Selasa, 3 Jun 2008

Kenapa Kita Perlu Menolak Syi'ah

Assalaamu'alaikum
Artikel ini pernah di siarkan di Majalah i terbitan Krangkraf.
Nasihat akob berhati-hati dengan jarum Syi'ah dan belajarlah dengan bersungguh-sungguh manhaj sebenar Ahlus sunnah Wal Jamaah.
Sekian Wassalaam

KENAPA KITA PERLU MENOLAK SYIAH
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Semenjak kemenangan [jika benar ianya boleh dianggap sebagai satu kemenangan] tentera Hizbullah di Lubnan serta kelantangan Presiden Iran iaitu Mahmoud Ahmadinejad mengkritik Amerika kita dapat merasakan bahawa golongan Syiah di Malaysia seakan-akan mendapat modal yang baru untuk menyebarkan ajaran yang telah diwartakan sesat di Malaysia. Jika beberapa tahun sebelumnya pengembangan ajaran Syiah agak suram tetapi kini mubaligh-mubaligh mereka semakin aktif menjalankan aktiviti-aktiviti mereka. Di alam cyber, mereka mula menyebarkan jarum-jarum ajaran mereka ditengah-tengah masyarakat Islam. Malah ada juga dikalangan mereka yang cuba untuk menggunakan media massa tempatan untuk tujuan tersebut. Namun makar mereka mudah dihidu oleh golongan Ahlus Sunnah lantas hujah mereka segera dibantah secara ilmiah. Namun begitu yang menghairankan apabila makar syiah ini ingin dibongkarkan wujud pula segelintir manusia yang melihatnya seolah-olah ianya satu perbuatan yang menjatuhkan sekelompok umat Islam yang lain. Ya, mereka menganggap syiah hanyalah salah satu mazhab yang lain dalam Islam seperti mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i atau Hanbali. Lalu mereka akan menempelak golongan yang menentang fahaman Syiah ini sebagai golongan yang tidak berlapang dada kerana mencela sekelompok manusia yang menyembah Allah sama, menerima risalah yang sama daripada Rasulullah s.a.w dan bersolat menghadap kiblat yang sama. Kenapa jadi begini? Yang hendak menyebarkan kebenaran ditempelak sedangkan mereka yang mempropagandakan kesesatan dibela. Ini adalah hasil dari gelagat sesetengah golongan agama di negara ini yang hanya bijak menyesatkan fahaman Syiah namun gagal untuk memperjelaskan apakah sebenarnya kesesatan-kesesatan ajaran Syiah ini. Oleh itu melalui makalah ini penulis akan membentangkan secara ringkas beberapa kesesatan utama ajaran Syiah al-Rafidah yang dinukilkan dari kitab-kitab rujukan utama mereka sendiri agar wajah sebenar fahaman Syiah ini akan dapat dikenali oleh umat Islam di Malaysia.

1) Mengkafirkan Para Sahabat

Golongan syiah amat membenci para sahabat Nabi dan gemar mencela mereka terutamanya Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman yang dianggap telah merampas jawatan khalifah yang sepatutnya menjadi hak ‘Ali. Di antara ciri utama syiah adalah mereka mengkafirkan generasi terbaik bagi umat Islam iaitu para sahabat.

Al-Kushshi yang merupakan tokoh ulamak rijal syiah pada kurun ke 4 telah meriwayatkan dari Abu Ja’far yang berkata: Semua manusia itu telah murtad setelah wafatnya Nabi kecuali 3 orang.

Aku bertanya: Siapakah yang 3 orang itu?

Maka jawabnya : Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Dzarr al-Ghifari dan Salman al-Farisi. – AL-Kushshi di dalam Rijal al-Kushshi.

Hal yang sama juga telah diriwayatkan oleh ulamak hadis utama golongan syiah iaitu al-Kulaini di dalam kitabnya al-Kafi yang dianggap golongan Syiah setaraf dengan Shahih al-Bukhari bagi golongan Ahlus Sunnah.

Ternyata fahaman Syiah yang mengkafirkan para sahabat merupakan satu perkara yang amat terkutuk. Terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang memuji para sahabat Nabi. Sebagai contohnya Allah s.w.t. berfirman:

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. – al-Tawbah [9] : 100

Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengharamkan celaan dilontarkan terhadap para sahabatnya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Janganlah kamu mencela para sahabatku. Kalaulah seseorang kamu menafkahkan emas sebesar bukit Uhud, nescaya belum sampai secupak atau setengah cupak dari apa yang mereka nafkahkan. – Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Rasulullah s.a.w. juga telah mengajar kita untuk melaknat mereka yang suka mencela para sahabatnya. Sabdanya:

Apabila kamu melihat seseorang mencaci maki para sahabat ku katakanlah: Laknat Allah di atas segala kekejian kamu. – Hadis riwayat Imam Tirmidzi.

2) Menolak ketulenan al-Qur’an

Golongan Syiah melihat al-Qur’an yang ada ditangan umat Islam bukan lagi al-Qur’an yang asal sebagaimana yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w.. Al-Qur’an yang asli memiliki 17,000 ayat dan ini bermakna al-Qur’an yang ada pada tangan kita ini telah hilang sebanyak 2/3 dari isi kandungannya.

Abu ‘Abdullah a.s telah berkata: Al-Qur’an yang dibawa oleh malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w. terdiri dari 17,000 ayat. – Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Menurut mereka al-Qur’an yang asli ini hanya dimiliki oleh Saidina ‘Ali r.a dan kemudian disimpan oleh Fatimah r.a lalu dinamakan Mushaf Fatimah.

Abu ‘Abdullah berkata: [Mushaf Fatimah] Iaitu mushaf di mana di dalamnya terdapat al-Qur’an yang lebih besar 3 kali ganda dari al-Qur’an yang ada sekarang. Demi Allah, di dalamnya tidak ada satu huruf pun yang sama dengan al-Qur’an sekarang. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Syiah juga berpandangan para sahabat telah merubah isi kandungan al-Qur’an dan membuang segala ayat yang membuktikan jawatan Khalifah itu milik Saidina ‘Ali serta seluruh ahli keluarganya, ayat-ayat yang mencela golongan muhajirin serta ansar serta ayat-ayat yang menyokong segala doktrin yang dianuti oleh Syiah.

Abu Hussain Musa a.s menulis surat kepada ‘Ali bin Suwaid ketika beliau berada di dalam penjara: Janganlah kamu mencari agama dari orang yang bukan dari kalangan syiahmu. Janganlah sekali-kali kamu suka kepada agama mereka kerana mereka adalah pengkhianat. Mereka telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan telah mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada mereka. Tahukah kamu apakah pengkhianatan yang telah mereka lakukan terhadap amanah yang diserahkan itu? Mereka telah diamanahkan supaya menjaga kitab Allah [al-Qur’an] tetapi mereka telah memesongkan dan menukar gantikan isinya. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Mereka menyakini al-Qa’im iaitu imam mereka yang ke 12, Muhammad bin Hassan al-Askari yang telah ghaib pada tahun 260H akan dibangkitkan menjadi Imam al-Mahdi dan bakal membawa bersamanya al-Qur’an Mushaf Fathimah tersebut. Sebelum munculnya al-Qa’im golongan Syiah akan turut mempergunakan al-Qur’an sebagaimana yang ada pada tangan umat Islam sekarang ini.

Seorang lagi pakar hadis Syi’ah, al-Sayyid Ni’matullah al-Husaini al-Jazairi telah berkata: Disebutkan riwayat-riwayat yang ada bahawa para Imam Syiah menyuruh pengikutnya untuk membaca al-Qur’an yang ada sekarang ketika solat dan lain-lain, serta mengamalkannya sehingga penguasa zaman [al-Mahdi] muncul, lalu mengangkat seluruh al-Qur’an yang ada di tangan manusia ke langit dan mengeluarkan al-Qur’an yang disusun Amirul Mukminin ‘Ali bin Abu Thalib, lalu dia membaca dan mengamalkan hukum-hukumnya - al-Sayyid Ni’matullah al-Husaini al-Jazairi di dalam al-Anwar al-Nu’maniyah.

Demikianlah sepintas lalu tentang pegangan Syiah terhadap ketulenan al-Qur’an. Hal ini amat bercanggah dengan syarak kerana Allah S.W.T. telah memberi jaminan bahawa Dia akan memelihara isi kandungan al-Qur’an dari diselewengkan. Firman-Nya:

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. – al-Hijr [15] : 9

Mereka yang ingkar kepada mana-mana isi kandungan al-Qur’an serta beranggapan bahawa ianya memiliki sebarang bentuk kepalsuan maka mereka ini akan diberi balasan azab siksa oleh Allah S.W.T.. Firman-Nya:

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji. – al-Fussilat [41] : 41-42

3) Beranggapan Allah S.W.T memilki sifat al-Bada’

Syiah berkeyakinan bahawa Allah S.W.T. memiliki sifat al-Bada’. Al-Kulaini yang merupakan ulamak hadis yang paling utama bagi mazhab syiah mempunyai satu bab yang khusus dengan judul al-Bada’. Al-Ridha Ali bin Musa berkata:

Tidak ada seorangpun Nabi yang diutus Allah melainkan dia membawa ajaran tentang haramnya arak dan mengakui Allah mengalami al-Bada’ - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Al-Bada’ bererti lupa dan tidak tahu. Mereka beranggapan bahawa terdapat perkara yang ilmu Allah tidak meliputinya. Abu Muhammad al-Hassan ibnu Musa Al-Naubakthi seirang ulamak Syiah kurun ke 3 yang dianggap thiqah [terpercaya] telah meriwayatkan bahawa Ja’afar bin Muhammad al-Baqir telah menentukan anaknya Ismail sebagai Imam sesudahnya dan beliau mengisyaratkan kepadanya semasa hidup lagi, tiba-tiba Ismail mati ketika beliau masih hidup. Maka Ja’afar pun berkata:

Tidak pernah berlaku kepada Allah [al-Bada’] berhubung dengan sesuatu seperti mana berlaku kepada-Nya berhubung dengan Ismail anakku. – Al-Naubakhti di dalam Firaqu al-Syi’ah.

Lihatlah bagaimana fahaman Syiah yang mencemari sifat Allah S.W.T. yang Maha Tinggi Dia dari sebarang bentuk ketidak-sempurnaan. Firman-Nya:

Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku tidak pernah keliru dan Dia juga tidak pernah lupa". Taha [20] : 52

Firman-Nya lagi:

Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu. Al-Talaaq [65] : 12

4) Mereka adalah golongan yang sukar dipercayai kerana fahaman Taqiyyahnya

Harmalah berkata: Aku mendengar Imam al-Syafi’i berkata: Aku tidak pernah melihat orang sangat suka membuat pembohongan selain golongan Rafidhah – Rujuk Adab al-Syafi’i, Manaqib al-Baihaqi dan al-Sunan al-Kubra.
Inilah pandangan Imam al-Syafi’i r.h tentang golongan Syiah. Ternyata pandangan beliau ini mempunyai dasar yang kukuh kerana fahaman Syiah ini didirikan atas dasar pembohongan demi pembohongan yang direka-reka demi untuk mengukuhkan fahaman mereka. Dr. Ihsan Ilahi Dzahir r.h. berkata:

Jika Syiah berbicara pasti dia akan bohong didalamnya. Seolah-olah Syiah dan kebohongan adalah dua kata yang tidak boleh dipisahkan. Ke dua kata tersebut wujud semenjak awal kemunculan aliran tersebut. – Rujuk Al-Syi’ah was-Sunnah [edisi terjemahan dengan tajuk Virus Syi’ah Sejarah Alienisme Sekte, Darul Falah, Jakarta 2002], ms. 168.

Syiah melihat taqiyyah atau pada hakikatnya berdusta atau mengatakan serta melakukan (sesuatu), berlainan dengan apa yang kamu yakini sebagai dasar utama dalam agama mereka. Terdapat riwayat-riwayat yang banyak di dalam kitab-kitab mereka yang menunjukkan keutamaan taqiyyah. Mereka berpandangan bahawa sesiapa yang tidak bertaqiyyah maka mereka tergolong di dalam golongan yang tidak beriman.

Jaafar al-Sadiq berkata: Taqiyyah adalah di antara ajaran agamaku dan agama nenek moyangku. Tiada beriman bagi orang yang tidak mengamalkan taqiyyah. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Apatah lagi mereka beranggapan taqiyyah itu meliputi 9/10 dari agama.

Abu ‘Umar al-Ajami berkata bahawa Abu Abdullah a.s berkata kepadanya:

Hai Abu ‘Umar, sesungguhnya 9/10 agama ialah taqiyyah. Orang yang tidak bertaqiyyah itu tidak mempunyai agama. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Apabila dikritik tentang pegangan taqiyyah golongan Syiah ini maka mereka menjawab ianya hanya dipergunakan di dalam keadaan terpaksa seperti untuk melindungi diri dari terkena musibah. Mereka berhujah dengan Firman Allah S.W.T.:

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. - al-Nahl [16] : 106

Namun begitu di dalam realitinya Syiah mengamalkan taqiyyah dalam segala situasi sama ada di dalam keadaan terpaksa mahu pun tidak. Terdapat banyak riwayat di dalam kitab-kitab mereka yang menunjukkan imam-imam mereka melakukan taqiyyah bukan di dalam keadaan terpaksa atau untuk menghindari bahaya. Sebagai contohnya mari kita lihat riwayat di bawah:

Dari Muhammad bin Muslim, dia berkata: Aku masuk kepada Abu ‘Abdullah a.s dan ketika itu Abu Hanifah ada ditempatnya. Aku berkata kepada Abu ‘Abdullah: Diriku menjadi tebusanmu, aku mengalami mimpi yang buruk.

Abu ‘Abdullah berkata: Hai anak Muslim, cuba ceritakan mimpi, kerana pakar mimpi sedang duduk di sini. Abu ‘Abdullah berkata seperti itu, sambil memberi isyarat dengan tangannya kepada Abu Hanifah.

Aku berkata: Aku bermimpi seoalah-olah aku masuk ke rumahku, tetapi tiba-tiba isteriku keluar menemuiku. Dia mendapatkan banyak sekali buah badam, lalu dia hamburkan buah badam itu kepadaku. Aku hairan dengan mimpiku ini.

Abu Hanifah berkata: Penjelasan tentang mimpimu ialah engkau mempunyai masalah dengan orang jahat dalam harta peninggalan isterimu. Setelah engkau merasakan kesulitan yang luar biasa, engkau akan mendapatkan hakmu terhadap warisan tersebut. Insya-Allah.

Abu ‘Abdullah berkata: Demi Allah engkau berkata benar wahai Abu Hanifah.

Berkata Muhammad bin Muslim tak lama kemudian Abu Hanifah pun keluar dari tempat Abu ‘Abdullah lalu aku berkata kepadanya: Diriku menjadi tebusanmu, aku tidak suka dengan penjelasan Abu Hanifah tadi.

Abu ‘Abdullah berkata: Hai anak Muslim, engkau jangan berperasangka buruk kepada Allah. Penjelasan mimpi oleh mereka tidak akan sama dengan penjelasan mimpi oleh kita dan penjelasan mimpi oleh kita berbeza dengan penjelasan mimpi oleh mereka. Penjelasan yang benar tentang mimpimu itu tidak seperti yang diperjelaskan oleh Abu Hanifah.

Aku berkata kepada Abu ‘Abdullah: Diriku menjadi tebusanmu, bagaimana kamu boleh berkata tadi Abu Hanifah benar dan bersumpah dengan nama Allah padahal dia salah?

Abu ‘Abdullah berkata: Ya, aku bersumpah kepada Allah bahawa dia benar-benar salah. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Ternyata Imam Abu Hanifah bukan merupakan seorang yang perlu digeruni kerana dia bukanlah pembesar yang mempunyai kekuasaan malah dia sebenarnya agak kurang disenangi oleh pihak pemerintah ketika itu. Ternyata di dalam riwayat di atas Imam Jaafar al-Shodiq telah bertaqiyyah bukan dalam keadaan terpaksa, tertekan atau berhadapan dengan situasi yang merbahaya.

Pegangan taqiyyah sebegini merupakan perbuatan yang diharamkan oleh syarak.

Firman Allah S.W.T:

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara). – al-Ahzaab [33] : 70

5) Mereka meyakini al-Raj’ah

Al-Raj’ah adalah keyakinan golongan Syiah bahawa imam-imam mereka akan dibangkitkan semula dari kematian pada akhir zaman untuk menuntut kembali hak-hak mereka dan serta menentang mereka yang menjadi musuh-musuh syiah.

Mereka berkeyakinan bahawa imam mereka yang ke 12 iaitu Muhammad bin Hassan al-‘Askari akan dibangkitkan semula sebagai Imam al-Mahdi dan mengembalikan semula hak-hak golongan syiah yang telah dipinggirkan. Malah kononnya Imam al-Mahdi tersebut akan membalas dendam terhadap para sahabat dengan menghukum mereka.

Berkata sayid Al Murtadho di dalam kitabnya al-Masail Al-Nashiriyah: Sesungguhnya Abu Bakr dan ‘Umar disalib pada saat itu di atas suatu pohon di zaman al-Mahdi [yakni imam mereka yang kedua belas] yang mereka beri nama Qaim Ali Muhammad (penegak keluarga Muhammad), dan pohon itu pertamanya basah sebelum penyaliban, lalu menjadi kering setelahnya – Rujuk Awaailil Maqaalaat karya al-Mufiid.

Dari Muhammad al-Baqir, dia berkata : Jika al-Mahdi telah keluar, maka sesungguhnya dia akan menghidupkan Aisyah Ummul Mukminin dan dia melaksanakan (menjatuhkan) hukum had (hudud) atas diri Aisyah. - Rujuk Haqul Yakiin oleh Muhammad al-Baqir al-Majlisi.

Ada juga di antara mereka yang beranggapan bahawa yang akan dibangkitkan nanti bukan sahaja imam mereka yang ke 12 tetapi seluruh imam-imam mereka. Menurut al-Tabarsi:

Bahawa para imam akan dibangkitkan kembali [raj’ah] sebelum kiamat sebagai mukjizat mereka. – rujuk Al-Tabarsi, Majma’ al-Bayan.

Ternyata kepercayaan manusia yang telah meninggal dunia akan dibangkitkan atau hidup semula ketika berada di alam dunia merupakan satu perkara yang tidak benar sama sekali kerana Allah S.W.T. menyatakan bahawa ruh mereka yang meninggal dunia itu akan tetap berada di alam barzakh sehingga pada hari kiamat. Firman Allah S.W.T.:

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia); supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). Al-Mu’minunn [23] : 99-100

6) Kepercayaan melampau terhadap Imam mereka

Di antara doktrin utama golongan Syiah adalah bahawa kepimpinan umat Islam sepatutnya berada di tangan Saidina ‘Ali r.a dan ketutunannya setelah wafatnya Rasulullah s.a.w.. Dari doktrin ini maka wujudlah 12 pemimpin yang mereka gelar imam bermula dari Saidina ‘Ali dan yang terakhirnya Imam Muhammad bin Hassan al-‘Askari. Akan tetapi golongan syiah tidak sekadar berhenti disitu sahaja, tetapi mereka meletakkan sifat-sifat yang melampau terhadap imam-imam mereka seperti bersifat maksum, mengetahi perkara ghaib, mengetahui umur dan ajal manusia, mengetahui tentang untung nasib seseorang di akhirat kelak, memiliki seluruh dunia dan pelbagai lagi. Mari kita lihat beberapa riwayat yang terdapat di dalam kitab-kitab mereka tentang hal ini

Telah berkata Imam Jaafar al-Shodiq: Kami adalah perbendaharaan ilmu Allah, kami adalah penterjemah perintah Allah, kami adalah kaum yang maksum, telah diperintahkan untuk mentaati kami, dan dilarang untuk menentang kami, kami adalah hujjah Allah yang kuat terhadap siapa yang berada di bawah langit dan di atas bumi. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Dari Jaafar, dia berkata : Sesungguhnya Imam jika dia berkehendak mengetahui, maka dia pasti mengetahui, dan sesungguhnya para imam mengetahui kapan mereka akan mati, dan sesungguhnya mereka tidak akan mati kecuali dengan pilihan mereka sendiri. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Imam mereka yang ke 8 iaitu ‘Ali bin Musa telah menulis sebuah surat kepada ‘Abdullah bin Jundab yang di antara isi kandungannya: Amma ba’du, Kami orang-orang kepercayaan Allah di bumi-Nya. Kami mempunyai ilmu tentang musibah, kematian, nasab keturunan Arab dan kelahiran Islam. Jika kami melihat seseorang, kami tahu apakah dia betul-betul beriman atau betul-betul munafik. Kelompok kami ditulis, lengkap dengan nama mereka dan ayah mereka. Allah mengambil perjanjian dari kami dan mereka. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Ternyata perkara-perkata di atas amat bertentangan dengan syarak kerana sesungguhnya yang mengetahui perkara-perkara ghaib hanyalah Allah S.W.T.. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak memeliki pengtahuan tentang perkara-perkara ghaib melainkan apa yang diwahyukan kepadanya malah baginda sendiri tidak dapat membezakan siapakah yang beriman atau munafik.

Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). – al-Naml [27] : 65

Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib. – al-An’aam [6] : 50

Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang "A'raab" ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar. – al-Taubah [9] : 101

Imam al-Khomeini pemimpin revolusi Iran yang menjadi idola bagi negara Syiah Iran, kelompok Hizbullah di Lubnan dan juga komuniti Syiah di seluruh dunia beranggapan Imam-Imam tersebut lebih mulia dari para malaikat dan nabi-nabi. Kata-kata sesat Imam al-Khomeini di dalam kitabnya Hukumat al-Islamiyah adalah seperti berikut: Sesungguhnya imam-imam kita mempunyai suatu kedudukan yang tidak bisa dicapai oleh malaikat yang didekatkan, dan tidak pula oleh nabi yang diutus


Demikianlah sebahagian kecil dari kesesatan yang terdapat di dalam fahaman Syiah yang penulis rasakan sudah memadai untuk kita sedari bahawa perbezaan di antara Ahlus Sunnah wal Jamaah dan Syiah sebenarnya termasuk di dalam perkara-perkara yang pokok serta mendasar. Itulah sebabnya ulamak-ulamak muktabar di sisi Ahlu Sunnah wal Jamaah tanpa ragu-ragu telah menyesatkan aliran Syiah al-Rafidhah ini. Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.h memberikan komentarnya berkaitan golongan-golongan ini, pada zahirnya mereka penyokong setia Ali akan tetapi pada batinnya sebenarnya mereka adalah orang kafir. Imam al-Syafi’i r.h juga amat membenci kelompok Syiah al-Rafidhah ini.

Yunus bin ‘Abdul A’la mengatakan: Aku mendengar Imam al-Syafi’i, apabila disebut nama al-Rafidhah, dia pun mencela mereka sekeras-kerasnya dan menyatakan bahawa mereka adalah seburuk-buruk kaum. – Rujuk Manaqib al-Baihaqi, jilid 1, ms. 468.

Mungkin ada yang beranggapan golongan fahaman Sy’iah Ithna ‘Asyariyyah sebagaimana yang dipegang oleh penduduk Syiah di Iran dan Iraq mahupun anggota Hizbullah di Lubnan bukanlah seperti golongan al-Rafidhah yang dicela oleh ulamak-ulamak Islam terdahulu. Hal ini dapat dibantah kerana kesesatan-kesesatan Syiah yang penulis bentangkan sebelum ini adalah dengan menukilkannya dari kitab-kitab yang dianggap muktabar oleh mereka. Tambahan pula Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari di dalam kitab Maqalat al-Islamiyyin telah memasukkan Sy’iah Ithna ‘Asyariyyah ini ke dalam golongan Syiah pelampau dan al-Rafidhah.

Kesimpulannya kita perlu berhati-hati dengan fahaman Syiah yang sedang menyusup masuk ke tengah-tengah masyarakat Islam di Malaysia. Kelantangan Mahmoud Ahmadinijad terhadap Amerika bukanlah menjadi satu faktor penyebab untuk membenarkan aliran Syiah. Jika itulah bentuk piawaiannya maka kita kena juga mengiktiraf idelogi sosialis / komunis yang di bawa oleh Fidel Castro, Presiden negara Cuba dan Hugo Chavez, Presiden bagi negara Venezuela kerana mereka juga begitu lantang mengkritik Amerika. Walaupun kita kagum dengan keberanian tentera Hizbullah ketika menentang tentera Israel tetapi ianya tidak bermakana kita perlu mengiktiraf ideologi Syiah yang sesat. Negara-negara Arab yang lain seperti Mesir, Lubnan, Syiria, Jordan, Pelestine dan Arab Saudi juga pernah berperang dengan Israel dan pernah mengalami kemenangan. Sekiranya kehebatan berperang dengan negara yang memusuhi Islam hendak dijadikan piawaian tentang kebenaran sesuatu pegangan maka kita juga perlu mengiktiraf fahaman komunis yang dipegang oleh tentera Vietnam dan Korea Utara yang pernah berperang dengan tentera Amerika. Fahaman yang sesat tetap dikatakan sesat tanpa kompromi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.