Rabu, 17 Februari 2010

BUKU : ERA KEBANGKITAN KERAJAAN UTHMANIYAH


TAJUK : Era Kebangkitan Kerajaan Uthmaniyah
PENULIS : Mohd Fikri Bin Che Hussin (Salah Seorang Pengasas web www.al-fikrah.net)
HARGA : RM35.90
PENERBIT : Hijjaz Records Publishing
Buku yang berada di tangan anda ini adalah sebuah karya sejarah yang merentasi perjalanan kebangkitan Empayar Khilafah Uthmaniyah. Empayar ini pernah menjadi model dan ikon kemajuan dunia serta sumber inspirasi abad pertengahan di Eropah.
Para Khilafah Uthmaniyah membina empayar mereka dengan semangat Islam yang menyala dan membara. Mereka membangunkannya dengan keringat dan kesungguhan, darah dan air mata, harta benda dan jiwa, demi menegakkan syariah dan kalimah Allah.
Tidak hairanlah dengan semangat juang yang tinggi itu mereka berjaya menakluk Konstantinople yang menjadi idaman setiap bangsa dunia ketika itu. Perjuangan mereka berpandukan sabda Rasulullah s.a.w, “Konstantinople akan dapat ditakluki oleh seorang lelaki. Maka dia adalah sebaik-baik pemimpin dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”
Janji Rasulullah s.a.w ini tertunai apabila pada tahun 1453, kota Konstantinople jatuh ke dalam genggaman Sultan Mehmed al-Fatih. Pembentukan kerajaan Uthmaniyah dengan asas kekuatan jihad Islam telah menjadikan mereka sebagai satu pasukan elit yang terlatih, berdisiplin, bersemangat, memiliki keberanian dan ketangkasan yang tiada taranya.
Malahan semangat dakwah mereka mampu merubah satu bangsa nomad yang sederhana menjadi sebuah pembangun empayar yang amat digeruni dengan kuasanya melebar ke tiga benua iaitu di Afrika, Asia Tengah dan Eropah hingga menjangkau ke benteng kota Vienna, Austria.
Paul Kennedy menyatakan dalam tulisannya : “Empayar Uthmaniyah bukan hanya sebuah kerajaan tentera malahan ia mampu menjadi penakluk elit yang dibentuk dari satu kesatuan iman, budaya dan bahasa pada sebuah kawasan yang lebih luas dari Empayar Rumawi (Byzantine) dan bagi penduduk yang lebih besar jumlahnya. Dalam beberapa abad sebelum kurun ke-14, Islam telah melampaui Eropah dalam bidang kebudayaan dan teknologi. Kota-kotanya sangat luas, tersusun dan perairan yang sangat baik. Beberapa kota turut mempunyai perpustakaan yang lengkap dan masjid yang indah. Dalam bidang matematik, kartografi, perubatan dan aspek lain daripada jurusan sains dan industri, kaum muslimin sering terkehadapan.”
MOHD FIKRI BIN CHE HUSSAIN
mohdfikrihussain1 @ yahoo.com

Mengenang Al-Imam Al-Syafi’i


Mengenang Al-Imam Al-Syafi’i
Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
SUMBER : http://drmaza.com/home/

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.

Beliau berketurunan Rasulullah s.a.w. Nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w. pada ‘Abd Manaf. Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi s.a.w., namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam.( Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, 2/312).

Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan sya‘ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)


Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi’i datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala` , 10/71-72).


Namun bagi al-Imam al-Syafi’i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya. Kata al-Zahabi:


“Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka..”( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala` , 10/95).


Kata Muhammad Abu Zahrah:


“Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran. Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul.” (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).


Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa` (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi s.a.w., mereka menjawab dengan menyebut “berkata imam dan syaikh kami Malik..” Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah, www.qudsway.com/Links/Islamiyiat). Al-Imam al-Syafi’i menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.


Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana.


Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan. Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah s.a.w menziarahi al-Imam al-Syafi’i. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini ?!



Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far yang menceritakan:


“Aku lihat dalam mimpiku Nabi s.a.w. dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafi’i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini –seakan baginda mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafi’i?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Al-Irqususi mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai (thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43).


Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.


Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditangkap dan digari. Al-Zahabi (meninggal 748H) menyebut:


“Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya. Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’i) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu”. (Siyar A’lam al-Nubala, 10/9).


Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi’i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi s.a.w bersabda:


“Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’i), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi’i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182). Kata al-Jarahi (meninggal 1162H): “Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’i. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta” (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa,, 2/420).


Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’i. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatic mazhab.


Al-Imam al-Syafi’i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan.


Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata “siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat”. Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi’i atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang menuduh orang lain tidak mazhab Syafi’i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

Khamis, 11 Februari 2010

Utusan 09/02/10 : Hentikan Forum Tunjuk hebat


Wawancara Utusan Malaysia Bersama Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman @ Abu Anas Madani

MEGA: Walaupun di Malaysia mengamalkan mazhab Imam Syafie, kita diharuskan bertaklid kepada mana-mana mazhab. Dalam perbincangan wahhabi ini, ia terletak dalam mazhab mana dan bolehkah ia disimpulkan sebagai sesat?

DR. BASIT: Dalam membincangkan bab ini, kita perlu membezakan antara fiqh dan akidah.
Dalam bab fiqh, golongan wahhabi pada asasnya berpegang kepada mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal (Mazhab Hambali). Sebab itu, antara negara yang menyebar luaskan kitab fahaman ini adalah Arab Saudi. Antaranya ialah Al-Mughni karangan Ibnu Qudamah yang telah ditahqiq (disemak dan dibetulkan kesilapannya cetak) secara ilmiah oleh Dr. Abdul Muhsin Al-Turki (Setiausaha Agong Rabitah Alam Islami). Dan hampir semua kitab-kitab besar mazhab Hambali itu sudah pun dicetak dan dibahagi secara percuma juga dijual.bukan hanya kitab fiqh, termasuk juga bidang hadis seperti musnad imam ahmad yang telah dicetak sebanyak 50 jilid dalam negaranya sendiri, dustur (perlembagaan) negara ialah al- kitab dan as-sunah. pada asasnya, amalan mereka adalah bersandarkan mazhab hanbali, namun dalam pengamalan mereka adalah mengambil hukum berdasarkan dalil-dalil yang rajih (kuat dan terpilih). Tarjih dibuat dalam menerima pandangan-pandangan, tujuannya untuk memastikan pandangan mana yang paling kuat dalilnya atau paling menepati dari segi syarak (rajih)

Dari segi akidah pula, yang selalu disebut adalah mengikut mazhab salafus saleh. Cuma perbezaannya dalam masalah ini adalah antara manhaj dan peribadi.

Manhaj salaf (tiga kurun terawal antaranya Imam Ahmad) secara umum, mungkin pandangan ulama yang mutakhir wujud tau terdapat perbezaan dalam menerima dan menghuraikan pandangan golongan salaf. Bila ada kesilapan/kekeliruan pegangan kita adalah bersandarkan kepada ulama salaf yang terdahulu.

Semasa bermulanya dakwah/gerakan yang diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab di Najdi itu keadaan masyarakatnya dipenuhi dengan beberapa amalan khurafat. Oleh itu, boleh jadi pendekatan beliau itu sesuai ketika itu.

Hari ini, keadaan sudah berubah, suasana dan keadaan aman, masyarakat juga semakin berilmu, jadi pendekatan baru harus digunakan secara berhikmah.

Untuk mengatakan wahhabi itu sesat atau tidak, elok kita rujuk kepada kenyataan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia.

Berpandukan hadis bermaksud agama itu mudah, adakah bersandarkan hadis ini mewajarkan kita memudahkan banyak hal dalam agama termasuk bab berniat dan pengajian akidah?

DR. BASIT: Hadis itu bermaksud: Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (riwayat al-Bukhari)

Memang agama Islam itu mudah. Tetapi yang salah itu adalah mempermudahkan agama. Dalam bab fiqh misalnya, banyak pandangan dalam kitab-kitab yang perlu diteliti atau dikaji semula.
Sebabnya, ada pandangan yang bersifat uruf (keadaan setempat/ semasa) kerana ada pandangan lain yang lebih baik dan sesuai. Contohnya dalam bab thaharah (bersuci), pembahagian air, sebab adakalanya terlalu menekankan perkara tersebut kita boleh jadi was was.

Dalam bab akidah, kita kena lihat realiti. Waqi' (keadaan) umat Islam di negara kita amnya lebih kepada mendengar, pasang telinga daripada mengaji kitab.

Bila hanya mendengar, maka pengajiannya juga harus dibuat secara mudah dengan menyebut masalah, nas dan dalil yang lebih senang difahami. Ia tidak masuk perbahasan falsafah.
Bagi pelajar yang mengkhusus dalam bab akidah tidak ada masalah untuk menjurus perbahasan bab mantiq dan falsafah. Semua ini adalah cabang ilmu sekali gus menjadikan ilmu-ilmu yang menajamkan minda dalam bab perbahasan dan kaedah untuk memahami uslub kitab Turath (peninggalan ulama silam).


Apakah jalan penyelesaian dalam 'krisis' ASWJ dan wahhabi yang jelas merugikan masyarakat ini?

DR. BASIT: Untuk menyelesaikannya memang sukar, sudah lama khilaf itu berlaku, masing-masing mendakwa dialah yang benar. Untuk mencari titik persamaan kita mesti kembali kepada kurun-kurun terawal sebelum negara Islam diserang fahaman muktazilah. (Muktazilah adalah golongan yang menggunakan akal lebih daripada dalil).

Penafsiran agama ini sepatutnya dikembalikan kepada asal iaitu dengan rujukan utama al-Quran dan hadis kemudian pandangan para sahabat dan tabi'in sebagaimana hadis di atas tadi.
Dalam hal ini, saya teringat kata-kata Imam Malek yang masyhur iaitu: "ORANG YANG TERKEMUDIAN DARIPADA UMAT INI SEKALI-KALI TIDAK AKAN DAPAT DIPERBAIKI, KECUALI DENGAN CARA YANG TELAH DIGUNAKAN UNTUK MEMPERBAIKI ORANG PADA ZAMAN PERMULAANNYA".

Bila merujuk pandangan mutakhir yang sudah ada perbahasan falsafah, perpecahan sudah berlaku. Bukan kita nak kata ulama mutakhir tidak boleh diterima tetapi asas perbincangan mestilah kepada ulama terdahulu. Pandangan mutaakhirin diterima sebagai sokongan.
Dalam agama diharuskan perbezaan pendapat. Tetapi apakah garis panduan yang perlu dipatuhi dalam bab ini?

DR. BASIT: Salah satu tanda kebesaran Allah ialah mencipta makhluk dengan keunikannya tersendiri. Setiap makhluk yang diciptakan dengan keunikannya menunjukkan tanda kebesaran Allah. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa perbezaan ini boleh berlaku sejak dari zaman sahabat sehinggalah ke hari ini.

Al-Imam ash-Shaatibi di dalam kitabnya al-I'tisom 2/191 menyebut: "Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku pada masalah-masalah ijtihadiah. Pertama kali ia berlaku pada zaman khulafah ar-Raasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para taabiin dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain."

Antara garis panduan dalam berbeza pendapat adalah meletakkan niat yang baik. Berbincang untuk mencari kebenaran. Sebab itu kata ulama, sebelum berbincang hendaklah kita kosongkan dahulu pemikiran, bukan datang dengan resolusi yang sudah tersedia.

Kedua, tumpukan kepada isu. Kalau isunya tahlil, hendaklah dibincangkan secara terperinci adakah ia tidak boleh, bercanggah atau dibolehkan dalam Islam dengan dalil dan sandaran.
Ketiga, bukan semua yang khilaf itu boleh dijadikan dalil. Ijtihad adalah bagi perkara yang tidak ada dalil tetapi bagi khilaf yang ada dalil kuat, maka kita kena wajib kembali kepada dalil. Seperti dalam surah al-Hasyr ayat 7.

Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada peribadi tokoh tanpa dalil atau khilaf yang tidak muktabar. Sebabnya, dalam Islam tidak ada pemujaan kepada tokoh.

Barangkali, pokok permasalahan ini adalah kerana kita tidak didedahkan dengan amalan pelbagai mazhab. Mungkinkah sudah tiba masanya, kita lebih terbuka terhadap perbezaan mazhab?

DR. BASIT: Memang sistem pengajian kita di kolej dan universiti perlu diperluaskan. Ia perlu mendedahkan pelajar kepada perbahasan dalam empat mazhab yang muktabar.

Kalau kita lihat sejarah, ulama besar dalam mazhab pun di peringkat awal sudah berlaku perpecahan. Imam Abu Hanifah misalnya berpecah dengan pengikut setianya iaitu Imam Abu Yusuf dan Muhamad Ibnu al-Hasan.

Imam Syafie pun berbeza pandangan dengan sahabatnya al-Muzani. Tetapi ia tidaklah menimbulkan tuduhan yang Muzani derhaka kepada gurunya.

Dalam kajian tesis Ph.D, saya mengkaji tokoh bernama Abu Said al-Istakhri r.h yang meninggal dunia pada tahun 328H. Beliau mendapat gelaran ashabul wujuh iaitu ulama Syafie yang ada pandangan sendiri.

Daripada 240 masalah yang dikumpul 150 daripadanya menyalahi pandangan mazhab Syafie. Selepas dibuat perbandingan terdapat beberapa pandangan beliau yang lebih hampir kepada al-sunnah (dalil).

Ulama kontemporari, Dr. Yusuf Qaradawi dan Dr. Wahbah Zuhaily juga berbeza pandangan dalam bab fiqh tetapi mereka masih berpandukan ulama terdahulu. Apabila tarjih (pilih) mereka memilih pandangan yang kuat sesuai dengan masa berdasarkan dalil atau maqasid.

Kita juga disuruh berlaku adil dalam menghukum. Namun dalam suasana perbezaan pandangan yang berlaku kini, wajarkah dilabel sesuatu pihak itu sesat?

DR. BASIT: Kita tak boleh paksa orang ikut kita, jadi kena kembali kepada ayat Allah yang menyuruh berlaku adil. Jangan sesekali hukum secara borong orang ini sesat, bidaah atau sebagainya.

Sepatutnya, kita menyebut kebaikan mereka dan senaraikan di mana perbezaan kita dengan mereka. Sebabnya majoriti umat yang ada hari ini berada dalam keadaan tidak mendalami ilmu agama bahkan ada yang langsung tidak menghiraukan agama.

Jadi, tumpukan sepenuh tenaga dan usaha untuk mengembalikan mereka ke landasan yang lurus. Kepakaran dan tenaga yang ada jangan dihabiskan dengan forum atau seminar untuk menunjukkan kekuatan ilmu dan menyesatkan orang lain.

Kita kena terima hakikat bukan mudah hendak menyatukan manusia. Negara yang ramai ulama bermazhab Hanbali pun bukan semuanya bersatu dalam mazhab itu. Deminian juga yang menjadi satu mazhab sebagai asas perundangan, rakyatnya berpegang dengan pelbagai mazhab Islam. Oleh itu, tumpuan kepada titik persamaan, berlapang dada (al-tasamuh) dalam perkara khilaf. Amat rugi apabila para pendakwah yang kita nampak mereka ikhlas berjuang menyebarkan ajaran Islam telah disempitkan ruang dakwah mereka dengan tuduhan/tohmahan (jumud, taasub, pemecahbelah dan lain-lain)

Yang penting masing-masing berpegang kepada dua tunggak utama iaitu al-Quran dan hadis. Ingatlah firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 59.

Isnin, 8 Februari 2010

Promosi Buku-Buku Akob

Assalaamu'alaikum
Berikut adalah promo buku-buku akob yang insya Allah akan disiarkan di sebuah akhbar tempatan.
Sila sebarkan


Sila Klik pada imej utk membesarkan paparan


Khamis, 4 Februari 2010

Membongkar Kelemahan Buku "Amalan Sunnah Selepas Solat dan Kelebihannya"





Buku di atas ini bertajuk "Amalan Sunnah Selepas Solat dan Kelebihannya" karangan Muhammad Subki Abd Rahman Al-Hafiz telah diterbitkan oleh Maahad Tahfiz Darul Quran Wal-Qiraat. Di antara topik yang dibahaskan dalam buku ini adalah berzikir secara nyaring selepas solat, Menyapu sampai ke muka, Memilih posisi terbaik selepas salam, Berterusan duduk di tempat solat, Berdoa dengan mengangkat tangan, Bersalaman antara imam dan makmum, Amalan sunnah selepas solat di sisi Mazhab Empat dan lain-lain. Dalam erti kata lain buku ini diwar-warkan oleh sesetengah tokoh sebagai pembela utama bagi pandangan kelompok tradisional dalam menjawab hujah kelompok Kaum Muda atau Wahabi. Namun buku di atas ini ternyata memiliki begitu banyak fakta-fakta yang tidak tepat. lemah bahkan palsu. Buku di bawah ini tampil untuk memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam buku "Amalan Sunnah Selepas Solat dan Kelebihannya"




Judul: 36 Kritikan Ke Atas Buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya.

Penerbit: Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru. 07-235 1602

Untuk Membeli secara online sila ke :

http://www.jahabersa.com.my/

Harga: RM16.00

Di mana hendak dibeli? Kedai-kedai buku yang biasa menjual buku terbitan Jahabersa, atau pesan terus dari penerbit.

Sinopsis ringkas:

Kadangkala sebuah buku itu kelihatan ilmiah, dipenuhi dengan hujah dan dalil. Kemudian ia dihiasi dengan kata-kata aluan para agamawan yang terkenal di tanah air. Namun apakah semua itu menjanjikan buku tersebut menyampaikan ilmu yang benar? Tidak semestinya.Salah sebuah buku yang dimaksudkan ialah “Amalan Sunnah Selepas Solat dan Kelebihannya”.

Penelitian, kajian dan analisa mendapati ia mengandungi banyak kesalahan, sebahagiannya kelihatan seolah-olah disengajakan. Buku di tangan anda sekarang ini membuktikan apa yang disebut di atas. Jangan sekadar mempercayai kata-kata di belakang buku ini, sebaliknya semaklah 36 kritikan yang terkandung di dalamnya. Nescaya anda akan temui kritikan yang memeranjatkan. Selamat mengkaji.

Oleh itu dapatkan segera buku "36 Kritikan Ke Atas Buku Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya" sebelum kehabisan stok.

Selasa, 2 Februari 2010

Akob Di Karnival karangkraf 2010


Alhamdulillah, pada hari Isnin lalu akob dan keluarga telah menghadiri Karnival Karangkraf yang telah berlangsung di Ibu Pejabat mereka bertempat di Seksyen 15, Shah Alam dari 29hb Januari sehingga 1hb Februari 2009. Akob hampir-hampir membatalkan rancangan untuk ke Karnival tersebut memandangkan kesihatan akob agak terganggu disebabkan keletihan berseminar selama 3 hari 2 malam di Avillion Port Dickson. Seluruh badan akob sengal-sengal, kepala pula terasa sakit dan bengkak di gusi pula semakin parah kerana gigi geraham bongsu yang telah mula tumbuh. Namun atas dasar ingin memberi sokongan kepada sahabat-sahabat akob di Karangkraf, akob sekeluarga elah daya ke sana juga. Akob terpaksa menelan dua biji pil penahan sakit untuk melegakan rasa sakit-sakit tersebut. Alhamdulillah dengan izin Allah, badan akob terasa lega setelah itu.

Pada pukul 2.40 petang akob sekeluarga tiba di sana. Kedatangan kami sekeluarga di sambut baik oleh para penyambut tetamu yang mesra. Tidak sampai beberapa minit kami berada di tapak Karnival, akob disapa oleh seorang yang banyak jasanya terhadap akob, seorang yang boleh akob anggap sebagai mentor akob dalam bidang penulisan iaitu Saudara Ahmad Yani (En. Mat), Editor Majalah i. En. Mat memperjelaskan sedikit sebanyak tentang Karnival yang sedang berlangsung. Menurut beliau Karnival tersebut telah diserbu oleh para pengunjung semenjak hari Jumaat lalu. Jualan buku dan majalah memang amat memberangsangkan. Hanya pada hari Isnin tersebut keadaan agak tenang sedikit kerana bagi Selangor ia adalah hari bekerja. Hanya penduduk Kuala Lumpur yang sedang bercuti sempena Hari Wilayah.
Fickry Haji Yaacob, Pengerusi Kumpulan karangkraf Sdn. Bhd.

Tidak jauh dari tempat akob bersembang dengan En. Mat, terlihat pula kelibat Tuan Haji Fickry Haji Yaacob, Pengerusi Kumpulan Karangkraf bersama anak perempuannya di gerai Alaf21 / Karya Bestari. Akob sekeluarga dan En Mat terus menuju kepadanya dan menegur untuk bertanya khabar. Setelah memperkenalkan ahli keluarga akob kepada Tn Hj Fickry, Team Karya Bestari terdiri daripada Wan Rohana (Chief Editor), Cik Rosmawati (Editor Karya Bestari) dan pakar grafik mereka pun tiba. Khabarnya mereka dari pejabat Alaf21/Karya Bestari yang terletak di seksyen 16, Shah Alam (lebih kurang 5-7 km dari Ibu Pejabat Karangkraf). Kesudian mereka untuk meluangkan masa untuk bertemu dengan akob amat akob hargai walaupun jadual tugasan mereka memang padat kerana ingin menerbitkan sebanyak mungkin buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010.

Tn Haji Fickry terus mengajak kami sekeluarga serta rakan-rakan daripada Karangkraf untuk menjamu hidangan ayam golek di sebuah gerai di Karnival tersebut. Menurut En. Mat tuan punya kedai ayam golek tersebut adalah Muqarrabin, pemuda yang telah berjaya menawan puncak Everest. Dua ekor ayam golek terhidang di hadapan kami dan keenakannya memang lebih lazat dari biasa. Kami juga turut disertai oleh Sri Diah seorang senior editor yang kini bertanggung jawab menjaga syarikat penerbitan buku berunsur motivasi. En Mohd Nasir Hj Hamzah, Timbalan Pengerusi Karangkraf juga turut menyertai beberapa minit kemudian.


Wan Rohana bte Wan Abdul Manaf, Ketua Editor, Karya Bestari

Perbincangan di antara akob dengan Team Karya Bestari banyak berkisar dengan projek terbaru buku akob bersama mereka. Cik Ros akan menjadi editor buku akob tersebut. Mereka turut menghadiahkan kepada akob tiga judul buku Karya Bestari yang terbaru. Ternyata layout buku-buku terbaru Karya Bestari amat menarik. Berkali-kali akob memuji team Karya Bestari di hadapan Tn. Hj Fickry. Di kesempatan ini akob ingin mengucapkan tahniah kepada Team Karya Bestari kerana telah bertungkus-lumus untuk menerbitkan buku-buku yang berkualiti. Ternyata banyak perubahan positif yang telah dibawa oleh Kak Wan & Team.

Mohd Nasir bin Hj Hamzah, Timbalan Pengerusi, Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.

Kak Sri Diah pula memohon sokongan berterusan daripada akob dan rakan-rakan terhadap produk Karangkraf. Akob berkata kami memang sentiasa menyokong Karangkraf yang kami anggap sebagai sahabat serta rakan seperjuangan kami. Seterusnya perbualan bersama Tuan Hj Fickry banyak berkisar tentang produk-produk terbaru Karangkraf seperti majalah akhbar I Luv Islam dan lain-lain dan perkembangan gerakan dakwah di Malaysia. Kita juga berbual tentang perkembangan terkini di Majalah i serta tentang topik perbahasan utama edisi bulan Februari 2010.

Setelah licin ayam golek dua ekor, Tuan Hj Fikry dan keluarga pun meminta diri. Akob dan keluarga juga turut berkesempatan untuk melawat ke pejabat Karangkraf secara kebetulan. Di sana berkesempatan untuk berbual dengan Cik Azlin Mohd Hamin (bekas wartawan Majalah I yang kini bertugas di I Luv Islam) dan En Adib (wartawan baru Majalah i).

Lebih dua jam kami sekeluarga berada di tapak Karnival. Setelah anak-anak serta isteri telah bershopping sakan membeli produk Karangkraf maka kami sekeluarga pun mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Layanan daripada warga Karangkraf memang sungguh mesra walaupun akob ini hanyalah penulis kecil yang tiada nama di pasaran. Akob sungguh terharu dengan sokongan dan dokongan yang telah diberikan oleh warga Karangkraf. Akob secara peribadi akan terus memberi sokongan padu kepada Grup Karangkraf. Akob berdoa semoga Karangkraf akan terus maju dalam perniagaan mereka dan sentiasa dilindungi oleh Allah S.W.T. Semoga sokongan Karangkraf terhadap dakwah Sunnah akan berterusan.