Khamis, 4 Disember 2008

SALAM AIDILADHA DARIPADA AKOB


BUKU TERBARU AKOB : Panduan Solat Sunat Cara Nabi


TAJUK : PANDUAN SOLAT SUNAT CARA NABI
PENULIS : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
DISEMAK OLEH : Ust Mohd Fikri Che Hussain
Penerbit : Jahabersa
Harga : RM 20.00

Untuk membeli secara online sila ke :



Dalam buku ini saya membahaskan 21 jenis solat-solat sunat berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW. Berikut adalah kata-kata aluan dari Ustaz Mohd fikri Che Hussain yang telah membantu saya adalam menghasilkan buku ini.

==============================

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِاَلْحَمْدُ ِللهِ حَمْداً كَثِيْراً طَيِّباً مُبَارَكاً فِيْهِ، كَمَا يُحِبُّ رَبَّناَ وَيَرْضَى، وَصَلىَّ الله وَسَلَّم عَلىَ نَبِيِّناَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، أما بعد:


Sesungguhnya Solat Sunat merupakan petunjuk yang dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan diajarkannya kepada para sahabat dari generasi ke generasi hinggalah kepada kita pada hari ini. Setelah saya diminta oleh penulis iaitu saudara Mohd Yaakub Mohd Yunus untuk meneliti dan menyemak hasil kerja yang diusahakan olehnya ini. Saya secara peribadi merasa begitu berbesar hati menerima jemputannya di atas penghargaan yang beliau berikan kepada diri saya.

Ketekunan penulis dalam bidang penulisan semakin terserlah dengan karya-karya yang bermutu dari aspek pendalilan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah saban tahun. Penulisan artikel yang bermetodkan fahaman Salaf al-Salih berjaya dihasilkan penulis di dada-dada akhbar dan majalah hampir setiap bulan. Hasil karya penulisannya selama ini mulai tersebar ke serata pelusuk Malaysia. Alhamdulillah.

Kesungguhan sebegini perlu diteladani oleh golongan mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut pelbagai ilmu secara umum dan dalam jurusan agama khususnya. Gunakan kemampuan yang dipelajari dan ilmu yang diperolehi dengan menghasilkan karya penulisan untuk diketengahkan dalam masyarakat. Isu keruntuhan moral yang berleluasa pada masa kini memerlukan sumbangan daripada pelbagai pihak dalam usaha membantu mengatasinya. Peranan para agamawan perlu dicambahkan dengan sebaiknya bagi mengatasi kemelut yang melanda ummah dewasa ini. Kerjasama di kalangan kelompok ustaz dan protaz perlu ditingkatkan lagi keberkesanannya dalam mencapai misi dakwah sejagat.

Buku yang berada di tangan anda ini begitu menarik untuk dimiliki oleh setiap mereka yang mencintai kebenaran, kesahihan dan keberkatan dalam amalan seharian mereka. Topik berkaitan solat merupakan topik yang begitu laris dalam pasaran buku-buku agama. Meskipun tajuk buku berkaitan Solat Sunat ini begitu banyak memenuhi pasaran buku-buku agama, namun kandungan di dalam buku ini terdapat sedikit kelainan berbanding buku lain yang pernah saya baca dan rujuk. Penulis menggarapkan perbincangan secara lebih kemas dari aspek ilmiah dan mendasari setiap perlakuan ibadah Solat Sunat dengan hujah dan fakta yang kukuh.

Metod yang beliau gunakan dalam karyanya ini adalah berteraskan Fiqh al-Sunnah yang berpandukan amalan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana sabda baginda mengenai ibadah solat:

Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 631.

Panduan berteraskan sunnah yang diambil daripada kepelbagaian sumber dan rujukan ini kemudiannya dihuraikan oleh penulis dengan metod tahqiq (semakan) dan tarjih (menyatakan keutamaan pendapat yang perlu dipegang dan diamalkan). Di samping menolak setiap amalan yang tidak bertunjangkan kepada sunnah atau menyelisihi amalan sunnah yang dilaksanakan pada zaman sahabat dan generasi berikutnya pada era keemasan Islam.

Di dalam buku Solat Sunat ini, penulis turut menyatakan panduan beserta hukum dan tatacara pelaksanaannya berpandukan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan keadaan ini memerlukan ketekunan dan kerapkali memakan masa yang lama. Beliau menyusun hadis-hadis yang sahih menurut martabatnya dengan huraian ringkas berkaitan Fiqh al-Hadis berkenaan dengan sanad dan matannya.

