Selasa, 2 September 2008

BERITA HARIAN 2hb Sept: Nilai semula amalan elak pendustaan dalam ibadat

Tajdid Iman: Nilai semula amalan elak pendustaan dalam ibadat
Bersama Dr Juanda Jaya
Juanda@msu.edu.my



Setiap perbuatan wajib mengikuti sunnah serta tatacara yang ditentukan Rasulullah

BAGAIMANAKAH anda membuka tirai Ramadan tahun ini? Apakah dengan semangat yang sama seperti tahun lalu atau berbeza dari yang biasa. Mungkin disebabkan tahap ilmu semakin meningkat maka Ramadan tahun ini memberi sedikit kelainan dalam diri anda.

Apatah lagi pada setiap akhir Syaaban, ramai yang mengikuti ceramah pra-Ramadan sebagai bekalan menjalani ibadat puasa nanti. Antara tanda kematangan iman seseorang adalah dia sentiasa menemukan sesuatu yang baru dalam penjelajahannya mencari maklumat mengenai agama.

Maklumat paling asas yang mesti diketahui ialah syarat diterima ibadat. Dua syarat itu sentiasa menjadi pegangan orang yang beramal, iaitu tidak menyekutukan Allah dalam ibadatnya atau dalam ungkapan ringkas ikhlas dalam ibadat hanya kerana Allah dan ibadat itu wajib mengikuti sunnah serta tatacara yang ditentukan Nabi SAW saja.



Dalam ibadat solat, puasa dan haji, kita wajib mengambil contoh cara ibadat Nabi SAW. Begitu juga ibadat lain, Bagindalah satu-satunya teladan, mentor dan sumber asli yang mesti diambil dan dimanfaat sebagai telaga ilmu.

Jika segala perbuatan kita dalam ibadat atau pun adat seharian mengacu kepada ajaran dan gaya hidup Rasulullah SAW, sebenarnya kita berada pada landasan pernah dilalui oleh generasi kemenangan awal iaitu sahabat Rasulullah SAW. Pernahkah anda membayangkan betapa gembiranya Nabi SAW kerana melihat umatnya tetap teguh memegang janji setia untuk mengikuti dan membela sunnah Nabi SAW?

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika menziarahi kubur, yang bermaksud: "Semoga kesejahteraan dilimpahkan kepada kamu semua wahai orang beriman. Dan sesungguhnya kami insya-Allah akan menyusul kamu. Lalu Nabi SAW bersabda: Aku teringin sangat melihat saudara kita. Sahabat bertanya: Bukankah kami adalah saudaramu ya Rasulullah? Rasulullah SAW bersabda: Kamu semua adalah sahabatku, sedangkan saudaraku ialah mereka yang belum datang. Aku adalah jaminan yang akan membawa mereka ke telaga. Sahabat bertanya lagi: Ya Rasulullah, bagaimana kamu mengetahui umatmu yang akan datang selepasmu? Rasulullah SAW bersabda: Bukankah kalian mengetahui mengenai seseorang yang memiliki kuda dengan tanda putih di dahinya di antara kuda yang sangat hitam? Apakah ia boleh mengenali kudanya? Para sahabat menjawab: Ya. Baginda SAW bersabda: Mereka akan datang pada hari kiamat dengan wajah yang putih cemerlang kerana bekas air wuduk." (Hadis riwayat al-Nasa'i, Ibnu Majah, Malik, Baihaqi disahihkan oleh al-Albani)

Siapakah mereka yang dirindui Rasulullah SAW? Mereka yang diangkat melalui lisan Baginda sebagai saudara Rasulullah SAW? Walaupun tidak pernah berjumpa tetapi kerinduan itu tetap hidup dan abadi.

Kemudian Baginda menegaskan lagi rindu dan cinta antara Baginda dan umatnya ini melalui sabdanya: "Orang yang paling hebat cintanya kepadaku, mereka yang datang selepasku, salah seorang daripada mereka amat sangat ingin melihatku (membuktikan cintanya kepadaku) dengan (mengorbankan) keluarga dan hartanya." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Ibnu Hibban)

