Rabu, 24 September 2008

Hakikat Bermaafan Pada Hari Raya


HENDAKLAH KITA MENJADI SEORANG YANG PEMAAF
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Perbuatan memohon serta memberi kemaafan merupakan satu amalan yang mulia disisi syarak. Oleh itu di antara adat resam orang Melayu ketika menyambut Aidilfitri adalah dengan saling bermaafan di antara satu sama lain. Ucapan yang paling sering kita dengar ketika sambutan Aidilfitri adalah ‘maaf zahir dan batin’. Oleh itu sewajarnya untuk kita membincangkan tentang bagaimana untuk menjadi seorang yang pemaaf secara hakiki ketika kehangatan sambutan Aidilfitri semakin terasa.

Adakalanya kita merasakan begitu sukar untuk memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan terhadap kita. Terkadang juga kita masih terbawa-bawa dengan kesilapan yang telah dilakukan terhadap kita bertahun-tahun yang lampau dan ianya masih lagi menjejaskan hubungan kita dengan pihak tersebut. Ini sebenarnya secara tidak langsung menyalahi perintah Allah S.W.T. untuk mencintai sesama muslim. Sabda Nabi s.a.w.:

Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 13)

APAKAH MAKNA MEMBERI KEMAAFAN

Erti memberi kemaafan adalah apabila seseorang itu mampu untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu dari mereka yang melakukan kesalahan tersebut namun dia tidak melakukannya malah dia memaafkannya secara ikhlas demi mengharapkan keredhaan Allah S.W.T..

Sesungguhnya di dalam al-Qur’an terdapat sebuah kisah yang akan lebih memperjelaskan makna memberi kemaafan. Nabi Yusuf a.s. merupakan anak kesayangan bagi Nabi Ya’kub a.s. sehinggakan Nabi Yusuf dicemburui oleh saudara-saudaranya yang lain. Lalu mereka mengkhinati Nabi Yusuf dan mencampakkan baginda ke dalam sebuah perigi. Namun demikian baginda telah diselamatkan oleh sekumpulan musafir dari negara Mesir lalu mereka membawanya ke sana. Untuk dipendekkan cerita akhirnya Nabi Yusuf telah dilantik oleh pemerintah Mesir untuk menjadi pembesar negara yang bertanggungjawab menjaga perbendaharaan. Baginda kemudiannya ditakdirkan untuk bertemu semula dengan saudara-saudaranya yang telah mengkhianati baginda sebelum ini. Dengan kekuasaan yang ada pada tangan baginda tentu sekali dengan mudah baginda mampu untuk membalas perbuatan khianat saudara-saura kandungnya itu. Namun sikap pemaaf baginda telah menghindarinya dari bersikap sedemikian rupa dan kisah ini telah dirakamkan di dalam al-Qur’an melalui ayat-ayat di bawah:

Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".
Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.
(Yusuf (12) : 90-92)

KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN

Ø Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah S.W.T. telah mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang yang bertaqwa). Firman-Nya:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 133-134)

Ø Allah S.W.T. mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.

Dari ayat di atas ini juga dapat kita membuat kesimpulan bahawa mereka yang pemaaf mudah mendapat keampunan Allah S.W.T. dan akan ditempatkan di syurga. Di ayat yang lain Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

… dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)

Ø Sikap pemaaf merupakan akhlak yang mulia yang dituntut oleh syarak

Sikap mudah memaafkan orang lain merupakan suatu akhlak yang mulia lagi terpuji dan ianya tergolong dalam amalan yang amat digalakkan perlaksanaannya oleh Allah S.W.T.. Firman-Nya:

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (al-Syuura (42) : 43)

Ø Allah S.W.T. mengasihi mereka yang pemaaf

Allah S.W.T. mengasihi mereka yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya:

… dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 134)

Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi oleh Allah S.W.T. akan mudah mendapat rahmat serta keampunan-Nya.

Demikianlah beberapa keutamaan yang sempat penulis ketengahkan untuk menunjukkan betapa agungnya sikap mudah memaafkan serta melupakan kesalahan orang lain terhadap kita.

NABI S.A.W. MERUPAKAN SEORANG YANG PEMAAF

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. merupakan sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat manusia. Di antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah s.a.w. adalah sikap pemaaf baginda. Hal ini dapat kita perhatikan di dalam banyak peristiwa yang terjadi pada diri baginda melalui banyak riwayat-riwayat yang sabit. Namun begitu memadai bagi penulis untuk menurunkan beberapa sahaja hadis-hadis yang berkaitan. Aishah r.a berkata:

Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mempergunakan tangannya untuk memukul isteri atau pelayan, kecuali ketika dalam perang fisabilillah dan belum pernah Rasulullah diganggu lalu membalas kecuali jika terlanggar suatu hukum Allah, maka dia membalas kerana Allah 'Azza wa Jalla. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2328)

Hadis di atas ini menjadi dalil bahawa sifat suka memberi kemaafan ini harus sesuai dengan keadaan. Sekiranya hukum Allah S.W.T. ditolak malah dihina, maruah umat Islam dicalar, maksiat berleluasa dan lain-lain perbuatan berat yang menyalahi syarak maka sewajarnya untuk kita memberi balasan ataupun tindakan yang sewajarnya. Sebagai contohnya sekiranya ahli keluarga kita melakukan maksiat, tidaklah semestinya untuk kita secara semberono memaafkannya tanpa memberi hukuman yang setimpal. Sekiranya setelah ditegur ataupun diberi hukuman setimpal dan dia menyedari akan kesilapannya serta bertaubat untuk menjauhi perbuatan maksiat tersebut maka hendaklah kita memaafkannya serta menyokong usahanya untuk berubah ke arah kebaikan.

Ibnu Mas’ud r.a berkata:

Seolah-olah saya masih melihat pada Rasulullah s.a.w. ketika kejadian seorang Nabi yang dianiayai kaumnya hingga berlumuran darah, sambil mengusap darah dari mukanya lalu bersabda: “Ya Allah, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 3477)

Semoga riwayat-riwayat di atas akan dijadikan pedoman bagi kita untuk mudah memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.

CIRI-CIRI YANG PERLU ADA UNTUK MENJADI SEORANG YANG PEMAAF

Sesungguhnya terdapat beberapa kualiti diri yang perlu ada di dalam diri masing-masing sebelum dapat menjadi seorang yang pemaaf. Tanpa ciri-ciri tersebut tentu sekali amat sukar bagi sesiapa jua untuk memaafkan mahupun melupakan kesalahan orang terhadap dirinya. Ciri-ciri tersebut adalah:

Ø Bersabar

Boleh dikatakan sikap sabar ini adalah pokok bagi bercambahnya segala akhlak-akhlak yang mulia. Jika dilihat kepada sikap pemaaf yang sedang kita perbincangkan ini, ianya hampir pasti tidak akan terlaksana tanpat sifat sabar. Sekiranya seseorang membuat kesalahan terhadap kita lantas kita hilang sabar maka ianya akan menimbulkan perasaan marah dan sekiranya perasaan marah ini pula tidak dibendung ianya akan menimbulkan pula perasaan dendam terhadap pelaku kesalahan tersebut. Sebaliknya sekiranya kita mampu untuk bersabar terhadap kesalahan orang lain terhadap kita maka kita akan lebih mudah untuk memaafkannya serta melupakan segala kesalahan yang telah dilakukannya. Oleh itu tidaklah menjadi satu hal yang aneh sekiranya Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat besar bagi mereka yang penyabar. Firman-Nya:

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (al-Zumar (39) : 10)

Ø Mengawal perasaan Marah

Perasaan marah merupakan satu senjata tipu daya syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Syaitan sememangnya sentiasa ingin melihat kehidupan manusia porak-peranda dan berduka-cita. Lalu dibisikkan ke telinga-telinga manusia api kemarahan dan menghindari sikap saling bermaafan untuk mengeruhkan lagi suasana. Ini sememangnya tugas syaitan, musuh yang nyata bagi golongan yang beriman. Firman Allah S.W.T.:

Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) Syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. (al-Mujadalah (58) : 10)

Maka itu penting bagi kita untuk mangawal perasaan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini ternyata amat dititik-beratkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana apabila seorang sahabat meminta nasihat daripada baginda s.a.w. ternyata baginda bersada:

Jangan Marah.

Kemudian orang tersebut mengulangi permintaanya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab:

Jangan Marah. (Sila rujuk peristiwa ini di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6116)

Ternyata mengawal perasaan marah itu adalah penting di sisi Nabi s.a.w. sehingga berulang-ulang kali baginda mengingatkannya kepada sahabat tersebut. Baginda juga beranggapan bahawa bagi seseorang yang mampu mengawal perasaan marah maka dia merupakan seorang yang gagah perkasa. Sabdanya:

Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergulat (bergusti), tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6114)

Allah S.W.T. juga akan memberi ganjaran yang besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 2417)

Sebaiknya untuk kita meredakan perasaan marah kita terhadap seseorang hendaklah kita fokuskan jiwa kita untuk melihat sudut positif yang terdapat di dalam orang yang sedang kita marahi tersebut. Mungkin terdapat banyak perkara-perkara baik yang pernah dia lakukan terhadap kita yang sekiranya kita renungkan secara mendalam akan memadamkan api kemarahan yang wujud di dalam jiwa kita. Sebagai contohnya apabila kita marah melihat kesalahan yang dilakukan oleh isteri kita maka hendaklah kita fokuskan perbuatan-perbuatan yang baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan kita. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 1469)

Ø Menghilangkan perasan dendam kesumat

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam di dalam jiwa. Maka hati akan merasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta perasaan ingin menjauhkan diri daripada orang tersebut. Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita ingin menghukum pihak yang telah melakukan kesalahan terhadap kita. Saidina Abu Bakar al-Shiddiq r.a pernah menghadapi masalah perhubungan dengan salah seorang ahli keluarga beliau yang bernama Misthah lalu beliau mengambil keputusan untuk tidak memberi nafkah kepadanya kemudian turunlah firman Allah Ta’ala:

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)

Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh orang lain dengan kejahatan yang lain. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ianya hanya akan mengeruhkan lagi suasana. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada di dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang tersebut. (Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim r.a)

Ø Lemah lembut

Di antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan sikap saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian terutamanya dengan sesama muslim merupakan satu akhlak yang terpuji dan mencerminkan budi pekerti yang luhur dan kewarasan jiwa. Nabi s.a.w. pernah bersabda:

Wahai ‘Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) kelemah-lembutan apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya. (hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 2593)

Dan Allah S.W.T. juga telah menganugerahkan kepada Nabi-Nya sikap lemah lembut terhadap umat manusia yang lain dan sikap ini merupakan daya tarikan terhadap manusia disekelilingya terhadap dakwahnya. Melalui sikap lemah-lembut ini jugalah membuahkan munculnya sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain. Firman Allah S.W.T.:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aali Imraan (3) : 159)

KESIMPULAN

Justeru itu hendaklah lafaz ‘maaf zahir dan batin’ yang kita ucapkan pada hari lebaran ini kita lakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan sekadar mengikut adat resam. Kita hendaklah menjadi seorang yang gemar memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat ini merupakan cerminan bagi akhlak yang mulia dan ianya dituntut oleh syarak. Sikap saling memaafkan ini merupakan salah satu dari ciri-ciri yang perlu wujud di dalam masyarakat Islam demi untuk mengukuhkan perpaduan serta persaudaraan yang kian terhakis. Perpecahan yang melanda umat Islam telah melemahkan kita sehinggakan kita berantakan sesama sendiri sedangkan pihak musuh Islam sentiasa menantikan ruang-ruang kelemahan yang ada demi untuk meruntuhkan apa sahaja kekuatan yang masih wujud pada umat Islam. Ingatlah bahawa semua umat Islam itu bersaudara dan hindarkanlah dari berpecah-belah. Firman Allah S.W.T.:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Aali Imraan (3) : 103)

3 ulasan:

limaumaniss berkata...

salam..apa kata disertakan adab2 menjelang raya dan adab2 di hari raya pula..sekadar cadangan...pastinya bermanfaat untuk kita...semapt kita betulkan mana yg salah yg selalu kita buat pada hari raya ni...

wallahua'lam...

Mohd Yaakub bin Mohd Yunus berkata...

Wa'alaikumussalaam

Insya Allah akan menyusul esok atau lusa..

memang dah siap pun bab ini...

Cuma akob masukkan 1 hari 1 artikel tentang Raya...

Tungguuuuuuuuu

Jzk

Sekian Wassalaam

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah, satu artikel yang baik.

Satu pertanyaan, adakah amalan bermaaf-maafan di pagi raye satu daripada sunnah nabi saw dan para sahabat?

Harap maklum balas..