Pendedahan pada amalan Solat Sunat ini, sekalipun sudah banyak ditulis oleh para penulis yang lain. Ia perlu terus ditekankan kerana Solat Sunat merupakan ibadah seharian yang dilaksanakan oleh setiap individu Muslim. Namun kualitinya yang seiring dengan sunnah yang suci perlu diperkemaskan agar dapat memberikan nilaian yang hebat di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Selain itu ia dapat mendekatkan kita kepada petunjuk yang paling hampir dengan petunjuk sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam pelaksanaannya.

Justeru itu, di dalam kesempatan ini saya ingin mengajak dan menggalakkan kepada semua pembaca agar dapat membaca buku-buku yang berfaedah seperti buku ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Buku sebegini juga wajar dimiliki oleh mereka yang sedaya upaya menghayati manhaj yang sahih dan berpegang kepada sunnah yang mulia. Kita mengharapkan agar buku ini dapat memberikan sumbangan yang terbaik dalam menyalurkan maklumat ilmiah dan cukup berguna kepada individu dan masyarakat Islam yang mencintai sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala agar memberikan ganjaran terbaik kepada anda dan para pembaca buku ini serta memanfaatkannya dalam ibadah seharian mereka. Diharapkan juga para pembaca dapat mendoakan kepada penulis dan juga diri saya agar ditambahkan ilmu serta dapat menyebarkannya dalam bidang penulisan yang kami perjuangkan. Amin!

Akhirnya, marilah kita merenungi dan cuba menghayati sedalam-dalamnya maksud yang terkandung di dalam firman Allah Subhanahu wa Ta'ala ini:

Maka gembirakanlah hamba-hamba-Ku, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut yang terbaik (untuk diamalkan dalam urusan agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna. - al-Zumar (39) : 17-18

Sekian, hamba yang mengharapkan keampunan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Mohd Fikri Bin Che Hussain
Rabiulakhir 1429 / Mei 2008
Felda Sungai Nerek, Temerloh
Pahang Darul Makmur

UTUSAN MALAYSIA 4/12 : Ibadat Korban Mengikut Sunnah


Berita Harian 4/12 : MEDIA USAH GHAIRAH DEDAH AIB ORANG

Assalaamu'alaikum
Berikut adalah artikel akob menegur tindakan segelintir kecil pangamal media yang gemar mendedahkan aib pihak lain yang telah di siarkan dalam akhbar Berita Harian 4hb Disember 2008. akob turut sertakan artikel asal yang belum diedit.
Sekian Wassalaam
Ghibah atau mengumpat adalah menyebutkan hal-hal yang dibenci atau menimbulkan kemarahan pihak lain baik hal itu berkaitan dengan kekurangan dalam bentuk fizikal, tingkah laku dan perbuatan sama ada ianya disebutkan secara langsung mahupun secara isyarat. Mengumpat merupakan satu perbuatan yang dikeji oleh syarak dan pelakunya dianggap seperti telah memakan daging mayat saudaranya sendiri. Firman Allah S.W.T.: “Dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kalian akan merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang” - Al-Hujurat (49) : 12

Namun dewasa ini terdapat pihak yang menjadikan amalan mengumpat ini sebagai kerjaya rasmi. Habis segala hal-hal berbentuk peribadi yang mengaibkan ingin dibongkarkan menerusi pelbagai medium media massa untuk dihidangkan kepada masyarakat yang dahagakan cerita-cerita sensasi dan kontroversi. Terdapat sesetengah pengamal media beranggapan perbuatan sedemikan rupa ini bukan suatu kesalahan kerana mereka hanya menyampaikan cerita yang benar walaupun ianya boleh mengaibkan sesetengah pihak. Adakala isu yang dimainkan oleh media itu dapat meruntuhkan sebuah perkahwinan, memutuskan tali silaturahim di antara sesama umat Islam dan boleh menyebabkan terjadinya persengketaan yang berpanjangan. Hendaklah golongan ini memahami sekiranya apa jua bentuk keaiban yang diperkatakan tentang pihak lain itu benar sekalipun ia tetap termasuk dalam kategori mengumpat yang diharamkan. Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah sekiranya berita tersebut tidak benar. Jika ini terjadi maka mereka ini telah sebenarnya telah menggabungkan dua bentuk perbuatan yang mungkar iaitu fitnah dan mengumpat sekaligus. Berkaitan dengan perbuatan mengumpat sebegini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Tahukah kalian apa itu mengumpat?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Kemudian baginda s.a.w. bersabda: “Mengumpat adalah ketika engkau membicarakan tentang saudaramu sesuatu yang dia benci.” Ada yang bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?” Baginda s.a.w. menjawab: “Jika yang kalian katakan itu benar, bererti kalian telah mengumpatnya. Namun jika apa yang kalian katakan itu tidak benar, bererti kalian telah memfitnahnya.” – Hadis riwayat Imam Muslim

