TAJUK : Sebuah Polemik Agama : Teguran Suci dan jujur Terhadap Mufti Johor
PENULIS : Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah @ Hamka
PENERBIT : Pustaka Dini
HARGA : RM 13.00
===========================
Prof. Dr. Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka merupakan seorang tokoh agama dan pendakwah yang terkenal serta disegani di nusantara. Beliau telah mengarang banyak kitab-kitab yang sehingga kini menjadi rujukan para pencinta ilmu yang berbahasa Melayu. Namun begitu buku beliau ini yang bertajuk TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR tidak begitu diketahui ramai tentang kewujudannya malah ada yang menganggapnya sebagai The Lost Manuscript. Buku ini beliau karang sebagai tindak balas kepada kenyataan Mufti Johor ketika itu iaitu Sohibul Samahah Sayyid Alwi al-Haddad tentang buku Ibadat Rasulullah karangan Ustaz Abu Bakar Asyaari di dalam akhbar Semenanjung bertarikh 14 Julai 1958 dengan tajuk Tiada Guna Kerana Mengelirukan Orang Ramai : Kaum Muda Menyebabkan 30 Juta Jadi Komunis. Di dalam akhbar tersebut Sohibul Samahah telah melemparkan pelbagai tuduhan yang berunsur fitnah kepada Kaum Muda yang akhirnya telah dibantah dan diberi penjelasan yang ilmiah serta hikmah oleh Hamka. Di antara tuduhan Sohibul Samahah :
1) Menyamakan Kaum Muda dengan gerakan Young Turks yang menjatuhkan Khalifah Islam dan menaikkan Kamal Attartuk di Turki
2) Kaum Muda Mengambil Fatwa daripada kumpulan Qadiani
3) Ketua Kaum Muda di Mesir bernama Abu Ziyad telah dihukum kafir
4) Menuduh Ust Hassan Bandung ketika mengarang kitab Tafsir al-Qur'an telah mengguna pakai teori Darwin dan Sigmund Freud
5) Soalan-soalan agama yg dibangkikan oleh Kaum Muda menimbulkan was-was dan telah menyebabkan 10 juta umat Islam Indonesia memeluk agama Kristian dan 30 juta lagi menganut fahaman Komunis
6) Kitab Ibadat Rasulullah itu tidak berguna dan sewajarnya dibinasakan dan lain-lain lagi.
Melihatkan tuduhan-tuduhan yang sebegini berat lagi tidak berasas maka Hamka bangkit memberi penjelasan yang tuntas menerusi risalah ini yang beliau karang hanya dalam masa lima hari. Begitulah senario semenjak zaman-berzaman yang mana Kelompok Kaum Tua dari dahulu sampai sekarang akan sentiasa menabur pelbagai bentuk fitnah demi untuk mengahalang gerakan Tajdid dari menular di Malaysia. Sohibul Samahah Sayyid Alwi al-Haddad merupakan di antara sumber rujukan utama mereka dalam isu Kaum Tua vs Kaum Muda ini dan beliau juga merupakan seorang mufti yang berwibawa serta tinggi ilmunya. Namun tiada yang maksum melainkan Rasulullah s.a.w. dan pendapat beliau di dalam akhbar Semenanjung tersebut terdapat banyak fakta-fakta yang tidak benar.
Hamka dalam risalah ini menegaskan di dalam Islam tidak ada Kaum Tua dan Kaum Muda dan kesemua jemaah umat Islam harus utamakan perpaduan dan menjadikan al-Qur'an serta as-Sunnah sebagai neraca dalam apa jua perbezaan pendapat.
Setelah 50 tahun buku ini menghilang dari pasaran buku dan kini Pustaka Dini mengedarkan semula The Lost Manuscript of Hamka ini. Saya menyeru kepada sekalian pengunjung blog Minda Akob ini untuk mendapatkan senaskah buku ini kerana ia mengandungi banyak fakta-fakta ilmiah berkaitan perbezaan pendapat di antara Kaum muda dan Kaum Tua. Walaupun buku ini dikarang pada tahun 1958 namun bahan-bahan yang ada di dalam buku tersebut masih relevan dengan senario zaman sekarang. Apatah lagi memang masih ada segelintir kelompok-kelompok manusia yang sering memutarkan lagu-lagu lama yang telah lapuk ditelan zaman pada zaman sekarang yang serba canggih.
2 ulasan:
assalamu'alaikum...semoga memberikan kebaikan pada buku diatas..terus semangat ustadz
assalamualaikum. Ana dah ada beli buku ni dalam sebulan lepas. Tapi cuma baca sepintas lalu, kira belek-belek je. Tajuk ni memang mengejutkan juga sebab belum pernah jumpa lagi. Sebab tajuk lain memang banyak koleksi dari Pustaka Dini ni. Bagus ulasan ni, sebab boleh dijadikan perkongsian bersama maklumat ni. Ana pun rasa teruja untuk ulang semula pembacaan buku ni.
Catat Ulasan