Ahad, 9 Disember 2012

JANGAN ABAIKAN SUNNAH BERKAITAN SUTRAH KETIKA SOLAT.


JANGAN ABAIKAN SUNNAH BERKAITAN SUTRAH KETIKA SOLAT.



Terkenang semasa zaman kanak-kanak dahulu semasa mula-mula belajar untuk mengerjakan ibadah solat. Solat ketika itu ikut mana yang sempat sahaja atau yang lebih tepatnya solat dilakukan ketika disuruh oleh ibu bapa. Solat pun didirikan dengan begitu pantas yang mana tumakninah tidak dijaga kerana ingin mengejarkan rancangan TV atau waktu untuk bermain. Tempat mengerjakan solat pun asalkan boleh sahaja. Adakalanya di ruang tamu atau ruang makan yang menjadi tempat lalu-lalang ahli keluarga yang lain. Maka bapa saya ketika itu meletakkan sesuatu barang di hadapan saya seperti bantal atau bag. Selepas solat saya pun bertanya: “Kenapa Abah letak beg kat depan akob masa solat tadi?” Bapa saya pun menjawab: “Ooh, Abah letak beg tu supaya orang boleh lalu depan akob. Kau pun solat bersepah tak kira tempat orang lalu-lalang.” Saya hanya menggangguk tanda setuju sahaja ketika itu. Setelah dewasa dan ilmu juga telah sedikit bertambah baru saya sedar bahawa tindakan bapa saya itu merupakan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang penting dan amat digalakkan untuk diamal.

Dalam seperti ini terdapat dua konsekuensi yang perlu diperhatikan oleh semua pihak.

Pertama: Adalah haram hukumnya untuk melintasi hadapan orang yang sedang solat. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat mengetahui apa akibat yang akan dia tanggung, nescaya dia berdiri selama empat puluh lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang sedang solat.” Abu al-Nadhr (salah seorang perawi hadis ini) berkata: “Aku tidak tahu yang dimaksudkan dengan jumlah “empat puluh” tersebut, adakah empat puluh hari, atau bulan, atau tahun.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim) Imam al-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim berkata: “Makna hadis ini, sekiranya dia mengetahui betapa besarnya dosa dari perbuatan tersebut, pasti dia akan memilih untuk berhenti selama empat puluh dari perlu menanggung dosa akibat perbuatan tersebut. Jadi, hadis ini adalah larangan yang cukup keras dan ancaman yang berat disebabkan perbuatan melintas di hadapan orang solat.” Namun begitu agak ramai juga yang tidak ambil pusing tentang ancaman ini.
Kedua: Membiarkan orang lain untuk melintasi dihadapan ketika seseorang itu sedang solat boleh menjejaskan kesempurnaan solat bahkan terbatal sekiranya seorang wanita berhaid (yang telah baligh) atau keldai atau anjing hitam yang melintasi di hadapannya. Musa ibn Thalhah daripada bapanya, beliau berkata: “Kami pernah solat sedangkan haiwan tunggangan lalu-lalang di hadapan kami, lalu kami menceritakan situasi tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Maka baginda bersabda: “Sekiranya telah ada objek seperti pelana haiwan tunggangan dan diletakkan di hadapan salah seorang dari kamu (sebagai sutrah), maka sesuatu yang melintas di hadapan mereka (di balik sutrah) tidak akan mengancam (menjejaskan) solatnya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim) Rasulullah juga pernah bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu melaksanakan solat, sesungguhnya dia telah memiliki sutrah bila di hadapannya terdapat suatu penghadang seperti pelana haiwan tunggangan. Jika di hadapannya tidak terdapat sesuatu seperti itu, solatnya akan terputus jika dilintasi oleh keldai, wanita, dan anjing hitam.” (Hadis Riwayat Imam Muslim) Justeru itu sekiranya ada orang lain yang ingin melintasi dihadapan seseorang yang sedang solat, hendaklah dia menghalangnya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila ada sesuatu melintas di hadapan salah seorang di antara kamu yang sedang solat, maka hendaklah dia menghalangnya dari melintas sebanyak dua kali. Apabila ia tetap juga mahu melintas, maka lawanlah dia kerana dia adalah syaitan.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Khuzaimah) 

Istilah syaitan di dalam hadis di atas ini bukanlah bermakna orang yang melintasi dihadapan kita itu adalah benar-benar syaitan, akan tetapi ia bermaksud syaitan berada bersama-sama mereka yang melintasi orang yang sedang solat. Solat tidak batal sekiranya melakukan gerakan besar dalam usaha untuk menghalangi sesorang atau sesuatu melintasi di hadapan orang yang sedang solat. Diriwayatkan daripada ‘Amru ibn Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya beliau berkata: “Kami bersama Rasulullah s.a.w. pernah menuruni bukit Adzakhir, lalu tibalah waktu solat. Bagindapun melaksanakan solat dengan menjadikan dinding sebagai arah kiblat, manakala kami berada di belakang beliau (sebagai makmum). Tiba-tiba ada seekor anak kambing hendak melintas di hadapan baginda, maka baginda pun segera menghalangnya sehingga perut baginda hampir merapat (menyentuh) dinding. Akhirnya anak kambing tersebut melintas melalui belakang baginda.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud) 
Kita kembali kepada tindakan bapa saya yang meletakkan beg atau bantal di hadapan saya, ia adalah bertujuan untuk dijadikan sutrah atau penghadang bagi seseorang yang mendirikan solat dengan orang atau sesuatu yang berjalan di hadapannya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang setinggi seperti pelana haiwan tunggangan di hadapannya (sebagai sutrah atau penghadang), maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang melintas di sebalik objek tersebut.” (Hadis riwayat Imam Muslim) Apabila seseorang itu telah meletakkan sesuatu objek setinggi pelana kuda atau sehasta (ukuran di antara hujung siku sampai ke hujung jari tengah) di hadapannya maka tidak menjadi masalah sekiranya ada sesiapa yang melintasi di hadapannya. Oleh itu kesempurnaan solatnya tidak terjejas dan orang yang melintasi hadapannya turut tidak berdosa. Hanya sahaja sekiranya ada yang ingin melintasi di antara orang yang sedang solat dengan sutrahnya maka dia perlu dihalang dengan keras. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika salah seorang daripada kamu solat menghadap sesuatu sebagai sutrah yang membatasi daripada orang ramai, kemudian ada seseorang yang hendak melintas di hadapannya, maka halanglah dia. Jika dia enggan maka lawanlah dia, kerana dia adalah syaitan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Seseorang itu juga perlu solat dengan mendekati sutrahnya itu agar syaitan tidak dapat menggangu konsentrasi sesorang yang sedang solat seperti meniup perasaan waswas atau mengganggu pemikiran seseorang itu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila salah seorang dari anda solat menghadap sutrahnya (yang ada di hadapannya), hendaklah dia mendekatkan diri ke sutrah tersebut agar syaitan tidak memutus solatya.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud) Imam al-Baghawi r.h di dalam kitabnya Syarhus Sunnah berkata: “Para ulamak berpendapat mustahab untuk mendekatkan diri kepada sutrah, di mana jarak antara orang yang solat dengan sutrahnya sekadar memungkinkannya untuk sujud.” Di antara objek yang pernah dijadikan sutrah seperti terdapat di dalam hadis-hadis adalah tombak dan anak panah yang ditancap di atas tanah, haiwan tunggangan yang sedang berdiri, tiang di dalam masjid, dinding, pelana haiwan tunggangan, pokok dan menghadap orang yang sedang tidur.
Bagi mereka yang sedang solat secara berjemaah, sutrah imam merupakan sutrah bagi seluruh makmumnya. Oleh itu tidak menjadi masalah sekiranya ada yang berjalan melintasi hadapan makmum yang sedang solat di dalam saf solat berjemaah tersebut. Ibnu ‘Umar r.a berkata: “Dahulu Rasulullah s.a.w. apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan baginda lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Baginda melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari) Hadis ini menunjukkan bahawa apabila imam telah meletakkan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.
Mengamalkan solat menghadap Sutrah merupakan suatu tindakan yang amat mulia kerana ia merupakan satu usaha untuk menghidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w. apatah lagi pada zaman kebelakangan ini ramai di kalangan umat Islam yang semakin lalai dari mengamalkan sunnah-sunnah baginda. Solat dengan meletakkan sutrah dihadapan kita bukan sekadar boleh dijadikan sebagai amaran agar pihak lain supaya berjaga-jaga dari melintasi dihadapan bahkan ia boleh membantu seseorang itu untuk khusyuk dalam solatnya. Justeru itu marilah kita mengamalkannya dan jangan kita ambil mudah isu berjalan melintasi orang yang sedang solat kerana ia merupakan perbuatan yang jelas bertentangan dengan syarak.
Menulis tentang sutrah ini memang membuat saya teringat kembali zaman kanak-kanak dulu ketika bapa saya masih agak muda dan masih gagah. Kini umurnya sudah 77 tahun, ingatannya juga semakin kurang dan tubuh-badannya juga sudah tidak sekuat dulu. Terima kasih kepada kedua ibubapaku yang telah membesarkan aku dengan baik dan mendidik diriku dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Israa’ : 24) “Wahai Tuhan kami! Berilah keampunan bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” (Ibrahim : 41)