Selepas membaca dua hadis tadi, mungkin ramai yang mengaku dirinya sudah mengikut sunnah Rasulullah SAW mengikut kapasiti ilmu masing-masing. Untuk menilai apakah kita memang istiqamah pada jalan sunnah, seelok-eloknya kita juga membaca mengenai penyelewengan yang dilakukan umat Islam yang mengaku mengikut sunnah Nabi SAW padahal mereka melakukan pembohongan terhadap Rasulullah SAW, menambah, mengurangkan ajarannya dan menguburkan sunnahnya dengan penyelewengan tangan mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketika aku sedang berdiri di tepi telagaku (Al-Kautsar) sambil menunggu orang yang datang mahu meminumnya, maka tiba-tiba ada orang yang disekat daripada sampai ke sisiku. Lalu aku berkata: Bukankah mereka daripada umatku? Maka dikatakan kepadaku: Ya benar, tetapi engkau tidak mengetahui bahawa mereka selepas itu kembali ke belakang (berpaling tadah atau meninggalkan ajaranmu)." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Hadis yang menggerunkan itu mengajak kita menilai semula amalan dan ibadat serta sikap hidup yang dijalani selama ini. Setiakah kita kepada sunnah Rasulullah SAW, Khulafa' Arrasyidin dan salafus salih? Bukankah Baginda SAW menyuruh kita jangan melepaskan ikatan kesetiaan itu walaupun terpaksa harus menggigitnya dengan gigi geraham kita?

Apakah sudah memadai ilmu yang dipelajari untuk menilai ibadat kita mengikut cara ibadat Nabi SAW? Cukupkah setiap dalil al-Quran, hadis, ijmak dan qias yang menghiasi setiap amal salih kita? Atau semuanya dilakukan tanpa dalil, hanya sekadar kata-kata si polan dan si polan tanpa mahu menyusuri jalan ilmu yang sahih?

Tengoklah pada bulan puasa ini, akan kedengaran amalan pelik dan hadis ganjil lagi bukan-bukan kandungannya yang sengaja dilakukan tanpa mengikut sandaran Nabi SAW yang sahih. Kemudian, atas nama fadilat kononnya direka pahala sembahyang Tarawih yang berlainan pada setiap malam dengan ganjaran bukan-bukan, padahal tidak pernah ada dalil al-Quran ataupun hadis memperkatakan isu ini.

Semuanya adalah perbuatan dosa besar berbohong atas nama Nabi SAW. Maka berdosa dan menempah tempat dalam api neraka bagi pihak merekanya, menyebarkannya, mempercayainya dan mempertahankannya kerana mereka berdusta atas nama agama Islam yang suci. Entah riwayat dari mana datangnya ganjaran Tarawih yang melangit itu.

Di Sarawak pula ada kenduri akhir Syaaban yang diberikan nama kenduri 'makan arwah bulan'. Entah bulan mana pula yang mati hingga mereka kendurikan dan tahlilkan atau mengulangi tahlil yang tidak syarie atas asas kepercayaan karut tertentu.

Ada pula bila akhir Syaaban dan masuk Ramadan sibuk menukar kain putih yang diikat di kepala batu nesan kubur, bahkan mengikatkan kain kuning atas nama kedudukan mereka yang berkasta tinggi dan mempunyai gelaran keturunan tertentu.

Seterusnya kita akan mendengar amalan bidaah lainnya yang dilakukan sambil mengintai Lailatulqadar yang semuanya ini adalah berdusta atas nama ibadat dan agama. Mengapakah ada orang yang tidak puas beramal hanya dengan amalan Rasulullah SAW sehingga perlu bagi diri mereka untuk menambah amalan yang tidak pernah Rasulullah SAW nyatakan sebagai ajarannya?

Bukankah ini termasuk perbuatan mereka cipta syariat baru dan membuktikan mereka tidak yakin syariat Muhammad SAW itu sudah lengkap hingga perlukan tambahan yang baru, sedangkan wahyu itu sudah lama tuntas dan putus.

Kebanyakan orang yang mengikut ajaran sesat dan palsu, selepas diteliti dan dikaji, mereka mendakwa bahawa ada amalan bersifat rahsia yang hanya dilakukan orang tertentu kononnya sudah mencapai maqam tingkat tertinggi sehingga bukan sebarang orang boleh mengamalkannya melainkan dengan syarat tertentu pula.

Ini adalah dakwaan palsu dan mengarut. Rasulullah SAW bersifat amanah, ertinya Baginda sudah menyampaikan semua ajaran diturunkan kepadanya secara terbuka dan mustahil akan merahsiakan kepada sesiapapun ajaran wahyu diturunkan, walau bagaimana istimewa sekalipun ajaran itu.

Jika mereka mengatakan Rasulullah SAW merahsiakan sesuatu amalan, dakwaan itu jelas bertentangan dengan sabda Baginda yang bermaksud: "Sampaikanlah walaupun satu ayat."

Bukankah sudah jelas ayat yang menyatakan sudah sempurna dan lengkap agama ini dalam al-Quran, ayat 3 surah al-Maidah? Ayat itu cukup untuk membungkam mulut orang yang menyelewengkan ajaran Nabi SAW.

Seharusnya kita menilai semula amalan yang selama ini menjadi pegangan kita, adakah ia asli dari Rasulullah SAW atau sudah disolek lain yang seolah-olah mencantikkannya tetapi membuat diri tertipu.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

Tiada ulasan: