Rabu, 6 Januari 2010

Ulasan Buku: 25 Persoalan Semasa di Berita Harian 6hb January 2010


Iqra: Penerangan secara terperinci soal kemusykilan agama

· Tajuk: 25 Persoalan Semasa: Huraian dan Penyelesaian
· Pengarang: Mohd Yaakub Mohd Yunus
· Penerbit: Karya Bestari Sdn Bhd
· Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar
· Harga: RM17.


PERSOALAN khilaf yang menjadi perselisihan terutama membabitkan ibadat di kalangan ulama dan masyarakat Islam cuba dijelaskan pengarang, Mohd Yaakub Mohd Yunus di dalam bukunya, 25 Persoalan Semasa: Huraian dan Penyelesaian. Buku ini menarik untuk dibaca dan difahami kerana setiap persoalan berkaitan ibadat seharian diselesaikan berdasarkan hujah yang berpandukan hadis dan al-Quran. Pengarang turut memberi penjelasan khusus mengenai kesucian air mustakmal untuk berwuduk yang selama ini dianggap tidak sah. Beliau menampilkan pandangan Imam Syafie dan sunnah Nabi SAW yang tidak mengharamkan penggunaan air berkenaan untuk berwuduk, sebagai asas penghujahan.

Mungkin pandangan pengarang boleh disanggah dengan hujah lain, namun maklumat diberikan itu amat berguna untuk memahami konsep berwuduk sebenar, berbanding pemahaman yang sekian lama diterap kepada minda masyarakat Islam terutama di negara ini. Pengarang turut menyentuh persoalan bersentuhan dengan wanita yang menyebabkan wuduk batal; solat tahajud; mengumpulkan solat Jumaat dan Asar, penggunaan tasbih ketika berzikir; kejadian peristiwa Israk dan Mikraj dan solat gerhana mengikut sunnah Nabi SAW. Dalam pada itu, pengarang menjelaskan mengenai kaedah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam isu Takfir (mengkafirkan sesama Islam) yang jika tidak dibendung boleh menyebabkan berlaku perpecahan dalam masyarakat dan agama Islam. Tajuk penting untuk dibaca ialah gerakan tajdid (reformasi) Islam yang diperjelaskan panjang lebar oleh pengarang. Buku ini wajar dibaca kerana ia cuba merungkai permasalahan yang wujud di dalam masyarakat Islam selain membolehkan pembaca memahami hakikat gerakan tajdid yang hangat diperkatakan sekarang.

Tiada ulasan: