Isnin, 7 September 2009

Benarkah Nuzul al-Qur'an Itu Pada 17hb Ramadhan



Oleh Ustaz Emran

Benarkah Nuzul Al-Qur’an itu pada 17 Ramadhan seperti yang disambut oleh Masyarakat Melayu ?
Jawapan : Jawapan ana ialah tidak benar kerana hal ini bahkan bertentangan dengan banyak riwayat yang sahih dan bahkan Al-Qur’an itu sendiri menyebut secara jelas bahawa turunnya Al-Qur’an itu ialah pada malam al-Qadr dan hal ini bertepatan dengan riwayat yang sahih yang mengatakan berlakunya Al-Qadar ( lailatul qadar ) itu pada sepuluh malam yang terakhir bukan 17 Ramadhan.
"Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an pertunjuk kepada manusia..” (Al-Baqarah : 185).

“Sesungguhnya telah kami turunkan Al-Qur’an itu pada malam al-Qadar” (Al-Qadr : 1).
Demikianlah hal yang berlaku dalam masyarakat Melayu iaitu asyik nak menyambut sahaja apa-apa pun macam orang Hindu sahaja tanpa tahu asal usul dan hal sebenar.Ini kerana dalam masalah nuzul al-qur’an ianya tidak dapat dipastikan bilakah diturunkan Al-Qur’an itu secara tarikh tepat iaitu pada hari ke berapa dan malam apakah baik 17 apakah 18 dan apakah malam 19 Ramadhan.

Diriwayatkan rasulullah pernah bersabda : “ Diturunkan suhuf Ibrahim pada malam pertama di bulan Ramadhan dan diturunkan Taurat…dan diturunkan Al-Qur’an pada malam 24 Ramadhan” (hadith ini hasan riwayat Ahmad dan Ibn Abi Hatim dan Ibn Jarir dengan rijalnya rijal yang siqah kecuali Imran al-Qathan dan dianya soduq waham dan punyai syahid dari hadith Ibn Abbas yang marfu’ .

Dikeluarkan oleh Ibn Jarir dan Abi Hatim dan juga Baihaqi dan lain-lain mengenai soalan Athiyah ibn Aswad kepada Ibn Abbas ra berkenaan penurunan Al-Qur’an yang disebut berlaku pada malam lailatul qadar dalam Bulan ramadhan maka dijawab oleh Ibn Abbas ra dengan mengatakan ianya (Al-Qur’an) diturunkan sekaligus pada malam lailatul qadar dalam bulan Ramadhan dan juga dalam riwayat lain Ibn Abbas mengatakan ianya (Al-Qur’an) diturunkan secara jumlah keseluruhannya pada malam 24 Ramadhan ke Baitul Izzah di langit dunia dan kemudiannya Jibrail as menurunkannya kepada rasulullah sedikit demi sedikit (Sahih riwayat Tibrani no. 12243 dan Disahihkan oleh Hakim dan disepakati Adz-zahabi, Baihaqi dan Ibn Jarir).

Secara sahih penurunan Al-Qur’an sekaligus keseluruhannya berlaku pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan dan hal itu jelas disepakati namun apakah Lailatul Qadar itu yang berlakunya penurunan Al-Qur’an tersebut dari sisi Allah ke langit dunia di Baitul Izzah ialah pada malam ke 17 Ramadhan maka ini tiada dalil yang jelas dan lain-lain waktu seperti yang mengatakan pada malam sekian dan sekian kerana lailatul Qadar itu berbeza-beza pada setiap tahun menurut kehendak Allah dan juga pada lailatul Qadar yang mana satukah berlakunya penurunan Al-Qur’an itu pun hanya diketahui oleh Allah swt.

Adapun riwayat yang mengatakan ianya pada 17 Ramadhan seperti yang disebut oleh riwayat Ibn Mas’ud ra maka sesungguhnya riwayat ini ialah dhaif (lihat dalam Sunan Abi Daud no. 1384). Juga disebut dalam kitab Hidayatul Mustanir pada Takhrij hadith-hadith dalam Tafsir Ibn Katsir ra maka pengarangnya sendiri memberi peringatan bahawa semua hadith yang mengatakan lailatul qadar itu terjadi pada awal dan pada 17 atau 19 Ramadhan maka sesungguhnya ianya ialah dhaif dan tiada sabit dari rasulullah.

“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Al-Isra : 36).

Kesimpulannya tidak payahlah menyambut sesuatu yang tidak pasti kerana ianya bukan perkara yang disuruh sebaliknya mengamalkan isi Al-Qur’an itulah yang diperintahkan dan disuruh bukannya mengadakan bid’ah dan kekarutan dan kecabulan dari kejahilan.

Baginda Salallahualaihiwasalam bersabda : “ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :50).

" Dan apa-apa yang diperintahkan (ditinggalkan ) oleh rasul maka ambillah (taatlah) dan apa-apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah" (Al-Hasyr: 7).

p/s :

Bid’ah dan kejahilan banyak berpunca dari golongan sufi, pernah ada satu cerita tentang seorang sufi yang menyimpan tanah kubur seorang wali Allah yang diambilnya semasa melawat India. Lalu ditanya kepada beliau : Siapakah wali Allah ini ? Jawabnya : Wali Allah ini aku tidak tahu siapa namanya tapi aku mendengar dia ialah wali Allah. Lalu ditanya : Di manakah tanah ini engkau ambil ? Jawabnya : dari sebuah tanah perkuburan di India, aku tidak tahu yang mana satu kuburnya secara pasti jadi aku ambil tanah ini dari sebuah perkuburan dan aku “anggap” sebagai tanah kubur si Wali Allah.

Juga perbuatan mereka yang melawati gua perkuburan ashabul kahfi dan mengambil berkat dari batu dan tanah sekitarnya dan apabila ditanya di manakah kamu ambil maka dijawab di Jordan sedangkan gua ashabul kahfi ini tidak diketahui apakah yang di Jordan, di Syiria dan di lain-lain tempat kerana tiada dalil.Demikianlah sangkaan manusia…

2 ulasan:

Nur Sabah berkata...

salam..
amat bersetuju dgn pandangan saudara...org org kita memang cenderung menurut sesuatu tanpa mengkaji dan memahami mengapa dan kenapa sesuatu amalan itu wujud dan apakah dia benar dari sisi Allah atau Rasul..kelemahan orang kita adalah malas mengkaji dan suka ambik jalan mudah...kalau ramai orang buat maknanya benda tu betul dan di terima sedangkan Islam tidak begitu...Islam adalah agama ilmiah dan berasaskan dalil dan kajian..budaya 'pak turut' harus di kikis dari masyarakat kita..wallahualam...

ummi berkata...

Assalamualaikum,

Saya cukup berminat dgn ulasan ustaz mengenai tarikh penurunan al-Quran, bagaimana kita yang mengkaji dan menyelidik memainkan peranan untuk membetulkan fahaman ummah terutama golongan senior... kerana ramai di kalangan mereka, beriman secara 'taklid buta'... berdoa semoga lahir ramai mujtahid..