Selasa, 2 Februari 2010

Akob Di Karnival karangkraf 2010


Alhamdulillah, pada hari Isnin lalu akob dan keluarga telah menghadiri Karnival Karangkraf yang telah berlangsung di Ibu Pejabat mereka bertempat di Seksyen 15, Shah Alam dari 29hb Januari sehingga 1hb Februari 2009. Akob hampir-hampir membatalkan rancangan untuk ke Karnival tersebut memandangkan kesihatan akob agak terganggu disebabkan keletihan berseminar selama 3 hari 2 malam di Avillion Port Dickson. Seluruh badan akob sengal-sengal, kepala pula terasa sakit dan bengkak di gusi pula semakin parah kerana gigi geraham bongsu yang telah mula tumbuh. Namun atas dasar ingin memberi sokongan kepada sahabat-sahabat akob di Karangkraf, akob sekeluarga elah daya ke sana juga. Akob terpaksa menelan dua biji pil penahan sakit untuk melegakan rasa sakit-sakit tersebut. Alhamdulillah dengan izin Allah, badan akob terasa lega setelah itu.

Pada pukul 2.40 petang akob sekeluarga tiba di sana. Kedatangan kami sekeluarga di sambut baik oleh para penyambut tetamu yang mesra. Tidak sampai beberapa minit kami berada di tapak Karnival, akob disapa oleh seorang yang banyak jasanya terhadap akob, seorang yang boleh akob anggap sebagai mentor akob dalam bidang penulisan iaitu Saudara Ahmad Yani (En. Mat), Editor Majalah i. En. Mat memperjelaskan sedikit sebanyak tentang Karnival yang sedang berlangsung. Menurut beliau Karnival tersebut telah diserbu oleh para pengunjung semenjak hari Jumaat lalu. Jualan buku dan majalah memang amat memberangsangkan. Hanya pada hari Isnin tersebut keadaan agak tenang sedikit kerana bagi Selangor ia adalah hari bekerja. Hanya penduduk Kuala Lumpur yang sedang bercuti sempena Hari Wilayah.
Fickry Haji Yaacob, Pengerusi Kumpulan karangkraf Sdn. Bhd.

Tidak jauh dari tempat akob bersembang dengan En. Mat, terlihat pula kelibat Tuan Haji Fickry Haji Yaacob, Pengerusi Kumpulan Karangkraf bersama anak perempuannya di gerai Alaf21 / Karya Bestari. Akob sekeluarga dan En Mat terus menuju kepadanya dan menegur untuk bertanya khabar. Setelah memperkenalkan ahli keluarga akob kepada Tn Hj Fickry, Team Karya Bestari terdiri daripada Wan Rohana (Chief Editor), Cik Rosmawati (Editor Karya Bestari) dan pakar grafik mereka pun tiba. Khabarnya mereka dari pejabat Alaf21/Karya Bestari yang terletak di seksyen 16, Shah Alam (lebih kurang 5-7 km dari Ibu Pejabat Karangkraf). Kesudian mereka untuk meluangkan masa untuk bertemu dengan akob amat akob hargai walaupun jadual tugasan mereka memang padat kerana ingin menerbitkan sebanyak mungkin buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010.

Tn Haji Fickry terus mengajak kami sekeluarga serta rakan-rakan daripada Karangkraf untuk menjamu hidangan ayam golek di sebuah gerai di Karnival tersebut. Menurut En. Mat tuan punya kedai ayam golek tersebut adalah Muqarrabin, pemuda yang telah berjaya menawan puncak Everest. Dua ekor ayam golek terhidang di hadapan kami dan keenakannya memang lebih lazat dari biasa. Kami juga turut disertai oleh Sri Diah seorang senior editor yang kini bertanggung jawab menjaga syarikat penerbitan buku berunsur motivasi. En Mohd Nasir Hj Hamzah, Timbalan Pengerusi Karangkraf juga turut menyertai beberapa minit kemudian.


Wan Rohana bte Wan Abdul Manaf, Ketua Editor, Karya Bestari

Perbincangan di antara akob dengan Team Karya Bestari banyak berkisar dengan projek terbaru buku akob bersama mereka. Cik Ros akan menjadi editor buku akob tersebut. Mereka turut menghadiahkan kepada akob tiga judul buku Karya Bestari yang terbaru. Ternyata layout buku-buku terbaru Karya Bestari amat menarik. Berkali-kali akob memuji team Karya Bestari di hadapan Tn. Hj Fickry. Di kesempatan ini akob ingin mengucapkan tahniah kepada Team Karya Bestari kerana telah bertungkus-lumus untuk menerbitkan buku-buku yang berkualiti. Ternyata banyak perubahan positif yang telah dibawa oleh Kak Wan & Team.

Mohd Nasir bin Hj Hamzah, Timbalan Pengerusi, Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.

Kak Sri Diah pula memohon sokongan berterusan daripada akob dan rakan-rakan terhadap produk Karangkraf. Akob berkata kami memang sentiasa menyokong Karangkraf yang kami anggap sebagai sahabat serta rakan seperjuangan kami. Seterusnya perbualan bersama Tuan Hj Fickry banyak berkisar tentang produk-produk terbaru Karangkraf seperti majalah akhbar I Luv Islam dan lain-lain dan perkembangan gerakan dakwah di Malaysia. Kita juga berbual tentang perkembangan terkini di Majalah i serta tentang topik perbahasan utama edisi bulan Februari 2010.

Setelah licin ayam golek dua ekor, Tuan Hj Fikry dan keluarga pun meminta diri. Akob dan keluarga juga turut berkesempatan untuk melawat ke pejabat Karangkraf secara kebetulan. Di sana berkesempatan untuk berbual dengan Cik Azlin Mohd Hamin (bekas wartawan Majalah I yang kini bertugas di I Luv Islam) dan En Adib (wartawan baru Majalah i).

Lebih dua jam kami sekeluarga berada di tapak Karnival. Setelah anak-anak serta isteri telah bershopping sakan membeli produk Karangkraf maka kami sekeluarga pun mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Layanan daripada warga Karangkraf memang sungguh mesra walaupun akob ini hanyalah penulis kecil yang tiada nama di pasaran. Akob sungguh terharu dengan sokongan dan dokongan yang telah diberikan oleh warga Karangkraf. Akob secara peribadi akan terus memberi sokongan padu kepada Grup Karangkraf. Akob berdoa semoga Karangkraf akan terus maju dalam perniagaan mereka dan sentiasa dilindungi oleh Allah S.W.T. Semoga sokongan Karangkraf terhadap dakwah Sunnah akan berterusan.

Tiada ulasan: