Selasa, 7 Julai 2009

LAGI GAMBAR BENGKEL MENULIS AFN

Peserta Lelaki Bengkel Penulisan Kreatif AFN


Editor Majalah i, Saudara Ahmad Yani memberi kata-kata perangsang kepada para peserta untuk menulis.


Peserta sedang mendengar pembentangan kertas kerja oleh Puan Fatimah Syarha


Muslimat AFN sedang berkongsi pandangan bersama ahli panel



Puan Hasliza Hassan dari Berita Harian banyak memberi tips-tips yang berguna kepada para peserta





Isnin, 6 Julai 2009

GAMBAR SEKITAR BENGKEL MENULIS

Gambar akob bersama Puan Hasliza Hassan, wartawan Berita Harian yang menyelenggarakan Ruangan Agama. Puan Hasliza Menyampaikan modul pertama Penulisan Artikel



Akob sedang memulakan Bengkel Penulisan Kreatif anjuran www.al-fikrah.net (AFN)

Kapten Hafiz Firdaus ahli Panel modul ke 3 i.e Penulisan Buku bersama Ustaz Mohd Fikri @ Alamghiri sebagai mc


Akob bersama Editor Majalah i, Ahmad Yani (berbaju Putih), Ustaz Noor Affendi (berkopiah) dan Tuan hassan Tuan Lah, Presiden AFN sedang bersembang ketika makan tenghari



Sister Fatimah Syarha, seorang novelis berunsur Islamik yang terkenal di Malysia sedang membentangkan modul ke 2. Di sebelah beliau adalah Dr Shiha (bertudung hitam) moderator Forum Perubatan AFN





Misteri Wahhabi Di Malaysia

Dapatkan buku akob yang membahasakan polemik tentang Wahhabi di Malaysia



Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SUMBER : Mingguan Malaysia, 5 Julai 2009


Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).

Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.
Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham. Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahhabi”. Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahhabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahhabi”. Maka tidaklah berani lagi ‘penasihat’ itu berbeza pandangan dengan ‘tok imam’ dan mempertikaikan ‘infallibility’ ustaz, takut jadi wahhabi.

Di sesetengah tempat seseorang dituduh wahhabi kerana menentang amalan-amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat. Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar ‘ustaz’, bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka ‘sang ustaz’ itu dengan mudahnya akan menyebut: ‘awak wahhabi’.

Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh wahhabi. Padahal kitab melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”. Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendir, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata ‘awak wahhabi’.

Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk ‘bisnes’ mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan ‘kartun’ dan ‘lucu’. Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya ‘awak wahhabi’. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin ‘Abdul Wahhab.

Lebih buruk lagi apabila isu wahhabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai wahhabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau. Nama sultan akan digunakan.

Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat. Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: “ini lebih bahaya kerana wahhabi”. Apa itu wahhabi? Jawab mereka wahhabi itu wahhabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia ‘aliran pengkafir umat’ yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.

Di peringkat yang lebih tinggi, istilah wahhabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafi’i. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu wahhabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas.

Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi:

“Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah ‘mereka ini’ apabila menjadi ‘penasihat-penasihat’ bank, bagi memenuhi keperluan bank-bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan-pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab. Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan-pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal ‘sesetengah mereka ini’ di luar mesyuarat bank yang ber‘elaun’ itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah wahhabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai ‘wahhabi’. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.

Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.

Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’ kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang. Bagi saya, bukan isu wahhabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat ‘kedudukan’ seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mensyuarat itu sebagai ‘bank mazhab wahhabi’.

David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua ‘occomodation or resistance’. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh wahhabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap wahhabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain wahhabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.

Majalah i Bulan Julai 2009


Assalaamu'alaikum


MAJALAH i bulan Julai 2009 mengfokuskan kepada 2 topik utama iaitu GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI) dan CARA MENANGANI ISU SISTERS IN ISLAM. Laporan khas tentang program Debat Pro Kontra ISA, wawancara bersama Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan sebuah artikel daripada saudara Fathi Aris Omar bertajuk ISA Juga Ada Manfaatnya dipaparkan dalam edisi kali ini untuk membincangkan sama ada ISA itu masih diperlukan atau tidak.


Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman pula telah membahaskan isu Sisters In Islam dan Kebebasan Bersuara lengkap dengan dalil dari al-Qur'an dan al-Sunnah tentang cara sewajarnya umat Islam berhadapan dengan kumpulan Sisters In Islam ini.


Antara artikel-artikel lain yang menarik adalah :


1) Kembali Kepada Yang Asas oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah - Isu hangat berkaitan tindakan puasa sunat sebagai bantahan kepada keputusan mahkamah berkenaan jawatan Menteri Besar Perak.


2) Hukum Memuliakan al-Qur'an Dan Menyentuhnya Tanpa Wuduk Oleh Ustaz Noor Effendi bin Hamid ar Radhi, ahli Panel Fiqh http://www.al-fikrah.net/


3) Kesombongan Menutup Pintu Kebenaran oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


4) Amalan-Amalan Yang Dianggap Sunnah Pada Bulan Rejab oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


5) Waspadai Ghurur Wahai Pendakwah oleh Qomar ZA


6) Jadilah Ibu Bapa Prihatin oleh Nur Izwa Mohd Nasaruddin dari Madrasah al-Wahidah


7) Muhammad s.a.w. Sebagai Seorang Suami oleh Ulis Tofa


8) Kisah Umat Islam di Caribbean yang dilaporkan oleh Editor Majalah i, Ahmad Yani Abd Manaf


9) Era Zionis Kian Berakhir? oleh Prof. Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin, Perunding Aman Palestine


10) Pelbagai Terapi Warisan Perubatan Islam oleh Ahmad Yani Abd Manaf, Editor Majalah i


11) Wawancara wartawan Majalah i, Azlin Mohd Hamin bersama Pengurus Saluran Astro Oasis, En. Izelan Basar bertajuk Astro Oasis Umpama Air Yang Menghapus Kedahagaan Di gurun Tandus.


Dan Banyak lagi


DAPATKAN SENASKAH DENGAN SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOK

Jumaat, 3 Julai 2009

BUKU MESTI BELI : Katakan TIDAK Pada WAHABI


Our Ref:PJ-2035

Author:Mohd Hairi Nonchi

ISBN:978-967-308-174-5

Pages:215, Paperback

Price: RM 8.90

Utk beli secara online sila ke :



Buku ini menjawab beberapa tuduhan yang berniat jahat terhadap dakwah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ia dikarang oleh sahabat Akob Akhi mohd hairi yang merupakan penuntut di Universiti Malaysia Sabah dan merupakan anak murid kepada Syaikh Abdul Wahab al-Bustami


Buku yang mesti dimiliki oleh semua pencinta kebenaran dan pencinta ilmu.

Malam ini : Bahtera Perubahan Di Astro Oasis


Program adaptasi dari buku hasil nukilan Dr Asri

Kuala Lumpur, 30 Jun 2009 – Saluran gaya hidup famili yang memenuhi citarasa penonton pelbagai peringkat usia, Astro Oasis (saluran 106) terus mendekati golongan sasaran dengan menyiarkan program ceramah yang mengupas dan membincangkan isu-isu semasa berkaitan agama Islam; Bahtera Perubahan.

Program ceramah yang dikendalikan oleh pensyarah bahagian pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia dan juga bekas mufti kerajaan negeri Perlis ini; Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin bakal menemui para penonton Astro Oasis (saluran 105) pada setiap hari Jumaat, jam 7.30 malam selama 13 episod bermula pada 3 Julai 2009 ini.

Menurut pengurus saluran Astro Oasis, Tuan Hj Izelan Basar berkata, “Kami ingin terus menunaikan tanggungjawab kami sebagai pelopor saluran gaya hidup famili dengan menyampaikan program-program yang dapat mendidik para penonton dari sudut kerohanian dan pengetahuan ilmiah.

Berpegang kepada prinsip ini, kami meneruskan tradisi saluran untuk menyiarkan program-program yang dapat memberi kesedaran dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi pandangan serta pendapat berhubung dengan tajuk-tajuk yang dibincangkan.”

“Program ini juga dilihat begitu istimewa apabila Dr Asri bukan sahaja meyampaikan topik-topik mingguan dengan cara ceramah tetapi juga dengan beraninya membincangkan dan menyuarakan pandangan serta mencari kebenaran dengan nada yang lebih berani dan terbuka demi menjulang keagungan agama Islam,” tambah Izelan lagi.

Program 13 episod ini diterbitkan hasil dari adaptasi buku tulisan Dr Asri berjudul ‘Mengemudi Bahtera Perubahan Minda’, salah sebuah daripada 21 judul buku yang pernah ditulis oleh beliau akan menemui penonton pada setiap minggu selama 30 minit.

Program ceramah ini terbahagi kepada tiga segmen utama yang berupaya untuk menarik minat serta membuka mata dan minda masyarakat terutamanya umat Islam iaitu perbincangan tajuk, contoh-contoh kejadian dan seterusnya mengupas dan membuat kesimpulan tajuk.

Di antara topik-topik yang bakal menemui para penonton pada setiap minggu ialah seperti:


1. Ikut Fakta, Buang Taklid Buta

2. Falsafah Haji

3. Mudahkan Pendekatan Islam

4. Pencemaran Israiliyyat

5. Piawaian Ilmu Dalam Ceramah

6. Jangan Lelongkan Agama

7. Fekah Interaksi dengan Bukan Muslim

8. Islam dan Kebebasan Budaya serta Fesyen

9. Kembalikan Peranan Zakat

10. Mengapa Masjid Kita Kaku

11. Dunia Hiburan Terbabas

12. Hak Wanita: Antara Hukum Tuhan dan Perlaksanaan Insan

13. Persaudaraan Islam dan Ekonomi Umat


Jangan lupakan temujanji anda untuk menonton Bahtera Perubahan bersama Dr Asri pada setiap hari Jumaat, jam 7.30 malam, bermula pada 3 Julai 2009, hanya di Astro Oasis (saluran 106), Inspirasi Sanubari!