam sama seperti pengajaran Al Quran, tidak khusus untuk generasi tertentu malah ia adalah pengajaran untuk semua di setiap masa dan negeri dan wajib diikuti sampai hari qiamat.” (Al Hukumah Al Islamiyyah, m.s. 113)

Jika Syiah dahulu mempercayai para Imam Dua Belas itu adalah maksum (terpelihara dari dosa-dosa sama ada besar atau kecil) mereka juga tidak tersalah dan tersilap di dalam tindak tanduknya; Syeikh Muhammad Ridha Al Muzaffar di dalam kitabnya ‘Aqaaid Al Imamiyyah’ menegaskan bahawa di antara aqidah golongan Imamiyyah ialah Imam itu mestilah terpelihara (maksum) daripada kelalaian , tersalah dan terlupa (`Aqaaid Al Imamiyyah, m.s.72) maka Khomeini juga demikian . Kata Khomeini,” Kita tidak dapat menggambarkan para Imam itu lupa dan lalai.” (Al hukumah Al islamiyyah, m.s. 91)

Syiah mempercayai Al Quran telah ditakrifkan (diselewengkan). Ni`matullah Al Jazaairi di dalam kitabnya Al Anwar An Nu`maniyyah mengatakan “Sesungguhnya Al Quran sebagaimana telah diturunkan tidaklah ditulis kecuali oleh Amirul Mukminin (Alia.a.s.) dengan wasiat daripada Nabi s.a.w. Maka selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Sayyidina Ali sibuk mengumpulkannya selama enam bulan. Setelah dia mengumpulkannya sepertimana ia diturunkan (kepada Rasulullah s.a.w.) diapun membawa Al Quran itu kepada orang-orang yang telah berlaku curang setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. (maksudnya Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman)……..dan di dalam Al Quran itu terdapat banyak tambahan (daripada Al Quran yang ada pada masyarakat umum umat Islam di setiap zaman). Ia kosong daripada sebarang tahrif (penyelewengan) (Al Anwar An Nu’maniyyah jilid 2 m.s. 360).

Khomeini juga di dalam bukunya “Kasyful Asrar” walaupun tidak dengan secara terbuka dan terus terang mengatakan Al Quran ini telah ditahrifkan tetapi daripada kata-katanya secara logik dapat disimpulkan bahawa dia juga tidak berbeza dengan Syiah-syiah lain dalam soal ini. Umpamanya , di satu tempat Khomeini menulis sebagai menjawab kepada kemungkinan soalan ditimbulkan tentang kenapakah Imam itu tidak disebutkan di dalam Al Quran?

Sebagai menjawabnya, Khomeini mengemukakan beberapa andaian antaranya ialah andaian keempat yang bermaksud, “Kalaupun Allah telah menyebutkan nama Imam secara terang-terangan di dalam Al Quran, namun orang-orang yang hanya memeluk agama Islam dan menerima Al Quran semata-mata kerana kepentingan dunia dan untuk mendapat kuasa. Mereka telah menjadikan Al Quran itu sebagai alat dan sarana untuk sampai kepada matlamat –matlamat mereka yang rosak itu Kerana itu mungkin sekali mereka ini akan mengeluarkan daripada Al Quran ayat-ayat yang menyebutkan nama Imam-imam itu dan melakukan tahrif terhadap kitab suci dari langit itu dengan melenyapkannya dari pandangan manusia selama-lamanya. Maka sampai qiamat kenyataan ini akan memalukan umat Islam dan mengaibkan Al Quran dan dengan itu kritikan yang mereka hadapkan kepada orang-orang Yahudi dan Kristian berhubung dengan kitab-kitab mereka yang sudah ditahrifkan (diselewengkan) akan mengenai diri mereka dan Al Quran, kitab mereka sendiri. (Kasful Asrar, m.s. 114)

Sekiranya Syiah dahulu begitu benci dan dendam terhadap para sahabat sehingga luahan dendam mereka itu dapat dilihat dengan jelas sekali di dalam tulisan ulamak-ulamak mereka dan hampir tidak dapat ditemui sebuah kitab Syiah yang tidak memuatkan caci maki sumpah seranah terhadap sahabat. Maka Khomeini juga tidak terbelakang dalam akidah dan tabiat ini.

Kenyataan dapat dilihat umpamanya di celah-celah tulisannya antaranya, “Abu Bakr dan Umar telah banyak menyalahi hukum-hukum Allah yang terang. Mereka berdua telah banyak mempermain-mainkan hukum-hukum Tuhan. Mereka telah menghalalkan dan mengharamkan dari pihak diri-sendiri. Mereka berdua telah melakukan kezaliman terhadap Fatimah dan anak cucunya” (Kasyful Asrar, m.s. 110). Khomeini juga di antara 6 orang yang telah mengesahkan dan merestui kitab “Tuhfatul Awam” yang mengandungi doa supaya Allah melaknat Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar dan pengikut-pengikutnya. Antara lain doa itu bermaksud, “Ya Allah!Laknatlah dua berhala quraisy, dua jiblnya, dua taghutnya, dua orang yang malang dari kalangan mereka dan dua orang anak perempuan mereka. Mereka berdua telah melanggar perintahMu, mengingkari wahyuMu, menolak kurniaanMu dan derhaka kepada RasulMu. Mereka berdua telah mengubah agamaMU dan menyelewengkan KitabMu, mereka berdua telah menyintai musuh-musuhMu, menolak nikmat-nikmatMu dan telah menghentikan hukum-hukumMu …….”dan seterusnya . Dua orang tersebut yang diminta supaya dilaknat oleh Allah itu ialah Abu Bakr dan Umar.

Betapa dalamnya rasa dendam dan benci di dalam hati Khomeini terhadap para sahabat Rasulullah s.a.w, dapat dilihat pada tulisan-tulisannya di dalam kitabnya Kasyful Asrar. Dia menulis, “Kita hanya menyembah Tuhan yang segala perbuatanNya tegak di atas asas kebijaksanaan dan tidak bercanggah dengan akal. Kita tidak menyembah Tuhan yang mendirikan sebuah bangunan yang megah untuk ibadat, keadilan dan ugama, kemudian merobohkan sendiri bangunan itu dengan melantik orang-orang yang jahat seperti Yazid, Muawiyyah, Utsman dan lain-lain sebagai khalifah serta tidak menentukan nasib umat sesudah wafat NabiNya.” (Kasyful Asrar, m.s. 107)

Kalau Tuhan yang telah melantik mereka itu menjadi khalifah, tidak disembah oleh Khomeini, maka Tuhan manakah yang disembahnya? Adakah Tuhan lain selain Allah telah melantik mereka itu sebagai khalifah?!

Syiah dahulu telah mengemukakan kata-kata dan anjuran para Imam tentang mut’ah; fadhilatnya, keistimewaannya dan bagaimana orang yang tidak melakukan mut’ah itu tidak terbilang sebagai Syiah. Khomeini pergi lebih jauh dan ke halaman yang lebih terang apabila ia menulis di dalam kitabnya “Tahrirul Wasilah” bahawa mut’ah boleh dilakukan dengan perempuan Yahudi, Nasrani, dan Majusi juga dengan pelacur-(Tahrirul Wasilah, jilid 2 hal.292)
Seandainya Syiah dahulu mengamalkan konsep taqiyyah dan mempercayai taqiyyah sebagai salah satu ciri keimanan yang terpenting, maka Khomeini juga menganjurkan orang-orang Syiah supaya bertaqiyyah dengan orang-orang Ahli Sunnah Wal Jamaah. Umpamanya beliau berkata, “Perkara kedua (yang membatalkan sembahyang) ialah takfir iaitu meletakkan satu tangan di atas tangan yang lain (dakap qiam) seperti yang dilakukan oleh orang-orang bukan dari kalangan kita. Tetapi tidak mengapa melakukannya dalam taqiyyah” (Tahrirul Wasilah jilid m.s. 186). Dia berkata lagi, “Dan sengaja mengucapkan ‘Amin’ selepas selesai membaca fatihah (juga membatalkan sembahyang) kecuali kerana taqiyyah, tidak mengapa mengucapkan.”(Tahrirul Al Wasilah ,jilid 1 m.s. 190)

Sesetengah kalangan terpedaya apabila Khomeini menganjurkan penganut-penganut Syiah bersembahyang berimamkan Imam masjidil Haram ketika mereka berada di Mekah. Mereka berhujjah dengan mengatakan bahawa Khomeini tidak seperti Syiah pelampau yang menganggap tidak sah bersembahyang di belakang Ahli Sunnah kerana beliau sendiri menganjurkan supaya diikut Imam Masjidil Haram yang beraqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, padahal kalaulah mereka sedar betapa besarnya senjata taqiyyah ini di sisi Syiah sehingga dikatakan 9/10 ugama terletak dalam taqiyyah tentulah mereka tidak terpedaya dengan anjuran Khomeini itu.

Ini kerana mengikut aqidah Syiah bersembahyang di belakang Ahli Sunnah secara taqiyyah sama seperti berimamkan Rasulullah s.a.w. di dalam saf pertama. Mereka meriwayatkan daripada Jaafar As Shadiq bahawa beliau berkata, “Sesiapa bersembahyang di belakang Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah secara taqiyyah seolah-olah ia bersembahyang dalam saf pertama dengan berimamkan Rasulullah s.a.w.” (Man La Yahhurihul Faqih , j.hal.250)

Sementara itu di dalam kitab Jaamul Akhbar m.s. 108, Jaafar As Shadiq berkata, “Sesiapa bersembahyang di belakang munafiqin secara taqiyyah ia seperti bersembahyang di belakang para Imam (Ibn Babwaih Al Qummi-Jaamiul Akhbar, hal.108)

Dari kenyataan-kenyataan Syiah ini dapat kita mengetahui betapa Khomeini telah mempraktikkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab Syiah itu. Sebabnya menurut ajaran Syiah yang sebenar, tidak ada perbezaan sembahyang Ahli Sunnah dengan perzinaan yang dilakukannya (Al Kufi, jilid 8 m.s. 162, tafsir Al Burhan, jilid 4 hal 453) dan tidak sah bersembahyang di belakang mereka (Ahli Sunnah)-(At Thusi- An Nihayah , hal.112)

Amalan taqiyyah ini begitu penting dan istimewa sekali di sisi Syiah sehingga Jaafar As Shadiq diriwayatkan ada berkata, “Mengamalkan taqiyyah itu lebih afdal dari sedekah, haji dan berjihad.”(Ibn Babwaih Al Qummi –Jaamiul Akhbar, hal.108)

Ini hanya sebahagian kecil daripada aqidah dan amalan orang-orang Syiah, yang juga merupakan aqidah dan amalan Khomeini, sedangkan jika ditinjau dari pandangan Islam dan jika ditimbang dengan neraca keislaman dan keimanan yang sedia ada pada kita Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam di setiap zaman, orang-orang yang menganut aqidah dan kefahaman seperti yang tersebut itu adalah sesat dan kafir.

Aqidah Imamah yang merupakan Rukun Iman disisi Syiah tidak menjadi akidah kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana itu secara tidak langsung golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut akidah Syiah adalah bukan mukmin dan bukan Islam dan serentak dengan itu membuktikan bahawa perbezaan di antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah bukanlah di sudut cabangan tetapi dari sudut aqidah dan pegangan hidup.

Bagi kita umat Islam, sesuatu itu hanya menjadi aqidah apabila terbukti dalam Al Quran dan As Sunnah yang mutawatir dengan jelas dan ertinya tidak menerima takwilan (qat’iyu as –subut wa ad dalalah) sedangkan tidak ada satupun ayat dalam Al Quran yang jelas yang tidak menerima takwilan berhubung dengan Imamah ini atau keadaan Imam Dua Belas itu sebagai imam yang wajib ditaati, dilantik oleh Allah, terpelihara dari dosa dan sebagainya

Konsep Ismah dalam aqidah Syiah juga meletakkan para Imam melebihi para Nabi seperti yang dapat kita lihat dengan jelas dalam tulisan Khomeini sedangkan mengikut ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang digambarkan oleh Qadhi Iyadh Al Maliki bahawa, “Kita menghukum putus tentang kufurnya orang-orang yang mempercayai para Imam lebih utama dari para Nabi.” (As Syifa’, jilid 2 m.s. .290)

Jika Syiah sudah sampai mempercayai keterpeliharaan para Imam bukan sahaja daripada dosa tetapi juga daripada tersalah dan terlupa, tidakkah aqidah ini bererti mempercayai para Imam itu melebihi para Nabi? Kerana para Nabi itu hanya terpelihara daripada dosa tetapi tidak terpelihara daripada tersilap dan terlupa seperti yang jelas tersebut di dalam Al Quran dan As Sunnah.

Konsep Imamah dan Ismah yang dikemukakan oleh Syiah ini pada hakikatnya menyerang konsep ‘Khatmu An Nubuwwah’ yang merupakan salah satu aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mempercayai konsep ini mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah akan menjunamkan seseorang ke jurang kezindiqan dan riddah.

Syah Waliyyullah menyatakan perkara ini di dalam kitabnya “Al Musawwa”, katanya, “Demikian juga umpamanya orang yang mengatakan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar bukan ahli syurga , sedangkan hadith yang menceritakan mereka berdua ahli syurga adalah mutawatir atau ia berkata memang Nabi Muhammad adalah penyudah sekelian Nabi tetapi maksud penyudah sekelian Nabi itu ialah tidak harus seseorang yang datang selepasnya dinamakan dengan Nabi. Adapun intisari dan hakikat kenabian iaitu keadaan seseorang itu diutuskan daripada pihak Allah kepada makhlukNya, wajib ditaati, terpelihara daripada dosa dosa dan terpelihara daripada berterusan di atas kesalahan dan kesilapan pada pendapatnya; intisari-intisari dan hakikat-hakikat itu ada pada Imam-imam selepasnya. Maka orang yang berfahaman seperti itu adalah zindiq. Jumhur ulamak mutaakhirin dari kalangan Hanafiyyah dan Syafi’iyyah sepakat menghukumkan supaya orang yang seperti itu dibunuh.” (Musawwa Syarah Muwattha Imam Malik , jilid 2 , m.s.110)

Syiah mempercayai Al Quran yang ada ini telah ditahrifkan tetapi mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, orang yang mempercayai Al Quran ini telah diselewengkan atau ditahrifkan isinya walaupun satu ayat adalah terkeluar dari Islam. Maka kerana umat Islam tidak dapat menerima Syiah yang mempunyai kepercayaan yang seperti itu terhadap Al Quran, mereka (Syiah) mula memilih strategi baru di dalam pegembangannya iaitu mengisytiharkan kepada seluruh umat Islam bahawa mereka juga mempercayai Al Quran yang dipercayai oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tetapi Al Quran yang ada ini telah diterima oleh kedua-dua pihak Ahli Sunnah dan juga Syiah sebagai Al Quran yang dikumpulkan oleh para sahabat dan merekalah yang menulisnya sedangkan mereka (sahabat) jika kita nilaikan dengan penilaian yang dapat kita ambil dari tulisan Khomeini. Adalah orang-orang yang jahat, yang berpura-pura memeluk agama Islam.
Tidakkah timbul tandatanya di dalam kepala kita yang telahpun Islam ini atau orang-orang yang bukan Islam bahawa, “Tidakkah mungkin Al Quran ini telah ditokok tambah oleh para sahabat yang begitu jahat peribadinya dan mempunyai kepentingan politiknya di dalam menganut agama Islam ?”

Bagaimanakah dari segi logiknya golongan Syiah dapat menerima Al Quran ini sebagai benar , tidak diselewengkan atau ditukargantikan isinya oleh para sahabat yang mereka anggap sebagai seburuk-buruk manusia bahkan telah murtad setelah kewafatan Rasulullah s.a.w , hanya tinggal segelintir sahaja yang masih tetap dengan Islam , itupun secara sembunyi-sembunyi atau taqiyyah??

Berkenaan dengan sahabat pula, bagi kita umat Islam , mereka adalah sebaik-baik generasi dari umat Muhammad s.a.w. kerana mereka adalah generasi yang telah menerima pengajaran dan pendidikan Rasulullah s.a.w. secara langsung Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat yang besar kepada orang-orang mukmin kerana ia telah mengutuskan seorang Rasul dari kalangan mereka ,yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, membersihkan jiwa mereka serta mengajarkan Al Kitab (Al Quran) dan hikmat kebijaksanaan walaupun sebelum itu mereka berada di dalam kesesatan yang nyata.” (Ali Imran:164)

Jika kita menerima aqidah Syiah tentang sahabat, bermakna kita telah mengingkari nikmat besar yang telah dikurniakan oleh Allah kepada para sahabat itu iaitu satu nikmat yang sungguh besar sehingga disebut sendiri oleh Allah. Di samping kita menganggap Rasulullah s.a.w. telah gagal di dalam pengajaran dan usaha–usaha membersihkan peribadi mukmin , apakah sahabat-sahabat yang begitu jahat, berperibadi hina, berpaling tadah dan mengkhianati Rasulullah s.a.w. sepeninggalan Baginda s.a.w. seperti yang dipercayai oleh Syiah itu layak disebutkan oleh Allah sebagai suatu keistimewaan dan nikmat dari pihaknya, sedangkan setelah sekian lama mereka mendapat pengajaran dan pendidikan Rasulullah s.a.w. mereka tetap sesat bahkan menyesatkan pula umat Rasulullah s.a.w??

Bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah keimanan para sahabat dan peribadi mereka merupakan pengukur dan penilai kepada keimanan dan peribadi orang-orang selain mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud;

“Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu (sahabat) beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan RasulNya ), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk (terpimpin)” (Al Baqarah : 137)

Sebenarnya golongan Syiah yang pada hakikatnya adalah musuh Islam telahpun merancang untuk merobohkan Islam secara total di sebalik mereka menghentam dan memukul para sahabat itu. Betapa tidaknya , jika sahabat itu diragui dan dipertikaikan bukan sahaja hadith-hadith akan dipertikaikan atau ditolak bahkan Al Quran sendiri akan tertolak dan dipertikaikan kerana kedua-dua asas Islam ini disampaikan kepada generasi kemudian oleh para sahabat Rasulullah s.aw. Hakikat ini telahpun disedari oleh ulamak Islam sejak zaman berzaman lagi.

Sebagai contohnya dapat kita kemukakan pendapat seorang tokoh ulamak hadith yang terkenal dari kalangan salaf iaitu Imam Abu Zur’ah Ar Razi (w.264h). Kata beliau ,”Bila engkau lihat seseorang mencari-cari kesalahan mana-mana sahabat Rasulullah s.a.w, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya orang itu adalah zindiq kerana Rasulullah s.a.w. di sisi kita adalah benar dan Al Quran (juga)benar. Al Quran dan As Sunnah disampaikan kepada kita oleh sahabat–sahabat Rasulullah s.a.w. itu. Mereka sebenarnya mahu mencederakan saksi-saksi kita untuk membatalkan Al Quran dan As Sunnah. Mereka itulah yang patut dicederakan Itulah dia orang-orang zindiq.” (Khathib Baghdadi-Al Kifayah Fi Ilmi Ar Riwayah , hal.49)

KESIMPULAN

(1) Daripada perbincangan yang lalu nyatalah kepada kita bahawa kebangkitan “Republik Islam Iran” yang berteraskan walayatul faqih itu adalah satu kebangkitan yang palsu ditinjau dari sudut ajaran Syiah dan juga dari sudut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ianya lebih tepat dengan nama “Kebangkitan Khomeinism “yang langsung tidak ada kaitannya dengan agama Islam yang suci.

(2) Penamaan sesebuah negara sebagai sebuah negara Islam tidaklah menjadikan sesebuah negara itu Islam pada hakikatnya kerana negara Islam dalam istilahnya ialah negara yang polisi pemerintahannya terletak di tangan orang-orang Islam yang benar dalam aqidahnya sesuai dengan Al Quran dan As Sunnah yang sahih serta mendaulatkan segala hukum hakam Islam yang berpunca daripada kedua-duanya. Sesebuah negara itu tidaklah menjadi negara Islam semata- mata dengan menamakannya sebagai “Negara Islam” tetapi ianya mestilah memenuhi tuntutan –tuntutannya dalam istilah yang diterima oleh ulamak Islam

Imam Jalaluddin As Suyuthi tidak menyenaraikan kerajaan Ubaidiyyin atau lebih dikenali dengan kerajaan Fathimiyyin atau Fathimiyyah sebagai kerajaan Islam . Ini disebabkan kekhalifan mereka tidak sah kerana beberapa sebab. Antara yang disebutkan oleh beliau ialah kebanyakan mereka itu adalah golongan zindiq yang telah terkeluar dari agama Islam. Ada diantara mereka yang memaki para Nabi secara terang-terangan ada yang memerintah supaya dimaki para sahabat r.a.. Dan lain-lain kekarutan yang tidak ada kena mengenanya dengan Islam. (Lihat Tarikhu Al Khulafa, m.s.6 dan 7)

(3) Teori “walayatul faqih” pada hakikatnya adalah suatu usaha pemindahan kuasa Imam Mahdi (Syiah) oleh segelintir ulamak Syiah dan telah dibuktikan secara praktikal oleh Khomeini kepada orang-orang yang dianggap sebagai wakil-wakilnya , setelah pada hakikatnya mereka berputus asa dan yakin bahawa Imam Mahdi itu tidak akan muncul.
Dengan adanya pemindahan kuasa ini , dapatlah wakil-wakil Imam Mahdi itu melaksanakan apa yang dipercayai akan dilakukan oleh Imam Mahdi selepas kemunculannya dan selepas apa yang dinamakan di dalam istilah Syiah sebagai “raj’ah”.Antara yang akan berlaku menurut kepercayaan mereka ialah : Imam Mahdi membongkar kubur Sayyidina Abu Bakr, Sayyidina Umar dan lain-lain yang kononnya memusuhi Ahlul Bait, melaksanakan hukum hudud terhadap Aishah yang dituduh oleh mereka telah berzina dengan Safuan sahabat Rasulullah s.a.w , merobohkan Ka’bah dan melakukan banyak pembunuhan atau penghapusan etnik Arab juga melayani orang-orang Ahli Sunnah dengan seburuk-buruk layanan.

(4) Musuh-musuh Islam di zaman moden ini dengan bersenjatakan ajaran Syiah atau Khomeinism sebenarnya mahu melihat kembali kejayaan yang pernah dicapai oleh nenek moyang mereka di permulaan sejarah Islam melalui slogan-slogan cintakan Ahlul Bait. Sememangnya cukup lunak slogan itu sehingga begitu ramai yang terpengaruh dengannya. Kalau di zaman permulaan Islam ketika mana masih ramai lagi para sahabat Rasulullah s.a.w yang mendapat pendidikan secara langsung dari Baginda s.a.w daayah ini telah mencetuskan satu fitnah yang telah memporak–porandakan umat sampai terbunuh syahid Sayyidina Uthman bin Affan. Maka tentu sekali mengikut perkiraan mereka dalam keadaan umat Islam lupa akan sejarah silam dan sebahagian besar daripada sejarah Islam itu telah diselewengkan , umat ini boleh diporak-porandakan dengan senjata yang sama.

(5) Penonjolan Syiah sebagai alternatif bertujuan memurtadkan umat Islam secara besar-besaran ataupun menjadikan mereka zindiq iaitu golongan yang merasakan mereka benar-benar beragama padahal sebenarnya mereka menyimpang jauh dari landasan agama.

(6) Kebangkitan Syiah dalam bentuk sebuah negara adalah suatu yang direncanakan oleh musuh-musuh Islam apabila mereka menyedari telah lahir sebilangan besar umat Islam yang tidak dapat disisihkan daripada landasan menuju ke arah Islam yang menyeluruh dengan menyebarluaskan di antara mereka bahan- bahan hiburan dan gaya hidup berpoya-poya. Hanya tinggal satu sahaja cara yang dapat memusnahkan golongan ini iaitulah dengan bertopengkan nifaq. Kejayaan mereka kerana menggunakan cara ini sungguh memuaskan hati mereka justeru bukan orang-orang jahil dan fasiq telah dapat dipesongkan tetapi orang-orang yang benar-benar telah bersemangat agama atau orang-orang yang telah sekian lama patuh beragama.

(7) Kebangkitan sebuah negara atas nama Islam yang berteraskan “walayatul faqih” dan ajaran Syiah secara keseluruhannya adalah suatu yang dirancangkan oleh musuh-musuh Islam untuk mengalihkan pandangan umat Islam daripada metode dan matlamat perjuangan mereka yang sebenar dengan menjadikan negara “Walayatul Faqih” sebagai contoh sebuah negara Islam yang kononnya berpandukan Al Quran dan As Sunnah .

Matlamat mereka ialah apabila umat Islam menjadikan negara Syiah sebagai contoh tentulah mereka (umat Islam) akan bertanya dan seterusnya mengamalkan segala apa yang telah menjadi unsur-unsur kepada kejayaan negara yang menjadi contoh itu terutama sudut aqidah dan kepercayaannya. Apabila ini berlaku bererti umat Islam telah gagal juga di dalam usaha mereka menegakkan sebuah negara Islam tulin, kerana negara yang telah dijadikan contoh itu sebenarnya adalah negara Islam yang palsu.

PENUTUP

Kerana aqidah-aqidah dan kepercayaan–kepercayaan yang tersebut sebelum inilah, ulamak-ulamak Islam yang lampau menganggap golongan Syiah ini melampau, tidak boleh dijadikan hujjah dan dihormati terutamanya kerana adanya aqidah taqiyyah pada mereka itu yang pada hakikatnya adalah nifaq. Justeru itu Imam Az Zahabi umpamanya mengatakan , “Golongan Syiah yang melampau seperti ini tidak boleh dijadikan hujjah dan dihormati apalagi hari ini saya tidak menemui seorangpun dari golongan ini yang benar dan boleh dipercayai kerana bohong telah menjadi syiar mereka, taqiyyah dan nifaq telah menjadi selimut mereka.”(Az Zahabi-Mizan Al- I’tidal, j.1hal.6)

Imam Jaafar As Shadiq sendiri yang dianggap oleh golongan Syiah sebagai Imam Maksum mereka yang keenam ada berkata, dan dinukilkan kata-katanya itu oleh tokoh ulamak Syiah, Syeikh At Thusi di dalam kitabnya “Ikhtiar Ma’rifati Ar Rijal” (sebuah kitab Syiah) bahawa,”Tidak ada satupun ayat yang diturunkan oleh Allah tentang golongan munafiqin melainkan kandungan ayat itu pasti ada pada orang yang menganut fahaman Syiah.” (Ikhtiar Ma’rifati Ar Rijal, hal. 1)

Al Quran dan As Sunnah mengajarkan kepada kita bahawa selain daripada Muslim dan kafir di sana terdapat juga satu golongan lagi yang dinamakan munafiq.

Sebagaimana Al Quran mengajar kepada kita bagaimana cara menghadapi orang-orang kafir, ia juga menceritakan kepada kita tentang sifat -sifat orang munafiq dan mengajar bagaimana cara-cara kita berhadapan dengan mereka. Umat Islam yang meletakkan di hadapannya ayat-ayat Al Quran dan As Sunnah yang menyebutkan sifat-sifat munafiq itu tentu tidak akan terpedaya dengan tipu helah golongan ini dan tidak akan terpukau dengan kepalsuan ajaran mereka. Antara ayat terpenting yang dapat membimbing kita di dalam hal ini ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya menimbulkan kemudharatan bagimu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah kami terangkan kepadamu ayat-ayat (kami), jika kamu memahaminya. Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu , mereka berkata,”Kami beriman”; dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka): “Matilah kamu kerana kemarahanmu itu “Sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati” (Ali ‘Imran: 118-119)