Perkara yang dirasakan boleh memalukan atau menimbulkan kemarahan umat Islam yang lain sepatutnya disembunyikan dari pengetahuan umum. Hendaklah kita semua ketahui bahawa menjaga kehormatan orang Islam yang lain merupakan satu tanggunjawab yang telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap orang Islam ke atas orang Islam yang lain itu diharamkan darahnya (tidak boleh membunuhnya), haram pula hartanya (tidak boleh merampasnya) dan haram pula kehormatannya (tidak boleh mengumpat).” – Hadis riwayat Imam Muslim

Terdapat sesetengah pengamal media begitu berbangga dengan kejayaan mereka apabila dapat membongkar sesuatu isu yang sensasi. Ketahuilah bahawa sikap mereka yang bergembira di atas kesedihan orang Islam yang lain merupakan satu perbuatan yang kelak akan mendatangkan balasan yang buruk. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah engkau meampakkan kegembiraan di atas kesedihan saudaramu yang akan menyebabkan Allah merahmatinya dan menimpakan kepada mu kesedihan saudaramu itu.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi
Hal ini adalah kerana bergembira di atas kesedihan umat Islam yang lain bukan suatu perbuatan atau akhlak golongan beriman yang sentiasa mencintai saudara seagamanya seperti dia mencintai dirinya sendiri. Allah S.W.T. juga telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang gemar menyebarkan aib orang lain. Firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar berita perbuatan yang amat keji tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” – al-Nur (24) : 19

Ketika Rasulullah s.a.w. dimikrajkan ke langit baginda telah melihat siksaan yang mengerikan menimpa golongan yang gemar megumpat. Ianya dikhabar di dalam sebuah hadis seperti berikut:

Ketika baginda dimikrajkan, baginda melewati sekelompok orang yang mempunyai kuku-kuku dari tembaga. Mereka mencakar-cakar wajah dan dada mereka sendiri dengan kuku tembaga tersebut. Lalu baginda bertanya kepada Jibril: “Wahai Jibril siapa mereka itu?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang sering makan daging manusia, dan mereka yang suka membicarakan kejelekan orang lain” - Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud

Justeru itu bagi mereka yang menjadikan umpat-mengumpat serta mencari-cari cerita sensasi yang boleh mengaibkan pihak lain sebagai suatu kelaziman, hendaklah mereka melakukan muhasabah terhadap perbuatan mereka tersebut. Allah S.W.T. berfirman: “Janganlah kamu mengintip (mencari keaiban) orang lain.” - Al-Hujurat (49) : 12

Oleh itu janganlah kita semua disibukkan dengan mcari atau mendedahkan keaiban orang lain. Apa yang lebih munasabah untuk kita lakukan bersama adalah untuk melihat keaiban ataupun kekurangan yang ada pada diri kita sendiri agar kita semua dapat membebaskan diri kita dari melakukan perkara-perkara yang berdosa dan berunsur maksiat. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya beruntunglah (thuubaa) mereka yang disibukkan oleh aibnya (sendiri) daripada membicarakan keaiban orang lain.” – Hadis riwayat al-Bazzar

Para ulamak telah menafsirkan istilah thuubaa di dalam hadis di atas sebagai sebuah pohon di dalam syurga dan darjat yang tinggi di dalam syurga. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang beruntung ini. Bagi pemilik syarikat-syarikat media tempatan berusahalah untuk mengurangkan isu-isu kontroversi yang tidak memberikan faedah kepada masyarakat dan tingkatkan prestasi dalam menerbitkan berita-berita yang dapat membawa umat Islam ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat kelak.

Selasa, 2 Disember 2008

DAPATKAN SEGERA MAJALAH i BULAN DISEMBER 2008


Sempena dengan kehadiran Hari Raya Aidiladha, Majalah I pada bulan Disember 2008 telah memilih tajuk IBADAH KORBAN SECARA SUNNAH sebagai topik utama mereka. 3 buah artikel berkaitan telah dipaparkan iaitu :-

1) Hikmah dan Hukum ibadah Korban - Mohd Yaakub Mohd Yunus

2) Mengerjakan Ibadah Korban menurut Sunnah – Mohd Yaakub Mohd Yunus

3) Bolehkah Ibadah Korban Untuk Arwah? – Salahuddin Mohamed

Selain dari kupasan isu tentang Ibadah Korban Secara Sunnah ini terdapat banyak lagi artikel-artikel yang menarik dalam majalah I bulan ini seperti:

1) Sikap kita Terhadap al-Qur’an & al-Sunnah – Hafiz Firdaus Abdullah. Artikel ini membicarakan tentang sikap sebenar golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dalam berienteraksi dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Mulai edisi bulan Disember ini juga Kapten Hafiz Firdaus akan memiliki kolum beliau sendiri iaitu Catatan Dari 40 000 Kaki. Hafiz Firdaus merupakan seorang penulis buku-buku agama yang bermutu tinggi dan beliau boleh dihubungi di www.hafizfirdaus.com

2) Obama: Antara Kita Dengan Amerika oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

3) Zikir al-Maut Yang Mengundang Maut Oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang mengupas isu effek pendedahan tentang kematian (e.g. Video Kematian) kepada mental kanak-kanak

4) Keajaiban Rahim Ibu oleh Harun Yahya

5) Kisah Sara Booker seorang model, pelakon, aktivis dan jurulatih fitness yang mendapat kedamaian sebalik tudung niqabnya.

6) Islam di Ethiopia

7) Jejak Empayar Perniagaan Bin Laden

8) Perlukah Bicara Soal Bidaah oleh Ibn Yusof. Beliau megupas persoalan apakah relevannya kita berbicara soal bidaah dalam keadaan masyarakat awam masih tidak memahami konsep sebenar ibadah.

Dan Banyak lagi. Dalam edisi kali ini juga dipaparkan Majlis Pelancaran al-Fikrah.Net (AFN) sebuah laman web yang memperjuangan Tajdid. AFN telah dirasmikan oleh Sahibul Samahah Mufti Perlis. Untuk melayari laman web ini sila ke http://www.al-fikrah.net/

Dapatkan segera Majalah I di pasaran sebelum ia kehabisan stok!

Isnin, 1 Disember 2008

Hikmah Dan Hukum Ibadah Korban


HIKMAH DAN HUKUM IBADAH KORBAN
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Hari raya Aidiladha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lali baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.
Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian."
– Surah al-Soffaat: 101-108.

Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.


KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAH KORBAN

Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."
– Surah al-Haj: 36-37.

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:

1) Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan daging-daging korban.


2) Ibadah korban berupaya membentuk insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.


3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.


4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.


5) Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.

HUKUM IBADAH KORBAN

Para ulamak berbeza pendapat mengenai hukum melakukan ibadah korban. Ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:

1. Wajib bagi yang mampu.

Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-Ra’yi, al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan (dibenarkan) oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:

"Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANnmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." – Surah al-Kautsar: 2.

Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadah korban sebagaimana kewajipan mengerjakan solat. Ini kerana, kedua-dua ibadah tersebut dihubungkan dengan kata penghubung wau (و) bermaksud 'dan' yang mana ia menunjukkan ada persamaan hukum.

Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali r.a berkata:

صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ النَّحْرِ ثُمَّ خَطَبَ ثُمَّ ذَبَحَ فَقَالَ: مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ بِاسْمِ اللَّهِ

Maksudnya:
"Nabi s.a.w solat pada hari al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 985.

Perintah Rasulullah s.a.w agar mengulangi ibadah korban jika ia dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia termasuk perkara wajib. Jika tidak, sudah pasti baginda tidak akan memerintahkan agar penyembelihan diulangi.

Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا
Maksudnya:
"Sesiapa yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati tempat solat kami." – Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 3114

Hadis ini berupa ancaman bagi golongan yang memiliki kemampuan untuk menyembelih pada hari raya Aidiladha tetapi tidak mengerjakan ibadah korban. Ancaman berat ini tidak akan dikeluarkan oleh baginda melainkan ia sebagai bukti mengenai kewajipannya.

Mikhnaf bin Sulaim r.a berkata:

كُنَّا وُقُوفًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَاتٍ فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّةٌ وَعَتِيرَةٌ. هَلْ تَدْرُونَ مَا الْعَتِيرَةُ؟ هِيَ الَّتِي تُسَمُّونَهَا الرَّجَبِيَّةَ.
Maksudnya:
"Kami bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah lalu berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahun (mengerjakan ibadah) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian apakah ‘atirah itu?. Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang disembelih pada bulan Rejab)." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunan Tirmizi, hadis no: 1438.

Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadah korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Walau bagaimanapun, hukum bagi ‘atirah telah dimansuhkan. Namun, ia tidak memansuhkan ibadah korban. Bahkan, kewajipannya masih berterusan hingga sekarang.

2. Sunat atau sunat muakkad (sunnah yang amat dituntut) bagi yang mampu.

Inilah pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam Syafie r.h. Golongan ini berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:

Menurut Ummu Salamah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:

إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا

Maksudnya:
"Jika masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang daripada kamu semua ingin menyembelih (haiwan) korban, janganlah memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.

Dalil ini menunjukkan bahawa ibadah korban tidak wajib berdasarkan kata-kata baginda 'dan salah seorang antara kamu semua yang ingin'. Ia menggambarkan kepada kita bahawa baginda memberi pilihan kepada sesiapa sahaja sama ada untuk menyembelih atau sebaliknya. Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti baginda memberi pilihan kepada seseorang sambil berkata: “Janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”

Jabir r.a berkata:

شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الأَضْحَى بِالْمُصَلَّى فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وَأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ وَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ هَذَا عَنِّي وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي

Maksudnya:
"Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w solat Aidiladha di musolla (tanah lapang). Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu dibawakan seekor kambing lantas Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri sambil berkata: Bismillah wallahu Akbar (Dengan nama ALLAH dan ALLAH Maha Besar). Ini daripadaku dan daripada umatku yang belum meyembelih." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2427.

Selain itu, kata-kata baginda 'ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih' diungkapkan secara lafaz mutlak dan umum bukan secara khusus. Bermakna, memadai ibadah ini diwakilkan kepada seseorang sebagaimana baginda mewakili seluruh para sahabat yang masih belum melakukan korban.


Inilah dalil menunjukkan ibadah korban tidak wajib. Sekiranya ia wajib, tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadah tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada seseorang.

Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau berkata:

مَا أَدْرَكْتُ أَبَا بَكْرٍ أَوْ رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ كَانَا لاَ يُضَحِّيَانِ – فِي بَعْضِ حَدِيْثِهِمْ – كَرَاهِيَّةَ أَنْ يُقْتَدَى بِهِمَا

Maksudnya:
"Aku mendapati Abu Bakar atau melihat Abu Bakar dan Umar tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian hadis mereka – khuatir dijadikan ikutan orang terkemudian." – Hadis riwayat al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, jil. 9, ms. 295. Syeikh al-Albani telah mensahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil, hadis no: 1139.

Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti Abu Bakar dan Umar r.a akan mendahului umat Islam dalam melakukan ibadah korban.



Sebelum membuat rumusan tentang hukum ibadah korban, kita hendaklah fahami bahawa hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu ibadah hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan ataupun tidak sahaja. Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu amalan itu tsabit daripada baginda s.a.w mereka akan berusaha bersungguh-sungguh mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.

Namun, kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah daripada baginda s.a.w dan seharusnya kita berlapang dada dalam permasalahan khilafiyah sebegini.

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti r.h berkata:

"Aku telah meneliti dalil-dalil daripada sunnah mengenai pendapat yang mewajibkan dan yang tidak mewajibkan ibadah korban. Menurut pandangan kami, tidak ada satu dalil dari kedua-dua pendapat tersebut yang kuat, pasti dan selamat dari kritikan sama ada menunjukkan ia wajib atau tidak…
Yang rajih (tepat) menurutku dalam hal yang tidak jelas mengenai nas-nas dalam suatu perkara kepada suatu perkara yang lain bahkan tanpa mempunyai dalil yang kuat dan jelas ialah berusaha sedaya mungkin keluar dari khilaf dengan melakukan korban apabila mampu. Ini kerana, Nabi s.a.w bersabda: “Tinggalkanlah perkara yang ragu kepada yang tidak ragu.”
Sepatutnya, seseorang tidak meninggalkannya apabila mampu kerana menunaikannya sudah pasti menghilangkan tanggung jawabnya."
– Rujuk Kitab Adhwaa’ al-Bayaan Fi Idhah al-Quran bil Qur’an karya Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, jil. 5 ms. 618.

Oleh itu, penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur (majoriti) ulama kerana mustahil Abu Bakar dan Umar r.a meninggalkan sesuatu amalan yang wajib apatah lagi mereka berdua merupakan imam yang layak manjadi ikutan dan kelayakkan mereka telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w

Sabda Rasulullah s.a.w:

فَإِنْ يُطِيعُوا أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ يَرْتَشُدُوا
Maksudnya:
"Sekiranya mereka semua mentaati Abu Bakar dan Umar, pasti mereka mendapat petunjuk." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 681

LAUNCHING AL-FIKRAH.NET DALAM MAJALAH i