Jumaat, 29 Ogos 2008

BERBUKA PUASA MENGIKUT SUNNAH

Berbuka Puasa Mengikut Sunnah
Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:

a. Membaca doa yang thabit daripada Nabi s.a.w.

Ibn ‘Umar r.a berkata: "Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w akan membaca: Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
(Dzahabaz zhoma u wabtallatil 'uruuqu wa thabatal ajru insyaallah)
– Hadis riwayat Abu Dawud, no: 2010.

Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: "Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
(Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi'ta kulla syai in an taghfirali)"
- Hadis riwayat Ibn Majah, no: 1743.

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka." – Hadis riwayat Ibn Majah, hadis no: 1743.

b. Menyegerakan Berbuka Puasa.

Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa." – Hadis riwayat al-Bukhari. no: 1957.

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T telah berfirman:

"Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 636.

c. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.

Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi s.a.w. Anas bin Malik r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air." - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no: 632.

d. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.

Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solatMaghrib. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaantenang." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 674.

Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, jilid 4, muka surat 208: "Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk."

e. Berbuka Puasa Secara Sederhana.

Firman Allah S.W.T:

"Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indahsetiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas." – Surah al-A’raaf : 31

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi s.a.w:

"Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan." - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 2302.

f. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.

Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin,anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah. Firman Allah S.W.T:

"Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih." - Surah al-Insaan: 8-9.

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda s.a.w:

"Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit." - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 735.

BERSAHUR CARA RASULULLAH

BERSAHUR CARA RASULULLAH
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur." – Rujuk Fathul Baari, Jil. 11, ms. 120.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasaahli kitab ialah makan sahur." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 643

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." - Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." - Surah al-Baqarah: 187

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w ." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1920.

Qadi Iyadh r.h berkata: "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar." - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11, ms. 114.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Selasa, 26 Ogos 2008

Amalan-Amalan Sunnah Pada Bulan Ramadan


AMALAN-AMALAN SUNNAH PADA BULAN RAMADAN
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat. Allah melimpahkan kasih sayang-Nya kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Ganjaran pahala kurniaan-Nya untuk hamba-Nya yang beribadah pada bulan Ramadan juga berlipat kali ganda melebihi bulan-bulan yang lain. Justeru itu tidak hairanlah sekiranya bagi golongan yang beriman mereka berlumba-lumba untuk mempertingkatkan amal ibadah mereka pada bulan yang mulia ini. Berikut adalah beberapa amalan-amalan yang disyari’atkan bagi seluruh umat islam sempena Ramadan al-Mubarak ini.

Apabila seseorang melihat anak bulan untuk menentukan tarikh bermulanya bulan Ramadan, dia hendaklah berdoa dengan doa yang telah diajar oleh Nabi s.a.w iaitu :

"Ya Allah munculkanlah anak bulan ini ke atas kami dengan membawa keberkatan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah." - Hadis riwayat al-Tirmizi, no: 3373.

Pada bulan Ramadan ini disyariatkan untuk berpuasa yakni meninggalkan makan dan minum serta segala perbuatan yang keji dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Sabda Nabi:

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan puasa ke atas kamu semua." - Hadis riwayat Ahmad, no: 9133.

Berpuasa bukan sekadar meninggalkan makanan dan minuman. Tetapi, untuk memperolehi kesempurnaan di dalam berpuasa seseorang seharusnya juga meninggalkan perkataan-perkataan yang keji serta perbuatan-perbuatan orang jahil. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) atau berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum)." – Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1894.

Justeru, disunnahkan bagi orang yang berpuasa meninggalkan perbualan yang lagha (tidak berfaedah), mengumpat, bercakap kotor, mencerca orang lain dan sebagainya. Puasa juga mendidik seseorang untuk menjadi penyabar. Oleh itu, seseorang yang berpuasa disunnahkan bersabar apabila dicerca mahupun diperangi oleh pihak lain dengan mengucapkan “sesungguhnya aku sedang berpuasa” sebagaimana sabda rasulullah s.a.w:

"Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil (menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa (Nabi menyebutnya dua kali). ” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1894.

Semoga melalui ucapan itu dapat mencegah pihak lain dari mencerca atau memeranginya. Berbohong boleh mencacatkan kesempurnaan puasa. Oleh itu, syariat melarang seseorang bercakap bohong ketika berpuasa dan Allah melarang keras perbuatan dengan ancaman tidak akan menerima ibadah puasanya. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan perbuatan it uterus menerus, Allah langsung tidak berhajat (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum (puasa)." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1903.

Umat Islam sepatutnya menggunakan kesempatan di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dengan menggandakan amal kebajikan seperti bersedekah. Rasulullah s.a.w yang sememangnya terkenal dengan sifat dermawan sentiasa memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan berbanding bulan-bulan yang lain. Ibn Abbas r.a berkata:

Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dalam hal kebaikan dan kemuncak sifat dermawanan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1902.

Disunnahkan kepada seluruh umat Islam agar bertadarus (membaca dan mempelajari) al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertadarus al-Quran bersama Jibril a.s pada setiap malam di bulan Ramadan. Ibn Abbas r.a berkata:

"Jibril a.s menemuinya (Nabi s.a.w ) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1902.

Para salafussoleh adalah antara umat Nabi s.a.w yang diiktiraf sebagai generasi terbaik. Terdiri daripada kalangan mereka para sahabat baginda s.a.w, para tabi’in dan tabi’ al-tabi’in. Mereka amat mengambil berat amalan membaca al-Quran pada bulan Ramadan dan sudah menjadi kelaziman bagi mereka mengkhatam al-Quran berkali-kali pada bulan Ramadan.Bulan Ramadan adalah bulan di mana pintu Rahmat (kasih sayang) dan pintu keampunan Allah dibuka seluas-luasnya serta ganjaran pahala dilipat gandakan kepada hamba-Nya tanpa batasan. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan kepada-Nya kerana pahalanya akan digandakan jauh lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain.

Jika berkemampuan, berusahalah untuk mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan kerana pahalanya menyamai pahala mengerjakan ibadah haji. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1782.

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Pahala umrah pada bulan Ramadan menyamai pahala haji. Tetapi, bukan bererti umrah tersebut dapat mengugurkan kewajipan haji. Berdasarkan ijmak ulama, umrah tidak dapat menggantikan kewajipan ibadah haji hinggakan orang yang telah melaksanakan umrah (pada bulan Ramadan) tetap berkewajipan melaksanakan haji." – Rujuk Fathul Baari, jil. 10, ms. 27

Pada bulan Ramadan terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding melakukan ibadah selama seribu bulan yang dipanggil sebagai lailatulqadar. Firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar. Menurut pengetahuanmu, apakah yang kebesaran yang terdapat pada malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." - Surah al-Qadr: 1-5.

Justeru itu, kita semua hendaklah menggandakan ibadah kita pada sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadan terutamanya pada malam-malam yang ganjil, iaitu malam ke 21, 23, 24, 27 dan malam ke 29 demi mendapatkan malam al-Qadar. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang hidup untuk melakukan ibadah sambil beri’tikaf di masjid. Ketika beri’tikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain. Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain." – Hadis riwayat Muslim, no: 1174.

Solat Tarawih atau Qiyam Ramadan merupakan satu sunnah yang amat dituntut. Umat Islam perlu menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan amal ibadah seperti solat-solat sunat. Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." – Hadis riwayat Imam Muslim, no: 759.

Semoga huraian ringkas mengenai sunnah menyambut bulan Ramadan al-Mubarak ini dapat meningkatkan keazaman semua pihak untuk mencontohi Rasulullah s.a.w demi memanfaatkan keutamaan yang dianugerahkan oleh Allah pada bulan Ramadan al-Mubarak ini.

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADAHAN




KEISTIMEWAAN BULAN RAMADAHAN
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Kehadiran bulan ramadan merupakan satu rahmat daripada ALLAH. Ia merupakan bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini. Bulan Ramadan telah dimuliakan oleh ALLAH dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan ALLAH yang lain. Antara keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadan ialah:

1. Disyariatkan Ibadah Puasa

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu." ­- Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya , hadis no: 9133.

2. Bulan Diturunkan Al-Quran

Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Firman ALLAH S.W.T:

"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah." - Surah al-Baqarah: 185.

3. Pintu Syurga Terbuka Luas

Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1898.

4. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA) Terbuka Luas

Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­- Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079.

5. Pintu Langit Terbuka Luas

ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.

6. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat

Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.

7. Syaitan dan Jin Dirantai

Pada bulan Ramadan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain. Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no: 618.

Namun, persoalan yang timbul di sini bahawa sekiranya syaitan dan jin dibelenggu pada bulan Ramadan mengapa manusia masih melakukan kemungkaran pada bulan ini? Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Imam al-Qurthubi r.h telah berkata:

"Apabila semua syaitan terbelenggu tidak bermakna langsung tidak akan berlaku kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana, punca berlakunya kemaksiatan mungkin berpunca daripada faktor selain (hasutan) syaitan seperti diri manusia itu yang sememangnya berperangai buruk, sentiasa melakukan perbuatan mungkar serta manusia yang nafsunya masih terdorong mengikut hasutan syaitan." - Rujuk Fath al-Baari Syarh Sahih al-Bukhari, Tahqiq oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta (1997), jil. 11, ms. 43.

Mungkin ada yang akan tertanya-tanya tentang kebenaran fakta kewujudan syaitan mahupun jin dari jenis manusia. Sebenarnya ALLAH sendiri telah memerintahkan kita agar berwaspada dan memohon perlindungan kepada-NYA dari hasutan kelompok seperti ini.

Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): AKU berlindung kepada (ALLAH) Pemelihara sekalian manusia, yang Menguasai sekalian manusia, TUHAN yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia." – Surah al-Nas: 1-6.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya maksiat dan kemungkaran masih wujud pada bulan Ramadan yang mulia ini. Malah, pada bulan ini kita sebenarnya berkesempatan untuk berkenalan dengan spesis syaitan atau jin dari kalangan kaum manusia. Ya! kita dapat mengenali spesies ini melalui sikap mereka yang enggan mentaati perintah ALLAH. Semoga kita semua terhindar dari tergolong dalam kelompok yang hina ini.

8. Pada Bulan Ini Terdapat Lailatul Qadar

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.

Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Apakah itu Lailatulqadar?

Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu. Selain itu, apa sahaja yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya ditetapkan oleh ALLAH pada malam itu.

Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Sya’ban merupakan malam ALLAH menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya. Disebabkan oleh kekeliruan ini, mereka telah menciptakan pelbagai ibadah yang khusus seperti membaca surah Yasin sebanyak tiga kali diselang-selikan dengan doa-doa yang tertentu agar tahun yang mendatang bakal lebih baik dari tahun itu. Ternyata amal ibadah itu termasuk bid’ah paling mungkar kerana tidak ada contoh daripada Rasulullah s.a.w dan wajib ditinggalkan. Rasulullah s.a.w telah mencela amalan bid’ah melalui sabdanya:

"Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah) serta seburuk-buruk perkara adalah sesuatu yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan termasuk kategori bid’ah dan semua bid'ah itu menyesatkan." - Hadis riwayat Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 867.

Keistimewaan malam yang penuh berkat ini diperjelaskan lagi oleh ALLAH melalui firman-NYA:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh berkat. (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran) pada malam yang berkat itu, di samping menjelaskan (kepada malaikat) semua perkara yang mengandungi hikmah serta takdir yang akan berlaku." – Surah al-Dukhaan: 3-4.

Bilakah Berlakunya Lalitaulqadar?

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no: 2017.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1165.

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29. Ini kerana, pada sepuluh malam terkahir inilah Rasulullah s.a.w mempergiatkan ibadahnya.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1174.

Ibadah yang amat dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ketika berada di bulan Ramadan, antaranya mempergiatkan ibadah qiamullail (solat malam), memperbanyakkan doa, berzikir, membaca al-Quran dan amal soleh yang lain. Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam lailatulqadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib r.a:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat):

"Ya ALLAH! Sesungguhnya AKU berlindung dengan keredhaan-MU daripada segala kemurkaan-MU. AKU juga berlindung dengan kemaafan-MU daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. AKU juga berlindung dengan Zat-MU yang tidak terhitung segala nimat dan belas kasihan yang telah ENGKAU berikan, kami hanya mampu berusaha memuji-MU seperti mana pujian yang layak bagi Zat-MU." – Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ahmad dan selainnya.

Selasa, 19 Ogos 2008

BUKU MESTI BELI SEMPENA RAMADAN DAN AIDILFITRI


Assalaamu'alaikum

Sekiranya kita perhatikan buku-buku di pasaran, maka kita akan melihat begitu banyak buku-buku yang hanya membicarakan tentang bulan Ramadan dan Ibadah Puasa. Namun begitu sukar sekali untuk kita mendapatkan buku yang membicarakan tentang tatacara menyambut Hari Raya Aidilfitri menurut sunnah Nabi s.a.w.

Justeru itu saya melihat ada keperluan untuk mengarang sebuah buku yang menggabungkan sunnah-sunnah Nabi dalam menyambut kedatangan bulan Ramadahan dan Hari Raya. Buku ini saya karang dengan cara yang mudah difahami dan ringkas tapi padat dengan dalil-dalil dari al-Qur'an dan al-Sunnah serta pandangan-pandangan para ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai panduan untuk umat Islam mengharungi bulan Ramadhan yang penuh berkat ini dan sambutan sempena Aidilfitri.

Oleh itu pastikan anda semua mendapatkan senaskah buku ini yang boleh didapati di mana-mana kedai buku agama yang menjual buku-buku terbitan KARYA BESTARI/ALAF21 atau anda juga boleh membuat belian secara terus dari pihak KARANGKRAF melalui pelbagai cara seperti butiran yang terdapat di alamat:



atau beli sehaja secara online di alamat ini :

http://mall.karangkraf.com/webshaper/store/viewProd.asp?pkProductItem=794


TAJUK BUKU : Menyambut Ramadan Dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah SAW
PENULIS : Mohd Yaakub Mohd Yunus
PENERBIT : Karya Bestari
HARGA : RM 7.00
Halaman : 208
Untuk dibeli secara online sila ke: http://www.alaf21.com.my/page22.htm

Setiap tahun umat Islam di seluruh negara akan membuat persiapan menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, terutama pada saatmenyambut kedatangan Aidilfi tri. Tidak hairanlah sebahagian mereka sanggup mengeluarkan kos perbelanjaaan yang besar semata-matamenyambut kedatangan kedua-dua bulan ini. Seluruh umat Islam mengetahui bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya berbelanja, bersukaria atau menyambut perayaan dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan. Tetapi, ALLAH telah menggariskan beberapa panduan dan contohterbaik bagi hamba-hamba-NYA ketika menyambut bulan yang mulia ini agar tidak melampaui batas dan berlaku kemungkaran.

Alhamdulillah... buku ini cuba merungkaikan secara ringkas beberapa panduan dan amalan yang menjadi kebiasaan Nabi s.a.w dan para sahabatmelakukan ketika menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak dan menyambut Aidilfitri.

Semoga buku ini memberi manfaat kepada seluruh pembaca yang budiman untuk meneladani sunnah Rasulul lah s.a.w dan menjauhilarangannya. Mudah-mudahan amalan yang menepati perintah ALLAH dan Rasul-NYA diterima oleh-NYA.

Isnin, 18 Ogos 2008

BERITA HARIAN 18hb Ogos : Berdakwah suatu tugas mencabar


Berdakwah suatu tugas mencabar
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

PROFESION sebagai pendakwah adalah satu tugas mencabar dan penuh liku. Ada kalanya kehadiran seorang pendakwah di tengah masyarakat tidak diterima dengan baik. Bahkan ada beranggapan mereka sebagai golongan pengganggu hak asasi individu, kelompok ketinggalan zaman, berpemikiran jumud dan bermacam lagi kata berbentuk celaan. Pendakwah hendaklah sentiasa bersabar ketika menghadapi rintangan sebegini dan meneruskan usaha dakwah demi mencapai balasan baik daripada Allah. Sesungguhnya rasul juga melalui rintangan perit seperti dihadapi sesetengah pendakwah masa kini dan mereka tetap bersabar. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, rasul sebelummu pernah didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang yang mendustakan dan menyakiti mereka sehingga datang pertolongan Kami kepada mereka. Dan sememangnya tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah Allah (janji-Nya). Dan sesungguhnya sudah datang kepadamu sebahagian daripada berita rasul itu.” (Surah al-An’am, ayat 34)

Bersabar bukan bermaksud pendakwah hanya berdiam diri ketika kemungkaran berlaku di depan mata. Tetapi, dakwah hendaklah tetap dilakukan dengan penuh kebijaksanaan dan sikap lemah lembut. Selain itu, kita tidak perlu bersedih apabila dakwah seakan-akan tidak berjaya tetapi hendaklah bersabar kerana perubahan ke arah kebaikan tidak akan berlaku sekelip mata kecuali jika di kehendaki Allah. Hendaklah yakin bahawa tugas seorang pendakwah hanyalah untuk menyampaikan ajaran Allah dan rasul-Nya namun hanya Allah yang menentukan siapa selayaknya menerima hidayah itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada orang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk.” (Surah al-Qashash, ayat 56) Ayat itu diturunkan selepas Abu Talib menemui ajalnya dalam keadaan tidak beriman kepada Allah. Rasulullah SAW amat mengasihi bapa saudaranya itu kerana dia sentiasa melindungi Baginda daripada ancaman golongan Quraisy di Makkah walaupun Abu Talib tidak menerima risalah dibawakan Baginda. Ketika Abu Talib sedang nazak, Baginda menyeru kepadanya untuk mengucapkan kalimah syahadah berulang kali. Namun Abu Talib tetap berpegang dengan agama nenek monyangnya sehingga beliau meninggal dunia. Rasulullah begitu sedih dan kecewa lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Sungguh akan aku mohonkan keampunan untukmu selama aku tidak dilarang.” Lalu Allah menurunkan firman-Nya yang bermaksud: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang musyrik.” (Surah al-Taubah, ayat 113)

Begitulah Allah ingin menekankan bahawa seorang nabi yang maksum serta sentiasa berada di bawah bimbingan wahyu Ilahi juga tidak dapat memberikan hidayah kepada sesiapa pun kecuali dengan kehendak Allah. Oleh itu, kepada seluruh pendakwah jangan berasa gusar apabila usaha anda seakan-akan tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak. Hanya Allah saja yang berkuasa untuk menentukan siapa daripada kalangan hamba-Nya yang berkeinginan untuk menerima kebenaran. Tugas pendakwah adalah terus menyebarkan seruan Ilahi tanpa perasaan putus asa.

Apa yang penting hendaklah pendakwah melaksanakan tugas mereka dengan cara yang bijaksana. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik serta berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih Mengetahui orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dia juga yang lebih Mengetahui orang yang mendapat hidayah.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Pendakwah hendaklah sentiasa memikirkan apakah natijah yang akan muncul akibat daripada tindakan diambilnya ketika berdakwah. Mereka juga hendaklah jangan terlalu ghairah serta tergesa-gesa untuk membawa pihak diseru ke jalan yang benar. Dakwah hendaklah dibangunkan atas dasar ilmu berlandaskan al-Quran dan sunnah. Dakwah tanpa ilmu pasti akan menjuruskan ke arah kesesatan dan sikap ekstrim. Oleh itu, pendakwah perlu mempunyai ilmu pengetahuan. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, yang mana aku dan pengikutku menyeru manusia kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik) dan aku sama sekali tidak termasuk golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun.” (Surah Yusuf, ayat 108)

Dakwah hendaklah terbina atas dasar menyatukan umat dan memupuk perasaan saling mencintai antara umat Islam. Kita hendaklah memupuk tali persaudaraan melalui dakwah seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Pendakwah hendaklah menghindari corak dakwah yang keras sehingga pihak lain beranggapan pendakwah lebih cenderung untuk mencari kesalahan daripada memberi nasihat yang akhirnya akan memecah-belahkan umat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, mencintai kelembutan. Dia memberikan apa saja kepada orang bersifat lemah-lembut sesuatu yang tidak diberikan kepada orang yang bersifat kasar dan juga orang yang tidak bersifat begitu.” (Hadis riwayat Muslim)

Apabila segala langkah yang sepatutnya sudah diambil dalam kegiatan dakwah, serahkan kepada yang maha Esa untuk memberi hidayah kepada hamba-Nya yang terpilih kerana sesungguhnya barang siapa diberi petunjuk oleh Allah, maka dia tidak akan mendapatkan kesesatan dan barang siapa yang tersesat, maka tidak ada yang dapat memberikannya petunjuk kecuali Allah.

Selasa, 12 Ogos 2008

HADIS-HADIS YANG LEMAH DAN PALSU TENTANG NISFU SYA’BAN

HADIS-HADIS YANG LEMAH DAN PALSU TENTANG NISFU SYA’BAN

Berikut adalah beberapa contoh hadis-hadis lemah dan palsu tentang fadhilat malam Nisfu Sya’ban. Untuk melihat banyak lagi contoh-contoh hadis seumpamanya sila rujuk buku karangan Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj Idris r.h bertajuk AMALAN BID’AH PADA BULAN MUHARRAM, REJAB, SYA’BAAN & RAMADHAN terbitan al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur, ms. 107-119
HADIS PERTAMA:

Daripada ‘Aisyah r.a, dia berkata: “Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah s.a.w. lalu saya keluar, ternyata baginda berada di Baqi’, lalu Rasulullah bersabda:
“Apakah kamu takut padahal Allah dan Rasul-Nya melindungimu?”
Saya (‘Aisyah) jawab: Ya Rasulullah, saya mengira engkau mendatangi sebahagian isterimu (yang lain).”
Baginda bersabda: “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah turun ke langit dunia lalu mengampuni lebih banyak dosa daripada banyaknya bulu kambing Bani Kalb.” – Hadis Riwayat Imam Ahmad, Imam Tirmidzi

Komentar : Menurut Imam al-Tirmidzi: “Mengenai hadis ‘Aisyah ini kami tidak mengatahuinya kecuali daripada hadis al-Hajjaj dan saya dengar Muhammad (yakni Imam al-Bukhari) berkata ini hadis Dha’if (lemah). Daruquthni juga menyatakan sanadnya meragukan dan tidak kuat.
HADIS KEDUA:

Daripada ‘Ali bin Abi Thalib r.a, dia berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika datang malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah pada malam harinya (untuk bersolat) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Sesungguhnya pada saat itu sejak tenggelamnya matahari, Allah turun ke langit dunia seraya berfirman: “Ketahuilah, sesiapa yang meminta ampunan, maka Aku akan mengampuninya dan ketahuilah sesiapa yang meminta rezeki maka Aku akan memberinya, ketahuilah barangsiapa yang sakit maka aku akan menyihatkannya, ketahui sesiapa yang begini aku akan begitu hingga terbit matahari. Hadis riwayat Ibnu Majah.

Komentar : Sanad hadis ini lemah kerana di dalamnya terdapat Ibnu Abi Sabrah dan Usamah Abu Bakar bin Abdullah bin Muhammad bin Abi Sabrah. Menurut Ahmad bin Mu’ayyan ini adalah hadis dha’if (lemah). Ibnu Hajar dalam at-Taqrib : “Mereka menganggapnya hadis maudhu’ (palsu). Al-Aqili meletakkan hadis ini dalam kitabnya Adh-Dhu’afa Al-Kabir.
HADIS KETIGA:

Sabda Rasulullah s.a.w. kepada ‘Ali: “Wahai ‘Ali, sesiapa yang solat seratus rakaat pada malam Nisfu Sya’ban, pada setiap rakaat membaca surah al-Fatihah dan Qul huwallahu ahad 10 kali, Nabi s.a.w. bersabda : “Ya ‘Ali, tidaklah seorang hamba yang solat seperti ini kecuali Allah akan memenuhi setiap setiap keinginan dan permintaanya pada malam itu…

Komentar : Hadis ini adalah mawdhu' (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibnul Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibnul Qayyim di dalam al-Manar al-Munir, al-Suyuthi di dalam al-Lali al-Mashnu’ah
HADIS KEEMPAT:

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa solat dua belas rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan membaca pada setiap rakaatnya Qul huwallahu ahad 30 kali, tidak keluar hingga melihat tempat duduknya di syurga…

Komentar : Hadis ini adalah mawdhu' (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibnul Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibnul Qayyim di dalam al-Manar al-Munir, al-Suyuthi di dalam al-Lali al-Mashnu’ah

Isnin, 11 Ogos 2008

SAMBUTAN NISFU SYA’BAN BUKAN DARI SUNNAH?

SAMBUTAN NISFU SYA’BAN BUKAN DARI SUNNAH?

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila memperkatakan tentang bulan Sya’ban, maka tentu sekali tarikh 15 Sya’ban atau juga lebih di kenali sebagai Nisfu Sya’ban akan bermain-main di fikiran masing-masing. Pada tarikh ini atau lebih spesifik pada waktu malamnya dianggap sebagai satu malam yang memiliki kemuliaan khusus sehinggakan rata-rata umat Islam di Malaysia mengadakan amalan-amalan tertentu seperti melakukan solat malam yang khusus, berpuasa pada siang hari, membaca surah Yassin sebanyak 3 kali dan diselang-selikan dengan doa-doa tertentu.

Ada juga yang beranggapan pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki, untung rugi dan lain-lain atau dikenali sebagai al-Qadr. Melalui artikel ini, penulis akan cuba mengutarakan beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang Nishfu Sya’ban seperti:

1. Status Hadis Tentang Nisfu Sya’ban

2. Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban

3. Benarkah al-Qadr Itu Jatuh Pada Malam Nisfu Sya’ban?


STATUS HADIS TENTANG NISFU SYA’BAN

Hadis-hadis yang membicarakan tentang Nishfu Sya’ban kesemuanya berstatus daif (lemah) dan maudu’ (palsu) kecuali terdapat sebuah hadis menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h adalah sahih daripada Nabi s.a.w, iaitu riwayat yang diterima daripada Mu’az bin Jabal r.a yang berbunyi:

"ALLAH memerhatikan kepada makhluk-NYA pada malam Nisfu Sya’ban lalu DIA memberi keampunan kepada semua makhluk-NYA kecuali orang musyrik dan orang yang suka bergaduh." – Hadis riwayat Ibn Abu ‘Ashim di dalam Kitab al-Sunnah, Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan al-Hafiz Ibn Hajar al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid.

Oleh itu, sekiranya kita ingin termasuk di kalangan orang diberi keampunan oleh ALLAH pada malam Nisfu Sya’ban, kita hendaklah termasuk di kalangan orang yang tidak melakukan perbuatan syirik serta menghindari sifat suka bergaduh.

Namun, seharusnya kita sedari bahawa ALLAH juga turun ke langit dunia setiap hari pada sepertiga akhir malam.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"TUHAN kita Tabaraka wa Taala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal sepertiga malam yang akhir. ALLAH berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-KU, pasti AKU akan memakbulkannya; sesiapa yang meminta kepada-KU, pasti AKU akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-KU, pasti AKU akan mengampunnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1145.

Oleh itu, sewajarnya kita mempertingkatkan amal ibadah yang benar-benar sahih daripada Nabi s.a.w sepanjang masa. Sewajarnya kita tidak hanya menunggu hari-hari tertentu atau malam-malam tertentu seperti malam Israk dan Mikraj atau Nisfu Sya’ban melainkan terdapat dalil yang sahih menunjukkan pada malam tersebut sememangnya memiliki fadilat-fadilat tertentu seperti bulan Ramadan dan malam lailatulqadar.

Amalan-amalan Khusus Sempena Nisfu Sya’ban

Sekiranya kita perhatikan hadis sahih tentang Nisfu Sya’ban yang telah penulis ketengahkan di atas, kita dapati ia tidak menganjurkan upacara-upacara tertentu mahupun ibadah-ibadah khusus sempena Nisfu Sya’ban.

Oleh itu, amalan-amalan khusus pada hari Nisfu Sya’ban seperti berpuasa, solat pada malamnya, membaca surah yasin sebanyak 3 kali, doa-doa tertentu dan lain-lain bukanlah amalan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w mahupun para sahabat.

Sekiranya amalan-amalan khusus pada malam tersebut memiliki keutamaan yang tinggi serta memberi manfaat yang besar kepada umat Islam pasti baginda serta para sahabat akan mendahului kita dalam mengamalnya.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi:

"Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan mendirikan solat tertentu seperti yang kita lihat di sesetengah negara umat Islam.
Bahkan di sesetengah negara, orang ramai berhimpun pada malam itu selepas solat Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan mendirikan solat 2 rakaat dengan niat panjang umur dan dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia. Kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada golongan salaf, iaitu para sahabat, tabi’in dan tabi’ al-Tabi’in.
Ia satu doa yang panjang, menyanggahi nas al-Quran dan sunnah serta saling bercanggahan atau bertentangan makna… Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sesetengah negara orang Islam adalah bidaah dan rekaan semata-mata. Sepatutnya kita melakukan ibadah sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan ialah dengan mengikuti perbuatan salaf, segala keburukan itu adalah bidaah (rekaan) golongan selepas mereka (khalaf). Setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu membawa kepada kesesatan serta setiap yang sesat itu membawa ke neraka."
– Rujuk Fatwa Mu’asarah karya Dr. Yusuf al-Qaradawi, jil. 1, ms. 382-383. Dinukil dari buku Membela Islam Tanggungjawab & Disiplin karya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Karya Bestari, Shah Alam (2006), ms. 95.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

"Solat enam rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan niat menolak bala, panjang umur, untuk kekayaan dan juga membaca surah Yasin serta doanya merupakan hal yang baru dalam agama (bidaah) dan bertentangan dengan sunnah Rasulullah s.a.w." – Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Syeikh Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, edisi terjemahan bertajuk Bidaah -Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 155.

Imam al-Nawawi r.h menyatakan di dalam Kitab Majmu’ Syarh Muhazzab:

"Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib, iaitu 12 rakaat yang dilakukan antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari bulan Rejab dan solat Nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat, kedua-dua solat tersebut adalah bidaah yang mungkar. Oleh itu, janganlah terpedaya kerana kedua-duanya disebut di dalam Kitab Qutub al-Qulub dan Ihya’ Ulum al-Din dan jangan terperdaya dengan hadis yang disebut di dalam kedua-dua kitab itu kerana semuanya adalah batil belaka." – Rujuk Amalan Bidaah Pada Bulan Muharram, Rejab, Sya’ban & Ramadhan karya Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur (1995), ms. 106.

Setelah menyebut sejumlah ayat dan hadis serta pendapat para ulama tentang malam Nishfu Sya’ban, Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h berkata:

"Berdasarkan ayat-ayat, hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati malam Nishfu Sya’ban dengan solat dan sebagainya serta mengkhususukan siangnya untuk berpuasa adalah bidaah mungkar menurut kebanyakkan ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari’at yang murni, tetapi peringatan malam Nishfu Sya’ban ini terjadi dalam Islam setelah masa sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran mengenai masalah ini dan masalah lain melihat firman ALLAH:

"Pada hari ini, AKU telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, AKU telah cukupkan nikmat-KU kepada kamu semua dan AKU telah redha Islam itu menjadi agama kamu semua." – Surah al-Maaidah: 3.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang melakukan satu amal (berkaitan agama) yang bukan dari suruhan kami, ia tertolak." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1718.

Dalam riwayat lain:

"Jangan kamu semua mengkhususkan malam Jumaat untuk solat malam (qiamullail) antara malam lain dan jangan mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa antara hari lain kecuali puasa wajib." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1144.

Seandainya mengkhususkan malam-malam tertentu dengan ibadah itu dibolehkan, tentu malam Jumaat lebih utama untuk dikhususkan berbanding malam-malam lain. Ini kerana, malam Jumaat adalah hari terbaik sebagaimana terdapat di dalam hadis sahih.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sebaik-baik hari yang mana matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Jama’ah, hadis no: 854.

Ketika Nabi s.a.w melarang untuk mengkhususkannya antara malam-malam lain, hal ini menunjukkan bahawa malam-malam lain walaupun dianggap mulia, juga tidak boleh dikhususkan untuk beribadah kecuali ada dalil sahih yang menunjukkan pengkhususannya."
– Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Azizi al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003) ms. 319-320.

Oleh itu, tidak ada amal ibadah yang perlu dikhususkan sempena Nisfu Sya’ban kerana tidak ada hadis sahih yang tsabit daripada Nabi s.a.w menganjurkannya. Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh golongan sebagai hujah terdapat amalan-amalan tertentu berkaitan Nisfu Sya’ban kesemuanya daif (lemah) dan maudu' (palsu) sehingga tidak boleh dijadikan hujah.

Tentang penggunaan hadis-hadis yang tidak tsabit daripada Rasulullah s.a.w, Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat telah menyatakan pendapat Imam Tohawi r.h di dalam kitabnya al-Masaa-il, jilid 1, muka surat 41:

"Sesiapa yang menceritakan (hadis) daripada Rasulullah s.a.w atas dasar zon (sangkaan) bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran. Justeru, orang yang menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w tanpa kebenaran, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil. Manakala orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda s.a.w secara batil, pasti dia menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 107:


"Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat tinggalnya di neraka."

Dakwaan Ibn Rajab Menyokong Amalan Nisfu Sya’ban

Terdapat sesetengah pihak yang mempergunakan nama al-Hafiz Ibn Rajab r.h untuk menyokong dakwaan bahawa harus menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan amalan ibadah di masjid-masjid. Mari kita lihat apa sebenarnya yang diperkatakan oleh al-Hafiz Ibn Rajab r.h di dalam al-Latoif al-Ma’aarif, cetakan Darul Ihya al-Kutub Arabiyah, Kaherah, 1342 H, muka surat 144:

Para tabi’in yangmenetap di Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir dan lain-lain lagi mengagungkan malam Nisfu Sya’ban dan mereka bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya. Hasil usaha merekalah akhirnya orang ramai mengambil kemuliaan pengangungan malam Nisfu Sya'ban.
Ada yang mengatakan bahawa masalah ini telah sampai kepada mereka (iaitu pengagungan malam Nisfu Sya’ban) beberapa hadis-hadis israiliyat. Ketika hal ini terbongkar di negeri itu, orang ramai berselisih pendapat dalam hal ini. Antara mereka ada yang menerimanya dan sepakat untuk mengagungkannya. Mereka ini adalah beberapa orang dari negeri Basrah dan selainnya. Sedangkan, kebanyakan ulama Hijaz seperti Atha’ dan Ibn Abi Malikah menolak pengagungannya.
Dinukil daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada ulama fikah penduduk Madinah, iaitu pendapat sahabat Imam Malik dan lain-lain bahawa semua itu adalah bidaah.
Para ulama Syam berselisih pendapat tentang cara meramaikannya. Paling tidak ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:

1. Disunnahkan meramaikannya dengan cara berjemaah di masjid. Khalid bin Ma’dan dan Luqman bin Amir dan selainnya memakai pakaian terbaik, berbangga dan bermegah-megah untuk tinggal di masjid pada malam itu. Cara semacam ini disepakati oleh Ishak bin Rahawaih dan dia memberi komentar mengenai perayaan itu di dalam masjid, ia bukan termasuk bidaah sebagaimana dinukilkan oleh Harb al-Kirmani daripadanya di dalam Kitab Masail.

2. Berkumpul pada malam itu di dalam masjid untuk solat, membaca cerita dan doa hukumnya makruh. Tetapi, tidak makruh apabila seseorang mengerjakannya secara bersendirian. Inilah pendapat yang dipegang oleh al-Auza’i, imam penduduk Syam, orang yang fakih dan alim antara mereka. Malah, pendapat ini lebih menghampiri kebenaran.
– Rujuk Kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan bertajuk: Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 314-315.

Inilah antara kata-kata yang telah dilontarkan oleh Ibn Rajab r.h. Beliau hanya menukilkan beberapa pendapat ulama dan mentarjihkannya. Apa yang dapat kita fahami daripada kata-katanya ialah:

1. Amalan pengangungan Nisfu Sya’ban ini hanyalah amalan para tabi’in di Syam. Ia bukan berasal daripada Rasulullah s.a.w mahupun para sahabat.

2. Menurut Ibn Rajab, ada yang berpendapat mereka berdalilkan hadis-hadis israiliyat. Bolehkan hadis israiliyat di jadikan hujah untuk mensunatkan sesuatu amalan? Itu pokok persoalannya.

Tambahan pula ulama-ulama hadis telah mengumpulkan hadis-hadis yang membicarakan tentang keutamaan malam Nisfu Sya’ban yang kemudiannya setelah ditahqiq atau dilakukan penilaian mengenai darjat hadis tersebut, mereka merumuskan bahawa tidak ada satupun riwayat sahih kecuali sebuah riwayat daripada daripada Mu’az bin Jabal r.a sebelum ini.

Hadis tersebut tidak menunjukkan amalan tertentu sempena Nisfu Sya’ban. Sekiranya ingin diampunkan oleh ALLAH pada malam tersebut, kita hendaklah menjauhi perbuatan syirik dan jangan suka berbalah.

3. Amalan tersebut tersebut ditolak oleh jumhur ulama hijaz seperti di Madinah. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, majoriti para sahabat r.a menetap di Hijaz. Namun, tidak terdapat satu riwayatpun yang menunjukkan para sahabat dan tabi’in di Hijaz mengamalkan amalan seperti penduduk di Syam.

4. Tidak ada di dalam kaedah mana-mana mazhab bahawa amalan penduduk Syam boleh dijadikan hujah. Apatah lagi amalan tersebut maqthu’ (terhenti) kepada segelintir kecil tabi’in di Syam. Tambahan pula menurut kaedah Mazhab Syafie, amalan yang mauquf kepada sahabat tidak boleh dijadikan hujah. Inikan pula amalan yang hanya maqthu’ pada tabi’in. Oleh itu, kaedah dari mazhab mana yang dipakai untuk mensunatkan amalan tertentu pada malam Nisfu Sy’aban?

5. Ibn Rajab sendiri telah menguatkan pendapat bahawa meramaikan masjid dengan upacara-upacara ibadah sempena malam Nisfu Sya’ban hukumnya makruh. Pendapat ini juga dipersetujui oleh imam paling masyhur di kalangan penduduk Syam, iaitu Imam al-Auza’i r.h.

6. Keharusan yang diberikan oleh Ibn Rajab dan al-Au’za’i untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan ibadah secara sendirian juga tidak boleh dijadikan hujah kecuali didatangkan dalil tentang keharusannya. Tetapi, sememangnya hadis yang mampu dijadikan dalil tidak wujud. Walau bagaimanapun, harus meneruskan amalan-amalan sunnah yang sememangnya biasa dilakukan pada malam-malam lain seperti tahajjud, baca al-Quran, berdoa dan berzikir sama ada pada bulan Sya'ban atau bulan-bulan lain.

7. Ibn Rajab tidak menceritakan tentang amalan mengkhususkan bacaan Yassin yang diselang-selikan dengan doa-doa khusus sebagaimana yang biasa diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.

8. Ibn Rajab juga tidak menceritakan tentang puasa Nisfu Sya’ban sebagaimana yang biasa diamalkan di negara kita.

9. Di dalam kitab yang sama, Ibn Rajab juga menyatakan bahawa solat malam Nisfu Sya’ban tidak ada dalilnya baik daripada Nabi s.a.w mahupun para sahabat. Tetapi, ia hanya tradisi peninggalan sebahagian tabi’in dari ulama fikah yang menetap di Syam.

Benarkah al-Qadr Berlaku Pada Malam Nisfu Sya’ban?

Al-Qadr bermaksud penetapan. Oleh itu, mereka yang beranggapan al-Qadr itu berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sebenarnya mereka mengandaikan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya akan ditentukan pada malam tersebut. Mereka menduga pada malam inilah diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara berhubung dengan kehidupan makhluk. Mereka berhujah dengan Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba KAMI tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku." – Surah al-Dukhan: 3-4.

Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Sya’ban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang diberkati itu adalah malam lailatulqadar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr. Dan melalui cara apa engkau mampu mengetahui kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya sambil berkata:) Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya:

"ALLAH berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman ALLAH di dalam surah al-Qadr:
"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr."
– Surah al-Qadr: 1.

Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah.
Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), dia hendaklah berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, (dia bolehlah berbuka kemudian dia wajib berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
(Dengan ketetapan itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan dan DIA tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Malah supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA dan supaya kamu bersyukur."
– Surah al-Baqarah: 185.

Apa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Sya’ban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatulqadar) adalah pada bulan Ramadan." – Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-‘Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137.

Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata:

"Keyakinan bahawa malam Nisfu Sya’ban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-'Arabi mengatakan bahawa firman ALLAH di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Sya’ban adalah tidak benar kerana ALLAH tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Sya’ban.
Tetapi, ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatulqadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh ALLAH di dalam surah al-Baqarah, ayat 185: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah pada bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya. Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya’ban sangat bertentangan dengan Kitabullah dan sangat jauh terpesong dari isi kadungannya.
Perlu kami ingatkan bahawa ALLAH sendiri telah menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (KAMI menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Sya’ban."
– Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada’at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156.


KESIMPULAN

Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah menetap amalan-amalan tertentu khusus pada bulan Nisfu Sya’ban dan penetapan segala urusan manusia (al-Qadr) juga tidak berlaku pada malam Nishfu Sya’ban. Pada malam Nishfu Sy’aban, ALLAH hanya akan mengampun dosa-dosa mereka yang benar-benar mentauhidkan-NYA dan tidak memiliki sifat tercela seperti bergaduh dan sebagainya.

Oleh itu, kita hendaklah menanamkan kedua-dua sifat tersebut demi mendapatkan fadilat malam Nisfu Sya’ban, iaitu diampunkan dosa-dosanya oleh ALLAH. Program-program sempena Nisfu Sya’ban juga seharusnya menekankan isu-isu berkaitan perkara yang boleh mencemari tauhid. Sedangkan, hal ini semakin berleluasa dan menular bagaikan wabak dalam kehidupan umat Islam seperti mempercayai bomoh, memakai tangkal, berdoa di kubur seseorang yang dianggap keramat, menganggap tokoh-tokoh agama seakan-akan maksum sehingga pendapatnya wajib diikuti walaupun bercanggah dengan nas, mempercayai ahli nujum, menyakini ramalan horoscope, Feng Shui dan banyak lagi.



Kita hendaklah memperbanyakkan ceramah-ceramah agama yang dapat membersihkan jiwa dari sifat-sifat keji seperti bergaduh, dengki, iri hati, khianat, busuk hati, sombong dan lain-lain agar kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni. Walaupun saban tahun kita menyambut kedatangan Nisfu Sya’ban, namun pencemaran tauhid masih berleluasa di kalangan masyarakat kita dan perasaan saling dengki, fitnah memfitnah dan bertelingkah pendapat tetap menjadi sifat yang sinonim dengan bangsa Melayu.

Ahad, 10 Ogos 2008

BUKU-BUKU TERBARU DIPASARAN





BUKU AGAMA TERBARU 'FAMILI HARMONI' Oleh: Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi
Halaman: 72Terbitan : Karya Bestari
Harga: RM7.00
Untuk membeli secara online sila ke :
http://www.alaf21.com.my/buletin_isnin/to%20be%20change/N_bukufamiliharmoni.html

SETIAP orang inginkan kebahagiaan. Bahagia menjadi seorang suami atau isteri, bahagia menjadi datuk atau nenek, bahagia berpoligami hinggalah bahagia menjadi sebahagian anggota masyarakat.

Namun, pada saat ini ramai di kalangan masyarakat masih keliru malah tidak tahu bagaimana cara melahirkan keluarga bahagia ini. Hanya golongan yang benar-benar beriman sahaja akan dapat mencapai tahap kebahagiaan maksimum berpandukan al-Quran dan sunnah.
Buku ini membahaskan beberapa topik penting untuk melahirkan generasi bahagia bermula dari diri hinggalah kepada anggota masyarakat. Dalam membentuk keluarga bahagia ini, setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing. Jika tidak, kebahagiaan tidak akan berhasil.
Perbahasan ringkas bagi setiap topik dan pengolahan bahasa yang mudah difahami mampu memberikan sedikit sebanyak gambaran kepada masyarakat bagaimana cara melahirkan keluarga dan masyarakat harmoni.


Khamis, 7 Ogos 2008

Jangan Mudah Menuduh Orang Wahhabi

Assalaamu'alaikum
Semenjak kebelakangan ini istilah Wahhabi semakin popular namun dalam konotasi yang negatif. Ada beberapa golongan yang dianggap agamawan yang kerjanya hanya merantau seluruh Malaysia dari Masjid ke Masjid dan Forum ke Forum hanya untuk mencela dan menyesatkan golongan yang mereka gelar Wahhabi. Dengan perwatakan seperti ulamak ramai juga yang terpengaruh dengan dakyah mereka ini tanpa terlebih dahulu melakukan usul periksa atau kajian mendalam. Alhamdulillah, S.S Dr. Mohd Asri Zainul Abidin telah mengarang sebuah artikel bertajuk : JANGAN MUDAH MENUDUH ORANG WAHHABI yang amat berguna bagi memperjelaskan isu ini kepada masyarakat awam. Untuk membaca artikel tersebut (yang telah di siarkan dalam akhbar Sinar Harian 1 & 2 hb Ogos 2008) anda boleh mengdownload artikel tersebut (in PDF) di sini:
Atau terus ke laman web beliau di:
Selamat Membaca
Sekian Wassalaam
Abu Iqbal Mohd Yaakub

Rabu, 6 Ogos 2008

DOWNLOAD BUKU HISNUL MUSLIM


Assalaamu'alaikum
Hisnul Muslim is arguably the most famous anthology of Adkhar and Dua’s of the Messenger of Allah. The original compilation by Sa’ed Ibn‘Ali Ibn Wahf Al-Qahtani is one of the most authentic collection available and has become the most popular dua book in the Muslim world today.

Untuk download buku ini dalam versi Bahasa Indonesia sila ke alamat di bawah


Saranan akob kepada penunjung blog ini amalkanlah doa-doa dan zikir-zikir yang benar-benar datangnya daripada Rasulullah saw kerana baginda adalah contoh ikutan yang terbaik bagi kita semua.
Sekian Wassalaam

Selasa, 5 Ogos 2008

Tuntutan al-Sunnah dalam bulan Sya’ban


Tuntutan al-Sunnah dalam bulan Sya’ban

Oleh Ustaz Fadlan Mohd Othman
Jabatan al-Quran dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia



Di dalam bulan Sya’ban, terdapat beberapa ajaran daripada sunnah Rasulullah s.a.w. yang dapat diamalkan oleh seseorang muslim. Di antaranya ialah seperti berikut:
1- Perbanyakkan puasa dalam bulan ini:

…أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا[1]

Maksudnya: ‘Aisyah berkata ‘Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa pada satu bulan melebihi bulan Sya‘ban. Baginda berpuasa bulan Sya‘ban kesemuanya. Baginda sering berkata “Ambil amalan yang kamu mampu lakukan kerana Allah tidak akan bosan kecuali jika kamu bosan.”

Sebaik-baik solat kepada Nabi s.a.w. ialah apa yang diteruskan walaupun sedikit. Jika baginda melakukan satu solat Baginda akan meneruskannya.

2- Apabila sampainya pertengahan Sya‘ban, pastikan kita mempunyai sifat-sifat mulia ini (mukmin, tidak bersengketa dan tidak berhasad):

يطلع الله تبارك و تعالى إلى خلقه ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن [2]

Maksudnya: Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam pertengahan Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).

3- Apabila berada di pertengahan kedua Sya‘ban, puasalah pada hari yang biasa kita puasa sahaja, jika tidak biasa puasa pada hari itu elok jangan berpuasa:

إِذَا بَقِيَ نِصْفٌ مِنْ شَعْبَانَ فَلَا تَصُومُوا [3]

Maksudnya: Apabila datangnya pertengahan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa.

4- Pastikan tidak berpuasa pada hari yang diragui adakah masih Sya‘ban atau sudah masuk Ramadhan:

لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ [4]

Maksudnya: Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan puasa satu hari atau dua hari kecuali orang yang biasa puasa hari tertentu bolehlah dia berpuasa pada hari itu

.…فَقَالَ عَمَّارٌ مَنْ صَامَ الْيَوْمَ الَّذِي يَشُكُّ فِيهِ النَّاسُ فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [5]

Maksudnya: Maka Ammar berkata ‘Siapa yang puasa pada hari yang manusia meraguinya maka dia telah membuat maksiat terhadap Abu al-Qasim s.a.w.

NOTAKAKI:


[1] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Saum Sya‘ban, No. 1834. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Siyam al-Nabi s.a.w. Fi Ghair Ramadhan Wa Istihbab An La Yukhliya Shahran ‘An Saum, No. 1957.


[2] HR Ibnu Abi ‘Asim, Ibnu Hibban dan lain-lain, dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1144.


[3] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah al-Saum Fi al-Nisf al-Thani Min Sya‘ban Li Hal Ramadhan, No. 669.


[4] HR Muslim, Kitab al-Siyam, Bab La Taqaddamu Ramadhan Bi Saum Yaum Wa La Yaumain, No. 1912.


[5] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah Saum Yaum al-Syak, No. 622. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud, No. 686.

Jumaat, 1 Ogos 2008

MENYAMBUT KEDATANGAN SYA'BAN

Assalaamu'alaikum
Alhamdulillah artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 4hb Ogos 2008 dengan tajuk "Puasa amalan terbaik hidupkan Syaaban". Sila rujuk ke alamat:
Sekian Wassalaam



MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN SYA’BAN
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Apabila menjelmanya bulan Sya’ban maka ia memberi petanda bahawa kita semakin hampir untuk bertemu dengan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA.

Oleh itu sebagai persiapan untuk kita menghadapi bulan Ramadan ini ada antara kita tertanya-tanya tentang apakah amalan-amalan yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w pada bulan Sya’ban ini. Sebenarnya, pada bulan Sya’ban Rasulullah s.a.w memperbanyakkan amalan puasa hingga diriwayatkan bahawa baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1969.

Justeru, hanya amalan puasa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w khusus untuk bulan Sya’ban. Selain dari amalan ini tiada hadis sahih menunjukkan baginda mengkhususkan amalan-amalan tertentu sempena bulan Sya’ban. Malah, tidak wujud riwayat-riwayat daripada para sahabat menunjukkan mereka menyambut kedatangan Sya’ban dengan amalan-amalan tertentu. Namun, amalan-amalan sunnah yang lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat-solat sunat, membaca zikir-zikir dan doa-doa ma’thur boleh diteruskan sepanjang bulan Sya’ban sebagaimana bulan-bulan yang lain.

Tentang hikmah Rasulullah s.a.w meningkatkan amalan puasa pada bulan Sya’ban ini, al-Hafiz Ibn Hajar telah memberi komentar di dalam Fath al-Bari Penjelasan Sahih al-Bukhari, edisi terjemahan oleh Amiruddin, terbitan Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jilid 11, muka surat 369:

"Hikmah yang lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada bulan Sya’ban adalah seperti yang disebutkan oleh hadis dengan darjat yang lebih sahih daripada hadis-hadis terdahulu. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid r.a katanya:

"Aku bertanya Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa dari sebahagian bulan Sya’ban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada ALLAH, TUHAN semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”
- Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , hadis no: 2317.

Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Sya’ban ini dengan menggandakan ibadah puasa. Namun, terdapat beberapa perkara yang sering diperdebatkan tentang puasa pada bulan Sya’ban ini. Antara perkara-perkara tersebut adalah:

1. Bolehkah kita berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban?

2. Apakah dilarang berpuasa setelah melepasi pertengahan bulan Sya’ban?

Insya-ALLAH penulis akan membahaskan kedua-dua topik tersebut di dalam bab berikutnya.

Bolehkah Kita Berpuasa Keseluruhan Bulan Sya’ban?

Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan kita berpuasa sepanjang bulan Sya’ban atau tidak. Sebahagian pendapat mengatakan bahawa kadangkala Nabi s.a.w berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban dan adakalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar bulan Sya’ban sahaja. Antara ulama yang berpegang kepada pendapat ini adalah Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz r.h.

Sebahagian yang lain berpendapat baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada mana-mana bulan menurut kalendar hijriyyah kecuali bulan Ramadan al-Mubarak. Manakala pada bulan Sya’ban pula baginda hanya berpuasa pada sebahagian besar sahaja.

Pendapat kedua ini disokong oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h seorang tokoh hadis bermazhab Syafie. Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis-hadis Nabi s.a.w yang yang menunjukkan baginda pernah berpuasa sepanjang bulan Sya’ban dan ada pula yang menidakkannya.

Mari kita perhatikan beberapa hadis yang dijadikan dalil bahawa baginda s.a.w pernah berpuasa sepanjang bulan Sya’ban.

Ummu Salamah r.a berkata:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak berpuasa sebulan penuh dalam setahun melainkan bulan Sya’ban dan baginda sambungkan Sya’ban dengan Ramadan." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai, hadis no: 2313.

Menurut Abu Salamah r.a, Aisyah r.a berkata:

"Nabi s.a.w tidaklah berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak berbanding bulan Sya’ban. Sesungguhnya baginda berpuasa sebulan penuh." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1970.

Abdullah bin Abi Qais r.a mendengar Aisyah r.a berkata:

"Bulan yang paling disenangi Rasulullah s.a.w untuk berpuasa adalah bulan Sya’ban kemudian disambungnya dengan puasa Ramadan." – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , hadis no: 2310.

Tetapi, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. Sedangkan, beliau menceritakan bahawa Nabi s.a.w hanya berpuasa sepanjang bulan pada bulan Ramadan sahaja. Aisyah berkata:

"Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berbuka dan baginda berbuka hingga kami menyangkakan baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan di bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban." – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1969.

Untuk menghilangkan percanggahan yang timbul ini, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh bulan Sya’ban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut. Tambahnya lagi:

"Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain." – Rujuk Fath al-Bari karya Ibn Hajar ‘Asqalani, jil. 11, ms. 366.

Setelah didatangkan beberapa pendapat ulama yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w kadangkala hanya berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban dan kadangkala hanya berpuasa sebahagian besar pada bulan itu, al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan di dalam Fath al-Bari, jilid 11, muka surat 367:

"Tetapi, jelas sekali pendapat ini seakan-akan terpaksa. Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada bulan Sya’ban. Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi:

"Baginda s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain bulan Ramadan."

Manakala hadis yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar melalui Ibn Abbas r.a pula berbunyi:

"Nabi s.a.w tidak pernah berpuasa sebulan penuh selain puasa Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1971.

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang kita berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula.

Menurut Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda:

"Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuasa pada hari itu." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 1914.

Apakah Dilarang Berpuasa Setelah Melepasi Pertengahan Bulan Sya’ban?

Tanggapan bahawa dilarang berpuasa pada bulan Sya’ban setelah memasuki hari ke 15 adalah bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah r.a.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Jika memasuki pertengahan Sya’ban, janganlah kamu semua berpuasa." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Dawud, hadis no: 1990.

Ulama berbeza pendapat tentang status hadis ini. Sebahagian ulama menganggapnya daif (lemah). Al-Hafiz Ibn Hajar r.h berkata:

"Al-Rauyyani berkata: Haram mengerjakan puasa sehari atau dua hari sebelum Ramadan dan dimakruhkan mengerjakan puasa sejak pertengahan Sya’ban berdasarkan hadis lain. Sementara jumhur ulama berpendapat harus mengerjakan puasa sunat setelah pertengahan bulan Sya’ban. Mereka menganggap hadis yang melarang puasa pada waktu itu bermartabat daif (lemah). Sementara Imam Ahmad dan Ibn Ma’in mengklasifikasikan sebagai hadis mungkar (diriwayatkan oleh perawi daif serta menyalahi riwayat perawi tsiqah).
Imam al-Baihaqi menjadikan hadis di bab ini, iaitu hadis di dalam Sahih Bukhari, hadis no: 1914, bab: Tidak boleh mendahului Ramadan dengan berpuasa satu atau dua hari sebagai dalil untuk melemahkan hadis tersebut.
Imam al-Baihaqi r.h berkata: “Riwayat yang memberi keringanan (rukshah) untuk tetap berpuasa sehingga sehari atau dua hari menjelang Ramadan lebih sahih berbanding hadis al-Alla’, iaitu hadis riwayat Abu Daud. Hal yang sama, iaitu mendaifkan hadis tersebut telah dilakukan oleh al-Tohawi."
– Rujuk Kitab Fath al-Bari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 11, ms. 86-87.

Namun begitu, Ibn al-Qayyim r.h di dalam Tahdib al-Sunan melihat bahawa hadis Abu Daud ini sahih. Bagi Ibn al-Qayyim, sebenarnya tidak wujud percangahan antara hadis yang melarang berpuasa setelah pertengahan bulan Sya’ban dan hadis yang membenarkannya. Bagi beliau, hadis al-Alla’ tersebut hanya melarang mereka yang ingin memulakan puasa bulan Sya’ban di pertengahan bulan tersebut secara sengaja dan ia bukan larangan bagi mereka yang telah memulakan puasa pada awal bulan Sya’ban.

Hadis Abu Daud ini juga telah disahihkan oleh Syeikh al-Albani dan Syeikh Ibn Bazz r.h. Oleh itu, penulis terbuka kepada kedua-dua pendapat yang melemahkan serta menguatkan hadis tersebut. Namun, jumhur ulama membolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban diteruskan walaupun setelah pertengahan bulan tersebut.

KESIMPULAN

Jelas di sini bahawa Nabi s.a.w berpuasa pada sebahagian besar bulan Sya’ban.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21.

Justeru, marilah kita hidupkan bulan Sya’ban ini dengan memperbanyakkan ibadah puasa. Semoga kita semua sentiasa berada di dalam keredhaan ALLAH serta mendapat balasan yang baik di hari akhirat kelak.