Jumaat, 24 Disember 2010

FAISAL TEHRANI & SYI'AH

Mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM kali ke-37/208 telah memutuskan bahawa sememangnya terdapat unsur-unsur Syi’ah di dalam tulisan Faisal Tehrani!


PERIHAL FAISAL TEHRANI...
SUMBER: http://mufakkir-islami.blogspot.com/


Nampaknya penangkapan Syiah di Gombak baru-baru ini menyebabkan saudara Faisal Tehrani (FT) benar-benar kepanasan. Tulisan-tulisan beliau dalam blognya semakin merapu-rapu sehingga entri terbaru meminta supaya ASWJ mengkafirkan sahaja penganut Syiah di Malaysia. Kalau begitu bermakna, FT sendiri yang kafirkan Syiah. Tiada ulama ASWJ yang kafirkan Syiah secara mutlaq begitu. Hatta kerajaan Arab Saudi yang terkenal dengan fahaman keras mereka terhadap Syiah masih membenarkan penganut Syiah mengunjungi Kota Makkah dan Madinah untuk tujuan haji dan ziarah. Bermakna mereka masih menganggap Syiah itu muslim bukan KAFIR SEPERTI FATWA FAISAL TEHRANI.

Sebenarnya, penulis mendapat banyak pertanyaan berkenaan FT. Adakah FT seorang Syiah atau bagaimana? Untuk makluman para blogger dan seluruh penganut Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) di Malaysia, mesyuarat Panel Kajian Aqidah JAKIM kali ke-37/2008 telah memutuskan bahawa sememangnya terdapat unsur-unsur Syiah di dalam tulisan-tulisan FT.

Oleh itu, penulis ingin menegaskan supaya para blogger hendaklah berhati-hati jika membaca tulisan-tulisan karangan FT termasuk blognya. Sebagai contoh, dalam entri bersempena dengan sambutan Asyura dan Karbala, FT telah menulis di dalam blognya dengan menggunakan dalil-dalil dari kitab ASWJ kononnya amalan meratap sambil memukul muka dan dada terhadap kesyahidan Sayyidina Husain seperti yang dilakukan oleh puak Syiah adalah termasuk dalam ‘tradisi ASWJ.


Entri 3 bahagian yang bertajuk ‘Menangislah Ia Sunnah Nabi’, mengumpulkan hujjah-hujjah kononnya perbuatan ‘menangis’ seperti yang dilakukan oleh Syiah juga telah lama menjadi tradisi ASWJ. Nampaknya FT memang bijak memutarbelitkan dalil-dalil sunni dengan berhujjah di luar konteks serta menyalahtafsirkan maksud ‘menangis’. Apa yang menjadi masalah, FT tidak tahu membezakan antara maksud ‘menangis’ dan ‘meratap’ sedangkan kedua-duanya adalah istilah yang berbeza dalam sunnah Nabi. Sememangnya sunnah tidak melarang kita menangis atas kematian yang berlaku kerana itu fitrah, lebih-lebih lagi ketika menghadapi saat pertama menerima berita kematian seperti disebut oleh Baginda SAW ketika melihat seorang wanita menangisi kematian bayinya. Rasulullah SAW bersabda kepada wanita tersebut, “Bertaqwalah dan bersabarlah…sesungguhnya kesabaran itu pada awal kemalangan”. (Sahih Bukhari)

Hadith ini menunjukkan bahawa, walau sesedih mana sekalipun menerima berita kematian, umat Islam dianjurkan supaya bertaqwa dan bersabar bagi mengelakkan mereka melampau-lampau dalam menangis ketika di awal berlaku kematian kaum keluarga dan sebagainya. Malah Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh teladan apabila menangisi kematian anaknya Ibrahim dalam keadaan penuh kesabaran. Rasulullah SAW bersabda:

"إِنَّ الْعَيْنَ تَدْمَعُ وَالْقَلْبَ يَحْزَنُ ولا نَقُولُ إلا ما يَرْضَى رَبُّنَا وَإِنَّا بِفِرَاقِكَ يا إِبْرَاهِيمُ لَمَحْزُونُونَ"

“Sesungguhnya mata itu mencucurkan air mata, dan hati bersedih, dan kita tidak mengatakan (memerintahkan/meyakini) kecuali apa-apa yang menjadi keredhaan Allah, dan sesungguhnya aku adalah orang yang bersedih dikeranakan perpisahanku dengan Ibrahim (puteraku).”

Inilah kaedah menangis yang dibenarkan di dalam Islam, bukan meratap yang dilarang secara tegas oleh Baginda SAW malah ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kaum keluarga Nabi SAW. FT juga jangan jadi jahil (sedangkan anda adalah seorang sasterawan) beza antara ‘menangis’ dengan ‘meratap’ dalam bahasa Melayu.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ‘menangis @ tangis; bererti ‘pelahiran perasaan sedih (kecewa, menyesal dll) dgn mencucurkan air mata dan suara yg tersedu-sedu’ manakala ‘meratap @ ratap’ bererti ‘tangisan atau jeritan yg disertai kata-kata kerana terlalu sedih’ dan ‘meratap’ ialah ‘menangis sambil mengeluarkan kata-kata; mengeluh dgn menjerit dll’ (Sila rujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP di laman http://prpm.dbp.gov.my/)

Meratap inilah yang dilarang di dalam Islam dan disebut di dalam hadith-hadith Nabi SAW sebagai ‘niyahah’. Al-Sunnah dengan jelas menyebut perbuatan meratapi si mati sehingga menampar-nampar muka dan dada, menyeksa diri dengan melukakan tubuh serta kepala adalah amalan jahiliyyah dan diharamkan berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW. Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith daripada Ibnu Mas'ud r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda, “Bukan dari kalangan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak kolar baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah”. (Sahih Bukhari).

عن أُمِّ عَطِيَّةَ قالت أَخَذَ عَلَيْنَا رسول اللَّهِ  مع الْبَيْعَةِ أَلَّا نَنُوحَ فما وَفَتْ مِنَّا امْرَأَةٌ إلا خَمْسٌ أُمُّ سُلَيْمٍ وَأُمُّ الْعَلَاءِ وَابْنَةُ أبي سَبْرَةَ امْرَأَةُ مُعَاذٍ أو ابْنَةُ أبي سَبْرَةَ وَامْرَأَةُ مُعَاذٍ

Diriwayatkan daripada Ummu Atiyyah r.a katanya: “Rasulullah SAW menerima janji dari kami pada waktu bai'ah iaitu ikrar setia, agar kami tidak meratapi mayat. Tidak ada wanita yang turut berbai'ah kecuali hanyalah lima orang iaitu Ummu Sulaim, Ummul Ala', anak perempuan Abu Sabrah iaitu isteri Mu'az atau puteri Abu Sabrah isteri kepada Mu'az". (Sahih Muslim)

أَنَّ أَبَا مَالِكٍ الْأَشْعَرِيَّ حدثه أَنَّ النبي  قال أَرْبَعٌ في أُمَّتِي من أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ لَا يَتْرُكُونَهُنَّ الْفَخْرُ في الْأَحْسَابِ وَالطَّعْنُ في الْأَنْسَابِ وَالْاسْتِسْقَاءُ بِالنُّجُومِ وَالنِّيَاحَةُ وقال النَّائِحَةُ إذا لم تَتُبْ قبل مَوْتِهَا تُقَامُ يوم الْقِيَامَةِ وَعَلَيْهَا سِرْبَالٌ من قَطِرَانٍ وَدِرْعٌ من جَرَبٍ

Daripada Abu Malik al-Asy’ari bahawa Nabi SAW bersabda: “Ada empat perkara pada umatku yang termasuk perkara jahiliyah yang tidak mereka tinggalkan: Membanggakan kemuliaan orang tua nenek moyang, mencela nasab, istisqa (meminta hujan) dengan bintang, dan meratap.’ Dan Baginda SAW bersabda, ‘Wanita yang meratap, jika tidak bertaubat sebelum matinya, maka dia akan dibangkitkan pada hari Qiamat dengan memakai pakaian dari cairan tembaga dan gaun kudis’”

Manakala riwayat daripada Sayyidah Aisyah r.a. yang menyebut bahawa beliau menampar wajahnya selepas kewafatan Rasulullah SAW tidak boleh sama sekali dijadikan hujjah kerana ia bukan hadith tetapi hanya athar sahabi. Apatah lagi apabila ia bertentangan dengan riwayat hadith sahih. Tambahan lagi dalam riwayat tersebut Sayyidah Aisyah menyebut di permulaannya: فَمِنْ سفهي وَحَدَاثَةِ سني bermaksud “dan kerana kejahilanku dan keremajaan umurku”. Ia menunjukkan bahawa Sayyidah Aisyah mengakui ia adalah satu kesilapan dan para ulama ASWJ berpendapat Sayyidah Aisyah telah bertaubat daripada kesilapan tersebut.

Akhirnya, memadailah dengan tiga hadith di atas sebagai dalil golongan ASWJ bahawa amalan meratap @ niyahah adalah dilarang oleh Rasulullah SAW dengan disertai janji azab di Hari Qiamat kelak bagi orang yang melakukannya. Kerana itu tiada ulama ASWJ yang mengharuskannya apa lagi untuk melakukannya serta menjadikannya sebagai satu syiar seperti Syiah. Tidak mungkin FT tidak tahu bagaimana Syiah mengadakan upacara ma’tam bagi mengenang peristiwa Karbala. Ia dipenuhi dengan jerit tangis yang meratap-ratapi kesyahidan Sayyidina Husain. Malah ia dilagukan sambil memukul-mukul dada dan sebahagiannya menampar pipi, malah ada yang lebih dahsyat sehingga melukakan tubuh badan sendiri. Adakah seorang sasterawan seperti FT tidak tahu membezakan menangis biasa (buka’) dengan meratap (niyahah)? Adakah FT mahu mengatakan ini tradisi sunni? Maaf anda telah berbohong dengan pembohongan yang besar!!! Rasulullah SAW bersabda:

عن الْمُغِيرَةِ رضي الله عنه قال سمعت النبي  يقول إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ ليس كَكَذِبٍ على أَحَدٍ من كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ من النَّارِ سمعت النبي  يقول من نِيحَ عليه يُعَذَّبُ بِمَا نِيحَ عليه

Daripada al-Mughirah r.a., beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya pembohongan ke atasku tidak seperti pembohongan ke atas orang lain, sesiapa yang berbohong atas namaku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya di dalam neraka. Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang diratapi atas kematiannya, dia diazab dengan apa yang diratapi atasnya”. (Sahih Bukhari).

Di kesempatan ini juga, penulis ingin menyeru semua pihak terutamanya ilmuan dan intelektual ASWJ termasuk Dr MAZA (yang baru-baru ini mengatakan keperluan berhujjah dgn ajaran menyeleweng bukan guna kuasa-walaupun bagi penulis penggunaan kuasa dan hujjah perlu berjalan sekaligus mengikut bidangkuasa masing2 berdasarkan hadith 'man ra'a minkum munkaran') supaya menjawab keraguan dan syubuhat-syubuhat yang dicetuskan oleh Syiah dari masa ke semasa. Semoga masyarakat Islam-ASWJ di Malaysia dipelihara Allah daripada segala bentuk bid'ah yang merosakkan kesucian aqidah dan syariah Islam.

Wallahu a'lam.

Jumaat, 10 Disember 2010

MUHARRAM BUKAN BULAN NABI BERHIJRAH




MUHARRAM BUKAN BULAN NABI BERHIJRAH
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Soalan: Dr Asri, menjelang bulan Muharram, kita umat Islam akan memperkatakan tentang bulan ini sebagai bulan Hijrah, di mana Nabi s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah. Bolehkah Dr bincangkan hikmah Nabi s.a.w memilih bulan Muharram sebagai bulan hijrah baginda? Apakah lagi yang patut kita lakukan untuk menyambut bulan hijrah ini selain dari apa yang biasa masyarakat kita lakukan?



Nasir, Kuantan.



Jawapan Dr MAZA: Terima kasih atas soalan yang diberikan. Sebenarnya, banyak perkara dalam mengambil fakta agama dibuat secara ikutan tanpa penelitian dan semakan yang pasti. Kita sering mengikut apa yang orang lain sebut atau ungkapkan tanpa kita memastikan ketepatannya. Malang sekali, bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat awam, tetapi juga dalam kalangan mereka yang terpelajar. Untuk menjawab soalan saudara, saya ingin sentuh beberapa perkara berikut;



1. Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab r.a. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi s.a.w berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.

2. Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.

Di zaman Saidina Umar, umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi s.a.w. untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam Namun ditolak oleh Amirul al-Mukminin Umar bin al-Khattab r.a. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi s.a.w berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.

Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan. Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi s.a.w berhijrah.

3. Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).

Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi s.a.w berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.

4. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

5. Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelas bulan muharram bukanlah bulan baginda Nabi s.a.w berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; baginda keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi s.a.w pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi s.a.w.

6. Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar r.a. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.

7. Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.

8. Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.

9. Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.

Jumaat, 19 November 2010

Buku : Pembahagian Tauhid Kepada 3 : PENJELASAN & PEMBELAAN


Tajuk: Tauhid 3T: Penjelasan dan Pembelaan.

Tajuk Asal: القول السديد في الرد على من أنكر تقسيم التوحيد.

Pengarang: al-Syeikh ‘Abd.al-Razzaq bin ‘Abd. al-Muhsin al-Badr.

Penterjemah: Mohd Amin Yaacob

Penerbit: Jahabersa, Johor Bahru.
www.jahabersa.com.my

Harga: RM12.00 (170ms, soft cover).


Di mana: Kedai-kedai yang biasa menjual buku Jahabersa atau order terus secara online.

Sinopsis:

Subjek Tauhid 3T, yakni Tauhid al-Rububiyah, Tauhid al-Uluhiyah dan Tauhid al-Asma wa al-Sifat sering menjadi perbahasan sebahagian tokoh agama dan masyarakat. Antara yang menjadi tumpuan mereka:

• Adakah Tauhid 3T memiliki dasar dari al-Qur’an dan al-Sunnah?

• Siapakah yang memulakan pembahagian tauhid seperti ini?

• Benarkah Tauhid 3T umpama aqidah Trinity agama Kristian yang membahagikan tuhan mereka kepada 3?

Buku di tangan anda ini insya-Allah akan menjawab soalan-soalan di atas serta menjelaskan banyak lagi persoalan lain. Berdasarkan jawapan, pembelaan dan penjelasan ini, akan jelas kepada para pembaca sekalian kekeliruan sebahagian pihak yang menolak, meremeh serta menyesatkan Tauhid 3T. Selamat mengkaji!

Buku Baru : Benarkah Wahabi Jatuhkan Kerajaan Uthmaniyyah?

Tajuk: Kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah: Suatu Analisis Ke Atas Peranan Gerakan "Wahhabiyyah".
Pengarang: Ibnu Ahmadain al-Barlisi.
Penerbit: Jahabersa. www.jahabersa.com.my
Harga: RM20.00 (soft cover, 279ms).

Di mana: Kedia-kedai yang lazim menjual terbitan Jahabersa atau pesan terus secara online.

Sinopsis buku di kulit belakang:

Banyak orang menyandarkan kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah kepada gerakan islah Muhammad bin Abdul Wahhab, atau lebih dikenali sebagai gerakan “Wahhabiyyah”.

Benarkah sandaran atau ia semata-mata tuduhan? Pengarang buku ini cuba menganalisa persoalan ini dengan mengkaji sumber-sumber sejarah yang ditulis oleh ahli sejarah pelbagai pihak. Keputusan kajian agak memeranjatkan!

Ulasan tambahan:

Saya sudah membaca skrip buku ini sebelum ia diserahkan kepada penerbit. Alhamdulillah, ia adalah karya tulen yang meletakkan tahap yang baru (new standard) dalam meneliti sejarah kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Ia asalnya merupakan jawapan dan bantahan kepada Uthman el-Muhammady yang kerap kali menuduh gerakan Wahabi sebagai punca umat Islam masa kini tidak memiliki Khilafah bagaikan anak yang tidak memiliki bapa.

Kajian merujuk kepada pelbagai sumber sejarah sama ada dari Timur Tengah, Nusantara dan juga Eropah.

Jangan terkejut bahawa bangsa Melayu dan Kesultanan Melayu ada juga peranan dalam isu ini.

Dikemukakan juga beberapa fakta sejarah yang berkaitan sehingga kepada sejarah kemasukkan Yahudi ke Timur Tengah (Palestin) dan peranan Asya'irah-Matuduriyyah dalam semua ini.

Buku ini mesti dibaca oleh semua orang yang prihatin kepada isu khilafah, wahabi dan Palestin-Yahudi.

Buku Terbaru Hafiz Firdaus Abdullah


Tajuk: Catatan Dari 40,000 Kaki (Buku 1).
Pengarang: Hafiz Firdaus bin Abdullah.
Penerbit: Jahabersa. www.jahabersa.com.my
Harga: RM12.00 (soft cover, 154ms).
Di mana: Kedia-kedai yang lazim menjual terbitan Jahabersa atau pesan terus secara online.

Ulasan:

Buku ini merupakan himpunan artikel yang saya tulis setiap bulan bagi salah sebuah majalah tempatan.

Ia dalam keadaan yang asal memandangkan apa yang tersiar dalam majalah sudah disunting oleh sidang pengarangnya sedikit sebanyak bersesuai dengan ruang yang ada dan citarasa pembaca.




Tajuk: Cahaya Rohani (Buku 2).
Pengarang: Hafiz Firdaus bin Abdullah.
Penerbit: Jahabersa. www.jahabersa.com.my
Harga: RM14.00 (soft cover, 194ms).

Di mana: Kedia-kedai yang lazim menjual terbitan Jahabersa atau pesan terus secara online.

Ulasan:

Buku ini merupakan himpunan artikel, doa-zikir dan soal-jawab agama yang saya tulis setiap bulan bagi salah sebuah majalah tempatan.

Ia dalam keadaan yang asal memandangkan apa yang tersiar dalam majalah sudah disunting oleh sidang pengarangnya sedikit sebanyak bersesuai dengan ruang yang ada dan citarasa pembaca.




Buku Mesti Beli : PROTAZ Dalam Arus Kebangkitan Islam di Malaysia


Tajuk: PROTAZ Dalam Arus Kebangkitan Islam Di Malaysia.
Pengarang: Safinah binti Ismail.
Penerbit: Jahabersa. www.jahabersa.com.my
Harga: RM12.00 (soft cover, 156ms).

Di mana: Kedia-kedai yang lazim menjual terbitan Jahabersa atau pesan terus secara online.

Sinopsis buku di kulit belakang:

PROTAZ ialah gelaran yang biasa disebut-sebut mutakhir ini. Namun apakah maksud PROTAZ, di manakah lahirnya gelaran ini, siapakah mereka dan apa kaitan mereka dengan perkembangan Islam di Malaysia? Demikianlah beberapa persoalan berkenaan PROTAZ yang akan dikupas dalam buku ini. Teruskan mengkaji buku ini bagi mendapatkan jawapannya.

Ulasan tambahan:

Buku ini asalnya ialah kertas tesis pengarang, lalu diringkaskan menjadi buku. Ia secara mengupas fenomena PROTAZ di Malaysia dan secara jujur menerangkan pro dan kontra Protaz.