Isnin, 14 September 2009

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA DARIPADA AKOB



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
أَنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.


Kita sekarang berada pada penghujung bulan yang penuh berkat. Kehadiran bulan Ramadan memang amat dinanti-nantikan oleh seluruh golongan yang beriman dan cintakan kepada amalan yang soleh. Semakin Ramadan melabuhkan tirainya, ia bermakna semakin hampir kita kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri. Setelah sebulan umat Islam berpuasa, meningkatkan amal ibadah, meninggalkan larangan-Nya dan mengawal nafsu syahwat masing-masing; maka tibalah hari untuk merayakan kemenangan kerana berjaya menunaikan segala kewajipan sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah S.W.T. Ianya disambut dengan gilang-gemilang. Namun tatkala Ramadan tahun ini semakin berada dipenghujungmya, perasaan sayu dan sedih mulai menggamit jiwa. Tahun depan entahkan dapat entah tidak untuk bertemu Ramadan al-Mubarak sekali lagi.

Sempena menjelmanya Hari Lebaran ini Akob ingin mengucapkan

"تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكم."
‘Taqabbalallahu minna waminkum’
(Semoga Allah menerima amalan kita dan amalan kalian)

kepada seluruh pengunjung blog MINDA AKOB, Akob berharap sedikit sebanyak kehadiran blog ini dapat menyemarakkan suasana bulan Ramadan anda semua dengan amalan-amalan Sunnah. Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah S.W.T. dan mendatangkan ganjaran yang besar bagi kita semua.

Akob juga ingin menyusun sepuluh jari memohon keampunan sekiranya ada tutur bicara, perilaku mahupun penulisan Akob yang telah mencalar perasaan sesiapapun. Sesungguhnya setiap manusia itu tidak maksum dari melakukan kesilapan. "Setiap anak Adam itu sering berbuat kesilapan dan sebaik-baik orang yang selalu berbuat kesilapan adalah orang-orang yang suka bertaubat." – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, kitab Sifat al-Qiyaamah, hadis no: 2499.

Akob juga ingin merakamkan penghargaan yang tinggi kepada semua pengunjung blog MINDA AKOB. Sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Blog MINDA AKOB ini baru diwujudkan lebih kurang setahun dua bulan yang lalu dan sehingga kini blog ini telah dikunjungi oleh netters yang datang dari dari 82 buah negara dari seluruh pelusuk dunia. Akob terharu dengan sambutan yang hangat ini. Terima Kasih atas sokongan kalian semua. Stay online with MINDA AKOB. Insya Allah Akob akan sentiasa update blog ini sekerap mungkin sekadar yang termampu. Dapatkan juga buku-buku Akob yang telah dan bakal berada di pasaran.

Sebelum Akob menutup ucapan sempena Aidilfitri ini, Akob ingin menganjurkan seluruh pembaca blog MINDA AKOB untuk mendaftar sebagai ahli di laman web yang dibina oleh rakan-rakan seperjuangan Akob iaitu http://al-fikrah.net/. Akob juga akan turut serta di sana bersama dengan rakan-rakan Akob yang rata-ratanya memiliki ilmu dan pengalaman yang jauh lebih tinggi daripada Akob. Bagi Akob al-Fikrah.Net merupakan di antara laman web bercirikan Islam yang terbaik di Malaysia. Kenapa? Tak percaya? Joinlah baru tau! You will get addicted with al-Fikrah.Net.

Sekian Wassalaam
Salam Lebaran daripada Akob & Family

2 ulasan:

Ayah Zain berkata...

Salam Akob,

Semoga usaha murni Akob ini mendapat keberkatan Allah swt. Tahniah, satu blog ilmu yang dapat memberi manfaat kepada umat manusia ciptaan Allah swt.

Lenggang Kangkung berkata...

Selamat Hari Raya & Maaf Zahir batin.