Khamis, 29 Oktober 2009

Persaudaraan Syaitan Bersyiarkan Halloween

Persaudaraan Syaitan Bersyiarkan Halloween
Oleh Ustaz Hasrizal
SUMBER : http://www.saifulislam.com/

“Imam, apa nasihat awak kepada anak-anak kami supaya mereka tidak sibuk menyambut Halloween hujung minggu ini?” tanya seorang bapa kepada saya.

Beliau sedang menunggu Sunday School tamat tengah hari itu untuk mengambil si anak.

“Sulit. Aktiviti membuat kostum, menyiapkan bakul gula-gula, melukis poster, mengukir labu, semua itu sangat menarik perhatian anak-anak, bukan? Tempting!” saya membetulkan ketayap di kepala.

“Betul, Imam. Memberitahu anak-anak bahawa segala keseronokan itu bertentangan dengan Islam memang sulit. Saya masih mencari alternatifnya,” kata si bapa.

“Mungkin di sinilah kesilapan ibu bapa. Ada yang kuat semangat Islam, menentang sambutan harijadi, tetapi yang ditentang bukan sekadar konotasi ‘tidak Islamik’ pada sambutan harijadi itu, malah memberi hadiah kepada anak-anak pun tanpa disedari turut ditentangnya. Padahal, jika birthday itu salah sekali pun, memberi hadiah dan menyatakan penghargaan kepada anak-anak adalah Sunnah,” saya berkongsi pandangan.

“Betul. Tak sambut birthday, jangan sampai tak pernah beri anak hadiah,” tambah beliau.

“Tak bagi anak berseronok menyambut Halloween, janganlah semasa Aidilfitri pun bapa tidak bercuti untuk bergembira dengan keluarga,” saya turut menokoknya.

Kelas sudah tamat.

Anak-anak sudah keluar dari kelas dan berlari-lari turun naik tangga masjid.

Pada suatu ketika, saya dan guru-guru pening kepala dengan kerenah mereka yang sangat suka berlari di dalam bangunan masjid hingga bergegar bagai gempa bumi. Tetapi apabila memikirkan rumah Victorian masing-masing yang sempit dan berbilik-bilik, maka masjid jualah bangunan lapang yang dilihat di mata mereka seperti trek balapan!

Kawal sahaja, tidak kuasa melarangnya.

MURID TUA

Keghairahan menyambut Halloween bukan hanya mengHANTUi kanak-kanak, malah turut menggeletek naluri murid tua daripada kalangan anak muda di universiti. Andaikata mereka itu remaja yang lahir dan membesar di negara Barat, tidaklah sukar untuk difahami dari mana keinginan itu dirangsang. Tetapi jika mereka baru setahun dua menjenguk negeri orang dan ghairah mahu menyertai apa sahaja yang dilakukan massa, ia lebih kepada masalah kejutan budaya berbanding survival identiti yang dialami oleh American atau British Muslim generasi kedua dan ketiga.

“So, bolehkah ustaz kami menyambut Halloween?” tanya pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Ireland, tanah Celtic tempat lahirnya Samhain, Halloween dalam lingkungan Paganism di suatu ketika dahulu.

“Sebenarnya tiada jawapan yang muktamad untuknya,” saya melayan soalan yang ditanya.


Menjawab secara reverse psychology.

Nampak ceria di wajah pelajar yang bertanya, kerana seperti bakal menerima kurniaan keharusan menyambut Halloween daripada Ustaz Hasrizal. Bolehlah nanti dialasankan, harus menyambut Halloween menurut Ustaz Hasrizal!

“Ia bergantung kepada tahap sensitiviti kamu kepada agama. Tahap kepentingan Allah dalam hidup kamu” saya menyambung.

Berubah sedikit wajahnya.

“Jika kamu anggap, yang salah di dalam Islam hanya jika kamu sujud ke salib di gereja atau menyembah berhala di kuil dan tokong, maka Halloween tidaklah sampai ke situ. Walaupun ia adalah amalan Pagan yang lebih merupakan Festival of the Dead, hari ini perayaan Halloween sudah terpisah daripada sejarahnya. Saya rasa, hanya segelintir kawan Irish kamu yang sedar akan asal usul Halloween ini,” saya meneruskan jawapan.

“Betul ustaz. Sudah jadi budaya, bukan lagi agama. Macam Chinese New Year!” sampuk pelajar itu.

“Budaya sekular!” tokok seorang lagi.

Saya mengiyakan kata-kata mereka.

Halloween dengan sejarahnya yang penuh dengan tahyul itu, tidaklah disambut hari ini dengan kepercayaan yang sama. Labu Jack-o’-lantern itu bukan lagi untuk membantu roh Jack merayau antara langit dan bumi, atau untuk menghalau hantu.

Tetapi tanpa semua itu, Halloween masih Halloween.

Bagaimanakah tahap sensitiviti kita kepada isu-isu berikut?

IMITASI JAHILIAH

Islam mementingkan proses memelihara jati diri penganutnya. Tersendiri dan beridentiti.
Selain cara berpakaian yang ada kod tertentu berkaitan aurat sebagai asas dan keperluan memelihara janggut bagi lelaki, Islam juga menegah perbuatan meniru trend kaum lain yang menghilangkan identiti Islam seorang Muslim. Justeru Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

“Barangsiapa yang menyerupakan dirinya dengan satu-satu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada kaum tersebut” [Hadith daripada Ibn Umar radhiyallaahu 'anhuma, dikeluarkan oleh Abu Dawood dan disahihkan oleh Ibn Hibban]

Walaupun hadith ini lemah kerana wujudnya perawi bernama ‘Abdullah ibn Luhay’ah, ia diperkukuhkan oleh pelbagai riwayat lain yang memperincikan penegasan yang sama oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam seperti penegasan beza puasa kita dengan puasa Ahli Kitab pada Sahur, penegasan antara lubang dan liang lahad pada cara mengebumikan jenazah, juga pada soal bersolat dengan sarung kaki atau tidak.

Tegasnya, meraikan Halloween itu melucutkan jati diri Muslim, dan meniru identiti kaum yang mensyirikkan Allah dan meraikan kufur sebagai gurau senda harian.

PERGAULAN BEBAS

Sambutan Halloween sama ada di jalanan atau di parti-parti yang dianjurkan, sangat sinonim dengan amalan pergaulan bebas. Bercampur aduk di antara lelaki dan perempuan dalam suasana liar, malah keliru di antara lelaki dan perempuan kerana kostum yang pelbagai, sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah Halloween sangat sinonim dengan pertambahan kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan seks seperti rogol. Biar pun jenayah ini mengalami normalisasi akibat budaya Barat yang bertolak ansur malah menerima seks bebas ini, bagaimana pula dengan Islam, al-Quran, kubur, Akhirat, Syurga, Neraka dan Allah Subhanahu wa Ta’aala itu sendiri?

Soalnya sejauh manakah sensitiviti kita terhadap hal tersebut?

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan jahat (yang membawa kerosakan)” [al-Israa' 13: 32]

Halloween adalah pakej lengkap untuk anak muda mendekatkan diri kepada zina.

MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM

“Trick or treat?!” sergah anak-anak muda di pintu rumah.

Tuan rumah mempunyai dua pilihan.

Sama ada melayan ‘hantu-hantu’ yang datang ke muka pintu (treat), atau disumpah dengan sial di dalam sejarah atau helah mengena yang dikenakan mengikut kreativiti mereka (trick).

Mengetuk pintu rumah pada waktu malam untuk gurau senda versi Halloween ini amat mengganggu ketenteraman awam. Orang tua dan bayi kecil adalah golongan yang paling terjejas. Tambahan pula dengan penyertaan mercun, Halloween sangat mengganggu malah bisa juga memudaratkan orang lain.

Ia bertentangan dengan definisi Muslim yang disebut oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Seorang Muslim itu ialah seseorang yang para Muslim lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya” [Muttafaq 'alayhi]

Muslim mengambil berat dan membantu jiran tetangga.

Muslim tidak menyusah dan mengganggu mereka.

PEMBAZIRAN

Matlamat baiknya tiada.

Belanja meraikan Halloween membabitkan wang dan masa.

Kombinasi antara wang dan masa yang dibelanjakan dengan matlamat baik yang tiada, menghasilkan formula pembaziran.

Berapakah keuntungan yang diperolehi oleh peniaga-peniaga yang menjual kostum serta segala peralatan untuk menyambut Halloween? Berapakah penjimatan yang boleh dilakukan apabila kita tidak menjadi manusia yang sentiasa mengikut trend, buat apa yang orang lain buat, beli apa yang orang lain beli, pakai apa yang orang lain pakai?

Ada saudara mara yang kesusahan, ada anak yatim dan miskin yang memerlukan bantuan, ada tanggungjawab belajar yang memerlukan buku serta pelbagai proses pembelajaran lain yang perlu diutamakan, mengapa Halloween jadi pilihan?

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” [al-Israa' 17: 26-27]

Ada banyak bentuk pembaziran lain yang menjadikan kita saudara Syaitan. Tetapi membazirkan wang dan masa untuk Halloween, adalah acara rasmi menjadi saudara Syaitan dengan sokongan kostum dan kegilaan laku.

LAGHA

Apa sahaja perbuatan yang tidak dapat dijustifikasikan motifnya secara positif pada neraca agama, adalah lagha.

Menghindarkan diri daripada perkara-perkara lagha itu adalah salah satu daripada jalan penting untuk seorang insan beriman mengecap kejayaan di dunia dan di Akhirat.

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk di dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Usaha seorang Mukmin mencegah dirinya daripada terbabit dengan sambutan Halloween adalah sebahagian daripada sikapnya yang perlu berterusan pada mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Jelas sekali keupayaan mengawal diri agar kehidupan terisi dengan manfaat, kebajikan dan kebaikan, adalah sikap-sikap manusia berjaya, dan selayaknya golongan yang berjaya itu didahului oleh Mukmin yang sudah sedia menerimanya sebagai sebahagian daripada tujuan hidup.

PENTINGKAH SEMUA ITU?

“Berbalik kepada persoalan asal tadi, pentingkah semua itu kepada kita?” saya mengejutkan pelajar daripada lamunan mereka.

“Nasihat saya ini tidak relevan jika Halloween mahu dihindarkan, sedangkan majlis tari menari, keluar masuk rumah lelaki dan perempuan secara bebas dan semua itu masih menjadi kebiasaan harian kita. Semuanya berbalik kepada tahap sensitiviti anda. Ia besar bagi seorang Mukmin yang menjadikan Allah sebagai keutamaan tertinggi hidupnya. Ia remeh bagi Muslim yang lebih cenderung untuk menjamu nafsunya berbanding tujuan hidup yang tinggi. Terpulang” saya menyudahkan sesi soal jawab.

Teringat kembali kepada sambungan perbualan saya bersama ibu bapa pelajar Belfast Islamic School.

Kami para guru menganjurkan kepada ibu bapa pelajar supaya berhemah dalam menerangkan hal ini kepada anak-anak. Jangan sampai nanti, ada anak-anak yang beranggapan bahawa ibu bapa mereka menjadikan agama sebagai alasan untuk tidak mengeluarkan belanja, mengongkong anak-anak sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa yang mematuhi agama.

Pastikan sambutan Aidilfitri dan Aidiladha cukup manis untuk dikenang oleh anak-anak. Elakkan bekerja pada hari perayaan kaum Muslim yang dianugerahkan Allah dan Rasul ini.
Berikan keyakinan kepada anak-anak untuk berani tersendiri. Mempunyai identiti dan tidak sentiasa terpaksa serupa dengan orang lain.

Jika terdesak, cutikan sahaja anak-anak daripada hari persekolahan ketika parti Halloween diadakan.

Dan apa yang lebih utama, jadikan Islam benar-benar sebagai sistem nilai keluarga. Jangan tunggu Halloween baru mahu ‘menggunakan’ Islam.

Dalam situasi seperti ini, ‘presenting problem’ yang ada di depan mata adalah Halloween. Tetapi ‘the real problem’ yang perlu diberikan perhatian ialah, di mana Islam dalam hidup kamu?

Soalan itu semakin ganjil apabila ia dirujuk kepada keghairahan warga Malaysia menyertai Halloween kebelakangan ini.

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
========================
BACA JUGA ARTIKEL "HALLOWEEN KERAMAT?" DI :

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam tuan,
saya muallaf,
saya nak tau apa hukum sambut harilahir?
terima kasih

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Wa'alaikumussalaam Warahmatullah,

Terdapat dua pendapat dalam hal ini.

Pertama, ianya bukan termasuk hari-hari sambutan bagi umat Islam dan termasuk dalam larang meniru budaya orang bukan Islam. Maka menyambutnya adalah haram

Kedua, ada juga yang mengharuskannya kerana ia bukan termasuk perayaan berbentuk keagamaan. Yang dilarang meniru budaya non muslim hanya perkara berbentuk keagaaman dan bercanggah dengan syarak.

Saya terbuka kepada kedua-dua pandangan.

Jika ingin lebih selamat, tidak perlu menyambutnya. Berkumpul bersama keluarga untuk makan-makan dan memberi hadiah kepada ahli keluarga bukanlah suatu event yg perlu kita lakukan setahun sekali.

Sekiranya hendak melakukan sambutan pun pastikan tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang ditegah Syarak. Islam mengharuskan untuk kita melahirkan perasaan gembira dalam keluarga kita dengan apa jua cara asalkan tidak menyalahi Syari’at. Amalan make a wish sebelum meniup lilin cake harijadi dengan harapan wish tersebut menjadi kenyataan adalah bercanggah dengan syarak. Adab berpakaian dan pergaulan antara lelaki dan perempuan juga patut diperhatikan

WAllahu A'lam